Friday, January 16, 2015

SIAPAKAH PENGHALANG KEMAJUAN BERFIKIR DALAM KESUSASTERAAN MELAYU?



Soalan ini menarik kerana jawapannya akan mengejutkan kita semua. Salah satu natijah positif yang lahir dari Sidang Kemuncak Penulis Malaysia baru-baru ini ialah kemungkinan kita mendapat jawapan yang paling tepat kepada soalan di atas.  Jawapan itu sebenarnya sudah dapat kita lihat dalam kertas kerja yang dibentangkan dalam Sidang Kemuncak itu. Nada yang ditonjolkan dalam sidang ini ialah perlunya hegemoni dalam sastera Melayu, dengan maksud segala perbezaan pendapat tidak diperlukan dan tidak produktif kerana pandangan arus perdana wajib diterima kerana itulah pilihan ramai atau pilihan majoriti. Semua tulisan atau kertas kerja menegaskan pendirian itu sebagai pilihan satu-satunya yang boleh diterima oleh semua pihak, dan ini bererti apa juga kritikan yang ditujukan kepada pandangan arus perdana adalah biadab dan berniat jahat. Sekarang timbul persoalan yang perlu diselesaikan, atau sekurang-kurangnya diberi penjelasan mengapa yang disebut arus perdana itu mesti menjadi ikutan semua sasterawan dan sarjana sastera? Saya tidak dapati dalam mana-mana kertas pun ditegaskan penjelasan itu diperlukan, kerana suara majoriti adalah suara keramat yang tidak memerlukan apa-apa hujah. Majoriti itu sendiri adalah hujah. Kalau betul inilah pendirian yang sah, maka apakah makna kebebasan menulis dan memberi pilihan dalam kegiatan sastera? Jelaslah kebebasan itu hanya berada dalam lingkungan kumpulan Mutual Admiration Club, sebagai satu-satunya suara majoriti yang terpakai di Malaysia, yang melaluinya kerajaan memberikan sekian banyak dana untuk digunakan bagi keperluan para sasterawan, misalnya dana berjumlah RM5 juta untuk digunakan oleh PENA dan ITBM untuk mencetak buku baru karangan para sasterawan, termasuk terjemahan, adaptasi dan lain-lain. Siapakah yang layak mendapat kemudahan itu? Semua sasterawan dan penulis Malaysia, tanpa mengira keturunan etnik, faham politik, dan kedudukannya dalam masyarakat. Semuanya mendapat faedah sama rata, kerana dalam perhitungan terakhir, keputusan dibuat berasaskan ukuran yang ditetapkan oleh jawatan kuasa khas yang ditubuhkan untuk menapis sebarang permohonan daripada sasterawan dan penggiat sastera.
Sekiranya pendirian ini benar menjadi pilihan, maka apakah makna kebebasan berfikir dan sebagainya yang kononnya diiktiraf oleh suara majoriti itu? Suara majoriti yang menentukan corak perkembangan kesusasteraan yang kononnya akan berakhir dengan sastera menjadi teras negara bangsa adalah sastera yang keseluruhannya anti-ilmu dan anti-Islam. Sifat anti-Islam itu terlihat dalam sikap yang meremehkan pengaruh Islam sebagai asas pembangunan tamadun Melayu melalui persuratan dan lain-lain kegiatan bercorak intelektual. Kesusasteraan yang diterima menjadi suara perdana itu diwarisi daripada gerakan kesusasteraan Asas 50 yang anti-Islam (rujuk Warta, bil. 58, bertarikh 8 April 1954: “Tulisan Jawi tidak ada hubungannya sama sekali dengan agama Islam, oleh itu bahasa Melayu tidak perlukan tulisan Jawi”.) Inilah warisan yang diterima oleh kesusasteraan Melayu moden yang melahirkan 12 orang sasterawan negara. Penilaian yang dilakukan dalam pemilihan para sasterawan negara itu tidak berasaskan nilai-nilai Islam dan para sasterawan negara ini tidak menonjolkan imej Islam walaupun persuratan Melayu dikembangkan oleh para ulama melalui tulisan Jawi. Dalam bahasa yang mudah, para sasterawan negara, warisan Asas 50 itu, menjadi penghalang kepada perkembangan intelektual dan perkembangan persuratan di Tanah Melayu, oleh itu kehadiran mereka dengan gelaran istimewa itu berlaku sebagai akibat tertabalnya konsep arus perdana yang berasaskan falsafah hedonisme dan sikap anti-Islam dalam gerakan kesusasteraan yang dibawa oleh Asas 50. Inilah yang dipanggil oleh Dr. Mohammad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA, sebagai hegemoni budaya dalam sastera Melayu yang dijadikan arus perdana itu. Dalam entri 31 Disember 2014 saya memberikan hujah dan bukti konkrit kepalsuan faham kesusasteraan yang dijadikan arus perdana ini. Dalam entri 28 Oktober 2014, saya menilai sumbangan para sasterawan negara ini dengan kritis, dan sampai kepada kesimpulan yang sama. Apakah makna semua hujah dan kritikan ini? Saya menurunkan satu kutipan penting daripada Prof. Fazlur Rahman yang saya salin kembali di sini:

“Given the depth of human self-deception, how important it is that man be “awakened” to his real nature, to be responsible before God, to think thoughts and do deeds that would be consequential,  for upon this depends the whole destiny of man and of God’s purposes for man.” (Major Themes of the Quran, hal. 33).  Jelas?

Apa makna “the depth of human self-deception” yang disebut oleh Prof. Fazlur Rahman?. Inilah yang disebut oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai “kehilangan adab” akibat kekeliruan dalam konsep ilmu, yang kemudiannya melahirkan pemimpin dan penulis/sasterawan palsu yang menolak hakikat keinsanannya sebagai hamba dan khalifah di bumi.  Para sasterawan menerima kedudukannya sebagai “khalifah” di bumi, dengan itu dengan segala kekeliruan yang mereka jadikan panduan, mereka menentukan corak kesusasteraan yang mereka mahu berasaskan budaya hawa nafsu. Mereka tidak menerima hakikat insan yang pertama, bahawa mereka adalah Hamba Allah terlebih dahulu sebelum boleh meletakkan diri mereka sebagai khalifah di bumi; dengan itu mereka menolak konsep taklif yang menjadi asas semua perbuatan manusia. Kehilangan taklif dan penolakan konsep taklif inilah yang menimbulkan “the depth of human self-deception” yang disebut oleh Prof. Fazlur Rahman. Sekarang anda faham, dan dapat melihatnya dengan jelas, mengapa mereka menolak ilmu sebagai teras kebudayaan dan kesusasteraan, kerana jika mereka terima itu, maka mereka akan menolak kewujudan sasterawan negara disebabkan jawatan atau gelaran sasterawan negara itu tidak mencerminkan hakikat taklif manusia, satu gelaran dan kedudukan yang merayakan “the depth of human self-deception”. Dalam konteks inilah kita menyebut mereka sebagai melahirkan dan memberi sanjungan kepada budaya bullshit yang dibincang dengan mendalam oleh Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya, On Bullshit.

Jika anda faham proses kehilangan adab kerana kekeliruan dalam konsep ilmu ini, maka anda tidak akan berasa hairan mengapa tidak seorang pun di antara penulis kertas kerja dalam sidang Kemuncak Penulis Malaysia ini menulis tentang peranan ilmu dalam kesusasteraan. Jika mereka membincangkannya, maka mereka tidak ada pilihan melainkan akan membincangkan dengan saksama gagasan Persuratan Baru, yang mereka tolak bulat-bulat kerana gagasan Persuratan Baru menyerlahkan kepalsuan mereka sebagai kumpulan pinggiran yang “cetek meraba-raba”. Inilah kumpulan yang mendakwa mereka telah meletakkan arus perdana dalam perkembangan  kesusasteraan dan telah dijadikan faham yang telah diterima oleh golongan majoriti para sasterawan dan sarjana sastera. Semua ini adalah pembohongan yang tidak bermaruah, yang hanya lahir dari jiwa yang biadab yang tidak menerima hakikat kejadian insan walaupun mereka mengaku mereka penganut Islam. Inilah yang saya maksudkan dengan kesimpulan yang mengejutkan pada permulaan tulisan ini.

Sekarang apa yang harus kita lakukan? Benarkah kemunculan para sasterawan negara dan para sasterawan secara umum mendaulatkan “the depth of human  self-deception” di kalangan sasterawan dan sarjana sastera? Apakah akibatnya? Kita disogokkan nilai-nilai palsu dalam karya sastera dan dalam penilaian sastera, yang dinilai oleh orang-orang yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu (lihat huraian Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu,1972). Kepalsuan penilaian ini sangat jelas dilakukan oleh para penilai  ini, apabila buku-buku “akademik” yang merayakan kepalsuan ilmu diberi hadiah. Anda boleh rujuk laporan Hadiah Sastera Perdana untuk melihat buku-buku ini.

Dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, peranan ilmu tidak langsung diberi tempat, malah dengan penuh kejahilan dan ketinggalan zaman yang memalukan para sarjana, seorang sarjana besar negara ini melalut mengatakan kritikan sastera telah patah di tangan pengkritik yang biadab dan tidak berbudi bahasa dalam kritikan. Pandangan beliau diterima oleh Sidang Kemuncak, jika dilihat tiadanya apa-apa pandangan kritis menegur dan menyangkal kesimpulan yang tidak bertanggungjawab ini. Mungkin semua peserta seminar tidak tahu dan tidak pernah dengar nama Mohd. Affandi Hassan yang memperkenalkan gagasan Persuratan Baru. Sekiranya mereka pernah mendengar nama itu dan tahu wujudnya gagasan Persuratan Baru, tentulah mereka bersuara dengan sopan santun menegur keangkuhan profesor ini yang menuduh kritikan sastera sudah patah tangan. Agak aneh tiada seorang pun yang pernah dengar gagasan Persuratan Baru, oleh itu mereka tidak berasa tersinggung diperbodohkan oleh sang profesor. Sekiranya ada di antara mereka yang pernah tahu dan kenal Mohd Affandi Hassan, lebih aneh lagi jika mereka tidak membetulkan kesilapan besar profesor yang ketinggalan zaman  itu. Tidak dapat dibayangkan para sarjana yang mungkin tahu sedikit sebanyak tidak terpanggil untuk membetulkan kedudukan sebenar. Semua ini memberi kesimpulan bahawa mereka adalah anti-ilmu dan anti-Islam, oleh itu mereka lebih rela untuk bersekutu dengan profesor yang melalut dan mengarut itu, walaupun  perbuatan mereka bersetuju dengan profesor ini membuat mereka tidak ada maruah intelektual  dan maruah akademik sama sekali. Bagusnya sikap mereka ini ialah jika dilihat dalam konteks pandirisme yang selalu saya tegaskan. Sudah jelas pandirisme mencengkam kehidupan intelektual mereka begitu kuat sekali, hingga mereka berasa selesa berada dalam kejahilan dan turut membenarkan yang salah, tanpa sebarang rasa bersalah. Kalau anda fikirkan dengan objektif sikap mereka ini, anda akan berasa sangat pelik bagaimana golongan  pandirisme ini dengan angkuh memberitahu rakyat Malaysia bahawa tamadun negara ini akan berteraskan sastera Melayu versi pandirisme yang mereka anuti. Ini suatu kejahatan intelektual yang tiada tolok bandingnya, dan akan menjadi satu jenayah intelektual yang besar jika golongan yang anti-ilmu dan anti-Islam ini menentukan corak tamadun bangsa kita. Sekarang sudah jelas niat jahat sebilangan sarjana yang berkumpul di dalam Mutual Admiration Club ini cuba membina tamadun hedonisme di negara ini dengan menggunakan kesusasteraan Melayu sebagai asas, seperti yang mereka tegaskan dalam buku Sastera Teras Negara Bangsa. Teruskanlah, jika itu yang kamu mahu dan persetujui. Dalam resolusi yang dikeluarkan, sebuah Majlis Sastera, Bahasa, dan Kesenian Malaysia dicadangkan supaya ditubuhkan oleh kerajaan. Jika badan ini ditubuhkan, bolehkah kita bawa kes penipuan intelektual ini untuk dibicarakan dalam Majlis itu sebagai kes pertama dalam sejarah penipuan ilmu di negara ini.

Akhirnya, sebagai peringatan untuk kita semua yang masih percayakan agama dan sekali sekala menyebut pentingnya kehidupan beragama di kalangan orang Melayu, maka baca kembali makna dan implikasi ayat 4: 115 yang dihuraikan dalam entri 31 Disember 2014. Baca juga keseluruhan entri itu  dengan kritis supaya anda dapat memahami entri ini dengan lebih mendalam.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16 Januari 2015.



No comments:

Post a Comment