Friday, October 10, 2014

PRETENSI INTELEKTUAL DALAM KRITIKAN SASTERA MELAYU



Dalam entri yang lepas saya mencabar para sarjana dan sasterawan untuk menolak beberapa kesimpulan saya terhadap pretensi intelektual dan pretensi akademik yang amat rimbun dalam kritikan sastera Melayu. Sebelum itu saya telah menulis dengan panjang lebar mengenai retorik peragaan dan fatamorgana bahasa dalam kritikan sastera Melayu. Jika anda seorang pembaca yang kritis dan peka kepada kecenderungan  para pengkritik dan sarjana kita untuk menjadikan pretensi intelektual dan pretensi akademik sebagai hujah dalam analisis dan penilaian mereka, anda akan berasa pelik mengapa mereka begitu mabuk dengan pretensi intelektual dan pretensi akademik ini. Dalam analisis saya, hal ini terjadi kerana mereka telah menjadikan pandirisme sebagai arus perdana dalam kegiatan intelektual dan kegiatan akademik mereka.  Saya tidak perlu menjelaskan lagi apa yang saya maksudkan dengan pandirisme itu, kerana tulisan di dalam blog ini telah banyak membicarakannya; dan sebelum itu telah dibicarakan dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (cetakan pertama 2008; akan diulang cetak dalam edisi  2 dengan banyak tambahan, akan terbit dalam masa terdekat).  Mahu tidak mahu pandirisme akan kekal dalam dunia akademik Malaysia, seperti konsep bullshit telah diangkat ke dunia akademik, kebudayaan, dan pendidikan oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya yang terkenal, On Bullshit (2005). Buku ini amat wajar menjadi bacaan wajib para sarjana, pengkritik, ahli akademik, para penulis dan sasterawan. Tentu saja para pelajar universiti wajar membacanya. Bukunya kecil dan nipis saja, tidak sukar untuk difahami. Selain dari buku ini, baca juga dua buah buku yang membicarakan persoalan yang sama: The Homeless Mind (oleh Peter L. Berger, Brigitte Berger & Hansfried Kellner. Penguin Books, 1973); Social Sciences as Sorcery (oleh Stanislav Andreski. Penguin Books, 1974).

Apakah yang dimaksudkan dengan pretensi? Takrif mudah diberikan dalam Kamus Dewan begini:  “dakwaan atau gambaran kononnya mempunyai atau melakukan sesuatu yang istimewa (padahal tidak kelihatan atau terbukti demikian)”. Ini pula penjelasan dalam kamus, Collins Cobuild Learner’s Dictionary: pretence ( dieja pretense dalam American English) (1) “a pretence is an action or way of behaving that is intended to make people believe something that is not true.” 

Takrif yang diberikan dalam Kamus Dewan cukup jelas. Dalam kritikan sastera dan tulisan “ilmiah” tentang sastera, pretensi intelektual dan pretensi akademik ini dilahirkan melalui retorik peragaan dan fatamorgana bahasa.  Melalui retorik peragaan, disenaraikan segala pujian dan sanjungan yang tidak dibuktikan; dengan menggunakan fatamorgana bahasa, antaranya eksperimental, kelainan, perubahan, penerokaan tema baru, intelektualiti, dan banyak lagi yang anda boleh kumpul dengan mudah yang terdapat dalam tulisan para sarjana ciritan ini.

Anda mahu contoh? Saya telah memberi contoh yang banyak dalam blog ini, oleh itu tidak perlu diulang di sini. Sesiapa yang berminat, sila semak kembali tulisan yang lepas-lepas yang disiarkan dalam blog ini.  Perbincangan yang terperinci telah diberikan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir yang dimuat dalam edisi 2 buku Gagasan Persuratan Baru:  Pengenalan dan Penerapan.  Saya sendiri telah menulis satu analisis panjang penilaian novel Kawin-kawin oleh Azizi Abdullah dalam satu kertas kerja yang panjang, dibentangkan dalam “Seminar Jenaka Nusantara” (2003), anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka dan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Contoh terbaik tentu saja Laporan Anugerah Sastera Negara.  Selain dari itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan “Seminar Pemikiran SN” dan telah menghasilkan tidak kurang dari 200 kertas kerja yang kaya dengan retorik peragaan dan fatamorgana bahasa dalam konteks pretensi intelektual dan pretensi akademik. Beberapa kertas kerja seminar ini telah saya ulas dan komen dalam blog ini. Apa lagi yang anda mahu? Kalau masih tidak jelas, maka anda telah membuktikan betapa meluasnya pandirisme dalam kegiatan kritikan dan akademik kita, sehingga orang tidak sedar bahawa dia berada dalam budaya pandirisme.  Bukti bahawa pandirisme telah dijadikan arus perdana dalam bidang akademik dan kritikan sastera. Barangkali inilah maksud kelainan dan pembaharuan yang sering disebut dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara.

Supaya tidak terlalu menghampakan pembaca blog ini, saya ulang di sini beberapa contoh pretensi intelektual untuk anda semua teliti sama ada pretensi intelektual itu benar-benar wujud, atau tidak lebih dari sangkaan belaka.  Jikalau kita ingin berbicara tentang aspek intelektual dalam Islam, kita harus kembali kepada epistemologi Islam yang mencorakkan worldview Islam. Jika kita tidak menjadikan epistemologi Islam itu sebagai asas pembicaraan kita, maka apakah jenis worldview yang ingin kita ketengahkan? Kalau kita tidak jelas dalam aspek ini, maka kita tidak berbicara tentang Islam, tetapi tentang perkara lain yang asing, yang tidak kena mengena dengan Islam. Inilah yang terjadi dalam laporan yang disediakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Oleh itu, apabila Panel ingin meletakkan Kemala sebagai pensajak antara bangsa yang menggunakan alusi “universal” (?), maka dia memuji Kemala kerana mengambil contoh Mark Antony dan Cleopatra sebagai contoh. Ini disebut dalam konteks Kemala sebagai pensajak sufi, kononnya. Demikian juga novel Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan sebagai contoh karya intelektual yang berciri Islam, padahal kedua-duanya tidak menayangkan worldview Islam.  Oleh itu, Islam jenis apa yang cuba dipromosi oleh Anwar Ridhwan? Kita hendak tahu dan kita mempunyai hak untuk tahu dan diberitahu. Kerana ini tidak jelas, maka kesimpulan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas perihal para sasterawan ini sebagai golongan pinggiran yang “cetek meraba-raba” adalah tepat.

Betapa lemah dan kaburnya sistem dan ukuran yang kita pakai dalam membuat pilihan karya kreatif dan akademik untuk diberi hadiah, dapat kita lihat dengan mata terbeliak kerana terlalu terkejut apabila sebuah buku kajian, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia (2012) terpilih sebagai pemenang bahagian kajian dan kritikan.  Adakah buku ini benar-benar bermutu? Adakah buku seperti ini kita perlukan?  Apakah manfaatnya mempunyai buku seperti ini? Untuk soalan pertama, tentang mutu atau kualiti intelektual buku ini, kita boleh menjawab dengan mudah jika kita kembali kepada aspek epistemologi tadi. Buku ini mempromosi budaya hedonisme dengan menerima karya picisan dan lucah dari Indonesia sebagai salah sebuah karya penting yang menentukan apa yang disebut “puitika sastera wanita”.  Sudah jelas dari segi asasnya terang-terang bertentangan dengan epistemologi Islam, oleh itu apa yang disebut sebagai “puitika sastera wanita” ialah kelucahan wanita Barat yang dibawa ke negara ini dalam bentuk feminisme yang boleh menyesatkan wanita Islam dan merendahkan moral wanita bukan Islam. Semua penjelasan  yang diberikan dalam buku ini, atau sebahagian besarnya, mengenai kebebasan wanita seperti yang ditakrifkan dalam budaya hedonisme Barat. Inikah nilai baru yang diperlukan oleh wanita Islam? Soalan ini akan menjawab soalan kedua di atas, dengan penegasan bahawa kita tidak perlukan buku yang boleh menjatuhkan maruah kaum wanita yang patuh kepada suami dan bapanya dan keluarga lelakinya. Dengan itu jelas, buku seperti ini tidak mempunyai manfaat  intelektual dan tidak pula manfaat moral. Dari perspektif intelektual, idea yang dipaparkan dalam buku ini adalah bertentangan dengan epistemologi Islam, oleh itu boleh menyesatkan orang Islam, terutama kaum wanitanya. Idea yang ditawarkan dalam buku ini akan menimbulkan konflik yang boleh meruntuhkan sistem berkeluarga orang Islam, dan cenderung untuk mengajar kaum wanita untuk menjadi kurang ajar dan bertindak kurang ajar,  persis seperti yang berlaku di Barat. Jika kita kembali kepada epistemologi Islam untuk menilai buku seumpama ini, maka kita akan dapati buku seperti ini adalah jenis  buku picisan dari segi ideanya dan keliru dari segi penghujahannya. Dengan mengambil bulat-bulat pandangan seorang sarjana Barat untuk dipadankan dengan karya tertentu dalam sastera Melayu dan Indonesia, maka kita hanya menjadi polong budaya, merayau-rayau mencari kepala yang hilang, the homeless mind.

Tetapi buku ini mendapat pujian dan sanjungan yang amat tinggi daripada seorang profesor sastera yang terkenal, Prof. Hashim Awang.  Beliau pernah beberapa kali menjadi salah seorang anggota Panel Anugerah Sastera Negara, oleh itu pandangan beliau penting diberi perhatian kritis. Beliau juga terkenal  dengan satu kaedah yang berasaskan cara hidup dan budaya Melayu, dengan aspek Islam sebagai “tunjang” (?). Beliau namakan pendekatan kritikan itu “Pengkaedahan Melayu”.  Seperti juga Prof. Muhammad Haji Salleh tidak berminat menggunakan kaedah ciptaan beliau untuk menilai karya beliau sendiri, maka demikian juga Prof. Hashim Awang ini pun tidak berminat, mungkin juga menolak, penggunaan kaedah beliau sendiri ketika menilai buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia.  Dalam ulasannya yang berjudul, “Kajian Sastera Ampuh dan Bertenaga” (Dewan Sastera, Mac 2014), beliau memberi pujian dan sanjungan yang sangat tinggi terhadap buku ini. Antara lain katanya: “buku ini mendapat sambutan baik dan memberikan impak yang positif dalam kalangan sarjana dan mahasiswa di institusi pengajian tinggi di Malaysia, Indonesia dan Singapura… Buku ini memiliki nilai ilmiah yang tinggi. … keilmiahan buku juga terserlah pada penemuan  yang keseluruhannya dapat dikatakan sebagai baharu dan asli. … pengkaji menggunakan landasan dan teori kajian yang ternyata baharu, segar dan penuh cabaran. Landasan teori ini pula dapat dikuasai pengkaji dengan begitu baik, kukuh dan meyakinkan. Dengan demikian, setiap huraiannya terlaksana dengan lancar dan mantap, serta mudah pula diikuti oleh pembaca. … pengkaji benar-benar melaksanakan kerjanya dengan penuh dedikasi dan jujur. … Pengkaji dapat mengumpulkan dan meneliti bahan asas yang tepat, asli dan penting. … Begitulah, buku kajian ini ternyata mempunyai banyak kelebihan. … (1) dapat memperlihatkan gambaran perkembangan sejarah dan ciri khusus penulisan novel ciptaan pengarang wanita. … (2) kajian ini turut berjaya menimbulkan jati diri  pengarang wanita dalam pelbagai aspek. … (3) buku kajian ini berjaya mengemukakan dan menerapkan teori feminisme yang dipanggil Ginokritik. Kita bukan sahaja dapat memahami teori tersebut, malah turut dapat memperlihatkan kesesuaiannya untuk diterap pada karya sastera Melayu dan Indonesia yang dihasilkan oleh pengarang wanita, walaupun bernafaskan Barat. … kita dapat menjadikan buku kajian ini sebagai contoh yang baik dalam penulisan karya ilmiah.”

Seperti yang dapat kita lihat, pujian dan sanjungan ini hanya berupa retorik peragaan yang biasa kita lihat dalam tulisan para sarjana kita, dengan dibumbui fatamorgana bahasa seperti kata-kata “impak yang positif”, “nilai ilmiah yang tinggi”, “kukuh dan meyakinkan”, “baharu dan asli”, “contoh yang baik dalam penulisan karya ilmiah”, dan banyak lagi yang boleh anda baca dalam kutipan yang disalin di sini dan juga dalam tulisan profesor ini. Semua pujian dan kata-kata dalam bentuk fatamorgana bahasa ini tidak mempunyai nilai ilmiah, malah sangat mengelirukan.  Semuanya tidak mempunyai asas ilmiah yang boleh kita nilai dengan objektif. Apakah landasan ukuran yang berada dalam otak seseorang apabila dia mengemukakan rentetan retorik peragaan dan bumbu fatamorgana bahasa? Dalam kes Prof. Hashim Awang ini, sudah jelas beliau menolak mentah-mentah Pengkaedahan Melayu beliau sendiri, dengan tidak meneliti pujian dan sanjungan itu daripada perspektif kaedah yang beliau cadangkan. Dengan itu cukup jelas, beliau sendiri sedar kaedah beliau tidak boleh dipakai untuk menilai karya ilmiah dan karya akademik kerana kaedah itu sendiri tidak mempunyai dasar ilmu yang kukuh, hanya sejenis ramalan kasar dan keliru tentang kaedah dalam kritikan dan kajian sastera.  Amatlah aneh apabila beliau memuji kaedah kritikan yang dinamakan feminisme itu tanpa melihatnya dalam konteks yang ditekannya dalam kaedah yang beliau sarankan, iaitu worldview Melayu dan Islam. Beliau harus menjelaskannya, kerana seorang profesor mempunyai tugas dan tanggungjawab ilmiah yang tidak boleh dilempar begitu saja ke dalam sampah akademik setelah beliau sendiri dengan gigih dan yakin menulis dan membicarakan kaedah beliau begitu lama. Mengapa para pembaca yang sedang belajar menjadi cerdik seperti saya dinafikan daripada mendapat manfaat pemikiran mendalam seorang profesor utama seperti beliau?  Saya tidak keberatan jikalau beliau memilih untuk tenggelam dalam retorik peragaan dan meraba-raba dalam kabus fatamorgana bahasa; tetapi beliau harus memberi tahu  kita mengapa beliau memilih untuk berada dalam kekeliruan itu. Beliau harus menunjukkan kemurahan hati seorang ahli ilmu untuk membantu pembaca memahami pendirian beliau.  Adakah betul andaian saya beliau sudah menolak Pengkaedahan Melayu yang beliau cadangkan itu?

Tidak sia-sia saya memulai Balai Maqamat dengan seloka “Sarjana Ciritan” untuk menjadi peringatan kepada para sarjana kita bahawa mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab ilmiah mereka dengan mempersetankan pandangan orang lain padahal penjelasan mereka amat diperlukan. Saya tolak mentah-mentah pujian dan sanjungan Prof. Hashim Awang terhadap buku Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia ini, hanya kerana satu sebab, kerana pujian dan sanjungan itu bertentangan dengan kaedah yang beliau sendiri sarankan dalam pendekatan Pengkaedahan Melayu tajaan beliau.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10/10/2014.




7 comments:

  1. Salam Tuan Haji yang dihormati.

    Tuan Haji mengkritik Prof. Hashim terlalu keras. Mungkin Tuan salah faham. Walaupun hujah Tuan mantap, tetapi Tuan telah melukakan perasaan seorang sahabat Tuan. Mohon maaf jika saya sendiri terkasar.

    ReplyDelete
  2. Salam encik affandi, saya gemar baca kritikan2 sastera yang dibuat oleh saudara. Saudara ada baca novel perempuan nan bercinta- faisal tehrani? Mungkin boleh kritik untuk saya sebagai pembaca dan peminat sastera memahami dari sudut pandang saudara affandi. Ditunggu kritikannya :)

    ReplyDelete
  3. Salam Anonymous pertama

    Saya tertarik dengan pandangan saudara walaupun saya kira pandangan itu terlalu picisan. Dalam dunia intelektual baik di Barat mahupun dalam sejarah Islam, tiada istilah 'jaga hati' tetapi yang diutamakan ialah kebenaran khususnya dalam konteks ini kebenaran ilmu. Apabila kita kembali kepada tradisi intelektual Islam, kita akan dapati perbahasan antara Imam Al Ghazali dengan Imam Ibn Taimiyah yang lebih agresif hujahannya semata-mata untuk mempertahankan kebenaran. Mengapa? Kerana khuatir hujah yang keliru akan mempengaruhi masyarakat yang juga keliru. Begitu juga bagaimana tradisi intelektual Islam memberikan teladan berdasarkan kisah para pencetus mazhab yang empat. Saudara dan kita perlu susur galur kembali tradisi intelektual kita ini, barulah tidak akan terasa hati. Mereka berikan kita teladan yang baik dalam menyuburkan dan mengembangkan ilmu, mengapa tidak mahu dimanfaatkan? Kita menoleh sebentar ke tradisi intelektual di Barat yang begitu disenangi dalam sastera Melayu kita. Kita lihat bagaimana teori Sigmund Freud dianggap gila oleh anaknya iaitu Ana Freud sendiri. Juga, bagaimana Jaques Lacan yang pada awalnya penganut setia teori psikoanalisis Freud akhirnya mengkritik pula teori tersebut dan kemudiannya mencetuskan teori psikologinya yang tersendiri. Dalam tradisi sastera Melayu moden tidak ada situasi seperti ini, justeru tulisan-tulisan umpamanya tulisan Mohd. Affandi ini dianggap sangat biadap, walhal inilah adab dalam mempertahankan kebenaran ilmu. Untuk membiasakan diri dengan kritikan yang begini, kita perlu paksa diri mengenali tradisi intelektual Islam dan tradisi intelektual Barat yang dalam konteks penyuburan ilmu, sentiasa terbuka. Apabila kita kenal dua tradisi intelektual ini, barulah kita lebih enjoy meraikan ilmu dan hujah.

    Kepada Anonymous kedua, daripada saudara bertanya sama ada blogger ni baca Perempuan Nan Bercinta atau tak, baik saudara pergi perpustakaan dan pinjam novel Pujangga Melayu Mohd. Affandi sendiri. Lepas saudara baca, then saudara tahu antara novel FT dengan Mohd. Affandi, bagai langit dengan bumi. Satu dipenuhi dengan taburan maklumat, yang satu lagi bagaikan taman-taman indah yang di dalamnya terhias wangian-wangian ilmu yang menyenangkan.

    wallahua'alam

    Penang

    ReplyDelete
  4. Salam Khadijah Musliha

    Saya setuju dengan awak. Komen awak buat saya teringat kisah junjungan besar Nabi kita yang bertegas akan memotong tangan Saidatina Fatimah sendiri jika anak kesayangannya melakukan kesalahan mencuri. Dalam hal tentang kritikan Affandi pada Hashim Awang, memang saya kira relevan sebab saya dah baca tulisan Hashim Awang yang disentuh Affandi (tentang pandangan Hashim mengenai buku Dr Norhayati dalam Dewan Sastera), plus saya pun baca juga buku dr norhayati itu. Jadi dalam konteks kritikan Affandi tentang mengapa Hashim Awang tak guna teorinya sendiri utk analisis buku itu, memang menimbulkan persoalan dan Hashim sebagai ahli akademik mestilah bertanggungjawab atas tulisan dan tindakannya. Pertama, kewajaran beliau tak guna teori sendiri utk baca buku dr itu. Kedua, kewajaran dia puji buku itu walaupun kandungannya jelas memuji usaha novelis wanita yang berani keluar dari klise dengan menulis karya2 yang ada unsur erotik dan porno seperti novel Saman itu. Bab-bab akademik macam ni, mana boleh feeling feeling. Hujah lawan hujah. Fakta lawan fakta.

    Tuan Mohd. Affandi, terima kasih sebab terus menulis untuk generasi cerdik pandai.


    Pelajar Kritis
    UKM

    ReplyDelete
  5. Salam Tn. Hj. Affandi, dalam entri terdahulu Tn. ada menyatakan bahawa karya Tn. yang berjudul "Hikayat Buyung Lurus" tidak jadi diterbitkan oleh ITBM. Apakata Tn. cuba bawa manuskrip tersebut ke Ameenbooks untuk diterbitkan. Rasanya mereka sudi untuk terbitkannya. Sekadar memberi pandangan. Salam.

    ReplyDelete
  6. "lepas saudara baca, then saudara tahu antara novel FT dengan Mohd. Affandi, bagai langit dengan bumi. Satu dipenuhi dengan taburan maklumat, yang satu lagi bagaikan taman-taman indah yang di dalamnya terhias wangian-wangian ilmu yang menyenangkan"

    Oh my god, i can't even begin with this exaggeration.

    ReplyDelete
  7. Terima kasih. Pasti saya akan mencari buku saudara affandi. Baru selesai baca mimpi rakyat. Hebat dan kreatif. Berkenaan Perempuan Nan Bercinta. Dalam novel itu ada menyebut persuratan baru yang dibawa oleh saudara. Dan katanya tidak mengikut.... (maaf saya lupa). Apa2pun. Teruskan kritikan begini. Saya suka baca. Kalau bukan saudara affandi, siapa lagi yang akan kritik mereka. Seolah2 apabila seseorang itu sudah beroleh anugerah atau gelaran. Maksum dan tidak ada yang menegur.

    P/s: masih mengharap saudara Affandi kritik beberapa karya. :)

    Wassalam.

    ReplyDelete