Monday, November 17, 2014

CABARAN PANDIRISME YANG PERLU DISANGGAH



Sudah tiba waktunya laporan yang disiapkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dikaji dengan mendalam membicarakan sekurang-kurangnya tiga aspek: (1) ukuran yang digunakan; (2) teori apa yang digunakan; (3) apakah matlamat akhir laporan itu dan pemilihan sasterawan negara itu sendiri. Ketiga-tiganya mesti dihuraikan dengan jelas, dihujahkan dengan memberikan bukti yang konkrit, objektif dan tidak meragukan. Bukti yang konkrit bermaksud bukti yang benar wujud secara hakiki, bukan hanya dalam kata-kata, seperti misalnya pujian yang melepasi langit ketujuh yang diberikan kepada Kemala. Objektif pula bermaksud setiap isu yang dibincangkan itu dibuktikan dengan rujukan yang tepat, misalnya apabila Panel menggunakan istilah “penyair sufi” terhadap karya Kemala, atau karya intelektual terhadap karya Anwar Ridhwan, Baha Zain dan Muhammad Haji Salleh, maka penjelasan yang terperinci perlu diberikan dengan mengemukakan bukti atau contohnya. Misalnya, dalam kes Kemala, diturunkan sebuah sajak biasa yang tidak menyerlahkan  apa-apa ciri kesufian di dalamnya. Menurut Panel, sajak “Laut” (Dewan Bahasa, Julai 1972) adalah “puisi aliran kerohanian, … hubungan cinta sang perindu dengan Yang Abadi diungkap melalui imej-imej alam, antara yang digemarinya ialah laut.” (hal. 17).  Panel bersetuju dengan pendapat Braginsky (2007) yang mengatakan “…Puisi-puisi Kemala berhubungan erat dengan tradisi tasawuf Melayu. … Dalam puisi Kemala, pencari makna sering tampil sebagai pelaut dan ‘perhentian’ di jalan tarekat sebagai pelabuhan; kenyataan tertinggi sebagai pulau; jiwa sebagai teluk; hakikat, ‘diri’ dan kasih sebagai laut.” (Laporan 2012, hal. 16). Membaca sajak ini dalam mod bacaan intelektual memberi kita gambaran yang amat berlainan; terdapat unsur erotik yang lembut (Akulah laut/ Gadis cantik tidur di peraduannya/ Sisik riak di tubuhku/Lukisan detik dan tarian angin/Bersatu di gemersik ingin/Saujana ketenangan ini.) Hanya permainan kata, tanpa unsur kerohanian yang dikatakan oleh Panel. Sajak sufi? Istilah ini digunakan tanpa tanggungjawab ilmiah sama sekali. Memberi gambaran yang keliru adalah salah satu ciri utama laporan Panel Anugerah Sastera Negara.  Ini saja pun sudah cukup untuk menilai laporan Panel  ini dengan kritis.

Jikalau kita meneliti lebih dari 200 kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar “pemikiran” sasterawan negara, kita dapat melihat dengan jelas bagaimana teori sastera Barat telah gagal, dan gagal secara membahayakan, untuk menilai dengan objektif karya kreatif para sasterawan negara ini. Ini terjadi hanya kerana satu sebab sahaja, yang menjadi faktor penting dalam penilaian ini, iaitu kerana teori sastera Barat yang digunakan oleh para sarjana Malaysia bersifat anti-ilmu apabila mereka menolak konsep ilmu yang benar. Tepat sekali kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tahun 1972 dalam syarahan pengukuhannya, bahawa para penilai ini terdiri dari golongan yang  tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu. Kegagalan golongan ini mengenal kebenaran, dan menolak kebenaran dengan alasan bahawa sastera tidak menerima kebenaran sebagai unsur penting dalam karya kreatif dan dalam penilaiannya, telah berjaya mengusutkan persoalan ini dan menjadikan kekusutan dan kekeliruan mereka sebagai prinsip penting dalam pendidikan sastera di sekolah-sekolah.  Inilah yang mereka tegaskan dalam usaha mereka, kononnya, menghidupkan pengajaran sastera itu di sekolah dengan menjadikan kepalsuan nilai dalam pengajaran sastera sebagai faktor yang dianggap mereka boleh menarik minat pelajar untuk “menggemari” karya sastera. Inilah yang dilakukan oleh Prof. Mohd. Mokhtar Abu Hassan dalam kertas kerjanya mengenai masa depan pengajaran sastera di Malaysia. Saya telah mengulas perkara ini dalam beberapa pos dalam blog ini, dengan harapan perkara ini akan dibincangkan dengan kritis oleh para sarjana. Saya mendapat kesan para sarjana ini pun sudah masuk bakul yang sama dengan para pelajar yang tidak berminat dalam pelajaran sastera, dengan itu terus membiarkan guru-guru sastera yang keliru dan cetek pengetahuannya itu membiarkan para pelajar mereka meraba-raba dalam kesesatan di belantara ilmu hanya kerana mereka tidak diajar untuk mengenal konsep ilmu yang benar. Dilihat dari perspektif ilmu, inilah perbuatan jenayah akademik yang nampaknya menjadi kegiatan arus perdana dalam pendidikan sastera di Malaysia.

Apakah peranan Panel Anugerah Sastera Negara dalam menghadapi persoalan ini? Kumpulan ini menjadi benteng yang kuat untuk meneruskan kekeliruan dalam konsep ilmu dengan terus memberi penilaian yang menolak sama sekali aspek kebenaran kerana mereka juga menolak hakikat kepalsuan dalam karya kreatif dengan menyanjung karya-karya picisan sebagai karya bermutu tinggi dengan melindungi kepalsuan penilaian mereka melalui pretensi intelektual yang mereka lontarkan kepada masyarakat sebagai kaedah yang betul dan objektif. Begitulah caranya mereka memberi sanjungan kepada karya Muhammad Haji Salleh, Anwar Ridhwan, Baha Zain dan lain-lain sebagai karya intelektual, padahal jika dinilai dengan objektif berasaskan konsep ilmu yang benar, apa yang disebut sebagai karya intelektual itu sebenarnya hanya boleh diterima sebagai karya picisan intelektual. Persoalan ini telah saya bincang dalam pos bertarikh 10 Oktober, 2014. Para anggota Panel Anugerah Sastera Negara yang dalam semua laporan mereka menggesa para penulis dan sasterawan melakukan perubahan dalam karya mereka untuk memajukan sastera Melayu, menjadi kumpulan yang paling kuat menentang perubahan itu dalam kritikan sastera dengan menolak konsep ilmu yang benar untuk dijadikan landasan kepada penilaian karya kreatif.  Mereka tidak mempunyai hujah; tetapi mereka mempunyai kedegilan yang luar biasa untuk tetap berada dalam kekeliruan yang mereka pertahankan dengan seluruh kegigihan semangat yang luar biasa kejahilannya. Inilah yang saya maksudkan dengan pandirisme dalam kesusasteraan Melayu, yang kini begitu cemerlang kejayaannya dan dipertahankan begitu gigih supaya para pelajar sastera terus berada dalam kekeliruan dalam konsep ilmu. Perbincangan mengenai perkara ini terdapat dalam pos berjudul “Keunggulan yang Cacat”, bertarikh 28 Oktober, 2014. Lihat juga “Fatamorgana Bahasa dalam Kritikan Sastera dan Penilaian Karya”, dan seterusnya “Fatamorgana Bahasa dalam Karya Akademik dan Karya Kreatif di Malaysia.” Perbincangan tentang pandirisme boleh dibaca dalam pos bertarikh 14 September, 2014, “Kritikan Sastera Melayu antara Retorik Peragaan dan Fatamorgana Bahasa: Pandirisme yang Gigih Dipertahankan.”

Kejanggalan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka semakin ketara apabila kita menilai semula karya para sasterawan negara ini dengan memberi perhatian kepada aspek ilmu dalam karya itu. Lebih-lebih lagi apabila para sasterawan sendiri, dengan sokongan para sarjana yang bersimpati dengan mereka, mempersoalkan mengapa aspek ilmu itu dijadikan ukuran, padahal semua karya kreatif di mana saja di dunia ini tidak mementingkan aspek ilmu, dan hanya mementingkan aspek cerita serta teknik bercerita. Kata mereka, aspek ilmu itu diterapkan dalam tema yang ditampilkan di dalam karya, melalui teknik bercerita dan perwatakan para pelakunya. Itu sudah cukup, kata mereka, tidak perlu dicampur-adukkan dengan unsur agama. Ada dua persoalan yang boleh kita lontarkan kepada mereka: Mengapa tidak boleh diukur dari perspektif ilmu dan nilai-nilai agama? Siapa yang menegah daripada berbuat demikian? Adakah ini menjadi syarat dalam kritikan sastera dan dalam penilaian karya kreatif? Maksud pertanyaan ketiga ini ialah kritikan sastera menolak adanya campur tangan agama dalam kritikan dan dalam penilaiannya, kerana sudah diterima umum seluruh dunia sebuah karya kreatif tidak dapat dilihat dari perspektif ilmu dan nilai-nilai agama kerana penulis, atau sasterawan,  tidak menulis untuk memenuhi aspek itu, sebaliknya untuk membongkar sifat-sifat buruk manusia, atau lebih umum lagi untuk mendedahkan tabiat sebenar manusia yang melakukan segala perkara mengikut hawa nafsunya dan sekali sekala mengikut tuntutan kerohaniannya (tetapi ini amat jarang berlaku). Jadi, kata mereka, kehadiran unsur ilmu dan nilai-nilai agama bukan suatu syarat, tetapi hanya satu pilihan. Oleh itu, kata mereka, penilaian terhadap karya kreatif tidak boleh menekankan aspek yang bukan menjadi syarat kewujudan kesusasteraan itu sendiri. Sekarang kita melontarkan persoalan kedua: Sekiranya kita bercakap tentang intelektualisme, dengan berkata karya ini atau itu adalah karya yang memenuhi aspek intelektualisme, oleh itu kita boleh berkata karya itu sebuah karya intelektual? Konsep intelektual itu sendiri, kata mereka, adalah satu konsep yang ditakrifkan tanpa memasukkan unsur agama atau nilai-nilai agama di dalamnya, oleh itu kita boleh bercakap dengan selamat bahawa sesebuah karya, jika memenuhi syarat-syarat tertentu, boleh dikategori sebagai karya intelektual. Kata mereka, inilah hujah yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara ketika menilai karya para sasterawan negara, yang kemudiannya menonjolkan  tiga tokoh besar sasterawan Melayu yang memenuhi aspek intelektual itu untuk digelar sebagai sasterawan intelektual. So far so good. Tetapi penghujahan ini menimbulkan kontradiksi yang amat besar; bagi pengarang Islam, yang masih beriman dengan  ajaran Islam, kesimpulan tadi mendedahkan hilangnya identiti pengarang Islam yang kini tidak lagi terikat kepada ajaran Islam, sebaliknya terikat kepada praktik penulisan Barat. Dari segi logiknya, pendirian Barat itulah yang lebih wajar dan lebih baik, manakala pendirian Islam tidak dapat dijadikan ukuran kerana ini akan mendedahkan kelemahan karya itu yang sepatutnya sebuah karya yang kuat jika dipakai perspektif universal, yakni perspektif Barat. Inilah pendirian Panel dan para sasterawan Malaysia. Maksudnya, dalam bahasa yang mudah, ialah: jika anda ingin menjadi sasterawan, anda perlu melenyapkan identiti anda sebagai penganut Islam, sebaliknya menonjolkan diri anda sebagai seorang seniman universal yang boleh diterima di peringkat antara bangsa. Masalahnya ialah, adakah sasterawan yang menerima dan mempraktikkan pandangan ini menjadi pilihan terbaik untuk masyarakat yang masih lagi memandang tinggi nilai-nilai agama dan konsep ilmu yang benar? Jika kita menerima pandangan dan pendirian para sasterawan ini, maka kita telah menerima pendirian golongan kecil yang belum tentu betul pilihannya untuk dijadikan panduan  dalam pembinaan tamadun ilmu kita. Saya harap persoalannya nampak jelas sekarang, mengapa perlunya diasaskan  penilaian kita kepada konsep ilmu yang benar. Dalam gagasan Persuratan Baru, masalah ini tidak timbul kerana adanya tiga kategori karya: karya persuratan yang berteraskan ilmu yang benar; karya sastera yang tidak berteraskan ilmu; dan karya picisan/erotik/lucah yang berasaskan  hawa nafsu sepenuhnya. Kita boleh lihat dengan jelas, peningkatan hanya terjadi jika seseorang penulis berpindah dari karya sastera dan mula menulis karya persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar. Yang tidak boleh sampai ke peringkat itu, boleh terus menulis karya sastera, karya lucah dan sebagainya, tetapi kedudukannya tidak sama dengan karya persuratan. Yan g menjadi persoalan sekarang ialah sasterawan mahu karyanya diterima sebagai karya persuratan, walaupun tidak berasaskan konsep ilmu yang benar. Kata mereka, pembahagian kepada tiga kategori itu masih baru, masih belum mantap dan belum lagi diterima oleh para sasterawan, masih superficial. Kalau begitu, mereka tidak harus terkilan sekiranya karya mereka tidak memenuhi syarat sebagai karya persuratan, dan boleh terus berasa bangga menjadi sasterawan yang tidak mementingkan aspek ilmu dalam penulisannya.

Tetapi persoalannya belum selesai. Mereka bertanya: Adakah sesebuah karya persuratan secara automatik masuk ke dalam kategori itu sebaik saja ditulis berasaskan ilmu  yang benar?  Tidak semestinya; dan jawapannya diberikan dalam Gagasan Persuratan Baru (edisi pertama 2008; edisi kedua 2014). Lihat di sana untuk lebih memahami mengapa tidak secara automatik.  Sahabat kita yang bergopoh gapah berkata, tidaklah sukar untuk menjadi penulis karya persuratan. Betul, jika anda dapat melakukannya kerana sudah betul-betul faham.  Malah lebih mudah, kerana kini anda tahu matlamat anda dan anda juga tahu bagaimana hendak mengemudikan daya kreatif anda. Kalau anda gagal, anda masih lagi berjaya menulis karya sastera, seperti yang dihuraikan oleh Siti Aisyah binti Mohamed Salim dalam tesis sarjana beliau, “Sejarah Alternatif dalam Novel Duka Tuan Bertakhta: Satu Analisis Menurut Gagasan Persuratan Baru” (UKM 2014). Tidak rugi, bukan? Bagi yang berdada lapang, tidaklah menggusarkan walaupun dari segi taraf dan kedudukan karya persuratan tidak sama dengan karya sastera. Para sasterawan negara masih boleh menggunakan gelaran mereka, dengan sedikit kesedaran bahawa mereka tidak lagi berada di atas. Dalam konteks inilah kewujudan mereka dipersoalkan, dianggap tidak menepati tamadun Melayu yang mengutamakan konsep ilmu yang benar dalam Islam. Walau bagaimanapun, kesimpulan ini tetap terbuka untuk dibahaskan dengan objektif dan mendalam. Hanya sanya Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan negara tidak dapat menerima hakikat ini. Mereka tidak dapat menerima perubahan walaupun perubahan itu jelas untuk kebaikan mereka sendiri. Kesimpulan ini pun masih boleh dibahaskan. Atau anda boleh saja berkata, tidak mengapa karyaku tidak memenuhi syarat karya persuratan, asal saja aku menghasilkan karya sastera yang bermutu (?) tinggi dan diberi hadiah kerananya.  Sasterawan negara juga boleh berkata, kini darjat kami direndahkan oleh satu pendekatan kritikan yang belum diuji, tidak merugikan kami,  kerana kami masih mempunyai gelaran yang membuktikan kehebatan kami. Sebenarnya yang direndahkan darjatnya bukanlah para sasterawan, tetapi para ulama, cendekiawan, sarjana dan para pendeta Melayu apabila para sasterawan ini dilantik dan diberi gelaran sasterawan negara.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 16/11/2014




No comments:

Post a Comment