Pandirisme, bullshit, idle talk (omongan, ocehan) adakah sama?
Pandirisme merujuk kepada aspek kognitif dalam memahami sesuatu masalah; bullshit adalah satu tabiat berfikir
yang lebih memberi perhatian kepada soal-soal yang serius diberi penekanan yang
tidak serius; idle talk atau omongan,
ocehan adalah sikap mental yang tidak dapat membezakan antara yang fundamental
dengan yang remeh, disamakan tarafnya dan diberi kedudukan yang sama dalam
huraian akademik atau yang mengenai epistemologi.
Pandirisme
dalam Sastera Melayu
Setelah meneliti kertas kerja Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, yang
dimuat dalam buku Sastera Teras Negara
Bangsa, saya bertambah yakin pandirisme sudah betul-betul berada di dalam
arus perdana kesusasteraan Melayu moden. Oleh itu apabila seorang penulis kertas
kerja berkata, sastera Melayu boleh dibahagikan kepada tiga kelompok: sastera perdana, sastera marginal, dan
sastera komersial, maka saya menjadi amat hairan, apakah yang dimaksudkan sastera perdana oleh penulis ini? Inilah penjelasan beliau: “Kumpulan sastera
perdana mempunyai corak paling jelas dalam konteks idealisme dan corak
pergerakan. Golongan yang paling mapan itu mempunyai tradisi dan sejarah yang
panjang. Dengan menggunakan medium bahasa Melayu sebagai medium pengucapan
intelektual dan emotif, kelompok tersebut kelihatan tekal biarpun kekurangan
pembaca, khususnya golongan muda yang berorientasikan budaya visual dan virtual.” (hal. 83-84). Siapakah mereka yang termasuk dalam kumpulan
perdana ini? Penulis ini nampaknya malu
hendak memberitahu kita siapakah mereka yang perdana itu, tetapi rasanya kita
boleh agak mereka adalah para sasterawan negara dan sasterawan yang belum lagi
jadi milik negara, masih merayau mencari tempat bergantung dan masih melobi
untuk diberi tempat sebagai sasterawan negara. Mengapa mereka termasuk dalam
kumpulan arus perdana? Apakah ciri-ciri mereka? Adakah kerana sumbangan mereka
maka mereka itu kumpulan arus perdana? Atau kerana mereka dilantik menduduki
sesuatu kedudukan yang terhormat? Atau mereka diarus-perdanakan oleh sekumpulan
sarjana yang bersimpati dengan mereka?
Sebenarnya, kita mahu tahu apakah sebenarnya konsep arus perdana itu? Disebut
mereka ini mempunyai tradisi dan sejarah yang panjang, menggunakan bahasa
Melayu sebagai medium pengucapan intelektual dan emotif. Mereka mempunyai
idealisme yang paling jelas. Saya sendiri tidak tahu apakah idealisme mereka,
oleh itu bolehkah kita semua tahu apakah idealisme mereka? Sebelum itu kita
perlu tahu siapa mereka, dan apakah yang mereka lakukan sehingga melayakkan
mereka digelar kumpulan arus perdana? Atau istilah itu sebenarnya tidak
mempunyai apa-apa makna, selain hanya satu gelaran bersifat pujian yang
bercorak idle talk sahaja. Yang mempunyai sejarah yang panjang dan
gemilang bukan para sasterawan, tetapi para ulama dan cendekiawan Melayu yang
menggunakan persuratan Melayu untuk mengembangkan bahasa Melayu dan mendidik masyarakat
melalui sekolah-sekolah pondok dan
kitab-kitab yang mereka karang. Yang dikatakan sasterawan itu baru sangat lagi,
belum pun ada sejarah, baru bermula dalam tahun 1950-an, dan mereka ini tidak
dapat digolong ke dalam arus perdana kerana merekalah yang menghapuskan tradisi
persuratan yang beratus tahun itu, diganti dengan gerakan sastera yang baru
yang tidak lagi mengenal tradisi mereka sendiri, yang “cetek meraba-raba”, yang
pada umumnya anti-ilmu dan anti-Islam. Bagaimana kumpulan ini boleh diterima
sebagai kumpulan arus perdana? Apakah maksud arus perdana itu, sehingga boleh
digunakan begitu sewenang-wenang? Katalah kita memperakukan para sasterawan
negara itulah kumpulan arus perdana, maka mereka tentulah mempunyai kelebihan
yang cukup istimewa. Apakah kelebihan itu? Boleh kita tahu? Sekiranya anda
berkata, kelebihan mereka telah dirakamkan dalam Laporan Anugerah Sastera Negara,
maka andaian anda boleh dipatahkan dengan mudah kerana laporan yang anda
maksudkan itu tidak mempunyai ukuran, tetapi hanya alasan untuk membenarkan
para sasterawan itu diberi gelaran sasterawan negara. Memang benar kita mempunyai kira-kira 250
kertas kerja yang membicarakan “pemikiran” mereka, tetapi secara kolektif
apakah “pemikiran” mereka? Secara individu bagaimana? Semua ini masih belum
jelas, oleh itu dalam satu seminar 2006 ketika membicarakan seorang sasterawan
negara, saya sendiri bertanya Prof. Rahman Shaari apakah pemikiran sasterawan
A. Samad Said? Beliau mengatakan tidak ada. Ini sangat aneh, bagaimana kita
boleh berbicara berhari-hari dengan sejumlah kertas kerja, jika orang yang
dibicarakan itu tidak mempunyai “pemikiran”? Apa yang ada padanya? Laporan
mengatakan dia seorang peniru yang bijak, menggunakan teknik Barat dengan
berani, untuk menulis novel-novelnya. Tidakkah itu “pemikiran”? Dalam kaedah
yang dipakai oleh Panel, “pemikiran” sama dengan “peniruan”. Nampaknya
kesimpulan Panel ini telah diterima oleh semua sarjana sastera, dan mereka
senang hati kerana tidak perlu bersusah payah menganalisis untuk mencari makna “pemikiran” itu. Tetapi sebenarnya
perlukah para sasterawan negara kita mempunyai “pemikiran”? Kalau ini
membebankan dan tidak adil kepada mereka yang tidak mempunyai “pemikiran” itu,
maka lebih baik jika istilah “pemikiran” itu tidak dikenakan kepada mereka.
Cukuplah kita berkata mereka semua adalah tukang cerita yang bagus, yang
menulis karya yang menarik ceritanya, dan amat berkesan serta dapat dijadikan
pengajaran. Kalau ada pengajaran, tentu ada “pemikiran”, atau bagaimana?
Sekarang kita berdepan dengan konsep cerita yang memberi pengajaran. Apakah
pengajaran yang kita dapat dengan membaca karya para sasterawan negara ini?
Untuk mengangkat mereka ke arus perdana, kita perlu mendapat penjelasan yang
tuntas tenteng bentuk pengajaran yang kita dapat daripada karya para sasterawan
negara ini. Atau kita tidak perlukan pengajaran itu, kerana mereka memberikan kita
perkara lain? Apakah perkara istimewa yang mereka berikan itu? Supaya perkara
ini tidak berlarutan, menjadi masalah akademik yang tidak dapat diselesaikan,
maka bolehkah kita berkata “pengajaran” dan “pemikiran” tidak diperlukan dalam
karya para sasterawan negara ini, cukuplah jika mereka dapat memberi kita
kepuasan membaca karya mereka yang indah-indah bahasa dan gayanya. Kita tidak
perlu bertanya lagi kerana semakin banyak dipersoalkan, semakin jelas para
sasterawan negara ini sebenarnya tidak mempunyai apa-apa keistimewaan, kecuali
keistimewaan yang dilekatkan kepada mereka oleh penilai dan para sarjana yang
sayangkan mereka. Jika itulah maksud kumpulan sastera perdana yang difahami
oleh penulis kertas kerja ini, maka tidak ada salahlah beliau diberi keizinan
untuk menggunakan istilah itu, walaupun tidak mempunyai apa-apa makna yang
pasti. Itulah sifat pandirisme dalam sastera Melayu. Dengan meletakkan para sasterawan ini di
tempat istimewa dan tinggi, mengatasi para ulama dan cendekiawan yang telah berjasa
dalam membina tamadun ilmu negara ini, maka kita telah berlaku zalim terhadap
ilmu dan terhadap para sasterawan negara sendiri yang memang tidak layak berada
di tempat itu. Andainya semua sarjana bersetuju berkata mereka adalah layak,
sebenarnya dari segi ilmu, jika seorang meragui mereka, sudah cukup untuk
membatalkan persetujuan arus perdana itu, lebih-lebih lagi apabila hujah
penolakan itu tidak ditolak. Inilah ajaran Islam yang diturunkan kepada kita.
Prinsip ini tidak lagi dipercayai oleh para sarjana dan sasterawan sendiri,
oleh itu mereka terus berkeras bahawa mereka adalah golongan istimewa yang
mengepalai kumpulan arus perdana, walaupun mereka menentang kebenaran dan
menolak adanya ilmu yang benar. Kalau begitulah keadaannya, maka siapakah sasterawan
negara itu sebenarnya?
Tiga Jalur
Perkembangan Persuratan
Saya melihat masalah ini berbeza daripada yang biasa dilihat oleh
manusia biasa yang tidak memberi perhatian kepada cita-cita kemasyarakatan, kerana
saya lebih berminat kepada perutusan unggul yang dibawa oleh manusia penulis
ini. Bagi saya arus perdana atau arus
apa saja tidak penting, kerana yang penting ialah perutusannya untuk
mencerdikkan bangsa Melayu supaya menjadi satu bangsa besar dalam konteks
taklif. Ini satu perjuangan, satu intifadah dalam persuratan, bukan hanya untuk
menerbitkan buku atau menulis cerita. Kerana saya meletakkan ilmu yang benar
sebagai teras dalam menentukan ukuran keunggulan itu, maka saya dapati para
sasterawan negara tidak memenuhi ukuran berasaskan ilmu, kerana itu saya tolak
kehadiran mereka sebagai satu penyelewengan kebudayaan yang tidak sepatutnya
terjadi andainya kita semua berlaku jujur dalam mengutamakan keperluan
masyarakat, bukan keperluan individu seperti yang menjadi cita-cita para
sasterawan yang ingin dijadikan sasterawan negara itu. Betapa songsangnya
kehadiran mereka dalam tamadun Melayu yang berteraskan Islam, hanya dapat kita
lihat jika kita membuat perbandingan antara penghormatan yang sangat janggal
terhadap penglipur lara yang dijadikan ikon dalam syarahan perdana sorang
profesor; dan ini kita bandingkan dengan ketokohan Tok Kenali yang diberi
gelaran Sibawaih Nusantara (Melayu) kerana keunggulannya dalam menguasai nahu
bahasa Arab. Selain terkenal sebagai seorang ulama dan seorang Tok Guru yang
berpengaruh, maka Tok Kenali juga adalah contoh kecemerlangan seorang ulama Nusantara. Bayangkan apabila
sang profesor yang sama menganjurkan kepada para penulis dan sasterawan
Malaysia dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia supaya mencontohi Salman Rushdie dan Orhan Pamuk yang katanya
menggunakan unsur-unsur mitos dan legenda untuk menulis novel yang gemerlapan,
termasuk The Satanic Verses. Inilah
“pemikiran” arus perdana yang diterima di Malaysia. Kalau anda seorang yang
siuman, anda mungkin berfikir keras untuk memahami mengapa seorang sasterawan
negara boleh bertindak begitu biadab di dalam suatu majlis besar dan terhormat.
Dan inilah adab yang dibanggakan dalam Mutual Admiration Club yang melindungi
para sasterawan negara itu. Inilah yang dinamakan sastera arus perdana itu. Anda
akan kelihatan sangat tidak siuman jika anda tidak dapat menerima inilah
gambaran sastera arus perdana yang sebenarnya, kerana yang mengutarakan semua
ini adalah seorang sasterawan negara sendiri, yang mewakili semua kawan-kawannya
dan seluruh para sasterawan dan sarjana sastera arus perdana Malaysia.
Sekarang kita cuba memahami dengan jelas mengapa hal ini boleh terjadi.
Dalam entri bertarikh 14 Januari 2015 mengenai Sidang Kemuncak Penulis
Malaysia, saya sentuh sepintas lalu tentang tiga jalur perkembangan sastera
Malaysia moden. Di bawah tajuk kecil “Tiga Jalur Perkembangan Intelektual”.
Jalur pertama berteraskan Islam, yang melahirkan para ulama dan cendekiawan
Melayu dalam dunia persuratan yang mereka kembangkan dan menjadikannya asas
tamadun Melayu moden. Dalam kategori ini saya mulai dengan Za’ba, dengan
mengambil kira kegiatan persuratan yang di dalamnya termasuk penulisan karya
kreatif dalam bentuk novel oleh Syed Sheikh Al-Hadi dan Abdul Kadir Adabi.
Inilah zaman permulaan kritikan sastera yang dimulai oleh Za’ba yang menulis
dalam majalah Qalam, membicarakan
persuratan secara umum dengan mengambil contoh dari Mesir dan juga
Indonesia. Kalau anda mahu ke depan
lagi, ke zaman gemilang Hamzah Fansuri dan menerima beliau sebagai Bapa
Kesusasteraan Melayu Moden, maka huraian dan hujahnya telah diberikan oleh
Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, dan nampaknya telah diterima umum. Jalur kedua saya namakan jalur nasionalis
Melayu, dipelopori oleh Ishak Haji Muhammad, Ahmad Boestamam, Harun Muhammad Amin, Abdullah Sidek, Hamdam
dan lain-lain. Mereka hampir
keseluruhannya menulis novel saja, kecuali Pungguk yang juga termasuk dalam
jalur ini. Jalur ketiga dipelopori Asas 50 yang bangga memberitahu masyarakat
bahawa mereka terputus daripada tradisi jumud dan mundur, tradisi feudal yang
melahirkan para ulama dan sebagainya. Za’ba sendiri adalah di antara yang
dikritik mereka dengan hebat sekali. Inilah kumpulan sosialis Marxis, yang
seluruhnya berpayung di bawah pengaruh Angkatan 45 di Indonesia, yang turut
sama mendakwa bahawa mereka, seperti kata Chairil Anwar, adalah ahli waris
sastera dunia (yakni sastera Barat). Inilah yang akhirnya muncul sebagai
sastera arus perdana itu. Dari kalangan mereka dan para penyokong merekalah
diambil beberapa orang sasterawan untuk diberi gelaran sasterawan negara.
Sekarang timbul persoalan, di mana hendak kita letak Abdullah Munsyi? Tokoh ini penting dalam konteks “pemodenan
sastera” yang dikaitkan dengan kedatangan mesin cetak ke Tanah Melayu dan
terbitnya buku-buku cap batu. Saya cenderung untuk meletakkan beliau dalam
jalur yang dipelopori Hamzah Fansuri itu, walaupun agak janggal kerana sikapnya
yang membela golongan penjajah,
tempatnya mencari rezeki dengan menjadi guru bahasa (munsyi) dan jurutulis. Kedudukan Abdullah adalah unik kerana beliau
adalah seorang Tamil Islam yang tiada darah Melayu, tetapi menjadi pembela
bahasa Melayu dan orang Melayu dan pada waktu yang sama meletakkan “orang
putih” sebagai manusia yang harus dicontohi kalau orang Melayu mahu maju.
Sungguh ironis, apabila nasihat beliau menjadi ikutan sasterawan arus perdana
dan para sarjana Melayu sendiri, yang kemudiannya menjadikan teori dan praktik
sastera Barat sebagai ikutan mereka.
Kalau Abdullah dituduh sebagai tali barut British, maka mereka ini pula
tali barut siapa? Pastilah mereka juga tali barut, cuma belum pasti terhadap
siapa!
Akan
berubahkah wajah sastera nanti?
Itulah wajah sastera Melayu moden yang kita kenal. Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia mengemukakan satu tajuk
mengenai wajah sastera Malaysia, “Wajah Sastera Malaysia: Seharusnya
Bagaimana?”, dengan dua buah kertas kerja. Kedua-dua kertas kerja ini hanya
bercerita secara umum beberapa perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk yang
diberikan, oleh itu kedua-duanya tidak cuba memberi analisis yang kritis yang
diminta mereka melakukannya mengenai wajah sastera yang mungkin menjadi impian
kedua-dua orang penulis ini, jika tidak pun yang diimpikan oleh rakyat
Malaysia. Terdapat kelucuan yang tidak disengajakan dalam kedua-dua kertas ini
apabila kita mendapat kesan rujukan yang mereka deretkan hanya untuk “action” (istilah Malaysia yang
terkenal), atau menunjuk-nunjuk saja, bukan untuk memberi maklumat tambahan
yang berguna. Tidak ada kaitannya dengan wajah sastera Melayu akan datang. Ini
pun sejenis retorik peragaan juga, just
to impress, tapi tiada apa-apa nilai akademiknya, hanya sejenis pretensi intelektual.
Mereka akan menjadi impressive dan
benar-benar bertanggungjawab jika mereka mengolah persoalan ini dengan meneliti
perkembangan yang telah dilalui oleh sastera Melayu moden, sehingga terpilihnya
12 orang sasterawan negara, dan munculnya cabaran yang mengejutkan daripada
gagasan Persuratan Baru. Apakah alasan mereka untuk tidak meneliti persoalan
ini. Apabila mereka membebel dalam idle
talk tentang pengajaran/pendidikan sastera, bagaimana mereka boleh membisu
seribu bahasa dengan sombong seolah-olah tidak pernah wujud Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid yang kini sudah
diulang cetak. Siapakah yang membacanya? Pasti bukan hantu Mak Limah yang
pulang ke rumah; atau inilah kes Tipah tertipu lagi! Bila seorang sarjana tidak mempunyai perasaan
malu untuk menjadi cetek meraba-raba dan begitu jauh ketinggalan maklumat, maka
yang penting bukan lagi wajah sastera Malaysia akan datang, tetapi wajah
sarjana masa kini yang masih bermimpi ketika orang sudah pergi begitu jauh ke
depan membincangkan hal-hal yang lebih asasi dalam perkembangan ilmu. Mengapa
anda membiarkan diri ketinggalan begitu jauh? Adakah itu satu keistimewaan?
Mungkin anda mula faham mengapa Rumi berkata, If your
thought is a rose/ you are a rose
garden; / if it is a thorn/ you are fuel for the bath stove. (Rumi Daylight, hal. 100). Mawar
dijaga oleh durinya; mawar
dipetik kerana harumnya; tetapi rantingnya yang berduri dijadikan kayu api. Kalau fikiran anda tidak sampai ke tahap ini,
tidak mungkin anda layak dan boleh berbicara tentang masa depan wajah sastera
Melayu. Kedua-dua penulis ini bercakap tentang duri, bukan tentang membina
taman mawar yang indah. Dalam hal ini, bagus jika anda tahu serba sedikit
mengapa konsep “idle talk” dalam falsafah Heidegger itu penting dalam dunia
akademi dan kritikan sastera. Saya sendiri terus membaca Heidegger kerana mahu
tahu falsafah Heidegger itu sendiri hanya “idle talk” atau benar-benar unggul
pemikirannya. Konsep “idle talk” ini penting kerana dalam budaya pandirisme
yang menjadi arus perdana dalam sastera Melayu memang kaya dengan “idle talk”
ini. Bolehkah kertas kerja yang kaya dengan “idle talk” membina wajah masa
depan sastera Melayu? Tajuk buku ITBM sendiri menegaskan semua perubahan harus
bersumber dan bermula daripada praktik sastera yang ada sekarang, dan yang
dikatakan wajah baru itu mestilah seiras dengan wajah yang ada sekarang. Inilah
maksud perubahan dalam status quo
yang ada; dan ini sebenarnya bukan perubahan, hanya retorik tentang perubahan.
Perubahan untuk menentukan status quo
terus berada di tempatnya.
Gagasan
Persuratan Baru Sebagai Alternatif
Masa depan, dan wajah baru kesusasteraan Melayu, berada dalam tangan
gagasan Persuratan Baru. Untuk pertama kalinya dalam sejarah kesusasteraan
Melayu moden, konsep sastera itu dicabar dan disisihkan, malah disingkirkan
sebagai konsep yang tidak sesuai dengan hakikat insan yang seluruh kehidupannya
sentiasa mencari kebenaran dan tempat yang kekal di akhirat. Untuk mencapainya,
manusia perlukan konsep ilmu yang benar yang membolehkan mereka mengenal
kebenaran dan kepalsuan dan menerima kebenaran itu sebagai matlamat kehidupan
mereka. Dalam konteks inilah manusia memahami konsep hamba dan khalifah, yang
hanya dapat dicapai melalui iman yang difaham dalam konteks ilmu yang benar.
Siapakah yang akan menerima hakikat ini? Pada umumnya para sasterawan berada
dalam kongkongan emosi dan hawa nafsu mereka yang inginkan kemasyhuran dan
kedudukan terhormat dalam masyarakat, maka itulah diwujudkan gelaran sasterawan
negara untuk memaksa masyarakat menerima para sasterawan ini sebagai golongan
istimewa kerana kebolehan mereka (yang tidak seberapa) untuk bercerita dan
bermain dengan emosi. Mereka dimitoskan melalui fatamorgana bahasa setelah
terlebih dahulu diberi imbasan khayal sebagai golongan yang istimewa sebagai
“pemikir” dengan meletakkan mereka dalam pretensi intelektual yang dibuat-buat,
menggunakan retorik peragaan kononnya mempunyai keistimewaan itu dan ini,
padahal sebenarnya tidak. Tepat sekali kata-kata Prof. Fazlur Rahman dalam satu
kutipan yang saya salin dahulu (lihat entri bertarikh 31 Disember 2014: “Jangan
Baca Karya Sasterawan Negara…”), yang diulang sekali lagi kerana sangat penting
untuk memahami persoalan ini:
“Given the
depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to
his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds
that would be consequential, for upon
this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (Major Themes of the Quran, hal.
33).
“The depth of human self-deception”,
atau khusran (Quran 103: 1-3) timbul
dari keengganan untuk menerima dua tugas hakiki manusia, kerana penerimaan
terhadap yang satu tanpa yang satu lagi tidak bermakna apa-apa, kerana amal
manusia disempurnakan dengan menerima dua hakikat kejadiannya sebagai hamba
Allah dan khalifah-Nya di bumi. Konsep sastera yang dijadikan panduan dan
pegangan para sasterawan menolak salah satunya, kalau tidak kedua-duanya.
Inilah maksud “self-deception” yang ditekankan
oleh Prof. Fazlur Rahman dalam kutipan di atas. Contoh yang kita lihat daripada
nasihat Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh supaya para sasterawan meniru
Salman Rushdie untuk berjaya sebagai sasterawan, adalah contoh yang paling
jelas dan paling baik dalam konteks “the
depth of self-deception” di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera.
Kesedaran ke arah itu hanya dapat difahami dengan memahami konsep taklif dalam
kehidupan manusia beriman. Malah di
kalangan manusia yang tidak beriman pun kesedaran itu samar-samar dirasai,
seperti misalnya yang dialami oleh Edmund Husserl, yang mengkritik kecenderungan
Barat yang berlebihan kepada sains moden, sehingga melupakan aspek
kerohaniannya. (Rujuk, antara lain, Samuel Enoch Stumpf, Socrates to Sartre: A Hisitory of Philsophy, 5th edition, 1993), (hal. 493-495.)
Dengan wujudnya tiga kategori karya kreatif dalam persuratan Melayu
(baca Gagasan Persuratan Baru, edisi
kedua 2014 untuk penjelasan lanjut): karya persuratan, karya sastera, dan karya
picisan/erotik, maka para sasterawan dan penulis diberi kebebasan untuk memilih
mana satu kategori yang mereka mahu, dengan kesedaran bahawa tiap satunya
mempunyai tempat tertentu dalam tamadun ilmu yang ingin diperkembangkan di
Malaysia. Itulah wajah sebenar yang akan dialami oleh kesusasteraan Melayu masa
depan. Kesedaran ke arah itu telah ada, telah mula mendapat perhatian, tetapi
terlalu lambat untuk difahami dengan mendalam sehingga akhirnya akan menjadi
pegangan dalam penulisan. Keadaan ini terjadi kerana terdapat cover up golongan Mutual Admiration Club
yang menguasai sastera Melayu moden sekarang, supaya gagasan Persuratan Baru
tidak dikenali, atau pun jika dikenali diberi wajah yang amat buruk sebagai
satu gerakan untuk menyekat kebebasan dalam penulisan kreatif. Pembohongan ini,
kalau pun diterima, boleh dipatahkan dengan mudah sekiranya anda fahami konsep
taklif, yang di dalamnya terdapat tiga rahsia itu. Apakah rahsia itu dan
mengapa konsep taklif itu penting dalam seni mengarang, dijelaskan dengan agak
terperinci dalam Pendidikan Estetika
daripada Pendekatan Tauhid dan di dalam Gagasan
Persuratan Baru, edisi kedua. Silalah baca di sana, mana-mana yang mahu.
Kalau tidak mahu pun tidak mengapa, kerana anda bebas memilih. Apa yang akan
terjadi semuanya hasil pilihan anda sendiri. Untuk memahami aspek ini, sila
rujuk keterangan tentangnya dalam entri 31/12/2014, merujuk Quran, 4: 115. Andalah yang akan menentukan apakah wajah
sastera Melayu dalam masa 30-50 tahun ini, setelah mengetahui kedudukan
sebenarnya. Siapakah yang boleh
menyekatnya?
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/1/2015.
Catatan daripada komen di blog ini:
AnonymousJanuary
20, 2015 at 6:53 PM
Salam Tn Mohd Affandi Hassan dan pembaca yg lain
Sekadar nak kongsi maklumat yang saya kira bermanfaat. Tadi tonton TV Al Hijrah, ada iklan untuk rancangan 'Persepsi' untuk siaran 26.1.2015 (Isnin), fokus tentang Islam yang dipersenda. Foto Salman Rushdie dan The Satanic Verses melatari teaser untuk bual bicara itu. Menarik kan? Agaknya orang tv pun baca saranan SN yang suruh sasterawan Melayu contohi Salman Rushdie. Jangan ketinggalan menontonnya.
Sekadar nak kongsi maklumat yang saya kira bermanfaat. Tadi tonton TV Al Hijrah, ada iklan untuk rancangan 'Persepsi' untuk siaran 26.1.2015 (Isnin), fokus tentang Islam yang dipersenda. Foto Salman Rushdie dan The Satanic Verses melatari teaser untuk bual bicara itu. Menarik kan? Agaknya orang tv pun baca saranan SN yang suruh sasterawan Melayu contohi Salman Rushdie. Jangan ketinggalan menontonnya.
Waktu siaran jam 10.05 malam, setiap Isnin - Persepsi
ReplyDelete