Sunday, January 4, 2015

SASTERAWAN NEGARA BUKAN GOLONGAN PEMIKIR DAN MEREKA TAHU



Dua kutipan daripada sasterawan negara yang tersiar dalam Dewan Sastera, Disember 2014, membuktikan tanpa ragu-ragu lagi bahawa mereka bukanlah golongan pemikir. Tepat sekali pencirian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa mereka adalah golongan pinggiran “yang cetek meraba-raba”, yang tidak dapat membezakan mana yang benar dengan yang palsu.  Mereka telah dinilai oleh golongan yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu ini. Lihat kutipan daripada syarahan pengukuhan Prof. Al-Attas yang saya kutip dalam pos bertarikh 2 November 20124, “Kesilapan Memalukan yang Perlu Dihapuskan”.  Dalam kutipan panjang itu Prof. Attas menjelaskan dan membuktikan kedudukan sebenar para sasterawan ini, dan kesimpulan beliau hingga kini belum lagi disanggah. Malah dengan amat ironis, kini diakui sendiri oleh dua orang sasterawan negara walaupun mereka tidak bermaksud begitu, tetapi tulisan mereka menjadi bukti yang jelas tentang ciri “cetek meraba-raba” yang ditegaskan oleh Prof. Attas. Mereka tidak mempunyai alasan untuk membuktikan mereka layak diberi gelaran dan kedudukan yang lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang bukan sasterawan.

Kalau mereka sendiri telah membuktikan mereka bukan golongan pemikir yang boleh dibanggakan, maka apakah yang terjadi terhadap segala pujian tinggi yang diberikan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, dan semua kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” mereka? Persoalan akademik ini perlukan penjelasan, tidak boleh didiamkan seperti orang kampung saya pernah berkata, “macam lembu kenyang”. Orang Kelantan tahu maksudnya, dan biarlah sarjana Kelantan menghuraikannya kepada yang tidak tahu. Seorang sasterawan negara, satu ketika dulu, dalam tahun 1984, ketika mengkritik saya yang menurutnya “tidak beradab dan tidak tahu apa itu sastera”, sangat marah apabila saya berkata tulisan saya itu ibarat “lagu bertabuh.” Dia dengan segala kebijaksanaan seorang sarjana yang mengaku pakar sastera rakyat yang duduk bersimpuh di hadapan penglipur lara Pak Mahmud Awang Batil dari Perlis, menuduh saya mengajaknya “bergaduh” kerana menggunakan ungkapan “lagu bertabuh”. Saya yang mahu ketawa pun tidak jadi kerana terlalu kasihankan diri saya yang dituduh bukan-bukan oleh seseorang yang tidak pernah dengar lagu bertabuh dalam wayang kulit. Sahlah beliau tidak pernah tengok wayang kulit tetapi ingin memberi pendapat yang sangat bodoh dan memalukan para dalang! Adakah para dalang mengajak penontonnya “bertabuh” dalam erti “bergaduh” seperti satu-satunya makna yang ada dalam kepala sarjana pakar penglipur lara ini? Sukarlah hidup bersastera jika anda hanya tahu makna “bertabuh”  sebagai “berkelahi” kerana itulah saja makna yang anda tahu dalam kehidupan berbudaya dan beradab anda! Terlalu bodoh untuk dianggap cerdik…

Emas lancungan lambat laun tetap akan  menyerlahkan kualiti sebenarnya sebagai emas palsu. Orang sastera berkata, tidak mengapa jadi emas palsu, masih tetap dipanggil emas. Lantak hanglah, kata orang Kedah yang selalunya kasar bila berbicara. Dan inilah yang ditunjukkan dalam dua kutipan yang saya ulas itu. Semua ini memerlukan penjelasan mendalam daripada para sarjana yang bergelar profesor  sastera dan pakar teori sastera yang meletakkan gelaran “doktor” di depan namanya. Anda pernah membaca kritikan Za’ba tentang perkara ini? Tentu anda tidak tahu kalau tidak membaca tulisan Za’ba. Cukuplah anda tahu kata-kata Jami yang dikutip oleh Prof. al-Attas dalam pidato umumnya ketika menghormati Za’ba yang dianugerah Doktor Persuratan Melayu oleh UKM dalam konvo pertama tahun  1973.  Tanpa sedikit sekali pun pengetahuan tentang sejarah intelektual Melayu, akan membuat anda berasa pelik dan tidak dapat memahami perkara remeh temeh begini dalam perkembangan intelektual kita.  Demikianlah kita selalunya berbangga tentang kejahilan kita, walaupun kita bergelar sarjana.  Dalam konteks inilah para sarjana kita memuji sasterawan negara. Saya tidak mahu ulang apa yang saya sudah bicarakan mengenai perkara ini, cukup jika anda membaca kembali beberapa pos dalam blog ini yang relevan dengan persoalan ini; misalnya tentang kegelojohan menggunakan “teori” Barat ketika memuji karya sasterawan negara Anwar Ridhwan. Boleh faham? (Ini adalah ungkapan seorang ustaz dari Johor setiap kali dia habis menjelaskan sesuatu perkara, dalam ruangan beliau di TV al-Hijrah.)  Ada tengok itu program?  Berapa orang dari sasterawan negara yang tengok program tentang halal haram ini, kerana bagi mereka tidak relevan dalam sastera dan dalam teori sastera. Hebat bukan?

Berapakah jumlah IQ sasterawan negara yang tertinggi, dan tentu saja yang terendah? Kita semua berminat hendak tahu kerana mereka sangat istimewa, satu-satunya jenis manusia yang diberi gelaran khusus setiap kali diadakan pilihan untuk diistimewakan.  Untuk makluman, saya sendiri antara yang terendah IQ-nya, ketika saya diuji dulu hanya 61 saja,  tinggi satu point daripada Andy Warhol yang menurut Gore Vidal satu-satunya genius yang paling rendah IQ-nya. Voltaire, seorang sasterawan dan pemikir Perancis, punya IQ 170, tinggi sedikit daripada Leibniz yang dikritiknya. Agaknya berapa IQ Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan Anwar Ridhwan, tiga orang sasterawan intelektual yang satu-satunya dan tidak ada yang lain selain dari mereka bertiga (menurut Panel Anugerah Sastera Negara). Bagaimana sekiranya IQ Polan Cupan lebih tinggi daripada IQ para sasterawan negara? Saya fikir tidak jadi masalah kerana kita semua sudah tahu Polan Cupan dari keturunan Pak Pandir, dan kita tahu siapa Pak Pandir. Sudah pasti IQ  Polan  Cupan lebih rendah daripada IQ Andy Warhol, dengan itu sudah pasti kemungkinan IQ para sasterawan negara lebih tinggi. Selamat! Oleh itu saya sendiri tidaklah rasa tersinggung walaupun IQ saya 61, kerana lebih satu point daripada IQ Andy Warhol. Nasib!

Kata Rumi:  Joking is teaching. Don’t be fooled by the lightness/or the vulgarity. Jokes are serious”.  Di kalangan para sasterawan negara, saya tidak bertemu humor yang cerdik, berupa wit, sedangkan humor adalah salah satu ciri seorang genius. Perhatikan kata-kata Gore Vidal ini: "A writer must always tell the truth, unless he is a journalist."  Kita kaitkan ini dengan kata-kata daripada dua sasterawan negara yang saya kutip itu.  Mereka tentulah bercakap benar, oleh itu menjadi kewajipan kita untuk mempercayai mereka. Menurut tafsiran saya, mereka mengaku sasterawan negara telah gagal dan memang dari sedia kala sebelum dilantik menjadi sasterawan negara pun mereka bukanlah pemikir dan mereka tidak membawa ilmu dalam kesusasteraan Melayu, jauh sekali menjadikan ciri tauhidik dan tiupan angin wahyu sebagai landasan karya mereka. Kalau kita terima pendapat Gore Vidal, maka benar pulalah pendapat dua orang sasterawan negara itu, dengan kesimpulannya pendapat saya mengenai para sasterawan negara ini adalah betul dan tepat. Kalau begitu, kita memang tidak perlukan sasterawan negara, oleh itu kehadiran mereka adalah satu penyelewengan budaya dalam tamadun kita. Sekarang apakah pilihan kita? Saya telah memberikan pendapat saya dalam banyak tulisan dalam blog ini, tidak perlu diulang di sini.  Cuma satu perkara: jika kita perlu bersihkan segala kekotoran dan sampah sarap lepas banjir, maka kita perlu bersihkan kesusasteraan Melayu moden daripada sebarang kekotoran yang bertentangan dengan konsep ilmu yang benar yang disuarakan oleh dua orang sasterawan negara sendiri. Perkara ini mudah diucapkan, tetapi amat sukar hendak dilaksanakan. Mengapa? Saya telah menjelaskannya tatkala menghuraikan ayat 4: 115, yang menurut ahli tafsir, buatlah apa yang mu nak buat jika itulah pilihan kamu.

Dengan itu jelas kita harus memulai gerakan baru dengan menghidupkan kembali tradisi persuratan Melayu yang diketepikan setelah penulis muda memperkenalkan idea kesusasteraan yang diambil dari Barat melalui Indonesia, sebagai jasa besar Asas 50.  Kalau dua orang sasterawan negara itu bercakap benar, nampaknya kita mendapat sokongan daripada mereka. Atau bukan itu maksud mereka? Apa pun juga pilihan  mereka, yang jelas sekarang kelangsungan projek sasterawan negara ini tidak lagi relevan, kerana bertentangan dengan cita-cita dua orang sasterawan negara sendiri. Kita harap Gore Vidal bercakap benar: "A writer must always tell the truth, unless he is a journalist." Gore Vidal


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 4/1/2015.

10 comments:

  1. Salam Tuan

    Membaca entri ini mengingatkan saya pada kata-kata Igor Fyodorovich Stravinsky, seniman Rusia yang terkenal dan ulung dalam sejarah muzik dunia kurun ke-20. Kata Stravinsky, "To listen is an effort, and just to hear is no merit. A duck hears also". Sasterawan negara atau sasterawan yang rendah darjatnya daripada itu, juga sarjana dan pengkaji sastera Melayu yang menolak idea PB tanpa terlebih dahulu berusaha memahaminya dengan sungguh-sungguh tentu tidak seperti itik-itik yang dianalogikan oleh Stravinsky bukan? Got it? Atau itik-itik itu lebih genius?

    ReplyDelete
  2. Komen ini penuh humor, diucapkan oleh seorang genius dalam bidangnya. Adakah sasterawan negara akhirnya jadi just seating ducks? Patah sayap, tak boleh terbang lagi. Nak menyelam pun takut tenggelam terus. Tapi tetap bising. Memang tabiat itik begitu. Got it?

    ReplyDelete
  3. Hanya genius kenal genius yang lain. Harap-harap makin ramai genius dalam bidang persuratan dan dalam tamadun ini. Teruskan menulis untuk yang celik, cerdik dan yang mahu cerdik.

    ReplyDelete
  4. Setuju dengan komen blogger tentang komen Anonymous kat atas. Lagi setuju dengan komen Mohd. Affandi tentang 'just seating ducks',mmg buat aku ketawa keluar air mata. Lucu bijak kata tok wan aku. Ada ke sasterawan baca blog ni? kalau ada, janganlah jadi itik, ye tak? kuek kuek kuek. mu nak jadi itik ke merak? kalu merak, nak mengigal dalam hutan saja ke?




    ReplyDelete
  5. "After scolding one's cat one looks into its face and is seized by the ugly suspicion that it understood every word. And has filed it for reference," said Sebastian Faulks in his Charlotte Gray. See?

    ReplyDelete
  6. Kucing lebh cerdik daripada sasterawan negara? Di Malaysia semua boleh jadi: Si Tenggang jadi intelektual dan saudagar; Pak Pandir pula ahli falsafah; sasterawan ada yang jadi ahli falsampah. Macam-macam ada di Malaysia. Tapi saya benar-benar terpesona dengan sarjana ciritan. Mereka begitu berpengaruh dalam dunia intelektual Melayu. Mereka tahu segala macam, tentang intertekstualiti, tentang pascakolonial. Saya hanya tahu pascabanjir yang berlonggok dengan sampah sarap dan lumpur. Agaknya, kalau kita boleh lihat, begitulah juga sampah intelektual. Kena consult sang genius Dr. Polan Cupan (baru2 ini dia dapat hadiah, penghormatan kepada keturunan Pak Pandir.) Lu fikirlah sendiri!! (Di Malaysia ini adalah ucapan seorang genius. Raja Lawak sama tarafnya dengan Pak Pandir yang bijak itu.)

    ReplyDelete
  7. Kata George Eliot: "Blessed is the man who, having nothing to say, abstains from giving us wordy evidence of the fact". Masalahnya penulis kita tak "abstain", jadi kita diasakkan dengan "verbal diarrhea". Adakah ini yang Ustaz Affandi maksudkan dengan "sarjana ciritan?".

    ReplyDelete
  8. Tepat sekali. Dan cantik pula. Aneh ya, cirit pun menjadi cantik jika kena gayanya? Patutlah Rumi suka berjenaka, dan Gore Vidal yang lucu serius itu admire Andy Warhol IQ 60?. Sayang kita tidak punya ahli psikologi yang tahu mengukur IQ, maka selamatlah para sasterawan negara. IQ saya 61 saja, tinggi sedikit daripada IQ Andy Warhol! Tapi saya bukan genius, itulah masalahnya. Boleh sesiapa tolong nasihat saya supaya tidak risau?

    ReplyDelete
  9. Sekadar mencelah. Mungkin elok kalau ditambah dua perkataan lagi (Anonymous 2.54pm):

    .....kita diasakkan dengan "verbal and written diarrhea" ...!!

    ReplyDelete
  10. Kata orang Kedah: Lantak hanglah!

    Saya setuju. Kini sedang baca kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malysia. Baru saya faham mengapa orang Kedah kata: Lantak hanglah...!!

    ReplyDelete