Bagus juga saya diperingatkan oleh beberapa orang, yang
dikenali dan yang tidak, supaya bersedia untuk dinilai dengan sehabis kritis.
Tetapi saya optimis tidak ada sesiapa pun di antara sarjana atau sesiapa saja
yang bersedia membuang masa untuk mengkritik saya; kerana itu saya tidak perlu
bersedia untuk menjawab kritikan itu, kerana memang tiada siapa pun akan
membuang masa dan tenaga mereka menjawab cabaran saya. Tidak ada faedahnya bagi
mereka. Bagaimana pula pendirian saya?
Saya akan terus menulis kerana saya tidak mahu dinista oleh generasi akan
datang yang melihat dengan rasa kecewa yang berat kerana membiarkan mereka
berada dalam kekeliruan, padahal ada kemampuan untuk membetulkannya, dan ada
pula ruang yang boleh digunakan untuk maksud itu. Itulah makna amanah yang
sebenarnya, yang mesti ditunaikan dengan gembira. Tidak melakukannya bererti
telah mengkhianati amanah itu. Tidak mahu membetulkan kesilapan pun satu
pengkhianatan juga, kerana membiarkan kekeliruan berpanjangan dan berasa selesa
pula berada dalam kekeliruan itu, maka itu pun pengkhianatan terhadap ilmu yang
tidak wajar diteruskan oleh orang-orang yang menggelar diri mereka ilmuwan atau
ahli akademik, atau sarjana. Di Malaysia nampaknya orang memilih yang kedua,
supaya kekeliruan itu terus tersembunyi dan hanya diketahui oleh segelintir
manusia yang peka kepada persoalan itu. Tetapi posisi ini sangat bahaya dan
amat menghinakan, kerana seseorang yang tahu dia silap tetapi tidak mahu
membetulkannya, maka dia tidak lagi mempunyai kelayakan untuk menyebarkan ilmu
di universiti, di kalangan pelajarnya sendiri, untuk memberi contoh di kalangan
ahli akademik. Saya yakin orang seperti itu tidak ada di Malaysia, apatah lagi
di universiti, tempat yang paling cermat dan teliti menjaga kewibawaan
ilmiahnya. Oleh itu saya terselamat dari sebarang kritikan! Terima kasih.
Tetapi ini tidak bererti saya harus berdiam diri. Masyarakat kita perlu dicerdikkan dan
dibijaksanakan kembali melalui persuratan yang terasnya ilmu yang benar. Kita
telah memberi peluang yang begitu luas dan lama kepada para sasterawan untuk
bermaharajalela mengembangkan nilai-nilai Barat, sama ada yang bercorak
kapitalis mahupun yang bernafas sosialis dan Marxis, yang akhirnya menjadi
begitu liar dengan memakai nama kemanusiaan untuk membenarkan segala kejahatan
berleluasa dalam karya sastera kita, tanpa sebarang perasaan malu lagi
mengangkat karya anti-ilmu dan anti-kebenaran ini, yang disebut karya
kemanusiaan itu, untuk dijulang sebagai karya besar dalam sastera Melayu moden.
Kezaliman ilmu begini tidak boleh dibiarkan lagi, kerana akhirnya kita disogok
dengan karya picisan dengan memakai nama karya popular Islami, yang paling aneh
ditulis pula oleh penulis yang mempunyai pendidikan agama (dikenali sebagai
ustaz dalam masyarakat Melayu), yang menghidangkan cerita-cerita cinta asmara
yang dangkal dan dibuat-buat dengan watak wanita muda yang sepanjang masa
menangis mengejar cinta daripada lelaki yang sentiasa mencari kesempatan, untuk
mengkhayalkan pembaca muda yang sepatutnya dibimbing secara intelektual, tetapi
dengan perkembangan baru ini mereka diseret
ke alam imaginasi yang amat infantile.
Kalau anda ikuti perkembangan novel Melayu, anda akan dapati
sekitar tahun 1950-an banyak sekali novel lucah dan picisan diterbitkan, kerana terdapat pasaran
di kalangan pembaca Melayu. Sekitar masa itulah juga Kuala Lumpur Kita Punya
diterbitkan, dan setelah sasterawan yang menulisnya diangkat menjadi sasterawan
negara, kita dapati novel picisan dan lucah ini mendapat sorotan dalam seminar
“pemikiran” sasterawan negara berkenaan; dan yang menarik ialah novel picisan
ini mendapat pembelaan daripada sarjana yang menulis tentangnya. Jadi benarlah
anggapan orang selama ini yang mengatakan, karya-karya tidak bermutu para
sasterawan negara dibicarakan dalam pretensi intelektual untuk dijadikan
karya bermutu kerana penulisnya sudah
diberi gelaran sasterawan negara. Kalau dalam masyarakat biasa, kita dengan
mudah mengutuk sesiapa juga yang biadab atau berkelakuan biadab yang misalnya
bercakap kasar dan lucah dalam forum atau dalam interview; tetapi dalam sastera
kita tidak boleh mengutuk karya lucah dan picisan kerana sudah diangkat
darjatnya apabila penulisnya diberi anugerah dengan gelaran sasterawan negara.
Bandingkan ini dengan apa yang berlaku sekarang. Kini muncul dengan banyaknya
karya-karya popular dan picisan dari segi idea yang dipasarkan atas nama Islam,
dipanggil novel popular Islami. Kalau dulu kelucahan dan picisan bersifat seks,
maka kini kelucahan itu bersifat idea dan perilaku, dibungkus dengan ciri Islam
berupa kutipan daripada al-Quran dan hadis. Apakah bezanya? Ada. Orang dulu,
penerbit dan penulis buku- buku jenis itu, menerbitkannya untuk mendapat
sedikit habuan sambil memberi sedikit hiburan kepada pembaca yang
menggemarinya. Tetapi kini agama dijual-beli dan dijadikan iklan dalam
penulisan novel popular Islami ini. Antara dua kumpulan ini, mana satukah yang
boleh kita terapkan gelaran sebagai pengkhianat? Rasanya tidak sukar untuk
membuat pilihan.
Kalau kita kembali kepada karya yang serius, keadaannya
tetap sama, cuma dimensinya diperlunak untuk dapat diterima oleh masyarakat.
Kes terbaik ialah sajak “Pulang Si Tenggang”. Sajak ini menjadi bukti bagaimana
nilai negatif dijadikan positif oleh sarjana sastera melalui penghujahan
berdasarkan pretensi intelektual. Watak Si Tenggang terkenal dalam legenda
Melayu menggambarkan anak derhaka yang berjaya dalam hidupnya, menjadi orang
kaya, tidak dapat menerima ibunya yang miskin dan hina. Ibu yang kecewa dan
terlalu sedih melihat anaknya tidak lagi mengenalinya, memohon kepada Tuhan
untuk menunjukkan bahawa dia adalah ibu Si Tenggang dan jika ini benar, biarlah
Si Tenggang menjadi batu bersama kapal dan harta bendanya. Permohonan si ibu
dikabulkan dan Si Tenggang dan kapalnya menjadi batu.
Dalam tangan Muhammad Haji Salleh, seorang sasterawan negara
kemudiannya, Si Tenggang dijadikan ikon oleh pensajak ini untuk menunjukkan
kegigihan Si Tenggang berusaha hingga mendapat kejayaan. Cerita Si Tenggang
tidak dihabiskan, ditamatkan setakat dia memperoleh kejayaan dan menjadi seorang
nakhoda yang kaya raya. Apakah alasan
pensajak untuk berbuat demikian? Dia, pensajak ini, ingin menunjukkan bahawa
hanya dengan usaha gigih saja seseorang akan
beroleh kejayaan. Setakat ini anggapan ini betul, sama seperti Muhammad
Haji Salleh sendiri memperoleh ijazah kedoktoran kerana usahanya, dan itu
diperolehinya di luar negeri, dengan mengembara seperti Si Tenggang. Mengapa
pensajak ini tidak menghabiskan ceritanya? Inilah yang dilunakkan itu, untuk
mencapai hasrat pensajak sendiri bahawa dia yang menjadikan Si Tenggang sebagai
model kehidupannya boleh berjaya, seperti Si Tenggang dalam legenda. Tetapi ada
perbezaan, katanya. Dia bukan penderhaka, dia masih Melayu dan masih berjiwa
Melayu asli. Di sinilah masalah itu menjadi amat rumit buat dirinya, kerana
segala perilakunya menunjukkan sebaliknya. Dia adalah seorang penderhaka kepada
budayanya, dan tidak menerima hakikat kebudayaan Melayu itu berteraskan ajaran
Islam yang melahirkan persuratan Melayu. Adakah beliau seorang yang terkutuk?
Pertanyaan ini tidak dapat dijawab dengan pasti pada waktu ini, tetapi apabila
seorang profesor menulis membela Si Tenggang, maka kekacauan dan kekeliruan nilai itu seolah-olah sudah dikanunkan dalam
sastera Melayu moden dan tafsiran profesor ini diterima dan dipakai dalam pengajaran sastera di sekolah.
Itulah pengakuannya dan itulah yang dibuktikannya dalam kertas kerjanya. Saya
telah menyalin bahagian berkenaan dalam blog ini, sila lihat pos bertarikh 13
Ogos, 2014, berjudul “Kritikan Sastera yang Naif, Keliru dan Anti-Ilmu”.
Dalam kutipan itu, Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan
melenyapkan aspek moral (penderhaka kepada ibu) untuk memberi penekanan kepada
kegigihan Si Tenggang merancang kehidupannya untuk menjadi kaya raya dan
akhirnya menjadi menantu raja. Dia menyebut sepintas lalu tentang penderhakaan
Si Tenggang, “Lazimnya para peneliti, para pengkaji sastera mahu pun para
pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Jika
derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya seperti mana berlaku kepada Si
Tenggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan, kisah Si Tenggang juga memperlihatkan nilai
positif. Akibat kemiskinan Si Tenggang bercita-cita hendak jadi kaya dan
terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tenggang ada matlamat, iaitu ingin
menjadi kaya dan terkenal.” (dalam kertas kerja beliau, “Kesusasteraan Melayu
mutakhir: antara realiti dan harapan”, Seminar Sasterawan Negara II, 26 April
2014, UPM). Kertas kerja ditulis untuk
menghidupkan pengajaran sastera di kalangan pelajar dengan memasukkan unsur
pengurusan.
Sebagai catatan
kecil, dalam filem Malin Kundang yang dibuat di Indonesia, Malin Kundang dibawa
ke dunia moden, masih kekal perwatakannya, dan mati tertimbus simen. Dia kaya dan berpengaruh, yang didapatnya
secara khianat dan kejam. Nampaknya pembikin filem Indonesia itu masih lagi
berpegang kepada konsep asal, yang ditolak oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
dan Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan.
Dalam cerita asal yang menekankan soal moral dan nilai murni yang
menjadi pegangan masyarakat, diubah oleh dua orang profesor ini untuk memberi
penekanan kepada kejayaan kebendaan semata-mata. Inilah ajaran yang ingin
disampaikan oleh pengajaran sastera yang telah disusun semula untuk menarik
minat para pelajar. Disuntik unsur motivasi dalam perubahan itu, dengan
meninggalkan unsur moral dalam cerita asal. Adakah ini cara pengajaran sastera
yang kita mahu? Kekeliruan begini tidak
akan terjadi jika konsep ilmu yang benar dijadikan asas dalam pendidikan
sastera. Kita tidak perlukan profesor yang menderhaka kepada nilai-nilai
kebudayaan tradisi yang berasaskan konsep ilmu yang benar itu. Pretensi
intelektual yang menjadi peragaan profesor ini hanya dapat dikesan jika konsep
ilmu yang benar itu dijadikan asas untuk menilai pendapat mereka yang tidak
berasas itu.
Dalam konteks ini, saya ingin mencadangkan satu perkara yang
saya fikir akan menarik minat para pelajar sastera untuk berfikir dengan
kritis, supaya mereka dapat membicarakan dengan mantap dan ilmiah erti kejayaan
dari perspektif ilmu. Saya cadangkan sajak “Pulang Si Tenggang” itu dikaji
bersama sajak “Al-Andalus” yang terdapat dalam novel Pujangga Melayu (hal. 106-108). Melalui kajian perbandingan ini, aspek
apa juga yang ingin diserlahkan dalam kedua-dua sajak ini dapat dilihat dengan lebih
jelas, oleh itu para pelajar diberi peluang untuk membahaskan dengan mendalam aspek
ilmu dalam karya kreatif. Hanya dengan berbuat demikian saja para pelajar ini akan
diberi peluang untuk menjadi cerdik dan kritis dalam membuat pertimbangan dan pemilihan.
Inilah yang kita perlu dedahkan kepada mereka,
bukan mengajar mereka untuk menjadi kaya dan terkenal, tetapi untuk menjadi cerdik
dan bermoral tinggi. Saya fikir cadangan ini lebih siuman daripada mengajar
para pelajar bagaimana hendak berjaya dan terkenal seperti Si Tenggang. Masalahnya,
dalam keadaan sekarang, idea untuk mencerdikkan pelajar dan membimbing mereka menjadi
pelajar yang kritis tidak laku, tidak akan mendapat sokongan para sarjana yang menurut
kalangan mereka sendiri mempunyai agenda tertentu.
Rasanya tidak salah untuk mengemukakan cadangan yang kerdil saja
seperti di atas. Saya harap para perancang kurikulum pendidikan sastera di Kementerian
Pendidikan Malaysia bermurah hati untuk menjeling sahaja dahulu cadangan ini, sebelum
memberi perhatian serius. Terima kasih.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 6/11/2014.
Assalamualaikum Prof/Dr/Tuan. Saya tertarik dengan tulisan tuan. malah, saya sedang menyiapkan satu kertas kajian mengenai sastera. Bolehkah saya tahu nama FB tuan? mungkin boleh sudi berkongsikan ilmu.
ReplyDelete