Dengan tertubuhnya Asas 50, maka bermulalah perbuatan membuli dalam
sastera Melayu moden. Slogan yang mereka “perjuangkan”, Sastera Untuk
Masyarakat, ditentang oleh sekumpulan penulis yang menolak slogan itu diketuai
oleh Hamzah Hussein yang menampilkan slogan Seni Untuk Seni. Dengan semangat buli
itulah Asas 50 menolak tulisan Jawi sebagai tidak berkaitan sama sekali dengan
agama Islam, dengan itu menolak tradisi ilmu beratus tahun yang diperjuangkan
oleh para ulama dan cendekiawan Melayu seluruh Nusantara. Pembohongan ini masih
lagi diterima oleh para sasterawan dan sarjana sastera hingga kini, sudah
dijadikan arus-perdana apabila pada tahun 1981 diwujudkan gelaran sasterawan
negara. Itulah kemuncak gerakan membuli kebudayaan Melayu dan kesusasteraan
Melayu moden. Semangat buli ini tertonjol dengan gagah dalam kertas kerja yang
dimuat oleh ITBM dalam bukunya, Sastera
Teras Negara Bangsa (2014), dengan judul yang sangat “puitis” dan
“filosofikal”: “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang Yang Berkarat” (hal.
203-210). Isinya? Anda perlu baca sendiri untuk menilainya, kerana kertas kerja
ini sudah menjadi “klasik” dalam kegagalan sastera Melayu moden memberi
sumbangan ilmu yang bermanfaat kepada
masyarakat. Inilah contoh buli sastera yang disalut jenaka untuk memaksa pembaca menerima pendapat dan cadangan
yang melucukan. Judul Sastera Teras
Negara Bangsa itu sendiri satu judul yang memang jelas sifat membulinya.
Apakah asas “sastera teras negara bangsa”? Dalam kertas kerja yang dirujuk di
atas, sasterawan Melayu dinasihati supaya meniru Salman Rushdie yang karyanya
“bergemerlapan” itu. Itukah terasnya?
Apakah teras tamadun Islam? Apakah pula teras tamadun Nusantara, tamadun
Melayu? Terasnya bukan sastera, tetapi
ilmu pengetahuan. Yang menjadikan sastera sebagai teras tamadun ialah agama
Hindu yang pernah dianuti oleh orang Melayu satu ketika dulu. Adakah Melayu
yang Islam masih mahu menjadikan sastera warisan Hindu itu teras tamadun
mereka? Dalam tamadun Islam, yang juga dalam tamadun Melayu yang berteraskan
nilai-nilai Islam, “sastera” adalah kegiatan pinggiran yang tidak pernah
dijadikan teras tamadun. Sastera Melayu moden masih lagi baru dan belum
menampilkan sasterawan atau karya yang benar-benar bermutu dari segi penampilan
ilmu; sastera Melayu moden itu masih lagi berada di pinggiran dan tidak mungkin
dijadikan teras tamadun bangsa dalam
keadaannya yang sekarang, yang masih keliru dan cetek meraba-raba. Sastera
Melayu moden masih lagi meraba-raba mencari identiti, setelah Asas 50 menolak
tulisan Jawi dan peranan Islam dalam pembinaan tamadun kebudayaan Melayu. Meletakkan
para sasterawan dan sarjana sastera sebagai pemacu tamadun bangsa adalah satu
kesilapan besar, satu pilihan yang paling songsang, tidak berasaskan hikmat
yang dipelajari dari pengalaman sejarah persuratan Melayu. Para sasterawan dan
sarjana inilah yang membawa masuk nilai-nilai palsu dari Barat, terutamanya,
sambil merosakkan nilai-nilai tradisi berasaskan ilmu yang telah mantap, oleh
itu mereka ini tidak langsung mempunyai kredibiliti untuk menentukan wajah
tamadun bangsa dan masyarakat kita. Sesuatu tamadun dibangunkan dengan sikap
kritis dan terbuka sedangkan kaum sasterawan dan sarjana ini tidak mempunyai
sikap terbuka dan kritis itu, malah mereka tidak dapat menerima kritikan kerana
bagi mereka kritikan adalah perbuatan biadab dan tidak beretika, kecuali jika
kritikan itu memuji dan menyanjung mereka.
Mereka adalah anggota Mutual Admiration Club, oleh itu mereka saling
memuji sesama sendiri. Contoh paling jempul ialah nasihat seorang sasterawan
negara menyuruh pengkritik sastera meniru Baha Zain, sahabatnya. Mereka sangat
jujur dan bersopan memuji sesama sendiri, tetapi tidak mengiktiraf kelebihan orang
lain yang lebih baik daripada mereka. Mereka bukan golongan yang jujur dan
cintakan ilmu serta kebenaran, maka itulah sebabnya tidak ada sebaris pun di
antara mereka menyebut peranan ilmu yang benar dalam persuratan, supaya
kelemahan mereka tidak terdedah. Siapa di antara penulis kertas kerja ini
menyebut tentang usaha gagasan Persuratan Baru mencetuskan kecerdikan di
kalangan bangsa Melayu? Bagi mereka, gagasan Persuratan Baru tidak mencapai
tingkat akademik yang membolehkannya dibicarakan secara akademik, tidak seperti
sajak “Pulang Si Tenggang” yang bernilai antarabangsa itu. Saya pasti, jika
Raja Lawak Malaysia kenal sajak ini, mereka akan jadikan bahan jenaka yang
sangat melucukan! Sudah sampai masanya kita perkenalkan mereka peranan pandirisme dalam sastera Melayu untuk
membantu mereka mendapat bahan yang baik dan bermutu sebagai bahan jenaka.
Dunia jenaka ini mesti diangkat ke tingkat intelektual yang memukau, setelah sastera
Melayu moden yang didukung oleh para sasterawan negara gagal memberikan ciri
intelektual itu. Rumi sudah berkata mengingatkan kita lama dulu, “Joking is teaching. Don’t be fooled by the
lightness/ or the vulgarity. Jokes are serious.” Tentu saja para sasterawan negara yang jauh
lebih tinggi angan-angannya tidak akan menerima Rumi sebagai gergasi puisi
mathnawi, yang menurut Annemarie Schimmel (disebut beliau di ISTAC, 1991 ketika
pembukaan rasmi) bahawa Goethe dan Shakespeare, jika dibandingkan dengan Rumi,
adalah budak-budak bermain guli saja!
Demikianlah, sekiranya Raja Lawak
Malaysia diberi peluang mengenal budaya
intelektual tinggi para sasterawan negara, mereka dapat mengalahkan para
sasterawan negara dengan mudah saja. Humor, menurut kesimpulan ahli psikologi,
adalah ciri genius. Inilah keistimewaan para sasterawan negara: tidak seorang
pun di antara mereka mempunyai kualiti humor itu, tetapi mereka adalah golongan
genius Malaysia yang paling unggul. Ternyata kita tidak boleh menerima pendapat
ahli psikologi jika merugikan kita, tetapi itulah yang pelik, Freud dan para
penyokongnya mendapat tempat yang tinggi dan istimewa di kalangan para
sasterawan negara dan para sarjana. Sekurang-kurangnya A. Samad Said mengaku dia dipengaruhi Freud
ketika menulis Salina. Tidakkah kelam-kabut jadinya, bila kita
terpaksa juga menerima pendapat ahli psikologi walaupun mereka tidak selalunya
betul. Malah dari pandangan Islam, psikologi Barat itu tidak boleh dipanggil
Ilmu Jiwa dalam bahasa Melayu, kerana jiwanya sudah hilang, diganti dengan
emosi dan hawa nafsu. Siapa lagi yang membuktikan kebenaran ini, jika bukan A.
Samad Said melalui Salina? Kata Rumi,
“Joking is teaching …”.
Percubaan untuk membuli Mohd.
Affandi Hassan nampaknya telah gagal secara total kerana idea beliau terus
hidup dan berkembang, walaupun pernah dipanggil beruk oleh seorang sasterawan
negara dalam tulisan sindirannya, pernah digelar penghuni gua batu oleh seorang
sasterawan negara yang lain yang tulisannya penuh kesantunan sarjana yang tidak
dapat dicontohi, tetapi semua gelaran itu akhirnya terkena ke atas mereka
sendiri apabila konteksnya berubah. Satu-satunya pelajaran paling baik yang
diajarkan sasterawan negara kepada saya ialah nasihat akademik Prof. Emeritus
Dr. Muhammad Haji Salleh, yang mengajar saya (tahun 1984 dulu) bagaimana hendak
menulis kritikan sastera yang baik. Begitu sekali kuat pengaruhnya, hingga saya
menyalin sepenuhnya nasihat beliau itu dalam sebuah tulisan panjang, yang
dimuat dalam buku suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir: Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori
dan Praktis (UKM, 2010). Beliau mencadangkan supaya setiap pengkritik
memulai tulisan dengan “langkah kaedah” untuk memastikan tulisannya mempunyai
kualiti yang tinggi. Walaupun saya memang menggunakan kaedah itu sebelum
dinasihati beliau, tetapi baru kali itulah saya tahu namanya “langkah kaedah”.
Terima kasih banyak di atas ingatan beliau yang ikhlas dan amat berguna kepada
saya, sehingga saya kemudiannya dapat menulis kritikan jauh lebih baik dan
lebih bermutu daripada yang beliau sendiri hasilkan. Dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa, Prof.
Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh memulai kertas kerjanya dengan “langkah
kaedah” yang indah dan penuh unsur puitis, yang tepat sekali mencerminkan
kualiti tulisan beliau. Inilah “langkah kaedah” beliau yang indah-indah itu:
“Saya agak lama tidak menjadi pentadbir atau perancang, jadi agak sulit untuk
menempatkan diri saya dalam keadaan yang demikian. Namun begitu, saya sering
menulis cadangan untuk perancang – sebahagian besarnya terselit di antara huruf
dan dakwatnya dan setahu saya ramai yang cuba mencungkilnya dan
mempertimbangkannya.” (hal. 203). “Langkah kaedah” ini indah kerana sifat humble profesor ini, yang walaupun sudah
ketinggalan maklumat dan tidak aktif lagi berfikir, masih mahu menulis untuk
menyatakan mimpi beliau di bumbung kilang berkarat. Metafora yang digunakannya
sangat cantik, dekat dengan Minden tempat tinggalnya beberapa lama, selain
duduknya USM, di situ pun banyak kilang yang bukan kepunyaan Malaysia. Itulah
suasana yang memberinya ilham untuk turut serta dalam Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia. Kita sangat beruntung kerana dapat lagi membaca tulisan beliau,
walaupun ditulis tergesa-gesa dan ringkas pula.
Tetapi apabila kita membaca tulisan beliau, kita dapati beliau seorang pembuli sastera yang agak agresif, menyuruh orang lain buat itu dan ini, turut terikut-ikut dengan sastera lisan yang dia mahu dinaikkan taraf sehingga terbina sebuah kerusi akademik khas untuknya (bukan untuk dirinya, tetapi untuk sastera lisan itulah), dan lain-lain lagi yang anda patut baca sendiri supaya anda pun nanti akan berasa terlalu dibuli dengan cadangan yang sering kali tidak boleh dijadikan asas pembinaan tamadun sama sekali, sesuai dengan tajuk Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang mahu berbicara dengan mendalam tentang tamadun Melayu moden melalui sastera sebagai teras. Yang hilang di situ ialah kesedaran kepada ilmu sebagai asas tamadun, sehingga sesiapa pun boleh membuat kesimpulan yang tepat bahawa beliau, sebagai pembuli sastera, sudah terlalu jauh ketinggalan maklumat, masih bermimpi tentang sastera lisan padahal orang sedang membina genre baru dan kaedah baru untuk meneliti, mengkaji, dan menilai karya sastera. Apakah yang menyekat beliau daripada terlibat sama dalam perbincangan berbentuk ilmu? Kesan saya, beliau tahu bahawa tidak banyak yang dapat beliau sumbangkan, oleh itu lebih baik lari saja dari persoalan yang bersifat keilmuan, terus membuli peminat sastera dengan dongeng dan sastera lisan yang memang digemari oleh anak-anak, tetapi tidak lagi digemari mereka setelah mereka mencapai umur dewasa. Saya ambil beliau sebagai contoh kegagalan ilmiah seorang ahli akademik yang begitu berpengaruh, tiba-tiba menjadi bisu dan terus kelu tidak dapat ikut serta dalam perdebatan ilmu yang amat relevan dengan tugas seorang pemikir seperti beliau. Beliau pernah mengkritik teori Barat sebagai tidak sesuai dengan karya Melayu, oleh itu tidak dapat menilai karya itu dengan tepat dan objektif. Tetapi idea yang baik ini mati begitu saja, mati beragan, tidak dibahaskan dengan mendalam sama ada oleh beliau atau penyokong beliau. Semua ini terjadi, menurut perhitungan saya, ialah akibat menolak sejarah tamadun Islam, baik yang terdapat di Malaysia, mahupun yang berselerak di seluruh dunia. Punca ilmunya di situ, dan punca itu tidak diminati langsung oleh beliau. Ketika orang mengutuk Salman Rushdie, dia menyuruh sasterawan Malaysia mencontohi penulis itu. Kalau anda masih ingat bagaimana sasterawan negara ini admire Mephistopheles ketika melawat Muzium Goethe, maka anda tentu tidak akan berasa pelik. Birds of the same feather flock together. (Birds of a feather flock together).
Saya tidak pasti sama ada “Pemimpi Bumbung Kilang Berkarat” pernah dengar nama Said Nursi. Sebagai pejuang, Said Nursi tidak mempunyai tempat tinggal tetap, oleh itu ada ketikanya kadang-kadang beliau menulis karyanya di atas pokok. Bezannya kecil saja: sementara sasterawan negara itu menelurkan idle talk ketika bermimpi di atas bumbung kilang berkarat, maka Said Nursi melahirkan masterpiecenya dalam tafsir Quran ketika sekali sekala menulis di atas pokok. Tetapi yang menarik minat saya ialah kisah Mat Jenin, pelopor mimpi penglipur lara itu, yang kurang bernasib baik terjatuh ketika berenang di atas pelepah kelapa. Tetapi Mat Jenin telah meninggalkan tradisi mimpi yang masih relevan hingga sekarang, dengan itu tidak terasa janggalnya apabila seorang sasterawan negara bermimpi di atas bumbung kilang berkarat untuk menulis kertas kerjanya.
Rumi mengingatkan, “Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness/or the vulgarity. Jokes are serious”
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27/1/2015.
tuan pendita, indahnya dunia sastera dapat melihat, merasa, mendengar gelegak wacana sehingga pedih telinga tetapi ditelan pahitnya sebagai penawar. nama tuan pendita memang gah sebagai seorang antoganis yang gemar melontar dan menikam keris kalimat ke pencak silat kata-kata. aku sebagai murid gemar melihat guru berpencak....
ReplyDelete