Antara
kegiatan Dewan Bahasa dan Pustaka yang patut dipuji ialah penganjuran seminar
mengenai pemikiran sasterawan negara. Dalam setiap seminar ini, tidak kurang
dari 20 kertas kerja dibentangkan mengenai “pemikiran” setiap sasterawan
negara; dengan mudahnya kita telah mempunyai tidak kurang dari 200 kertas
“ilmiah” mengenai “pemikiran” dalam sastera Melayu yang dicetuskan oleh para
sasterawan negara, hasil “pemikiran” akademik para sarjana sastera kita yang
ramai itu. Adakah ini menjadi bukti keistimewaan karya para sasterawan negara
yang semuanya bermutu tinggi? Adakah ini pulalah yang menjadi bukti
kecemerlangan ilmiah para sarjana sastera kita? Dalam tulisan ini, saya akan
cuba membicarakan perkara ini untuk menjawab dua soalan penting ini. Saya belum nampak adanya sebarang minat dari
kalangan para sarjana sastera dan ahli akademik untuk membahaskan persoalan ini
kerana akan menyentuh kedudukan mereka sebagai sarjana dan ahli akademik.
Keadaannya seperti membuka pekung di dada, sesuatu yang tidak perlu dilakukan
untuk “keselamatan ilmu” dalam bidang sastera. Dengan kesedaran ini, kita akan
dapati para sarjana sastera akan menentang keras sebarang usaha untuk
membicarakan kegiatan akademik yang meragukan ini, yang akan menggugat status
quo yang mereka anggap sebagai sumber rezeki mereka. Dengan berlangsungnya
korupsi akademik dalam bidang penyelidikan sastera dan dalam “perkembangan”
kritikan sastera berasaskan teori Barat, maka
sebarang usaha untuk meletakkan kritikan
sastera Melayu di atas dasar tauhid akan ditentang supaya teori sastera Barat
boleh digunakan dengan selesa oleh para sarjana sastera yang percaya bahawa
tanpa teori sastera Barat, kritikan sastera Melayu akan lumpuh dan dengan itu
mereka akan kehilangan pekerjaan di universiti, kerana kehadiran mereka tidak
relevan lagi. Kedudukan ini mendapat sokongan daripada para sasterawan,
yang berasa beruntung mendapat pembelaan dalam bentuk pujian dan sanjungan
daripada para sarjana ini. Semua perkembangan ini dimulai oleh Panel Anugerah
Sastera Negara melalui laporan yang mereka tulis untuk para sasterawan negara
yang mereka pilih. Jika kita meneliti perkembangan ini dengan kritis, kita akan
dapati terdapat usaha gigih dan berterusan untuk meneruskan korupsi akademik
dalam kritikan dan penyelidikan sastera di Malaysia. Terdapat dua cara atau
kaedah digunakan untuk memastikan status quo dalam korupsi akademik diberi
gambaran positif sebagai perkembangan yang perlu diteruskan, jika kesusasteraan
Melayu moden ingin dijadikan sebahagian daripada sastera dunia, satu idea yang
pernah dikemukakan oleh penyair Indonesia terkenal, Chairil Anwar: “Kita adalah
ahli waris sastera dunia”. Idea ini diterima dan dijadikan pegangan oleh
kumpulan Asas 50, dan masih diteruskan hingga sekarang terutamanya melalui
projek sasterawan negara dan semua kegiatan yang berkaitan dengan projek itu. Sejauh
mana kita telah diperdayakan oleh kumpulan ini? Tulisan ini akan cuba
menjawabnya. Dua kaedah itu akan dibincangkan di bawah.
Apakah Takrif Pemikiran yang Dipakai
Dalam Seminar Pemikiran?
Pada umumnya
semua kertas yang dibentang di dalam seminar pemikiran itu berbicara tentang
tema yang dapat dikesan dalam karya para sasterawan negara. Seseorang penulis
kertas kerja akan menetapkan tema yang dikatakan terdapat dalam karya tertentu
seseorang sasterawan negara, misalnya tentang kemiskinan, maka ditulislah
kertas kerja berasaskan tema itu. Tidak ada analisis, hanya cerita tentang
sasterawan berkenaan yang dikatakan prihatin tentang kemiskinan rakyat. Itulah
pola umum dalam hampir semua kertas kerja. Dengan itu, banyak perkara yang
seharusnya ditonjolkan, yang mungkin boleh mendekati takrif pemikiran, tidak
disebut. Contoh paling ketara dalam aspek ini ialah ketika membicarakan
sumbangan tokoh-tokoh Asas 50. Tidak sebuah kertas kerja pun meneliti kegiatan
Asas 50 dalam penghapusan tulisan Jawi dalam bahasa Melayu dan sastera Melayu,
sedangkan Asas 50 menjadi pejuang yang gigih untuk melihat tulisan Jawi tidak
lagi digunakan, yang menurut mereka menjadi penghalang kepada kemajuan sastera
Melayu dan pembangunan pendidikan di Malaysia. Akhbar Warta (Bil. 58, 6 April
1954) menyiarkan berita muka depan mengutip pandangan Asas 50: “Tulisan Jawi
tidak ada hubungannya sama sekali dengan agama Islam”. Walaupun aspek ini penting, dan kesan negatifnya sangat besar dalam kelangsungan persuratan Melayu,
tidak ada pakar sastera dan budaya yang menulis tentang para sasterawan negara
dari Asas 50 ini menghuraikan perkara ini. Selain dari itu, jenis sastera yang
cuba dimajukan oleh kumpulan Asas 50 ini tidak pernah dianalisis dengan
mendalam, oleh itu sekularisasi sastera Melayu moden yang menjadi agenda utama
Asas 50 tenggelam dalam kebisuan para sarjana yang menulis tentang pemikiran
tokoh-tokoh Asas 50 yang dipilih menjadi sasterawan negara. Adakah perbuatan ini
disengajakan? Apakah yang hendak ditutup dengan tidak membincangkan aspek ini
dalam seminar tentang pemikiran para sasterawan negara ini? Padahal inilah
aspek penting sumbangan “pemikiran” golongan Asas 50 ini, yang dengan sengaja
memutuskan tradisi persuratan Melayu yang kaya dengan unsur Islam itu dengan
membina kesusasteraan Melayu moden yang terpisah daripada unsur agama yang
menjadi warisan dalam kebudayaan Melayu itu. Pengaruh negatif projek Asas 50
ini amat besar dalam kesusasteraan Melayu moden. Ketika membicarakan karya
Anwar Ridhwan, khususnya novel beliau Penyeberang
Sempadan, dengan tidak bertanggungjawab sarjana yang menulis dan memuji
tentang novel ini sebagai karya intelektual yang berunsur Islam. Apakah jenis
Islam yang ditonjolkan dalam novel ini, jika terdapat unsur Islam? Amat jelas
Islam yang dijadikan peragaan itu adalah Islam yang dilihat daripada perspektif
sekular, dengan itu memberi makna yang salah serta menyeleweng daripada ajaran
Islam. Islamnya menjadi tempelan di akhir novel, tidak pernah dibincangkan
dalam teks yang panjang itu. Inilah salah satu pengaruh negatif daripada projek
Asas 50 yang tanpa disedari menjadi ikutan para sasterawan Malaysia. Pengaruh
negatif ini diikuti pula oleh para sarjana sendiri yang tidak membaca karya ini
dengan kritis, kerana minat mereka hanya untuk memuji dan mempertahankan tokoh
yang dipilih, seolah-olah inilah yang terbaik yang dijelmakan dalam sastera
Melayu moden.
Sebaliknya,
yang terjadi ialah pujian yang berlebihan dan melampau yang ditonjolkan dalam
kertas kerja, menggunakan gaya penulisan yang saya namakan “retorik peragaan”.
Kehebatan para sasterawan negara ini diperagakan begitu rupa untuk membina
sejenis mitos palsu di sekitar kegiatan mereka. Dalam keghairahan itu, kita
dapati yang diutamakan ialah memuji karya sasterawan negara ini dengan
pembuktian palsu bahawa karya itu memenuhi syarat teori tertentu yang dipilih
untuk membicarakan karya mereka. Contoh terbaik tentang kepalsuan retorik
peragaan ini ialah tulisan Prof. Madya Arbak
Othman mengenai SN Muhammad Haji Salleh, yang diberi judul yang penuh sensasi
dan bombastik: “Penstrukturan
Intelektual dalam Puisi Muhammad Haji Salleh: Suatu Penelitian
Semiotik”. (Seminar Pemikiran SN Muhammad Hj. Salleh, Dewan Bahasa dan Pustaka,
9-10 November 2010). Membaca tulisan ini meyakinkan kita bahawa yang perlu
distrukturkan ialah penulisan kertas kerja ini. Usaha penulis untuk memuja
Muhammad Haji Salleh menjadi sebaliknya, kerana tidak sebuah pun sajak yang
dijadikan contoh oleh Arbak Othman boleh digolongkan sebagai sajak yang bermutu,
sajak yang kaya dengan pemikiran. Kalau itulah yang terbaik, tetapi tidak
bermutu dari segi pemikiran, malah tidak ada pun pemikiran, yang tertonjol
hanyalah permainan bahasa, sejenis fatamorgana bahasa yang jelek dan
mengada-ada, maka bagaimana pula dengan kualiti sajak yang tidak dijadikan
contoh dalam kertas kerja ini? Ini
masalah besar yang perlu diselesaikan secara akademik, tanpa sebarang usaha
untuk bermuka-muka. Kegagalan Arbak Othman berbuat demikian memberi isyarat
kepada kita bahawa penilaian kita tentang pemikiran dalam karya kreatif perlu
diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, yang entah bagaimana ditolak oleh
Arbak Othman dan Muhammad Haji Salleh sendiri. Jika prinsip ini ditolak oleh
mereka, apakah prinsip yang mereka pakai? Namakan prinsip itu, jika kamu
benar-benar tergolong dalam kumpulan sarjana yang bangga dengan keunggulan
akademik kamu.
Dilihat
dalam konteks ilmu, institusi anugerah sastera negara ini tidak kena mengena
dengan perkembangan ilmu, malah lebih tepat jika dikategorikan sebagai
penjelmaan daripada Mutual Admiration Club yang diwujudkan untuk memperkasa
sekumpulan sasterawan “yang cetek meraba-raba” menjadi amat hebat melalui
penggunaan retorik peragaan dan fatamorgana bahasa. Perhatikan contoh ini untuk
memberi sedikit gambaran tentang makna pemikiran dan kebijaksanaan dalam puisi:
God turns
you from one feeling to another
and teaches by means of opposites
so that you will have two wings to fly
not one
(Rumi,
diterjemahkan oleh Camille dan Kabir Helminski, Rumi Daylight, hal. 143).
Seterusnya
sebuah lagi:
Lightning is
quick and unpredictable.
Only with a
clear mind you will know
the transient from the stable.
Lightning
laughs at those who would capture its light.
(hal. 142).
Perhatikan
baris ini, dan renung dengan mendalam: Only
with a clear mind you will know the transient from the stable.
Satu
peringatan dan pengajaran yang baik yang
tidak ada pada sasterawan dan sarjana
sastera yang “cetek meraba-raba”. Bagaimana kita boleh baca baris, “Lightning laughs at those who would capture its light.”? Kalau anda membacanya dengan mod bacaan
intelektual, anda akan mengerti baris ini ditujukan kepada orang-orang bodoh
yang tidak dapat membezakan “the transient from the stable”, yang hanya dapat
diketahui dengan adanya ilmu. Sekarang jelas apa yang dimaksudkan dengan
pemikiran; dikonkritkan lagi dengan baris ini pula: “God turns you from one feeling
to another and teaches by means of opposites”. Kedengarannya sangat mudah,
tetapi di situlah tersimpannya gedung ilmu dan kebijaksanaan yang diajarkan
oleh al-Quran, khususnya dalam Surah Yassin, ayat 36: 36 yang bermaksud: “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan
pasangan-pasangan (khalaq al-azwaj)
semuanya, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan diri mereka mahupun dari
apa yang tidak mereka ketahui”. Sekarang
anda dapat melihat keindahan burung yang
mempunyai dua sayap, dan anda akan mengerti bagaimana sayap burung itu
melambangkan rahmah tidak hanya kepada burung, tetapi juga kepada kita semua
yang melihat ibu burung berhenti seketika bila mendekati sarang membawa makanan
kepada anaknya. Cara Rumi mengajar pembacanya sudah saya contohkan melalui
puisinya tentang bunga mawar dan durinya (rujuk pos yang lepas). Itulah maksud pemikiran, yang kita tidak
dapat dalam sajak-sajak para sasterawan negara.
Walaupun
kritikan saya terhadap karya sasterawan negara agak keras, namun saya terbuka
untuk dinilai dengan lebih keras dengan menagan karya saya sendiri untuk
dinilai sehabis kritis oleh sesiapa saja yang berkata saya hanya pandai
mengkritik, tetapi tidak berupaya melahirkan karya kreatif yang dapat
menandingi karya para sasterawan negara yang paling buruk sekali pun. Saya
cukup berminat hendak tahu karya para sasterawan negara yang paling buruk itu,
berapa peratus dari jumlah karya terbaik mereka. Satu permintaan yang sangat
wajar, dan berpatutan kerana kita mesti tahu kualiti karya para sasterawan
negara kita sendiri. Dalam perhitungan
saya, karya sasterawan negara yang boleh tahan baiknya, bukan yang terbaik,
berada dalam lingkungan kurang dari 10%; selebihnya, 90% hanya lebih baik
sedikit daripada karya picisan. Dalam hal ini, saya ingin menegaskan bahawa Salina karya A. Samad Said saya
kategorikan sebagai karya picisan saja; demikian juga sebahagian besar karya
Shahnon Ahmad, termasuk Ranjau Sepanjang
Jalan, TIVI, dan kumpulan novel
mengenai Tuk Guru. Saya sampai kepada
kesimpulan ini setelah membaca karya-karya itu dalam mod bacaan intelektual. Mungkin penilaiannya agak berbeza jika dibaca
dalam mod bacaan cerita. Adakah ini
bermakna mod bacaan cerita sudah tidak relevan?
Kalau begitu, untuk kebaikan pembaca sendiri, kita harus menggalakkan mereka membaca dalam mod bacaan intelektual,
supaya mereka tidak membuang masa. Dengan cara itu, mereka dapat menilai karya
itu dengan lebih tepat dan objektif. Sajak-sajak Muhammad Haji Salleh, Baha
Zain, A. Samad Said, Usman Awang, dan Kemala, jika dibaca dalam mod bacaan
intelektual, akan muncul sebagai sajak-sajak topikal yang kaya dengan retorik
dalam konteks fatamorgana bahasa, tidak ada idea menarik yang membolehkan kita
membaca sajak-sajak itu berulang kali kerana kekuatan pemikirannya. Kita akan
huraikan perkara ini sekarang.
Retorik Peragaan dan Fatamorgana
Bahasa dalam Penilaian Karya Kreatif
Salah satu
ciri penting kritikan sastera Melayu ialah meluasnya penggunaan retorik
peragaan dalam membuat penilaian sesebuah karya kreatif atau seseorang
sasterawan. Seluruh laporan Panel
Anugerah Sastera Negara menggunakan teknik retorik peragaan ini dalam penilaian
mereka. Diturunkan beberapa contoh untuk memudahkan kefahaman.
(1) “Khusus mengenai gaya puisinya, Kemala telah
menggarap puisi yang lebih jelas, telus dengan pengucapan untuk penghayatan,
tanpa terlalu idiosinkratik dan kabur untuk dinikmati diksinya oleh pembaca.
Ertinya, dalam puisi beliau terdapat usaha yang tulen dan hakiki untuk
menyampaikan gagasan dan makna dalam lapisan pengucapan kata yang puitis serta
estetik tanpa terlalu banyak lapisan makna untuk mengabur atau bersikap
surealistik. Beliau menghadiahkan kepada perbendaharaan kesusasteraan Melayu
puisi yang indah, mempunyai gaya khas
yang tersendiri, dan sarat dengan renungan jiwa yang mendalam.”
(2) “Sebagai penyair yang berjiwa besar, Kemala
juga berani menggunakan alusi daripada budaya lain seperti rujukan kepada
Mark Anthony (sic) dan Cleopatra. … Justeru, alusi daripada berbilang budaya
menjadikan karya penyair ini universal. Namun demikian, Kemala tetap bersandar
kepada akar umbi Melayu dan ajaran Islam.”
(3) “Begitulah, pada hakikatnya Kemala ibarat
sebatang pohon yang tinggi dengan bunga-bunga yang harum di taman kesusasteraan
Melayu masa kini. Puisinya semerbak dengan wangian kerohanian yang dapat
menyuburkan kehidupan insani. … Beliau juga dikenal pada peringkat antarabangsa
melalui kehadiran dalam persidangan dan bengkel sastera sebagai pembentang
kertas kerja mahu pun ahli diskusi. Dengan perkataan lain, Kemala telah banyak
mengangkat sastera Melayu ke persada antarabangsa.”
Kehebatan
Kemala hanya berada dalam retorik peragaan yang disalin, tetapi tidak kelihatan
dalam sajak-sajak yang dijadikan contoh dalam laporan Panel. Kata-kata pujian
yang dideretkan dalam retorik peragaan itu adalah contoh fatamorgana bahasa
yang nampak seakan-akan ada, yakni bermakna, tetapi tidak ada, yakni tidak
bermakna. Hanya sejenis pelangi bahasa yang nampak seolah-olah indah, tetapi
kosong kerana tidak wujud kecuali dalam
kata-kata sahaja, tidak dalam realitinya. Itulah fatamorgana bahasa yang sering
kali digunakan secara berleluasa oleh pengkritik dan sarjana sastera. Lagi
pula, pemilihan contoh itu tidak tepat, misalnya alusi tentang Mark Antony dan
Cleopatra. Jika alusi ini dikaitkan dengan sajak-sajak sufi (?) ciptaan Kemala,
maka contoh ini sangat buruk dan barangkali memalukan Kemala sendiri, walaupun
satu ketika dalam hidupnya, untuk menyatakan sesuatu perasaan yang amat intim
dalam pengalaman kelelakiannya, maka dia menjadikan kisah Mark Antony dan
Cleopatra itu seolah-olah menggambarkan pengalaman percintaannya, tetapi bukan
pengalaman kerohanian yang bersifat kesufian seperti yang cuba ditunjukkan oleh
Panel Anugerah Sastera Negara. Tidak tahulah kepada siapa kita harus berasa
kasihan!
Dalam hal
ini, kesimpulan Allan Bloom dalam bukunya, Love
and Friendship, boleh membantu kita untuk melihat betapa naifnya contoh
alusi yang dipilih oleh Panel Anugerah Sastera Negara untuk meletakkan Kemala
di arena antarabangsa dan dalam kumpulan “penyair sufi”: “Antony and Cleopatra are enchanted with each other and unabashedly
want to have sexual intercourse with each other as much as possible”. (Bab
8, “Antony and Cleopatra”, hal. 304). Mereka tidak mempunyai hubungan
perkahwinan. Tentu saja Kemala tidak berfikir sebagai seorang ahli sufi ketika
menggunakan alusi ini. Mati akal Panel
Anugerah Sastera Negara!
Kita ambil
contoh lain pula, kali ini dari Laporan 2009.
(4) “Cerpen-cerpen Anwar Ridhwan beralih angin
dari bentuk eksperimen dengan menggunakan pendekatan simbolik, yang berasaskan
lambang seperti dalam cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartment”, “Sang Rusa,
Harimau dan Singa”, dan “Tik! Tik! Tik!”. Cubaan bereksperimen ini sudah mula
maju ke arah yang matang. “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” mengemukakan apartmen
sebagai satu simbol kehidupan manusia. Apartmen adalah dunia yang sempit,
panas, seragam bentuknya dan kuat pengaruh Baratnya. Kehidupan yang cuba
digambarkan ialah kehidupan yang dipengaruhi oleh cara dan nilai Barat seperti seks bebas dan ketagihan arak.
Kehidupan watak-wataknya berkisar pada keseronokan semata-mata.
Cerpen “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” mengemukakan
persoalan filosofikal. Cerpen ini
mengisahkan Azwar yang wujud hanya untuk berseronok dengan wanita dan arak.
Janji yang dibuat oleh Azwar hanyalah janji untuk dimungkiri, seperti janjinya
kepada Agnes. Agnes pula tidak mungkin dapat mengharapkan masa depan yang
bahagia atau jelas kerana dia tahu bahawa semua kata-kata Azwar itu palsu.
Keseronokannya tidak berakar pada cinta yang sejati. Bagi Agnes, tidak ada
kepastian dalam hidup berkasih sayang kerana semuanya mencurigakan. Pada suatu
peristiwa, Azwar bertanya kepada Agnes: “Telah aku lihat dan rasai hidupmu di
apartmen Jaffe Road itu. Tidak ada belas kasihan dan kedamaian. Apakah cintamu
telah berakhir di apartmen itu?” (hal. 10-11).
Ringkasan
itu diberikan oleh Panel. Apakah yang filosofikal dalam karya ini? Perkataan
filosofikal yang digunakan itu menjadi contoh fatamorgana bahasa, nampak bagus,
tetapi kosong. Kalau pembaca tidak berhati-hati, dia akan menerima saja pandangan
Panel, walaupun palsu dan cetek. Tentang istilah eksperimen. Kalau anda
perhatikan, penulis yang suka “bereksperimen” itu tidak mempunyai bakat sebagai
penulis, oleh itu istilah itu tidak lebih daripada sejenis eskapisme saja: bila
karya itu karya eksperimen, tak boleh dikritik keras sangat. Karya itu baru
bermula, belum boleh dijadikan hujah. Dua perkara yang anda boleh fikir: jika
eksperimen itu hanya sejenis eskapisme, bagaimana Anwar Ridhwan boleh meningkat
hingga diberi gelar sasterawan negara? Anda akan berkata, eksperimen itu telah
meningkatkan mutu karya beliau. Ini boleh didebat dan telah pun saya lakukan.
Kedua, Panel Anugerah Sastera Negara
telah membuat kesimpulan yang betul dengan menulis ringkasan seperti yang saya
salin itu. Saya juga telah bincang aspek ini, dan kesimpulan saya tidak seperti
yang anda andaikan. Anda boleh berkata, “Aku tak peduli, yang penting Panel
betul dan Anwar Ridhwan sendiri telah membuktikan dia layak diberi gelar
sasterawan negara. So what?” Tetapi itu hanya pendapat anda, bukan suatu
hujah. Dalam tulisan ini dan dalam tulisan-tulisan yang lain, saya berhujah
bahawa ada sesuatu yang tidak kena dalam projek sasterawan negara ini. Saya
telah memberikan pandangan saya. Dalam tulisan ini dua perkara yang saya jadikan
hujah, iaitu retorik peragaan dan fatamorgana bahasa. Sekarang saya cabar anda
pula: dari perspektif apa saya silap? Adakah anda telah meneliti hujah saya
dengan cermat dan faham? Adakah anda telah menjawab hujah saya satu persatu?
Inilah proses akademik, proses ilmiah, yang perlu dilalui sebelum anda menerima
atau menolak sesuatu pendapat. Saya hanya berbuat sesuatu untuk mengajak anda
berfikir, dan membuat keputusan berasaskan maklumat, bukan hanya andaian. Dari
segi itu, saya boleh berkata, hingga kini belum ada lagi hujah yang menolak
pandangan saya secara ilmiah, secara intelektual, secara akademik. Malah,
persoalan yang saya ketengahkan itu pun belum lagi difahami dengan betul, jadi
bagaimana anda akan menolaknya atau menerimanya jikalau anda sendiri tidak
faham? Saya ingin tingkatkan perbahasan kita dalam persoalan ini ke tingkat
yang terbaik, bukan pada tahap sarjana ciritan. Mudah saja memberi pendapat
sebagai sarjana ciritan, tetapi harganya terlalu murah, diberi percuma pun
orang tidak mahu: cetek mera-raba, kata Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas.
Itu yang kita mahu elakkan.
Nampaknya
sukar untuk mengelak daripada berada dalam keadaan cetek meraba-raba ini. Perhatikan
contoh yang lain, diambil daripada Laporan
1991.
(5) “Kepadanya pokok
persoalan atau tema sesebuah puisi adalan ilmu.
(Huruf condong asal). Ini mencakupi
ilmu tentang manusia dan persekitarannya, kerana menurut Muhammad, tanpa
kepekaan akan dunia sekeliling, seorang penyair tidak dapat bergelut terus
dengan alamnya. Muhammad juga menyedari akan ilmu yang berlainan dengan
pengetahuan dan sains kerana dalam puisi tidak ada undang-undang logik yang
saintifik, ilmu yang diproses secara kreatif untuk memahami perasaan dan
peribadi manusia, untuk memahami adat, kecenderungan dan kebiasaan kehidupan,
untuk turut mengalami detik-detik emosi yang berubah dan genting, serta ilmu
untuk turut menilai kemanusiaan pada tahan-tahap tertentu. Bezanya ilmu yang
diproses secara kreatif menerusi puisi datangnya melalui emosi, pengalaman,
renungan, kepekaan, intuisi dan bisikan kalbu, bukan melalui penyelidikan atau
kajian kesarjanaan. Dengan sendirinya ilmu kepenyairan itu menambahkan ilmu
saintifik, menambahkan pengalaman kehidupan dan berhasil mempertajamkan lagi
sensitiviti (kepekaan) kerana puisi lebih halus dan indah melihat ke dalam
jalinan rasa dan lebih dalam melihat sesuatu menerusi daya persepsi pancaindera. Dalam erti kata yang lain,
meskipun puisi melihat sesuatu secara kilatan fikiran dan perasaan, namun ia
memiliki wawasan bagi meneroka rahsia-rahsia alam dan kemanusiaan ini. Pada
Muhammad, meskipun puisi bertitik tolak daripada hiburan melalui bahasa dan
bentuk, namun hiburan itu terjalin secara kental dalam persoalan yang menuju ke
arah makna-makna yang memperlihat kebijaksanaan. Lantas puisi itu akan membantu
membijaksanakan sikap, membantu mematangkan kehidupan dengan keluasannya, serta
membantu merenungi sudut-sudut kehidupan yang kaya dengan rahsia ini. Dalam
erti kata yang lain, pada Muhammad, seorang penyair itu adalah sebenarnya
seorang pemikir yang selalu memikirkan tentang kehidupan kemanusiaan, yang
selalu memberi penilaian tentang kehidupan, yang selalu merenungi ke dalam
kehidupan, yang selalu mencari jawapan kepada rahsia-rahsia alam dan yang
selalu membincangkan situasi-situasi dalam kemanusiaan.” (ms. 12).
Inilah contoh kemuncak retorik peragaan yang rimbun dengan
kata-kata dalam bentuk fatamorgana bahasa, yang bertentangan sama sekali dengan
teks yang dihasilkan oleh pensajak ini. Betapa keliru dan kelam-kabutnya para
sarjana menerima sasterawan negara ini dapat dilihat daripada reaksi dua orang
sarjana yang cuba memahami sasterawan negara ini, tetapi gagal menemui sesuatu
yang bermakna, dari perspektif pemikiran, kerana mereka tidak dapat mengesan
kelemahan karya pensajak ini kerana
kepekaan akademik mereka telah tertutup oleh retorik peragaan itu dan pengaruh
fatamorgana bahasa yang menjadi ikutan membuta-tuli hampir semua sarjana yang
terlibat dalam kesusasteraan sebagai ahli akademik, pengkritik, dan penilai
karya. Inilah reaksi bercorak ocehan atau idle
talk oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan:
(6) “Hal yang sama jika diteliti
pada cerita Si Tanggang. Lazimnya para peneliti,
para pengkaji sastera mahupun para pelajar ditekankan supaya jangan
menderhaka kepada kedua ibu bapa. Jika derhaka, maka anak-anak akan mendapat
balasannya sepertimana yang berlaku kepada Si Tanggang. Di sebalik unsur moral
dan pengajaran yang ditekankan, kisah “Si Tanggang” juga memperlihatkan nilai
positif. Akibat kemiskinan, Si Tinggang bercita-cita hendak jadi kaya dan
terkenal. Di sini memperlihatkan bahawa Si Tanggang ada matlamat, iaitu ingin
menjadi kaya dan terkenal. Untuk mencapai cita-citanya, ia bekerja dengan
Nakhoda kapal apabila sebuah kapal besar berlabuh di muara sungai yang berhampiran
dengan rumahnya. Si Tanggang bekerja keras untuk mencapai cita-citanya hingga
menyebabkan Nakhoda amat suka dengannya kerana dia rajin bekerja. Si Tanggang
pun diambil sebagai anak angkat. Apabila
Nakhoda menjadi uzur, maka Si Tanggang dilantik menjadi nakhoda baru. Dia
dipanggil Nakhoda Tanggang. Si Tanggang cekap dan pandai berniaga hinggakan
namanya terkenal. Si Tanggang dijemput oleh Sultan ke istana. Tidak lama
kemudian, Si Tanggang pun berkahwin dengan puteri Sultan. Si Tanggang berjaya
meniti dari satu tangga ke satu tangga untuk berjaya menjadi saudagar kaya
apabila adanya perancangan.”
Inilah pembelaan profesor ini terhadap sajak “Pulang Si Tanggang” oleh
Muhammad Haji Salleh. Benarkah terdapat nilai positif dalam cerita dongeng itu?
Apa yang dianggap oleh profesor ini sebagai nilai positif, ditolak oleh
pengakhiran dongeng ini yang disumpah ibunya hingga menjadi batu kerana sifat
derhakanya. Hakikat ini tidak wajar dan tidak boleh dijadikan hujah untuk
menerima kejahatan Si Tanggang yang disumpah menjadi batu itu. Ternyata teori
sastera profesor ini telah gagal membaca kisah ini, dan sajak yang ditulis oleh
Muhammad Haji Salleh yang mengangkat
Tanggang sebagai contoh kejayaan ekonomi. Semuanya kerana beliau
tidak membaca sajak Muhammad Haji Salleh itu dalam mod bacaan intelektual
supaya aspek positifnya boleh dilihat dengan jelas dari segi moral yang menjadi
fokus kepada cerita ini. Profesor ini
tidak dapat melihat fokus ini kerana tenggelam dalam retorik peragaan dan
hanyut dalam fatamorgana bahasa jenis yang diperagakan oleh Panel Anugerah
Sastera Negara dalam laporan mereka. Inilah contoh keliru dalam konsep ilmu,
setelah fokusnya dialih kepada kejayaan ekonomi semata-mata, padahal kisah ini
diwujudkan untuk maksud lain, untuk memberi pendidikan moral yang jelas kepada
anak-anak. Kita lihat bagaimana sastera dan penilaiannya membawa nilai-nilai
negatif dalam pendidikan setelah dikaburkan dalam retorik peragaan dan
fatamorgana bahasa.
Kita lihat pula contoh yang diberikan oleh Prof. Madya Arbak Othman.
(7) “Kemungkinqn maksud penyair yang dijangkakan
dalam puisi ciptaannya, meskipun diusahakan melalui pengetahuan puitik yang
mendalam dan rahsia, boleh jadi tidak benar. Kebenaran untuk mencari
makna-makna yang dimaksudkan oleh penyair juga tidak termungkinkan kerana,
sesuai dengan konsepsi bahawa ‘pengarang sentiasa ditanggap sudah mati’,
penafsir tidak diberikan lampu hijau untuk merujuk kepada penyair bagi
mendapatkan maksud sajak ciptaan penyair tersebut. Daya yang ada hanyalah
kebolehan pembaca atau penafsir menentukan maksud-maksud yang dicapai
berdasarkan sains tanda yang dimilikinya mengikut konteks yang terbina dalam
puisi yang dikaji itu. Jika relevansinya tidak wajar atau tidak logik, usaha
menentukan kemungkinan yang lain harus diteruskan supaya sajak yang mempunyai
nilai intelektual tidak terabai, malahan harus diraikan, dalam perkembangan
perpuisian Melayu tanah air. Tujuan penulis menggunakan interpretasi sebagai
alat yang ada untuk meneroka kandungan sajak di atas ialah supaya kita dapat
mengenal mana satu daripada sajak-sajak yang dikaji itu tergolong kepada
kategori sajak intelektual atau sebaliknya. Sajak-sajak MHS didapati mempunyai
kuasa intelek yang menarik untuk dikenal pasti dan terus dijelajahi dari semasa
ke semasa”. (hal. 6 kertas).
Keengganan untuk kembali kepada konsep ilmu
yang benar ini menjadikan para sarjana kita menggunakan seluruh masa yang ada
untuk membingungkan mereka dan para pelajar mereka, dengan berebut-rebut
menyondolkan segala macam teori sastera yang pada hakikatnya menjauhkan mereka
dari kebenaran, seperti yang dialami oleh Ratu Balqis, ahli sihir Firaun dan
perempuan Mesir yang melukai tangan mereka sendiri kerana terpengaruh
dengan kemahuan
hawa nafsu mereka. Ratu Balqis dan ahli sihir Firaun akhirnya menemui kebenaran
itu melalui Nabi Sulaiman ‘a.s. dan Nabi Musa ‘a.s. Siapakah nabi para sarjana
kita? Manusia yang mereka anggap nabi itu tidak seorang pun menerima hakikat
ilmu yang benar, sebaliknya menggunakan akal mereka sendiri untuk menentukan
nilai-nilai yang mereka mahu. Inilah kedudukan yang menjadi ikutan para sarjana
sastera, pengkritik sastera, dan penilai karya sastera Malaysia. Akibatnya ialah mereka meraba-raba mencari
kepastian makna, padahal yang dianggap dan dikatakan bermakna itu pada
hakikatnya tidak bermakna, hanya sejenis permainan yang amatur sifatnya. Itulah
kedudukan sajak-sajak Muhammad Haji Salleh yang cuba dirungkai oleh Arbak
Othman yang menganggapnya, tanpa sebarang alasan kukuh, sebagai sajak-sajak
intelektual yang mesti dihargai dan disanjung.
Saya mahu tegaskan di sini, tidak sebuah pun sajak Muhammad Haji Salleh
yang terdapat dalam antologi beliau yang dapat dipanggil sajak intelektual.
Contoh-contoh yang dikemukakan oleh Arbak Othman tidak meyakinkan beliau
sendiri bahawa itulah sajak intelektual. Apakah yang sebenarnya yang
dimaksudkan dengan sajak intelektual itu?
Arbak Othman tidak memberikan definisinya, dengan kepercayaan aspek
intelektualnya akan muncul di dalam analisis nanti. Itu pun tidak terjadi, kerana tidak satu pun di antara sajak itu,
yang dikaji beliau, boleh digolongkan sebagai sajak intelektual. Inilah juga
pengalaman Panel Anugerah Sastera Negara, yang bersungguh-sungguh mencanangkan
keistimewaan sajak-sajak intelektual Muhammad Haji Salleh. Apakah sajak
intelektual? Apakah syarat yang perlu ada untuk membuktikan sajak itu sebuah
sajak intelektual? Juga tidak diberikan. Maksud sajak intelektual itu hanya
berada dalam angan-angan para pengkaji, tetapi tidak muncul dalam karya
Muhammad Haji Salleh. Dalam hal ini, sungguh sangat menarik dan cukup menawan
kesimpulan yang dibuat oleh Prof. Madya Arbak Othman ini. Adakah Arbak Othman
melampau apabila beliau membuat kesimpulan ini: “... puisi MHS dapat
menggantikan mitos dan agama dari segi kebijaksanaan biasa-biasa serta kebaikan
unggul yang disasarkan pada mesej.”
Akhir sekali saya ingin salin pendapat Dr.
Mana Sikana tentang Muhammad Haji Salleh. Kertas kerja beliau dibentangkan
dalam Seminar Pemikiran SN Muhammad Haji Salleh, 9-10 November 2010. Kertas kerja ini penting kerana di dalamnya
disenaraikan 12 dalil keistimewaan dan keunggulan Muhammad Haji Salleh. Hanya
satu senarai, tiada apa-pa penjelasan apatah lagi contoh. Inilah contoh paling
unggul tentang retorik peragaan dan tabiat menyanjung dalam stail fatamorgana bahasa.
(8) Senarai
12 keistimewaan Muhammad Haji Salleh: (1) Muhammad Haji Salleh penyair terbaik
Malaysia, mempunyai kedudukan istimewa dalam penulisan sastera. (2) Muhammad
Haji Salleh ingin kembali ke Melayu, minatnya yang besar kepada primordial
Melayu ini. Muhammad beranggapan zaman silam adalah zaman asli Melayu yang kaya
dengan peribadi unggulnya. (3) Muhammad Haji Salleh memberi contoh yang
tegas tentang kecintaannya terhadap apa juga yang bersifat tradisional dan
klasikal Melayu itu. Sebenarnya kajiannya terhadap sastera tradisional itulah
yang menemui idealisme pemikiran Muhammad Haji Salleh. (4)
Muhammad Haji Salleh merungkai erti kemelayuan dan pembinaan jati diri
Melayu melalui teori, puisi dan penulisan sasteranya. Muhammad Haji Salleh amat
sedar betapa Melayu harus berfikir berdasarkan paksinya sendiri. (5)
Muhammad Haji Salleh ingin memerdekakan sasteranya daripada belengguan
pengaruhan Barat, mahu membina jati diri Sastera Melayu. (6) Dalam kritikan sastera Muhammad Haji
Salleh juga menunjukkan bahawa apa jua bentuk pandangan yang berat sebelah dan
bersifat eurosentrik boleh diganti dengan pandangan yang lebih adil dan saksama
dalam menilai sesuatu teks kesusasteraan. Kritikan dan wacananya haruslah
berpaksikan pada diri sastera Melayu itu sendiri. (7)
Suatu kecenderungan penulisan hasil daripada membaca teks-teksnya ialah
bahawa pengarang ingin mengajak khalayak untuk memikirkan kembali makna
kemajuan bagi bangsa yang telah merdeka ini.
(8) Muhammad Haji Salleh mengkritik Winstedt dan Clifford. (9)
Muhammad Haji Salleh telah pun berjaya membina dan memiliki stail
bahasanya yang sendiri dalam penulisan puisinya. Bahasa Melayunya yang asli,
jernih dan bersahaja serta jelas. Beliau berjaya mengembalikan kita kepada sebuah
Melayu tulen. Saya percaya subjek gaya Muhammad Haji Salleh dipersetujui dan
banyak mendapat perbincangan. (10) Sebagai pengkaji sastera dan penulis esei,
Muhammad Haji Salleh dapat diletakkan di barisan hadapan. Memandang daripada kaca pascamoden, kritikan
Muhammad Haji Salleh tidak jejak pada teori zaman ini. (11) Rasanya tidak sah, kalau tidak disentuh
pemikiran unggul dan kecenderungan Muhammad Haji Salleh dalam aspek teori. Baginya
hakikat sebuah teori sastera ialah menggagaskan definisi, konsep, prinsip dan
unsur-unsur sastera, di samping menyelesaikan persoalan tentang genre, fungsi,
konsep teks dan pengarang. Bagi Muhammad Haji Salleh, kerja penteoran adalah
amal puncak bagi seorang pengkaji sastera. (12) Perbicaraan saya di atas secara induktif,
yang juga khalayak sastera yang elit dan biasa, bersetuju untuk menyatakan:
bahawa penulisan sastera Muhammad Haji Salleh bersifat intelektual. Puisinya
bersifat intelektual dan kajian-kajian sastera, esei dan kritikannya bersifat
intelektual… Bagaimana pun dalam konteks ini, jika kita mengikuti perkembangan
puisi dan penulisan sastera Muhammad Haji Salleh tidak menjelma menjadi suatu
aliran penulisan. Kesimpulan:
Sesungguhnya Muhammad Haji Salleh adalah seorang sasterawan, pengkaji dan
penteori sastera yang unggul.
Itulah kehebatan Muhammad Haji Salleh
menurut kajian Dr. Mana Sikana. Membaca
contoh-contoh di atas, sudah jelas bahawa retorik peragaan dan fatamorgana
bahasa adalah satu realiti dalam kritikan dan penilaian sastera Malaysia. Demikian juga kewujudan sarjana ciritan yang
terlibat dalam dua kegiatan itu, memberi pengaruh yang besar dalam kelangsungan
pandirisme dalam kesusasteraan, sehingga menjadi pegangan arus perdana dan amat
dibanggakan oleh para penganutnya. Kita mempunyai Mutual Admiration Club yang
besar dan ramai pengikutnya, saling membantu dan memperkuat satu sama lain,
begitu kukuh mencengkam dunia akademik dan bidang kritikan serta penilaian
sastera, sehingga kita tidak memerlukan ukuran yang standard dan objektif,
kerana semuanya telah digariskan dengan jelas dalam budaya pandirisme yang
dijadikan arus perdana itu. Dalam konteks inilah Panel Anugerah Sastera Negara
bercakap tentang perubahan, kemajuan, eksperimen, kelainan dan sebagainya.
Semuanya dilihat dalam konteks pandirisme, seperti yang berlaku di Amerika
Syarikat sendiri, tetapi dengan nama yang berlainan.
Kesimpulan
Tidak
sia-sia Prof. Harry G. Frankfurt menulis bukunya, On
Bullshit
(Princeton University Press, 2005; daripada rencana beliau 1982), kerana buku
ini boleh membantu kita memahami apakah yang sebenarnya berlaku dalam dunia
akademik dalam bidang sastera di Malaysia.
Adakah kita terlepas daripada budaya bullshit
yang dihuraikan oleh Prof. Frankfurt seperti yang berlaku di Amerika
Syarikat? Beberapa contoh yang diberikan
di atas mungkin boleh membantu kita untuk membuat kesimpulan kita sendiri.
Sejauh mana kita lebih maju daripada Amerika Syarikat dalam budaya bullshit ini? Sebagai perbandingan, saya
turunkan pendahuluan buku tersebut untuk renungan anda semua.
“One
of the most salient features of our culture is that there is so much bullshit.
Everyone knows this. Each of us contributes his share. But we tend to take the
situation for granted. Most people are rather confident of their ability to
recognize bullshit and to avoid being taken in by it. So the phenomenon has not
aroused much deliberate concern, nor attracted much sustained inquiry.” (hal.
1).
Anda
agak, kita berada di mana?
Mohd.
Affandi Hassan,
13
September 2014.
Tuan Mohd. Affandi. Salam kepada tuan. Saya nak beri pandangan saya tentang tulisan tuan. Harap maaf jika saya tersasul.
ReplyDeleteSaya amat risau membaca tulisan Tuan Mohd. Affandi akhir-akhir ini. Marah pun ada. Kecewa pun ada. Beliau mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara lengkap dengan bukti. Betulkah tafsiran beliau, atau telah diselewengkan. Hanya para sarjana saja yang tahu. Tolonglah tampil membetulkan kesalahan Tuan Mohd. Affandi jikalau beliau bersalah dalam masalah penilaian ini. Saya cadangkan Dewan Bahasa dan Pustaka, atau sekurang-kurangnya mana-mana badan penulis, mengadakan seminar untuk menolak pendapat songsang Tuan Mohd. Affandi tentang sastera Melayu. Saya khuatir jika pendapat beliau diterima, walaupun oleh beberapa orang saja, sastera Melayu yang kita cintai dan para sasterawan negara yang kita hormati, akan hancur. Kepada Tuan Mohd. Affandi, tak payahlah memperkecil Panel Anugerah Sastera Negara dan merendahkan taraf SN. Anda sendiri bukanlah hebat sangat. Saya amat musykil apabila panel itu diejek dengan berkata alusi tentang Mark Antony dan Cleopatra menjatuhkan maruah mereka kerana salah tafsir, yang telah memalukan Kemala sendiri yang memakai alusi itu. Tolonglah tampil menafikannya supaya kita semua berasa tenteram, tidak ragu-ragu untuk menerima Kemala sebagai penyair sufi pertama Malaysia.
Salam Anonymous
ReplyDeleteKasihannya saya kepada anda. Tapi saya membaca sebaliknya. Anda pun cuba cabar panel untuk tangkis kenyataan Affandi. Yalah. Kalau mereka rasa apa Affandi dakwa ni semua fitnah, tampillah dengan sanggahan. Jangan biarkan ruang fitnah terbuka. Affandi bagi dakwaan dan analisis. Kalau kita dapat jawapan dan sanggahan mereka yang terkena dan jawapan mereka itu cukup mantap, barulah kita ada peluang utk tak setuju dgn Affandi.
Jom kita tunggu
Rashdan Hanif
as salam tuan haji..teruskan membina tapak dan tiang utk memajukan sastera kita, krn kami anak muda yg akan buat dinding dan bumbung.. jika hari ini tak mampu muziumkan mereka, kami akan pastikan mereka dimuziumkan bersama2 karya mereka dizaman kami... bagi kami anak muda karya mereka seperti tisu pengesat najis yg tak mampu utk mentamadunkan bangsa melayu.. d sekolah mereka boleh menipu kami dgn karya berKUTU mereka..disebbkan maklumat d sekolah agak terbatas... mereka seperti pengidum gam barat, mabuk dgn rasa bangga dapat meniru barat dalam penulisan wlpun bercanggah dgn nilai melayu islam...
ReplyDeletepelajar tahun 1
Salam kepada semua yang beri komen.
ReplyDeletePrinsip kita telah dirumuskan oleh Imam Ghazali tentang konsep ikhlas, telah saya salin dalam pos di blog ini. Dari segi pemikiran dalam seni penulisan, sudah diberikan oleh Rumi dan Iqbal, sebut dua contoh saja. Baca puisi Rumi tentang mawar dan durinya. Juga telah di salin dalam blog ini. Pengarang Islam wajib berjiwa besar. Kata Iqbal, jadilah singa, bukan kawanan kambing. Tetapi kita tidak boleh berkurban dengan menyembelih singa (raya haji tak lama lagi); kita berkurban dengan menyembelih kambing. See my point? Rujuk balik puisi Rumi tentang mawar dan durinya, jawapannya di situ.