Friday, December 5, 2014

KUMPULAN 12 DALAM POLITIK SASTERA MALAYSIA: KESAN NEGATIF WUJUDNYA MUTUAL ADMIRATION CLUB DALAM SASTERA MELAYU



Sasterawan  ulung Malaysia, Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, telah membangkitkan soal kewujudan Mutual Admiration Club dalam sastera Melayu ketika membentangkan kertas kerjanya dalam Seminar Kritik Sastera Malaysia, 1973, di Johor Baru. Dalam tahun 1981, apabila sasterawan negara pertama dipilih, maka rasmilah kewujudan Mutual Admiration Club itu dalam politik sastera Malaysia. Perkembangan paling menarik dalam budaya Mutual Admiration Club ini kelihatan dengan cemerlang dalam Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014 di Jitra Kedah, 24-26 Oktober 2014.  Walaupun tidak dinyatakan secara rasmi, sidang kemuncak itu bertujuan memperkukuhkan kedudukan para sasterawan negara dalam politik sastera Malaysia.  Adakah kedudukan Kumpulan 12 ini sudah terjamin?  Di sini terjadi satu kontradiksi yang menarik: sidang yang pada mulanya bertujuan untuk memperkukuhkan kedudukan Kumpulan 12 ini dalam politik sastera Malaysia, nampaknya menjadi permulaan kepada keruntuhan mereka dalam politik sastera Malaysia. Kehadiran Kumpulan 12 ini tidak saja mula diragui oleh anggota masyarakat yang berfikir, yang secara kritis menolak kemunculan sasterawan negara ini, malah sudah wujud kesangsian masyarakat terhadap peranan mereka dalam perkembangan ilmu dan khususnya dalam perkembangan kreatif.  Adakah mereka benar-benar yang terbaik yang pernah muncul dalam budaya ilmu di Malaysia? Walaupun banyak usaha telah dibuat secara rasmi untuk mempertahankan kedudukan mereka, namun semua usaha itu hanya berjaya menggilap mitos kelabu tentang mereka, yang selama ini dibina dengan gigih oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka.  Sebaik saja Kumpulan 12 ini dianalisis dan dinilai dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, maka tidak seorang pun di antara mereka yang dapat mempertahankan diri sebagai anggota kumpulan pemikir Malaysia yang unggul. Karya mereka tidak mencerminkan apa-apa pemikiran yang mantap untuk membina budaya ilmu di Malaysia, sebaliknya lebih tertumpu pada kekacauan dalam konsep ilmu yang begitu kuat dipertahankan mereka atas nama kebebasan penulis, walaupun kebebasan itu hanya tertumpu untuk meneruskan realisme semu dalam penulisan, yang selama ini memberi mereka kedudukan yang tinggi dalam budaya politik sastera yang tidak mementingkan ilmu. Nampaknya mereka sedar akan kekurangan ini, maka dengan itu mereka mencadangkan suatu perkara yang pada hakikatnya akan lebih mengelirukan masyarakat. Mereka mencadangkan supaya digubal “Dasar Kesusasteraan Negara” yang tujuannya “melegitimasi bidang kesusasteraan sebagai suatu hasil kreativiti bidang ilmu yang sama nilainya dengan bidang-bidang lain dalam agenda pembangunan negara.” Jelas sekali  cadangan ini dibuat oleh kumpulan yang tidak tahu makna ilmu, tidak dapat membezakan ilmu sebagai satu entiti yang berbeza dengan kemahiran sebagai satu entiti yang lain. Adakah kesusasteraan suatu jenis ilmu atau hanya sejenis kemahiran seperti kemahiran bercucuk tanam, kemahiran menjala ikan, kemahiran memanjat pokok kelapa, atau kemahiran bermain bola? Jika sastera itu hanya satu kemahiran, maka perlukah kita pada “Dasar Kemahiran Negara”? Sebelum anda mencadangkan “Dasar Kesusasteraan Negara”, anda perlu bereskan terlebih dulu kedudukan ilmu yang benar dalam kesusasteraan. Kalau aspek penting ini ditolak bulat-bulat oleh Kumpulan 12 dan para pengikut mereka, yang terdiri daripada para sarjana dan pengkritik sastera, maka bagaimana mereka boleh bercakap tentang “ilmu”? Kalau maksudnya hanya untuk “melegitimasi” sastera, yang mereka perlukan pada waktu ini ialah mewujudkan Jabatan Falsafah dan Kritikan di universiti, supaya persoalan tentang “ilmu” sastera ini diberi kedudukan sewajarnya terlebih dahulu. Ketika itu, mereka wajib melahirkan terlebih dahulu pakar yang betul-betul pakar (bukan pakar semberono!) dalam bidang kritikan bandingan, membicarakan falsafah kesusasteraan dalam tamadun utama dunia.  Perkembangan begini yang kita perlukan sekarang, bukan sekadar menambah kekusutan dalam khayalan kepercayaan keliru bahawa sastera itu satu kegiatan “ilmu” yang penting. Yang perlu kita laksanakan ialah “melegitimasi” sasterawan  negara itu terlebih dahulu dalam budaya ilmu yang ingin kita bina di negara kita. Adakah Kumpulan 12 ini merupakan kumpulan penting dalam komponen budaya ilmu itu? Selesaikan ini terlebih dahulu, sebelum anda pandai-pandai mahu bercakap tentang “Dasar Kesusasteraan Negara”. Dalam keadaan sekarang, cadangan anda itu sangat lucu, dan dari segi pemikiran, sangat lucah serta tidak bertanggungjawab. Jika anda tidak sedar perihal kelucahan cadangan anda dari segi perkembangan ilmu, maka bagaimanakah anda boleh begitu yakin bahawa anda bukan dari kumpulan yang keliru tentang konsep ilmu? Kita tidak boleh menjadikan kumpulan yang keliru ini sebagai pembina budaya ilmu yang terus berada dalam kekeliruan dan mengajak orang lain terus keliru bersama mereka. Inilah kezaliman ilmu yang sangat ketara, yang perlu ditolak dan malah dikutuk. Cadangan yang anda kemukakan itu tidak kena mengena dengan perkembangan ilmu, tetapi memang dimaksudkan untuk memperkukuh kewujudan Mutual Admiration Club dan seterusnya memilih para sasterawan negara baru dari dalam kumpulan Mutual Admiration Club itu.

Apakah untungnya kita memelihara dan mengangkat tinggi Kumpulan 12 sebagai kumpulan istimewa? Keistimewaan apakah yang mereka berikan kepada negara dan masyarakat, kepada sistem pendidikan kita, kepada perkembangan ilmu dan perkembangan budaya ilmu di negara kita? Semua ini memerlukan jawapan yang konkrit, yang cukup dengan pembuktian dan hujah. Sebagai contoh mudah untuk difahami oleh manusia yang lemah daya berfikirnya dan cetek pula ilmunya, kita ambil Imam Ghazali sebagai contoh kerana di Malaysia, semua orang yang pernah masuk sekolah, apatah lagi yang sudah masuk universiti, lebih-lebih lagi yang sudah bergelar doktor dan mempunyai kedudukan tinggi sebagai profesor, dan tentu saja apabila seorang sasterawan diberi gelaran sasterawan negara, maka semua jenis manusia ini pernah mendengar nama Imam Ghazali, dan tentu saja ramai di antara mereka yang pernah membaca bukunya.

Imam Ghazali diberi gelaran “Hujjatul Islam” kerana pemikirannya yang terpampang dalam buku-bukunya. Salah sebuah bukunya yang amat terkenal ialah Kitab al-Ilm (The Book of Knowledge). Buku ini ditulis sebagai pendahuluan kepada kitab terbesar beliau, Ihya’ Ulumiddin. Kerana sumbangannya yang begitu besar dalam pemikiran Islam, maka beliau diberikan gelaran tadi oleh umat Islam. Sekarang kita lihat pula kes  sasterawan negara: siapakah yang memberi gelaran itu dan mengapakah begitu ramai sekali sasterawan negara di Malaysia? Apakah keistimewaan mereka? Apakah buku yang mereka tulis yang membenarkan gelaran itu diberikan kepada mereka? Benarkah tulisan mereka kaya dengan ilmu dan kebijaksanaan manusia berilmu? Benarkah kumpulan ini adalah kumpulan pinggiran dalam kebudayaan Melayu yang ilmunya “cetek meraba-raba” yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu? Kita ambil contoh yang terkenal dari kalangan mereka: ada sebuah sajak yang sangat terkenal, “Pulang Si Tenggang”. Adakah sajak ini merupakan karya terbaik dari segi pemikiran dan pengungkapan puisinya? Apakah jenis pemikiran yang cuba disampaikan dalam sajak itu? Belum ada lagi ulasan yang memuaskan, malah yang pernah kita dengar terlalu hambar dan terlalu cetek analisisnya. Kalau kita terima analisis yang cetek ini sebagai bukti, maka apakah hujah yang boleh kita kemukakan untuk menjadikan penulisnya seorang sasterawan negara?  Contoh lain ialah novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, atau Naratif Ogonshoto.  Apakah pemikiran dan kebijaksanaan yang ada di dalam kedua buah novel ini yang membolehkan penulisnya diberi gelaran sasterawan negara? Kita belum lagi mendapat analisis yang mendalam yang benar-benar menghuraikan keistimewaan kedua-dua buah novel ini; maka dengan itu gelaran yang diberikan kepada penulisnya amat diragui kerana tidak ada hujah yang dikemukakan yang membenarkan gelaran itu layak diberikan kepadanya. Panel Anugerah Sastera Negara tidak mengemukakan apa-apa hujah dan pembuktian, kecuali menderetkan “keistimewaan” penulisnya secara sepintas lalu, dalam bentuk retorik peragaan semata-mata. Adakah kualiti pemikiran masyarakat kita begitu rendah, hingga tidak dapat membezakan karya yang benar-benar bermutu dengan karya yang hanya “dianggap” bermutu? Apakah ukuran yang kita pakai? Soalan begini menjadi bertambah sulit dijawab apabila kita kemukakan novel Salina sebagai mahakarya dalam kesusasteraan Melayu moden. Sekali lagi, apakah ukuran yang kita kenakan terhadap novel ini? Adakah ukuran itu benar-benar menilai secara tepat dan objektif mutu sebenar kaya ini? Semuanya masih menjadi persoalan, maka dengan itu kewujudan sasterawan negara di dalam kebudayaan kita tidak dapat diterima kerana tidak ada hujah yang membenarkan gelaran itu diwujudkan. Dua perkara yang perlu kita jawab: kejujuran kita terhadap ilmu; kedua, kaedah dan ukuran yang kita pakai untuk “menilai” Kumpulan 12 ini adalah tepat dan menepati kehendak ilmiah dan ukuran yang benar-benar dapat membezakan yang benar dengan yang palsu. Para penyokong Kumpulan 12 dan Panel yang menilai mereka wajib tampil memberi hujah mereka dengan konkrit. Jika mereka berkata tidak perlu menyahut “anjing menyalak bukit” kerana Yang di Pertuan Agong sendiri yang memberi kata putus dalam majlis gilang-gemilang ketika menyampaikan watikah gelaran sasterawan negara itu, maka sebarang kritikan adalah hasutan dan penghinaan kepada status Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agong yang telah menyampaikan watikah gelaran itu. Kalau begitu, kita tidak perlu berbicara tentang ilmu dan kritikan. Kita teruskan saja retorik teh tarik membicarakan politik feudalisme dalam sastera Melayu moden. Finished. Habis. Tetapi kita tidak boleh mewariskan kepalsuan ini untuk generasi kita yang akan datang. Pandirisme bukan untuk diwarisi.

Saya diaju satu pertanyaan yang agak nakal: Mungkinkah pengkritik Kumpulan12, para sasterawan negara, akan didakwa sebagai penderhaka kepada Yang di Pertuan Agong dan dipenjarakan? Termenung juga saya dibuatnya. Saya tidak terfikir perkara seperti itu akan berlaku, tetapi kemungkinannya memang ada. Ini Malaysia, apa saja boleh terjadi di luar jangka. Katalah Kumpulan 12 membuat laporan polis bahawa mereka telah dihina dan difitnah, adakah polis akan mengambil tindakan? Bergantung pada keadaan. Sekiranya Kumpulan 12 mengisytiharkan mereka penyokong kerajaan sepenuhnya dan tidak akan membenarkan apa juga jenis kritikan dilemparkan terhadap mereka, ada kemungkinan pertanyaan tadi diberi jawapan sewajarnya. Semua ini bergantung pada reaksi Kumpulan 12. Jika mereka mengambil keputusan untuk menggunakan polis bagi melindungi mereka daripada kritikan, dengan pretensi setiap kritikan terhadap mereka adalah penderhakaan terhadap Perlembagaan dan Raja-raja Melayu, maka mereka akan menjadi kumpulan paling terkutuk dalam sejarah intelektual Malaysia. Yang terbaik untuk mereka lakukan ialah berdepan dengan kenyataan intelektual yang mereka takuti itu, yakni tampil mempertahankan kedudukan mereka mengapa mereka perlu ada dalam budaya ilmu di Malaysia sebagai satu kumpulan berasingan, padahal mereka tidak memberi sumbangan yang benar-benar bererti dalam perkembangan intelektual di negara kita. Sebagai penulis Muslim, mereka dituntut menghasilkan karya yang tidak memihak kepada kejahatan, sebaliknya memberi pengajaran positif untuk masyarakat mengenal dan membela kebaikan dan mengutuk kejahatan. Beranikah mereka melakukannya?  Bagi kita semua yang meragui sumbangan sebenar Kumpula 12 ini, tindakan yang boleh kita buat ialah mendedahkan kepalsuan karya mereka dinilai daripada perspektif ilmu yang benar, yang dengan mudah memberi mereka peluang untuk mempertahankan diri, di samping membuka mata masyarakat bahawa kita tidak perlukan sasterawan negara untuk membangunkan budaya ilmu di negara kita. Tugas kita ialah membina budaya ilmu berasaskan konsep ilmu yang benar melalui kegiatan persuratan, bukan melalui kesusasteraan yang telah membawa kita hanyut dalam kekeliruan. Itulah pembetulan yang perlu dilakukan dengan tegas dan cepat.

Berhubung dengan perkara di atas, adakah kita perlukan revolusi dalam pemikiran yang akan membolehkan kita mendinamiskan  kesusastreraan Melayu yang lesu dan keliru ini, dengan menggantikannya dengan gerakan besar-besaran dalam mendaulatkan persuratan Melayu?  Yang jelas, kesusasteraan Melayu moden telah menerima pandirisme sebagai gerakan arus perdana dalam mendaulatkan pemikiran Pak Pandir.  Mengapa tidak mungkin cucu cicit Pak Pandir muncul sebagai sang genius Polan Cupan?  Kata Walt Disney: If you can dream it, you can do it… Hanya karya persuratan yang boleh mencerdikkan orang Melayu, bukan jenis karya yang ditulis oleh para sasterawan negara. Mereka tidak diperlukan dalam program ini.  

Mohd. Affandi Hassan,
4/12/2014.


1 comment:

  1. Selagi engkau menulis, tiada siapa yang dapat menghukummu atas pendapat yang engkau berikan. Tiada siapa yang dapat menyekat engkau daripada menyampaikan pendirianmu.

    Sesungguhnya ALLAH SWT adalah Tuhan yang menyampaikan, hingga seruan Ibrahim di lembah gersang yang kosong dan kontang, masih memanggil manusia datang, kerana yang menyampaikannya adalah Dia.

    Satu-satunya penyebab kebenaran tidak bertebaran ialah apabila yang menemuinya, tidak menemukan orang lain dengan kebenaran itu. Diam membisu, tunduk kepada tekanan yang cuba mendiamkanmu, justeru jangan kaubiar mereka menyekat perjanjian engkau dalam intima' dan wala' dengan Tuhanmu.

    -saifulIslam-

    ReplyDelete