Kemunculan gagasan Persuratan Baru tidak dapat dielakkan lagi daripada
bertapak dengan kukuh dalam bidang kreatif dan akademik di Malaysia, walaupun
masih menghadapi tentangan kuat dan penafian daripada para sasterawan dan
sarjana. Kedudukan teori Barat itu sendiri sedang dipersoalkan dengan kritis
sehingga menimbulkan perasaan tidak selamat di kalangan penganut teori Barat di
Malaysia. Walaupun ketakutan itu tidak berasas, namun para penganut teori Barat
ini tidak rela berpisah dengan teori Barat kerana ketergantungan kepada teori
Barat itu memberi pulangan faedah yang amat lumayan, baik dari segi kewangan,
pangkat, mahu pun status. Semua ini
tidak dapat diberikan oleh gagasan Persuratan Baru, oleh itu tidak ada maknanya
jika gagasan Persuratan Baru diberi tempat yang sama dengan yang diberikan
kepada teori sastera Barat. Halangan paling utama ialah tidak seorang pun
sarjana Barat pernah menulis tentang Persuratan Baru, dengan itu Persuratan
Baru hanya berada di peringkat kampung atau local,
masih jauh lagi untuk menjadi saingan apatah lagi cabaran kepada teori sastera
Barat yang dicetuskan dan dikembangkan di Barat oleh para ahli akademik yang
terkenal dan sangat berpengaruh. Bila saya dengar argumen ini, pada mulanya
saya tersenyum sinis, tetapi kemudiannya tertawa gembira kerana argumen
beginilah yang saya tunggu-tunggu selama ini. Selama ini kita selalu mendengar
macam-macam istilah digunakan untuk mengkritik “kestabilan mental” para
sarjana, yang menurut mereka tidak stabil disebabkan terlalu bergantung kepada
selimut Barat yang tebal yang memang tidak diperlukan dalam negara berhawa
panas seperti Malaysia. Ada di antara mereka berkata menggunakan selimut tebal
dari Barat itu sejenis kebebalan intelektual yang memalukan, kerana teori Barat
tidak menjamin boleh menghuraikan dan menilai dengan objektif karya Malaysia
yang ditulis dalam bahasa Melayu dan pengarangnya mempunyai peribadi tersendiri pula. Lagi pula, kata yang lain yang ingin
menunjukkan sudah ada kesedaran di kalangan sarjana dan sasterawan peri adanya
“perhambaan ilmu” yang tidak ketara, tetapi disedari kewujudannya, yang mereka
sebut “minda tertawan”. Tetapi pengalaman saya bergaul dan membaca tulisan
sarjana dan sasterawan di Malaysia, meyakinkan saya bahawa mereka mungkin memiliki
“minda tertawan” itu, tetapi mereka sebenarnya sangat gembira dan senang hati
berada dalam tawanan minda itu kerana dari keadaan tertawan itulah mereka
mendapat faedah yang saya sebut di awal tulisan ini. Jadi istilah “minda
tertawan” ini tidak bermakna apa-apa, kerana manusia yang dikatakan tertawan
mindanya itu memang gembira berada dalam tawanan, oleh itu perkara ini tidak
menjadi isu sama sekali. Malah yang menjadi isu ialah apa bila terdapat
kritikan supaya mereka membebaskan diri dari tawanan perhambaan ilmu itu. Ini
yang mereka tidak mahu lakukan, kerana “pembebasan” itu akan hanya merugikan mereka sendiri dan
menyusahkan kerja mereka sebagai ahli akademik. Kata mereka, teori Barat adalah
universal, dipakai oleh semua manusia akademik
seluruh dunia. Mengapa ahli akademik Malaysia perlu dikecualikan? Dalam
dunia yang mengamalkan kebebasan memilih, para sarjana Malaysia telah memilih
untuk memihak kepada teori sastera Barat. Hormatilah kebebasan itu, tegas
mereka. Adakah ini bermakna mereka menentang perubahan dan the so called experiment dalam penulisan kreatif? Seperti yang
telah saya tegaskan berkali-kali, kebebasan memilih itu dilihat dalam konteks
“perhambaan ilmu” yang disebutkan, oleh itu perubahan tidak hanya akan terjadi
dalam konteks “perhambaan ilmu” tadi. Jika anda membaca laporan Panel Anugerah
Sastera Negara, inilah makna perubahan itu. Inilah juga yang dihuraikan oleh
para sarjana dalam tesis Ph.D. dan buku-buku mereka yang ditulis dalam konteks
“perhambaan ilmu” tadi. Saya telah menyebut perkara ini banyak kali; untuk
mudah lihat sepintas entri bertajuk “Keunggulan yang Cacat”. Lihat juga
bagaimana para sarjana kita memuji dan mengangkat para sasterawan negara,
khususnya untuk rujukan mudah tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang
novel-novel Anwar Ridhwan.
Isunya ialah, “perhambaan ilmu” bukanlah sesuatu yang tidak baik, malah
patut digalakkan, terutama sekali di kalangan penulis kreatif, supaya karya
mereka boleh diberi penilaian yang amat positif dan lebih mudah difahami kerana
mereka memakai bahasa sastera yang universal. Inilah perspektif yang digunakan
untuk menilai dan memilih para sasterawan negara. Saya kira perkara ini sudah
jelas dan tidak perlu dijelaskan lagi. Sudah terang lagi bersuluh. Khusus untuk
para sasterawan, bagi mereka berada dalam kandang “perhambaan ilmu” lebih
selesa dan lebih bebas untuk mereka mencipta karya yang disenangi di Barat,
dengan itu mereka mempunyai peluang untuk merebut Hadiah Nobel Sastera. Jika
inilah ketakutan mereka, mereka sebenarnya takutkan kelemahan kognitif mereka
dan keupayaan kreatif mereka yang amat terbatas. Mereka tidak perlu takut
kerana mereka menulis karya sastera yang bertaraf dunia dan pastilah akan
mendapat pengiktirafan seluruh dunia. Mereka mempunyai seluruh sarjana dan pengkritik
sastera untuk menyokong mereka. Adakah itu tidak cukup?
Tetapi terdapat isu yang sangat penting yang cuba dielakkan oleh para
sasterawan dan sarjana sastera supaya tidak dibincangkan dengan meluas. Itulah
isu tentang ilmu, khususnya tentang konsep ilmu yang benar dalam penulisan
kreatif dan penilaiannya. Kata mereka, isu ini sebenarnya non-issue, tetapi sengaja ditonjolkan dan dibuat-buat untuk
menyekat perkembangan sastera Melayu moden yang universal, yang boleh difahami
dan dinikmati oleh manusia seluruh dunia.
Kemajuan kita, tegas mereka, ialah bersama manusia sejagat, bukan
bersama Islam yang menetapkan adanya konsep ilmu yang benar. Kita boleh terima hujah ini jika mereka ini
benar-benar yakin bahawa itulah kekuatan mereka. Dengan itu, kita boleh saja
benarkan mereka mengusahakan apa yang mereka mahu dan berasa tenteram
melakukannya. Tetapi inilah yang mereka tolak, kerana kata mereka, jika konsep
ilmu yang benar itu dibenarkan menjadi aliran penting (jika tidak pun aliran
utama) dalam penulisan Malaysia, maka kedudukan mereka akan tergugat dan ini
mereka anggap menceroboh kebebasan mereka.
Isunya mudah saja: mereka tolak konsep ilmu yang benar kerana jika ini
diterima, maka akan muncullah karya persuratan yang akan menjadi saingan kepada
karya sastera dan kepada teori Barat yang menjadi pegangan mereka. Para sarjana berkata, karya persuratan
berteraskan ilmu yang benar itu belum lagi tertulis, dan mungkin tidak akan
tertulis kerana konsep itu bertentangan dengan konsep kreatif yang difahami dalam sastera
yang melahirkan karya kreatif itu. Kata mereka, jika diperlukan tapisan sekali
pun, karya sastera boleh saja diteruskan tanpa gangguan, karya sastera yang
memenuhi nilai-nilai Islam. Di sinilah mereka keliru, atau dengan sengaja
mengelirukan diri. Karya persuratan yang mengutamakan wacana dalam konteks ilmu
yang benar tidak boleh disamakan dengan karya sastera yang mungkin ditulis
dalam bentuk cerita yang dikatakan sesuai dengan nilai-nilai Islam itu. Yang
membezakan dua kategori karya ini ialah konsep wacana dan cerita. Dalam karya
persuratan, wacana mengambil tempat utama untuk memberi ruang yang secukupnya
dalam ruang naratif supaya wacana tadi boleh diolah dengan mendalam dengan
cerita memainkan peranan kedua untuk membantu wacana tadi ditulis dalam teknik
stylization of ideas. Teknik ini merangkum kedua-dua aspek itu ke dalam satu
kesatuan kreatif yang indah dan bermakna. Penjelasan tentang stylization of
ideas ini telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Kuliah
MASTERA beliau yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Saya sendiri
telah menjelaskan bagaimana episod kecil tentang memberi nama rumah itu menjadi
satu episod penting kerana di situlah diberi makna kehidupan berasaskan konsep
taklif yang merangkum aspek kerohanian dan kebendaan dalam satu kesatuan yang
harmoni, seimbang dan menyeluruh (complete).
Penggunaan teknik stylization of ideas (siratan makna) itu bertujuan untuk
memastikan penggunaan ruang naratif
mencapai matlamat karya persuratan untuk mencapai matlamat indah dan
bermakna. (Sila lihat Gagasan Persuratan
Baru untuk penjelasan seterusnya.)
Terpulang kepada anda untuk melihat mengapa karya persuratan itu tidak
sama dan tak mungkin sama dengan karya sastera.
Dan mengapa karya persuratan itu lebih terjamin kualitinya sebagai karya
seni. Semua ini telah dijelaskan dengan
agak mencukupi dalam Gagasan Persuratan
Baru. Bagi penulis pula, bagaimana stylization of ideas itu boleh dijadikan
teknik penulisan terpulang sepenuhnya kepada kreativiti anda untuk mencubanya.
Yang penting anda perlu memahami dengan agak mendalam prinsip-prinsip gagasan
Persuratan Baru, terutama sekali konsep ilmu yang benar, konsep wacana, cerita,
paksi naratif, ruang naratif, dan lain-lain. Apabila sudah dapat menguasainya,
anda seperti sorang nakhoda kapal besar, boleh belayar ke mana saja yang anda
mahu, memuat apa saja yang anda pilih, dan singgah di mana saja yang anda rasa
selesa. Kemahiran yang anda kuasai dalam stylization of ideas, samalah dengan
kemahiran anda sebagai nakhoda. Nakhoda dan penulis perlu tahu matlamat
masing-masing, tahu isi muatan masing-masing. Perbandingan ini nampak mudah,
tetapi bila anda berada di lautan bergelora, baru tahu mampu tidak anda
melayarkan kapal anda dengan selamat. Demikian juga, bila anda mula menulis,
baru anda tahu kemampuan anda untuk memikul beban intelektual dan memastikan
hasilnya tidak selekeh. Contoh yang diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir dalam analisis beliau terhadap novel Fatimah Busu, Salam Maria, boleh dijadikan panduan untuk melihat bagaimana muatan
yang tidak sesuai dan berlebihan tidak saja mencacatkan novel, malah
menjadikannya hanyut dalam cerita sensasi. Satu contoh lagi diberikan oleh Dr.
Zulkarnain Mohamed dalam analisisnya terhadap novel Arena Wati, Cakra Waruga. (Bab 9, dalam Gender dalam Sastera Melayu, UKM 2013,
disunting Ungku Maimunah Mohd. Tahir.
Tentang Salam Maria, lihat bab
9, Gagasan
Persuratan Baru, edisi 2. UKM 2014).
Sebagai perbandingan, lihat komen saya tentang novel-novel Anwar Ridhwan
dalam “Keunggulan yang Cacat”, entri bertarikh 28 Oktober, 2014. Apakah asas yang dijadikan ukuran oleh para sarjana dan pengkritik
sastera yang memuji novel Fatimah Busu, Arena Wati dan Anwar Ridhwan? Apa pula asas penilaian Prof.
Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Dr. Zulkarnain Mohamed, dan Mohd. Affandi Hassan?
Mana satu yang lebih objektif dan lebih tepat antara dua perspektif ini?
Sekarang anda tidak boleh mengelak lagi, mahu tidak mahu anda harus membuat
kesimpulan anda sendiri berasaskan kefahaman anda antara dua pendirian ini.
Mana satu pilihan anda bergantung kepada sejauh mana anda dapat melihat
perbezaan antara dua pendirian ini. Bukan melihat seperti Pak Pandir melihat
timbunan padi hampa; tetapi melihat sebagai seorang yang tahu membezakan padi
berat dan padi hampa. Nampaknya mudah,
tetapi itulah yang mengelirukan Pak Pandir
… dan mungkin mengelirukan orang lain juga ketika berada dalam keadaan yang
sama! Kalau perkara semudah itu boleh
mengelirukan, maka apatah lagi perkara serumit ilmu yang selalu disamakan
dengan maklumat dalam karya kreatif sasterawan Melayu, dan mereka menjadi
begitu kecewa dan marah ketika diberitahu tentang kekeliruan mereka. Memilih
untuk terus berada dalam kekeliruan bukanlah pilihan yang bijak, tetapi
nampaknya inilah pilihan majoriti para sarjana dan sasterawan, berasaskan
kebiasaan mereka yang selesa berada dalam kekeliruan itu. Maka tentulah sangat
aneh dan tidak masuk akal sama sekali apabila mereka menuduh orang yang tidak sehaluan dengan mereka sebagai
biadab, tiada susila, dan tiada etika penulisan. Semua ini terjadi dari
sangkaan mereka bahawa mereka adalah golongan majoriti, oleh itu mestilah
berada di pihak yang benar, kerana merekalah yang satu-satunya berada dalam apa
yang mereka namakan arus perdana. Dalam konteks inilah mereka ini mewakili
golongan humbug yang dihuraikan
dengan jelas oleh Max Black dalam kuliahnya mengenai perkara ini, diterbitkan
dengan judul “The Prevalence of Humbug”, oleh ahli falsafah Amerika Max Black. (Max
Black, The Prevalence of Humbug and Other
Essays, Cornell University Press, 1983).
“Peganglah bara, baru tahu panas api.”
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 29/1/2015.
No comments:
Post a Comment