KEUNGGULAN YANG CACAT: Satu
Pandangan Kritis Terhadap Sumbangan Sasterawan Negara dari Segi Pemikiran dan
Keupayaan Kreatif
[Catatan: Mempertahankan sasterawan negara bukan dengan melindungi mereka dari
sebarang kritikan dan perbincangan serius dan kritis. Mereka telah
diisytiharkan sebagai the cream of
Malaysian writers, sasterawan terbaik yang ada di Malaysia waktu ini.
Dengan tidak mendedahkan mereka kepada ujian dalam penilaian yang kritis, maka
mereka telah diletakkan lebih tinggi daripada para ulama dan ahli ilmu yang
sentiasa dikritik dan dibahaskan sumbangannya dengan kritis. Mengadakan seminar
tentang “pemikiran” mereka tidak mencukupi untuk menilai karya mereka dengan
objektif kerana kecenderungan penulis kertas kerja ialah untuk menyanjung dan
memuji, bukan untuk menganalisis dengan kritis sumbangan mereka.]
Saya
masih berpegang kepada pendirian saya bahawa kemunculan sasterawan negara di
Malaysia adalah satu penyelewengan kebudayaan yang kita tidak perlukan sama
sekali. Kita telah memberi kedudukan yang tidak sepatutnya diberikan dan
ditonjolkan kepada sekumpulan sasterawan yang dari segi pemikiran adalah mandul
dan dari segi kreatif pula tidak lebih
daripada peniru yang tidak tahu memilih. Mereka adalah kumpulan pinggiran yang
“cetek meraba-raba”. Layakkah mereka diberi kedudukan istimewa melebihi para
ulama dan cendekiawan Melayu terbilang seperti Za’ba yang tidak pernah diberi
penghormatan dan kedudukan seperti itu?
Saya akan jelaskan mengapa pandangan saya adalah tepat, objektif dan boleh
diuji ketepatannya.
Pertama
sekali, apakah yang kita maksudkan dengan pemikiran? Dewan Bahasa dan Pustaka telah menganjurkan
“Seminar Pemikiran Sasterawan Negara” untuk
meraikan kehebatan “pemikiran” para sasterawan negara. Dari segi jumlah
kertas kerja yang dihasilkan, kita sudah mempunyai tidak kurang dari 200 kertas
kerja yang dikatakan “ilmiah” dan tinggi kualiti akademiknya. Dilihat dari jumlah yang begitu besar, kita
sepatutnya tidak perlu menimbulkan apa juga keraguan terhadap para sasterawan
negara ini sebagai golongan pemikir terbaik yang pernah kita lahirkan dalam
negara kita, sehingga melayakkan mereka diberi gelaran yang begitu megah
sebagai “sasterawan negara”. Tidak ada seorang pun yang layak diberi kedudukan
setinggi itu oleh negara dari kalangan para ulama dan ahli ilmu yang pernah
kita lahirkan, kecuali gelaran Pendeta yang diberikan oleh rakyat kepada Za’ba.
Tetapi Za’ba bukan “pemikir”,
oleh itu tidak sebuah pun karya beliau diangkat menjadi buku teks dalam
subjek “kesusasteraan dan bahasa”.
Bandingkan dengan kemegahan yang diberikan kepada sasterawan negara yang
karya mereka diangkat ke bilik darjah untuk dikunyah oleh para pelajar dan
diuji hasil kunyahan itu untuk diberi markah.
Apakah yang didapati oleh para pelajar ini hasil dari kunyahan karya
para sasterawan negara ini? Hanya air liur
mereka sendiri yang tawar, tidak ada benda-benda yang berfaedah yang akan
membolehkan para pelajar itu berubah menjadi cerdik, kritis, tajam daya
estetiknya dan benar-benar dapat membezakan mana satu karya yang indah dan mana
satu pula yang hanya ocehan sahaja.
Adakah mereka tahu maksud dan makna keindahan itu? Apakah yang indah
itu? Kita akan diberitahu oleh para pelajar ini, bahawa yang indah dalam sajak
para sasterawan negara ialah aliterasinya, alusinya, metaforanya,
perbandingannya, perulangannya, ironinya, dan segala istilah sastera yang
mereka dapat daripada buku-buku panduan peperiksaan yang memberi sanjungan dan
pujian tinggi kepada karya para sasterawan negara ini. Apakah hasilnya? Di sana
sini orang bercakap tentang kegagalan pengajaran sastera di sekolah-sekolah,
sehingga kesusasteraan sebagai satu subjek tidak diminati, malah diremehkan
oleh guru dan para pelajar sendiri dan akhirnya dihapuskan, satu tindakan
berani yang betul. Sekurang-kurangnya seorang profesor sastera telah menulis
tentang masalah ini dan mencuba memberikan beberapa cadangan untuk
mengatasinya. Kita lihat pandangan Prof. Mohd. Mokhtar Hassan dalam kertas
kerja beliau yang dibentangkan dalam “Seminar Sasterawan Negara II” di
Universiti Putera Malaysia, 26 April 2014.
Ada
dua perkara yang sangat aneh tentang kertas kerja ini. Pertama, penulis ingin berbicara tentang
pendidikan sastera yang menghadapi masalah, tetap dia tidak jelas apakah
sebenarnya masalah itu. Akhirnya dia berbicara meleret-leret memberitahu
beberapa “dapatan” soal selidiknya. Adakah ini penting, dan merupakan masalah
sebenarnya? Ini berkaitan dengan perkara
kedua, mengenai kejujuran akademiknya dalam menggunakan sumber. Dia tidak tahu,
suatu perkara yang amat memalukan bagi seorang sarjana, bahawa masalah yang dia
sedang rintih itu sudah dirintis dan
dibicarakan dengan mendalam sejak tahun 1990 lagi, malah sebelum itu
pun. Tahun 1992 DBP menerbitkan Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid, oleh Mohd. Affandi Hassan, yang
menegaskan bahawa kita harus mulai memperkenalkan pendidikan estetika, bukan lagi pengajaran sastera di sekolah
menengah dan di universiti. Saya agak ketika buku itu diterbitkan, profesor ini
belum lahir, jadi dia tidak tahu buku itu wujud dan membicarakan dengan
mendalam aspek pendidikan estetika itu sebagai alternatif, malah untuk
menggantikan, pengajaran sastera. Masalah kita ialah masalah ilmu, dan ini
ditunjukkan oleh penulis profesor ini sendiri, yang sudah jelas sedang
menghadapi masalah ilmu ini. Dalam konteks ini, yang kita perlu bereskan bukan
maklumat yang dibentangkan oleh sang profesor, kerana maklumat itu tidak boleh
berbuat apa-apa dan tidak menyelesaikan masalah jika sekiranya kekacauan dalam
konsep ilmu tidak dibereskan terlebih dahulu. Jika anda mahu bukti bagaimana
masalah ini lebih akut (Inggeris: acute)
lagi dideritai oleh penulis ini, maka inilah contoh the confusion in the concept of knowledge. Baca kutipan ini:
“Hal yang sama jika diteliti
pada cerita si Tanggang. Lazimnya para peneliti,
para pengkaji sastera mahupun
para pelajar ditekankan supaya jangan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Jika
derhaka, maka anak-anak akan mendapat balasannya sepertimana yang berlaku
kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral dan pengajaran yang ditekankan,
kisah “Si Tanggang” juga memperlihatkan nilai positif. Akibat kemiskinan, Si
Tanggang bercita-cita hendak jadi kaya dan terkenal. Di sini memperlihatkan
bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin menjadi kaya dan terkenal. Untuk
mencapai cita-citanya, ia bekerja dengan Nakhoda kapal apabila sebuah kapal
besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran dengan rumahnya. Si Tanggang
bekerja keras untuk mencapai cita-citanya hingga menyebabkan Nakhoda amat suka
dengannya kerana dia rajin bekerja. Si Tanggang pun diambil sebagai anak
angkat. Apabila Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda
baru. Dia dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga
hinggakan namanya terkenal. Si Tanggang dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak
lama kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang
berjaya meniti dari satu tangga ke satu tangga untuk berjaya menjadi saudagar
kaya apabila adanya perancangan.” (Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, dalam kertas
kerjanya, “Kesusasteraan
Melayu mutakhir: antara realiti dan harapan”.)
Selama ini para sasterawan negara menolak kritikan saya
bahawa mereka membawa nilai buruk dan negatif dalam masyarakat Melayu, terutama
sekali di kalangan pelajar. Sekarang mereka sendiri sudah mengaku, dan
memperakukan kejahatan itu dalam bentuk baru sebagai perancangan untuk mencapai
kejayaan dalam kehidupan. Panel sendiri menggalakkan perubahan nilai ini,
dengan memanggilnya kemajuan, perubahan, kelainan, eksperimen, jalur kemajuan
dan macam-macam istilah lagi. Semua ini diterima dengan baik, dipertahankan
dengan hujah bahawa inilah wajah moden, wajah postmodern. Semua perubahan ini
membawa nilai-nilai baru yang sekular, sama ada disedari atau tidak. Kutipan
daripada Prof. Mohd. Mokhtar Hassan adalah jelas menunjukkan bahawa perubahan
itu digalakkan dengan diberi nama baru, dalam istilah profesor ini dipanggil
perancangan untuk mencapai kejayaan hidup. Peranan sajak “Pulang Si Tanggang”
lebih jelas di sini, kerana sajak itu sudah diberi tempat secara rasmi di sekolah-sekolah melalui
Kementerian Pendidikan. Hujah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, walaupun palsu,
mendapat sambutan kerana akhirnya kejahatan Si Tanggang dapat dipadamkan dengan
dilihat dalam konteks mencari kemajuan dalam kehidupan peribadi.
Pretensi
Intelektual Muhammad Haji Salleh
Palsunya hujah Prof. Mohd. Mokhtar Hassan ini boleh
diuji melalui perbahasan tentang suatu aspek daripada “pemikiran” Muhammad Haji
Salleh, yang juga diberi tekanan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Saya
merujuk kepada konsep kebijaksanaan yang disebut oleh Muhammad Haji Salleh
sebagai matlamat akhir sesebuah sajak. Merumuskan pandangan Muhammad Haji
Salleh, Panel menegaskan begini: “Muhammad berpendapat, puisi adalah bentuk
sastera yang kental dengan muzik bahasa dan kebijaksanaan penyair dan
tradisinya. ... bahawa puisi seharusnya
boleh membijaksanakan pembaca, menyebabkan puisi-puisinya mempunyai jalur serta
warna tertentu bukan saja daripada aspek pemilihan diksi serta pengungkapan,
malah peranan yang harus dimainkan oleh otak, akal dan pegangan dalam
menghadapi tantangan duniawi.” (Laporan
Panel 1991 hal. 5) Menurut Panel,
idea puisi membijaksanakan ini diambil oleh Muhmmad Haji Salleh daripada Robert
Frost, penulis sajak Amerika yang terkenal, terutama sajaknya yang sangat
masyhur, “The Road Not Taken” (hal. 10).
Ambiguiti dalam sajak ini dikatakan menjadi perbahasan berpanjangan di kalangan
pembaca sajak Amerika; dari aspek ini kedudukannya samalah dengan ucapan
Shakespeare “to be or not to be” dalam Hamlet.
Apakah kebijaksanaan yang terdapat di dalam sajak Robert Frost yang memikat
Muhammad Haji Salleh ini? Inilah stanza yang menjadi perbahasan itu:
I
shall be telling this with a sigh
Somewhere
ages and ages hence:
Two
roads diverged in a wood, and I —
I
took the one less traveled by,
And
that has made all the difference.
Kebijaksanaan itu,
kata para sarjana dan pembaca Amerika, terletak dalam ayat “I took the one less traveled
by,”. Bagaimana jika sajak ini dibaca oleh seorang
pembaca Muslim berasaskan epistemologi Islam? Sajak ini tidak lebih daripada
sejenis permainan kata, bukan suatu pernyataan tentang kebijaksanaan apa pun.
Tepat sekali dengan pendapat Robert Frost yang amat dikagumi oleh Muhammad Haji
Salleh: “puisi sebagai performance in words atau suatu persembahan dalam
bentuk perkataan” (hal. 10, dipetik daripada buku Pengalaman Puisi, hal.
8). Idea Frost ini berselirat dengan jelas dalam sajak-sajak Muhammad Haji
Salleh. Bahawa sajak-sajak beliau lebih cenderung untuk dikategorikan sebagai
persembahan dalam bentuk perkataan ini telah dibincangkan dengan panjang lebar
oleh Prof. Madya Arbak Othman dalam kertas kerja beliau yang dibentang dalam
“Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh” (Dewan Seminar, DBP Kuala Lumpur,
9-10 November 2010). Kertas kerja itu diberi judul yang penuh sensasi,
“Penstrukturan Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu Penelitian
Semiotik”. Apakah makna “penstrukturan intelektual”? Saya harap tajuk yang
bombastik ini berjaya membicarakan aspek pemikiran seorang sasterawan penting
di Malaysia. Pendekatan semiotik jarang digunakan di Malaysia kerana agak
sukar, rimbun dengan jargonnya sehingga seorang sarjana perlu menjadi hamba
kepada pendekatan ini untuk memahaminya. Dalam tulisan Arbak Othman ini, tidak
dibezakan antara “mencari makna” dengan “membina makna”, mungkin kerana
semiotik hanya berminat kepada cara “membina makna” melalui lambang-lambang
yang direka-reka untuk melahirkan sejenis logik semiotik yang menjurus kepada
kefahaman yang sepatutnya. Konsep “membina makna” yang dipakai oleh Arbak
Othman tidak ada kaitannya dengan konsep “mencari makna” kerana yang kedua ini
berkaitan dengan pemikiran dan data budaya sesuatu tamadun. Ini dijelaskan oleh
al-Jurjani dalam kitabnya Asrar al-Balighah. Sebuah contoh yang
dikemukakannya cukup menarik. Dalam sebuah syair Arab, disebut di situ api
sentiasa meninggalkan bara di sebuah khemah, yang bermaksud sheikh khemah itu
sangat pemurah kerana sentiasa menyalakan api untuk memastikan setiap
pengembara atau tamunya boleh dihidangkan dengan makanan panas yang enak.
Soalan: Adakah sajak-sajak Muhammad Haji Salleh sudah sampai ketinggian
kebijaksanaannya dan keintelektualannya setinggi itu? Dengan membina makna
berasaskan semiotik, nampaknya Arbak Othman cenderung ke arah itu. Tetapi
bacaan saya sangat berbeza, kerana saya dapati, setelah “mencari makna” yang
cuba disampaikan oleh pensajak, sajak yang dicontohkan oleh Arbak Othman itu
hanya sejenis permainan kata-kata, sejenis retorik dalam “permainan kata”
seperti yang dikonsepsikan oleh Robert Frost, yang diminati oleh Muhammad Haji
Salleh itu. Anda boleh membaca sajak yang dikemukakan Arbak Othman dalam
kumpulan sajak pilihan Aksara Usia, hal. 153, berjudul “sebuah sajak”
ditulis 1996.
Retorik
Teh Tarik Baha Zain
Saya memberi tajuk tulisan ini “Keunggulan yang
Cacat”, untuk memberi penekanan kepada keunggulan yang cuba dibina di sekitar
para sasterawan negara sebagai golongan yang unggul, yang secara rasmi
mempunyai tempat yang lebih tinggi daripada para ulama terbilang dan
cendekiawan Melayu yang bijak. Satu lagi contoh keunggulan yang cacat ini
diberikan oleh Baharuddin Zainal aka Baha Zain, yang pemilihannya sebagai
sasterawan negara ditolak oleh Shahnon Ahmad. Baha Zain adalah salah seorang
anggota Panel yang memilih Shahnon Ahmad sebagai sasterawan negara kedua
selepas Keris Mas tahun 1982. Ketika itu dia seorang pemimpin muda UMNO yang
terkenal di Kedah. Beliau beruntung
kerana Usman Awang, yang sepatutnya mengambil tempat kedua, diundurkan ke
tempat ketiga tahun berikutnya. Mengapa perubahan ini terjadi mungkin diketahui
oleh Baha Zain. Kita lihat siapa Baha Zain ini.
Tetapi Usman Awang beruntung kerana dalam sejarah sasterawan negara,
laporan tentang beliau adalah yang
terpanjang (106 halaman, teks sahaja 76 halaman); manakala laporan tentang
Shahnon Ahmad adalah yang terpendek, hanya 43 halaman, teks sahaja 21 halaman.
Nampaknya Panel tidak mempunyai masa untuk menulis lebih panjang, atau ketika
itu bahannya tidak banyak; sebaliknya untuk Usman Awang, Panel mempunyai masa
lebih dari setahun (?) untuk menulis laporan yang panjang. Adakah ini hasil
politik sastera yang dibicarakan oleh Keris Mas dalam ucapan penerimaannya?
Semuanya tidak penting lagi kerana semuanya sudah menjadi sejarah, dan sejarah
dalam alam intelektual Malaysia boleh diubah-ubah mengikut cita-rasa
penulisnya. Baha Zain tidak dapat melepaskan dirinya daripada tempias kerenah
sejarah itu, kerana beliau menerima gelaran sasterawan negara hanya pada tahun
2013, ketika tidak (?) ada lagi calon yang layak! Bercakap
tentang sejarah, saya adalah yang terawal membantah projek sasterawan negara
ini, dengan memberi sumbangan satu ringgit tahun 1981 sebagai protes; dan
menulis sebuah cerita pendek tentangnya, berjudul “Orang Yang Berdiri”. Cerita
pendek ini diterbitkan dalam antologi saya yang diterbitkan oleh DBP, dengan
segala kesalahan editing yang memalukan sekiranya editor atau sesiapa saja yang
mengerjakan buku itu mempunyai maruah. Itu sejarah, tidak perlu diketahui.
Pensajak Baha Zain ini mendapat
sanjungan tinggi daripada Prof. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Dato’ Rahman
Shaari, sebagai seorang pemikir unggul dalam sastera Melayu moden. Seorang
teman yang suka bergurau memberikan komen beliau yang agak melampau dengan
menambah huruf “t” di depan “unggul”. Saya fikir tidaklah sampai ke tahap itu
kerana beliau bukan tunggul mati yang menunggu reput (walaupun Shahnon Ahmad
dalam bantahannya berkata Baha Zain tidak layak diberi anugerah SN kerana
beliau hanya menulis sajak-sajak kontot);
oleh itu saya masih boleh terima kata sifat “unggul”, walaupun barangkali
kurang tepat. Jikalau anda membaca
sumbangan Baha Zain dalam seminar tentang sasterawan negara yang diadakan di
UPM, 26 April 2014, anda tidaklah salah untuk menilai sumbangan beliau sebagai
“biasa-biasa saja”, mungkin kerana suasana tidak begitu mendesak untuk beliau
melahirkan keunggulan pemikiran beliau. Seperti biasa dengan penulis ini,
beliau memang unggul menggunakan “retorik
teh tarik” yang tetap enak bagi orang yang sukakan teh tarik, tetapi kita
semua tahu teh tarik bukanlah minuman terbaik yang terdapat dalam pasaran
walaupun agak popular di kedai-kedai mamak.
Kita lihat contoh “retorik teh tarik” ini.
Perenggan pertama kertas beliau,
ayat pertama berbunyi: “Dari waktu ke waktu penulis dan sasterawan perlu
menilai zamannya; dan menaksir kedudukan dan tanggungjawab kebudayaannya.” Saya
setuju seratus peratus dengan beliau; tetapi adakah beliau sendiri bersetuju
dengan pendapat beliau ini? Saya fikir tidak. Keseluruhan tulisannya ini tidak
sedikit pun memperlihatkan beliau sedar tentang perkembangan terbaru dalam
kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, dalam pemikiran bernas yang boleh membawa
kita ke arah pembentukan (atau pertumbuhan) budaya ilmu di negara kita. Adakah
beliau tidak membaca karya-karya Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dan usaha
beliau melahirkan sarjana Malaysia yang betul-betul dan benar-benar berkualiti?
Sudah pasti tidak, kerana jika beliau membacanya dan benar-benar jujur seperti
yang diucapkannya, dia tentulah akan tercabar untuk menyebut perihal kehilangan
adab di kalangan para sasterawan yang dipanggil oleh Prof. Syed Muhammad Naquib
Al-Attas sebagai golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba”. Faham ilmu yang dibawa oleh Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas amat wajar diberi perhatian serius oleh para sarjana
dan sasterawan, jika benar mereka berminat tentang “pemikiran”. Dilihat dari
segi ini, amatlah jelas Baha Zain hanya bermain “retorik teh tarik” saja, bukan
benar-benar ikhlas tentang “sasterawan perlu menilai zamannya”. Jika beliau sendiri tidak mampu melakukan
sarannya yang hebat itu, beliau sekurang-kurangnya berani untuk membuat
kesimpulan: “kita belum lagi mempunyai sasterawan atau penulis seperti itu”.
Dengan itu beliau memperlihatkan
keprihatinan beliau tentang perkara ini, dan dengan ikhlas serta berani
memberi sedikit pandangan kritis beliau tentang persoalan ini. Tetapi kerana
beliau tidak membaca, dan sudah jauh ketinggalan zaman, beliau tidak dapat
melihat apa-apa perubahan yang cuba dilakukan oleh tokoh-tokoh yang saya fikir
beliau tidak iktiraf sebagai pemikir. Sekurang-kurangnya beliau mempunyai
Muhammad Haji Salleh, yang diiktiraf oleh Panel Anugerah Sastera Negara (yang
Baha Zain sendiri pernah menjadi anggotanya) sebagai satu-satunya pensajak atau sasterawan intelektual di Malaysia.
Apakah yang istimewa tentang Muhammad Haji Salleh? Tentulah kita mahu tahu,
kerana kita memang tahu Baha Zain sangat rapat dengan tokoh besar ini. Tidak mungkin selama berinteraksi dengan
tokoh besar ini, beliau tidak pernah mendengar pemikiran yang dimaksudkan oleh
beliau itu. Kita mahu tahu, misalnya, mengapa tokoh besar ini menjadikan Si
Tanggang ikon bangsa Melayu, seorang tokoh yang perlu dihormati dan diikuti
jejak langkahnya. Apa pendapat Baha Zain apabila saya sendiri menjadikan Pak
Pandir sebagai ikon bangsa Melayu dan menulis sebuah cerita pendek tentangnya? Sudah jelas “retorik teh tarik” tidak mungkin
sampai ke situ! Pendeknya apa yang saya
sebut sebagai budaya pandirisme
benar-benar menjadi ciri kegiatan intelektual di Malaysia. Dalam konteks ini, yakni keberanian untuk
mengaku kekurangan diri, nampaknya Prof. Muhammad Haji Salleh jauh lebih
berani, seperti yang kita lihat dalam pengakuan beliau tentang betapa silapnya
menggunakan teori dan pendekatan sastera Barat untuk menilai “diri kita yang
bukan Barat”. Tokoh besar ini juga tidak
teragak-agak untuk membuat kesimpulan bahawa “kita belum lagi mempunyai teori
sastera kita sendiri yang lengkap”.
Sebagai seorang ahli akademik yang cukup unggul dan dihormati, serta diberi gelaran tertentu
oleh para sarjana peminat beliau, kita
boleh maafkan beliau jika kita dapati beliau juga sudah ketinggalan zaman, oleh
itu memberi pendapat, atau kesimpulan, tidak berasaskan fakta, tetapi hanya
prasangka semata.
Kita lihat “pemikiran” Baha Zain
seterusnya. Tegas beliau: “Bangsa kita juga masih sangat memerlukan pemikiran yang
hebat, dan semangat yang besar bagi membangunkan kebudayaan rohaniah, bahasa
kebangsaan, persuratan, ilmu pengetahuan, seni dan budaya yang menjurus kepada
pemersatuan penduduk, dan jati diri bangsa.”
Saya tidak perlu mengulas pandangan beliau ini, cukup hanya tersenyum
sambil menghirup teh tarik yang sekali sekala saya minum. Saya hampir mengatakan ucapan seperti ini
hanyalah sejenis bullshit, dalam
pengertian yang diberikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya.
Anwar Ridhwan Sebagai Penglipur Lara Moden
Seorang lagi tokoh sasterawan
yang dianggap sasterawan intelektual, penulis karya yang kaya dengan unsur
intelektual, ialah sasterawan negara Anwar Ridhwan. Panel Anugerah Sastera
Negara memuji tinggi sasterawan ini
dalam Laporan 2009: “Novel-novel Anwar
Ridhwan, sama ada yang bersifat eksperimental atau konvensional, tidak dapat
dibaca dan difahami secara mudah. Karyanya mempunyai sistem makna yang
berlapis-lapis, dan menuntut renungan serta pentafsiran yang juga
berlapis-lapis. Bahasa yang digunakannya padat dengan irama dan puisi,
personifikasi, lambang dan ciri-ciri abstrak yang kadang-kadang sukar dikecapi
rasa dan difahami akal. Usaha mencari makna kadang-kadang berdepan dengan
bayang-bayang yang teramat asing dan penuh misteri. Pembaca dibawa melihat
permasalahan sosial dan manusiawi dalam satu pencarian intelektual, secara
meluas, mendalam dan melepasi sempadan hal-hal
peribadi. Pada akhir pencarian, pembaca akan merasa puas, faham dan
sedar.” (lihat hal. 36-37).
Inilah kesimpulan yang paling tidak
bertanggungjawab dari segi akademik, hanya sejenis ocehan atau idle talk yang kaya dengan unsur bullshit yang dikritik hebat oleh Prof.
Harry G. Frankfurt dalam bukunya On
Bullshit. Ayat pertama dalam bukunya
dimulai begini: “One of the most salient
features of our culture is that there is so much bullshit.” Ayat ini menggambarkan dengan tepat
keseluruhan laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Saya
telah membuktikannya dalam banyak pos yang disiarkan dalam blog ini. Saya hanya
perlu memberi sedikit penjelasan terhadap kesimpulan saya sendiri setelah
membaca karya sasterawan negara ini.
Pertama sekali mengenai
“pencarian intelektual”. Ini satu kesimpulan penting yang memerlukan penjelasan
dan pembuktian yang tidak boleh diragui sama sekali, sesuai dengan konsep
intelektual yang digunakan oleh Panel. Seluruh laporan panel ini tidak sedikit
pun cuba menjawab soalan yang paling mudah: Apakah aspek intelektual itu? Bagaimana sekumpulan penilai yang amat kabur
dan keliru konsep intelektualnya boleh berbicara dengan “mendalam” dan jelas
tentang aspek intelektual dalam karya Anwar Ridhwan? Konsep intelektual yang dipakai oleh Panel
hanyalah sejenis fatamorgana bahasa yang diseret dalam retorik peragaan yang
bertentangan dengan kualiti sebenar karya Anwar Ridhwan yang diberi pujian
tinggi itu. Oleh sebab kumpulan penilai ini menekankan dengan tidak
bertanggungjawab aspek intelektual ini, biarlah kita bahaskan aspek ini dengan
sehabis kritis dengan memberikan penjelasan dan huraian yang sehabis tepat
untuk mereka kritik atau kumpulan yang menyokong mereka memberikan sanggahan
yang benar-benar mempunyai kualiti intelektual yang tinggi, bukan hanya sejenis
picisan intelektual
yang berselindung di sebalik pretensi intelektual.
Dalam laporannya, Panel memuji
cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”
sasterawan ini sebagai sebuah cerita pendek yang mempunyai unsur
“filosofikal”. Ini pun tidak lebih daripada sejenis ocehan yang tarafnya hanya
sejenis bullshit. Saya telah menolak
secara tuntas kesimpulan tidak bertanggungjawab ini dalam tulisan saya yang
dimuat dalam buku suntingan Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Kedudukan Ilmu dalam Kesusasteraan: Teori
dan Praktis (UKM, Bangi 2010). Bacalah dengan kritis tulisan saya dalam bab
4, “Mengembalikan Peranan Ilmu yang Benar dalam Persuratan Melayu” (hal.
289-379). Tulisan panjang ini penting kerana di situ dibicarakan beberapa aspek
unsur intelektual dalam persuratan Melayu dan dalam kesusasteraan, termasuk
kritikan terhadap pandangan Panel yang tidak tepat ketika menilai karya Anwar
Ridhwan. Tulisan ini perlu dibaca dengan kritis dan amat dialu-alukan sekiranya anda ingin
memberi sanggahan yang kritis pula. Dalam tulisan itu, pandangan saya tentang
karya Anwar Ridhwan boleh dibaca pada halaman 316-320; antara lain pandangan saya yang penting yang
saya bincang dalam tulisan itu ialah aspek intelektual yang disebut oleh Panel.
Saya nafikan sepenuhnya andaian Panel tentang unsur intelektual dalam karya
Anwar Ridhwan, dengan membantu para pembaca yang kritis, termasuk anggota Panel
sendiri jika mereka kritis, supaya melihat dengan kritis dan dengan penuh
tanggungjawab akademik yang tinggi untuk melihat aspek intelektual ini dengan
membandingkan karya Anwar Ridhwan dengan karya saya “Bukan Orang Jahat” (dalam Biarlah Orang Tahu, DBP 2005). Saya
salin pandangan saya itu:
“Laporan 2009 menekankan kehebatan Anwar Ridhwan dalam semua bidang
penulisan yang diceburinya: dalam bidang cerita pendek, “Pencapaian kreativiti
Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerpen meletakkannya sebagai satu jalur besar
dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17); manakala dalam bidang novel,
“Keistimewaan novel-novel Anwar Ridhwan bukan saja terletak pada pemilihan tema
tetapi juga pada cara pengolahannya, yang menggunakan teknik naratif yang dapat
dianggap sebagai unik dan luar biasa” (hal. 30). …
Tentang cerita pendek, kata Laporan
2009: “Cerpen Anwar Ridhwan beralih angin kepada bentuk eksperimen dengan
menggunakan pendekatan simbolik, yang berteraskan lambang seperti dalam cerpen
‘Dunia Adalah Sebuah Apartmen’, apartmen sebagai satu simbol kehidupan manusia,
[sebuah] dunia yang sempit, panas dan seragam bentuknya dan kuat pengaruh
Baratnya. Kehidupan yang cuba digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh
cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak. Kehidupan
watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata” (hal. 10). Kehebatan cerita pendek ini ialah kerana
latar belakangnya New York, bukan Kuala Selangor atau Ulu Kelang. Menurut
laporan ini, cerita pendek ini mengemukakan persoalan “filosofikal”. Penjelasan
tentang ‘persoalan filosofikal’ ini
sangat daif, naif, samar-samar dan tidak langsung menjelaskan maksud
‘filosofikal’, seperti terdapat dalam kutipan ini: “Telah aku lihat dan rasai
hidupmu di apartmen Jaffe Road ini. Tidak ada belas kasihan dan kedamaian.
Apakah cintamu telah berakhir di apartmen ini?” [Azwar kepada Agnes kekasih
seketidurannya](hal. 11). Apakah yang ‘filosofikal’ dalam ucapan ini?
Pertanyaan itu diutarakan setelah mereka mengadakan hubungan seks. Itukah yang
‘filosofikal’ itu? Ternyata istilah (?) ‘filosofikal’ itu hanya perhiasan
retorik yang tidak bermakna, tak ubah seperti baju kertas Pak Kaduk yang koyak
rabak bila disentuh sedikit. Apakah yang ‘filosofikal’ dalam kisah perzinaan
yang dilakukan di luar negeri oleh seorang pemuda Melayu? Penilai seharusnya
mempunyai perasaan malu, sedikit pun mencukupi, apabila menggunakan kata sifat
yang manis didengar, tetapi tidak bermakna dan amat mengelirukan. Menggunakan
perkataan tertentu untuk menunjukkan sesuatu karya itu bernilai tinggi, boleh
dianggap satu contoh yang amat buruk tentang “keaiban intelektual” yang sering
dilakukan oleh para penilai yang tidak bertanggungjawab. Perbuatan begini, yang
dilakukan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka,
dikategorikan oleh Jean-Francois Lyotard sebagai paganism.” [Jean-Francois Lyotard terms the state where we make
judgments without criteria as paganism. (Rujuk The Icon Critical Dictionary of Postmodern Thought ed. Stuart Sim
(Icon Books, 1998), hal. 331. Kemudian saya beri komen berikut, untuk sekadar
memberi penjelasan terhadap perkataan “filosofikal” yang digunakan oleh Panel. “Mungkin cerita pendek ini akan benar-benar
bersifat filosofikal jika peristiwa seks bebas itu berlaku di tengah bendang
Kuala Selangor, disaksikan cahaya bulan purnama penuh. Lalu terjadi dialog
kecil ini: “Kau tidak rasa berdosa disaksi bulan purnama? (tanya Agnes). “Kita
tidak berahsia. Tidak pura-pura. Kalau aku rasa berdosa, kita tidak segila ini.
Yang penting bagiku peluang, bukan akibatnya. Aku seorang lelaki siuman …”
(kata Azwar). Mereka berpelukan. Falsafahnya ialah: peluang melakukan
kejahatan lebih penting daripada akibatnya; inilah ciri utama kehidupan moden.
Inilah juga sifat dan “falsafah” kesusasteraan Melayu moden yang digambarkan
oleh para sasterawan negara. Anda boleh bahaskan “falsafah hidup” ini
berjela-jela”. Contohnya terlalu banyak diberikan oleh para sasterawan negara
dalam karya mereka, baik sebelum atau selepas mereka dijadikan sasterawan
negara.
Seterusnya ini lagi pandangan
saya terhadap cerita pendek yang mendapat pujian tinggi Panel Anugerah Sastera
Negara kerana teknik persembahan yang mereka anggap unggul, bukan kerana
pemikirannya atau “falsafahnya”.
“Makna dan falsafah, jika ada,
diketepikan kerana yang menjadi tumpuan ialah teknik. Sebagai seorang penulis
kreatif yang juga menulis cerita pendek dan novel, saya tidak akan menulis
karya yang sebegini kerana terlalu cetek pengolahannya; dan apa yang disebut sebagai
sikap objektif pengarang yang membiarkan saja peristiwa berlaku begitu saja
tanpa campur tangan, adalah pendirian tidak bermoral bagi seorang pengarang
yang serius, tidak hanya permainan teknik semata-mata. Pengarang harus
mengelakkan dirinya dari menjadi picisan
dengan mengemukakan pengolahan yang mendalam (tidak semestinya panjang)
dalam bentuk pemikiran yang mantap. Contoh yang saya lakukan sendiri dalam
cerita pendek “Bukan Orang Jahat”. … Cerita pendek itu mengisahkan perihal
seorang “penulis skrip” yang handalan, yang kerjanya menyalahkan orang yang
tidak bersalah atau membersihkan tokoh yang korup dan bersalah. Tiba-tiba anak
lelakinya ditangkap mencuri seluar dalam guru perempuan, lalu dikenakan
tindakan disiplin. Ayahnya yang pintar itu menyediakan skrip untuk dihafal oleh
anaknya ketika dibicarakan; tetapi anak itu membantah kerana yang terjadi bukan
seperti di dalam skrip. Sang ayah berkata yang penting bukan kebenaran, tetapi
kemenangan. Dalam perbicaraan anaknya menang, tetapi tidak dapat menerima
kemenangannya, lalu lari hidup dengan orang asli di dalam hutan. Ibu si anak
sangat sedih dan kecewa; tetapi suaminya berjanji akan menulis skrip lain yang
akan menyambut kepulangan anaknya sebagai seorang wira. Soalnya: siapakah wira
di sini, anaknya yang jujur atau ayahnya yang pintar menipu itu? Tersembunyi di
dalam kisah kecil ini ialah aspek pendidikan: adakah anak itu mendapat
pendidikan yang baik di sekolah dan di rumah? Tidakkah kedua-dua tempat itu
lebih berminat menghukum anak tadi daripada mendidiknya? Itulah persoalan besar
yang perlu difikirkan pembaca. Adakah itu falsafah cerita pendek itu? Yang tersirat dalam cerita pendek ini ialah
pemikiran, bukan hanya teknik dan sisipan peristiwa biasa yang hanya bercerita
tentang kejahatan manusia. Mungkin dua buah karya ini berbeza, tetapi mana
satukah hanya sejenis murai yang bising; mana satu pula merak? Apa pun jenis
kerangka analisis yang dipakai haruslah dapat menentukan dua jenis mergastua
ini, kerana tidak semua burung boleh disetarafkan kedudukannya. Apakah manfaat
yang akan anda dapat jika cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”
dibincang satu hingga dua jam; sanggupkah anda membuang masa begitu lama? Anda
boleh menggunakan apa juga “teori” sastera yang terdapat di Barat untuk membela
cerita pendek ini, anda tetap akan sampai kepada kesimpulan bahawa cerita
pendek ini “miskin makna” jika anda seorang penganalisis yang cerdik dan jujur
dari segi akademik. Dan karya secetek ini bukanlah “mencerminkan” kreativiti
Anwar Ridhwan dalam menghasilkan cerita pendek yang telah meletakkannya sebagai
satu jalur besar dalam sejarah perkembangan cerpen” (hal. 17). Tetapi
sebaliknya anda boleh berbincang berbulan-bulan tentang “Bukan Orang
Jahat” yang ditulis berasaskan konsep stylization of ideas itu; anda akan
mendapat manfaatnya dan anda dijamin akan menjadi lebih cerdik dan terbuka
fikirannya untuk mendalami falsafah kehidupan manusia dan erti kebaikan serta
makna kejahatan dalam kehidupan manusia.” (hal. 319-320).
Dalam kutipan di atas saya sebut
sesuatu mengenai “picisan intelektual”
yang hanya boleh difahami dalam konteks pretensi
intelektual yang lahir daripada retorik
peragaan dan fatamorgana bahasa.
Keempat-empat aspek intelektual ini perlu difahami dengan jelas untuk memahami
konsep “picisan intelektual” itu. Dalam kritikan sastera Malaysia, penggunaan
istilah “intelektual” terlalu longgar dan sewenang-wenang, sehingga istilah itu
tidak mempunyai makna sama sekali apabila dipakai oleh para sarjana ciritan
dalam tulisan mereka. Inilah contoh bullshit
yang disebut oleh Prof. Frankfurt. Tidak ada sasterawan yang tidak mahu
dikaitkan dengan aspek intelektualisme dalam karya mereka, walaupun tidak
terdapat dalam karya mereka; demikian juga para sarjana sendiri sangat bangga
jika dapat berbicara tentang intelektualisme dalam karya para sasterawan
negara. Kedua kumpulan ini hanya berjaya melahirkan dengan jelas aspek
pandirisme dalam kritikan dan penilaian sastera, dan juga dalam membuat
keputusan dalam pertandingan mengarang, juga dalam menentukan karya mana yang
layak dijadikan teks dalam pengajaran sastera di sekolah-sekolah. Kita bernasib
baik kerana ketika berbicara tentang aspek intelektualisme ini sasterawan
negara Anwar Ridhwan banyak membantu kita untuk melihat kekeliruan yang
berleluasa dalam tulisan para sarjana ketika menilai karya Anwar Ridhwan
sendiri. Kutipan pendapat mereka ketika menilai novel-novel Anwar Ridhwan
menjadi data yang cukup jelas akan wujudnya pretensi intelektual yang
kemudiannya menutup kewujudan “picisan intelektual” dalam kritikan sastera
Melayu. Semua ungkapan mengenai aspek
intelektual dalam karya sastera ini hanya baru dapat dikesan dan dilihat dengan
jelas setelah munculnya gagasan Persuratan Baru, iaitu apabila penilaian dalam
kritikan sastera dilihat dari dua perspektif penting, wacana dan cerita.
Sebelum itu karya sastera dilihat daripada perspektif cerita semata-mata,
dengan itu tidak memberi gambaran yang jelas dan tepat tentang kualiti sebenar
karya berkenaan. Dengan memberi
penekanan kepada pembinaan wacana dalam karya kreatif, maka peranan ilmu dalam
karya kreatif mula diberi perhatian dan dihuraikan kedudukannya dalam karya
kreatif. Sebelum itu, peranan cerita diberi penekanan berlebihan, dengan itu
mengabaikan peranan dan kedudukan ilmu dalam persuratan (juga dalam
kesusasteraan). Kini perubahan ini sudah
diterima, tetapi kefahaman tentangnya masih keliru dan kabur. Semua ini dapat
dilihat dengan jelas ketika para sarjana menilai karya Anwar Ridhwan, dan
ketika beliau sendiri menilai karyanya. Sekarang diberi beberapa contoh untuk
memudahkan pembaca memahami persoalan penting ini.
Apakah yang ingin diceritakan
oleh Anwar Ridhwan dalam novel pertamanya, Hari-hari
Terakhir Seorang Seniman? Beliau menegaskan dalam tahun 1999 bahawa novel
itu memperkenalkan watak penglipur lara yang berpaksikan agama dan budaya, yang
dalam hidupnya tidak mengingkari hukum agama (Islam). Pengakuan ini amat aneh
dan amat mengejutkan. Novel ini tidak menggambarkan seorang watak yang tahu
atau kenal agama, malah sebaliknya seorang yang amat jahil tentang agama dan
tidak sedikit pun memperlihatkan dia patuh kepada agamanya. Sebaliknya dia
patuh kepada kepercayaan turun temurun dalam budaya pinggiran orang Melayu. Pak
Hassan hidup dalam dunia khayal animisme dan cukup percayakan “semangat” dalam
budaya animisme itu, kerana itulah budaya penglipur lara yang diwarisinya.
Anwar Ridhwan mungkin ingin menjadikan Pak Hassan seorang yang patuh agama,
tetapi Pak Hassan sendiri menolaknya. Akhirnya Anwar Ridhwan tunduk kepada
kemahuan Pak Hassan, lalu menjadikan watak ini sebagai manusia yang sentiasa
dirundung malang, menghadapi musibah dan mala petaka satu demi satu hingga
akhirnya mati dalam pencarian sejenis pokok ajaib yang diyakininya dapat
menyembuhkan kemurungan dalam hidupnya.
Mulai dari saat kemenangan Pak Hassan mempengaruhi hidup Anwar Ridhwan,
maka sasterawan ini menulis semua novelnya dalam imej Pak Hassan, dengan itu
semua novel beliau adalah pancaran hidup seorang penglipur lara moden yang amat
gemar bercerita, dan bercerita dengan
penuh sensasi. Semua novel Anwar Ridhwan mempunyai corak yang sama,
semuanya diwarnai unsur sensasi, sebagai warisan kukuh daripada Pak Hassan,
watak yang dicipta oleh Anwar Ridhwan, yang akhirnya mencipta watak penglipur
lara moden dalam diri Anwar Ridhwan sendiri. Semua novel Anwar Ridhwan
mencerminkan pengaruh Pak Hassan ini, yang semuanya penuh sensasi dan
diceritakan sebagai karya penglipur lara
yang dicorakkan oleh watak Pak Hassan. Adakah ini penjelmaan “falsafah
kesementaraan” yang cuba disensasikan oleh Shahnon Ahmad, yang menerima karya
Anwar Ridhwan sebagai karya intelektual penuh dengan wacana ilmu? Dalam pemerhatian saya, Anwar Ridhwan itulah
yang terpengaruh dengan cara bercerita Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan. Lahuma dan Pak Hassan adalah tokoh besar
dalam sastera Melayu moden, yang amat teliti dan penuh ghairah diberi wajah
watak manusia Melayu yang bodoh dan tidak mampu menggunakan akal untuk keluar
dari kesulitan hidup mereka. Kedua-duanya adalah wajah buruk manusia Melayu yang
lemah, dicipta oleh dua orang penulis yang memang pandai menulis, tetapi tidak
mempunyai kekuatan intelektual yang cukup untuk menjadi pengarang yang
berwibawa yang akan membawa perubahan dalam seni mengarang. Ketika Anwar
Ridhwan menulis novelnya, kita sudah mempunyai sekumpulan cerita penglipur lara
Melayu yang diceritakan oleh Pawang Ana. Sayangnya Pak Hassan tidak kenal
Pawang Ana, demikian juga Anwar Ridhwan sendiri. Andainya Anwar Ridhwan seorang
peneliti penglipur lara yang tekun dan kreatif, dia mungkin menjadikan Pak
Hassan seorang Pawang Ana yang menurunkan cerita-cerita penglipur lara baru
yang belum didengar, tetapi terdapat dalam masyarakat Melayu atau dicipta
sendiri oleh Pak Hassan, seperti “cerita nasi dingin” yang mengharukan dalam wayang
kulit dicipta oleh Dalang Awang Lah (menurut sumber yang sampai kepada saya).
Ketika itulah Pak Hassan akan muncul sebagai seorang pewaris budaya yang tahu
warisan budayanya, tidak seperti dalam novel ini sebagai seorang yang tidak
saja jahil dalam agama, tetapi juga buta budaya. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan
sebagai seorang sasterawan? Dia juga tidak memperlihatkan daya kreatif yang
tinggi dan kemampuan intelektual yang boleh dibanggakan. Dia boleh mengangkat
novel pertamanya ini jika dia tahu siapa Pawang Ana dan mencorakkan watak Pak
Hassan dalam imej Pawang Ana, bercerita untuk bangsanya, bukan bercerita untuk
dirinya. Dengan kesedaran ini, Pak
Hassan akan muncul sebagai seorang penglipur lara sejati, menceritakan sebuah
kisah agung dalam tradisi penglipur lara itu, dengan memperkenalkan sebuah
hikayat besar ciptaannya sendiri memerihalkan kebangkitan baru dalam naratif
khayal yang dicorakkan oleh perkembangan baru dalam masyarakat Melayu moden.
Ketika itulah novel ini akan layak diberi sanjungan sebagai sebuah karya
intelektual, kerana di situ terdapat pemikiran yang diwacanakan dengan teliti
untuk menghidupkan kreativiti Melayu dalam bercerita. Seperti yang ada
sekarang, novel pertama ini hanya layak digelar novel “picisan intelektual”
yang kosong dari sebarang pemikiran bernas yang dapat dijadikan ikutan dalam
seni mengarang. Anwar Ridhwan tidak mungkin melakukannya, kerana beliau
bukanlah seorang pengarang yang berfikir secara sistematik. Beliau hanyalah
seorang penulis cerita dan tukang cerita yang amat ghairah bercerita. Empat
buah novelnya yang lahir selepas novel pertama ini semuanya termasuk dalam
kategori “picisan intelektual” ini. Bukan novel intelektual, tetapi novel yang
diberi baju kertas intelektual seperti yang dipakai oleh Pak Kaduk, dalam
pretensi intelektual yang diheret ke sana ke mari oleh sarjana yang membaca
mantra retorik peragaan, menggunakan fatamorgana bahasa dalam mantra pujian
penglipur lara yang terus mencari pokok asal naratif Melayu. Satu-satunya jasa
besar Anwar Ridhwan ialah kejayaannya mempengaruhi Prof. Dr. Muhammad Haji
Salleh untuk menjadikan warisan penglipur lara ini bidang kajian beliau, dan
menjadikan seorang penglipur lara, Pak Mahmud, sebagai ikon kesarjanaan Melayu.
Dengan penjelasan ini, saya tidak perlu lagi memberi apa-apa pandangan terhadap
empat buah novel Anwar Ridhwan, kerana semuanya adalah hasil penglipur lara
yang tidak memberi apa-apa pun dalam konteks intelektual, selain hanya
memperlihatkan “pretensi intelektual” semata-mata. Kamus Besar Bahasa Indonesia memberi makna pretensi sebagai “alasan
yang dibuat-buat”. Persis itulah yang
berlaku apabila para sarjana Malaysia bercakap/berbicara tentang aspek
intelektual dalam karya kreatif, iaitu hanya memberi “alasan yang dibuat-buat”.
Alasan yang hanya diada-adakan, padahal kualiti intelektual itu tidak ada di
dalam karya yang dipuji itu.
Kelemahan paling besar dan paling
menonjol dalam karya Anwar Ridhwan ialah dalam perwatakan. Watak yang
ditonjolkannya adalah watak yang tidak saja lemah dari segi psikologi manusia,
tetapi juga terlalu naif untuk dapat diterima sebagai watak yang boleh berfikir
dan membuat keputusan yang tepat. Anda boleh ambil watak mana pun yang anda
mahu, termasuk yang paling jahat sekali pun, anda akan melihat betapa lemahnya
watak-watak yang dijadikan penggerak sebuah novel yang bercorak intelektual.
Dilihat dari segi ini pun sudah cukup untuk menolak andaian palsu bahawa
novel-novel dan cerita pendek Anwar Ridhwan mengangkat persoalan bersifat
intelektual, apatah lagi yang bersifat filosofikal seperti yang diklaim oleh
Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau wataknya sudah bodoh dan lemah, apakah
jenis pemikiran yang diharapkan akan lahir daripada tindakan mereka? Kita telah
melihat bagaimana hal ini terjadi kepada Pak Hassan, yang hanyut dalam
penyerahan kepada nasib, padahal dia ditegaskan oleh penciptanya sebagai watak
yang membawa persoalan intelektual. Bagaimana dengan Anwar Ridhwan sendiri?
Apakah pemikiran unggul yang ditonjolkannya? Yang kita nampak ialah sensasi
yang berlebihan, terutama tentang kejahatan dan kebodohan watak-watak utama
dalam karyanya. Sekiranya konsep uswatun
hasanah yang menjadi salah satu pegangan gagasan Persuratan Baru dijadikan
ukuran, manakah watak yang boleh memberikan contoh teladan terbaik itu? Mungkin
ini disedari oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang mendorong mereka berkata
contoh itu tidak diperlukan dalam karya kreatif. Jika ini benar, maka bagaimana
pula mereka boleh bercakap tentang jalur itu jalur ini yang hebat yang mengubah
iklim penulisan cerita pendek atau novel yang telah dilakukan oleh Anwar
Ridhwan dalam karya eksperimental, yang inovatif dan kreatif, yang membawa
perubahan dan sebagainya itu? Kesimpulan saya, ini semua adalah bullshit semata-mata.
Jika anda membaca dengan kritis
pandangan saya tentang watak Pak Hassan, anda mungkin sedar jika Pak Hassan itu
hidup sebagai manusia yang berfikir dan berani menghadapi cabaran, dia mungkin
menggunakan teknologi moden, seperti radio yang dimusuhinya itu, untuk
dijadikan media penglipur laranya, dengan menuturkan cerita lipur laranya di
radio untuk khalayak dunia; atau dia berkenalan dengan seorang tokoh akademik
yang berminat dengan penglipur lara, seperti Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh,
maka ada kemungkinan Pak Hassan akan menemui para pelajar penglipur lara (anda
mesti berhati-hati membaca ungkapan ini kerana dari segi retorik ia membawa
makna lain sama sekali dan di belakangnya terdapat sengat yang tajam dalam
konteks stylization of ideas) yang
terpesona (seperti Prof. Muhammad Haji Salleh) lantas ingin menjadi penglipur
lara setelah tamat universiti nanti. Tidakkah itu akan membawa “seni lipur
lara” (kita mesti ingat Anwar Ridhwan menganggap Pak Hassan seorang seniman!)
ke menara gading, dan mungkin yang terdidik dalam seni itu akan menjadi penasihat
politik atau penasihat budaya seorang Perdana Menteri, atau paling lekeh
seorang menteri pendidikan? Kemungkinan itu ada jika Anwar Ridhwan seorang
pemikir yang mempunyai kekuatan kreatif yang tinggi dan kemampuan ilmiah yang
canggih. Hanya pada ketika itulah karyanya boleh diterima sebagai karya yang
bercorak intelektual. Tetapi tidak sebelum itu.
Inilah caranya karya eksperimental yang kreatif-inovatif ditulis, yang
menunjukkan kematangan berfikir yang tidak boleh diragui. Sudah sampaikah Anwar
Ridhwan ke tahap itu? Maka sebab itulah saya membuat kesimpulan, Anwar Ridhwan
telah diseret Pak Hassan untuk menjadi pengikutnya yang setia dan menuturkan
cerita lipur lara moden menerusi novel-novel sensasinya. Bukan novel
intelektual.
Jika demikian, maka pencirian
yang tepat ialah karya-karya itu berada dalam dunia pretensi intelektual, yang
hanya layak menduduki kategori “picisan intelektual”.
Menjana Picisan Intelektual Dalam Kritikan Sastera
Ungkapan “picisan intelektual”
yang diperkenalkan di sini memerlukan sedikit penjelasan, sesuai dengan huraian
di atas. Dalam buku Gagasan Persuratan
Baru: Pengenalan dan Penerapan, hal. 44-50) saya memberi sedikit penjelasan
tentang konsep picisan yang saya pakai dalam konteks Persuratan Baru yang
diperkenalkan sebagai alternatif kepada kelesuan dan kekeliruan dalam
kesusasteraan Melayu moden, yang ditimbulkan oleh konsep kesusasteraan yang
terpisah dari ilmu. Sedikit gambaran tentang konsep picisan untuk membantu anda
yang belum kenal konsep ini dalam Persuratan Baru. Perhatikan kutipan ini:
“Bagaimana kita dapat mengenal
sesuatu tulisan itu bercorak picisan atau tidak? Dalam ukuran biasa, sesuatu
karya akan menjadi picisan jika ideanya kabur, keliru, tidak dijalin dalam
struktur yang kemas tersusun logiknya, dan tidak dihujahkan dengan teliti.
Karya itu menjadi picisan jika konsep yang digunakan tidak tepat, kacau
maksudnya, tidak ditakrifkan dengan jelas, pengolahannya dangkal,
penghujahannya pula berasaskan bukti yang lemah
dan tidak konkrit. Semua karya adalah picisan jika strukturnya longgar,
tidak menyerlahkan kecanggihan analisis yang membolehkan pembaca memahami
dengan jelas idea pokoknya, dan memberikan kesempatan kepada pembaca untuk
bersetuju atau menentangnya. Pendeknya, karya itu runtuh bertaburan jika
dikritik dan dicabar secara ilmiah dengan analisis yang tajam.” (hal. 44).
Dalam buku itu saya berikan
contoh karya akademik yang mantap dan berkualiti tinggi berupa syarahan pengukuhan Prof. Dr. Syed
Muhammad Naquib al-Attas bertajuk, Islam
dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972); dan contoh karya akademik yang
menghampiri sifat-sifat karya picisan syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji
Salleh, Puitika Sastera Melayu: Satu
Pertimbangan (1989). Dua contoh ini boleh dijadikan panduan untuk memahami
kritikan saya terhadap novel-novel Anwar Ridhwan. Syarahan perdana Prof. Dr.
Muhammad Haji Salleh penuh dengan pretensi intelektual, yang tidak diisi dengan
penghujahan yang mantap dengan penelitian sumber yang agak menyeluruh. Saya
telah memberi sanggahan khusus dalam sebuah risalah berjudul, Medan-medan dalam Sistem Persuratan Melayu
(Kota Baharu, 1994; diterbitkan terlebih dahulu dalam Dewan Sastera, Mac-Julai 1991, memakai judul, “Medan-medan dalam
Sistem Persuratan Melayu: Satu Huraian dari Segi Kaedah dan Tafsiran”).
Sanggahan itu penting kerana hingga kini belum ada sebarang sanggahan balik
oleh sang profesor mahupun oleh para murid dan pengikutnya. Percubaan Dr. Mana
Sikana dalam Dewan Sastera berikutnya
terlalu naif dan cetek, merayau beating
about the bush tanpa sebarang usaha untuk menolak sanggahan itu, penuh
dengan pretensi intelektual untuk bermuka-muka.
Pretensi intelektual ini sudah menjadi amalan biasa
dalam tulisan yang diklaim sebagai “tulisan akademik” oleh penulisnya dan
sarjana umumnya. Bagaimanakah kita boleh mengukur sesuatu penilaian yang kita
lakukan terhadap sesebuah karya kreatif tepat dan objektif? Apakah ciri yang
perlu ada untuk memastikan penilaian itu tepat dengan kualiti karya yang
dinilai? Pembacaan saya dalam masalah penilaian ini meyakinkan saya bahawa
berlaku apa yang saya namakan fatamorgana
bahasa dalam penilaian itu, sehingga terjadi penilaian yang tidak tepat dan
sering kali jauh menyimpang daripada kualiti sebenar karya berkenaan. Saya
sudah lama membangkitkan persoalan ini selama lebih dari 40 tahun, sehingga
pernah mengemukakan cadangan supaya para sarjana dan penilai sastera belajar
membaca dengan betul untuk mengelak daripada membuat kesilapan dalam penilaian.
Saya lihat kelemahan paling besar yang dilakukan oleh pengkritik, sarjana dan
penilai karya kreatif dan akademik ialah ketidakpedulian mereka terhadap
masalah ini, sehingga kita boleh berkata tanpa ragu-ragu bahawa mereka tidak
memberi perhatian penting kepada integriti ilmiah dan akademik kerana kedudukan
mereka dan tugas yang diberikan kepada mereka meletakkan mereka dalam kedudukan
yang kukuh, tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak yang tidak bersetuju
dengan mereka. Bagi saya sikap ini tidak bertanggungjawab dan kesannya sangat
buruk, sehingga boleh memusnahkan sistem nilai kita sendiri dan memberi
gambaran palsu dalam kerja-kerja akademik, dalam melaksanakan tugas ilmiah
dalam membina tamadun ilmu, dan kewajaran penilaian dalam kritikan sastera.
Saya tidak perlu mengulangi contoh-contoh yang pernah saya berikan dalam
tulisan saya yang lepas, untuk mengelak
daripada pembaziran ruang dan masa. Bagaimana pun, saya akan menyebut
contoh-contoh itu apabila diperlukan untuk penjelasan.
Fatamorgana bahasa ini menjelma dalam
penggunaan beberapa “konsep” (?) longgar tanpa sebarang dasar ilmiah yang boleh
dijadikan pegangan. Dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita bertemu
ungkapan seumpama karya tidak perlu menyatakan ajaran moral, peniruan teknik
adalah sumber kemajuan dalam penulisan,
karya kreatif mesti menunjukkan kelainan, kemajuan dari segi eksperimen
dalam bentuk dan isi, mesti menyerlahkan intelektualiti (?), tetapi tidak perlu
memberi perhatian kepada konsep ilmu kerana semua karya kreatif mesti bebas
nilai, tidak terikat kepada sebarang ajaran agama, hanya boleh terikat kepada
teori sastera dari Barat. Seterusnya, tidak ada teori sastera yang bukan
berasal dari Barat, oleh itu semua usaha untuk membicarakan sastera dan karya
kreatif berasaskan tradisi sesuatu bangsa adalah palsu dan tidak universal, dan
banyak lagi yang akan kita temui dalam analisis kita nanti. Semua fatamorgana
bahasa itu bertujuan untuk membina mitos di sekitar tokoh tertentu, dengan itu
dicari-cari kelainan, eksperimen, jalur baru dalam penulisan cerita pendek,
novel dan sajak, dan sebagainya. Termasuk juga gaya sufi yang diiktiraf hanya
wujud dalam karya seorang sasterawan negara saja, oleh itu beliau menonjol
sebagai sasterawan sufi yang membawa kemanisan rohani dan keindahan ucapan
kesufian dalam sajak-sajak beliau yang seorang itu. Dan seterusnya. Kerana
wujudnya, dan diwujudkan fatamorgana bahasa, maka para sasterawan negara
mendapat perlindungan istimewa, oleh itu hanya boleh dipuji dan sebarang kritikan
hanya lahir daripada perasaan hasad, niat yang jahat, dan keangkuhan yang
bejat. Semua istilah ini muncul sebagai ciri fatamorgana bahasa yang
dimaksudkan itu. Usaha memitoskan tokoh ini merupakan kejayaan paling besar
Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi mereka gagal memberi arah yang betul yang
benar-benar berasaskan nilai-nilai moral dan nilai seni yang tinggi. Kegagalan
itu terserlah dalam semua laporan yang dihasilkan oleh Panel Anugerah Sastera
Negara. Sehingga kini belum lagi terdapat sanggahan yang bernas yang menolak
kesimpulan ini, malah tulisan terbaru tentang sajak Muhammad Haji Salleh,
“Pulang Si Tenggang”, yang ditulis oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, menguatkan
hujah-hujah palsu Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam tulisannya, profesor ini
memasukkan satu unsur baru dalam penilaian sastera, iaitu kejahatan itu dilihat
dari segi usaha gigih untuk mencapai kejayaan, seperti yang dilakukan oleh Si
Tenggang. Dengan demikian, sikap derhaka Si Tenggang dilenyapkan; yang
ditonjolkan ialah kejayaannya mendapat kedudukan tinggi sehingga berjaya
menjadi menantu raja. Satu pencapaian yang besar dalam kehidupan manusia, yang
perlu ditiru oleh pelajar sekolah dan pelajar universiti. Inilah kesan negatif
paling ketara akibat fatamorgana bahasa dalam kritikan dan penilaian sastera.
Dalam
aspek “intelektualiti” pula, karya Anwar Ridhwan diberi sanjungan tinggi kerana
nilai-nilai intelektual yang tinggi yang terdapat di dalamnya dan kerana
terdapat simbolisme di dalamnya. Apakah
nilai intelektual yang dimaksudkan? Apakah makna simbolisme? Kata seorang
sarjana memberi pendapatnya yang tidak berasas, atau sekurang-kurangnya terlalu
longgar hujahnya, ketika menentukan ukuran yang diperlukan untuk menilai karya
yang bermutu: “Yang kita mahu ialah karya
yang bernilai intelektual dan gubahan naratifnya bersifat simbolik” (Dewan Sastera, Oktober 2013, hal. 14;
dalam tulisan Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad, “Pemugaran Intelektualiti Sasterawati Sarawak”). Jika anda membaca ucapan ini dalam konteks
fatamorgana bahasa, anda mungkin terpesona, dan jika anda seorang penulis, anda
akan cuba menjadi penulis intelektual dan menghasilkan karya simbolik. Semudah
itukah tafsiran anda? Di sinilah perlunya konsep ilmu yang benar, kerana ucapan
ini dalam konteks ilmu yang benar adalah palsu. Al-Quran tidak mengajar kita
begitu, tetapi mengajar kita tahu membaca ayat-ayat Allah, dan ini memerlukan
ilmu berasaskan tauhid, bukan hanya sekadar maklumat longgar dalam konteks
intelektualiti yang kabur sebagai konsep ilmu. Jika anda menerima simbolisme
sebagai ukuran yang menentukan nilai sesuatu karya, anda terjebak dalam
pemikiran golongan syirik yang diceritakan dengan banyaknya dalam al-Quran,
yang mengatakan Tuhan mempunyai anak dan isteri; atau menjadikan lembu sebagai
simbol untuk mendekati Tuhan. Jadi simbolisme, jika anda tidak melihatnya dalam
konteks ilmu yang benar, akan membawa anda kepada kesesatan. Inilah yang
terjadi dalam sastera Melayu, apabila para sasterawan yang terpesona dengan
konsep dan teknik realisme magis, menerima itu sebagai sesuatu yang indah,
padahal tidak lebih daripada fatamorgana bahasa. Anda harus melengkapkan diri
dengan ilmu, sebelum anda membuat sesuatu keputusan yang boleh menyesatkan
anda. Semua pilihan yang benar harus berasaskan konsep ilmu yang benar; dan
anda akan dapat mencapai hakikat ini jika anda faham konsep taklif, kerana di
situ tersimpul tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah:
ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar.
Menggunakan ciri intelektualiti dan simbolisme
sebagai ukuran hanya dapat diterima sekiranya kedua-dua ciri itu dihuraikan
dengan mendalam dan diberi batasannya supaya tidak lari daripada konsep ilmu
yang benar. Jika dibiarkan kabur dan keliru seperti yang digunakan oleh sarjana
ini, maka maknanya boleh apa saja, termasuk yang boleh menyesatkan. Kita harus
menggunakan apa juga konsep dan istilah untuk membina makna yang benar, bukan
untuk menyesatkan. Pertama sekali yang harus disedari ialah, sasterawan negara
Anwar Ridhwan menggunakan teknik penglipur
lara dalam penulisan novel dan cerita pendeknya. Penilai beliau berkata, beliau
telah menghidupkan kembali penglipur lara dalam sastera Melayu moden dengan
menulis novel-novel beliau, yang dimulai dengan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (tentang seorang tokoh penglipur
lara), dengan novel terbarunya Penyeberang
Sempadan mengenai seorang pemuda yang hanyut dalam ideologi politik yang
tidak difahaminya. Novel ini masih dalam bentuk penglipur lara, mengisahkan
pengembaraan seorang pemuda Melayu yang kononnya mencari “kebenaran”. Dengan
pantas para sarjana ciritan memberi pujian tinggi sebagai sebuah novel global
(genre baru atau hanya ungkapan biasa saja dalam konteks fatamorgana bahasa?)
yang membicarakan aspek ideologi politik dengan mendalam. Untuk muncul sebagai
pembicara tentang ideologi politik yang mendalam, diperlukan seorang tokoh yang
tahu berfikir dan sistematik pula, yang tidak ada pada tokoh utama novel ini.
Untuk muncul sebagai sebuah novel intelektual, tidak cukup dengan memaparkan cerita
dan pengembaraan yang bersifat eskapisme. Tokoh yang dimunculkan itu mestilah
memperlihatkan kecanggihan pemikirannya, dan ini memerlukan wacana bersifat
ilmu. Tidak ada wacana itu dalam novel ini. Yang ada ialah cerita pengembaraan
biasa seorang tokoh yang sebenarnya bukan seorang pemikir. Bagaimana sebuah
novel penglipur lara boleh dinaikkan taraf menjadi novel intelektual? Hanya
penggunaan fatamorgana bahasa sahaja yang memungkinkan kepalsuan penilaian ini diterima sebagai satu kesimpulan yang
bernas. Untuk melihat kepalsuan penilaian berasaskan fatamorgana bahasa ini,
anda perlu membaca kupasan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menulis tentang
novel Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan. Kedua-dua buah novel ini adalah novel
penglipur lara moden yang diberi pretensi sebagai novel intelektual berasaskan
penggunaan ciri-ciri fatamorgana bahasa.
Kesimpulan bahawa novel ini novel penglipur lara moden berasaskan mod
bacaan intelektual, yang melihat novel ini daripada perspektif wacana dan
penggunaan ruang naratif. Kesimpulan yang berbeza akan kita dapati sekiranya
novel ini dibaca dalam mod bacaan cerita. Bacaan dalam mod bacaan cerita sangat
popular di kalangan sarjana ciritan, tetapi kerana mereka tidak mempunyai
rujukan untuk menilai bacaan mereka, maka mereka terus menggunakan fatamorgana
bahasa dalam tulisan mereka dan dalam cara bacaan mereka, oleh itu terus berada
dalam kesilapan besar yang memang boleh dihindarkan oleh seseorang sarjana
sekiranya dia cuba belajar membaca dengan betul, menggunakan mod bacaan
intelektual apabila dia perlu berbuat demikian. Tahu untuk memilih yang terbaik
adalah tanda anda seorang sarjana yang mengasaskan pilihan akademik anda kepada konsep ilmu yang benar. Hanya
pengaruh pandirisme sahaja yang menghalang anda daripada menggunakan teknik dan
konsep yang betul. Berada dalam budaya pandirisme terus menerus, dan bangga
melakukan kesilapan, hanya akan menyuburkan penyelewengan budaya dan terus
melakukan kesilapan yang boleh dihindarkan dalam penilaian karya sastera yang
anda buat. Walaupun mereka ini sombong dan angkuh berbicara tentang kelainan,
kemajuan, intelektualiti, dan segala macam, namun mereka melakukan semua itu
dalam konteks fatamorgana bahasa, oleh itu keadaan mereka samalah dengan keldai
yang ditutup matanya berjalan beribu batu mengelilingi kincir air, tetapi
sebenarnya tidak bergerak ke mana-mana. Sekiranya mata sang keldai dibuka,
pastilah keldai yang bodoh sekali pun akan merentap tali yang mengikatnya untuk
lari ke dunia bebas, sebagai seekor keldai yang sukakan kebebasan.
Tetapi
dalam sastera Melayu, orang hanya bercakap tentang perubahan, kemajuan, dan
semua perkara yang muluk-muluk, tetapi mereka adalah penentang semua itu,
kerana semua itu mereka ucapkan dalam konteks fatamorgana bahasa, bukan dalam
konteks pembinaan budaya ilmu. Lepaskan keldai budaya ini dari kongkongan
fatamorgana bahasa, biar mereka kenal dunia luar dan dunia ilmu yang luas dan
mencabar itu. Anda terus terbelenggu dalam fatamorgana bahasa jika anda terus
berdegil menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Kalau
demikianlah pendirian anda, maka anda tidak layak digelar sarjana, kerana
seseorang sarjana adalah seseorang yang berilmu, bukan hanya mengetahui sedikit
maklumat dan fakta yang bertaburan yang tidak dapat dirangkaikan dalam kalungan
ilmiah yang kemas dan memberi manfaat kepada anda dan pembaca anda.
Meneruskan Sastera Cetek
Meraba-raba
Nampaknya kita belum lagi
berupaya membuktikan kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam
syarahan pengukuhannya pada tahun 1972 itu tidak tepat. Dalam syarahan penting
yang hingga kini belum dicabar oleh mana-mana ahli akademik itu, Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa yang disebut “sastera Melayu moden”
itu adalah sastera pinggiran, yang tidak berjejak dalam tradisi Melayu-Islam
dan tidak pula berakar dalam tradisi Barat. (Rujuk karya beliau Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu).
Menurut beliau, hasil “sastera Melayu moden” itu ditulis dan dinilai oleh “mereka yang keliru yang tiada dapat membezakan
yang benar dengan yang palsu” (hal. 55). Kesimpulan ini dibuktikan dalam
laporan Panel Anugerah Sastera Negara, mulai tahun 1981 hingga 2014. Yang diberi pujian tinggi dalam laporan itu
ialah keupayaan sasterawan Melayu menjadi peniru dan pengikut sastera Barat.
Laporan 1985 tentang A. Samad Said mengangkat beliau sebagai seorang sasterawan
ulung kerana berjaya meniru teknik novel Barat sehingga memungkinkan
terciptanya novel Salina yang
mengagungkan kehidupan seorang pelacur Melayu, yang kini diterima oleh ahli
akademik Malaysia sebagai wanita unggul yang menjadi korban peperangan dan
percintaan yang gagal. A. Samad Said juga dipuji oleh Panel kerana karyanya
tidak mempunyai matlamat, tidak mempunyai tema yang tetap, tidak langsung
mempunyai unsur didaktik di dalamnya.
Dalam Laporan 2009 pula, Anwar Ridhwan dipuji dalam nada yang sama, dengan mengangkat sasterawan ini sebagai
seorang sasterawan yang menulis karya eksperimen yang matang, dengan kekuatan
gaya dan teknik naratif yang inovatif, eksperimental dan mencabar intelek
pembaca, menggunakan bahasa puitis, segar dan sarat dengan metafora, imejan,
dan lambang. Berbeza dengan A. Samad Said yang tidak mempunyai tema tertentu,
Anwar Ridhwan pula disanjung kerana mengemukakan tema-tema “besar”, seperti cerita penglipur lara, pawang
buaya, pemimpin yang gila kuasa dan
lain-lain. Seperti dalam seluruh laporan Panel yang kita terima, tidak sebuah
pun karya “besar” itu disorot dengan mendalam, mengemukakan hujah yang mantap
dalam analisis yang cermat. Laporan 2009
misalnya mengutip pendapat seorang sarjana yang membuat kesimpulan salah sebuah
novel Anwar Ridhwan adalah novel terbaik di Malaysia. Sudah wajar jika novel
terbaik itu disorot dengan mendalam. Tetapi yang terjadi hanya ditonjolkan
ujaran berbentuk umum, seolah-olah karya besar itu tidak mempunyai apa-apa
keistimewaan jika dianalisis dan diberi bukti konkrit dalam analisis yang
kritis. Panel mengejek penulis yang suka menggunakan klise dalam tulisan
mereka, dan mengutuk khutbah sebagai gaya yang tidak mempunyai daya estetika.
Tetapi mereka sendiri menggunakan semua jenis klise yang sudah lusuh dalam
penilaian mereka, misalnya dengan memuji penulis yang menggunakan realisme
magis, atau yang pandai meniru teknik Barat seperti …(anda boleh senaraikan
sendiri kerana mudah dikesan). Di
samping itu, mereka cukup seronok melontarkan khutbah yang cetek dalam
penilaian mereka. Mengapa mereka sendiri melakukan apa yang mereka kutuk orang
lain melakukannya?
Untuk
membuktikan Anwar Ridhwan menggunakan bahasa yang indah dan puitis, Panel
memberikan contoh-contoh ini: “… kebimbangannya mula memburunya dari belakang,
mendekatinya, lalu memukul-mukul hatinya”; “… angin memukul-mukul kaca
jendela”; “… kereta api menjerit-jerit
dari perut bumi”; dan “Kawai Maru, raksasa besi waja yang terapung-apung,
beroleng lembut melayan usikan tangan-tangan gelombang”. Apakah yang indah dari
ucapan berbentuk klise ini? Jika anda
tidak menemui ucapan klise ini, pastilah anda tidak membaca karya sastera
popular (atau picisan) yang gemarkan gaya begini; anda tidak akan menemuinya
dalam karya agung para penulis agung dunia. Jika tidak percaya, bacalah
Tolstoy, James Joyce, Thomas Mann, Pirandillo,
Chekhov, dan ramai lagi. Malah anda akan bertemu dengan pemenang Hadiah
Nobel 2003 bernama J.M.Coetzee,
misalnya novelnya Elizabeth Costello
atau Disgrace atau Slow Man; anda dijamin tidak akan
bertemu dengan klise yang dipuji oleh Panel Anugerah Sastera Negara Malaysia,
malah anda akan bertemu dengan gaya intelektual seorang penulis yang
betul-betul matang. Semua ini
membuktikan Panel tidak mempunyai pengertian yang jelas dan tepat tentang
konsep keindahan bahasa dalam karya kreatif; malah pemahaman mereka tentang
estetika pun terlalu samar dan cetek, oleh itu tidak hairan jika mereka memuji
kecetekan karya para sasterawan negara yang mereka angkat dengan kata-kata
bombastik yang tidak dibuktikan dengan hujah dan analisis yang kritis. Prof. Ungku Maimunah telah menghuraikan aspek
ini dengan terperinci dalam Kuliah MASTERA beliau berjudul, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP
2009). Sila rujuk buku itu untuk melihat kualiti sebenar “pemikiran” Panel Anugerah Sastera
Negara ini. Jika kita menerima
contoh-contoh yang dikemukakan oleh Panel sebagai bukti keindahan bahasa yang
bercorak puitis, pastilah para sasterawan negara ini tidak layak digelar
sasterawan negara jika itulah corak “keindahan bahasa” yang mereka hidangkan.
Kesimpulan ini hanya boleh dibatalkan sekiranya Panel tampil dengan contoh dan
analisis yang mendalam mengenai keindahan bahasa dan aspek estetika ini. Apa
yang jelas kepada kita ialah mereka menghadapi masalah kognitif yang berat
dalam memahami dua aspek kreatif
ini.
Dalam
semua laporannya Panel mengejek para sasterawan yang bergelumang dengan klise,
tanpa menyedarinya bahawa mereka sendirilah yang bergelumang dengan klise dalam
penilaian mereka yang bersifat umum, bombastik, keliru dan gagal menyediakan
ukuran yang boleh diuji ketepatannya. Sebagai contoh, apabila Panel berkata, A.
Samad Said itu seorang sasterawan yang
istimewa kerana beliau seorang peniru yang handal; atau Anwar Ridhwan seorang
sasterawan yang hebat melahirkan novel-novel yang hebat pula, misalnya kerana
beliau pandai menggunakan teknik realisme
magis, maka apakah hujah yang
boleh kita kemukakan bahawa menjadi peniru itu sangat istimewa dan orang-orang
yang pandai meniru layak digelar sasterawan negara? Tentulah kita akan berasa
malu jika sasterawan hebat kita hanya seorang peniru saja, kecuali jika kita
kemukakan hujah bahawa meniru teknik dan idea Barat itu harus digalakkan kerana
hanya dengan berbuat demikian saja kita boleh melahirkan sasterawan besar yang
layak diberi kedudukan sebagai sasterawan negara. Tetapi kita mesti ingat, jika
kita membuat kesimpulan begitu, kita dengan sukarela bersetuju dengan
kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas yang menegaskan seperti yang
beliau telah tegaskan. Akhirnya kita akan berlagak angkuh menyodorkan
sasterawan pinggiran “yang cetek meraba-raba” ini sebagai tokoh besar yang
istimewa, walaupun mereka hanya para peniru saja. Mencari tempat bergantung
dari Barat ini telah dianalisis dengan mendalam oleh Pascale Casanova dalam
bukunya The World Republic of Letters
(2004). Dalam buku itu ditegaskan bahawa terdapat dua kiblat yang diikuti oleh
sasterawan negara membangun, iaitu Paris dan London. Dari situlah nilai dan
ukuran hasil sastera yang baik dan bermutu ditetapkan. Dan itulah juga ikutan
para sasterawan Malaysia dan para penilainya. Tidakkah ini membuktikan betapa
tepatnya kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas itu?
Tentulah
amat malang jika inilah yang terjadi, inilah realitinya. Tetapi nampaknya amat
sukar hendak menolak kesimpulan ini, jika kita membaca dengan teliti analisis
Prof. Ungku Maimunah dalam kuliah MASTERAnya. Sebagai contoh, Prof. Ungku
Maimunah membuktikan bagaimana gandingan realisme dan novel menjadi begitu
serasi dalam analisis novel dan dalam penulisan novel; begitu dogmatiknya
mereka (pengkritik dan penulis novel) terhadap realisme sehingga mereka mencedok “realisme magis” apabila mereka ingin berada dalam dunia
Awang Sulung Merah Muda, atau dalam alam Dewa Muda yang dijadikan cerita utama
oleh Tok Minduk dalam Main Puterinya. Hakikat ini terserlah dengan jelas dalam
semua laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Menurut Prof. Ungku Maimunah
lagi, ideologi realisme ini dijadikan ideologi estetik yang amat disenangi dalam Abad ke-19
di Eropah. Inilah juga yang diikuti oleh para sasterawan dan pengkritik/ahli
akademik Malaysia. Nampaknya mereka
selesa betul berada dalam Abad ke-19, dan merasa tersinggung sekali jika
keselesaan mereka digugat dengan pemikiran dan kaedah baru Abad 21. Misalnya,
mereka tidak suka, dan amat benci, jika karya kreatif berasaskan ilmu, apatah
lagi memakai konsep ilmu yang benar. Boleh dikatakan 98% di antara mereka
menolak apa juga bentuk analisis dan kaedah menulis jika berdasarkan konsep
ilmu yang benar. Apakah yang membuat mereka begitu tersinggung dan gelisah?
Menurut mereka, jika kaedah itu diterima, maka para sasterawan negara akan
kelihatan begitu kerdil, tak ubahnya seperti “scare crow” yang dipuisikan oleh
T.S.Eliot itu. Benarkah begitu? Seharusnya, secara logik, apabila seorang tokoh
besar seperti sasterawan negara itu diangkat darjatnya, maka mereka layak
diberi penilaian yang kritis berasaskan kaedah apa sekalipun. Tidak ada alasan
sama sekali untuk melindungi mereka dengan pantang larang tertentu bahawa
mereka hanya layak dinilai mengikut kaedah yang boleh meninggikan darjat mereka
sahaja. Maka itulah sebabnya semua Laporan Anugerah Sastera Negara ditulis
secara umum, kabur dan berbelit-belit, untuk menyenangkan hati semua orang.
Tetapi ini bertentangan dengan kehendak akademik, yang menilai sesuatu
berasaskan ukuran akademik yang boleh diukur ketepatannya secara objektif. Nampaknya mahu tidak mahu kita terpaksa
meletakkan para sasterawan negara kita dan para penilai mereka dalam gelanggang ilmu untuk diuji sehabis kritis berasaskan
ukuran yang boleh diuji pula ketepatannya. Itulah kehendak Abad 21 yang
kononnya dikenali sebagai Abad Ilmu (padahal dalam tamadun Islam Abad Ilmu itu
telah bermula awal-awal lagi, sehingga kini dipersetujui ledakan ilmu dalam
tamadun Islam itulah yang menjadi asas kemajuan ilmu di Barat moden.)
Bagaimana
jika sikap anti-ilmu itu berterusan? Kita tidak mempunyai pilihan kecuali
menghapuskan Anugerah Sastera, diganti dengan Anugerah Persuratan yang lebih
luas cakupannya. Cadangan ini telah dikemukakan dalam sebuah kertas kerja,
“Anugerah dan Hadiah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis” (DBP, 25 Mei
2006). Dalam kertas itu, telah dicadangkan supaya diwujudkan Hadiah Persuratan
PETRONAS, dikeluarkan setiap tahun untuk semua bidang ilmiah yang dihasilkan
oleh para penulis yang menggunakan bahasa Melayu, termasuk para sasterawan dan
lain-lain yang sejenis dengannya. Hadiah itu diberi nama Hadiah Persuratan
kerana yang diutamakan ialah pencapaian sebenarnya dari segi ilmu, termasuk
yang bercorak karya kreatif. Dengan memberi perhatian kepada ilmu, kita akan
mengelak daripada memberi hadiah dan anugerah kepada sesiapa juga yang tidak
layak menerimanya. Kita harus kembali kepada maksud “persuratan” yang menjadi
asas tamadun Melayu yang dibina di atas dasar tauhid yang hasilnya cukup
cemerlang untuk diremehkan oleh sastera dan para sasterawan. Kita telah bosan
membaca laporan Panel yang berserabut dengan klise itu, untuk hanya memilih para sasterawan yang
tidak boleh disentuh lagi selepas diberi cap mohor Panel Anugerah Sastera
Negara. Sikap yang melemaskan ini
terlalu jelas anti-ilmunya, oleh itu tidak wajar diteruskan jika kita
benar-benar mahu maju dalam bidang pemikiran dan mewujudkan keupayaan kreatif
yang tinggi. Lebih penting lagi, kita
tidak harus mencampakkan tokoh-tokoh pemikir kita dengan memberi keutamaan
kepada para sasterawan yang tidak boleh berdiri jika diuji dengan kritis
berasaskan ilmu yang difahami dalam Islam. Dengan menggunakan konsep dan
istilah persuratan, kita akan kenal tokoh-tokoh yang sepatutnya kita sanjung,
seperti Pendeta Za’ba, Prof. Syed Muhammad
Naquib al-Attas, Haji Agus Salim, Hamzah Fansuri, Nuruddin
al-Raniri, dan lain-lain tokoh yang
mungkin kita tidak kenal lagi atau sudah lupa. Jika kita benar-benar mahu
berubah ke arah kebaikan yang sebenarnya, atau membuat anjakan paradigma
seperti yang dilaung-laungkan satu masa dahulu, maka inilah masanya untuk
melakukan anjakan paradigma itu. Wujudkan Hadiah Persuratan PETRONAS; hapuskan
Anugerah Sastera Negara dan gelaran Sasterawan Negara yang mengelirukan itu.
Kesimpulan: Ilmu yang
Benar Sebagai Asas Penulisan Kreatif
Nampaknya sasterawan dan sarjana
sastera sudah mula menunjukkan minat dalam memperkatakan persoalan ilmu dalam
kesusasteraan, walaupun pada peringkat yang sangat naif, daif dan cetek, tetapi
boleh dianggap suatu tanda sudah ada sedikit kesedaran untuk meningkatkan
kualiti karya kreatif melalui penerokaan penulisan kreatif berpaksikan konsep
ilmu yang benar. Kesedaran ini masih lagi pada peringkat acah-acah, belum
berani dijadikan pakaian intelektual yang lengkap dalam amalan penulisan. Masih terdapat kesangsian dan perasaan takut
untuk terlibat sepenuhnya dalam membahaskan peranan ilmu yang benar itu dalam penulisan kreatif, sejenis
ketakutan yang dikaitkan dengan perasaan tidak tenteram sekiranya perubahan sikap ke arah itu akan
mengakibatkan mereka tidak akan dibicarakan lagi di peringkat antara bangsa
kerana pada waktu ini orang tidak mahu dengar kehebatan ajaran Islam dalam
apa-apa bidang sekali pun, termasuk bidang kreatif. Mereka tahu Islam berupaya mencabar bidang
apa juga yang pernah difikir dan diusahakan manusia, apatah lagi dalam konteks
pemikiran falsafah, Islam sudah mempunyai tradisi yang kuat untuk menentang apa
jenis teori ilmu sekali pun, dan dapat dengan tuntas menolak hujah palsu para
ahli falsafah dunia, baik yang berkenaan soal kemanusiaan mahu pun soal alam (nature) yang membina ilmu sains dan
matematik. Di Barat sendiri kemunculan budaya hedonisme yang anti ilmu sudah
lama dibincangkan dan sudah diterbitkan pula buku yang menganalisis budaya hawa
nafsu ini, antaranya yang terkenal ialah tulisan P. A. Sorokin (bekas seorang
profesor dalam bidang sosiologi di
Harvard University), The Crisis of Our
Age (diterbitkan 1941). Dalam tahun 1976 satu kajian mendalam pada
peringkat kedoktoran telah ditulis oleh I. Robert Sinai, bertajuk The Decadence of the Modern World. Sudah
sampai waktunya satu kajian mendalam tentang the decadence of modern Malay literature dibicarakan dengan
mendalam dalam satu kajian di peringkat kedoktoran, khusus untuk membincangkan
pengaruh teori sastera Barat yang mengubah dan merosakkan sistem nilai
kebudayaan Melayu, dan bagaimana bangkitnya golongan anti-ilmu dalam
kesusasteraan Melayu modern yang menolak konsep ilmu yang benar dalam Islam,
dan kemunculan para sasterawan negara untuk memperkukuhkan sikap anti-ilmu itu.
Dalam perkembangan ini, sikap
negatif dan anti-ilmu para sasterawan negara adalah menarik. Kumpulan yang
mewakili golongan Mutual Admiration Club ini muncul sebagai puak yang paling
rugi jika konsep ilmu yang benar itu diterima, kerana seluruh kredibiliti
mereka sebagai sasterawan negara akan musnah sebaik saja karya mereka dinilai
dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar. Sangat jelas puak ini cuba
secara senyap dan tersembunyi untuk meneruskan gerakan pretensi intelektual
yang palsu itu dengan menggunakan seluruh peralatan kerajaan untuk mencapai
maksud mereka yang sia-sia, iaitu mengekalkan kecelaruan dan kekacauan dalam
konsep ilmu itu dengan mengadakan seminar, diskusi, penerbitan dan penempatan
sarjana di universiti yang memihak kepada mereka untuk memastikan para pelajar
universiti tidak didedahkan kepada konsep ilmu yang benar dan dapat memahami
dengan mendalam perkembangan persuratan Melayu sebagai warisan ilmu yang telah
melahirkan cendekiawan dan ulama terkenal. Walau bagaimana pun kita harus
mengakui satu perkembangan yang positif telah muncul di Dewan Bahasa dan
Pustaka apabila persoalan ilmu ini mula diberi perhatian oleh Ketua Pengarah,
Dewan Bahasa dan Pustaka yang baru, dengan mendekati pemikiran Prof. Syed
Muhammad Naquib al-Attas, diperkenalkan kepada para pegawai di pusat
perkembangan bahasa dan kesusasteraan itu. Perkembangan
positif ini mewajarkan diadakan satu perbincangan mendalam tentang konsep ilmu
dalam persuratan Melayu dan kesusasteraan Melayu moden. Inilah peluang
untuk mempertahankan kewajaran kewujudan para sasterawan negara, untuk
membuktikan bahawa mereka adalah kumpulan yang menjadi benteng dalam
perkembangan ilmu yang benar, yang kedudukannya lebih mulia daripada para ulama
dan cendekiawan Melayu yang telah membina kebudayaan Melayu. Tetapi mengapakah
golongan yang berjasa ini tidak diperkenalkan dalam sistem pendidikan kita?
Saya maksudkan golongan ulama dan cendekiawan, bukan sasterawan negara.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22/10/2014.
No comments:
Post a Comment