Dalam huraian yang lepas, kita lihat
Sidang Kemuncak ini enggan dan gagal membicarakan peranan ilmu dalam persuratan
Melayu moden, suatu pilihan yang cocok dengan pegangan kukuh para sasterawan
dan sarjana sastera kepada teori dan pendekatan sastera yang dipopularkan di
Barat. Walaupun ada di antara mereka
yang bercakap tentang “minda tertawan”, namun mereka dengan bangga membuktikan
bahawa “minda tertawan” itulah yang membawa kemajuan dalam kesusasteraan Melayu
moden, kerana dengan “minda tertawan” itulah mereka bebas berbuat apa saja yang
disenangi dan dipopularkan dalam teori dan pendekatan Barat, tanpa sebarang
tanggungjawab ilmu yang difahami dalam Islam, dengan itu mereka membuktikan
bahawa kesusasteraan Melayu moden boleh dimajukan dan besar kemungkinan akan
diiktiraf seluruh dunia apabila nanti ada di antara para sasterawan itu akan
diberi Hadiah Nobel Sastera. Mimpi ini tidak mungkin tercapai, menurut
keyakinan mereka, jika konsep ilmu dijadikan asas penulisan kreatif sementara
seluruh dunia semua penulis menolak unsur agama dalam penulisan kreatif yang
mereka anggap menjadi penghalang kepada kebebasan penulis. Inilah kejayaan
kami, kata para peserta Sidang Kemuncak, yang berjaya membuktikan bahawa aliran
perdana dalam kesusasteraan Melayu menolak apa juga pengaruh yang bersifat
agama yang akan menjadi penghalang kepada kemajuan yang tercapai selama ini tanpa
kebergantungan kepada nilai-nilai Islam. Inilah kemenangan besar, mungkin juga
kemenangan mutlak, Asas 50 yang dengan tegas menolak Islam sebagai unsur
penting dalam penulisan kreatif, dengan mengatakan bahawa tulisan Jawi yang
telah memajukan persuratan Melayu beratus tahun sebenarnya, menurut mereka ,
tidak ada kaitan sama sekali dengan agama Islam. Dengan penegasan ini, mereka
menolak peranan ulama dalam perkembangan bahasa Melayu dan dalam pemikiran
bangsa Melayu. Mereka berkata tidak ada kemajuan yang membanggakan yang
diusahakan oleh para ulama dan penulis seangkatan mereka golongan ulama,
sebaliknya merekalah yang menjadikan orang Melayu mundur dan terpisah, terasing
dari perkembangan kesusasteraan dunia. Sidang Kemuncak Penulis Malaysia endorced pandangan dan kesimpulan ini.
Siapa di antara pemenang Hadiah Nobel yang pernah memberitahu dunia
bahawa kira-kira 500,000 Islam Sunni dibunuh Amerika di Iraq, lebih dari 500
ahli sains kelas pertama, termasuk ahli fizik atom, yang dibunuh Israel dengan
bantuan Amerika, berapa banyak bangunan dihancurkan, berapa ribu buah rumah
Islam Sunni dimusnahkan, tanaman dan kebun mereka dibakar. Siapa mahu bercakap
tentang itu? Mungkin ada di antara sasterawan negara mahu cuba cari publisiti
bercakap tentangnya. Para sasterawan dunia ini
begitu jujur dan bertanggungjawab tidak mahu bercerita tentang
kemusnahan Iraq, termasuk sasterawan negara Malaysia. Bagaimana Orhan Pamuk sendiri? Dia tidak
berminat. Nasihat Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh, sasterawan negara, supaya para sasterawan mencontohi
Salman Rushdie dan Orhan Pamuk, adalah tidak wajar dan tidak patut, satu
nasihat yang salah, yang saya tidak fikir akan diikuti oleh para sasterawan Malaysia
yang masih hormatkan Islam, walaupun ada
juga di antara mereka yang berasa tidak perlu terikat kepada agama jika mahu
maju dalam penulisan kreatif dalam sastera moden. Ketika memberi nasihat itu,
apakah yang ada dalam fikiran Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh,
sasterawan negara? Kita hanya boleh membuat andaian, tetapi kita tahu mengapa
jika kita baca dengan teliti sajaknya yang terkenal itu, “Pulang Si Tenggang”.
Semuanya tersembunyi dalam sajak itu dan dalam pendirian Prof. Emeritus Dr. Muhammad
Haji Salleh tentang konsep dan makna ilmu dalam kesusasteraan. Dia menolak
konsep ilmu yang benar dan konsep adab yang dihuraikan dengan mendalam oleh
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Dengan itu dia menolak kehadiran gagasan
Persuratan Baru sebagai satu usaha sia-sia dan bodoh yang tidak diperlukan oleh
kesusasteraan Melayu. Masalahnya ialah
yang disebutnya “teori” sasteranya, Puitika Sastera Melayu, patah sayap sebelum
pandai terbang, oleh itu tidak boleh hidup sebagai unggas yang tangkas dalam
dunia mergastua yang memerlukan sayap yang kuat untuk terbang. Oleh itu,
pendapat beliau bolehlah dianggap sebagai pendapat daripada seorang sarjana
patah sayap yang tahu dia sendiri hanya boleh melompat-lompat lemah, tidak
boleh terbang walau satu inci dari bumi ilmu.
Inilah masalah yang kita hadapi di Malaysia, yang telah memberikan kita
12 orang sasterawan negara, tetapi semuanya tidak boleh terbang kerana sayap
mereka sama ada patah sebelum pandai terbang di tengah tiupan ribut ilmu, atau
memang bukan jenis unggas yang boleh terbang menyongsong angin, oleh itu
cukuplah menjadi gagak yang riuh, tidak mungkin terbang jauh menyusur angin
seperti helang. Di mana tiada helang,
belalang mengaku dirinya helang. Helang jenis belalang ini tidak sedar diri
cuba memberi nasihat yang dia sendiri tidak berdaya membuatnya. Maka itulah,
apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh berkata, kritikan adalah satu
sayap sastera yang sudah patah, “dipatahkan orang gasang yang tidak berbudi
sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan
maruah diri atau hormat terhadap penulis lain,” maka yang mula-mula menerima
tamparan itu ialah dirinya sendiri, yang mengkhianati ilmu dan tidak
menghormati orang berilmu yang telah menghuraikan kepadanya erti adab dan makna
konsep ilmu yang benar, tetapi dia tidak mahu menerimanya walaupun dia tidak
mempunyai hujah untuk menolaknya, maka siapakah di antara “orang gasang” dengan
“orang biadab” yang tidak menerima kebenaran, siapakah di antara mereka itu
yang layak dituduh tidak “mempunyai etika dan maruah diri atau hormat terhadap
penulis lain”. Bagaimana kamu boleh
mengaku kamu termasuk golongan beradab dan tahu menghormati orang lain, bila
kamu yang mengkritik kemunculan Mutual Admiration Club itu menganjurkan sahabat
kamu sendiri yang sama dangkalnya dengan kamu untuk dicontohi? Tidakkah itu
sangat biadab? Apabila orang yang mengaku dirinya pakar budaya sudah lupa
pantun kanak-kanak “mengata dulang/ paku serpih”, maka inilah jadinya. Kemuncak
sikap biadab itu ialah nasihat supaya para sasterawan mencontohi Salman
Rushdie, yang mengutuk dan mempersenda keluarga Nabi SAW. Apa jenis manusia
yang begini sikapnya?
Demikianlah, kita perlu memperingatkan orang-orang yang begini sikapnya,
terlebih dulu melihat dirinya sendiri dan dengan rendah hati mengaku kekurangan
dirinya, sebelum dia dengan angkuh menuduh orang lain dan cuba memberi nasihat
padahal dialah yang memerlukan nasihat itu. Sekarang saya memperingatkan diri
saya untuk terus memperkatakan yang benar dan bersedia bila-bila masa sahaja
untuk membetulkan kesilapan saya. “Wahai umat manusia!
Sesungguhnya aku telah dilantik dikalangan kamu sedangkan aku bukanlah orang
yang terbaik. Maka jika aku melakukan kebaikan maka bantulah aku tetapi
sekiranya aku terpesong maka betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah dan dusta
itu adalah khianat. Orang yang lemah di kalangan kamu merupakan orang yang kuat
disisiku sehingga aku akan menunaikan kemahuannya serta memberikan haknya
semula. Manakala orang yang kuat di kalangan kamu merupakan orang lemah
disisiku sehingga aku akan mengambil kembali hak yang telah dirampas. Oleh itu
taatilah aku selagimana aku mentaati Allah dan rasulNya dan jika aku
mengengkari Allah dan rasulNya maka janganlah kamu mentaatiku.”
Siapakah yang memberi ucapan itu?
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19/1/2015.
Ucapan Saidina Abu Bakar as-Siddiq sebaik-baik menerima pelantikan sebagai khalifah Islam pertama selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW itu jika dibaca dan dihayati tentu saja akan menggetarkan jiwa. Terima kasih kerana menyiarkannya.
ReplyDelete'Sidang Kemuncak Penulis Malaysia' yang kemudiannya didokumentasikan oleh ITBM dalam bentuk buku dengan judul 'Sastera Teras Negara Bangsa' menjadi bukti kukuh kerasnya kerak pandirisme dalam kalangan sasterawan, pengkaji dan sarjana sastera Melayu. Selain kenyataan dan saranan Muhammad Hj Salleh supaya mencontohi Salman Rushdie yang buat saya sebagai orang Islam dan penulis Islam tersinggung, saya juga terkilan dengan tulisan Dr. Norhayati Abdul Rahman dalam kertas kerjanya yang berjudul Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya Bagaimana? Dalam kertas kerja yang di beberapa tempat mempunyai kesalahan teknikal yang tidak dibetulkan (penyunting atau penulis yang tidak membuat semakan dengan teliti? Kesalahan yang bukan remeh dipandang dari kualiti penyuntingan baik pada pihak penulis atau penerbit), saya terkesan dengan saranan2 Norhayati tentang pentingnya pengajaran kesusasteraan untuk membina modal insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani dan intelek, sesuai dengan Falsafah Pendidikan Negara dan untuk semua tahap pengajian (hlm. 116-118). Menurutnya, kesusasteraan mengajar pelajar berfikir kritis, kreatif dan sebagainya yang muluk-muluk. Akan tetapi, kajian Norhayati dalam bukunya Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia Satu Bacaan Ginokritik, dan menang pula Anugerah Buku Negara - memaparkan elemen-elemen erotik dan pornografi dalam karya sastera yang ditulis oleh penulis-penulis Malaysia-Indonesia, dan dianggap sebagai satu gerakan berani penulis wanita, dengan feminisme yang menjadi tunjang penilaiannya. Soalannya, apakah yang boleh dimanfaatkan oleh para mahasiswa dengan penerbitan buku ini? Adakah kandungan buku kajiannya sendiri menepati Falsafah Pendidikan Negara seperti yang dibincangkannya dengan panjang mengulang? Sebagai pembaca beragama Islam yang membaca buku Norhayati dan kertas kerjanya ini, saya kecewa dan tersinggung. Apa yang diterangkan Norhayati tidak selari dengan apa yang dikaji. Seolah-olah sarjana sastera kita ada dua wajah. Wajah untuk menepati tema persidangan yang bertentangan dengan wajah sebenar dalam kajian yang dipilihnya sendiri. Selain itu, Dr. Norhayati tepat apabila dikatakannya bahawa landasan karya sastera ialah emosi (hlm. 118) bukannya akal yang menjadi tunjang karya persuratan. Baginya, emosi dapat melahirkan tingkah laku terkawal, sedangkan dalam tingkat-tingkat ilmu jiwa yang diterangkan Imam Al Ghazali, kedudukan akal yang paling tinggi dan berperanan mengawal emosi. Bukan sahaja dalam tradisi Islam emosi subordinat kepada akal, tetapi juga dalam tradisi Barat.
Khadijah Musliha
Saya pun rasa gitu baca paper x lecturer saya tu. Huhu ;'(
DeleteSeterusnya, Kemala dalam kertas kerjanya menyatakan "Para sasterawan menyambung usaha para leluhur yang sudah mewariskan banyak karya besar dan anggun. Hamzah Fansuri, Syeikh Muhammad Daud Pattani, Raja Ali Haji ..." (hlm. 245) Saya rasa nak pengsan membacanya. Bagaimana Kemala justifikasikan karya sasterawan dengan nama-nama agung dalam Tradisi Persuratan Melayu, pada zaman kegemilangan Islam di Kepulauan Melayu ini? Satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab. Apakah tulisan-tulisan Sasterawan Negara sama taraf atau mengikut tradisi pengarang-ulama yang disebutkannya itu! Satu kenyataan yang tidak adil dan (bi)adab.
ReplyDeleteAda juga tulisan yang membuat kita senyum. Umpamanya kertas kerja Dr. Hashim Ismail. Bukan sahaja lucu dari segi persembahannya tetapi juga idea (?)nya. Jelas sekali kertas kerja ini serius dalam membela kepentingan sasterawan dan penulis sebagai individu. Nampaknya RM60k tidak cukup. Perlukan RM500K seperti yang dicadangkannya untuk dihadiahkan kepada SN. Seperti Tuan Affandi kata, ulama' pun tidak diberi anugerah setinggi ASN! Membaca poin nombor 2 (hlm.138) menampakkan mentaliti sasterawan dan sarjana sastera yang di mata masing-masing tergantung tanda $$. Apakah ketinggian karya dinilai dengan wang ringgit? Patutlah penulis bukan main marah dan ada yang bagi amaran agar karya-karya mereka tidak dibuat salinan (terutamanya oleh pelajar-pelajar yang kurang mampu membeli tetapi mahu memiliki).
Kesimpulan kita membaca buku yang menghimpunkan kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini adalah pekat, likat dan ketatnya pengaruh sastera Barat dalam pemikiran sasterawan, sarjana dan pengkaji sastera Melayu yang rata-ratanya beragama Islam. Umpama Mat Saleh (bukan Muhammad hj Salleh) atau Minah Saleh yang pertama kali memakai baju kurung dan baju Melayu, semata-mata untuk menghadiri majlis kenduri kahwin di Chuping, begitulah mereka. Di dalamnya tetap Barat walau di luar terpercik unsur Timur.
Khadijah Musliha
Salam Tn Mohd Affandi Hassan dan pembaca yg lain
ReplyDeleteSekadar nak kongsi maklumat yang saya kira bermanfaat. Tadi tonton TV Al Hijrah, ada iklan untuk rancangan 'Persepsi' untuk siaran 26.1.2015 (Isnin), fokus tentang Islam yang dipersenda. Foto Salman Rushdie dan The Satanic Verses melatari teaser untuk bual bicara itu. Menarik kan? Agaknya orang tv pun baca saranan SN yang suruh sasterawan Melayu contohi Salman Rushdie. Jangan ketinggalan menontonnya.
Salam Tuan Haji,
ReplyDeleteSaya sedang membaca Balai Maqamat dan sangat terhibur dengan segala yang Tuan Haji sampaikan. Seolah-olah mencabar keupayaan saya berfikir sambil menyambungkan hujahan Tuan Haji dengan isu-isu yang terjadi di sekitar kita. Tahniah saya ucapkan.
Namun begitu, dengan kekuatan hujahan yang terdapat di dalamnya saya lihat buku ini tidak ditangani dengan baik oleh si penyunting. Seolah-olah kerja suntingan dibuat sambalewa, ibarat melepaskan batuk di tangga. Mana mungkin permulaan ayat berhuruf kecil. Dialog pula tidak ada tanda pembuka dan penutup kata. Di sesetengah tempat, noktah tidak diletakkan. Apakah ini kualiti suntingan oleh penerbit yang diberi geran besar oleh kerajaan lalu menghasilkan kerja pada tahap budak sekolah? Sungguh memalukan dan kurang adab.
Maka benarlah, seperti yang Tuan Haji tulis dalam beberapa entri yang lalu, setelah penghasilan buku ini menemui keruwetan dan jalan yang sukar, a ditambah-tambah lagi dengan hasil akhirnya tidak ditangani dengan baik. Seperti membalas dendam pada penerbitan buku ini, ia dibuat pada kadar terpaksa dan dipandang sebelah mata. Ternyata benar, mereka yang mengerjakannya tidak menghormati ilmu, merendahkan kualiti penerbitan, tidak hormat kepada penulis yang memerah tenaga dan ilham lalu menyebabkan buku ini terhasil dalam keadaan yang tercalar maruahnya.
Semoga syarikat penerbitan terbabit menyedari kelemahan mereka dan tidak sewenang-wenangnya berterusan menghasilkan buku yang berpopulariti tinggi tetapi mengenepikan buku yang mengajak pembaca berfikir dan memahami. Insaflah.
'Adabiyyah