Thursday, November 13, 2014

MEMBACA DAN MENILAI TEKS: PERLUNYA KAJIAN KES TENTANG PANEL ANUGERAH SASTERA NEGARA



Apabila saya mengkritik penyelewengan budaya dalam kewujudan kumpulan sasterawan negara ini, tidak ada seorang pun yang boleh berkata  saya mempunyai motif yang tidak baik. Saya menyatakan protes saya sejak permulaan projek sasterawan negara ini oleh kumpulan Asas 50 yang berhijrah dari Singapura ke Kuala Lumpur. Waktu itu lagi saya sudah merasakan perbuatan memberi gelaran sasterawan negara ini amat janggal, tidak betul, dan sangat biadab jika ditimbang-nilai dalam konteks kebudayaan Melayu yang berteraskan Islam. Memberi gelaran begitu ternyata bertentangan dengan etika Islam, malah satu perbuatan bidaah yang sangat dibenci dalam Islam. Semua karya sasterawan negara ini tidak boleh dianggap mencerminkan nilai-nilai Islam, adab Islam, dan etika Islam. Semuanya tidak ditulis untuk mencerminkan ajaran Islam, adab Islam, dan menonjolkan perwatakan  Islam. Watak-watak dalam novel yang ditulis oleh para sasterawan negara ini tiada satu pun yang dapat memenuhi konsep uswatun hasanah yang diajarkan dalam Islam; malah watak-watak itu adalah watak-watak yang sesat dan keliru, seperti penglipur lara, pelacur, pemimpin yang jahat dan zalim, wanita yang menderhaka suami dan ayahnya, dan lain-lain watak yang biadab dan tidak bermoral. Inilah juga watak-watak dalam karya picisan dan erotik, karya lucah dan pornografi. Kalau itulah juga yang dimiliki oleh para sasterawan negara, maka apakah beza mereka dengan yang lain? Kalau tidak ada perbezaan itu, maka mengapa mereka layak pula diberi gelaran sasterawan negara? Adakah kerana mereka golongan ahli fikir yang unggul? Berikan satu contoh sahaja siapakah di antara sasterawan negara itu yang dapat dihormati sebagai seorang pemikir yang boleh dijadikan contoh seperti kita boleh mendapatnya daripada para ulama? Kalau para sasterawan ini tarafnya jauh lebih rendah daripada para ulama, maka bagaimana pula mereka layak diberi gelaran sasterawan negara? Tidak ada seorang pun di antara ulama kita yang pernah mendapat gelaran ulama negara, tetapi penulis yang khayal dalam imaginasi liar seperti sasterawan negara ini diberi kedudukan yang lebih tinggi dan lebih mulia daripada para ulama. Apakah isyarat ilmu dan isyarat adab dan akhlak yang ingin kita sebarkan kepada masyarakat untuk dijadikan contoh? Kalau sasterawan itu tidak boleh dicontohi, dan watak-watak dalam karya mereka pun bukanlah watak-watak yang boleh dijadikan contoh, maka apakah alasan kita untuk meletakkan para sasterawan negara ini sebagai golongan yang begitu istimewa dalam kebudayaan kita yang memang berdasarkan nilai-nilai Islam?  Tidak ada alasan sama sekali untuk meletakkan para sasterawan negara di tempat yang begitu istimewa dalam kebudayaan kita, mengatasi kedudukan ahli ilmu, ulama, para pendeta, dan cendekiawan Melayu.

Untuk maksud perbincangan ini, kita mempunyai dua teks: laporan Panel Anugerah Sastera Negara, dan karya para sasterawan negara sendiri. Laporan Panel memberi kita beberapa ukuran yang dipakai dalam menilai karya para sasterawan negara. Kita ingin melihat sejauh mana laporan ini membicarakan dengan tepat dan objektif karya para sasterawan negara. Pada umumnya laporan ini bergantung hampir sepenuhnya kepada pretensi intelektual, fatamorgana bahasa, dan retorik peragaan, tanpa sebarang usaha untuk menganalisis dengan cermat karya yang dianggap penting setiap calon sasterawan negara yang dilapor. Memang ada sedikit penekanan terhadap Salina dalam laporan untuk A. Samad Said (1985), tetapi penekanan kepada aspek peniruan teknik Barat, tidak perlunya aspek moral diberi penekanan dalam karya itu, dan cukup jelas sikap anti-khutbahnya, serta pendapat yang aneh yang menyatakan karya A. Samad Said tidak mempunyai tema dan matlamat tertentu, semua ini adalah kenyataan umum yang tidak berguna sedikit pun untuk menonjolkan nilai karya itu secara objektif dan tepat dengan kedudukan karya itu sebagai sebuah hasil seni yang indah dan bermakna. Malah kita boleh membuat kesimpulan bahawa dengan membuat pernyataan umum itu, Panel menolak karya itu sebagai hasil seni yang tinggi kerana tidak terdapat unsur keindahan dan makna yang mendalam.  Kedua-dua aspek penting ini ditolak oleh Panel kerana telah diputuskan karya itu tidak bertema, tidak mempunyai matlamat, hanya hasil peniruan teknik Barat dan konsep penulisan berasaskan faham realisme, naturalisme dan yang segugus dengannya. Dalam keadaan meraba-raba mencari ukuran yang objektif, Panel secara sepintas lalu mengatakan karya itu mempunyai unsur kemanusiaan yang bersifat universal yang ditunjukkan oleh sang pelacur, Salina, yang sentiasa bersimpati dengan Hilmi dan sentiasa bersedia untuk mendengar rintihan watak-watak tertentu yang menghadapi masalah kehidupan yang sukar pada zaman perang. Tetapi ini hanya satu aspek sahaja mengenai tema karya itu, yang pada mulanya ditegaskan tidak mempunyai tema tertentu; dan aspek ini tidak boleh digunakan sebagai hujah dalam menentukan nilai karya itu.

Sebuah karya seni, misalnya sebuah novel, harus mempunyai tiga perkara yang berkaitan satu sama lain: pengolahan tema tertentu yang dilakukan secara mendalam; penekanan kepada teknik tertentu yang digunakan untuk membangun karya itu keseluruhannya; dan makna karya itu sebagai sebuah teks yang dapat menyerlahkan pemikiran pengarang yang mendalam dan kebijaksanaan yang mengiringinya. Aspek pertama itu telah ditolak oleh Panel sebagai tidak perlu; tentang teknik, Panel berpendapat cukup jika penulis hanya sekadar meniru yang sedia ada dalam sastera Barat; dan dalam aspek ketiga Panel berpendapat tidak perlu ada dalam karya, dengan menolak sebarang khutbah, penegasan dalam aspek moral dan pendirian tentang sesuatu falsafah hidup. Ada sesuatu yang menarik dalam aspek ketiga ini. Bagi Panel dan sasterawan, watak Melayu dan Islam tidak perlu menekankan aspek keislaman itu, walaupun kadang-kadang mereka menekankan aspek kemelayuannya. Dengan sikap ini, watak Islam dan Melayu mesti selalunya terdiri daripada watak-watak yang bodoh dan jahil, misalnya dalam karya-karya Shahnon Ahmad. Perwatakan yang lemah ini dianggap satu kekuatan kerana di situ diberi penekanan terhadap nasibnya yang dirundung malang, menderita dan sebagainya. Watak-watak yang lemah dan tidak mampu berfikir serta bertindak berani adalah watak-watak yang dianggap watak yang “kuat” kerana sepanjang masa dirundung malang. Hakikat ini dapat dilihat dalam semua watak yang dikemukakan oleh para sasterawan negara ini. Sila lihat penjelasan saya dalam pos “Keunggulan yang Cacat.”

Ketika membicarakan karya Anwar Ridhwan, Panel seolah-olah sudah mengubah selera apabila Panel memuji Anwar Ridhwan menulis karya yang bersifat filosofikal, karya eksperimen yang matang yang bercirikan simbolisme, karya yang asli kerana menunjukkan terdapatnya kelainan yang cukup jelas membezakannya daripada karya sebelumnya. Nampak semacam sudah berubah daripada zaman A. Samad Said, tetapi sebenarnya masih dalam bingkai yang sama, yakni yang mengasaskan pandangan secara umum, seperti yang terlihat dalam “konsep” kelainan, eksperimen, simbolisme, dan lain-lain. Mengapa seorang penulis yang berjaya mesti bereksperimen? Adakah setiap eksperimen itu mutlak baik semuanya? Mengapa tidak dibezakan antara eksperimen yang baik dengan yang tidak baik? Begitu juga tentang aspek kelainan: dari sudut dan segi mana kelainan itu paling berkesan dan paling menentukan kualiti sesebuah karya? Adakah kelainan itu mutlak baik semuanya? Demikianlah seterusnya kita boleh bertanya soalan yang serupa untuk meminta penjelasan tentang “konsep” yang kelihatan hebat yang dilontar oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Pembacaan yang teliti karya-karya Anwar Ridhwan menimbulkan kesan sebaliknya: watak-watak yang lemah yang tidak pun memenuhi kategori klise oleh E. M. Forster tentang watak bulat dan leper, dengan kecenderungan besar untuk mengemukakan watak leper seperti Pak Hassan, Pawang Kri, Kuay dan lain-lain watak yang sangat lemah dari  segi perwatakannya. Oleh itu, apakah yang istimewa tentang karya sasterawan negara ini? Bahawa karya ini menang hadiah dan diterima oleh sarjana tidak boleh digunakan sebagai hujah bahawa karya itu bermutu tinggi; tetapi nampaknya itulah yang dijadikan hujah, yang sebenarnya palsu yang hanya berasaskan retorik peragaan dan fatamorgana bahasa, dengan bumbu daripada retorik teh tarik a la Baha Zain. Kalau anda terima hujah palsu yang tidak berasaskan ilmu ini, maka anda dengan mudah boleh berkata kerana Firaun itu mendapat tempat istimewa dalam al-Quran sebagai penderhaka dan penentang Allah, maka pastilah firaun itu sangat penting dalam kehidupan manusia. Fikirkan ini baik-baik: memang cerita Firaun itu penting, tetapi dalam konteks yang bagaimana?  Kelemahan penilaian Panel yang semberono dan kelemahan teks itu sendiri yang ditutup dengan retorik peragaan dan pretensi intelektual,  sebenarnya memberi gambaran palsu terhadap karya sasterawan negara ini, yang amat biasa dan tidak terlepas dari klise; terutama sekali tentang kegemaran pengarang mensensasikan perwatakan dan peristiwa yang dilalui mereka hanya untuk mendapat kesan tragedi. Seterusnya lihat pos “Keunggulan yang Cacat”.

Kesangsian Shahnon Ahmad, sasterawan negara dan seorang profesor sastera dan sarjana yang terkenal, terhadap pemilihan Baharuddin Zainal sebagai sasterawan negara, yang hanya menulis sajak-sajak kontot, belum lagi disanggah selain kata-kata kasar daripada Baha Zain yang menuduh Shahnon Ahmad biadap, tidak bermoral (kerana menuduh seorang sasterawan yang tinggi moralnya, yakni Baha Zain), bukanlah hujah tetapi hanya sentimen murahan yang tidak wajar keluar dari ucapan seorang intelektual dan pensajak terkenal di kalangan teman-temannya. Ini pun telah saya beri pendapat yang kritis, misalnya dalam pos “Keunggulan yang Cacat” dan lain-lain tulisan dalam blog ini. Seharusnya para sarjana dan teman-teman beliau bingkas bangun dengan bengis (mereka ini bengis-bengis orangnya) mempertahankan teman-teman mereka; tetapi dari tulisan mereka yang dibentang dalam seminar “pemikiran” para sasterawan negara ini, saya belum bertemu tulisan yang bernas dan dihujah dengan tersusun, sesuai dengan keperluan akademik yang sudah menjadi standard.  Sila betulkan kesilapan saya, kerana mungkin juga kertas kerja yang bernas itu tidak sampai kepada saya. Atau saya tidak faham kerana terlalu kompleks penghujahannya. Ini mungkin terjadi kerana saya bukan sarjana sastera yang mendapat latihan di luar negeri atau di bawah bimbingan para profesor yang menjadi penyelia tesis sarjana dan Ph.D.  Panel Anugerah Sastera Negara sendiri juga perlu mendapat pembelaan, untuk melihat kecanggihan analisis mereka dan tiadanya kecelaruan kognitif dan kekeliruan dari segi memahami konsep-konsep utama dalam kritikan sastera.  Untuk memudahkan para pembela ini menyediakan pembelaan mereka, saya akan menyentuh sedikit lagi tentang kenaifan laporan Panel Anugerah Sastera Negara ini.

Dalam Laporan 11 (2012), Kemala diberi pujian melepasi langit ketujuh:  “Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu puisi yang indah, mempunyai gaya khas yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam.”  Setelah melepasi langit ketujuh, maka inilah kesimpulannya: “Kemala ibarat sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan Melayu masa kini.  Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat menyuburkan kehidupan insani.” Kerana pohonnya terlalu tinggi, maka bunga dan buahnya tidak sempat jatuh ke tanah, langsung hilang di awan tebal dipukul taufan retorik yang menyerupai wajah bullshit. Maka hampalah orang di bumi yang menunggu buah yang tak gugur! Maka berkatalah para arifin dalam sastera Melayu, mengapakah tidak sebuah pun sajak yang dijadikan contoh itu berjaya menyentuh perasaan pembaca yang paling bodoh sekali pun. Apakah sebabnya sajak-sajak yang dikatakan mengharumi taman kesusasteraan Melayu itu berbau hapak pun tidak, apatah lagi berbau harum.

Tidak ada pilihan, melainkan meletakkan sajak-sajak harum ini berdekatan dengan sajak-sajak hapak. Antara sajak hapak itu ialah yang berjudul, “Amerika Pejagal Dunia Pengganas Antarabangsa” (Balai Maqamat, hal. 370-372). Sajak hapak ini hendaklah dibaca bersama sajak harum wangi ciptaan Kemala berjudul, “Pohon Emas Alif” yang dikutip oleh Laporan 11 (hal. 13) sebagai contoh “penggunaan diksi-diksi yang mencecah kesan makna dan mencabar minda pembaca” (hal. 19),  iaitu sajak yang “mengajak pembaca berfikir, merenung jauh ke dalam kata-kata yang terungkap dalam karya yang dihasilkannya. … mempunyai gaya bahasa yang cukup indah dan memukau. Renungannya cukup tajam dalam melihat akan hakikat kehidupan manusia yang menjelekkan, memualkan dan menjengkelkan.” (hal. 19). Sajak hapak itu ditulis 2001; sajak harum itu pula tahun 2006. Adakah tidak kemungkinan sajak hapak itu lebih bermutu dan jauh lebih indah sebagai puisi daripada sajak harum wangi Kemala? Para sarjana hendaklah bangkit mempertahankan Kemala kerana beliau seorang sasterawan negara!

Kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara menyediakan laporan yang bermutu dari segi akademik dan kritikan terlalu terserlah untuk dapat disanggah dan dinafikan, sebaik saja kita meneliti contoh-contoh yang diturunkan dalam laporan dinilai dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar. Sekiranya contoh-contoh itu sang kancil, tentulah semuanya lari lintang-pukang tidak mahu berada dalam kandang retorik pe-raga-an yang terlalu rapat anyamannya hingga tidak dapat ditembusi angin, melemaskan batu dan kayu kering, apatah lagi binatang yang hidup.  Membaca kutipan yang diberikan di atas sudah cukup untuk kita berasa “mual, jelek, dan jengkel” (ungkapan Panel sendiri) kerana pretensi intelektualnya berbau amat masam dan tengik dengan retorik peragaan dan fatamorgana bahasa.  Para sasterawan negara yang mempunyai maruah tentulah berasa amat terganggu diberi pujian begitu tinggi, yang mungkin memeranjatkan mereka kerana mereka sendiri yang bermaruah tentulah tahu di mana letaknya nilai karya mereka. Bagaimana jika mereka juga tidak mempunyai maruah intelektual seperti para ahli panel yang menulis laporan tentang mereka? Di sinilah pentingnya peranan tikus yang pandai membaiki labu, yang kita namakan pengkritik sastera, untuk tampil ke hadapan menggigit dengan gigi tikus (atas nama kritikus) yang tajam itu supaya tidak ada lagi labu yang dirosakkan oleh para penilai yang tidak bergigi yang menulis laporan itu. Pendeknya tidak saja para sasterawan negara ini dinilai semula, malah para penilai mereka sendiri pun wajar dinilai setelah mereka inilah yang melahirkan kekacauan dalam melangsungkan kekeliruan kognitif kerana tidak dapat memahami konsep ilmu yang benar yang sepatutnya dijadikan landasan untuk menilai para sasterawan negara ini.

Contoh-contoh lain telah saya perincikan dalam “Keunggulan yang Cacat” dan dalam beberapa pos yang berkaitan. Semua ini perlu dilihat sebelum anda membahaskan pandangan saya. Tidak wajar kita membiarkan kekeliruan dan kebiadaban budaya berterusan, ketika kita  berupaya membetulkannya. Itulah namanya kejujuran intelektual. Adalah suatu kebiadaban yang tidak boleh dimaafkan dalam budaya kita apabila meletakkan para sasterawan yang tenggelam dalam dunia khayal ini di atas para ulama dan ilmuwan kita.  Menggelar mereka sasterawan negara; memberi mereka segala keistimewaan yang tidak layak mereka terima. Sangat biadab dan tidak patut berlaku sama sekali jika kita benar-benar faham erti dan makna adab dalam kebudayaan kita. Kekeliruan ini mesti ditolak dan dibetulkan. Bolehkah kita terima golongan pinggiran dalam budaya kita ini, yang keliru faham ilmunya, yang  cetek meraba-raba, yang tidak dapat membezakan yang benar dengan yang palsu, dengan menggelar mereka sasterawan negara?


Kesimpulan dan Pelaksanaan

Kemunculan sasterawan negara lebih banyak memberi kesan negatif daripada kesan positif, yang saya lihat terlalu kecil, insignificant. Malah saya berani berkata dari segi positifnya amat kecil, untuk tidak membuat kesimpulan yang positif itu tidak ada. Kita lihat dari segi positif itu melalui kajian akademik terhadap karya para sasterawan negara. Hasil kajian amat bergantung pada kaedah kajian, dan kaedah itu pula hendaklah berupaya mengukur aspek yang hendak dikaji dan dinilai. Dalam hal ini yang kelihatan positif itu bertukar menjadi negatif, dan mengelirukan. Kita lihat ada sejenis perlumbaan di kalangan penyelidik, yang dibimbing oleh profesor mereka, untuk meneliti karya sasterawan negara dari “teori” tertentu. Apakah hasilnya? Adakah yang diberi gelar doktor dari kajian karya sasterawan negara itu benar-benar membantu kita mengenal dan memastikan sumbangan sebenar para sasterawan negara ini dari segi pemikiran, misalnya. Adakah selepas meneliti karya sasterawan negara ini, mereka menjadi lebih mendalam pengetahuannya, lebih luas jangkauan  pembacaannya, yang paling penting, dapat melihat dengan jelas kekuatan dan kelemahan karya para sasterawan negara ini. Adakah mereka dapat membantu kita meletakkan para sasterawan negara ini pada tempat yang layak bagi mereka? Semua ini penting kerana kewujudan para sasterawan ini adalah satu peristiwa yang sangat aneh dalam sejarah kebudayaan kita.  Mereka adalah kumpulan pinggiran dalam masyarakat kita, yang hanya diiktiraf sebagai satu kumpulan setelah Dewan Bahasa dan Pustaka diwujudkan, dan kumpulan ini diperakui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai para pejuang kemerdekaan. Satu perkara yang amat aneh dan sungguh janggal, kerana semua ini hanya cerita rekaan belaka. Bagaimanakah masyarakat boleh menerima kehadiran mereka sebagai pejuang, dan kemudiannya memberi mereka kedudukan yang begitu istimewa. Inilah pembohongan sejarah yang perlu dirungkai supaya kita semua tidak akan dikutuk oleh generasi yang akan datang.

Dari segi perkembangan ilmu, apakah sumbangan sebenar kumpulan pinggiran ini?  Walaupun Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan negara, dan telah berjaya mengumpul lebih dari 200 kertas kerja, namun hingga kini belum seorang pun di antara para sasterawan negara ini muncul sebagai pemikir yang sebenarnya. Oleh itu, apakah jenis pemikiran mereka yang telah ditonjolkan melalui kertas kerja itu? Istilah pemikiran yang digunakan untuk membicarakan karya mereka tidak pernah diberi definisi yang tepat, dengan itu apa yang disebut “pemikiran” itu bukanlah satu sistem yang mencerakinkan selok-belok kegiatan ilmiah dan seni mereka yang menjurus kepada satu rumusan umum yang dengannya mereka boleh dipanggil sebagai seorang pemikir. Semua kertas kerja yang disogok atas nama “pemikiran” itu hanya berbicara tentang tema-tema tertentu yang mungkin muncul secara sepintas lalu dalam karya mereka. Ini bukan pemikiran, kerana setiap yang layak disebut sebagai “pemikiran” itu mestilah merupakan satu sistem yang dengannya si sasterawan boleh dikenal, berbeza dengan sasterawan lain.  Antara contoh yang saya pernah berikan ialah pemikiran Iqbal sebagai penyair Islam.  Iqbal mengemukakan satu formula yang jelas dalam kerjayanya sebagai penyair, iaitu “cinta Ilahi” sebagai asas pembinaan peribadi Muslim yang kuat. Ada di antara kumpulan syair beliau diberi judul Asrar-i-Khudi (Rahsia-rahsia Peribadi). Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Indonesia oleh Bahrum Rangkuti (diterbitkan di Jakarta oleh Penerbit Bulan Bintang, 1976). Inilah contoh pemikiran dalam puisi yang paling jelas, yang belum lagi muncul di kalangan para sasterawan negara. Ada percubaan oleh Kemala melalui beberapa buah kumpulan sajaknya, tetapi tidak dapat dianggap sebagai “pemikiran” dalam konteks yang kita fahami daripada karya Iqbal. Apa yang dibuat oleh pensajak ini ialah memindahkan ayat-ayat Quran untuk dijadikan judul sajak. Inilah antara lain komen Panel Anugerah Sastera Negara:   “Dalam menghasilkan puisinya Kemala sering mendapat inspirasi atau mencungkil unsur-unsur daripada al-Quran. Antara unsur daripada al-Quran yang diambil dan dikembangkan menjadi judul dan pokok persoalan karya ialah Mim dan ‘Ain, kedua-duanya huruf-huruf dalam bahasa Arab. … Mim yang dimaksudkan dalam karya Kemala bukan sekadar huruf dalam al-Quran malah, kata-kata yang dihubungkan dengan “manusia”, “makna”, “maksud” atau “mafa’al”, iaitu tempat segala rujukan kejadian. Hal ini memperlihatkan  kebijaksanaan Kemala menghadirkan huruf Mim yang diambil daripada al-Quran itu dengan diberi tafsiran yang cukup luas dan dalam. Tidak dapat dinafikan puisi Kemala mempunyai banyak unsur kelainan dan inovasi. Satu kelainan yang cukup menarik yang dilakukan Kemala adalah dalam kumpulan MIM yang telah disentuh. Melalui karya ini beliau menghasilkan sebuah puisi panjang  yang dipecahkan kepada 80 buah sajak dengan tajuk-tajuk sajaknya dari “MIM SATU” hingga “MIM LAPAN PULUH.” Sungguh pun bentuknya tidak pelbagai, namun, sajak-sajak dalam kumpulan MIM mengandungi pelbagai tema yang menyangkut tentang persoalan diri, kekeluargaan, alamiah, sejarah, politik, falsafah, epistemologi dan sebagainya.”    (Laporan 11/2012, hal. 18).  

Kesimpulan dalam kutipan di atas membuktikan sajak-sajak Kemala masih lagi dalam acuan sajak-sajak yang telah ditulis oleh para pensajak terdahulu, yang mempunyai pelbagai tema, tidak difokuskan kepada satu tema utama seperti yang dilakukan Iqbal. Dengan itu Kemala bukan seorang pemikir dalam konteks yang dicontohkan oleh Iqbal. Dalam banyak sajaknya, cukup ketara sifat mediocrenya, seperti yang dikutip oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya.  Walaupun Panel menegaskan sajak-sajak Kemala mempunyai kelainan dan inovasi, namun contoh-contoh yang dikemukakan Panel tidak memperlihatkan kelainan dan inovasi itu.

Satu kesilapan besar Panel ialah mengangkat Kemala menjadi pensajak sufi. Ini sangat aneh kerana Panel tidak memberikan contoh sajak sufi itu. Contoh yang diberikan Panel, sebuah sajak, bukan sajak sufi. Sajak biasa saja. Seperti pensajak lain, Kemala juga suka bermain dengan kata-kata yang seolah-olah membayangkan itulah sajak sufi. Kemudian Panel menafikan sendiri pencirian ini, bila mereka memberi contoh bagaimana Kemala menggunakan alusi Mark Antony dan Cleopatra untuk dapat diterima sebagai pensajak antarabangsa. Adakah ini merupakan contoh unsur sufi dalam sajak Kemala? Tidak ada contoh lain yang diberikan yang benar- benar boleh diterima sebagai sajak sufi. Saya fikir percubaan Panel ini tepat dengan huraian Prof. Harry  G. Frankfurt  yang dibicarakannya dalam bukunya On Bullshit (2005).

Kalau inilah hakikat sebenarnya tentang sasterawan negara ini, masihkah kita perlukan mereka? Saya menunjukkan dalam blog ini bagaimana para sasterawan negara ini berjasa besar dalam mengubah nilai-nilai kebudayaan kita, dari yang mengutamakan adab, bertukar menjadi tidak beradab. Paling mengejutkan ialah apabila Raja Iblis dijadikan ikon intelektual, seperti di Barat. Saya telah mengulas perihal Si Tenggang, yang jelas telah disongsangkan dan ini diterima dengan baik oleh Kementerian Pendidikan untuk diajar di sekolah. Semua ini bukan perkara remeh yang boleh didiamkan hanya kerana hendak mengambil hati sasterawan negara.  Kita adalah pembina tamadun beradab, bukan sebaliknya setelah mengenal sastera mengikut ajaran Barat.  Bantahan Shahnon Ahmad terhadap pelantikan Baha Zain sebagai sasterawan negara menjadi bukti yang sangat kuat betapa selekehnya penilaian Panel Anugerah Sastera Negara. Bantahan itu juga menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Mutual Admiration Club dalam kesusasteraan Melayu dan dalam pemilihan sasterawan negara ini. Kesemua sasterawan negara terdiri dari kumpulan yang sama, berada dalam Mutual Admiration Club yang kewujudannya dikutuk oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh sejak tahun 1973 lagi.  Kewujudan Panel dan pemilihan sasterawan negara oleh Panel hanya sejenis sandiwara, dalam konteks family resemblance yang diutarakan oleh Ludwig  Wittgenstein.

Perkara yang perlu kita buat ialah membina budaya ilmu dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Untuk mencapai maksud ini, saya telah mencadangkan tahun 2006 lagi supaya dihapuskan anugerah sastera negara, diganti dengan Hadiah Persuratan PETRONAS. Sebuah kertas kerja telah ditulis untuk mencapai maksud ini. Kini idea ini perlu dilihat kembali dengan kritis untuk memastikan dua matlamat di atas dapat dicapai.

Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 13/11/2014.

2 comments:

  1. Salam saudara yang dihormati.

    Saya ditanya lepas Jumaat tadi: Adakah sasterawan negara kena bertaubat? Kena muhasabah? Jawapan saya yang tak mendalam ilmu agamanya: Bagus jika mereka bertaubat, kerana sudah ada orang salah faham ketika membaca karya mereka, eg. Si Tanggang. Dari segi akhlak, mereka perlu meminta maaf kepada masyarakat sekiranya karya mereka mengelirukan masyarakat; pada waktu yang sama mereka perlu memberi penjelasan. Ini telah dibuat oleh Shahnon Ahmad satu ketika dulu. Tentang muhasabah, sayalah yang terlebih dahulu melakukannya. Kalau sasterawan negara serius, dan jujur, mereka patut muhasabah sebagai orang Islam. Saya harap jawapan saya tidak menyeleweng. Saya minta komen para ustaz atau orang yang lebih alim. Wallahu a'lam.

    ReplyDelete
  2. Setiap daripada kita perlu bertanggungjawab di atas apa juga yang kita lakukan. Manusia tidak lari daripada melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang kembali ke pangkal jalan. Mohon keampunan kepada Allah setiap masa, itulah yang dianjurkan oleh Islam. Itu untuk diri yang melakukan kesalahan. Bagaimana pula dengan kesalahan yang telah pun berlaku, malah diangkat pula sebagai yang paling baik? Maka, tanpa pilihan, kesalahan perlu dibetulkan. Kalau pun ia tidak dibetulkan oleh orang yang melakukan kesalahan, mudah-mudahan ada yang tampil membuat pembetulan.

    Moga Allah SWT tidak menjadikan kita orang yang apabila telah melakukan kesalahan, malah sedar ia adalah kesalahan, namun terus-terusan mengatakan ia benar dan yang mengatakannya salah itulah yang salah.

    Firman Allah SWT dalam al-Qur'an yang bermaksud: "Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)." (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

    Wa Allahu Ta'ala A'laa wa A'lam.

    ReplyDelete