Wednesday, January 14, 2015

SIDANG KEMUNCAK PENULIS MALAYSIA YANG KAYA CADANGAN TAPI MISKIN PEMIKIRAN BERNAS …



Pendahuluan

Pelik, tetapi benar. Itulah yang terjadi kepada Sidang Kemuncak Penulis Malaysia. Sukar hendak faham mengapa Sidang ini memilih tajuk remeh-temeh untuk dibicarakan secara remeh-temeh pula. Ulang cerita lama, dalam cara yang santai serta hilang punca apa dia persoalan besar yang perlu dibicarakan. Saya memang mempunyai harapan besar Sidang ini akan memberi jawapan kepada beberapa perkara penting dalam kesusasteraan Melayu. Sungguh terkilan apabila perkara yang perlu dibicarakan tidak disentuh langsung. Walaupun kita tahu sastera Melayu dibanjiri faham pandirisme, tetapi saya tidak sangka begitu parah dan serius. Barah intelektual ini sudah sampai ke tahap empat.  Hanya dengan kembali kepada konsep ilmu yang benar sahaja kita dapat menyelamatkan  budaya ilmu dan tamadun kita daripada serangan Jahiliah moden ini yang muncul dalam gerakan pandirisme yang begitu terancang, digerakkan oleh sekumpulan ahli Mutual Admiration Club yang pernah ditolak dengan keras oleh Muhammad Haji Salleh semenjak tahun 1973 lagi.  Kita diberi amaran sekian lama oleh seorang tokoh intelektual terkenal Malaysia.  Tokoh ini memberi peringatan yang jujur kepada ITBM dalam catatan kecilnya untuk Sidang Kemuncak ini: “Berikanlah waktu secukupnya supaya penyelidikan dapat dibuat dan ideanya juga mungkin dapat mematang. Karya yang baik memerlukan waktu dan juga penyelidikan yang luas dan rumit.” (hal. 206).  Amaran awal sejak 1973  Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh tentang barah pandirisme yang dibawa oleh Mutual Admiration Club ini perlu menjadi bacaan wajib semua sasterawan dan sarjana Malaysia, termasuk oleh beliau sendiri yang mungkin telah lupa.

Apa Makna Sastera Teras Pembangunan?

Apakah persoalan  penting itu? Banyak, tetapi di sini saya akan sebut beberapa perkara yang bagi saya perlukan perhatian serius kita semua, jika kita tidak bermain-main retorik dengan sastera Melayu. Sekarang kita sudah punya 12 orang sasterawan negara. Manakah karya masterpiece kita? Saya mahu pegang sekurang-kurangnya 10 buah untuk ditayang kepada tamu yang datang ke rumah saya dan untuk saya berikan kepada anak-anak supaya mereka baca. Mana dia? Anda ada baca buku The Achieving Society?. Pernah dengar buku itu? Cuba gunakan Internet untuk mendapat maklumat. Buku ini buku lama, ada orang berpendapat sudah out of date, tak relevan lagi dengan perkembangan sekarang. Tapi ideanya masih relevan, dan sangat relevan dengan tajuk Sidang, “Sastera Teras Negara Bangsa.”  Apa maksud tajuk ini? Betulkah sastera teras tamadun bangsa?  Adakah sajak-sajak sasterawan negara dan novel mereka boleh dijadikan teras tamadun bangsa? Buku ini bincang tentang perkara ini. Lain kali bila anda buat seminar, jadikan beberapa persoalan yang dibangkitkan dalam buku ini sebagai tajuk perbincangan. Saya yakin para peserta Sidang tahu tentang buku ini, cuma barangkali mereka anggap sudah out of date dan tak relevan dalam pembangunan negara bangsa. Apa salahnya kita bincang kerana buku ini bincang tentang bagaimana sastera melalui karya novel boleh dijadikan motivasi untuk membangun negara, terutama dari segi ekonomi. Adakah tidak karya sasterawan negara yang boleh dijadikan panduan dalam pembangunan? Bolehkah sajak Si Tenggang dijadikan inspirasi pembangunan tamadun? Juga novel A. Samad Said dan Anwar Ridhwan. Kalau tidak boleh, apa guna mereka dijadikan sasterawan negara jika tidak dapat memberi sumbangan dalam pembangunan tamadun? Persoalan ini penting, dan amat wajar diberi perhatian.  Tidak dibincangkan pun, sebaliknya Prof. Mokhtar Abu Hassan membela Si Tenggang yang menurutnya berusaha dan bercita-cita menjadi orang kaya. Lihat saja entri bertarikh  6 November 2014. Pelajar sepatutnya diajar mencintai ilmu, bukan diajar untuk menjadi tamak mencari harta dan mencari nama, dengan meneladani Si Tenggang. Ini ajaran salah, bertentangan dengan nilai-nilai murni yang dijadikan prinsip dalam Falsafah Pendidikan Negara.  Satu ketika dulu ada orang menggesa supaya Salina dibawa ke bilik darjah. Cadangan begini tidak bertanggungjawab dan bodoh: mengapa anak dara kita mesti diajar menjadi Salina? Kemudian berlaku lagi satu keputusan yang tidak bertanggungjawab, apabila Naratif Ogonshoto dijadikan teks sastera. Kalau anda baca The Achieving Society, anda akan faham mengapa saya berpendapat begini.  Menjadikan kejahatan dan penipuan sebagai teladan untuk diajarkan kepada pelajar adalah perbuatan paling tidak sopan dan tidak bertanggungjawab. Naratif Ogonshoto adalah novel yang meraikan kejahatan yang dibanggakan oleh para sarjana. (Rujuk buku Dr. Mawar Shafie,  Novel Intertekstual Melayu.  Lihat juga komen saya, “Keunggulan yang Cacat”, bertarikh 28 Oktober, 2014).  Bila kita berdepan dengan persoalan seumpama ini, kita perlu jelas dalam ukuran yang kita pakai untuk menilai karya sastera kita. Apakah asasnya? Apakah prinsip yang kita jadikan ukuran? Dalam hal ini, Panel Anugerah Sastera Negara tidak dapat membantu, kerana mereka sendiri tidak tahu apakah ukuran yang mereka pakai. Menentukan ukuran dengan tepat adalah penting jika kita betul-betul mahu memperkasakan sastera, tidak hanya bercakap kosong, jenis retorik teh tarik yang dipopularkan sasterawan negara Baha Zain. Sidang Kemuncak tidak berminat langsung dalam persoalan begini, satu keputusan yang menghairankan jika kita pasti bahawa kita perlu jelas dalam persoalan ukuran ini. Kalau tidak, kita tidak dapat membezakan antara karya picisan dengan karya yang benar-benar bermutu. Belum tentu karya para sasterawan negara bermutu, sebab itu saya minta 10 buah karya masterpiece mereka. Mengapa tidak boleh dibuat pilihan itu? Mungkin tidak ada karya yang betul-betul berkualiti; kerana yang ada hanya karya yang penuh dengan pretensi intelektual, padahal lebih dekat kepada karya picisan saja. Kita banyak bercakap tentang pemikiran para sasterawan negara, oleh itu kita sudah patut dapat menentukan permintaan ini dipenuhi dengan mudah. Mana karya masterpiece para sasterawan negara ini? Pertanyaan dan permintaan ini penting jika kita benar-benar mahu perkasakan kesusasteraan Melayu; sekali gus kita juga dapat menentukan ukuran yang kita pakai, yang dibahaskan dengan jelas dan pemilihan kita tepat untuk memastikan karya yang kita pilih itu benar-benar bermutu tinggi. Tetapi di Malaysia, meminta yang terbaik tidak disukai, dan peminta dikutuk. Memang pelik jika orang mengutuk kebaikan, tetapi itulah prinsip pandirisme yang paling utama: biarkan kebaikan selalu tertutup dan ditutup. Serlahkan yang kurang baik dan kata sajalah itulah yang terbaik. Inilah urusan Panel Anugerah Sastera Negara selama lebih dari 40 tahun ini. Akhirnya kita menghadapi masalah apabila permintaan untuk mendapat karya ulung (masterpiece) daripada sasterawan negara itu ditolak bulat-bulat. Padahal mereka diperkenalkan di luar negara dengan tujuan untuk diberi Hadiah Nobel kesusasteraan. Patutlah kita ada cerita Pak Pandir dan Si Luncai serta Lebai Malang. Budaya kita begitu. Kita nampaknya tidak mempunyai perasaan malu menyodorkan kisah-kisah lucu itu. Namakan karya masterpiece itu, hanya 10 buah, bukan banyak sangat. Mustahil sasterawan negara tidak punya karya masterpiece masing-masing. Alangkah baik jika ini dapat dilakukan ketika bergelak ketawa dalam Sidang Kemuncak itu!

Tidak mengapa, kita telah terlepas peluang, dan para sasterawan negara pun sudah boleh bernafas secara normal semula. Ada lagi permintaan lain yang lebih ringan, iaitu penulisan ringkas tentang sejarah pemikiran dalam sastera Melayu. Kita telah mempunyai 12 orang sasterawan negara, dan kira-kira 250 kertas membicarakan pemikiran mereka. Sudah wajar jika kita mendapat satu kajian mendalam tentang pemikiran mereka, dan juga “pemikiran” para pengkritik sastera, serta sarjana sastera. Sudah tiba waktunya kita mempunyai sejarah intelektual dalam bidang ini. Tak mungkin tak cukup bahan. Bahan mesti cukup banyak. Adakah kerana tidak menarik atau kerana tidak ada sarjana yang sanggup melakukannya? Sayang, persoalan ini tidak dibincangkan, tidak hairanlah jika masih meraba-raba tentang persoalan pemikiran ini. Ini ada  kaitannya pula dengan satu aspek lain dalam kritikan, iaitu pembakuan ukuran.  (Lihat entri 29/9/2012 mengenai pembakuan ukuran). Tidak perlu adanya pembakuan dalam penilaian dan analisis? Sayang, kita juga telah terlepas peluang untuk berbincang dengan mendalam aspek ini. Dan ini ada kaitannya dengan satu cadangan lain yang sangat mendesak sekarang. Perlukah kita wujudkan Jabatan Falsafah dan Kritikan Sastera di universiti kita? Kita harus mendekati kritikan sastera daripada perspektif falsafah, terutama sekali apabila kita akhirnya akan memperkenalkan subjek estetika di universiti dan dalam pendidikan estetika di universiti dan  di sekolah-sekolah. Tidak relevan? Sekurang-kurangnya jika kita mempunyai jabatan itu, kita boleh latih para sarjana dalam bidang kritikan bandingan. Kita mahu perkenalkan pemikiran Eropah, India, China, Arab dan  Parsi, Islam dan lain-lain agama. Pakar ini mestilah tahu membaca dan menggunakan bahan dalam bahasa asal. Tidak relevan lagi? Nampaknya banyak yang tidak relevan dalam kegiatan akademik dalam bidang sastera ini, kerana itulah agaknya pakar-pakar kita tidak berminat membincangkannya, tetapi lebih berminat memberi cadangan supaya ahli akademik di hantar ke luar negeri untuk beri ceramah tentang sastera Melayu, atau membawa mereka dalam rombongan rasmi kerajaan untuk memperkenalkan diri dan sastera Melayu di luar negeri, dan lain-lain faedah peribadi orang berjasa yang agak mendesak.  Dari perspektif lain, inilah cadangan untuk mengekalkan Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan negara dan para pengikut mereka. Anda fikir cadangan seperti ini menunjukkan sifat nobility manusia yang mencadangkannya? Saya tidak fikir begitu, self-interest mereka terlalu ketara untuk ditutup dengan slogan “memperkasakan sastera”. Walau bagaimanapun, mereka tetap golongan yang jujur dan bercakap benar, sekiranya anda faham maksud saya. Maksudnya, mereka cakap terang-terang, betul-betul; tidak macam satu pertubuhan penulis bawa  rakan teman melawat luar negeri kerana banyak wang dengan alasan untuk memperkenalkan sastera di luar negara. Seperti lagak ahli politik, mungkin kerana “depa” close sangat dengan ahli politik yang pemurah dengan mereka.  Semua untuk sastera, ini sangat baik bagi Malaysia. Kata Gore Vidal yang suka menyindir itu:  "A writer must always tell the truth, unless he is a journalist." Bagaimana jika mereka bukan penulis dan tidak juga  wartawan?  Agaknya inilah maksud kata-kata  John Mortimer ,  “The greatest horrors of our world, from the executions in Iran to the brutalities of the IRA, are committed by people who are totally sincere.” Betul, dalam skala kecilnya, tiada siapa pun sangsi kejujuran pemimpin badan penulis!

Buku yang saya baca ini diberi judul, Sastera Teras Negara Bangsa (ITBM, 2014), kumpulan kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang diadakan di Darulaman Golf Resort, Jitra Kedah, 24-26 Oktober 2014. Apakah maksud judul ini?  Bolehkah dibaca sastera itu menjadi asas pembangunan negara bangsa? Nampaknya inilah maksud judul buku ini. Jika betul, benarkah sastera itu begitu penting sehingga mengatasi agama dan lain-lain kegiatan manusia bertamadun seperti bidang ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya? Nampaknya begitulah, memang dimaksudkan sastera adalah asas semua kegiatan manusia dalam pembinaan tamadun mereka.  Dalam kata-kata yang mudah, semua nilai manusia harus berpunca daripada karya sastera. Kalau benarlah ini maksud tajuk persidangan kemuncak yang melahirkan buku ini, maka saya yakin Mephistopheles pun akan terkejut pengsan kerana kumpulan mereka seolah-olah sudah diketepikan, padahal ada di antara sasterawan negara sangat terpesona dengan kepintaran Mephistopheles ini.  Adakah ini satu perkembangan baru? Tetapi saya lebih suka melihatnya dalam konteks yang lain, iaitu dari segi perkembangan intelektual atau perkembangan pemikiran para cendekiawan Melayu yang telah melahirkan sistem persuratan Melayu yang canggih yang telah berjaya melahirkan beratus ulama besar dan para pujangga. Kegiatan sastera sangat baru, seperti yang ditegaskan oleh Mohd. Khair Ngadiron dalam pengantarnya kepada buku ini, iaitu bermula pada 6 Ogos 1950 apabila Asas 50 ditubuhkan di Singapura.  Bagaimana satu gerakan yang sebaru itu sudah berjaya membina satu warisan besar dan berpengaruh sehingga melayakkannya dijadikan asas tamadun bangsa Melayu yang sudah kehilangan nama Tanah Melayu itu? Anda tentu tahu, kemunculan Asas 50 telah membinasakan nilai-nilai budaya bangsa Melayu yang dulunya kuat berpegang kepada nilai-nilai Islam. Asas 50 berusaha menghapuskan nilai-nilai itu yang dijelmakan dalam tulisan Jawi, dengan mengatakan tulisan Jawi tidak ada kaitannya dengan agama Islam (rujuk Warta, bil. 58 bertarikh 6 April 1954).  Inilah “warisan” yang kemudiannya melahirkan sasterawan negara dan kini pula menjadikan sasterawan negara sebagai kemuncak pembinaan tamadun Melayu yang mahu menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa. Adakah mereka masih siuman atau sudah menghadapi sejenis penyakit jiwa yang dinamakan “schizophrenia”?  Dalam buku yang disunting oleh Prof. Zawiyah Yahya, Critical Perspectives on Muhammad Haji Salleh (DBP, 2003),  kita dapat penegasan ini daripada Prof. Zawiyah Yahya: “Muhammad’s schizophrenia is also a product of historical circumstances characteristic of a country going through the transition from colonialism to nationalism.” (hal. 4).  Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri mengaku
dengan bangga pemerhatian Prof. Zawiyah ini apabila beliau berkata, “I was a  linguistic and cultural schizophrenic. English colonized me.” (hal. 20-21). Nampaknya secara kolektif inilah juga pengalaman intelektual para penulis kertas kerja dalam buku ini, apabila mereka dengan tegas meletakkan sastera sebagai teras pembinaan tamadun. Pemerhatian Prof. Zawiyah Yahya terhadap Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh boleh juga dikenakan kepada para penulis kertas kerja dalam buku ini, yang secara kolektif menderita penyakit jiwa yang dinamakan schizophrenia itu. Hasilnya tidak mencapai kualiti yang kita harapkan daripada para sarjana sastera yang kita ada, kerana semua tulisan ini tidak lebih dari longgokan pemerhatian umum yang sudah menjadi klise dalam perbincangan sastera di Malaysia.  Mereka menulis panjang-panjang membicarakan secara umum beberapa perkara yang diulang oleh orang lain dalam tulisan mereka pula, yang pada dasarnya berpusat kepada tiga soal pokok: sastera dipinggirkan; oleh itu perlu diangkat menjadi teras negara bangsa; dan penulis karya sastera diberi penghargaan tinggi dalam semua bidang pentadbiran negara, termasuk turut serta dalam rombongan rasmi kerajaan. Inilah antara persoalan yang sudah menjadi klise itu kerana terlalu kerap diulang dan dikitar semula dalam seminar atau sidang seperti ini. Mereka ini terputus dari tradisi penulisan dalam tamadun Melayu, yang memperkenalkan dan mengembangkan persuratan Melayu yang telah berjaya melahirkan ulama dan cendekiawan Melayu. Tidak seorang pun di antara penulis kertas kerja memberi perhatian kepada tradisi persuratan itu, kecuali dengan sambil lewa dan sambil lalu menyebut tentang persuratan itu dalam konteks yang longgar saja, sekadar melepas batuk di tangga. Mereka lebih berminat kepada tradisi Barat, dengan kemuncaknya untuk memenangi Hadiah Nobel. Itukah teras tamadun negara bangsa Malaysia? Dalam konteks ini, saya kira komentar pembaca blog ini tentang sarjana ciritan menarik perhatian, yang mereka sifatkan sebagai sarjana yang menghadapi masalah "verbal and written diarrhea." 

Memang itulah yang terjadi. Begitu banyak kata-kata yang dihambur dalam makalah yang biasa saja pengolahannya, mengulang cerita lama dalam tema pokok yang saya sebutkan tadi.  Antara persoalan penting yang kita mahu diberi perhatian ialah tentang ukuran yang kita gunakan dalam membuat penilaian terhadap karya sastera, sehingga membolehkan kita memilih sasterawan negara. Apakah ukuran kita? Adakah ukuran itu tepat dan objektif sehingga kita tanpa ragu dapat menentukan nilai sebenar (intrinsic value) sesebuah karya. Ini yang tidak jelas, oleh itu sering kali yang dikatakan karya bernilai itu sebenarnya sebuah karya picisan saja. Saya telah bincang perkara ini dalam banyak tulisan, jadi tidak timbul tuduhan yang mengatakan seolah-olah sengaja mencari masalah, padahal masalah itu tercokol sudah begitu lama menunggu untuk dibahaskan dengan objektif. Kita perlukan pembakuan dalam penilaian ini, yang tidak semestinya begitu rigid dan mengongkong kebebasan berkarya. Apakah yang kita nilai? Itu yang tidak jelas, seperti yang kita boleh lihat dengan jelas dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Ini pun sudah saya bincang agak mendalam dalam beberapa tulisan, khususnya dalam buku Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Jikalau masalah ukuran ini tidak beres, maka yang terjadi kita hanya berjaya memitoskan sasterawan negara, padahal mereka tidak layak diberi kedudukan yang lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan yang telah kita lahirkan dalam persuratan Melayu. Dalam buku Sidang Kemuncak ini tradisi persuratan Melayu itu tidak disentuh, seolah-olah tradisi persuratan itu tidak wujud. Apa jenis penyelidikan yang dilakukan jika tradisi sendiri yang begitu jelas terpampang di depan mata tidak dipedulikan? Seperti yang telah saya bincangkan, antara tradisi persuratan dengan gerakan sastera yang masih baru itu, terdapat perbezaan yang amat jauh. Yang pertama itu berasaskan ilmu yang benar; yang kedua itu berasaskan imaginasi yang direka-reka yang penuh pretensi intelektual, tetapi hampa dari segi pemikiran dan nilai ilmunya. Inilah yang kini hendak dijadikan teras pembangunan negara bangsa Malaysia. Tidakkah itu sangat songsang?  Kita telah lama merosakkan pelajar sekolah melalui pengajaran sastera yang selekeh, tanpa pendekatan konkrit yang matlamatnya untuk mencerdikkan pelajar dan mendorong mereka mencintai ilmu. Kegagalan ini nampaknya ditangisi oleh para penulis kertas kerja, tanpa mengira sejauh mana sastera yang dijadikan subjek itu telah mencerdikkan para pelajar dan menjadikan mereka mencintai ilmu. Bagaimana ini boleh terjadi jika karya yang disogokkan kepada mereka tidak mempunyai muatan ilmu? Kelemahan ini masih boleh dibaiki sekiranya kita mempunyai pendekatan yang mendorong ke arah pemikiran kritis dan akhirnya  mencintai ilmu. Dalam konteks ini, sejauh mana pendekatan Barat yang kita gunakan selama ini telah mencerdikkan para pelajar dan membuat mereka kenal mana yang palsu mana pula yang benar? Dua aspek ini sangat penting dalam pendidikan. Jika dua matlamat ini diabaikan seperti sekarang, maka pelajar akan menjadi bosan membaca karya sastera kerana pendekatan yang digunakan tidak menjurus kepada penilaian kritis berasaskan konsep ilmu yang benar. Dalam konteks inilah kita perlukan ukuran yang baku yang disebut tadi, yang asasnya ialah konsep ilmu yang benar. Untuk mencapai matlamat ini, cara pengajaran sastera yang ada sekarang perlu dirombak secara total, diganti dengan pendekatan yang berasaskan konsep ilmu yang benar tadi. Semua ini telah dihuraikan dan dibincangkan dengan mendalam dalam Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid  dan Gagasan Persuratan Baru. Kita telah mempunyai kaedah alternatif yang boleh digunakan bila-bila masa sahaja. Tetapi pendekatan ini tidak dibincangkan kerana hanya satu halangan, iaitu betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan negara dan para penyokong mereka. Kelab inilah yang menjadi halangan besar dalam pendidikan sastera dan dalam pemilihan karya untuk dijadikan teks. Nampaknya persidangan agung ini dikuasai sepenuhnya oleh kumpulan Mutual Admiration Club ini, seperti yang tertera dalam kertas kerja. Tiada unsur Islam kecuali sentuhan di sana sini sekadar batuk di tangga. Walaupun gagasan Persuratan Baru telah lama wujud, namun dengan angkuh dan sombong tidak seorang pun di antara penulis kertas kerja menyentuhnya, seperti kata Keris Mas dalam sebuah cerita pendek beliau,  seolah-olah mereka memandang anjing yang memang orang Melayu berasa geli geman!  Perbuatan itu tidak mencerminkan adanya sifat objektif dalam penelitian para penulis kertas kerja ini, padahal mereka bercakap tentang sastera sebagai teras negara bangsa. Hanya karya mereka dan angan-angan mereka saja yang layak dijadikan teras, tidak misalnya pemikiran Prof.  Syed Muhammad Naquib al-Attas tentang konsep adab dalam kebudayaan Melayu dan peranan ilmu yang benar dalam tamadun Melayu. Yang rugi dan nampak jahat bukan yang ditinggalkan, tetapi perbuatan mereka sendiri yang begitu jelas menunjukkan kualiti sebenar ilmu mereka dan kejujuran mereka. Sungguh sayang, dengan tidak mempedulikan pemikiran orang lain yang lebih berkualiti, akhirnya yang ditunjukkan ialah kerendahan harga diri dan maruah mereka sendiri yang jelas sikap anti-ilmunya. Jika beginilah sikap mereka, maka di manakah autoriti mereka untuk berbicara tentang teras pembangunan bangsa? Sekarang saya lebih mengerti mengapa orang Kedah melepaskan geramnya dengan berkata, Lantak hanglah!

Jika pengkhianatan budaya seperti ini diteruskan,  kesusasteraan Melayu akan terus mundur, dan yang diberi keutamaan ialah karya picisan yang kaya dengan aspek pandirisme dalam kesusasteraan. Yang menariknya, karya picisan itu ditulis sendiri oleh sasterawan negara. Sila baca entri 28/10/2014, “Keunggulan yang Cacat.”  Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini penting dan tidak boleh dijadikan sejenis sandiwara lawak murahan saja mengikut acuan Mutual Admiration Club, bukan suatu pertemuan yang bersifat keilmuan sekiranya  mereka dengan sengaja mengetepikan peranan persuratan dalam pembinaan tamadun dan kebudayaan Melayu.  Untuk maju,  ahli akademik perlu  berlaku jujur dalam bab ilmu, kerana ilmu adalah amanah dan oleh itu tidak boleh dikhianati hanya kerana ingin membela Mutual Admiration Club para sasterawan negara.  Tentulah tidak jujur apabila hanya kumpulan Mutual Admiration Club saja yang diberi perhatian, padahal Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri mengutuk Mutual Admiration Club sejak tahun 1973 lagi, dalam kertas kerjanya untuk Seminar Kritik Sastera 1973 di Johor Baru.  Peringatan ini penting kerana sekejap lagi saya akan ulas kertas kerja beliau. Saya tidak pasti sama ada tokoh ini sudah berubah sikap, tidak lagi mengkritik Mutual Admiration Club, tetapi menjadi penyokong dan promoternya pula setelah beliau diangkat menjadi sasterawan negara.  Kita akan baca dan komen kertas kerja beliau nanti. Sebelum itu saya ingin menyebut beberapa perkara penting yang tidak diberi perhatian dalam Sidang Kemuncak ini.

SKPM Manifestasi Faham Liberal?

Sidang Kemuncak Penulis Malaysia adalah manifestasi faham liberal dalam kebudayaan Melayu moden, yang pada dasarnya menolak konsep ilmu yang benar dan sekali gus menolak  peranan Islam dalam pembinaan tamadun Malaysia.  Sikap ini dapat kita lihat dalam keengganan mereka kembali kepada persuratan Melayu, dengan menerima secara membuta tuli, tanpa sebarang hujah ilmiah, apabila mereka menerima bulat-bulat konsep sastera yang diperkenalkan oleh Asas 50. Jika kita masih percaya kepada sejarah, dan  masih dapat memahami dokumen sejarah, kita akan menerima hakikat bahawa Asas 50 menolak secara total peranan Islam dalam pembentukan kebudayaan moden. Kiblat mereka bukan Makkah, tetapi di tempat lain. Bukan Moskow, tetapi Eropah, sesuai dengan keserasian mereka dengan intelektual Indonesia yang menerima faham westernisasi sebagai jawapan kepada kemajuan Indonesia moden. Asas 50 dengan berani dan agak angkuh, berasaskan kejahilan mereka terhadap kebudayaan Melayu, menjerkah orang Melayu  bahawa tulisan Jawi tidak kena mengena dengan ajaran Islam. Mereka mungkin tidak tahu, bahawa bahasa Melayu dikembangkan oleh para ulama, bukan oleh para sasterawan. Hingga kini pun bahasa Melayu yang baik dan bermutu tinggi  masih lagi dikembangkan oleh para penulis dan cendekiawan Melayu yang berpegang kepada hakikat sejarah bahawa kebudayaan Melayu itu asasnya Islam. Apabila bahasa Melayu jatuh ke tangan para sasterawan, maka keindahan  bahasa Melayu tidak lagi pada idea yang dikandungnya, tetapi berada dalam permainan bahasa yang berasaskan retorik, bukan ilmu. Retorik itulah yang mereka jadikan asas apa yang mereka gelar “keindahan  estetik dan kehalusan bahasa” dalam karya sastera. Kerana itulah maka para sarjana sastera boleh menerima bahasa kontot dan cetek yang digunakan oleh para sasterawan ini sebagai mencerminkan “keindahan” bahasa, seperti yang terdapat dalam novel-novel Melayu, khususnya karya para sasterawan negara. Anda tidak perlu berasa aneh apabila golongan ini menerima bahasa Melayu rendah dalam Ranjau Sepanjang Jalan, Salina, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, sekadar memberi contoh yang mudah didapati, sebagai bahasa Melayu yang menggambarkan pemikiran unggul yang sarat dengan isian ilmu, seperti yang kita dapati dalam karya persuratan Melayu. Sikap ini menjadi dasar yang diperjuangkan dengan gigih dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, apabila mereka memberi judul kumpulan kertas kerja itu Sastera Teras Negara Bangsa. Ini bukan suara kebudayaan Melayu yang  bercirikan nilai-nilai Islam dalam persuratan Melayu. Ini adalah suara Asas 50 yang diberi wajah baru oleh para sasterawan dan sarjana sastera. Anda mungkin tidak sedar bahawa gelaran sasterawan negara itu adalah gambaran yang diberikan  oleh suku-sakat Asas 50 yang menolak unsur Islam dan yang tidak menerima persuratan sebagai wadah kreatif dan ilmiah. Semua hujah yang dibentangkan di sini tergambar dalam tulisan ideolog kumpulan  ini, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Saya sengaja tidak mahu membincangkan kertas doktor ini  untuk memberi peluang kepada anda membaca tulisan beliau, dengan itu anda mempunyai ruang yang luas untuk menolak atau menerima kesimpulan saya. Sikap ini lebih akademik dan lebih menghormati ilmu. Anda dengan itu bebas untuk menyerlahkan pemikiran anda yang mendalam tentang persoalan ini, atau hanya bergantung pada emosi dan sentimen cetek setelah dikuasai oleh faham Asas 50 yang mempesonakan anda. Silakan pilih mana satu antara dua pendirian ini yang anda mahu. Saya hanya mahu mendengar hujah akademik anda, suatu permintaan yang saya fikir sangat munasabah dan adil. Anda telah menerima karya para sasterawan negara sebagai karya terbaik, yang layak diberi Hadiah Nobel, dan wajar dijadikan asas pembinaan tamadun Malaysia, maka dengan itu adalah wajar pula anda memberikan hujah anda dengan menggunakan mana-mana teori sastera yang anda suka, sekiranya anda menolak gagasan Persuratan Baru. Sekiranya anda menerimanya, maka anda dipersilakan menggunakan gagasan Persuratan Baru untuk menilai dengan kritis karya para sasterawan negara ini, menggunakan mod bacaan intelektual, bukan lagi mod bacaan cerita. Sekiranya anda rasa tidak perlu ada kategori ini, anda boleh saja menolaknya, tetapi anda perlu mengemukakan hujah anda supaya pembaca dapat memahami prinsip yang anda gunakan untuk menerima atau menolak sesuatu pemikiran. Semua ini tidak asing dalam dunia akademik, oleh itu mudah saja dilakukan.
Permintaan untuk mendapatkan 10 buah masterpiece para sasterawan negara tidak sukar dilakukan, anda bebas menggunakan mana-mana teori sastera dan apa juga ukuran yang anda fikir tepat untuk menilai karya itu dan melayakkannya ditempatkan sebagai karya masterpiece yang setanding dengan karya dunia. Tentu ada ukuran yang universal yang boleh anda gunakan, sesuai dengan pendirian liberal yang anda pegang, untuk menjadi panduan dan ukuran dalam analisis dan penilaian anda.  Sekiranya tidak ada sebuah pun karya sasterawan negara ini sampai ke paras masterpiece itu, maka nilai siapakah yang anda gunakan untuk menjadikan sastera sebagai teras negara bangsa? Dalam persoalan ini, permainan retorik teh tarik tidak boleh dipakai. Kita perlu kembali kepada peranan ilmu dalam pembangunan negara bangsa dan pembinaan tamadunnya. Ini bukan kerja main-main yang boleh dihulur-hulur seperti pengail cuba memancing ikan besar di pesisir pantai yang cetek.  Orang sastera tentu faham maksud saya.

Retorik Mimpi Sastera di Atas Bumbung Berkarat

Dalam konteks inilah saya sekarang mahu membaca makalah sasterawan negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. Tajuk kertas kerja profesor ini cukup menarik dan penuh dengan unsur puisi yang asli: “Mimpi Sastera di Atas Bumbung Kilang yang Berkarat”.  Tajuk ini original kerana inilah kali pertama orang bermimpi di atas bumbung, lebih-lebih lagi di atas bumbung kilang yang berkarat pula. Saya cuba bayangkan bagaimana rupa kilang yang berkarat itu, yang pastilah sebuah kilang yang sudah lama ditinggalkan. Kalau begitu, apakah yang menarik seorang pensajak untuk naik ke bumbungnya dan bermimpi di atas bumbungnya? Bukan senang hendak memahami  bahasa pensajak, apatah lagi bagi seorang pembaca yang IQ nya hanya 61 sahaja, lebih 1 mata daripada IQ Andy Warhol.  Tetapi saya yakin saya bisa faham kertas kerja profesor ini, cuma tidak boleh tentukan dalam atau  ceteknya: seperti kita mengharung air laut, kalau di tempat cetek lepas buku lali, jauh sedikit sampai ke paras paha, atau paras dada, atau terus tenggelam jika disapu ombak. Jadi saya akan berjalan tidak lebih dari buku lali saja, sudah cukup untuk menikmati air laut yang cetek separas buku lali.

Prof. Muhammad memulai tulisannya dengan amat puitis: “Saya agak lama tidak menjadi pentadbir atau perancang, jadi agak sulit untuk menempatkan diri saya dalam keadaan yang demikian. Namun begitu, saya sering menulis cadangan untuk perancang – sebahagian besarnya terselit di antara huruf dan dakwatnya dan setahu saya ramai yang cuba mencungkilnya dan mempertimbangkannya.” Itulah pendahuluannya, yang cukup puitis, sesuai dengan ketokohan penulisnya sebagai pensajak terbaik Malaysia.  Penggunaan perkataan “cungkil” tepat sekali menunjukkan kualiti cadangan yang dikemukakannya, ibarat sisa makanan yang lekat di celah gigi yang hanya dapat dikeluarkan dengan mencungkilnya dengan kayu cungkil. Kita boleh merasakan unsur penglipur lara di dalam pendahuluan ini, (yang kita orang Kelantan panggil “lagu bertabuh”) kesan pengaruh Pak Mahmud Wahid Awang Batil dari Perlis, penglipur lara yang menjadi guru profesor ini yang diabadikannya dalam syarahan perdananya. Seterusnya beliau berkata lagi:  “Usia membentangkan pertimbangan dan pengalaman – dan saya juga ingin membawa pengalaman dan manfaat sastera yang saya dapatkan dari luar negara untuk sastera kita bersama ini. Usia membenarkan mimpi-mimpi ini menari kembali kerana inilah tempat pengungsian  idea-idea yang tidak diendahkan. Ruang berwarna-warni dan fantastik ini sekarang melebar di depan saya serta membenarkan saya bermimpi bagi pihak sastera Malaysia, untuk sekarang dan masa depan. Mimpi seorang pensyair buat sastera negaranya.” Hasil dari luar negara itu ialah terciptanya “Pulang Si Tenggang”, yang menurut para sarjana adalah sajak teragung dalam sastera Malaysia. Saya pernah cabar kesimpulan ini, dengan menyodorkan sajak “Al-Andalus”,  tetapi kerana sajak saya terlalu cetek, berbicara tentang perjuangan Islam, tentang para ulama Andalus yang mengajar Eropah menjadi cerdik, maka tidak ada yang berminat. Jangan-jangan mereka tidak kenal gergasi ilmu ini, anggap mereka itu jenis jin yang terdapat  dalam Hikayat Seribu Satu Malam! Bagi mereka Si Tenggang adalah lebih hebat dan lebih cerdik daripada Ibn Rush, Ibn Tufayl, Ibn Hazm, Ibn Bajjah yang mengajar Galileo yang bakal lahir. Apakah yang dimimpikan oleh sasterawan negara ini, mimpi untuk sastera Malaysia? Inilah yang membuat kertas kerja beliau cukup menarik. Beliau mengajak sasterawan Melayu bereksperimen (macam nasihat Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau salah seorang anggotanya) seperti yang dilakukan Salman Rushdie dan Orhan Pamuk yang katanya “hasilnya cukup menarik dan bergemerlapan”. (hal. 204). Beliau juga meminta penulis Malaysia mempelajari naratif orang asal seperti daripada khazanah “bahasa Temiar hinggalah Mahmeri dan Semang serta Temuan”, sambil menyeru agak panik, “Bertindaklah sebelum terlambat”, yang serta-merta mengingatkan saya amaran anggota bomba kepada keluarga saya di Kelantan supaya segera berpindah sebelum terlambat hingga  ditenggelami banjir besar baru-baru ini.  Seterusnya beliau menyeru lagi, “saya dengan penuh kejujuran ingin melihat pengarang kita mengenali sastera lisan dan lama negara China, Jepun, Korea, Vietnam, Thailand, dan Indonesia, di samping Turki  dan Parsi supaya kita juga dapat belajar daripadanya.”  Saya setuju, kerana mungkin mereka juga mempunyai wayang kulit dan memulai pertunjukan dengan “lagu bertabuh” mereka sendiri. Adakah sama dengan lagu bertabuh Kelantan? Seterusnya beliau memberi nasihat, “Minumlah daripada laut-laut lain kebijaksanaan dan kemahiran naratif. Laut-laut itu sangat besar dan berbagai-bagai – di dalamnya ada lebih sejuta karya bertulis saja.”  Saya fikir sasterawan negara ini belum lagi merasa masinnya air laut, yang tidak tertelan kecuali jika anda lemas, tidak ada pilihan. Saya yang jahil tentang sastera dapat merasakan “perbandingan” (betulkah, atau metafora atau kiasan iseng-iseng?) yang dibuat olehnya itu terlalu janggal, tidak menyatakan sesuatu yang hebat yang boleh dicontohi. Za’ba mengajar saya supaya tidak membuat kiasan melampau seperti ini, tidak ada faedahnya. Mungkin inilah maksud eksperimen yang beliau saran itu! Dalam eksperimen anda boleh buat apa saja, kalau berbetulan, jadi. Jika tidak, sia-sia. Tetapi dalam ilmu sains, eksperimen dilakukan oleh ahli sains yang mahir, yang tahu ilmu itu secara mendalam. Hanya dalam sastera eksperimen itu dilakukan oleh penulis yang saja-saja ingin mencuba kot-kotlah menjadi!! Kerana saya bukan guru, tetapi seorang birokrat yang tidak boleh membazir usaha, maka saya tidak pernah memberi nasihat seumpama ini. Kerana itulah karya saya sendiri jadi macam dalam sajak “Al-Andalus” itu, tidak ada unsur penglipur lara di dalamnya, hanya fakta bulat-bulat yang tidak menarik langsung jika dibandingkan dengan cerita Si Tenggang. Apakah yang anda boleh belajar daripada dua buah sajak ini? Setelah memberi nasihat supaya sasterawan Melayu minum air laut yang masin itu, maka berkatalah sasterawan negara ini seterusnya: “Baik kita berhadapan dengan wajah sastera kita. Pencapaian moden kita juga masih sederhana, dan masih perlu ditingkatkan lagi. Kita harus belajar bereksperimen. Kita boleh belajar tentang teknik, gaya, suara, dan sudut naratif, watak, plot, cara menangani waktu dalam penceritaan, dan ratusan hal lain daripada mereka ini. Ini genius dunia, kita berhak mempelajari daripadanya dan mendapat manfaat.”  Saya terkejut bila membaca ini, kerana peniruan begini tidak sekali-sekali boleh melonjakkan seseorang penulis untuk bereksperimen. Semua yang dicadangkan oleh sasterawan negara ini adalah barang klise, yang memuntahkan para penulis Barat sendiri. Mereka sudah tinggalkan ini semua, dan sedang tergila-gila dan berebut-rebut mencipta benda-benda baru. Mereka sudah lama berbicara tentang “new narrative”, atau “sastera yang non-narrative”. Sayangnya perkara ini tidak ditulis dalam buku kritikan sastera, tetapi terdapat di tempat lain. Maka itulah sarjana sastera kita kelam-kabut dan membuat kita berasa kasihan kerana masih bergayut kepada barang klise. Anda tidak rasa malu? Inilah sedikit “pencerahan” untuk anda fikirkan, mana tahu anda boleh mendekati gagasan Persuratan Baru dengan lebih matang dan objektif. Saya petik kutipan penting ini untuk sekadar memberitahu anda betapa jauhnya kita, sarjana kita, ketinggalan zaman dan ketinggalan maklumat.

“For  understandable reasons, we like to talk about artistic innovations in terms of the way that they break the rules, open up new doors in the adjacent possible that lesser minds never even see. But genius requires genres. Flaubert and Joyce needed the genre of bildungsroman to contort and undermine in Sentimental  Education and A Portrait of the Artist as a Young Man.  Dylan needed the conventions of artistic folk to electrify the world with Highway 61 Revisited. Genres supply a set of implisit rules that have enough coherence that traditionalists can safely play inside them, and more adventurous artists can confound our expectations by playing with them. Genres are the platforms and paradigms of the creative world.  They are almost never willed into existence by a single pioneering work. Instead, they fade into view, through a complicated set  of shared signals passed between artists, each contributing different elements to the mix. The murder mystery has been coherent as a novelistic genre for a hundred years, but when you actually chart its pedigree, it gets difficult to point to a single donor: it’s a little Poe, a little Dickens, a little Wilkie Collins, not to mention  the dozens of contemporaries who didn’t make the canon, but who nonetheless played a role in stabilizing the conventions of the genre. The same is true of cubism, the sitcom, romantic poetry, jazz, magical realism, cinema verite, adventure novels, reality TV, and just about any artistic genre or mode that has ever mattered.” (hal. 191, Steven Johnson, Where Good Ideas Come From: The Natural History of Innovation (New York: Riverhead Books, 2010).

Membaca keratan ini mengingatkan saya kepada seorang profesor sastera, yang mengejek espen dan karya persuratan sebagai satu genre baru in the making. Anda pernah dengar lagu Bob Dylan, “blowing’ in the wind”? Saya suka dua ayat dari liriknya: “Yes, how many times can a man turn his head/ Pretending he just doesn’t see?” … diikuti chorus: “The answer my friend is blowin’ in the wind/ The answer is blowin’ in the wind.” Apa juga yang lahir daripada seorang genius memang menyeronokkan dan menginsafkan! Dengarlah lagu itu sepenuhnya.  Adakah Ramli Shariff sudah menyanyikan lagu anti-perang ini? Saya suka yang dinyanyikan oleh Joan Baez dan John Denver. Try, you will like it. Demikian juga gagasan Persuratan Baru, my friend!

Sesiapa yang sukakan lagu bertabuh, akan menyenangi muzik jenis Bob Dylan ini.

Apakah yang ingin disampaikan  oleh Muhammad Haji Salleh, just blowing in the wind? Memang kecenderungan beliau, sebagai sarjana dan pensajak, ialah menonjolkan dirinya sebagai serba tahu dan serba  bijak; dan yang lebih penting serba jujur, serba beradab.  Sifat egonya terlalu besar dan mengawan (bukan bermaksud ‘mating’, tapi naik di awan; seperti lagu “Muda di Awan” dalam tarian saba, yang biasanya mengiringi lagu “Awang Kasim Gila.”) terlalu tinggi, melebihi kemampuan intelektualnya untuk berlaku adil dari segi akademik sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang ahli akademik senior yang amat dihormati. Perhatikan kata-kata beliau ini: “Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah – sebahagiannya dipatahkan orang gasang dan tidak berbudi sastera, yang menulis dengan kata-kata racun dan kebencian, tanpa etika dan maruah diri atau hormat terhadap penulis lain. Saya menginginkan suatu kritikan yang dipupuk kembali menjadi bidang yang bermoral, beretika, bertanggungjawab, dan juga membantu penulis berkembang. Penulis juga harus belajar menerima kritikan dan belajar daripadanya. Kembalilah mencari contoh daripada Goenawan Mohamad dan Baha Zain.”  Itukah standard profesor ini? Tepat sekali dengan kelakuan  anehnya mencari ilham di atas bumbung berkarat!  Tidak sia-dia dia mengaku dirinya seorang yang “schizophrenic.” Kamus Inggeris- Melayu Dewan gagal memberi terjemahan Melayu; hanya cukup dengan berkata sejenis penyakit mental! Tanpa sebarang penjelasan. Agak aneh, kerana orang Melayu pun ramai yang terkena penyakit mental jenis ini. Siapa boleh membantu DBP mencarikan istilah Melayu untuk schizophrenia? Saya pernah guna satu istilah Melayu, tetapi ramai yang membantah kerana kata mereka orang ini bukan sasau, hanya ingat lupa dan kerap mengubah pendirian. Kalau sasau tidak tepat, mesti ada istilah lain. Perbincangan tentang kepalsuan retorik teh tarik Baha Zain dan kepalsuan pretensi intelektual Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh boleh dibaca dalam entri bertarikh 5 November 2014.  Inilah contoh pandirisme dalam Mutual Admiration Club yang kini menjadi arus perdana dalam sastera Melayu moden.

Bolehkah Kritikan Sastera Diasaskan Pada Mimpi di Atas Bumbung Berkarat?

Sebagai seorang sarjana sastera yang dihormati dan disanjung oleh teman-temannya, yang kini bergelar Prof. Emeritus, pendapat beliau ini sangat tidak bertanggungjawab, berniat jahat dan memberi gambaran yang salah dengan maksud menghina para pengkritik sastera. Beliau mengaku beliau sudah ketinggalan jauh, dan kini hidup dalam mimpi yang dialaminya di atas bumbung kilang yang berkarat. Adakah ini membolehkan beliau menghina  pengkritik sastera?  Saya tidak ada masalah dengan manusia angkuh yang merasakan dirinya terlalu mulia dan tinggi darjatnya. Itu cara dia membawa dirinya, tiada masalah dengan saya. Tetapi apabila seorang profesor yang dihormati membuat tuduhan melulu, maka kita semua perlu memberi perhatian serius. Kita tidak mahu dalam kesusasteraan kita, khususnya bidang kritikan, ada sarjana bermaharajalela mencela orang yang tidak dinamakan atas nama kritikan. Perbuatan seperti itu hanya mencerminkan kerendahan moral dan tiadanya harga diri, seorang yang bacul dan tidak bertanggungjawab. Itu pun saya masih boleh terima, tetapi beliau mestilah membuktikannya dengan hujah dan analisis. Tidak boleh menuduh melulu tanpa sebarang penjelasan. Dengan munculnya gagasan Persuratan Baru misalnya, kritikan sastera sekarang menjadi lebih teratur dan  lebih mementingkan ilmu. Gagasan Persuratan Baru telah membuktikan kekuatannya sebagai satu teori sastera dengan adanya satu korpus yang agak besar yang boleh digunakan untuk menulis tentangnya dengan selesa, sama ada untuk menjelaskannya lagi, atau mengkritiknya sehabis kritis. Bahannya tersedia, tidak sukar didapati. PB telah membuktikan keupayaannya dalam bidang kritikan untuk memberi kaedah baru yang boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya kreatif, di samping menyediakan saranan yang jelas tentang penulisan kreatif yang bermutu. Tentu saja ada orang yang tidak bersetuju, yang memang bagus dan tidak wajar disekat. Tetapi tidak demikian halnya dengan sasterawan negara, yang tidak boleh disentuh secara kritis, hanya boleh dipuji dan disanjung. Dari segi perkembangan ilmu, sikap dan perbuatan begitu mesti ditolak kerana sangat biadab. Oleh itu tidak timbul pengkritik biadab,  sebaliknya para sasterawan negara itulah yang lemah semangat kerana mereka sebenarnya bukan berhemah tinggi, tetapi terlalu bergantung pada pujian dan sanjungan. Semua ini terjadi kerana mereka tahu karya mereka tidak bermutu, tetapi dimasyhurkan sebagai bermutu. Kalau saya membuktikannya begitu, bukanlah kerana saya tidak hormat sasterawan negara. Saya lebih hormatkan ilmu, yang memberitahu saya karya yang dikatakan bermutu itu sebenarnya tidak, hanya satu ilusi saja, bukan sebenarnya. Lalu saya buktikan dengan hujah yang konkrit.  Sebagai pembaca yang kritis, anda berkewajipan untuk menolak hujah itu dan membuktikan penilaian saya salah, sebaliknya satu ilusi saja. Anda juga boleh menilai karya kreatif saya, membandingkannya dengan karya para sasterawan negara, lantas membuat kesimpulan karya mereka jauh lebih bermutu. Adakah saya akan berdiam diri? Tidak. Saya akan terus menulis karya kreatif kerana kekuatan saya sebagai seorang pemikir ada di situ. Saya fikir pendirian begini tidak merugikan sastera dan tidak juga merugikan saya, oleh itu perlu diteruskan. Mengapa sasterawan negara tidak boleh bersikap seperti itu juga?

Apa Makna Gasang dalam Kritikan Sastera?

Kalau saya kata kata-kata ini sejenis tuduhan biadab dan mengarut, adakah saya menggunakan kata-kata beracun dan kebencian, tanpa etika dan sebagainya? Ambil saja perkataan “gasang”.  Pastilah profesor ini tidak tahu makna gasang, oleh itu wajiblah saya beritahu unsur jenakanya supaya dapat dinikmati oleh pembaca. Kamus Dewan (salah seorang penyusun kamus ini ialah Baha Zain) memberikan tiga makna: (1) sangat suka bersetubuh, sangat bernafsu; (2) (loghat Kelantan) kasar (kelakuan), bengis; (3) (loghat Perak) memakai barang dengan tidak cermat.  Lihat pula kamus Winstedt, An Unabridged Malay-English Dictionary (1957): “gasang” (bahasa Indonesia), lascivious, lustful.  Mana satu yang tuan profesor ini maksudkan? Mungkin ketiga-tiganya, ertinya pengkritik sastera kuat nafsu mahu bersetubuh saja bila menulis kritikan; kelakuannya ketika bersetubuh (alias mengkritik) adalah kasar; dan tidak tahu menggunakan kondom atau tidak gunakan gel ketika diperlukan! Kita tidak perlukan Raja Lawak lagi, atau Astro jemput profesor ini menjadi pengadil pertandingan Raja Lawak. Saya berminat hendak komen perkataan gasang itu. Dalam loghat Kelantan, most of the times, perkataan ini merujuk kepada kerja yang selekeh, tidak kemas, tidak cermat, kasar buatannya jika dia menjahit misalnya atau memotong sayur, dan seumpamanya. Boleh juga kita pakai untuk menulis: tulisanmu ni gasang, selekeh sangat, nak cepat ke apa? Sasterawan negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh ada menegur ITBM yang tidak memberinya masa yang cukup untuk menulis, itulah sebabnya tulisannya pendek dan kontot, berserabut dengan saranan yang tidak tersusun dan tidak dihujahkan kerana tak cukup masa. Pendeknya, kerja gasang, tidak akademik, dan selekeh sangat … kerana tak cukup masa, bukan kerana tak cukup ilmu dan tidak cukup maklumat. Begitu …!  Sekarang timbul soal moral dan maruah diri. Jika anda sudah tahu tidak cukup masa, mengapa anda menulis juga dan hasilnya sangat rendah kualitinya malah tidak ada kualiti, hanya sekadar omongan saja. Tetapi ada satu perkara yang penting, yang kita tidak boleh biarkan begitu saja. Profesor ini mengaku dia menyampaikan mimpinya, dan judulnya sendiri mengenai mimpi. Adakah seorang profesor tidak rasa bertanggungjawab tampil dalam satu majlis ilmu membawa nota mengenai mimpinya yang tidak lengkap dan selekeh? Tepat sekali sindiran pantun Melayu yang diucapkan dalam pantun kanak-kanak: mengata dulang/paku serpih … Sebagai seorang pakar pantun yang mencadangkan supaya diadakan muzium pantun, Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh tentu tahu makna pantun yang difahami dengan mudah oleh kanak-kanak ini! 

Satu lagi, kali ini aspek sejarah: beliau yang tidak pernah tengok wayang kulit, tidak tahu makna “lagu bertabuh”, yang dianggapnya “lagu bergaduh”. Kini gasang pula menjadikannya bahan ketawa orang yang tahu betapa dalam ilmu sastera dan ilmu penglipur laranya!

Kata Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika memberi credit (dengan maksud hutang, bukan pujian) kepada pengkritik sastera Malaysia: “Kritikan ialah satu sayap sastera yang sudah patah …” (dst.nya). Adakah ini tohmahan tidak bertanggungjawab atau satu kesimpulan akademik yang cermat selepas membuat kajian yang teliti?  Sesuai dengan kedudukannya sebagai seorang ahli akademik yang amat dihormati, saya lebih suka menerima ini sebagai satu kesimpulan akademik yang teliti dan cukup berwibawa. Tetapi tentu saja saya tidak termasuk ke dalam kumpulan ini, kumpulan yang mematahkan sayap kritikan sastera. Malah saya memberi sayap yang lebih kuat kepada kritikan sastera Malaysia dengan mengemukakan satu alternatif yang canggih yang boleh dipakai hatta untuk mengkritik semua teori Barat sekali pun. Itulah gagasan Persuratan Baru. Bukunya sudah masuk edisi kedua, Gagasan Persuratan Baru (UKM, 2014;  edisi pertama 2010). Ditulis bersama dengan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir (yang memberi kata pengantar) dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani. Sebelum itu, saya menulis novel yang tebal sebagai manifesto penulis yang unggul, Pujangga Melayu. Dalam novel itu saya memberi definisi apa dia kesusasteraan, apa dia keindahan bahasa, apakah asas kritikan dan penulisan kreatif. Pendeknya sebuah novel yang satu-satunya membicarakan dengan mendalam soal ilmu dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera. Tidak mungkin karya seserius itu boleh mematahkan sayap kritikan, ditulis oleh seorang penulis yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab. Kalau anda berkata saya mungkin masuk ke dalam kumpulan sasterawan “yang cetek meraba-raba” saya masih boleh terima dengan senang hati, dan memberitahu pengkritik saya, baca dulu karya saya, yang akademik mahu pun yang kreatif, sebelum anda suka-suka mahu masukkan saya ke dalam kumpulan anda “yang cetek meraba-raba” itu. Sebagai seorang yang bertanggungjawab, saya suka mencadangkan kepada sesiapa saja para sarjana kita menggunakan kerangka analisis dan penilaian sastera yang dicadangkan dalam gagasan Persuratan Baru itu digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara. Dengan itu anda diberi ruang yang luas untuk menolak Persuratan Baru, setelah anda gunakan untuk menilai karya para sasterawan negara dan didapati tidak relevan. Saya tidak keberatan, jika betul PB memberi penilaian yang salah, untuk mencampakkan saja PB ke dalam Laut China Selatan; dan membiarkan para sasterawan negara terus bermaharajalela mencengkam perkembangan kreatif di Malaysia. Bagaimana jika sebaliknya? Saya suruh anda terus saja simpan karya sasterawan negara yang picisan dalam perpustakaan, tidak membuangnya ke Laut China Selatan. Kita perlukan bukti dalam penulisan  sejarah kritikan sastera nanti bagaimana novel sasterawan negara adalah novel picisan jika dianalisis dan dinilai dari perspektif Persuratan Baru. Generasi akan datang akan menilai kedua-duanya: novel para sasterawan negara yang picisan itu; dan gagasan Persuratan Baru sendiri. Dari segi akademik, ini adalah keputusan yang paling siuman dan paling akademik. Bagaimana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh mengatakan kritikan sastera sudah patah sayap? Tuduhan dan kesimpulan ini memerlukan penjelasan oleh kerana murid Prof Muhammad Haji Salleh ramai, mereka boleh saja diupah untuk mengkritik PB. Apa lagi, wang ada; orangnya pun ada; teruskan usaha gigih anda menolak gagasan Persuratan Baru. Saya dengan sengaja membawa kes PB ini kerana Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh tidak pernah dengar nama  buku kritikan saya, apatah lagi membacanya. Dia tidak memberikan contoh pengkritik mana yang mematahkan sayap kritikan itu, kerana tidak mempunyai keberanian intelektual, tidak juga kejujuran intelektual seorang sarjana. Pembaca mesti tahu siapa yang ditujukannya, tentu saja bukan Baha Zain kerana dia memang suruh pengkritik meniru Baha Zain.  Saranan beliau itu bagus untuknya, sebagai seorang kawan rapat; tetapi tidak bagus untuk sastera. Baha Zain, kalau anda baca dengan kritis, tidak memberikan apa-apa yang bernas dalam kritikan sastera Melayu; hanya ocehan saja, a kind of bullshit yang anda tidak perasan kerana anda tidak mempunyai sensitiviti ilmiah. Saya telah komen tentang perkara ini, telah menamakannya retorik teh tarik Baha Zain.  Supaya tidak timbul salah faham dan sangkaan buruk, anda yang berminat tentang aspek bullshit dalam falsafah, perlu baca  buku  Prof. Harry G. Frankfurt, On Bullshit, supaya anda faham maksud saya. Satu perkara yang saya rasa sangat pelik ialah apabila Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menyanjung begitu tinggi Salman Rushdie. Anda boleh bayangkan betapa tingginya ilmu kritikan beliau sebagai seorang profesor sastera. Kalau kamu bawa Salman Rushdie sebagai sasterawan yang “gemerlapan” karyanya, maka kami boleh nilai dengan mudah kematangan kamu sebagai seorang ahli akademik! Kamu menilai berasaskan ilmu atau sentimen? Sebenarnya lebih tepat jika kita membuat kesimpulan, yang mematahkan sayap kritikan itu ialah Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri. Percubaan beliau untuk berteori melalui Puitika Sastera Melayu gagal kerana tidak dapat dikembangkan untuk menjadi suatu teori yang berguna. Tulisan itu hanya satu maklumat yang tidak selalunya tepat. Usaha beliau untuk menolak teori sastera Barat juga sia-sia, menjadi buntu kerana beliau tidak dapat menghuraikannya mengapa  teori Barat mesti ditolak; akhirnya dia sendiri “memerintahkan” penulis kertas kerja untuk seminar pemikirannya mesti menggunakan teori Barat yang ditolaknya. Beliau sebagai sarjana tidak terkenal kerana cermat, seperti yang ditegur oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan dan Dr. Ramli Isin dan saya sendiri ketika membahaskan syarahan perdana beliau. Komen dua orang sarjana itu anda boleh rujuk dalam buku Rangkaian Pemikiran dalam Karya Sastera (DBP, 2006); borak Muhammad Haji Salleh tentang teori sastera Barat terdapat dalam Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP, 2005).

Pada 1-3 Disember 1993 telah diadakan Nadwah Kesusasteraan Islam di DBP. Dalam laporannya tentang Nadwah ini, Shamsuddin Jaafar membuat catatan berikut: “.. buku Mohd. Affandi Hassan Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid disebut di dalam nadwah itu sebagai model…” (Dewan Sastera, Januari 1994, hal. 19).  Seterusnya idea di dalam buku itu dikembangkan menjadi gagasan Persuratan Baru. Buku Gagasan Persuratan Baru telah mengalami edisi kedua 2014.  Seterusnya lihat perkembangan terbaru di UPSI di bawah. Kritikan sastera di Malaysia menjadi lebih maju, bukannya patah sayap. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh mestilah bermimpi ketika berada di atas bumbung kilang berkarat  seperti yang dibanggakannya sehingga menjadi judul boraknya. Sarjana ini sudah wajar mula belajar memahami Persuratan Baru kerana inilah yang akan menjadi asas dan teras perkembangan persuratan Melayu.  Sesiapa juga yang tidak tahu tentang PB akan kelihatan sangat aneh, seperti anehnya sarjana bermimpi di atas bumbung kilang berkarat!

Seminar Kritikan Sastera di UPSI

Prof. Emeritus Dr. Muhammad Salleh sudah ketinggalan amat jauh dalam perkembangan kritikan di Malaysia. Dia tidak tahu satu seminar besar telah diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, 28-29 September 2012. Sebuah buku prosiding seminar diterbitkan, dan dalam buku itu dimuat semua kertas kerja, kecuali mengenai PB oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir tidak sempat diterbitkan. Kertas itu dijadikan Pendahuluan kepada buku Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua 2014. Kalau sudah patah, tentulah tidak dapat diadakan seminar di UPSI itu, sayangnya beliau tidak dijemput memberi ucap utama, padahal sudah dijadikan kanun setiap majlis sastera mesti diberi ucap utama oleh sasterawan negara, kerana mereka juga perlu tunjuk muka dalam majlis seumpama itu, walaupun ucap utama mereka, sepanjang yang sampai kepada saya, lebih baik sedikit saja daripada ucapan Ketua Murid di sekolah saya dahulu, mungkin kerana saya yang menulis ucapan kawan saya itu. Sekiranya diadakan seminar antarabangsa di Kuala Lumpur membicarakan “pemikiran tinggi” para sasterawan negara, dengan pembentangan laporan terperinci kemajuan sastera yang telah mereka laksanakan sebagai sasterawan negara, maka orang yang paling cocok memberi ucap utama di pertemuan itu ialah Mohd. Affandi Hassan, sebagai satu-satunya pemikir kritikan sastera terulung di Malaysia, berupa satu-satunya pengkritik Malaysia yang berupaya mencabar setiap satu teori sastera Barat. Hara-harap penganjur seminar ini nanti kenal Mohd. Affandi Hassan dan jemput beliau supaya seluruh dunia boleh lihat bagaimana Persuratan Baru muncul sebagai cabaran paling bererti dalam kritikan sastera, yang berasal dari Malaysia. Bagaimana pendapat anda, mahu sasterawan negara juga kasi ucap utama sambil membebel seperti tukang sapu di KLCC kerana dibayar gaji yang rendah padahal kerja tukang sapu itu, kalau di Eropah atau di USA, dibayar sama tinggi dengan gaji seorang profesor di Malaysia. Saya tahu sebab saya bercakap dengan mereka, sebagai seorang pengarang yang sentiasa terbuka kepada maklumat. Walaupun gaji mereka sama, kedudukan mereka berbeza. Profesor tetap lebih tinggi, tetapi ada kalanya tukang sapu lebih mulia hatinya dan tidak angkuh kerana masih kenal manusia dan masih mahu menolong mereka ketika pertolongan dari mereka diperlukan, walaupun pertolongan itu hanya mengangkat bakul seorang perempuan tua yang mahu melintas jalan. Anda pernah tengok peristiwa seperti itu? Saya pernah tengok seorang profesor tua di Kanada membantu pelajarnya yang cacat untuk melintas jalan, dan semua kereta berhenti untuk mereka berdua. Cantik bukan, pemandangan  begitu? Boleh dapat di Malaysia? Saya belum lagi diberi kesempatan melihatnya.

Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri dikatakan telah menelurkan satu teori sastera yang bernama “Puitika Sastera Melayu.”  Saya diberitahu oleh beberapa sarjana sastera,  Puitika Sastera Melayu bukan sebuah teori kerana tidak terdapat syarat-syarat untuk membolehkannya diterima sebagai sebuah teori. Sesiapa yang berminat boleh membantu saya merujuk tulisan yang berkata begitu. Mungkin betul, kerana Puitika Sastera Melayu, berbanding gagasan Persuratan Baru, tidak berkembang, malah ada sarjana memberitahu saya telah difosilkan awal-awal lagi. Tidak boleh hidup sebagai teori kerana tidak ada syarat untuk membolehkannya diterima sebagai sebuah teori sastera. Antara syarat penting, saya diberitahu, ialah mengenai prinsip yang boleh dipakai untuk menganalisis dan menilai karya sastera. Prinsip itu tidak ada, atau tidak jelas. Berbanding dengan gagasan Persuratan Baru yang kini muncul sebagai satu sistem yang mantap, yang cukup kuat untuk menangkis dengan mudah sebarang kritikan atau sanggahan. Malah dikatakan PB berupaya menyanggah apa juga teori sastera Barat yang kini amat digilai oleh para sarjana sastera. Sejauh mana kesimpulan  ini benar terpulang kepada penilaian anda sendiri. Tetapi dalam konteks ini ada satu perkara penting yang perlu saya sebut, yang mungkin anda tidak mahu terima atau tidak mahu mendengarnya.

Kedudukan Ilmu Dalam Kritikan Sastera

Saya rujuk sikap Sidang Kemuncak Penulis Malaysia terhadap kedudukan ilmu dalam kesusasteraan. Saya dapati tidak sebuah pun antara kertas kerja itu secara khusus membahaskan tajuk ini dengan tuntas dan mendalam. Mengapa berlaku pengabaian ini? Adakah disengajakan? Atau kerana tidak ada penulis yang berupaya membicarakannya? Bagi satu sidang kemuncak yang penting, yang mahu menjadikan sastera sebagai teras pembangunan tamadun bangsa, soal ilmu tidak boleh diabaikan sesuka hati. Tidak ada tamadun yang tidak berpaksikan konsep ilmu, walau bagaimana sekalipun konsep itu ditakrifkan. Semua tamadun dunia diasaskan kepada ilmu tertentu. Bagaimana pula tamadun Melayu boleh menolak prinsip ini? Mungkin jawapannya ada di dalam kertas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Tetapi sebelum saya bincang aspek ini, saya ingin komen sedikit lagi kertas Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh. Saya setuju dengan pandangan beliau pengkritik dan sarjana tidak boleh bersikap kurang ajar, biadab dan sewenang-wenang memperlekeh sesiapa juga. Ini soal sikap, selain dari soal adab dan etika. Sekiranya anda diminta menulis kertas kerja, perkara pertama yang perlu diberi perhatian ialah rasa hormat kepada penganjur dan pembaca anda. Untuk itu, anda tidak boleh mengemukakan kertas yang ditulis sambil lewa, yang tidak memperlihatkan rasa hormat anda kepada tuan rumah dan kepada pembaca anda. Hanya Prof. Muhammad Haji Salleh saja yang tidak berbuat  begitu, padahal semua yang lain menulis dengan baik. Mengapa beliau mesti dikecualikan? Inilah soal etika yang disebut oleh beliau. Dari segi etika, adalah biadab untuk mengemukakan kertas yang selekeh untuk dihidangkan kepada khalayak yang terhormat, membincangkan tajuk yang begitu penting dalam seminar yang begitu gah diatur. Dari segi isi pula, kertas Prof. Dr. Muhammad Haji  Salleh dengan sengaja meninggalkan dari berbincang dengan objektif dan agak mendalam tentang perkembangan kritikan sastera. Kita sudah mempunyai alternatif yang kuat dalam bidang ini, dalam gagasan Persuratan Baru. Jika beliau tidak dapat menerimanya, beliau wajib, kerana kedudukannya sebagai sarjana yang dihormati, untuk membicarakan dengan objektif gagasan PB dalam konteks seminar itu. Beliau mempunyai kepakaran yang mencukupi, hanya sanya sikap beliau yang negatif tentang peranan ilmu membuat beliau memilih untuk menjadi biadab, satu pilihan yang tidak wajar bagi seorang sarjana. Pilihan yang sangat buruk dan benar-benar menghina ilmu. Beliau memberi contoh yang  buruk pada sarjana baru, menjadikan emosi, bukan intelek, untuk membuat pertimbangan. Saya lihat ini sebagai kesan kolonialisme dalam sastera Melayu, kerana sikap angkuh ini memang diajar oleh Inggeris kepada anak jajahannya. Kita tentu masih ingat pengakuan Prof. Muhammad Haji Salleh yang mengaku dengan bangga: “English colonized me”. Keangkuhan akademik dan sifat ego yang diajar oleh Inggeris menjadi darah daging profesor ini, yang dulunya mengutuk Mutual Admiration Club (1973), tetapi kini menjadi ketua yang tidak rasmi dalam kelompok ini. Nampaknya ini ada kaitannya dengan tulisan Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad yang berbicara tentang masalah hegemoni dalam kebudayaan, khususnya kesusasteraan.

Apakah maksud hegemoni dalam kertas kerja Dr. Saleeh Rahamad? Maksudnya amat jelas, iaitu hanya satu arus pemikiran (?) saja yang diterima dan boleh dibincangkan. Lain dari itu akan ditutup rapat dan tidak diberi tempat. Kerana itu Sidang Kemuncak ini sampai ke kemuncak pandirisme dalam sastera Melayu moden apabila seluruh kertas kerja difokuskan kepada mempertahankan sasterawan negara semata-mata, bukan mempertahankan ilmu. Ilmu tidak penting dibandingkan dengan kedudukan sasterawan negara. Mengapa mereka begitu taasub? Mudah saja sebabnya: kerana itulah saja pilihan mereka kerana mereka terikat kepada pandangan teori Barat sepenuhnya. Mereka menjadi hamba teori sastera Barat, dan sangat bangga menghambakan diri. Sifat hamba ini amat jelas dalam kertas kerja yang dibentangkan, sehingga apabila ada di antara mereka yang bercakap tentang “minda tertawan”, mereka masih melihatnya dalam konteks sebagai hamba pemikiran  Barat. Konsep minda itu sendiri adalah satu konsep yang menjadi masalah besar dalam falsafah Barat, sehingga ahli falsafah Inggeris mengkritik keras sekali falsafah Descartes yang menganggap mind itu sejenis mesin, dan ini melahirkan satu gerakan untuk membina artificial intelligence dan  akhirnya melahirkan the robot society. Kini robot hidup sudah berjangkit dan bertapak di Malaysia, di kalangan para sarjana yang menjadi hamba teori sastera Barat dan sarjana Barat. Inilah inti pati kertas Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Berasaskan konsep hegemoni yang difahamkan dari dan dalam konteks Barat, sastera hanya wujud sebagai pernyataan nasionalisme yang terpisah dari konsep ilmu yang benar. Bagaimana sikap ini mahu dijadikan asas pembinaan tamadun, dengan menjadikan sastera sebagai seni yang seluruhnya sekular sebagai teras? Mereka tidak boleh menolak kesimpulan ini kerana dalam persembahan mereka, tidak disebut pun peranan ilmu dalam pembinaan tamadun dan karya sastera. Siapakah yang memberi mereka autoriti untuk menjadikan  pandangan hidup seratus peratus Barat ini menjadi tunjang tamadun Malaysia yang kononnya berasaskan bahasa Melayu dan sastera Melayu. Ini masalah besar yang tidak disentuh sedikit pun. Jelas mereka menolak konsep adab yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, tetapi mereka tidak mengemukakan apa-apa hujah. Akhirnya yang mereka lakukan dengan mengadakan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini ialah to endorse pandangan hidup sekular yang diperjuangkan oleh Asas 50. Inilah agenda mereka, dan agenda ini  mesti ditentang kerana sudah jelas Asas 50 adalah musuh ilmu yang benar.

Jikalau anda melihat Sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini dalam konteks yang betul, anda mungkin tidak dapat menerimanya kerana terdapat sejenis kediktatoran budaya di kalangan mereka ini. Mereka sebenarnya membina masyarakat tertutup, yang menerima hanya satu tafsiran saja tentang konsep sastera itu, untuk menjamin semua sasterawan negara terselamat daripada penilaian kritis berasaskan konsep ilmu yang benar. Adakah mereka anti-ilmu? Pertanyaan ini tidak perlu lagi, kerana semuanya sudah jelas tersirat dalam kertas kerja yang mereka bentang. Kerana itu, ke manakah mereka hendak membawa tamadun Malaysia versi mereka yang tertutup itu? Inilah sejenis  ekstremisme budaya yang sedang diperjuangkan oleh golongan Mutual Admiration Club ini.


Bahagian II

Idea yang bagi mereka sangat bernas walaupun cetek, yang mereka mahu jadikan asas tamadun, dikonsepsikan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh dalam kata-kata berikut:  “Saya cadangkan diadakan suatu Kerusi Sastera Lisan dan suatu Kerusi Sastera Lama di Universiti dan juga Jabatan Folklor atau Sastera Lisan. Tanpanya dua bidang ini biasanya tidak diberi ruang atau makna yang hak padanya, dan hak pada jati diri kita.” (hal. 208). Jika kerajaan sudah sasau dan bersetuju dengan cadangan ini, apakah yang hendak kita capai? Bolehkah kita melahirkan generasi celik ilmu dan cerdik melalui pelaksanaan dua cadangan ini? Dalam kebudayaan Melayu, penglipur lara adalah kegiatan hiburan yang bersifat pinggiran, tidak layak dibawa atau diangkat sebagai kegiatan seni yang utama. Awang Batil adalah gelaran pencerita di kampung-kampung sebelah utara Semenanjung, yang sudah pupus dan tidak perlu dikembalikan lagi dalam kebudayaan tinggi yang sedang kita bina sekarang; apatah lagi membawanya ke dalam sistem pelajaran/pendidikan kita. Gilalah bangsa yang berusaha mengembalikan suatu budaya yang sudah ditolak oleh masyarakat melalui proses pembelajaran moden dan yang berteraskan agama, atas alasan kononnya untuk mendapat jati diri. Kekeliruan seumpama ini tidak wajar dijadikan tajuk perbincangan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, kalau sekadar ingin memuaskan kemahuan hawa nafsu seorang sarjana yang sepanjang hidupnya tidak pernah memikirkan persoalan tamadun ini daripada perspektif ilmu, tetapi hanya melihat sepintas lalu dalam konteks hiburan semata-mata. Malulah kita kalau inilah yang kita perjuangkan untuk kononnya menjadikan sastera teras pembangunan negara bangsa. Dalam konteks ini saya ingin mengemukakan beberapa cadangan yang akan membolehkan kita memajukan bahasa Melayu dan memberi kesedaran ilmu kepada masyarakat dan para pelajar. Kita tidak perlu kembali ke zaman lampau, ke zaman animisme yang melahirkan penglipur lara dan cerita-cerita dongeng berunsur Hindu-Buddha seperti yang cuba dilakukan oleh sang profesor yang kelesuan daya intelek dan ingin kembali hidup bersantai dalam dunia khayal zaman animisme kononnya itulah zaman asli Melayu yang perlu dikembalikan semula secara aktif dalam dunia pendidikan moden. Supaya lintasan angan-angan karut seumpama ini tidak lagi menjadi impian kosong para sarjana, maka yang kita perlukan pada waktu ini ialah satu sejarah pemikiran, satu sejarah intelektual bagi bangsa Melayu, untuk melihat bagaimana mereka menerima pengaruh dan menggunakan pengaruh atau pengalaman intelektual dari pelbagai sumber tamadun itu untuk membangunkan negara. Untuk permulaan, kita boleh mulai terlebih dahulu menulis perkembangan pemikiran dalam persuratan dan kesusasteraan Melayu, mungkin dengan bermulanya kerajaan Melayu Melaka.  

Perkembangan Pemikiran Dalam Persuratan Melayu

Tapi saya fikir lebih mudah dikerjakan dan lebih banyak manfaat jika dimulai dari Za’ba, Syed Sheikh al-Hadi hingga sekarang, untuk melihat bagaimana idea tentang persuratan perlahan-lahan disingkirkan dengan tibanya gelombang sastera moden yang diperkenalkan oleh Asas 50. Peranan Panel Anugerah Sastera Negara dan karya para sasterawan negara yang mereka pilih perlu dianalisis supaya lebih jelas apakah sumbangan mereka yang sebenarnya dalam input yang bersifat intelektual dan ilmu. Apakah nilai baru yang mereka tampilkan? Adakah ini yang kita mahu? Kalau dihuraikan semua ini, kita nanti akan melihat apa yang sebenarnya berlaku dalam perkembangan intelektual para sasterawan dan kesannya dalam pembinaan budaya ilmu. Adakah kita sebenarnya membina budaya pandirisme, bukan budaya ilmu? Tentu menarik jika persoalan ini dapat dilihat dengan jelas dalam karya para sasterawan negara ini dan dalam kritikan sastera, terutama yang diserlahkan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Sejarah kritikan yang ditulis oleh Prof. Hashim Awang dan kawan-kawannya tidak menyentuh sumbangan Panel, yang saya kira akan menjadi sangat menarik jika dibaca bersama syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Sarjana sastera tidak melihat karya ini sebagai sumbangan penting dalam kritikan sastera Melayu, satu keputusan yang salah. Konsep hegemoni yang disentuh oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertasnya perlukan analisis yang kritis, kerana yang beliau maksudkan ialah pentingnya status quo dikekalkan seperti sekarang. Dengan itu tidak perlu diadakan perubahan, dan ini pula memberi implikasi pengaruh Barat mesti dipertahankan dan dijadikan ukuran yang standard dalam kritikan sastera. Apakah nanti nilai-nilai yang dijadikan sandaran? Semua ini perlu dijelaskan dan diberi konteksnya yang betul. Jika tidak, penilaian kita terhadap karya kreatif tidak tepat, seperti yang dapat dilihat dalam penilaian para sarjana terhadap karya para sasterawan negara. Benarkah karya para sasterawan negara ini kaya dengan muatan ilmu? Atau hanya rimbun dengan cerita penglipur lara saja? Pengaruh penglipur lara itu sangat besar, tetapi tidak dilihat dengan jelas dan pasti oleh para sarjana sastera kerana mereka terikat kepada teori sastera Barat. Misalnya sajak “Pulang Si Tenggang”, Panel menganggapnya karya intelektual dan sajak ini menjadi begitu terkenal. Padahal sajak ini adalah simbol pandirisme yang paling menonjol dalam sastera Melayu moden. Bagaimana kita boleh huraikan kesimpulan Panel dan kesimpulan kedua itu? Kita perlu meneliti teori sastera dan  kaedah penilaian yang dipakai. Dalam konteks inilah kita perlukan sejarah intelektual yang saya maksudkan.

Seperti yang saya tegaskan, Sidang Kemuncak Penulis Malaysia adalah usaha terancang untuk melindungi para sasterawan negara dan para sarjana ciritan daripada kritikan. Mereka tidak mahu adanya pembaharuan dan perubahan, kerana itu mereka sepakat tidak perlu bincang dengan mendalam konsep ilmu dalam kesusasteraan dan dalam kritikan sastera. Mereka tidak mahu gagasan Persuratan Baru dibincangkan, kerana mereka berasa jika itu dilakukan, maka gagasan Persuratan Baru seolah-olah ditonjolkan sebagai satu alternatif dalam kritikan sastera. Bagaimana mereka akan hidup sebagai sarjana jika semua hasil tulisan mereka akan dinilai daripada perspektif Persuratan Baru? Boleh faham? Sekarang anda lihat apa makna istilah hegemoni yang menjadi kegemaran Dr. Mohamad Saleeh Rahamad itu. Maknanya: jangan ada perubahan, kerana ini akan menyusahkan kita semua. Kena belajar balik banyak perkara, kena kritik pendekatan Barat yang memang senang digunakan dalam penulisan kertas yang cetek meraba-raba itu. Persis inilah “minda tertawan” yang mereka perkatakan tanpa memahaminya dalam konteks perkembangan falsafah Barat. Mereka berbicara tentang diri mereka sendiri yang terbelenggu dengan fahaman yang cetek tentang teori sastera Barat yang mereka peragakan dengan sombong dalam tulisan mereka, mereka-reka cerita sambil menderetkan hujah mereka dengan ambilan dari teori Barat padahal yang mereka jadikan hujah itu kedudukannya seperti baju kertas Pak Kaduk, dijentik saja sudah koyak rabak. Contoh paling mudah saya kemukakan dalam “Keunggulan yang Cacat” (28/10/2014).

Tiga Jalur Perkembangan Intelektual

Pada pemerhatian saya, kita mempunyai tiga jalur perkembangan dalam kesusasteran dan persuratan Melayu. Jalur pertama berteraskan Islam, kita mulai dari Za’ba, Syed Sheikh al-Hadi, Dr. Burhanuddin, Rahim Kajai, Syed Muhammad Naquib al-Attas, Mohd. Affandi Hassan, Dr. Wan Mohd Nor dan lain-lain.  Sebenarnya jalur pertama ini bermula dari Hamzah Fansuri lagi, tetapi untuk memudahkan analisis, kita mulai dari Za’ba.  Apa nama yang sesuai untuk jalur pertama ini? Saya cadangkan jalur persuratan, tetapi ini hanya cadangan mudah, boleh diubah jika kita menemui judul yang lebih tepat. Jalur kedua saya cadangkan dipanggil jalur nasionalis, Ishak Hj. Muhammad, Ahmad Boestamam, Hamdam, Ahmad  Bakhtiar (?), Harun Mohd. Amin, Pungguk dan seterusnya. Jalur ketiga dipelopori Asas 50, boleh kita panggil jalur sosialis marxis, atau lebih tepat lagi inilah jalur sasterawan.

Selepas kerajaan Malaysia memberi muka dengan melantik anggota Mutual Admiration Club ini untuk dijadikan sasterawan negara, maka mereka semakin berani mendesak supaya kumpulan  Mutual Admiration Club ini diberi kemudahan yang melampau seperti yang diputuskan dalam rumusan (mereka panggil resolusi) Sidang Kemuncak Penulis Malaysia. Dalam resolusi itu, tidak terbayang peranan ilmu dalam pembinaan budaya ilmu di Malaysia, sebaliknya ditekankan pentingnya mereka diberikan beberapa faedah baru/faedah tambahan. Semuanya untuk faedah kumpulan Mutual Admiration Club.  Kalau anda baca dengan teliti resolusi ini, anda akan dapat melihat semua yang dicadangkan itu untuk memberi faedah kepada kumpulan ini. Jika mereka sebut tentang pengajaran dan pendidikan sastera, mereka berminat untuk menjadikan karya golongan mereka sebagai bahan bacaan atau teks. Dari segi perkembangan ilmu dan pembinaan tamadun, kumpulan ini sebenarnya berbahaya kerana mereka hanya berminat dalam mendapatkan faedah maksimum untuk keuntungan kumpulan mereka. Saya harap mereka membantah kesimpulan ini supaya kita boleh tunjukkan satu persatu kepalsuannya untuk diberi pertimbangan kritis sewajarnya oleh anggota masyarakat yang prihatin.  Baiklah ditegaskan di sini, jika resolusi ini diterima dan dilaksanakan, maka terbinalah hegemoni kumpulan Mutual Admiration Club ini. Persatuan penulis seluruh Malaysia, terutama yang bergabung dengan Gapena, perlu mengkaji resolusi ini dengan kritis supaya anda semua tidak tertipu. Anda tidak boleh ambil mudah dalam perkara ini, kerana anda sendiri akan bertanggungjawab dalam pembinaan tamadun negara anda. Jangan biarkan kumpulan ini bertindak atas nama anda sedangkan faedahnya mereka yang dapat. Kita tunggu reaksi mereka dan kita akan tunjukkan satu persatu apa maknanya semua resolusi itu dalam pembinaan tamadun bangsa kita.

Bahagian III

Akhirnya untuk faedah persuratan Melayu yang sedang kita bina kembali, saya ingin mengemukakan beberapa cadangan yang boleh membawa kita ke arah pembinaan budaya ilmu dan akhirnya menjadi tonggak pembinaan tamadun kita yang berteraskan ilmu yang benar.

Pertama sekali, kita perlukan penulisan sejarah pemikiran para cendekiawan Malaysia untuk menjadi rujukan dan panduan kita, terutama dalam pendidikan. Kita perlu tahu siapakah tokoh kita sendiri dan apakah sumbangan mereka dari segi pemikiran. Untuk tujuan menjayakan projek ini, universiti perlu memberi kerjasama untuk menamakan pakar mereka dalam bidang masing-masing. Supaya projek yang bersifat ilmu ini dapat diteruskan, kita perlu wujudkan satu badan untuk meneliti semua aspek yang bersifat intelektual, pemikiran, inovasi dan sebagainya. Apakah namanya boleh kita fikirkan kemudian, tetapi kita perlu tahu apa yang kita hendak laksanakan dan untuk maksud apa. Kita tidak boleh membuang masa, wang dan tenaga jika kita tidak jelas dalam matlamat yang kita ingin capai. Kita tidak perlu bangunan baru untuk menempatkan institusi ini, gunakan saja kemudahan yang ada kerana hasilnya nanti akan berguna kepada institusi pengajian tinggi dan penerbitan berkualiti. Siapa beruntung dia akan menerima tanggungjawab ilmiah ini untuk ditempatkan di institusi mereka. Kalau kita benar-benar mahu perkenalkan negara kita, inilah caranya yang paling bijak, kerana kita akan memperkenalkan tokoh kita dalam semua bidang kehidupan kita dan pada waktu yang sama memperkenalkan idea bernas yang mereka telah lahirkan. Rasanya cadangan ini tidak wajar ditolak atau diketepikan dan semua persatuan penulis harus menyokongnya. Pembangunan tidak saja pada bangunan dan berapa ribu ekar kelapa sawit yang kita tanam, tetapi lebih utama ialah berapa ratus pemikir dan tokoh penting dalam segala bidang kehidupan yang telah kita lahirkan, yang layak diperkenalkan di seluruh dunia. Projek ini sangat bermakna kerana kita nanti akan melihat manusia istimewa di negara kita dari semua bangsa dan semua golongan masyarakat, termasuk di kalangan orang asal, yang mungkin akan muncul sebagai pembina naratif penglipur lara yang ulung yang selama ini kita tidak kenal kerana terlalu mementingkan kemajuan dalam budaya pandirisme untuk faedah anggota Mutual Admiration Club semata-mata.

Satu masa dulu, ketika saya melawat pejabat Prof. Ulung Shamsul Amri di UKM, saya terpandang buku tebal 1098 halaman, The Sociologies of Philosophies: A Global Theory of Intellectual Change, oleh Randall Collins. Ketika buku itu diterbitkan 1998, saya berada di luar negeri, jadi terus dapat membelinya dengan harga relatif murah. Yang ingin saya sebut di sini ialah komen Prof. Ulung Dr. Shamsul kepada saya ketika saya membelek-belek buku itu, “Aku juga boleh tulis jika diberi peluang dan …”.  Itu dalam tahun  1999, tapi masih terdengar-dengar di telinga saya. Inilah orang yang saya cari, sanggup menerima  cabaran dan punyai kepakaran untuk mengerjakan projek besar begini. Kita harus majukan bidang seperti ini, oleh itu kita perlu mewujudkan sekumpulan pakar dalam kerja-kerja editing, yang akan berusaha mengenal tokoh kita yang boleh menulis dengan baik dalam sesuatu bidang yang kita mahu tonjolkan kerana kita perlukan. Kini tidak ada usaha ke arah itu, maka sudah tiba waktunya kita wujudkan sekumpulan pakar dalam bidang ini yang pengetahuannya global. Bagaimana ini hendak dilakukan? Saya tidak mahu beri cadangan saya kerana nanti akan dtuduh terlalu ideal. Biarlah kita bermain dengan ideanya dahulu, kemudian kita akan fikirkan  caranya. Sekurang-kurangnya kita sudah dapat seorang tokoh akademik kita yang sanggup melakukan  kerja besar ini. Untuk permulaan, kita perkenalkan dulu buku-buku begini dengan menterjemahkannya secara profesional. Mengapa kita tidak boleh bayar setengah juta seorang untuk membuat kerja ini dalam kumpulan dua tiga orang, atau jika dia mahu melakukannya seorang diri bayarlah dia sewajarnya. Dan seterusnya, kita kenal pasti buku-buku yang boleh membeliakkan biji mata pembaca serius di negara kita kerana terdapat dalam bahasa Melayu walaupun buku terjemahan. Sebuah lagi buku yang patut sangat kita terjemahkan ialah sebuah tafsir Quran dalam bahasa Urdu, yang diasaskan kepada metode Shah Wali Allah yang ditulis oleh seorang ulama India, Amin Ahsan Islahi, Tadabbur-i Quran. Kalau tak silap dalam 8 jilid. Untuk mendapat maklumat, sila rujuk Coherence in the Quran, oleh Prof Mustansir Mir. Buku Verbal Idioms of the Quran, susunan Prof. Mustansir Mir, juga layak diberi wajah Melayu.  Kita terjemahkan dulu buku-buku yang bagus-bagus sebelum kita sendiri menulisnya, tetapi untuk itu kita perlukan golongan profesional yang cintakan buku dan ilmu yang tahu buku apa yang perlu diterjemahkan dan ditulis dalam bahasa Melayu. Kita mesti wujudkan golongan editor pakar dalam negara kita. Sangat penting, terutama bagi penulis. Bayangkan apabila buku anda diterbitkan, anda dapati setiap halaman terdapat kesilapan, apa reaksi anda. Saya sudah kerap mengalami perkara ini, kerana itu saya tersenyum dan maafkan editor itu. Dia tidak diberi latihan profesional yang betul, dan mungkin tidak ada komitmen untuk kerja-kerja begini. Saya masih ingat, ada seorang penulis Amerika (tak pasti nama) yang marahkan Penerbit kerana novelnya diterbitkan sepenuhnya tanpa suntingan yang sepatutnya. Itu yang kita ingin bina di negara kita. Saya sendiri mempunyai berpuluh manuskrip, tetapi tiada editor yang saya boleh percayai untuk mengerjakannya. Itu satu, kedua editor tadi patut dibayar oleh penerbit yang mahu terbitkan buku saya. Ewah, ini suatu keadaan yang amat ideal. Tak mengapa, kita mulai sekarang membinanya, mana tahu dalam masa 20-30 tahun kita akan mempunyai sekumpulan editor yang kita banggakan  dan  hasilnya ialah buku-buku yang well edited. Institusi mana mahu buat kerja amal untuk membina ilmu ini? Untuk Prof. Ulung Shamsul Amri, saya doakan anda akan dapat sponsor yang anda beritahu kepada saya tempoh hari. Saya kira sponsor itu sudah ada, cuma masih ragu-ragu untuk tampil memberi perkhidmatan itu. Kesimpulannya, kita mesti bina kemunculan editor pakar dalam industri buku kita.

Masih tentang penyuntingan. Pada waktu ini kita amat perlukan satu antologi esei dalam bahasa Melayu yang mengandungi makalah dalam pelbagai bidang, ditulis oleh pakar-pakar kita sendiri atau pakar-pakar luar. Katalah judulnya, Antologi Persuratan Melayu: Kumpulan Makalah dalam Pelbagai Bidang Ilmu. Sudah ada tulisan yang baik-baik dalam bahasa Melayu, misalnya tentang falsafah sejarah, falsafah sains, falsafah pendidikan, kritikan sastera, tentang ilmu alam, dan dalam bidang-bidang sains kemasyarakatan dan sains tulen, serta matematik. Kita hanya perlu seorang atau dua orang editor yang akan membuat pilihan dan menulis pendahuluannya. Dengan kata-kata aluan daripada sama ada Prof. di Raja Ungku Aziz atau Prof. Tan Sri Syed Muhammad Naquib al-Attas. Tak sabar nak tengok buku ini diterbitkan, untuk dijadikan teman waktu bosan membaca yang remeh-temeh yang tak dapat dielakkan.  Saya juga berharap Prof. Ulung Shamsul Amri mendapat sponsor untuk menulis buku yang diingininya.           

Pada waktu ini kita sepatutnya sudah mempunyai sejumlah pengarang kita yang telah diteliti sumbangan mereka secara kritis dan diterbitkan dalam bentuk karya lengkap pengarang yang kita pilih itu. Bila agaknya kita boleh melihat hasil kerja para sarjana kita dalam menghormati para pengarang kita dengan terbitnya kumpulan karya lengkap mereka? Ini yang kita mahu lihat, kerana inilah tanda adanya pengarang kita yang layak diberi penghormatan itu. Inilah bukti kejujuran kita membina budaya ilmu. Apakah yang menghalang kita daripada melakukan usaha terpuji ini? Lu fikirlah sendiri …

Bahagian IV

Cengkaman Budaya Pandirisme

Sidang Kemuncak Penulis Malaysia diadakan tergesa-gesa untuk menghabiskan beras saja, kata orang Kelantan.  Faedahnya tidak seberapa, untuk tidak mengatakan tidak berfaedah langsung.  Kertas yang dibentangkan tidak ada yang boleh dijadikan bahan perbincangan yang mengarah kepada pembinaan budaya ilmu, sebaliknya yang menyerlah ialah budaya pandirisme dalam pretensi intelektual yang terlalu ketara dibuat-buat. Ambil saja kertas “akademik” Ketua I PENA. Apakah yang dapat kita ambil manfaatnya daripada kertas yang berjela dengan kutipan panjang-panjang ini? Kalau hanya untuk memberitahu apa maksud hegemoni dalam politik (yang boleh dibawa dalam perbincangan sastera?) sebagai kesan dari sesuatu ideologi yang dipaksakan ke atas masyarakat, maka rasanya kertas itu telah salah masuk majlis, oleh itu tidak patut berada dalam majlis sastera. Walaupun kertas ini memakai judul tema buku, isinya tidak sedikit pun menghuraikan bagaimana karya sastera boleh dijadikan teras negara bangsa.  ITBM telah banyak berbelanja dan peserta membuang masa hanya untuk menulis resolusi yang lebih mengarah kepada kepentingan diri sasterawan, minta itu minta ini, semuanya untuk kepentingan diri masing-masing.

Supaya tidak terlalu kecewa, saya cadangkan supaya ITBM berani mengadakan pertemuan untuk membincangkan aspek ilmu dalam penulisan. Dan ini ada kaitannya dengan kaedah yang digunakan untuk menilai karya bermutu atau tidak; dan bagaimana subjek sastera itu boleh diajar dengan berkesan untuk membangkitkan daya fikir para pelajar. Kaedah yang digunakan sekarang membebankan kerana terlalu banyak yang remeh temeh dijadikan syarat untuk membangkitkan rasa gemar kepada karya sastera. Tidak mungkin terjadi dalam kaedah yang ada sekarang. Para pelajar tidak diajar untuk mengenal apa yang dimaksudkan dengan karya yang baik dan bermutu, dari segi apa mereka dapat mengesannya, bagaimana pengarang menjalin wacana dan cerita di dalam karya, dan apakah mesej besar yang mahu disampaikan. Adakah mesej itu mengandungi nilai-nilai murni seperti yang dijadikan syarat oleh Kementerian Pendidikan? Dengan kaedah yang betul yang memberi peluang kepada pelajar untuk berdialog dengan bimbingan guru, apa juga karya yang terpilih boleh dijadikan menarik untuk dibincangkan, paling tidak pelajar didedahkan kepada kebodohan atau kecerdikan pengarang, biar mereka dapat merasakan sendiri kepintaran pengarang menjalin karyanya atau gagal berbuat demikian. Semua ini boleh dibincangkan dengan mendalam sekiranya diadakan seminar mengenai peranan ilmu dalam kesusasteraan dan penilaian hasil kreatif. Inilah yang akan membantu para pelajar membaca dengan betul, dan dari situ mereka akan dapat melihat dan merasakan kehebatan karya yang hebat atau kebodohan karya yang tidak terurus dari segi penampilan idea dan ilmu. Fokus mestilah kepada ilmu, hanya dengan itu saja kita dapat mencerdikkan para pelajar kita, dan guru-guru mereka juga.

Apakah yang menghalang Sidang Kemuncak Penulis Malaysia daripada membincangkan peranan persuratan dalam membangunkan tamadun ilmu di Malaysia? Saya tertarik membaca tulisan mengenai “minda tertawan” tulisan seorang peserta. Kesan saya, pertemuan penting dengan judul yang begitu hebat (Sidang Kemuncak…), sebenarnya telah berjaya mendedahkan bagaimana kukuhnya cengkaman “minda tertawan” itu dalam perbincangan tentang sastera di Malaysia. Paling jelas, mereka  seolah-olah dalam ketakutan untuk membincangkan peranan ilmu dalam kesusasteraan, yang sepatutnya mereka jadikan tema utama. Tetapi kerana “minda” mereka tertawan, sudah ditawan oleh pengaruh pandirisme dalam kesusasteraan Melayu moden, maka jadilah mereka seperti yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, mereka adalah kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”, yang tidak mendalami tradisi bangsa sendiri, dan tidak pula mendalami tradisi Barat yang mereka tiru dengan penuh ghairah. Inilah wajah sebenar para sasterawan dan sarjana sastera, sehingga membuat mereka jadi pemalu untuk berdepan dengan persoalan sebenar dalam kesusasteraan Melayu, iaitu tentang kuatnya pengaruh budaya pandirisme yang sudah dijadikan arus perdana. “Minda” yang tertawan itu hanya dapat dibebaskan jika anda menolak pandirisme dan menerima peranan ilmu dalam perkembangan sastera. Peranan pandirisme dalam sastera Melayu moden dibincangkan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua 2014.

Mohd. Affandi Hassan,
14 Januari 2015.



6 comments:

  1. Salam Tuan Mohd. Affandi.

    Terima kasih utk tulisan2 Tuan. Banyak bantu saya sebagai cikgu sastera. Saya dah berjaya dapatkan sajak Al Andalus Tuan Affandi dari blogger ni http://nurfatihafadila.blogspot.com/2015/01/sajak-al-andalus.html?m=1 bolehlah saya bincangkan dgn murid2. Walaupun bukan masuk dalam teks, sekurang2nya dapat juga saya kenalkan karya yg baik pda mereka.

    Cikgu Aman

    ReplyDelete
  2. tapi blogger tu kedekut. Tak bagi copy paste ... Kena salin sebutir-butir.

    Thanks for d info cikgu Aman

    ReplyDelete
  3. You aren't a peacock, that they may gaze at your beauty.
    You aren't a pheonix, that they may say your name without you (being there).
    You aren't a royal falcon, that they may feed upon your quarry.
    So what kind of bird are you, and how can they eat you?
    Rumi

    ReplyDelete
  4. Cantik sekali mathnawi itu. Sayangnya saya bukan jenis burung yang boleh dimakan, tetapi hanya seekor murai yang bising bernanyi ketika burung2 lain membisu. Terima kasih kerana menurunkan mathnawi yang begitu indah. Simurai yang bising tiba-tiba menjadi bisu setelah sedar dia hanya seekor murai.


    ReplyDelete
    Replies
    1. Nyanyian burung tidak bising tetapi mempunyai lagu yang tersendiri, indah. Itu keistimewaan burung hatta seekor murai pun, setiap cip cipnya ialah tasbih kepada-Nya

      Delete
  5. Subhanallah. Cantiknya ilmu Islam. Dari seekor semut hitam yang merayap di atas batu di malam gelita kita mendapat makna syirik. Manakah yang lebih mudah dan lebih indah daripada perbandingan itu?

    ReplyDelete