Nampaknya para sasterawan dan sarjana sastera Malaysia tiada
pilihan melainkan menerima dengan baik kritikan saya terhadap kemunculan
gelaran baru yang memalukan kita semua, “Sasterawan Negara”. Anda semua belum berupaya menafikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
syarahan pengukuhan beliau, Islam Dalam
Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972), yang menegaskan dengan lantang dan
cukup dengan analisis yang dibarengi hujah dan bukti yang kuat, bahawa golongan
sasterawan itu golongan pinggiran yang “cetek mera-raba” yang dinilai oleh
“mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”
(ha. 55). Laporan Panel Anugerah Sastera
Negara membuktikan betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
itu, seperti yang saya bahaskan dalam banyak tulisan di blog ini. Kekeliruan
dan kelesuan “pemikiran” para sasterawan negara menunjukkan hanya satu perkara:
betapa sia-sianya pemilihan sasterawan negara ini yang pada keseluruhannya
merugikan masyarakat kerana sumbangan mereka dalam pemikiran terlalu kecil,
atau tidak signifikan sama sekali. Dalam
peribahasa Melayu, indah khabar dari rupa;
atau satu peribahasa yang amat digemari dalam cerita-cerita lama, hikayat
Melayu misalnya: cakap berdegar-degar, tahi lekat di gelegar!
Dalam budaya Melayu, perbezaan pandangan tidak
digalakkan, apatah lagi diraikan.
Walaupun di kalangan sarjana yang bangga memeluk teori sastera Barat dan beribu
kali bercakap tentang dialogic
imagination, deconstruction, new historicism
dan sebagainya, yang di Barat lahir dari intellectual
dialogues yang sengit, para pemeluk teori sastera Barat di Malaysia boleh
dikatakan anti-dialog dan anti-perbahasan kritis. Penulis yang kritis ditohmah
mereka sebagai biadab, tidak beretika, sentiment, ego, angkuh dan sebagainya,
oleh itu tidak perlu dilayan dan biarlah anjing menyalak bukit. Dengan sikap
akademik yang terbuka begini untuk mengutuk orang-orang yang tidak bersetuju
dengan mereka, maka sastera Melayu menjadi lesu dari segi pemikiran, bertambah
keliru dalam membuat penilaian kerana tidak berasaskan konsep ilmu yang benar,
dan terlalu angkuh berlindung di bawah payung Mutual Admiration Club, kerana
mereka ini sebenarnya tidak menguasai dengan mendalam teori yang mereka tiru
dan cedok itu. Di antara “teori” yang paling terkenal (?) di Malaysia dan
kononnya (mengikut dakwaan tuannya sendiri) banyak (?) digunakan ialah
teksdealisme, hampir seratus peratus dicedok daripada idea Harold Bloom,
termasuk segala konsep dan istilah yang
dipakai sarjana itu. Orang pertama yang menyedari kepalsuan sarjana ini ialah
seorang yang memakai nama K. B. Tan, yang menulis di ruangan “Reaksi” dalam Dewan Sastera 1998, memakai judul “Antara Ilmu dan Retorik
Kosong”. Dalam tulisan itu disenaraikan sejumlah kata-kata, konsep, istilah dan
sebagainya yang digunakan dalam teksdealisme, yang memang menyerlahkan
penciplakan idea daripada Harold Bloom. Kita akan dedahkan seterusnya buku-buku
mana yang dicedok ideanya, dan apakah
istilah yang dikutip dengan ghairahnya dalam tabiat buruk retorik peragaan dan
sikap infantile dalam praktik
pretensi intelektual yang kosong, tetapi kaya dengan segala pendapat bercorak bullshit (menggunakan istilah Prof. Harry
G. Frankfurt yang terkenal itu). Seorang sarjana sastera Inggeris yang fasih
bahasa Inggeris dan mendalam pengetahuannya dalam teori sastera Barat, dalam
bukunya Reading Approaches in Malay Literature
(UKM 2010) tidak menyebut teksdealisme bersumber daripada karya Harold
Bloom, walaupun beliau tahu! Saya maksudkan Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang dalam
tulisannya ingin menghumban semua teori Barat ke dalam laut! Mengapa beliau bersikap sekeras itu tidak
jelas bagi saya, walaupun beliau ada mengatakan kita mesti membina teori kita
sendiri yang bebas dari pengaruh Barat. Adakah teksdealisme bebas dari pengaruh
Barat? Hingga sekarang belum ada lagi sebarang usaha beliau untuk mewujudkan
teori yang beliau maksudkan itu. Sebaliknya, beliau adalah salah seorang ahli
Panel Anugerah Sastera Negara yang amat selesa menggunakan teori sastera Barat
dan memakai ukuran sastera Barat dalam penilaian karya para sasterawan
negara. Adakah sarjana seperti beliau,
termasuk Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, hanya bermain sandiwara? Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh terang-terang
mengatakan penggunaan teori Barat adalah salah; tetapi beliau mahu karya beliau
sendiri dinilai mengikut teori sastera Barat, menggunakan ukuran dari
nilai-nilai Barat. Apakah tafsiran yang boleh kita berikan terhadap sikap
begini? Bagi saya inilah bukti betapa tepatnya kesimpulan Prof. Syed Muhammad
Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya itu, tentang kumpulan pinggiran
yang “cetek meraba-raba.” Inilah pencapaian akademik paling tinggi para sarjana
kita, yang kemudiannya menilai para sasterawan negara. Dalam cerita pendek
saya, Pak Pandir pun tidak mahu ketawa membaca episod ini, kerana dia juga
berasa bangga mempunyai cerdik pandai bangsanya, kerana dia sendiri sangat
insaf akan kebodohannya. Tetapi kebodohan itulah yang melahirkan falsafah
pandirisme, yang dengan tepat menggambarkan kedudukan kebudayaan Melayu moden,
terutama sekali dalam bidang sastera modennya. Dirgahayu Pak Pandir yang
mengilhamkan falsafah pandirisme itu. Kini konsep bullshit yang diperkenalkan oleh Prof. Harry G. Frankfurt di
Amerika Syarikat mendapat teman, atau saingan, dalam falsafah pandirisme yang
diilhamkan oleh Pak Pandir, intelektual Melayu pertama yang kemudiannya
melahirkan cucunya yang terkenal, Polan Cupan, ahli sains seni bina dan pemikir
Melayu terulung. Sayangnya mereka tidak layak menganggotai Panel Anugerah
Sastera Negara, walaupun dari segi kemampuan intelektual mereka jauh lebih superior daripada anggota panel yang
pernah menjadi anggota dan yang masih menjadi anggota Panel. Pendirian saya
sendiri dalam persoalan pengaruh Barat ini saya pernah jelaskan dalam makalah
berjudul, “Konsep Ilmu Dalam Kritikan Sastera” (Mastika, Oktober 1991, hal. 21-24). Dalam tulisan itu, saya
tegaskan begini: “Kita harus tahu
seberapa banyak yang kita terdaya mengetahuinya; tetapi kita tidak harus sesat
seberapa jauh yang kita mahu.” (hal. 24).
Sudah jelas yang kita perlukan pada waktu ini, dan
menggunakannya, ialah satu kaedah analisis dan penilaian yang dapat melihat
dengan jelas kepalsuan yang sedang kita bina dengan gigih dengan memperkenalkan
manusia yang cetek meraba-raba itu sebagai “sasterawan negara”, yang dinilai
oleh mereka yang berada di pinggiran kebudayaan Melayu dan kebudayaan Barat
yang mereka pegang, iaitu kumpulan pinggiran yang tidak dapat membezakan yang benar
dari yang palsu. Semua ini tertera jelas
dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Tetapi kerana kaedah analisis dan
penilaian yang kita pakai selama ini gagal untuk mengenal pasti kepalsuan
penilaian itu, maka kita telah terseret ke dalam lembah kekeliruan, dengan
mengajak semua orang mengikut mereka ke dalam lembah itu. Pengalaman dan
pandangan mereka yang berada di dalam lembah tidak sama dengan pengalaman
mereka yang berada di atas gunung, atau paling kurang yang berada di atas muka
bumi tempat manusia membangunkan tamadunnya.
Saya tidak perlu mengulas satu persatu pengalaman dan pandangan dari
lembah kekeliruan ini, kerana tertera dengan jelas dalam semua laporan Panel
Anugerah Sastera Negara. Sebahagian daripadanya saya sebut dalam tulisan berjudul
“Keunggulan Yang Cacat” yang disiarkan dalam blog ini.
Mengapa kita membiarkan perkara ini begitu lama, dengan
memperkukuhkannya pula dengan melantik “sasterawan negara” padahal mereka
terdiri daripada kumpulan pinggiran baik
dalam budaya kita sendiri, mahu pun dalam budaya Barat yang mereka tiru dan
sanjung. Inilah kesimpulan Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhannya (1972) di Universiti
Kebangsaan Malaysia:
“Di Malaysia tiada terdengar langsung apa-apa pembicaraan
yang menyelami masalah-masalah kebudayaan. Menurut hemat saya, unsur-unsur baru
yang telah timbul dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia yang boleh dikatakan
membayangkan kesan kebudayaan Barat adalah sebenarnya mendakyahkan suatu
pandangan hidup yang mengutamakan nilai tragedi, nilai kesengsaraan dalam
lakonan hidup insan. Dalam kebudayaan Barat sejak zaman Purbakala, tragedi
mengambil peranan besar dalam mitos, dan kemudian dalam menilai luhurnya watak
keperwiraan dalam sesuatu lakonan. Dari Oedipus ciptaan Sophocles; dari Hamlet
dan Macbeth dan lain-lain ciptaan Shakespeare; dari Faust ciptaan Goethe, dan
seterusnya hingga Sisyphus rekaan Camus, terus mengalir darah dan keluih-kesah
tragedi, berulang-ulang menjelma merangkap abad beribu tahun. Justeru
sesungguhnya pandangan hidup yang berdasarkan nilai demikian bukanlah baru,
akan tetapi memang menepati bawaan jiwa Barat dan kebudayaannya; membayangkan
tragedi yang senantiasa dialami oleh
jiwa Barat yang sejak zaman purbakala lagi tiada mengenal iman; yang
sejak zaman purbakala lagi asyik berpandu kepada keraguan dan falsafah sebagai
punca menuntut Kebenaran; yang dari itu terkecewa dalam pengalamannya beragama;
yang seolah-olah dikutuk supaya terus mencari Kebenaran yang tiada dicapainya –
yang tiada dapat dan tiada akan dapat dicapainya. Nasibnya demikian laksana
nasib dewa Prometheus yang buta terbelenggu terseksa pada batu tunggal di
tengah lautan! Dan segala nilai
kebudayaan Barat, segala konsep utama mengenai kehidupan, segala hasrat – dalam
agama, falsafah, kesusilaan, dan kesenian – mengandung jiwa tragedi. Renungan
mengenai perwatakan dalam sesuatu lakonan, novel, cerita pendek, berpunca
kepada tragedi kehidupan semesta. Kerana kehidupan pendek, kerana dunia tiada kekal, kerana akhirat
luput, kerana dalam pengetahuan demikian masih tetap juga asyik melulu kepada
kehidupan dunia, maka timbul dalam jiwa ketegangan dan kesunyian mahadahsyat,
sedih pilu mengenangkan nasib insan yang terbelenggu pada dunianya, yang
riwayat akhirnya diselubungi kegelitaan mahahebat.” (Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, hal. 54).
Inilah gambaran yang begitu tepat mencirikan karya
sasterawan negara yang diberi kedudukan istimewa dalam kebudayaan Melayu yang
hanyut dalam nilai-nilai Barat itu. Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan
mereka memuji tinggi karya para sasterawan negara yang demikian sifatnya, yang
bercerita tentang tragedi petani Melayu atau penglipur lara yang berserah
kepada nasib malang dan para sasterawan dengan bangga mensensasikan kehidupan
yang kosong hampa itu. Inilah watak yang
mendapat pujian dan sanjungan para penilai dan yang menjadi kemegahan para
sasterawan sendiri. Sekadar memberi sedikit gambaran untuk membantu anda
memahami kemelut yang dihadapi oleh sasterawan yang “cetek meraba-raba” dan para
penilai “yang tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu”, perhatikan
contoh-contoh ini:
“Hari-hari Terakhir
Seorang Seniman mengisahkan seorang
penglipur lara tradisional yang dilanda berbagai-bagai tragedi dalam
keluarganya: … dan hakisan terhadap fungsi seni tradisional dalam sebuah
masyarakat yang mula mengalih perhatiannya kepada radio. … Arus pula membawa kisah permusuhan antara seorang pawang buaya …
dengan seorang lebai yang mengkafirkannya. … Kedua-dua watak seni tradisional
ini gagal mempertahankan seninya dan akhirnya menemui maut dalam keadaan yang
tragik. Jika wujud pun kelainan dari
segi tema dengan karya-karya semasa yang lain, mungkin hal ini dimanifestasikan
dalam bentuk perjuangan yang sedikit berbeza. Konsep perjuangan yang diutarakan
oleh Anwar Ridhwan bukan pergelutan
politik, tetapi perjuangan untuk menghidupkan kembali dan memartabatkan
budaya tradisional yang mula disisihkan.”
(hal. 35, Laporan 2009).
Kedua-dua buah novel ini diiktiraf oleh Panel sebagai novel intelektual,
novel pemikiran. Perbuatan Panel “membacakan” sesuatu yang tidak terdapat di
dalam teks merupakan tabiat biasa dalam laporan Panel, dengan kepercayaan
bahawa pembaca akan menerima apa saja
yang diperkatakan oleh Panel. Sebaik saja pandangan Panel dianalisis, maka
terpampang pembohongan intelektual yang
begitu ketara, kerana sesungguhnya dua orang watak ini sangat lemah dan bodoh,
tidak mungkin mereka diberi taraf pejuang seni. Kedua watak ini disensasikan
begitu rupa untuk menjadikan mereka watak yang tragik, dengan itu diharapkan
akan mendapat simpati pembaca. Sila baca dengan kritis “Keunggulan Yang Cacat”
untuk mendapat gambaran sebenar tentang novel picisan ini. Kita lihat kutipan
daripada Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas seterusnya untuk memahami mengapa
pembohongan akademik ini terjadi. Kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas
seterusnya:
“Pandangan hidup demikian, sedikit demi sedikit dengan tiada
disedari telah mula mendekati jiwa yang disebut ‘baru’ tadi itu. Golongan
pujangga dan penulis yang mensifatkan dirinya mewakili sesuatu yang ‘baru’
dalam kesusasteraan Melayu-Indonesia sebenarnya terdiri dari orang-orang yang
tiada benar-benar mendalami kefahaman mengenai sifat-sifat asasi kebudayaan
Barat dan sifat-sifat asasi kebudayaan sendiri; orang-orang yang dari segi
kebudayaan mewakili masyarakat perpinggiran atau marginal society, yang kedudukannya dalam kebudayaan itu tiada
jelas, tiada mendalam. Penganut-penganut golongan ini pun mereka yang
terkeliru, yang kebanyakannya terdiri dari masyarakat bandar, yang sungguh pun
terpelajar sedikit cara Barat tetapi tiada benar-benar menyerapi kebudayaan
Barat itu, mahu pun kebudayaan sendiri, dan dari itu nilai-nilai kebudayaan
yang terbayang dalam kesusasteraan ‘baru’ ini sebenarnya nilai-nilai yang
dinilai oleh mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan yang benar dengan
yang palsu.”
“Bahawa sesungguhnya, kesusasteraan Melayu-Indonesia yang
disebut ‘baru’ atau ‘moden’ itu belum cukup dewasa bagi diberi gelaran
‘kesusasteraan’ sebab belum dapat merangkum seluruh bidang kebudayaan yang
mencerminkan jiwa dan hasrat masyarakat Melayu-Indonesia; belum berdaya
merantau ke alam falsafah dan agama, ke alam fikiran luhur; belum menyelami
lautan rasa-cita masyarakat seluruhnya; belum mengenal sentuhan rohaniah pada
kecapi kalbunya. Yang ‘baru’ atau ‘moden’ itu hanya baru sedang menguji sayap
dalam bidang sajak, cerita pendek, dan
novel. Bentuk luarnya sahaja tampak baru, akan tetapi yang sebenarnya baru dalam sejarah kebudayaan itu tiada hanya tampak
baru pada bentuk luar belaka, kerana bentuk luar bukan syarat yang sah bagi
penilaian pembaharuan.
“Jiwa ‘baru’ yang kononnya terbayang dalam kesusasteraan
kita sekarang, pada pendapat saya ditinjau dari segi falsafah, tiada selaras
dengan sifat persendirian bangsa dan kebudayaan kita yang berdasarkan
kebudayaan Islam. Maka dari itu yang kononnya ‘baru’ inilah yang membahayakan,
yang ‘baru’ inilah yang mengandung nilai-nilai bibit kekeliruan yang membawa
kepada mewujudkan satu masyarakat perpinggiran, yang tiada akan dapat merangkum
hasrat Timur mahupun Barat; yang tiada dapat menyelami jiwa ketimuran mahupun
kebaratan; yang cetek meraba-raba. Dan bukan yang demikian laku yang akan dapat
memimpin ke arah nasib gemilang masa hadapan, menetapkan dengan teguh
bentuk-corak sejarah kemudian hari bagi membela bangsa dan sifat persendirian
bangsa itu. …” (hal. 54-56).
Kutipan pajang ini penting kerana di sini dijelaskan dengan
mendalam, tepat dan jelas sifat sebenar kesusasteraan Melayu moden yang
dihasilkan oleh para sasterawan, sehingga tidak mungkin mereka diberi gelaran
“sasterawan negara” jikalau kita benar-benar faham akan kedudukan mereka dan
sumbangan mereka dalam pembinaan tamadun bangsa kita. Perbuatan yang gopoh dan
tidak bertanggungjawab memberi gelaran “sasterawan negara” kepada beberapa
orang sasterawan yang tidak layak ini adalah merupakan satu keaiban intelektual
yang sepatutnya tidak berlaku jika sekiranya kita faham akan kedudukan mereka
ini sebagai golongan yang cetek meraba-raba itu.
Syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu,
adalah sebuah dokumen penting dalam kritikan kesusasteraan Melayu moden, yang
sekian lama diabaikan padahal inilah sumbangan paling penting dalam sejarah dan
praktik kritikan kesusasteraan Melayu moden, yang mendalam analisisnya dan
kejap kukuh penghujahannya. Tetapi seperti yang dirumuskan oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas sendiri, oleh sebab sastera Melayu itu dinilai oleh
golongan pinggiran yang cetek meraba-raba, terdiri dari mereka yang keliru yang
tiada dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, maka dokumen ini
seolah-olah diharamkan daripada dibahaskan dengan terperinci dalam kuliah
kesusasteraan Melayu moden. Sikap inilah yang mencirikan budaya pandirisme,
yang kini menjadi pegangan yang begitu
kukuh di kalangan para sarjana dan sasterawan Malaysia. Budaya pandirisme inilah yang menjadi asas
penilaian yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka,
yang tujuan matlamatnya hanya satu, untuk memitoskan para sasterawan negara
sehingga kelihatan kehebatan palsu mereka melalui retorik peragaan yang
diiringi dengan fatamorgana bahasa yang bombastik, yang setiap penilaian palsu
itu gugur bertaburan sebaik saja dikenakan ujian berasaskan konsep ilmu yang
benar. Pemitosan para sasterawan negara ini akhirnya menjadi jenayah akademik
yang amat memalukan apabila sasterawan negara
yang ditakdiskan itu menyerlahkan wajah sebenar mereka jika ujian berasaskan
konsep ilmu yang benar dikenakan ke atas mereka, yang sekali gus mendedahkan
wajah sebenar laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang penuh dengan ciri-ciri
keaiban intelektual apabila setiap hujah mereka gugur bertaburan seperti manik
perempuan Iban yang disentap putus talinya.
Apakah pilihan kita? Sejak tahun 1981 lagi saya telah
menolak kepalsuan ini, dengan harga satu ringgit tunai yang saya dermakan
kepada Sekretariat Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam pasaran wang yang ada
sekarang (tahun 2014 bulan November), satu ringgit dalam tahun 1981 itu kini
sudah menjadi paling besar hanya 30 sen sahaja!
Dalam istilah kritikan sastera dulu-dulu, novel picisan itu dipanggil
demikian kerana harganya hanya dua atau tiga kupang saja. Tetapi dalam
perkembangan sekarang, yang digalakkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara
kerana kelainannya, novel picisan yang sangat maju sekarang (termasuk novel
picisan Islami) sama mahalnya dengan Edisi Khas Sasterawan Negara, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka; manakala sajak-sajak kontot yang dikritik oleh
SN Shahnon Ahmad, diterbitkan oleh ITBM sebagai edisi istimewa khas sasterawan
negara, berharga tidak kurang dari RM250.00 sebuah. Siapa kata yang picisan itu
tidak berharga? Inilah perubahan dan kelainan yang amat disanjung oleh Panel Anugerah
Sastera Negara. Mereka telah berjaya!
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 1 November 2014.
No comments:
Post a Comment