Terdapat pembaca yang
bertanya, mengapa Balai Maqamat tidak mempunyai watak utama? Watak-wataknya
lebih banyak watak samaran, yakni watak yang memakai nama samaran. Mengapa?
Dalam karya ini, nama tidak diperlukan, kecuali bila tidak dapat dielak,
seperti di dalam “Pertemuan Dua Rohani”.
Inilah antara ciri (antaranya, bukan semuanya dan bukan pula syarat
penting) sebuah karya persuratan. Secara
khusus karya ini ingin berbicara tentang idea atau konsep korupsi dalam kehidupan
manusia Malaysia. Bagaimana korupsi itu
muncul dalam pelbagai kegiatan manusia Malaysia. Misalnya, dari segi pemikiran,
yang ditonjolkan dalam episod pertama, dihuraikan aspek yang berbeza antara
pandai tulis dengan pandai mengarang. Pembahagian ini penting kerana antara
keduanya tidak sama hasil yang diwujudkan. Dalam pandai tulis, yang ditekankan
ialah cerita; sementara dalam pandai mengarang yang ditekankan ialah wacana. Dalam pandai tulis, cerita dilihat dalam
konteks beberapa konsep yang kini sudah menjadi klise, seperti plot,
perwatakan, latar, dialog dan lain-lain yang ditekankan dalam pendekatan
formalistik. Dalam pandai mengarang yang memberi tumpuan kepada wacana, cerita
ditempatkan dalam ruang naratif, dengan itu cerita tidak lagi memainkan peranan
utama untuk membina karya; sebaliknya wacana bersifat pemikiran itulah yang
mengambil tempat utama, supaya hasilnya tertumpu pada pembinaan idea, bukan
hanya cerita seperti dalam karya sastera. Kekuatan daya kreatif seseorang
pengarang dilihat dari kemampuan intelektualnya menghuraikan idea atau
pemikiran yang diberi ruang yang jelas supaya idea itu dapat dilihat
kedudukannya dalam keseluruhan karya persuratan itu. Hal ini tidak terjadi dalam karya sastera,
yang hanyut dalam cerita. Semua karya para sasterawan negara termasuk dalam
kategori kedua ini, oleh itu pemikirannya kabur, keliru dan tidak terurus
secara intelektual. Anda boleh lihat kebenaran kesimpulan ini dengan meneliti karya
para sasterawan negara. Di samping itu, anda juga dapat melihat betapa naifnya
penilaian yang dibuat oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Inilah aspek
pandirisme dalam kegiatan kreatif dan intelektual di Malaysia, yang dipanggil
oleh Prof. Harry G. Frankfurt sebagai bullshit. Pembahagian kepada karya sastera dan karya
persuratan membolehkan kita melihat nilai sebenar karya sastera dibandingkan
dengan karya persuratan yang berteraskan konsep ilmu yang benar. Kita juga
dapat melihat pembinaan mitos palsu terhadap para sasterawan negara sebagai
“pemikir” walaupun aspek pemikiran itu tidak muncul dengan jelas dan tepat
dalam karya mereka. Ini pun contoh
bagaimana pandirisme dijadikan asas dalam penilaian karya kreatif kita. Oleh itu kita boleh berkata bahawa kita
mempunyai hujah yang kuat untuk membuat kesimpulan bahawa pemilihan para
sasterawan negara kita menjadi bukti betapa mendalamnya pandirisme dalam dunia
kreatif kita dan juga dalam kesusasteraan Melayu. Panel Anugerah Sastera Negara akan kelihatan
amat naif dan agak tolol jika penilaian mereka dinilai dengan kritis berasaskan
prinsip-prinsip yang dijadikan ukuran dalam gagasan Persuratan Baru. Siapakah
yang akan menguji kesimpulan ini? Tentu bukan Panel Anugerah Sastera Negara
sendiri. Para sarjana ciritan tidak
mungkin melakukannya, kerana mereka
harus melakukan dua perkara: mempertahankan Panel Anugerah Sastera negara; dan
menolak gagasan Persuratan Baru. Yang
pertama itu tidak mungkin mereka lakukan kerana kecetekan pengetahuan mereka
tentang teori sastera Barat sekali pun; yang kedua itu akan membuat mereka
berada seperti yang digambarkan dalam peribahasa Melayu, seperti cacing
kepanasan. Tetapi kedua-dua tindakan ini
penting dilaksanakan, jika kita benar-benar serius tentang arah perkembangan
kritikan sastera Melayu.
Dilihat dalam konteks
inilah maka Balai Maqamat muncul
sebagai sebuah karya yang unik. Karya
ini mencabar para sarjana untuk menolaknya sebagai karya tidak bermutu dengan
menggunakan apa juga teori sastera Barat yang diketahui oleh sarjana berkenaan.
Dua perkara akan terjadi: karya ini benar-benar tidak bermutu; atau teori yang
digunakan itu tidak berupaya menyelam ke dalam makna yang terkandung di dalam
karya ini. Jika ini terjadi, maka Prof. Dr.
Muhammad Haji Salleh mempunyai hujah yang mantap apabila beliau berkata
teori Barat itu tidak sesuai digunakan untuk menilai karya kita yang ditulis
berasaskan premis yang berbeza daripada yang dapat difahami dan dicapai oleh
teori sastera Barat. (Lihat pandangan beliau dalam Teori dan
Kritikan Sastera Melayu Serantau (DBP 2005, hal. 14). Beliau menegaskan,
sudah puluhan tahun kita menggunakan teori sastera Barat “untuk menilai diri
kita yang bukan Barat”, kerana itu “kita sudah lama telah melakukan kesalahan
dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.”) Pengakuan ini
penting untuk dijadikan peringatan kerana datangnya daripada seorang sarjana
terkenal di Malaysia, yang juga seorang sasterawan negara. Tetapi beliau sendiri tidak berminat, sebagai
seorang ahli akademik yang berwibawa, untuk memeriksa beberapa percubaan
sarjana tempatan dalam menangani masalah ini. Katanya: “Teori sastera kita
belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam”. Beliau tidak sedar
(suatu perkara yang amat pelik) ketika itu sudah muncul gagasan Persuratan
Baru. Adakah kesimpulan beliau itu berasas? Tidak sia-sia jika saya mulai Balai Maqamat dengan sebuah seloka, “Sarjana Ciritan.” Walaupun kritikan beliau terhadap teori Barat
itu boleh dijadikan tajuk perbincangan akademik yang menarik, namun beliau
mematikannya di situ saja, sekadar satu ocehan tidak bermakna, kerana beliau
sendiri menghadapi kebuntuan akademik
yang teruk, oleh itu pandangan beliau itu mati beragan. Tidak seorang
pun pengguna teori sastera Barat berminat untuk membincangkannya dengan
mendalam (NB: ingat Muhammad Haji Salleh berkata tidak ada teori sastera Melayu
yang mendalam dan menyeluruh!) kerana takut terkena batang hidung sendiri
sebagai pengguna teori yang sedar akan kelemahannya tetapi masih menggunakannya
kerana hanya itulah saja yang diketahui mereka, yang tidak juga secara
mendalam. Saya telah menyinggung perkara ini ketika mengkritik Prof. Madya
Arbak Othman yang memuji tinggi “kemampuan intelektual” Prof. Muhammad Haji
Salleh, tetapi tidak sampai kepada satu kesimpulan yang boleh dijadikan
pegangan, seolah-olah membuktikan teori semiotik yang digunakannya itu tidak
mampu membicarakan kualiti pemikiran Muhammad Haji Salleh dan memberi tafsiran
yang betul terhadap sajak-sajak beliau. Sekali lagi Muhammad Haji Salleh nampak
seolah-olah telah menyatakan sesuatu yang betul dalam pandangannya, tetapi
terbabas begitu jauh apabila usaha Arbak Othman hendak menonjolkan kualiti
sajak-sajak Muhammad Haji Salleh telah gagal, bukan kerana teori semiotik itu
tidak boleh dipakai, tetapi kerana sajak-sajak itu sendiri tidak berupaya
mencapai standard yang digembar-gemburkan selama ini. Dengan itu teori semiotik
telah membuktikan sajak-sajak sasterawan negara ini sebenarnya tidak bermutu,
hanya sejenis permainan kata-kata yang mencapai tingkat ocehan dan idle talk saja, seperti yang disebut
oleh Martin Heidegger.
Sekarang anda mempunyai
peluang yang amat baik dan terbuka luas untuk mengkritik Balai Maqamat dan gagasan Persuratan Baru yang menjadi dasar
penulisan karya itu. Saya menegaskan
inilah contoh karya persuratan yang dari segi nilai pemikirannya jauh
meninggalkan karya sastera yang dihasilkan oleh para sasterawan negara sekali
pun. Anda boleh cabar kesimpulan ini dengan mudah kerana pada waktu ini ahli
akademik Malaysia mempunyai selonggok teori sastera Barat yang boleh digunakan
dengan selesa untuk menolak kesimpulan ini. Jika anda berjaya melakukannya,
maka anda telah membuktikan kesahihan pandangan Prof. Muhammad Haji Salleh yang
mengatakan teori Barat tidak sesuai digunakan untuk menilai karya pengarang Melayu.
Apakah implikasinya? Inilah
yang amat menarik,
kerana implikasinya melucukan. Ada dua kemungkinan: pandangan Muhammad Haji
Salleh betul, oleh itu nilai Balai
Maqamat tidak boleh ditentukan oleh teori sastera Barat. Kemungkinan kedua,
teori sastera Barat yang digunakan itu membuktikan Balai Maqamat tidak bermutu, dengan itu pandangan Muhammad Haji
Salleh salah, kerana ternyata teori sastera Barat memang boleh digunakan untuk
menilai dengan tepat karya sastera Melayu. Yang lucunya ialah kedua-dua
kemungkinan ini tidak definitif, baru pada peringkat acahan saja, tidak meyakinkan. Sama ada karya itu bermutu atau tidak
ternyata tidak dapat ditentukan oleh teori sastera Barat, oleh itu terdapat
kesukaran untuk menolak karya itu. Tetapi ada kemungkinan lain, iaitu teori
yang digunakan itu tidak sesuai untuk menilai karya itu, dengan itu yang lebih
tepat ialah karya itu boleh ditafsirkan mengikut teori itu. Inilah yang
dilakukan oleh Arbak Othman ketika membicarakan kualiti intelektual Muhammad
Haji Salleh dalam sajak-sajaknya, dengan menggunakan teori semiotik; tetapi di
sini pun terdapat masalah besar, kerana tafsiran yang dilakukan hanya sejenis
agakan yang tidak pasti, dengan itu kualiti pemikiran atau kualiti intelektual
Muhammad Haji Salleh tidak dapat diserlahkan. Dua perkara terjadi: sajak-sajak
beliau memang tidak bermutu; atau teori semiotik tidak boleh digunakan untuk
menilai sajak-sajak itu. Tentu saja Muhammad Haji Salleh memilih yang kedua;
manakala saya pula memilih yang pertama.
Kalau kita terima kemungkinan pertama, kita sebenarnya menegaskan bahawa
karya beliau memang bermutu tinggi, sehingga tidak terjangkau oleh teori
semiotik sekali pun. Apa pandangan Prof. Madya Arbak Othman? Lucunya di sini
ialah kita secara tidak sedar sedang menggunakan teori keldai di kincir air,
yang berjalan begitu jauh, tetapi tidak ke mana-mana.
Nampaknya kita
menghadapi masalah ini kerana tidak membaca karya itu dengan betul. Masalah
membaca dengan betul ini memang diberi perhatian penting oleh gagasan Persuratan
Baru, yang mengemukakan dua mod bacaan: mod bacaan intelektual, dan mod bacaan
cerita. Sajak-sajak Muhammad Haji Salleh
dan semua karya sasterawan negara hanya boleh dibaca dalam mod bacaan cerita
untuk memastikan karya itu tidak terlalu menghampakan. Sebaik saja dibaca
dalam mod bacaan intelektual, maka nilai
karya itu bertukar menjadi karya biasa saja, tanpa sebarang keistimewaan yang
digembar-gemburkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para penulis kertas
kerja tentang pemikiran sasterawan negara. Dalam kerangka analisis yang
digunakan dalam gagasan Persuratan Baru, dibezakan antara wacana dan cerita,
dengan penjelasan bahawa wacana memberi tumpuan kepada pemikiran dan idea dalam
konteks konsep ilmu yang benar; manakala cerita pula diutamakan dalam karya
sastera. Implikasinya sangat besar, boleh jadi juga akan mengejutkan para
sasterawan dan sarjana sastera. Dengan adanya kategori karya persuratan, yang
berteraskan konsep ilmu yang benar, maka kedudukan karya sastera, yang
mengutamakan cerita, berada di bawah karya persuratan, dengan itu tidak lagi
dapat diletak setaraf dengan karya persuratan kerana karya sastera tidak
mementingkan ilmu dan wacana. Kesimpulan ini boleh dibuktikan dengan mudah jika
kita ambil beberapa contoh karya sasterawan negara yang ditulis selepas mereka
menerima anugerah itu. Karya Anwar Ridhwan Naratif
Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan
dikatakan oleh sebahagian sarjana sebagai karya berwacana ilmu, tanpa sebarang
hujah yang boleh diterima. Apakah konsep ilmu yang diserlahkan dalam karya itu? Pada dasarnya tidak ada; yang
tertonjol ialah rentetan cerita yang disambung-sambung seperti yang biasa
dibuat dalam novel biasa, yakni novel cerita. Anda mungkin bertanya: So what? Apa salahnya? Pertanyaan itu
sendiri membenarkan pengutamaan cerita daripada pengolahan idea yang bersifat
pemikiran, yang menjadi teras karya persuratan. Dengan membaca karya itu dalam
mod bacaan intelektual, kita dapati karya itu tidak boleh berdiri sebagai
sebuah karya intelektual yang mementingkan idea dan pemikiran. Naratif Ogonshoto adalah sebuah cerita penglipur lara moden, bukan sebuah
karya persuratan yang mementingkan ilmu. Kisahnya penuh sensasi yang
dibuat-buat untuk mendatangkan kesan kegerunan palsu yang tidak menginsafkan,
malah membuat kita berasa cemuh dan
bosan kerana terlalu banyak disogok dengan kejahatan. Apakah motif pengarang menjadikan wataknya
begitu sadistik? Hanya dengan suatu motif, untuk mensensasikan peristiwa dan
kelakuan watak dengan matlamat untuk mendapat kesan dramatik, yang sebenarnya
tidak ada. Karya begini memang layak ditulis oleh seorang sasterawan yang suka
bercerita seperti seorang penglipur lara, bukan karya seorang pujangga yang
teliti dari segi pengolahan idea. Paling
ketara dalam karya ini ialah tiadanya sedikit pun imbasan kebijaksanaan yang
membolehkan karya ini dijadikan bahan pendidikan yang boleh mencerdikkan pelajar.
Tidak ada unsur wit yang boleh menambat
hati dan merangsang daya intelek pelajar untuk mereka jadikan bahan perbincangan yang memperkaya pengalaman estetik mereka dan mempertajam
kesedaran moral mereka. Semua kritikan ini
mesti disanggah oleh para sarjana yang pernah memuji karya ini sebagai karya intelektual,
padahal karya ini lebih tepat dipanggil sebuah penglipur lara moden yang persembahannya
penuh sensasi yang dibuat-buat. Dilihat dari perspektif gagasan Persuratan Baru,
Naratif Ogonshoto mungkin lebih tepat
jika dikategori sebagai “karya picisan intelektual” yang penuh dengan pretensi intelektual,
padahal unsur intelektual sebenarnya tidak ada. Apakah unsur intelektual itu sudah
dibincangkan dengan mendalam dalam gagasan Persuratan Baru.
Karya intelektual sebenarnya
milik Balai Maqamat. Di situ terdapat
unsur wit yang boleh mencuit daya intelek seorang pembaca yang cerdik dan kritis.
Keseluruhan episod Polan Cupan ditulis untuk mencapai matlamat itu, untuk mengajak
pembaca yang cerdik dan kritis itu melihat segi-segi tersembunyi dalam dunia akademik
dan pendidikan yang meraikan pandirisme, dan di tengah-tengahnya terdapat seorang
guru yang sederhana, yang mempunyai sifat penyayang dan cintakan ilmu. Berbeza dengan
keadaan dalam “Masih Murid Lagi”, yang meraikan pandirisme sepenuhnya. Bolehkah sarjana ciritan menemui aspek kebijaksanaan
dan wit dalam Balai Maqamat?
Mohd. Affandi Hassan
Petaling Jaya, 8/10/2014.
No comments:
Post a Comment