Salah satu aspek kecemerlangan dalam kritikan sastera
di Malaysia ialah kukuhnya pengaruh pandirisme dalam menganalisis, menggunakan
maklumat yang tidak relevan, dan membuat penilaian yang penuh sensasi. Pengaruh pandirisme telah memberi kesan
positif dari segi mempromosi karya para sasterawan, terutama sekali karya
sasterawan negara. Keadaan ini dimungkinkan oleh sikap lunak dan menyerah para
pembaca Malaysia, yang tidak bersedia untuk mempersoalkan penilaian yang dibuat
berasaskan pandirisme itu. Lagi pula, pembaca sangat menghormati para penilai
sebagai sekumpulan pakar sastera yang serba tahu dan amat jujur dalam membuat
penilaian, sehingga tidak mungkin terjadi salah nilai atau salah sanjung
terhadap seseorang yang diberi pujian tinggi.
Tetapi sebaik saja kita meneliti penilaian itu dengan kritis, berasaskan
ukuran yang objektif dan jitu berdasarkan konsep ilmu yang benar, misalnya,
maka akan muncul beberapa kontradiksi yang tidak disangka-sangka, yang
membuktikan penilaian itu tidak tepat dengan nilai yang ada di dalam karya itu sendiri.
Ketika menganalisis satu keputusan sayembara menulis novel anjuran Dewan
Bahasa dan Pustaka, Prof. Ungku Maimunah
Mohd. Tahir telah membuktikan betapa kriteria pemilihan yang ditetapkan tidak
diikuti ketika membuat pilihan, oleh itu karya yang terpilih tidak memenuhi
ukuran yang ditetapkan. Beliau memberi contoh yang menarik tentang pemilihan
novel Azizi Haji Abdullah Harga Sebuah
Maruah, yang tidak langsung memenuhi kriteria atau ukuran yang ditetapkan
oleh penganjur sayembara. Analisis beliau terhadap novel Salam Maria, walaupun menimbulkan kemarahan penulisnya dan para
penyokong beliau, namun telah berjaya menyerlahkan bagaimana semangat
pandirisme itu mendasari penulisan karya ini dan penilaian terhadap novel ini
dicacatkan dengan pretensi intelektual, yang hanya berada pada peringkat idle talk. [Baca ulasan Prof. Ungku Maimunah dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2,
2014, bab 9]. Saya sendiri telah membicarakan dengan kritis keputusan
Hadiah Sako II dan pemilihan novel Azizi Haji Abdullah sebagai tidak tepat dan
tidak berasaskan nilai yang konkrit. (Lihat Gagasan
Persuratan Baru, edisi ke-2, hal. 219-220.)
Satu kesan yang sangat negatif yang berpunca daripada penilaian
berasaskan pandirisme ini ialah kemunculan karya-karya picisan yang diberi
penilaian tinggi akibat pandirisme. Contoh paling terkenal dan paling baik
ialah pendapat sarjana yang mengatakan novel lucah dan picisan TIVI oleh Shahnon Ahmad sebagai sebuah
karya sufi! (Lihat Dewan Sastera, September 2004, hal. 23-27). Pandirisme memberi kesan negatif yang
amat buruk dalam pendidikan sastera, apabila karya-karya mediocre dijadikan teks untuk dikaji dengan kaedah yang menjurus
kepada pandirisme, tidak kritis dan tidak berteraskan kefahaman yang mencukupi
dalam penggunaan teori atau pendekatan yang sesuai. Akibatnya ialah kita gagal
melahirkan pelajar sastera yang pintar dan berupaya berfikir dengan kritis.
Apabila pelajar seumpama ini kemudiannya mendapat gelar doktor, dan mula
mengajar, mereka akan meneruskan pandirisme itu dengan lebih tekun, kerana
mereka tidak mempunyai standard yang membolehkan mereka mengetahui mana yang
bersifat pandirisme mana yang tidak. Dalam keadaan inilah kritikan sastera
Melayu dan hasil kajian akademik hanya mengeluarkan bullshit dan idle talk
saja. Sebagai contoh, kajian terhadap karya Anwar Ridhwan yang menggunakan
pendekatan tertentu, penuh dengan pujian dan kenyataan yang tidak dianalisis
dengan kritis. Sekali lagi, entri 24/10/2014 dengan tajuk “Keunggulan yang
Cacat” perlu dibaca dengan kritis untuk
memahami kesimpulan ini.
Mengapa
Pandirisme Menjadi Pilihan
Pandirisme berkembang subur dalam kegiatan akademik
dan kreatif di Malaysia kerana pengaruh teori sastera Barat yang tidak
mementingkan matlamat kreatif dan kritikan dalam konteks perkembangan budaya
ilmu berasaskan epistemologi Islam yang jelas dan pasti. Sebaliknya, hasil
sastera masih lagi dilihat daripada perspektif hiburan berasaskan budaya hawa
nafsu (hedonisme) untuk memenuhi tuntutan perdagangan di satu pihak, dan tuntutan
kepuasan individu penulis di pihak yang lain.
Kini diperkenalkan konsep industri kreatif yang seluruhnya hedonistik
itu, dan para penulis digesa untuk menyokong dan menyuburkan industri kreatif
itu dengan menghasilkan karya yang boleh dipasarkan di dalam dan di luar negara
(dalam bentuk terjemahan). Menurut logik
golongan ini, tidak ada gunanya mencipta karya kreatif yang tidak boleh dijual
dan yang membolehkan penciptanya mendapat faedah ekonomi yang setimpal. Inilah pendekatan yang diambil oleh Sidang
Kemuncak Penulis Malaysia 2014, yang diabadikan dalam buku mereka Sastera Teras Negara Bangsa. Dengan tema persidangan itu “Strategi dan
Pendekatan Baru dalam Pemerkasaan Sastera Malaysia,” seluruh usaha diarahkan kepada sekularisasi
sastera sepenuhnya untuk memastikan mendapat tempat dalam pasaran antara
bangsa. Kecenderungan kepada apa yang dipanggil mereka “pengantarabangsaan”
(buruk betul istilahnya!) sastera Melayu membuat mereka mengalih pandangan dan
cita rasa mereka untuk memenuhi budaya hedonisme Barat, dengan gesaan kepada
para penulis untuk menulis karya yang dapat dipasarkan di peringkat antara
bangsa. Semua perbincangan diarahkan
kepada isu ini. Tidak sepatah pun ditimbulkan peranan ilmu dalam seni kreatif
walaupun seluruh peserta Sidang Kemuncak ini beragama Islam. Di sana sini
memang disebut perkataan Islam, Muslim, khalifah dan sebagainya, tetapi
semuanya dalam konteks sekularisasi sastera. Apa yang disebut sebagai
“pemerkasaan sastera” itu terarah sepenuhnya kepada keuntungan perdagangan dalam dunia baru yang kini
mempromosi industri kreatif. Sebaik saja
istilah industri itu dipakai, maka sastera sudah diiktiraf sebagai salah satu
komoditi dalam ekonomi kapitalisme yang menjadikan kuasa ekonomi global sebagai
alat kolonialisme intelektual. Seorang
penulis muda dalam kertasnya menampakkan sedikit kesedaran kepada pentingnya
ilmu, tetapi masih teragak-agak untuk menjadikan ilmu sebagai teras dalam
penulisan kreatif dan bidang akademik.
Walaupun mereka bercakap tentang
perubahan dan sebagainya, tetapi mereka masih berada dalam “paradigma lama”
yang anti-ilmu, suatu sikap yang sangat pelik kerana selalu diucapkan sastera
itu adalah juga ilmu. Kalau begitu, mengapa mesti anti-ilmu? Setelah berbelit-belit
merayau ke sana ke mari untuk mencari cara memperkasakan sastera, mereka
akhirnya sampai kepada sikap hamba untuk menyokong sepenuhnya Transformasi
Ekonomi dan Politik yang dipromosikan oleh kerajaan sekarang (belum tentu,
sebenarnya, masih lagi berada di taraf slogan saja) dengan harapan yang
berlebihan sikap optimistiknya. Terdapat keangkuhan intelektual yang cukup
jelas apabila golongan ini membisu dan membutakan mata akal mereka untuk
tidak melihat dengan kritis satu projek
pembangunan persuratan Melayu Abad 21 ini, yang ditawarkan oleh gagasan
Persuratan Baru. Dengan meremehkan usaha pembinaan tamadun ilmu menurut Islam
ini, maka mereka yang riuh-rendah bercakap tentang “pemerkasaan sastera,” padahal sebenarnya sedang berseronok dalam
kegiatan yang bersifat bullshit
dengan memperagakan dengan megah idle
talk mereka sehingga sanggup memanjat bumbung kilang berkarat untuk
bermimpi mencari cadangan yang cetek dan
amat jauh ketinggalan zaman. What a humbug indeed!
Sidang Puncak ini lebih tepat jika diklasifikasikan
sebagai pesta pandirisme yang hanya mencari kesempatan untuk mendapat faedah
diri individu. Semua ini terserlah dalam rumusan yang mereka kemukakan kepada
kerajaan. Dengan rasa tamak yang tidak terbatas,
mereka minta itu ini untuk memastikan mereka mendapat faedah peribadi, misalnya
dengan pretensi kononnya kehadiran mereka dalam delegasi rasmi adalah perlu
untuk mempromosi sastera Malaysia! Cara
berfikir mereka juga terlalu pekat dengan semangat dan kesan kolonialisme
budaya yang ingin menyekat “kebebasan memilih” dengan mencadangkan apa yang
mereka namakan Dasar Kesusasteraan Negara.
Apakah yang mendorong mereka mengusahakan sebuah dasar untuk mengikat
kebebasan berkarya? Yang kita perlukan bukan “dasar kebangsaan” yang
gila-gilaan, yang didorong oleh rasa tamak dan kepentingan diri yang berlebihan.
(Mereka menegaskan, sebagai syarat, jawatankuasa penggubal mestilah terdiri
daripada sasterawan negara dan ahli akademik dalam kelompok Mutual Admiration
Club, termasuk wakil dari persatuan penulis dan lain-lain). Tujuan menubuhkan Majlis Sastera, Bahasa, dan Kesenian Malaysia
ialah untuk membina falsafah, hala tuju penciptaan karya dan promosi karya
untuk dilaksanakan dalam Dasar
Kesusasteraan Negara. Motifnya ialah mereka akan mendapat faedah dari segi
kewangan, dana untuk kepentingan puak sendiri, penghormatan, dan yang seumpama
itu bila berada dalam kandang birokrasi.
Sepatutnya mereka mempermudahkan perkembangan ilmu yang benar dengan
mengadakan perbincangan berterusan dalam seminar dan kolokium, kerana yang kita
perlukan ialah sedikit penglibatan aktif dalam mewujudkan tamadun ilmu
berasaskan konsep ilmu yang benar. Hanya di sini saja kita mempunyai harapan
dan kemungkinan meningkatkan kualiti kreatif dan akademik kita, dan dapat melepaskan
diri daripada kincir intelektual yang berpusing-pusing di telaga keruh teori
sastera Barat. Kerana telah ditutup mata hatinya begitu lama, seperti keldai
ditutup matanya dikincir air, maka nampaknya amat sukar bagi golongan pendukung
pandirisme ini untuk berubah. Mereka sering bercakap tentang perubahan itu
untuk orang lain.
Faktor yang Menjadikan
Pandirisme Sebagai Arus Perdana
Dengan wujudnya sasterawan negara, maka terjadilah perkumpulan yang
dikenali sebagai Mutual Admiration Club di kalangan para sasterawan. Sarjana,
pengkritik dan sasterawan sendiri menerima para sasterawan negara sebagai tokoh
sastera yang tidak boleh dipertikaikan, maka dengan itu terjadilah pemitosan
secara besar-besaran terhada para sasterawan negara ini. Alat yang mereka
gunakan ialah teori sastera Barat, yang mereka jadikan ukuran untuk mengangkat
para sasterawan negara ini. Maka dengan itu kita lihat bermacam-macam teori
Barat diperkenalkan dalam seminar khusus untuk membicarakan “pemikiran” para
sasterawan negara ini. Teori-teori itu diperagakan begitu sahaja, tanpa
sebarang analisis yang boleh meyakinkan atau yang cocok dengan kualiti karya
yang dibicarakan. Sebagai contoh, apabila teori semiotik dicuba untuk
menganalisis sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, sarjana yang mengemukakan teori
itu buntu kerana tidak dapat menentukan dengan tepat makna dan nilai karya itu.
(Lihat kertas kerja Prof. Madya Arbak Othman).
Adakah teori semiotik tidak sesuai, atau sajak-sajak yang dinilai
berasaskan teori itu gagal menonjolkan mutu kreatifnya? Mungkin juga kedua-duannya, yakni sajak-sajak
itu memang tidak bermutu dan penggunaan teori itu sendiri hanya pada peringkat recipe knowledge saja. Bila kesimpulan yang tidak tepat ini dapat
kepada pelajar atau pembaca yang tidak tahu menahu tentang semiotik, maka
terjadilah perlumbaan untuk memuji sasterawan berkenaan sehinnga kemudiannya
menjadi kebiasaan, oleh itu segala kesilapan dan penilaian yang picisan akan
diterima sebagai bertaraf ilmiah dan mempunyai nilai akademik yang tinggi. Inilah
cerita sebenarnya, yang meletakkan pandirisme sebagai hujah dalam membuat
penilaian terhadap karya para sasterawan negara ini.
Dengan meningkatnya pengaruh pandirisme dalam arus
perdana kesusasteraan Melayu, maka kita
dapati semakin jelas sikap anti-ilmu dan anti-Islam dalam kegiatan
kesusasteraan Melayu. Semua ini timbul dari sejenis ketakutan tidak berasas
bahawa jika gerakan memartabatkan peranan ilmu yang benar seperti yang difahami
dalam Islam mendapat sokongan, maka para sasterawan negara dan sarjana yang
menyokong mereka akan menghadapi masalah kredibiliti mereka dalam
mempertahankan kedudukan mereka dalam arus perdana yang diasaskan pada falsafah
pandirisme itu. Kita lihat ketakutan ini menyerlah sangat jelas dalam kertas
kerja yang dibentangkan dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia, yang sekali sekala
menyebut peranan Islam secara kabur dan amat mengelirukan, seperti yang
ditunjukkan oleh Anwar Ridhwan dalam kertasnya, dan perihal Prof. Emeritus Dr.
Muhammad Haji Salleh mempromosikan Salman Rushdie untuk dijadikan ikutan. Kertas kerja Dr. Mohamad Salleh Rahamad
tentang peranan hegemoni bertujuan untuk mengekalkan pandirisme dalam
kesusasteraan Melayu. Beliau pernah memberi penegasan yang menyatakan bahawa
walaupun gagasan Persuratan Baru “mungkin” mendapat perhatian beberapa orang
sasterawan dan sarjana, secara umumnya asas-asas pandirisme yang dikritik oleh
golongan taasub (istilah beliau) ini masih terus dijadikan arus perdana ialah
kesusasteraan dalam konteks penerapan nilai-nilai Barat dan teori sastera
Barat. Dalam tulisannya, Dr. Saleeh Rahamad menafikan peranan wahyu dalam
pembangunan tamadun, tetapi menerima peranan sastera melalui ucapannya yang
pelik dan tidak berasas, “Keberdayaan kesusasteraan sebagai tenaga hegemoni
berkait erat dengan sifatnya yang diskursif. Bahasa sebagai alat penjanaan idea
dalam karya sastera tidak bersifat neutral, sebaliknya mempunyai upaya dan
ideologi tertentu. Atau dalam erti kata lain, karya sastera adalah wacana, discourse, yang memiliki ideologi
tersirat. … Karya tersebut membawa
ideologi, memiliki kuasa yang menentukan apa-apa yang boleh dimasukkan untuk
tatapan khalayaknya. Dengan hal yang demikian, setiap perkara dalam karya itu
disisipi unsur hegemoni untuk menundukkan masyarakat agar mereka mematuhinya
secara sah. Di sinilah berperanannya ideologi dalam karya sastera.” (hal.
21-22). Inilah mimpi kaum Marxist di
Eropah, yang hanya berada dalam teori hegemoni Gramsci. Adakah idea ini menjadi pegangan para
sasterawan dan sarjana Malaysia? Kalau kita boleh percaya kesungguhan Dr.
Saleeh Rahamad itu satu gambaran benar tentang sikap sarjana dan sasterawan
Malaysia, maka benarlah andaian saya selama ini bahawa mereka memperjuangkan
sekularisasi sastera dan menjadikan Sidang Kemuncak Penulis Malaysia untuk
mencapai maksud mereka. Tetapi faham ini
sebenarnya karut, bullshit saja,
kerana sejarah Eropah dan sejarah di tempat-tempat lain juga memberitahu kita
bahawa yang dimaksudkan dengan hegemoni itu tidak pernah dalam konteks
kebudayaan, sebaliknya ditegakkan dengan kuasa tentera atau perundangan yang
keras. Kebenaran andaian ini cukup jelas terlihat dalam kertas kerja yang
dibentangkan dalam Sidang Kemuncak ini, yang menerima hegemoni Barisan Nasional
sebagai satu-satunya cara untuk memajukan negara Malaysia. Sasterawan negara
Baha Zain menulis satu kertas khusus untuk mewakili Sidang ini bahawa yang
diperlukan sekarang ialah sokongan tidak berbelah bahagi para penulis,
sasterawan, sarjana dan ilmuwan untuk mencapai cita-cita Barisan Nasional
melalui apa yang mereka sebut “Transformasi Negara/Nasional…” Inilah kali pertama, dalam pengalaman saya
berkecimpung dalam kegiatan kesusasteraan, saya melihat para sasterawan dan
segala yang menjadi pengikut mereka memberi kepercayaan penuh kepada cita-cita
politik BN dengan harapan mereka juga dapat tumpang semangkuk. Bolehkah saya
bertanya: Adakah mereka masih bermoral? Jawapan yang akan saya terima cukup
senang: sikap negatif Mohd. Affandi Hassan masih tidak berubah, dengan melihat
semua usaha orang lain adalah sia-sia kerana beliau tidak bersetuju. Really,
this is humbug of the first order!
Para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan,
jika mereka betul-betul percaya sastera yang mereka anuti itu adalah wacana
bersifat ilmu, dengan kefahaman bahawa tidak mungkin muncul wacana dalam
paksaan hegemoni, tetapi mesti terbuka untuk didebatkan, seperti yang diajar
dan dipraktikkan di kalangan ulama Islam, maka mereka tidaklah akan berada
dalam ketakutan akan kehilangan pengaruh dan faedah kebendaan lainnya, terutama
dari segi wang dan penghormatan, dengan menolak peranan ilmu yang benar dalam
pembangunan tamadun ilmu. Mereka tidak boleh
lagi berdolak-dalik untuk melancarkan penafian kerana semua tulisan yang mereka
bentang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia itu hostile (saya sengaja guna perkataan Inggeris kerana saya seorang
pengamal teknik stylization of ideas)
kepada wacana ilmu dalam konteks ilmu yang benar. Mereka hanya mempromosikan
idea wacana yang totok sekular, untuk dikunyah dan ditelan oleh masyarakat yang
mereka tahu masih berpegang kepada ajaran wahyu. Sebenarnya apakah yang
diingini oleh golongan ini?
Kesimpulan
Tegas
Pandirisme yang menjadi arus perdana dalam kehidupan
rakyat Malaysia sekarang, bukan hanya dalam kesusasteraan, perlu ditangani
dengan cermat dan dengan penuh sabar, dengan penuh pengertian. Kekeliruan
masyarakat dan para pemimpin tentang nilai-nilai murni yang sering mereka
sebut-sebut, tidak menjadi pakaian basahan mereka dalam kehidupan seharian,
hanya untuk disebut sebagai slogan sahaja. Ini jelas dalam cara kita
melaksanakan undang-undang, yang sentiasa menjadi tanda-tanya semua anggota
masyarakat, adakah kita telah melaksanakan keadilan seperti yang dituntut dalam
Islam, sesuai dengan kedudukan negara ini yang sering disebut sebagai sebuah
negara Islam, walaupun undang-undang Islam tidak diterima dalam Perlembagaan
yang menegaskan apa-apa juga undang yang dipakai di Malaysia mestilah serasi
dengan kehendak Perlembagaan, walaupun bertentangan dengan hukum Islam dan
nilai-nilai Islam. Inilah maksud hegemoni yang sebenarnya, seperti yang
dipelopori dan difahamkan dalam konteks politik sekular. Kes Altantuya dan kes Anwar Ibrahim hanya
tahi gigi dalam sistem undang-undang kita, tidak menjadi halangan untuk
diteruskan dalam keadaan yang ada walaupun semakin ramai yang menjerit mahukan
keadilan. Hujah yang digunakan cukup senang: semua undang-undang yang dipakai
di negara ini diluluskan oleh Parlimen, dengan persetujuan majoriti Ahli
Parlimen, yang mewakili rakyat yang memang meletakkan mereka di Dewan Rakyat
untuk menguruskan segala urusan dunia mereka. Khusus dalam kes Anwar Ibrahim,
selain kita lihat betapa gigihnya kerajaan berusaha untuk memastikan dia
dipenjarakan, satu perkembangan baru telah muncul dalam kehidupan Malaysia.
Peguam yang membela kerajaan yang diupah dengan bayaran mahal, muncul di dalam
forum yang dianjurkan oleh UMNO untuk mendedahkan segala kejahatan Anwar
Ibrahim yang dilindungi Mahkamah selama ini. Adakah ini satu ajaran moral yang
baru? Bagi saya yang tidak tahu undang-undang, pendedahan tentang kejahatan
beliau yang sudah pun dihukum dengan sempurna adalah pembelaan yang terbaik
yang diberikan kepada beliau. Kalau kita masih yakin kepada ajaran Islam,
sesiapa juga yang mendedahkan kejahatan orang lain dengan sengaja adalah
memfitnahkannya, dan dari segi hukum dia telah melakukan jenayah yang berat
dari segi etika Islam. Semua kejahatannya dan kejahatan yang orang yang
dituduhnya, akan kembali kepadanya dan kebaikannya, kalau ada, akan kembali
kepada Anwar Ibrahim. Tidakkah ini satu cara pelaburan saham yang baik? Tetapi
dalam era pascamoden ini orang Islam sendiri pun sudah tidak percaya lagi
kepada prinsip ini.
Satu ketika dulu, dalam tahun 1980-an, dalam satu
seminar di Dewan Bahasa dan Pustaka membicarakan tentang rasuah, Prof. Syed Hussein
al-Attas berkata (lebih kurang, dari ingatan, ambil maknanya saja), “Apabila
masyarakat tidak jijik lagi pada kejahatan, sudah menerima korupsi sebagai cara
hidup, dan menerima kezaliman sebagai
asas hukum, maka bolehkah kita berkata masyarakat kita masih bermoral?” (Orang
yang tahu dan punya dokumen, harap buat pembetulan. Jangan biarkan kesilapan
saya berterusan.)
Pada umumnya pandirisme boleh saja digunakan untuk
melakukan segala jenis kezaliman dalam masyarakat, seperti mempromosi korupsi
dengan menggunakan slogan tertentu untuk memberi harapan palsu kepada
masyarakat; di samping itu pandirisme juga boleh menjadi benteng dalam
menyuburkan bullshit dalam budaya
Malaysia dengan memberinya wajah intelektual dalam bentuk karya sastera picisan
yang diberi kedudukan tinggi melalui peraduan atau pemilihan hadiah, dan yang
picisan ini akan dijadikan teks di sekolah-sekolah. Baru-baru ini kita
diberitahu novel picisan yang menghina kemanusiaan dan yang memberi markah
tinggi kepada kejahatan, berjudul Naratif
Ogonshoto, telah diberi tempat selesa sebagai sebuah teks untuk dikunyah
para pelajar yang melalui novel ini akan melihat bagaimana kejahatan akan
membuahkan hasil jika diusahakan bersungguh-sungguh. Tidaklah aneh sekiranya
pandirisme mendapat hegemoninya yang tersendiri jika itulah yang diingini oleh
sarjana, sasterawan dan pengkritik sastera. Inilah kejayaan Sidang Kemuncak
Penulis Malaysia 2014. Tentulah para sastrerawan negara, sasterawan lain-lain,
sarjana dan pengkritik sastera berasa bangga kerana kini mereka dilindungi oleh
pandirisme yang sentiasa memberi mereka peluang dan sokongan untuk meneruskan
budaya pandirisme ini dalam arus perdana.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 20 Februari 2015.
Seorang Muslim yang sejati dan dipandu oleh hikmah dan ilmu sentiasa menyampaikan kebenaran dari sumber yang terbaik, oleh orang yang baik dan dengan bahasa yang baik.
ReplyDeleteSeperti wahyu, sumbernya Allah, Yang Maha Sempurna, melalui Junjungan Tercinta, insan kamil, dan dengan bahasa Arab, bahasa paling indah.
Saudara ada menulis bahasa Ihsan, tapi saya tidak dapat menemui keihsanan dalam ungkapan saudara.
Wallahualam.
Terima kasih atas pandangan ikhlas. Semoga ayahanda saudara sudah memberi nama pada anda, mungkin namannya Ahmad Ihsan yang pemalu.
ReplyDeleteSama-sama. Seperti dalam komen balas saudara, sangat jelas keihsanannya. Mungkin itulah manifestasi keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan yang saudara perjuangkan, Iaitu, mengambil huraian ustad Mustaffa, "meliputi semua perbuatan manusia, malah menjadi salah satu asas pembinaan tamadun dalam Islam".
ReplyDeleteApapun, saya hanya menghayati pesan tuan supaya menulis dengan hujah yang teratur, bukannya dengan Nama yang sebenar. Lagipun, memang ada pilihan yang diberikan pihak tuan.
Setelah membaca tulisan-tulisan tuan, saya nampak nafsu ammarah yang membuak-buak. Elok tn masuk tarekat, untuk menghayati konsep ihsan dalam penulisan seperti yang sangat jelas kelihatan dalam banyak tulisan Rumi, Iqbal dll - yang tuan sendiri searing memetiknya.
Saya juga sedang membaca Iqbal kini. Dan juga Al-Attas, saya tidak pula jumpa ungkapan penuh ammarah, pada Hal mereka berhadapan dengan para orientalis yang lebih keras penentangannya terhadap Islam.
Wallahualam.
Saya teringat kepada satu alegori daripada Maulana Rumi. Ketika menggambarkan bagaimana kesucian Islam itu dinoda oleh kehendak dan nafsu rendah manusia, beliau menggunakan satu alegori yang sangat indah dan jelas keihsanannya. Beliau menyatakan Islam yang asli itu seperti air dari mata air yang sangat jernih dan murni. Namun, setelah mengalir, air itu akan mengena pohon-pohon, menuruni lurah-lurah, dan akhirnya masuk ke dalam kampung-kampung. Di perkampungan, air itu digunakan untuk pelbagai tujuan, ada yang mengambil wudhu, membasuh pakaian, meminumnya. Akibatnya, air yang asalnya jernih itu, bertukar keruh.
ReplyDeleteAlegori tersebut ternyata boleh kita fikirkan bersama, dan boleh dikenakan pula untuk kebanyakan tulisan tuan dalam blog ini. Konsep Ihsan, Konsep Kebenaran dan lain-lain, apabila masuk ke dalam tulisan tuan, menjadi keruh dan kotor, kerana digunakan untuk melampiaskan dendam, nafsu amarah, ejekan, cemuhan, kesimpulan yang diasaskan oleh andaian-andaian, tuduhan-tuduhan. Lalu, kala saya mencedok konsep keihsanan itu, yang jernih itu, masuk juga ke dalam fikiran saya bahasa-bahasa kesat, yang mungkin sleepas ini akan dihujahkan oleh tuan sebagai manifestasi konsep ihsan dalam keindahan berbahasa.
Sebab itu, awal-awal lagi saya mengambil contoh penurunan wahyu sebagai asas saya. Dari sumber Yang Maha Sempurna, iaitu Allah, melalui insan yang sempurna, iaitu Nabi Muhammad S.A.W, dan diungkapkan oleh bahasa yang indah dan sempurna, iaitu bahasa Arab. Jika berbalik kepada alegori Rumi tadi, maka air yang mengalir itu akan bebas daripada kehendak-kehendak rendah yang penuh kebatilan dan kekotoran.
Wallahualam
Yang benar,
Ahmad Ihsan.
Salam Sdr 'Ahmad Ihsan'.
ReplyDeleteSaya tertarik dengan komentar sdr. Saya harap saudara juga baca kitab karangan Imam Qayyum al Jauzi, Talbis Iblis. Terjemahan Ahmad Semait sebagai Belitan Iblis. Rujuk bagaimana beliau menyampaikan hujahnya khususnya pada halaman 223-229, 232-233.
Semoga bermanfaat
Waallahua'alam