Ada orang tidak puas hati, mungkin juga marah, membaca posting 3/1/2015
tentang banjir dan sastera Melayu.
Katanya saya tidak bertanggungjawab, jahat dan penuh dendam kesumat yang
hitam pekat, kerana terus mengejek para sasterawan negara dan membandingkan
mereka dengan sampah sarap banjir besar 2014. Apa kaitannya membawa cerita
Voltaire dan Leibniz? Adakah kritikan seperti ini bertanggungjawab? Lu fikirlah
sendiri!
Kalau anda baca dengan “cool”
dan memasukkan unsur intelektual dalam bacaan anda, menyerlahkan kecerdikan
anda yang bertanggungjawab itu, anda tentu akan cuba memahami dua kutipan
daripada dua orang sasterawan negara yang saya kutip. Adakah mereka jujur,
secara intelektual, dan bertanggungjawab sebagai sasterawan negara dan sarjana
sastera? Ambil kutipan pertama yang antara lain berbunyi: “Bawalah kembali
sastera kepada bangsa kita, kepada ilmu, nilai dan falsafah kita - sebelum
semuanya terlambat. Supaya kita dapat kembali jadi manusia yang bertamadun.”
Pertanyaan saya: Adakah kita telah terlambat memberi gelaran sasterawan negara
kepada 12 orang sasterawan Melayu? Saya
tidak tahu siapa yang boleh jawab soalan ini, atau sama ada pertanyaan ini
perlu ditanyakan. Saya fikir perlu,
kerana kutipan yang saya turunkan itu, yang datang daripada seorang sasterawan
negara, sangat jelas memberitahu kita bahawa para sasterawan negara sendiri
sudah gagal membawa ilmu dan sebagainya ke dalam sastera Melayu moden. Adakah
saya silap tafsir? Atau, yang mungkin lebih tepat, sasterawan negara ini
hanya bermain dengan retorik teh tarik,
tidak serius dan mungkin juga tidak jujur.
Tafsiran saya tidak silap, malah andaian yang mengatakan sasterawan
negara ini bermain dengan retorik teh tarik adalah tepat. Kalau karya
sasterawan negara tidak membawa sastera kembali kepada bangsa kita dan
sebagainya itu, maka apakah yang mereka bawa? Itu sebab saya tegaskan, yang
dibawa itu ialah sampah sarap seperti kesan banjir besar 2014. Kesimpulan saya tepat, kerana sasterawan
negara ini sendiri mengakuinya. Kalau tidak betul, mengapa dia merintih begitu
rupa? Kasihan … dia tidak pun membaca
karya Mohd. Affandi Hassan yang berhempas pulas ingin membawa semua yang
dirinduinya itu ke dalam cakerawala persuratan Melayu. Tak nampak? Anda seorang
sarjana man, anda patut tahu dan
mengaku saja usaha itu telah dibuat dari segi akademik dan kreatif. Mengapa
susah sangat nak mengaku? Jadi, memang tepat kata-kata sasterawan negara ini
hanya sejenis permainan dalam retorik teh tarik saja. Sungguh sayang, jika
karya sasterawan negara tidak mempunyai ciri-ciri yang disebut oleh sasterawan
negara ini. Kalau begitu, ciri apa yang mereka bawa? Diperlukan sedikit penjelasan supaya beliau
dan pembaca tidak terus bingung tak tentu arah … Come on man!
Itu satu bab. Kita sampai ke bab kedua. Seorang sasterawan negara lain
pula berkata dengan begitu yakin dan bersungguh-sungguh: “Tanpa tauhidik dan
sentuhan angin wahyu, sesebuah karya tidak akan berfaedah untuk insan dan
makhluk di cakerawala Tuhan.” Ini lagi hebat, dan amat menakutkan. Satu
keberatan yang tak boleh didiamkan: mengapa wahyu
hanya sejenis angin? Ini bahasa sastera ya…? Boleh main-main dengan wahyu? Ada dua jenis bacaan yang boleh dikenakan di
sini: (1) semua karya para sasterawan negara terdapat unsur “tauhidik dan
sentuhan angin wahyu, kerana jika tidak ada, maka jadilah karya itu “tidak akan
berfaedah untuk insan dan makhluk di cakerawala Tuhan”. Anda tidak seram bulu
roma membacanya? Saya sudah dapat demam sejuk tak fasal-fasal kerana terkejut.
Betulkah semua karya para sasterawan negara mengandungi unsur tauhidik dan
sentuhan angin wahyu? Kalau betul, layaklah mereka digelar sasterawan negara,
dan layaklah mereka diberi kedudukan lebih tinggi daripada para ulama dan
cendekiawan Melayu yang dulu-dulu dan yang kini-kini pun. Bagus. Tahniah. Saya
silap mengkritik mereka. Minta maaf banyak-banyak kerana celupar menghentam
para sasterawan negara yang bertungkus-lumus melahirkan karya sastera berunsur
“tauhidik dan sentuhan angin wahyu.”
Maaf banyak-banyak… Apa halnya
jika ucapan itu pun tidak lebih daripada permainan retorik teh tarik juga?
Nampaknya begitulah. Saya telah membaca saya kira lebih dari 200 kertas kerja
tentang pemikiran para sasterawan negara, tetapi tidak satu pun yang menegaskan
karya para sasterawan negara ini sudah sampai ke taraf yang disebut oleh
sasterawan negara ini. Kalau begitu, macam mana pula mereka layak diberi
gelaran sasterawan negara? Lu fikirlah sendiri …
Sekarang saya sampai kepada kritikan, atau tohmahan, mengapa saya bawa
Voltaire dan Leibniz dalam perbincangan saya? Ini dua orang tokoh besar Eropah,
yang pendiriannya jauh berbeza tidak saja dalam sikap dan pemikirannya, tetapi
juga dalam cara membina tamadun yang diucapkan oleh salah seorang sasterawan
negara tadi. Itu saja yang saya mahu kata dan kalau mahu tahu lanjut bacalah
sendiri dalam buku-buku yang membicarakan aspek ini. Inilah contoh stylization of ideas yang selalu saya
sebut, tidak saja boleh dipakai dalam karya kreatif seperti yang saya tunjukkan
dalam Balai Maqamat, tetapi juga
dalam penulisan esei. Persoalan ini
telah saya bayangkan dalam satu entri terdulu, bila saya bertanya berapa
orangkah di antara sasterawan negara itu yang IQ-nya sampai ke peringkat
Voltaire? Kalau rendah pun tak mengapa, kerana Gore Vidal berkata Andy Warhol
adalah seorang genius walaupun IQ-nya 60 saja! (Vidal suka berjenaka, tetapi
beliau seorang yang serius. Kata Rumi, “Joking
is teaching. Don’t be fooled by the lightness/or the vulgarity. Jokes are
serious”). Tu dia …
Maaf dan tahniah!
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 3/1/2015
No comments:
Post a Comment