Tuesday, September 9, 2014

FATAMORGANA BAHASA DALAM KRITIKAN SASTERA DAN PENILAIAN KARYA



Bagaimanakah kita boleh mengukur sesuatu penilaian yang kita lakukan terhadap sesebuah karya kreatif tepat dan objektif? Apakah ciri yang perlu ada untuk memastikan penilaian itu tepat dengan kualiti karya yang dinilai? Pembacaan saya dalam masalah penilaian ini meyakinkan saya bahawa berlaku apa yang saya namakan fatamorgana bahasa dalam penilaian itu, sehingga terjadi penilaian yang tidak tepat dan sering kali jauh menyimpang daripada kualiti sebenar karya berkenaan. Saya sudah lama membangkitkan persoalan ini selama lebih dari 40 tahun, sehingga pernah mengemukakan cadangan supaya para sarjana dan penilai sastera belajar membaca dengan betul untuk mengelak daripada membuat kesilapan dalam penilaian. Saya lihat kelemahan paling besar yang dilakukan oleh pengkritik, sarjana dan penilai karya kreatif dan akademik ialah ketidakpedulian mereka terhadap masalah ini, sehingga kita boleh berkata tanpa ragu-ragu bahawa mereka tidak memberi perhatian penting kepada integriti ilmiah dan akademik kerana kedudukan mereka dan tugas yang diberikan kepada mereka meletakkan mereka dalam kedudukan yang kukuh, tidak boleh digugat oleh mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan mereka. Bagi saya sikap ini tidak bertanggungjawab dan kesannya sangat buruk, sehingga boleh memusnahkan sistem nilai kita sendiri dan memberi gambaran palsu dalam kerja-kerja akademik, dalam melaksanakan tugas ilmiah dalam membina tamadun ilmu, dan kewajaran penilaian dalam kritikan sastera. Saya tidak perlu mengulangi contoh-contoh yang pernah saya berikan dalam tulisan saya yang lepas, untuk mengelak  daripada pembaziran ruang dan masa. Bagaimana pun, saya akan menyebut contoh-contoh itu apabila diperlukan untuk penjelasan.

 Fatamorgana bahasa ini menjelma dalam penggunaan beberapa “konsep” (?) longgar tanpa sebarang dasar ilmiah yang boleh dijadikan pegangan. Dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, kita bertemu ungkapan seumpama karya tidak perlu menyatakan ajaran moral, peniruan teknik adalah sumber kemajuan dalam penulisan,  karya kreatif mesti menunjukkan kelainan, kemajuan dari segi eksperimen dalam bentuk dan isi, mesti menyerlahkan intelektualiti (?), tetapi tidak perlu memberi perhatian kepada konsep ilmu kerana semua karya kreatif mesti bebas nilai, tidak terikat kepada sebarang ajaran agama, hanya boleh terikat kepada teori sastera dari Barat. Seterusnya, tidak ada teori sastera yang bukan berasal dari Barat, oleh itu semua usaha untuk membicarakan sastera dan karya kreatif berasaskan tradisi sesuatu bangsa adalah palsu dan tidak universal, dan banyak lagi yang akan kita temui dalam analisis kita nanti. Semua fatamorgana bahasa itu bertujuan untuk membina mitos di sekitar tokoh tertentu, dengan itu dicari-cari kelainan, eksperimen, jalur baru dalam penulisan cerit pendek, novel dan sajak, dan sebagainya. Termasuk juga gaya sufi yang diiktiraf hanya wujud dalam karya seorang sasterawan negara saja, oleh itu beliau menonjol sebagai sasterawan sufi yang membawa kemanisan rohani dan keindahan ucapan kesufian dalam sajak-sajak beliau yang seorang itu. Dan seterusnya. Kerana wujudnya, dan diwujudkan fatamorgana bahasa, maka para sasterawan negara mendapat perlindungan istimewa, oleh itu hanya boleh dipuji dan sebarang kritikan hanya lahir daripada perasaan hasad, niat yang jahat, dan keangkuhan yang bejat. Semua istilah ini muncul sebagai ciri fatamorgana bahasa yang dimaksudkan itu. Usaha memitoskan tokoh ini merupakan kejayaan paling besar Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi mereka gagal memberi arah yang betul yang benar-benar berasaskan nilai-nilai moral dan nilai seni yang tinggi. Kegagalan itu terserlah dalam semua laporan yang dihasilkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Sehingga kini belum lagi terdapat sanggahan yang bernas yang menolak kesimpulan ini, malah tulisan terbaru tentang sajak Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”, yang ditulis oleh Prof. Mohd. Mokhtar Hassan, menguatkan hujah-hujah palsu Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam tulisannya, profesor ini memasukkan satu unsur baru dalam penilaian sastera, iaitu kejahatan itu dilihat dari segi usaha gigih untuk mencapai kejayaan, seperti yang dilakukan oleh Si Tenggang. Dengan demikian, sikap derhaka Si Tenggang dilenyapkan; yang ditonjolkan ialah kejayaannya mendapat kedudukan tinggi sehingga berjaya menjadi menantu raja. Satu pencapaian yang besar dalam kehidupan manusia, yang perlu ditiru oleh pelajar sekolah dan pelajar universiti. Inilah kesan negatif paling ketara akibat fatamorgana bahasa dalam kritikan dan penilaian sastera.

Dalam aspek “intelektualiti” pula, karya Anwar Ridhwan diberi sanjungan tinggi kerana nilai-nilai intelektual yang tinggi yang terdapat di dalamnya dan kerana terdapat simbolisme di dalamnya.  Apakah nilai intelektual yang dimaksudkan? Apakah makna simbolisme? Kata seorang sarjana memberi pendapatnya yang tidak berasas, atau sekurang-kurangnya terlalu longgar hujahnya, ketika menentukan ukuran yang diperlukan untuk menilai karya yang bermutu: “Yang kita mahu ialah karya  yang bernilai intelektual dan gubahan naratifnya bersifat simbolik” (Dewan Sastera, Oktober 2013, hal. 14; dalam tulisan Dr. Mohamad  Saleeh Rahamad, “Pemugaran Intelektualiti Sasterawati Sarawak”).  Jika anda membaca ucapan ini dalam konteks fatamorgana bahasa, anda mungkin terpesona, dan jika anda seorang penulis, anda akan cuba menjadi penulis intelektual dan menghasilkan karya simbolik. Semudah itukah tafsiran anda? Di sinilah perlunya konsep ilmu yang benar, kerana ucapan ini dalam konteks ilmu yang benar adalah palsu. Al-Quran tidak mengajar kita begitu, tetapi mengajar kita tahu membaca ayat-ayat Allah, dan ini memerlukan ilmu berasaskan tauhid, bukan hanya sekadar maklumat longgar dalam konteks intelektualiti yang kabur sebagai konsep ilmu. Jika anda menerima simbolisme sebagai ukuran yang menentukan nilai sesuatu karya, anda terjebak dalam pemikiran golongan syirik yang diceritakan dengan banyaknya dalam al-Quran, yang mengatakan Tuhan mempunyai anak dan isteri; atau menjadikan lembu sebagai simbol untuk mendekati Tuhan. Jadi simbolisme, jika anda tidak melihatnya dalam konteks ilmu yang benar, akan membawa anda kepada kesesatan. Inilah yang terjadi dalam sastera Melayu, apabila para sasterawan yang terpesona dengan konsep dan teknik realisme magis, menerima itu sebagai sesuatu yang indah, padahal tidak lebih daripada fatamorgana bahasa. Anda harus melengkapkan diri dengan ilmu, sebelum anda membuat sesuatu keputusan yang boleh menyesatkan anda. Semua pilihan yang benar harus berasaskan konsep ilmu yang benar; dan anda akan dapat mencapai hakikat ini jika anda faham konsep taklif, kerana di situ tersimpul tiga rahsia taklif seperti yang dihuraikan oleh Shah Wali Allah: ilmu pengetahuan, keadilan, dan usaha ikhtiar.

 Menggunakan ciri intelektualiti dan simbolisme sebagai ukuran hanya dapat diterima sekiranya kedua-dua ciri itu dihuraikan dengan mendalam dan diberi batasannya supaya tidak lari daripada konsep ilmu yang benar. Jika dibiarkan kabur dan keliru seperti yang digunakan oleh sarjana ini, maka maknanya boleh apa saja, termasuk yang boleh menyesatkan. Kita harus menggunakan apa juga konsep dan istilah untuk membina makna yang benar, bukan untuk menyesatkan. Pertama sekali yang harus disedari ialah, sasterawan negara Anwar Ridhwan  menggunakan teknik penglipur lara dalam penulisan novel dan cerita pendeknya. Penilai beliau berkata, beliau telah menghidupkan kembali penglipur lara dalam sastera Melayu moden dengan menulis novel-novel beliau, yang dimulai dengan Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (tentang seorang tokoh penglipur lara), dengan novel terbarunya Penyeberang Sempadan mengenai seorang pemuda yang hanyut dalam ideologi politik yang tidak difahaminya. Novel ini masih dalam bentuk penglipur lara, mengisahkan pengembaraan seorang pemuda Melayu yang kononnya mencari “kebenaran”. Dengan pantas para sarjana ciritan memberi pujian tinggi sebagai sebuah novel global (genre baru atau hanya ungkapan biasa saja dalam konteks fatamorgana bahasa?) yang membicarakan aspek ideologi politik dengan mendalam. Untuk muncul sebagai pembicara tentang ideologi politik yang mendalam, diperlukan seorang tokoh yang tahu berfikir dan sistematik pula, yang tidak ada pada tokoh utama novel ini. Untuk muncul sebagai sebuah novel intelektual, tidak cukup dengan memaparkan cerita dan pengembaraan yang bersifat eskapisme. Tokoh yang dimunculkan itu mestilah memperlihatkan kecanggihan pemikirannya, dan ini memerlukan wacana bersifat ilmu. Tidak ada wacana itu dalam novel ini. Yang ada ialah cerita pengembaraan biasa seorang tokoh yang sebenarnya bukan seorang pemikir. Bagaimana sebuah novel penglipur lara boleh dinaikkan taraf menjadi novel intelektual? Hanya penggunaan fatamorgana bahasa sahaja yang memungkinkan kepalsuan penilaian  ini diterima sebagai satu kesimpulan yang bernas. Untuk melihat kepalsuan penilaian berasaskan fatamorgana bahasa ini, anda perlu membaca kupasan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menulis tentang novel Naratif Ogonshoto dan Penyeberang Sempadan.  Kedua-dua buah novel ini adalah novel penglipur lara moden yang diberi pretensi sebagai novel intelektual berasaskan penggunaan ciri-ciri fatamorgana bahasa.  Kesimpulan bahawa novel ini novel penglipur lara moden berasaskan mod bacaan intelektual, yang melihat novel ini daripada perspektif wacana dan penggunaan ruang naratif. Kesimpulan yang berbeza akan kita dapati sekiranya novel ini dibaca dalam mod bacaan cerita. Bacaan dalam mod bacaan cerita sangat popular di kalangan sarjana ciritan, tetapi kerana mereka tidak mempunyai rujukan untuk menilai bacaan mereka, maka mereka terus menggunakan fatamorgana bahasa dalam tulisan mereka dan dalam cara bacaan mereka, oleh itu terus berada dalam kesilapan besar yang memang boleh dihindarkan oleh seseorang sarjana sekiranya dia cuba belajar membaca dengan betul, menggunakan mod bacaan intelektual apabila dia perlu berbuat demikian. Tahu untuk memilih yang terbaik adalah tanda anda seorang sarjana yang mengasaskan pilihan akademik  anda kepada konsep ilmu yang benar. Hanya pengaruh pandirisme sahaja yang menghalang anda daripada menggunakan teknik dan konsep yang betul. Berada dalam budaya pandirisme terus menerus, dan bangga melakukan kesilapan, hanya akan menyuburkan penyelewengan budaya dan terus melakukan kesilapan yang boleh dihindarkan dalam penilaian karya sastera yang anda buat. Walaupun mereka ini sombong dan angkuh berbicara tentang kelainan, kemajuan, intelektualiti, dan segala macam, namun mereka melakukan semua itu dalam konteks fatamorgana bahasa, oleh itu keadaan mereka samalah dengan keldai yang ditutup matanya berjalan beribu batu mengelilingi kincir air, tetapi sebenarnya tidak bergerak ke mana-mana. Sekiranya mata sang keldai dibuka, pastilah keldai yang bodoh sekali pun akan merentap tali yang mengikatnya untuk lari ke dunia bebas, sebagai seekor keldai yang sukakan kebebasan.

Tetapi dalam sastera Melayu, orang hanya bercakap tentang perubahan, kemajuan, dan semua perkara yang muluk-muluk, tetapi mereka adalah penentang semua itu, kerana semua itu mereka ucapkan dalam konteks fatamorgana bahasa, bukan dalam konteks pembinaan budaya ilmu. Lepaskan keldai budaya ini dari kongkongan fatamorgana bahasa, biar mereka kenal dunia luar dan dunia ilmu yang luas dan mencabar itu. Anda terus terbelenggu dalam fatamorgana bahasa jika anda terus berdegil menolak konsep ilmu yang benar yang diajarkan oleh Islam. Kalau demikianlah pendirian anda, maka anda tidak layak digelar sarjana, kerana seseorang sarjana adalah seseorang yang berilmu, bukan hanya mengetahui sedikit maklumat dan fakta yang bertaburan yang tidak dapat dirangkaikan dalam kalungan ilmiah yang kemas dan memberi manfaat kepada anda dan pembaca anda. Selamat belajar. Tinggalkan kincir fatamorgana bahasa anda. Bebaskan diri anda dari kincir fatamorgana bahasa.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 9/9/2014.

No comments:

Post a Comment