Wednesday, November 26, 2014

SESAT DALAM BELANTARA MAKLUMAT: PERANAN TEORI SASTERA BARAT DALAM SASTERA MELAYU MODEN (Bahagian II)



Bahagian I mendapat komen yang menarik, seperti berikut:

"Apabila saya melihat diri saya di dalam cermin, saya tertanya, inikah dunia saya? Saya tidak mahu lagi melihat imej dalam cermin itu, kerana saya dihantui imej A.Samad Said, Shahnon Ahmadd, Baha Zain, dan Anwar Ridhwan"

In order to exorcise the Great Void, I must succumb to the great Void. I resist it, but i cannot avoid it.”

Komen ini menarik kerana nama-nama yang disebut itu telah ditakdiskan sebagai Brahmin dalam sastera Melayu moden, suatu pengakuan yang jujur dan membenarkan andaian saya selama ini. Jarang, malah sukar sekali, mendapat kejujuran seperti ini dalam dunia sastera Melayu yang dikuasai sepenuhnya oleh faham pandirisme (the ideology of pandirisme).  Tidak semena-mena, apa yang dinafikan selama ini, tiba-tiba diakui  bahawa sesungguhnya kumpulan Brahmin itu memang wujud dalam sastera Melayu dan mereka ini diberi kemewahan (kadang-kadang sangat berlebihan) untuk dikalung dengan bunga malai retorik peragaan yang dihiasi dengan kefasihan fatamorgana bahasa, yang pernah disebut oleh Panel Anugerah Sastera Negara [tentang para Brahmin itu], “ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini.  … semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” (Laporan 2012, hal. 21).

Good for them, tetapi menjadi kutukan kepada budaya ilmu yang diselewengkan oleh para Brahmin sastera ini.  Kehadiran mereka, para Brahmin sastera ini, sebagai sasterawan negara, sangat janggal dan tidak sepatutnya diberi kedudukan itu, melangkah kepala para ulama dan cendekiawan Melayu lainnya.  Semakin banyak dibicarakan tentang mereka, semakin ketara budaya pandirisme, dan semakin ketara kehilangan adab dalam kebudayaan Melayu.  Tidak ada hujah sama sekali untuk meletakkan para sasterawan negara ini di atas para ulama dan cendekiawan Melayu yang lebih cerdik dan benar-benar berjasa dalam membina tamadun ilmu dalam kebudayaan kita, apatah lagi apabila mereka dijadikan golongan Brahmin sastera.  Zaman Brahmin ini sudah lama luput dalam kebudayaan Melayu, oleh itu tidak ada alasan sama sekali untuk menghidupkannya dengan nama sasterawan negara. Analisis dan penilaian saya dalam “Keunggulan yang Cacat” adalah tepat menilai kualiti sebenar novel-novel Anwar Ridhwan sebagai penglipur lara moden, dikunci dengan istilah pretensi intelektual yang mengisyaratkan betapa superficialnya karya-karya yang amat lemah perwatakannya ini. Usaha Mawar Shafie untuk mengangkat novel-novel Anwar Ridhwan menjadi sia-sia dan membuang masa kerana semua hujah beliau boleh dipatahkan dengan mudah, dan berkesan, jika dilihat dari perspektif pretensi intelektual yang saya maksudkan. Saya tidak keberatan jika kesimpulan ini disanggah oleh mana-mana sarjana ciritan. Saya meletakkan wibawa Muhammad Haji Salleh sebagai sandaran, yang mengatakan kita telah banyak melakukan kesalahan menilai karya kita yang bercorak Melayu dengan menggunakan teori sastera Barat. Sekiranya sandaran saya tidak tepat, dan dapat dimatikan dengan hujah yang lebih kuat, maka nyatalah Muhammad Haji Saleh hanya melontarkan idle talk saja, tidak dapat dijadikan pegangan dalam membuat penilaian yang kritis terhadap teori sastera Barat. Adakah pendapat beliau hanya sejenis permainan lawak akademik sahaja? “Lu fikirlah sendiri!” sergah Raja Lawak Malaysia.

Sergahan Raja Lawak itu penting untuk menyedarkan para sasterawan yang khayal dan berada dalam bakul seronok sendiri (perhatikan saya menggunakan perkataan bakul!), memuji dan mengangkat sama sendiri dalam Mutual Admiration Club yang telah dikutuk sejak tahun 1973 oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, oleh itu tidak masuk akal jika kemudiannya beliaulah yang menjadi pengasas Mutual Admiration Club di kalangan sasterawan negara!  Pemilihan Baha Zain ternyata amat cacat, seperti yang dibangkitkan oleh Shahnon Ahmad. Jika beliau selama 30 tahun tidak layak, bagaimana dengan tiba-tiba beliau layak diangkat sebagai sasterawan negara? Tentulah dengan  pertolongan anggota Mutual Admiration Club, yang beliau adalah salah seorang anggotanya. Tidak masuk akal jika beliau yang tidak layak dahulunya tiba-tiba menjadi layak, padahal beliau terus dinilai berasaskan karya dahulu juga. Apakah ukuran yang dipakai dulu dan apa pula ukuran yang dipakai sekarang? Semua ini menimbulkan keraguan yang luar biasa tentang kejujuran akademik dan kompetensi Panel Anugerah Sastera Negara. Kita perlukan penjelasan daripada mereka.

Para sarjana ciritan yang selekeh pengetahuannya tentang kritikan sastera Barat sekalipun, dan langsung tidak kenal pemikiran Islam dalam ilmu persuratan, begitu murah sekali dengan pujian yang tidak berasas, yang ditabur sewenang-wenangnya ke atas kepala para sasterawan negara.  Dua perkara yang menjadi kegemaran mereka sekarang: menggelar karya para sasterawan negara sebagai karya intelektual; kedua, memasukkan unsur Islam ke dalam karya itu walaupun yang ditulis bertentangan dengan Islam.  Kedua-duanya  merupakan pembohongan akademik yang tidak sepatutnya dilakukan oleh sarjana yang mempunyai harga diri dan yang menghormati ilmu.  Persoalan  ini telah saya sentuh acap kali dalam pos yang disiarkan dalam blog ini. Jika mereka benar-benar percaya kedua-dua unsur itu terdapat dalam karya para sasterawan negara ini, cara paling tepat dan objektif untuk menentukannya ialah dengan menelitinya daripada perspektif Persuratan Baru. Mereka tidak mahu melakukannya kerana mereka sendiri tahu unsur-unsur tadi tidak ada dalam karya itu. Mereka sudah mempunyai alat untuk menguji dakwaan mereka, iaitu gagasan Persuratan Baru. Bagus juga jika mereka berkata PB tidak boleh digunakan untuk menilai karya para sasterawan negara dan karya sasterawan yang lain; kerana menurut mereka  PB direka-reka untuk digunakan bagi menilai karya Mohd. Affandi Hassan saja. Argumen ini kalah gelagat Raja Lawak!  Nasib baik seloka “Sarjana Ciritan” itu saya tulis 2004 sebelum mendapat berita besar ini.  Oleh itu cabaran intelektual dan cabaran akademik yang dihadapkan kepada mereka masih belum mereka sanggah secara ilmiah dan secara akademik, walaupun mereka gemar bercakap tentang pemikiran dan aspek intelektual dalam penulisan.  Golongan Brahmin sastera dan para pengikut mereka sarjana ciritan ini  tidak  ada pilihan melainkan tunduk menerima  pelawaan PB untuk masuk ke gelenggang ilmiah membahaskan dengan mendalam kedudukan ilmu dalam kritikan sastera. Akan tiba masanya para pelajar mereka sendiri akan bertanya, mengapa mereka bersikap anti-ilmu ketika mereka diperlukan memberi dorongan kepada para pelajar itu untuk  mencintai ilmu yang benar. Para pelajar ini akan membacakan kepada para sarjana ini episod “Tenggelam Dalam Arus” dalam Balai Maqamat untuk mendapat pandangan kritis mereka, sambil berbahas dengan para pelajar itu.  Edisi kedua Gagasan Persuratan Baru sudah terbit untuk dijadikan landasan perbincangan; dan ketika itu para pelajar tidak ada pilihan melainkan memberi pendapat kritis mereka tentang teori sastera Barat yang ditusuk ke dalam benak mereka, dengan melihatnya daripada perspektif Persuratan Baru.  Pendahuluan yang ditulis oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, berupa kertas kerja yang dibentangkan dalam “Seminar Teori dan Kritikan Sastera Malaysia” (Universiti Pendidikan Sultan Idris, 28-29 September 2012), membicarakan dengan jelas peranan PB sebagai alternatif dalam kritikan sastera Malaysia. Inilah masanya untuk para sarjana dan pelajar mereka belajar bersama-sama bagaimana teori sastera Barat, yang tidak dibahaskan dengan kritis, telah menutup kecerdasan intelektual mereka, yang dapat dipulihkan dengan mudah melalui perkenalan secara kritis dengan Persuratan Baru. Tidak ada siapa pun yang dirugikan dengan perbahasan kritis seperti itu. Ini hanya dapat dilakukan di universiti, secara formal, sebab di situlah satu-satunya tempat ilmu dikembangkan. Sambil menolak kepalsuan dari sumber mana sekalipun, termasuk dari sumber Persuratan Baru sendiri.  Satu cadangan yang amat sederhana untuk mengembalikan keyakinan ilmiah yang sekian lama ditutup oleh kedatangan mendadak serangan teori sastera Barat.  Ketahui olehmu (ini gaya lama yang masih bagus dipakai) bahawasanya wahai murid, menggunakan sesuatu alat yang kamu tidak kenal betul  boleh membahayakan kamu, oleh itu hendaklah kamu ketahui terlebih dahulu dan gunakannya dengan cermat supaya kamu selamat. Hendaklah kamu elakkan dirimu daripada tersesat dalam belantara maklumat yang kamu tidak faham. 

Dengan terbitnya edisi kedua Gagasan Persuratan Baru, para penulis muda yang sudah menampakkan minat dalam epistemologi dalam penulisan, akan menjadi peneroka kepada perkembangan kreatif berasaskan ilmu yang benar, dan dalam masa terdekat ini kita akan melihat percambahan yang sihat dalam dialog yang bersifat ilmu di kalangan para penulis muda ini. Merekalah yang akan memulai revolusi kreatif di Malaysia, dengan mencipta karya-karya persuratan mengikut acuan mereka sendiri, tetapi tidak keluar daripada epistemologi Islam berasaskan tauhid dan taklif.  Mereka juga yang akan menjadi pembicara yang benar-benar akademik dalam persoalan ini, dengan mengemukakan pendapat mereka tidak lagi berasaskan emosi, tetapi terus terjun ke dalam dunia ilmu kerana hanya di situ saja mereka akan dapat membangunkan pemikiran orang Melayu dan berupaya mencerdikkan generasi baru.  Kegagalan para sasterawan dan para sarjana ciritan yang menyokong mereka akan menjadi semakin jelas dengan mendedahkan kepalsuan kumpulan pinggiran yang cetek meraba-raba, yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, yang berselindung di sebalik Mutual Admiration Club yang dulunya dikutuk oleh ketua-ketua mereka. Pengutuk utama dalam tahun 1973 kini muncul sebagai pelindung utama Mutual Admiration Club ini. Mereka menggunakan Panel Anugerah Sastera Negara untuk melangsungkan kepalsuan yang semakin jelas kelihatan dalam karya para sasterawan negara. Mereka tidak mempunyai hujah untuk mempertahankan kepalsuan mereka, walaupun mereka mengambil pendirian untuk tidak berbahas dengan kumpulan penulis baru yang lebih sedar akan kepentingan ilmu dalam penulisan.
[Bahagian 3, akhir, akan menyusul].

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 24/11/2014.


No comments:

Post a Comment