Friday, November 28, 2014

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN (Bahagian III)



Terlanjur buku Gagasan Persuratan Baru (edisi 2) sudah terbit,  ada baiknya jika pembaca blog ini jenguk sekejap hal. 279-295 buku tersebut, khusus tentang pandirisme dalam kritikan sastera dan dalam dunia akademik Malaysia (khusus tentang sastera). Anda semua, yang saya harap berwibawa dalam bidang akademik dan kritikan sastera, dapat membuktikan apa yang saya tulis di situ tidak tepat, hanya salah faham atau tidak faham tentang perkembangan dalam dunia akademik Malaysia yang menyerlahkan keunggulan akademik dan pemikiran yang mendalam tentang kritikan sastera dan bidang akademik dalam teori sastera yang menjadi pegangan ahli akademik kita. Anda harus membuat pembetulan jika saya tersilap, atau terlalu cetek dalam analisis saya sehingga menyelewengkan begitu jauh hakikat sebenarnya. Jika anda bersetuju, katalah anda mungkin tersilap arah, dan bersedia untuk kembali ke jalan yang betul supaya tidak sesat dalam belantara maklumat yang anda perolehi dalam teori sastera Barat. Baca terutamanya satu kutipan di hal. 288 yang saya kira penting untuk menyedarkan orang yang tidur dalam keseronokan postmodernism.

Bolehkah kita berkata dengan pasti bahawa para sasterawan negara adalah kumpulan manusia yang paling cerdik di Malaysia? Barangkali tidak perlu kita tahu; atau mungkin yang paling wajar kita tanyakan ialah, siapa di antara sasterawan negara itu yang paling cerdik dan berapa IQ nya? Siapa lagi orang Malaysia yang setinggi itu IQ nya? Secara umum, adakah para sasterawan negara itu adalah kumpulan yang paling tinggi IQ nya, berbanding dengan kumpulan lain, seperti ulama, sarjana dan ahli sains. Siapa di antara mereka yang kita boleh panggil seorang genius? Prof. Fazlur Rahman tanpa ragu memberitahu muridnya, Prof. Wan Mohd. Noor Wan Daud, bahawa Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas adalah seorang genius dalam bidangnya. Hanya seorang genius yang tahu  seorang genius yang lain bila ditemuinya atau berbicara dengannya. Saya pernah dengar Prof. Sutan Takdir Ali Sjahbana pun kata begitu, ketika saya mula masuk Universiti Malaya 1965 dan Prof. Takdir Ketua Pengajian Melayu. Hanya seorang genius yang tahu siapa genius yang lain. Hanya seorang genius yang kenal seorang genius yang lain. Mengapa perkara ini tiba-tiba muncul dalam tulisan ini? Setelah membaca pujian yang melepasi langit ketujuh yang dilontarkan kepada sasterawan negara, saya terfikir, mereka ini, para sasterawan negara ini, pastilah kumpulan genius semuanya. Jika tidak, bagaimana mereka boleh diberi pujian tinggi seperti itu? Tidak masuk akal jika yang memuji itu berbohong, atau terlalu bodoh untuk memberikan pujian yang tidak cocok dengan manusia yang dipuji. Memang dalam dunia penulisan, dikatakan oleh orang Barat, genius mereka di kalangan penulis yang paling tinggi IQ nya ialah Voltaire, dikatakan angka  ukuran IQ nya 190.  Jangan-jangan sasterawan negara pun punya IQ melebihi Voltaire? Siapa tahu? Supaya pasti, silalah ahli psikologi kita membuat ukuran itu. Voltaire diukur dari tulisannya, keputusan para pakar itu dipersetujui oleh sebahagian besar pakar psikologi Barat.  Sekarang para sasterawan negara telah ditakdiskan, tidak boleh disentuh apatah lagi dikritik. Dalam pemerhatian saya, manusia besar dalam budaya Melayu yang tidak keberatan dikritik dan dikatakan bodoh ialah Pak Pandir. Dari banyak kalinya Pak Pandir disebut-sebut, sudah sah dia amat popular. Jika dipakai ukuran Malaysia, seperti yang dibuat oleh pakar DBP ketika memilih karya agung abad 20, antara ukuran yang dipakai ialah banyaknya karya itu dibicarakan dan diberi pujian; ukuran ini pun dikenakan juga ketika memilih para sasterawan negara.  Kalau kita pakai ukuran ini, Pak Pandir adalah seorang genius, mungkin genius teragung dalam budaya lawak Melayu, malah dalam budaya Melayu secara umum. Tetapi dia tidak setanding dengan sasterawan negara. Itulah masalahnya. Tetapi dialah yang memberi kita konsep pandirisme, yang kemudiannya mewarnai kesusasteraan Melayu, dikuatkan lagi dengan pemilihan para sasterawan negara yang dari segi logik merekalah yang paling mulia dan paling tinggi kemampuan intelektualnya daripada para ulama dan cendekiawan Melayu yang lain. Anda agak berapa IQ Pak Pandir? Pastilah lebih tinggi daripada IQ para sasterawan negara. Akhirnya saya ingin memberitahu anda semua, angka-angka IQ ini tidak berguna sedikit pun bagi orang Islam. Yang akan membawa mereka ke syurga bukan jumlah IQ nya; tetapi amal ibadatnya yang ikhlas. Jadi para sasterawan  negara bolehlah tidur lena jika IQ Pak Pandir lebih tinggi daripada IQ mereka.

Katalah antara yang dibuat soalan dalam peperiksaan di Malaysia ialah ukuran IQ tokoh-tokoh besar kita; katalah antara soalan yang diberikan, mana satu IQ tertinggi antara Pak Pandir dan Shakespeare? Sebelum dijadikan soalan, tengok dulu jumlah IQ dua orang tokoh besar ini, supaya bila didapati IQ Pak Pandir melebihi Shakespeare, barulah dijadikan soalan; tetapi andainya lebih rendah, tak perlu dijadikan soalan melainkan kita benar-benar sayangkan Pak Pandir yang bijak itu. Apa tujuannya perkara ini disebut di sini?  Supaya anda semua dapat maklumat yang betul, dan semua orang dapat kesempatan untuk  melihat kecerdikan tokoh-tokoh  yang berjasa kepada dunia kebudayaan masing-masing.  Selain dari itu, supaya para sasterawan negara berasa megah kerana IQ mereka lebih tinggi daripada IQ Pak Pandir, walaupun jauh lebih rendah daripada IQ Shakespeare. Demikianlah fungsi kritikan sastera itu ditentukan dengan membuat perbandingan, suatu strategi yang amat tidak digemari di kalangan para sasterawan negara. Mereka yakin IQ mereka tidak setinggi mana jika dibandingkan dengan IQ Pak Pandir, seorang genius di kalangan orang-orang pandir Melayu.  Melalui Pak Pandir, kita dapat konsep pandirisme, yang dengan cepat dijadikan arus perdana walaupun ditolak dengan keras oleh para sasterawan negara dan sarjana ciritan.   Sekarang pandirisme akan kekal dalam budaya intelektual Melayu dan akan terus dikaitkan dengan kedudukan intelektual para sasterawan negara.   Di situlah bukti kualiti genius Pak Pandir  sebagai seorang pemikir. Kini Pak Pandir bangga mempunyai cucunya yang sangat cerdik, Polan Cupan. Juga seorang genius seperti beliau.  Yang paling pelik dan lucu, Polan Cupan menang hadiah sastera!

Sekarang anda boleh lihat sendiri bagaimana sastera Melayu moden telah melahirkan ramai manusia genius yang kini bergelar sasterawan negara, manakala tidak seorang pun di antara para ulama yang dapat dianggap sebagai genius. Jadi tidak ghalat lagilah tuduhan palsu selama ini yang mengatakan para sasterawan negara tidak mempunyai  IQ yang tinggi. Kalau sudah dapat mengalahkan ulama yang alim itu, mahu IQ jenis apa lagi?  Cerita dongeng begini boleh dijadikan novel para sasterawan negara, dengan judul yang menarik: Hari-hari Bermulanya Polan Cupan Jadi Genius. Kita kontraskan antara genius dengan seniman, mana satu yang lebih unggul. Unggul yang tidak cacat.

Perbincangan tentang aspek genius ini sangat penting ketika membicarakan sumbangan pemikiran para sasterawan negara, satu gerakan besar-besaran yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka untuk menonjolkan para sasterawan negara ini sebagai pemikir bangsa yang unggul. Usaha ini  begitu penting dalam rangka mentakdiskan para sasterawan negara sebagai kumpulan yang amat istimewa yang melayakkan mereka digelar sasterawan negara, berada lebih tinggi daripada kedudukan para ulama yang tidak mempunyai apa-apa gelaran, dan kedudukan cendekiawan Melayu lainnya yang tidak diketahui pun siapa mereka.  Dalam tesis Ph.D. yang diterbitkan oleh UKM, Dr. Mawar Shafie melimpahkan pujiannya terhadap novel Naratif Ogonshoto, karya sasterawan negara Anwar Ridhwan. Dari pujian itu, kita boleh berkata Anwar Ridhwan mempunyai IQ yang lebih tinggi daripada Voltaire, yang jumlahnya hanya 190, sama dengan yang dipunyai Ludwig Wittgenstein (ahli falsafah) dan Sir Isaac Newton (ahli sains).  Jika kita membaca buku Mawar Shafie ini, kita diberitahu Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang sangat jempolan kerana pandai mengambil di sana sini untuk menulis novelnya yang istimewa itu, seolah-olah seperti seorang pemborong idea yang sangat cekap menggunakan idea orang lain untuk membina karyanya sendiri yang sangat asli dan mantap dari segi gaya, retorik dan perwatakan. Tetapi ada satu perkara yang tertutup dari pandangan kita jika kita tidak sensitif kepada penerokaan idea baru dalam penulisan. Kita akan terbawa-bawa oleh “ketangkasan” mengambil di sana sini untuk dimasukkan ke dalam bakul “kreatif” sendiri barang pinjaman dari luar atas nama intertekstualiti hanya untuk merangkaikan cerita dalam bentuk penglipur lara moden, bukan untuk mewacanakan pemikiran original beliau sendiri dalam sebuah karya kreatif yang memberi perhatian kepada pemikiran, tidak hanya kepada kelangsungan cerita seperti yang ditunjukkannya dalam Naratif Ogonshoto itu. Kita hanya akan menyedari hal ini jika karya ini dibaca dalam mod bacaan intelektual seperti yang dijelaskan oleh Prof. Ungku Maimunah dalam tulisannya yang dimuat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua. Mod bacaan cerita yang digunakan oleh Mawar Shafie menggunakan pendekatan intertekstual itu menghasilkan bacaan yang jauh berbeza daripada mod bacaan intelektual. Antara keduanya, manakah yang lebih tepat dipakai jika kita ingin melihat ketangkasan berfikir seseorang pengarang?  Kerana menggunakan mod bacaan cerita, Mawar Shafie membuat satu kesilapan besar dengan mengangkat cerita-cerita dari al-Quran sebagai sebahagian daripada pinjaman interteks yang dilakukan oleh Anwar Ridhwan untuk menyelinapkan kononnya semangat Islam dalam karyanya, iaitu tentang cerita Nabi Nuh. Inilah jenis pensetaraan (levelling) yang disebut-sebut oleh Prof Syed Muhammad al-Attas dalam tulisannya ketika mengkritik para penulis moden yang tidak lagi menghormati wahyu seperti yang difahami dalam Islam, dengan menolak sebarang autoriti dalam tradisi Islam, sebaliknya menganggapnya sebagai teks biasa yang boleh dicedok-cedok sewenang-wenangnya untuk menaik taraf karyanya sendiri.  Dalam teks Anwar Ridhwan, bahtera dibangunkan berpunca daripada kepercayaan karut keluarnya penyu raksasa dari gua persembunyiannya, memberi tanda banjir besar akan berlaku. Yang karut dan tahayul dalam Naratif Ogonshoto disamakan dengan wahyu dalam al-Quran. Bagaimana sarjana dan sasterawan Islam boleh terima kesesatan ini? Apakah yang mendorong mereka untuk sesat begitu jauh? Hanya kerana ingin meniru idea Barat tentang intertekstualiti! 

Kesimpulan

Dari analisis dan penilaian yang diberikan dalam tulisan ini, kita dapat melihat dengan jelas betapa teori dan pendekatan Barat yang tidak gunakan dengan berhati-hati, dengan kefahaman yang mendalam dalam aspek epistemologi Islam, akan membawa kita ke belantara maklumat yang simpang siur, berserabut dengan segala kontradiksi yang kusut hanya kerana kita menolak aspek epistemologi ini dan konsep ilmu yang benar. Punca kesesatan dalam belantara maklumat ini ialah tiadanya konsep ilmu yang jelas, yang diajarkan dalam Islam. Inilah yang akhirnya melahirkan sarjana yang kehilangan adab, yang tidak dapat membezakan mana yang benar dengan mana yang palsu, dengan menerima kepalsuan itu sebagai kebenaran hanya kerana keliru dalam konsep ilmu. Apabila maklumat disamakan dengan ilmu, maka terjadilah kekeliruan yang membawa kepada kesesatan, kerana  akal tidak lagi digunakan untuk mengenal yang benar dan menolak yang palsu.

Kesimpulan saya tentang  novel besar satu-satunya di Malaysia (siapa yang kata begitu? Umar Junus…!) ini adalah sebuah novel penglipur lara moden yang tidak mempunyai kualiti pemikiran yang bernas, hanya dibalut dengan cerita penuh sensasi yang amat lemah pengolahan dan perwatakannya.  Para sarjana ciritan dan sasterawan yang jadi penganut pandirisme mengatakan novel ini sebuah novel intelektual. Saya boleh terima jika dikategori sebagai novel picisan intelektual, dinilai dari perspektif pretensi intelektual seperti yang dilakukan oleh mereka. Tetapi tetap sebuah novel picisan yang melanggar kesopanan berkarya di dalam Islam. Jika kita  membaca dengan betul, yakni dengan membaca karya ini dalam mod bacaan intelektual, kita akan dapati novel ini hanya tidak lebih daripada novel penglipur lara moden yang tidak mempunyai kecanggihan berfikir dan keterampilan teknik penulisan, apatah lagi teknik stylization of ideas yang dimaksudkan dalam Persuratan Baru. Anda mungkin bertanya dengan hairan: Kalau begitu, mengapa novel ini diterima sebagai sebuah novel yang istimewa dan yang terbaik yang pernah ditulis di Malaysia? Itulah pengaruh dan kesan pandirisme dalam kesusasteraan Melayu, yang dihuraikan dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi 2, hal. 279-295.  Jawapannya ada di situ. Bacalah dengan kritis dan objektif. Baca dalam mod bacaan intelektual, bukan dalam mod bacaan cerita.

Pembicaraan saya tentang novel dan cerita pendek Anwar Ridhwan berbeza jauh daripada kesimpulan yang didapat oleh para anggota panel penilaian dan sarjana sastera terjadi hanya kerana satu prinsip penting: saya melandaskan analisis dan penilaian saya kepada konsep ilmu yang benar yang sudah  dijadikan warisan oleh para ulama dan penulis syair sejak beratus tahun; sedangkan analisis dan penilaian panel yang memilih karya sasterawan negara ini sebagai istimewa dilandaskan seluruhnya kepada fahaman sastera Barat yang menolak bulat-bulat unsur kerohanian dan agama dalam karya kreatif.  Sekiranya sasterawan ini menulis dalam kesedaran Barat dan bertujuan untuk menjadi Barat dan menonjolkan cara berfikir Barat dalam karyanya, dan ini diterima dengan baik oleh para sarjana dan penilai sastera Melayu, maka saya mencabar keseluruhan konsep itu sebagai tidak wajar dikembangkan dalam tamadun Melayu yang dibangunkan oleh worldview Islam. Sekarang kita mempunyai dua pandangan dan cara penilaian yang sangat berbeza: mana satukah yang wajar dikembangkan dalam pembinaan budaya ilmu di negara kita? Para sasterawan dan sarjana yang diwakili Anwar Ridhwan bertegas bahawa jika sekiranya kita ingin maju dan diiktiraf oleh dunia, kita mesti mengikut mereka dan menggunakan nilai-nilai mereka. Bagi saya pandangan dan keyakinan ini bersikap anti-ilmu dan terlalu megah menjadi peniru Barat yang cetek. Pilihan ini bagi saya adalah pilihan yang salah dan sangat bertentangan dengan tradisi keilmuan Islam yang kita warisi melalui para ulama dan cendekiawan kita. Jawapan kepada kesilapan besar dalam pembikinan tamadun ini saya tegaskan dalam Gagasan Persuratan Baru. Selepas ini, seluruh perbincangan kita tentang kemajuan kreatif yang kita ingini akan berlegar antara dua kutub: Barat yang sudah menyesatkan mereka sendiri dan memang diakui mereka (lihat pandangan P. A. Sorokin, The Crisis of Our Age; dan tesis Ph.D. Robert Sinai, The Decadence of the Modern World; lihat juga buku penting ini, Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms, terbitan USM 2012); atau kita membina tradisi kita berasaskan epistemologi Islam dengan memberi penekanan kepada persuratan, bukan kesusasteraan yang sudah jelas telah mengecewakan kita kerana kecetekannya. Hujah ini mudah dilihat kebenarannya dalam karya para sasterawan negara sendiri, yang dianggap terbaik, tetapi ternyata tidak demikian. Supaya kita semua menjadi cerdik dan pandai memilih yang terbaik, saya serahkan perbincangan ini kepada generasi baru untuk memutuskan apakah yang mereka mahu untuk bangsa mereka yang komited kepada Islam.

@@@@@@

Nota kecil tentang konsep picisan dan pretensi intelektual
Terdapat beberapa jenis karya picisan menurut tanggapan PB. (1) Novel picisan sosial, contoh TIVI oleh Shahnon Ahmad. Masalah hiburan dalam konteks budaya hawa nafsu adalah serius di Malaysia, yang melahirkan berbagai-bagai masalah sosial. Jika sasterawan tidak berupaya memahaminya dengan betul (tentu lebih baik jika difahami dengan mendalam), maka lahirlah novel TIVI yang dangkal dan picisan.  (2) Novel picisan seksual, contoh Kuala Lumpur Kita Punya oleh Abdullah Hussein (3) Novel picisan intelektual, contoh Hari-hari Terakhir Seorang Seniman dan novel-novel lain karya Anwar Ridhwan.  Keterangan tentang aspek picisan ini terdapat dalam Gagasan Persuratan Baru, edisi 2, hal. 141-144 dan di beberapa tempat lain; lihat indeks.

Ungkapan pretensi intelektual penting diberi perhatian dan difahami dalam konteks yang betul supaya karya picisan tidak diterima sebagai karya intelektual. Lihat entri bertarikh 10 Oktober 2014 untuk mendapat penjelasan lanjut.  Seterusnya lihat entri bertarikh 28 Oktober 2014,  “Keunggulan yang Cacat,” untuk mendapat gambaran jelas tentang kedudukan sasterawan negara dalam kebudayaan Melayu.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 27 November 2014.

No comments:

Post a Comment