Sunday, January 18, 2015

PENGKANUNAN SASTERAWAN NEGARA ADALAH SATU JENAYAH INTELEKTUAL DALAM KESUSASTERAAN MELAYU



Setia dengan pemerhatian kritis saya sejak tahun 1981, ketika wajah sasterawan negara mula diperkenalkan dalam kesusasteraan Melayu, sejak saat itu saya memberi perhatian serius kepada kemelut nilai dan kecacatan intelektual dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden, dilihat dari segi konsep ilmu yang difahami dalam Islam dan juga dalam konteks pengaruh Barat yang begitu kukuh mencengkam kehidupan intelektual para sasterawan dan sarjana Melayu, maka satu analisis diperlukan untuk menilai kembali sumbangan sebenar para sasterawan negara ini dalam perkembangan ilmu dan penyelewengan nilai dalam perkembangan intelektual dalam kesusasteraan Melayu. Sidang Kemuncak Penulis Malaysia yang diadakan akhir tahun 2014 dan penerbitan buku Sastera Teras Negara Bangsa membuktikan dengan amat jelas kebenaran  pemerhatian saya sejak tahun 1981 itu dan betapa tepatnya kritikan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972), yang menegaskan bahawa para sasterawan itu adalah mewakili masyarakat pinggiran yang “ilmu”nya keliru dan “cetek meraba-raba”.  Hingga kini kesimpulan beliau tidak disentuh untuk ditolak atau dibahaskan secara akademik, sebaliknya diketepikan  tanpa hujah untuk menutup kepalsuan yang terus dilanjutkan oleh kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba” ini. Malah dalam perkembangan terakhir, dengan penerbitan buku Sastera Teras Negara Bangsa, satu cabaran baru yang lebih teratur dilancarkan dengan penuh angkuh dan sombong oleh golongan ini yang sekarang berteduh di bawah payung kelompok kecil Mutual Admiration Club, satu gerakan yang telah dikenal pasti oleh seorang sarjana sastera sejak tahun 1973 dan dikritik keras oleh beliau dalam seminar kritik sastera yang diadakan di Johor Bahru 1973. Pandangan beliau dimuat dalam kumpulan kertas kerja yang diterbitkan oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Kritik Sastera di Malaysia (1974, rujuk hal. 59-70.) Dalam tahun 1992 Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan buku saya Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid, diikuti kemudiannya dengan penerbitan Gagasan Persuratan Baru (UKM, 2010), dengan edisi kedua 2014 yang mengandungi tambahan dan pendahuluan khusus oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir. Syarahan perdana 2007 dan Kuliah MASTERA 2008 oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir meletakkan kritikan sastera Melayu ke landasan akademik yang mencabar kerana dalam dua dokumen ini beliau menghuraikan dengan mendalam perubahan yang akan dilalui oleh persuratan Melayu, dalam konteks kesusasteraannya, apabila idea tentang peranan ilmu yang benar dijadikan dasar dalam penulisan kreatif dan analisis akademik tentang sastera. Huraian beliau tentang realisme yang difahami dan dipraktikkan dalam sastera Melayu moden mencabar peranan realisme dalam kritikan sastera apabila dikemukakan oleh beliau makna dan implikasi realisme itu menurut konsep ilmu yang benar itu tidak lagi seperti yang difahami oleh para sasterawan dan sarjana selama ini, kerana adanya perbezaan antara realisme semu dengan realisme hakiki. Nampaknya para sarjana dan sasterawan belum lagi memahami implikasi huraian Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir ini, dengan itu mereka tidak langsung menyentuh perkara ini dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia baru-baru ini, walaupun mereka sangat ghairah memberikan begitu banyak kutipan daripada sarjana Barat yang pada umumnya tidak membantu kita memahami persoalan ilmu yang sedang kita hadapi. Mereka tidak melihat ini sebagai satu hambatan dalam usaha kita melakukan perubahan untuk memajukan persuratan Melayu berasaskan konsep ilmu yang benar. Nampaknya mereka menolak sama sekali kemungkinan itu sebelum memeriksanya dengan mendalam terlebih dahulu. Sikap negatif begini bagi saya adalah penonjolan sikap biadab dan angkuh mereka setelah mereka meletakkan kumpulan mereka dalam arus perdana, walaupun arus perdana yang mereka banggakan itu tidak mencorakkan keunggulan akademik di satu pihak, tidak juga membawa mereka menjadi manusia seperti yang diciptakan oleh Allah Ta’ala di satu pihak yang lain. Dalam konteks inilah kutipan daripada kitab Prof. Fazlur Rahman, Major Theme of the Quran, tentang “the depth of human self-deception” itu perlu  mereka fikirkan secara akademik dalam konteks adab yang selalu mereka sebut dalam tulisan mereka. Nampaknya mereka belum lagi sedar bahawa mereka berada dalam “self-deception” yang telah membawa mereka hanyut dalam kepalsuan arus perdana yang mereka jadikan panduan dan mereka pertahankan dengan seluruh kegigihan manusia yang keliru konsep ilmunya. Inilah persoalan yang akan dibahaskan dan dianalisis nanti, supaya kandungan buku Sastera Teras Negara Bangsa dibahaskan  dengan mendalam dan diberi perspektif yang betul. Membaca resolusi Sidang Kemuncak ini meyakinkan saya, sesuai dengan kedudukan Mutual Admiration Club sebagai satu perkumpulan bagi mendapat faedah peribadi, maka resolusi yang disogok kepada kerajaan pada umumnya untuk faedah ahli Mutual Admiration Club, bukan untuk faedah kesusasteraan. Anda perlu baca dengan teliti resolusi ini sebelum anda memberi bantahan anda. Sebagai contoh: “Kerajaan hendaklah membawa sasterawan sebagai delegasi dalam setiap lawatan rasmi pemimpin tertinggi negara bagi tujuan promosi sastera”. tidak sukar untuk faham ke mana arah resolusi ini. Satu lagi: Gubal Dasar Kesusasteraan Negara yang dianggotai dari kalangan sasterawan negara, ahli akademik (yang sokong mereka tentunya), wakil persatuan penulis tertentu (?), dan sebagainya. Cukup untuk sekadar memberi contoh.  Inilah perilaku orang yang jujur dan beradab.  Semuanya untuk kepentingan diri, oleh itu tidak perlu bincang dan kemukakan rumusan tentang peranan ilmu dalam kesusasteraan. Kumpulan Mutual Admiration Club ini memainkan peranan besar dalam penyelewengan budaya ilmu di Malaysia.  Penerbitan buku Sastera Teras Negara Bangsa membuktikan betapa kuatnya pengaruh budaya pandirisme dalam kesusasteraan Melayu. Semua akan dibincangkan dalam entri terbaru nanti.

Anda tentu pernah dengar orang berkata, Islam itu indah. Bagaimana anda dapat memahami dan merasakannya jika anda tidak mempunyai persediaan untuk memahaminya? Apabila Rasulullah SAW ditanya para sahabat mengenai makna syirik, Baginda membuat perbandingan ini: Syirik itu seperti semut hitam merayap di atas batu hitam di malam yang sangat gelap… Indah dan mudah perbandingan itu. Kalau anda dapat memahaminya, anda sudah dapat merasakan keindahan ilmu Islam. Bayangkan anda berada di sebuah hotel mewah yang bertaraf 10 bintang (5 bintang sudah tidak cukup kerana tarafnya begitu tinggi), anda melihat sebiji kek yang sangat enak yang memang menjadi hidangan istimewa hotel itu, tiba-tiba anda lihat seekor lalat langu hinggap di atas kek itu, lalu berak menanam benihnya. Kek itu dipotong diberi kepada anda dalam satu majlis Hadiah Sastera Nasional yang dihadiri PM atau TPM, sambil tertawa gembira mendapat hadiah dan mendapat kek yang masyhur keenakannya itu, anda termakan kepingan kek yang diberaki lalat yang menanam benihnya… lalu anda berkata: Wah, sedapnya kek ini. Dan seterusnya… Sekarang cuba anda perhatikan komen  ini daripada seorang sasterawan negara, bukan mengenai kek, tetapi mengenai keupayaan seorang sasterawan moden menulis yang anda anggap sangat hebat, lalu anda pun berkata begini: (dia bercakap tentang perlunya sasterawan Melayu bereksperimen dengan pantun, syair, gurindam, hikayat, dan cerita lisan, bereksperimen dengan bentuk naratif wayang dan juga hikayat, lalu memberi contoh dari Perancis dan  sasterawan lain) “Apabila Salman Rushdie atau Orhan Pamuk membuatnya, hasilnya cukup menarik dan bergemerlapan.” (Sastera Teras Negara Bangsa, hal.204, para dua dari atas).  Bagaimana anda memahami nasihat cantik ini? Kalau anda terlatih dalam ilmu-ilmu Islam, anda akan teringat kepada semut tadi, kepada kek yang diberaki lalat, dan kata-kata hikmah sasterawan negara ini. Tidakkah karya sasterawan negara ibarat kek yang cantik tetapi di dalamnya terdapat bekas berakan lalat? Apalagi contoh yang anda mahu, kalau anda merasa tidak cukup dengan membaca contoh naratif Salman Rushdie yang bereksperimen dengan naratif menghina Nabi dan keluarga Baginda, SAW? Sekarang anda faham mengapa konsep ilmu yang benar itu penting dalam kesusasteraan. Tak mungkin anda lupa Andy Warhol yang IQnya 60 itu boleh mencipta karya yang istimewa, kerana beliau seorang genius, menurut Gore Vidal. Berapakah pula IQ sasterawan negara yang memberi nasihat itu?

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 18 Januari 2015.

1 comment:

  1. Apabila saya baca kenyataan SN Muhamamad Haji Salleh memuji Salman Rushdie, saya terus ingat kes novelnya yang menghina Nabi Muhammad SAW. Serentak dengan itu, saya berasa terkejut (patutkah saya terkejut) dengan pujiannya itu. Tapi bila mengenangkan dia pun selama ni dah puji mephistopheles dan membela si tanggang, apa nak peliknya dengan pujiannya pada Salman Rushdie pula. itulah makna 'universal' dalam kesusasteraan bagi para sasterawan.

    ReplyDelete