Sekali sekala saya diperdengarkan
pertanyaan yang bodoh dan lucu: Mengapa Pak Pandir yang bodoh itu tidak boleh
dinilai setaraf dengan Si Tanggang yang derhaka? Antara keduanya, mana satu
yang lebih wajar dicontohi? Berikutan itu, timbul soalan lain yang lebih
mencabar: Betulkah Pak Pandir bodoh atau
penilainya yang bodoh? Benarkah Si Tanggang itu seorang intelektual yang bijak
dan tekun berusaha hingga berjaya menjadi Nakhoda dan kahwin dengan anak raja?
Layakkah dia menjadi menantu raja? Tidakkah taraf raja telah diturunkan? Atau
raja memang gila harta dan tamakkan kekayaan? Bersimpang siur jadinya
pertanyaan itu, yang tak mungkin boleh dijawab oleh para sarjana ciritan, jika
benarlah mereka wujud dalam kebudayaan Melayu. Akhirnya, sampailah sindiran itu
kepada saya: Sebagai seorang yang bukan sasterawan negara, tidak mungkinkah
karya saudara lebih bermutu daripada karya sasterawan negara? Lalu, sehubungan
dengan itu, karya akademik saudara tidak boleh ditandingi oleh sarjana ciritan
walaupun mereka bergelar profesor?
Sekarang sudah jadi perkara yang amat sensitif, yang saya tidak mahu
terlibat sama sekali, dan saya pun tidak mahu dibandingkan dengan para
sasterawan negara, malah pencapaian mereka tidak pernah menjadi impian saya,
oleh itu saya anggap satu penghinaan untuk disetarafkan dengan mereka.
Tetapi saya tidak membantah,
sekiranya terdapat di kalangan para sarjana ciritan mahu pun sarjana yang tulen yang ingin membandingkan
karya saya dengan karya para sasterawan negara, asal saja mereka melakukannya
benar-benar berasaskan ciri-ciri akademik yang standard. Perkara ini amat mudah
dilakukan, kerana saya menulis sajak, cerita pendek, novel, kritikan sastera
dan lain-lain (saya rujuk Balai Maqamat
yang boleh dikatakan berdiri sendiri sebagai satu genre). Karya awal saya,
sebuah sajak, dimuat dalam buku Alam
Puisi Melayu, susunan Darus Ahmad (Pulau Pinang: Sinaran Brothers, 1957,
sebelum merdeka); Ali Ahmad yang menyusun Perintis
Sajak-Sajak Melayu (Kuala Lumpur:
Fajar Bakti, 1971) memuat sebuah sajak saya, “Lagu Orang Sinis”, sekali lagi
dalam bukunya Tema Sajak-Sajak Melayu
1933-1969 (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1974, berasaskan tesis
sarjana beliau) mengulas sajak “Lagu Orang Sinis” dan “Pesta Anjing”. Tentang
sajak kedua itu, antara lain Ali Ahmad berkata, “Pesta Anjing dalam bentuk
sajak naratif dirasakan paling berjaya sekali. Penyair muda ini meminjam pesta
wayang kulit bagi mengisi amanat dalam
sajaknya ini” (hal. 109). Dalam novel Pujangga
Melayu terdapat beberapa buah sajak, antaranya yang paling mencabar
pemikiran pembaca kritis ialah sajak “Al-Andalus”. Ada orang mencadangkan
supaya sajak ini dinilai bersama sajak terkenal Muhammad Haji Salleh, “Pulang
Si Tenggang” untuk melihat sejauh mana Muhammad Haji Salleh berjaya
menyerlahkan aspek intelektual dalam sajak itu dan sejauh mana pula Mohd.
Affandi Hassan gagal memberikan pengertian yang mendalam makna pemikiran dalam
sajak/puisi. Belum ada lagi pakar-pakar sajak berani menerima cabaran ini,
kerana takut sajak “Si Tenggang” tidak sapat mengatasi pemikiran yang ada di
dalam sajak “al-Andalus” itu, dengan itu kata mereka boleh menjatuhkan maruah
si sasterawan negara. Dalam novel itu juga terdapat sajak-sajak sinis yang
menyindir kepalsuan para sasterawan dan sarjana ciritan. Juga belum ada komen
di mana-mana, sepanjang yang saya tahu. Dari segi penulisan novel, anda boleh
meneliti Pujangga Melayu sehabis
kritis yang anda mahu, dan melihat apakah sumbangannya dalam pemikiran dalam
kesusasteraan, jika dibandingkan dengan karya para sasterawan negara. Begitu
juga dalam bidang cerita pendek, berapa jauh rendahnya kualiti cerita pendek
Mohd. Affandi Hassan jika dibandingkan dengan cerita-cerita pendek Anwar Ridhwan,
misalnya. Dalam Balai Maqamat, terdapat
beberapa buah sajak, antaranya sajak panjang membicarakan politik global dan bagaimana
Islam diperkotak-katik oleh kuasa dunia, sajak “Amerika Pejagal Dunia Pengganas
Antara bangsa” (hal. 370-372). Sajak ini boleh dihurai dengan kritis untuk melihat
keistimewaan sajak Kemala yang dimuat dalam Laporan
2012 oleh Panel Anugerah Sastera Negara, hal. 13 mengenai “Perang Iraq.” Saya
lihat sajak ini tidak memperlihatkan kedewasaan seorang pensajak dalam memahami politik global. Terpulang kepada anda
untuk menilainya!
Perkara yang dibangkitkan di sini
timbul setelah saya terlalu keras mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara,
para sasterawan negara, para sarjana dan pengkritik sastera. Hal ini sampai ke
puncaknya apabila ada orang yang tidak dapat terima sama sekali pandangan saya
dalam pos terbaru tentang kewujudan sarjana ciritan. Kata mereka, saya tidak
saja menghina seluruh sasterawan dan para sarjana, malah tanpa segan silu telah
“menghentam” (istilah favourite mereka) dua orang tokoh besar kesusasteraan
Melayu yang telah membuktikan kehebatan mereka dalam karya-karya akademik dan
karya kreatif, dengan segala macam pengiktirafan yang diberikan kepada mereka,
padahal saya tidak menerima apa-apa hadiah dan penghargaan negara mahu pun
daripada golongan penulis/sasterawan. Yang membuat saya cukup terkilan ialah
apabila semuanya dijadikan masalah peribadi, dengan melupakan sama sekali aspek
yang bersifat intelektual dan kreatif. Tanpa disedari, mereka sebenarnya telah
menerima konsep pandirisme sebagai arus perdana dalam kesusasteraan Melayu
moden dan dalam perkembangan kebudayaan Melayu.
Kerana itu mereka tidak berminat mengkritik dan membuat koreksi (kerana
ada di antara mereka yang bertegas kesilapan saya terlalu banyak dan terlalu
besar, sehingga tidak perlu dibuat apa-apa koreksi, hanya membuang masa)
terhadap idea saya tentang persuratan, yang mementingkan peranan ilmu yang
benar dalam penulisan kreatif dan juga dalam penilaian karya (kreatif mahu pun
akademik). Kesan terbesar daripada sikap
negatif ini ialah tiadanya di antara mereka satu pegangan yang boleh dijadikan
ukuran yang mantap dalam kerja-kerja kreatif dan akademik mereka. Contohnya
terlalu banyak, dan cukup mudah diperolehi. Saya sebut dua tiga contoh untuk
diperhatikan dan direnung, dalam kemelut kegilaan kepada teori sastera Barat
yang nampaknya telah mencemar sistem nilai dan cara berfikir pelajar dan
masyarakat Melayu. Ini perkara besar, oleh itu perlu difahami sehabis jelas
dengan kesediaan untuk berubah daripada khayalan Barat kepada kecanggihan berfikir
berasaskan konsep ilmu yang benar.
Di Malaysia kita hanya mempunyai
tiga orang sasterawan intelektual: Muhammad Haji Salleh, Baharuddin Zainal, dan
Anwar Ridhwan. Yang lain-lain adalah sasterawan cerita, oleh itu lebih tepat
disebut tukang cerita yang tidak mementingkan aspek intelektual di dalam karya
mereka. Ketiga-tiga sasterawan intelektual itu bukanlah sasterawan intelektual
sebenarnya, tetapi diberi imej intelektual oleh Panel Anugerah Sastera Negara.
Dua yang pertama itu telah saya ulas dalam pos yang lepas; sekarang saya mahu
sentuh secara ringkas tentang Anwar Ridhwan, yang secara peribadi mengaku dia
adalah seorang sasterawan intelektual. Untuk menguji benar tidaknya ketiga-tiga
sasterawan negara ini termasuk ke dalam
kategori sasterawan intelektual, kita gunakan dua mod bacaan yang diperkenalkan
oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir: (1) mod bacaan intelektual; (2) mod
bacaan cerita. Jika kita menggunakan mod
bacaan intelektual, kita akan memberi tumpuan kepada wacana dengan cerita diberi
kedudukan kedua sebagai pelengkap kepada wacana. Ruang naratif tidak lagi
diambil alih oleh cerita, sebaliknya dikuasai sepenuhnya oleh wacana. Dengan
itu cerita tidak lagi akan meleret, sengaja diperpanjangkan, atau disensasikan
dengan unsur-unsur seperti dialog lucah, gambaran perilaku seks dan
seumpamanya. Oleh sebab yang diutamakan ialah wacana yang matlamatnya untuk
mencerdikkan pembaca, memberi kepada mereka kebijaksanaan berteraskan ilmu yang
benar, maka ruang naratif digunakan dengan amat berhemat untuk memastikan
persoalan yang dijadikan paksi cerita dapat dihuraikan dan dihujah selengkap
mungkin sehingga akhirnya terdapat rumusan yang cocok dengan matlamat karya,
iaitu melahirkan keindahan yang bermakna. Keindahan tidak lagi dilihat daripada
perspektif permainan bahasa semata-mata, sebaliknya dinilai daripada perspektif
penerokaan idea dengan bahasa ditundukkan sepenuhnya untuk menjelaskan idea,
bukan untuk mengaburkannya dalam permainan bahasa seperti yang selalu terjadi
di kalangan para sasterawan. Keindahan yang dimaksudkan terdiri daripada dua
perspektif, iaitu keindahan dari segi pengolahan idea yang diberi tumpuan
utama, di samping keindahan penggunaan bahasa yang tepat dengan matlamat untuk
menyampaikan idea. Inilah secara ringkas maksud pemikiran dalam penulisan.
Dengan melihat beberapa contoh yang saya ambil daripada karya Rumi dan Iqbal,
anda akan dapat melihat bagaimana idea diserlahkan melalui penggunaan bahasa
yang persis dengan matlamat penerokaan idea baru atau menjelaskan lagi idea yang
sudah biasa didengar atau diketahui. Sebagai contoh, ketika berbicara tentang
pembinaan tamadun, Iqbal berkata Allah SAW menjadikan batu, pokok, bukit dan
gunung, sungai dan lembah; dan dari situ manusia membina taman-taman indah.
Dalam contoh mawar dan durinya yang diberikan dalam pos yang lepas, Rumi
menegaskan andainya seseorang pengarang mempunyai pemikiran seindah mawar, maka
dia membina taman-taman mawar; sebaliknya jika pemikirannya seperti duri mawar,
maka yang cocok dengan pilihan itu ialah menjadi kayu api untuk memanaskan air
mandian. Kedua-duanya masih berguna, tetapi kedudukannya jauh berbeza. Inilah
aspek stylization of ideas yang dalam
konteks penulisan kreatif merupakan teknik menyerlahkan idea atau pemikiran
untuk mencapai matlamat penulisan yang indah dan bermakna. Dengan penjelasan
yang ringkas ini, kita lihat karya kreatif Anwar Ridhwan yang dikatakan karya
intelektual itu. (Sila lihat penjelasan Prof. Ungku Maimunah dalam Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, di bawah tajuk mod bacaan intelektual dan
mod bacaan cerita.)
Pada dasarnya Anwar Ridhwan
adalah seorang tukang cerita, seorang penglipur lara moden yang masih lagi
berbicara dalam mod bacaan cerita. Jika Muhammad Haji Salleh bersimpuh di
hadapan Pak Mud Awang Batil, maka Anwar Ridhwan pula duduk bersimpuh di hadapan
Muhammad Haji Salleh sebagai pengikut yang amat mengagumi tokoh itu. Anwar
Ridhwan pernah membandingkan Muhammad Haji Salleh dengan Aristotle sebagai
pemikir besar dunia yang cara bekerjanya (yakni Muhammad Haji Salleh) adalah
sama dengan cara bekerja Aristotle. Tetapi Anwar Ridhwan tidak menyebut,
sementara Aristotle berupaya mencorakkan hampir semua bidang ilmu yang dikenali
di dunia, maka Muhammad Haji Salleh pula tidak berupaya langsung untuk
mengembangkan ideanya yang paling mudah sekali pun, sehingga kita dapat membuat
kesimpulan dengan selamat bahawa beliau bukanlah seorang pemikir, tetapi hanya
seorang penglipur lara dalam dunia akademik yang kerap juga melontar beberapa
idea, tetapi tidak satu pun dapat dikembangkan oleh beliau sendiri atau para
pengikutnya. Saya telah memberi contohnya dalam tulisan yang lalu, jadi tidak
perlu dipanjangkan lagi supaya tidak membuang masa dan ruang. Dengan menyebut
perkara ini, saya hanya ingin menegaskan bahawa Anwar Ridhwan juga menghadapi
keadaan yang sama. Seperti Muhammad Haji Salleh, maka dia juga seorang
penglipur lara sastera Melayu moden yang suka bercerita dengan gaya penglipur
lara yang seolah-olah berciri intelektual, padahal tidak begitu. Tidak sebuah
pun novel beliau dapat diberi kategori sebagai novel intelektual yang
mementingkan wacana. Semua novel beliau kaya dengan cerita dalam konteks
penglipur lara, hanyut dalam peristiwa yang tidak sedikit pun memberi makna
dalam konteks intelektual. Cerita itu tidak bertujuan membina wacana
intelektual, tetapi berpura-pura memakai jubah intelektual. Anda perlu membaca
dengan kritis seloka “Sarjana Ciritan” dalam Balai Maqamat untuk memahami kesimpulan ini. Dalam kaedah penilaian
dan analisis yang dianjurkan oleh Gagasan Persuratan Baru, semua karya kreatif
Anwar Ridhwan adalah karya sastera yang mementingkan cerita, tidak dapat
dikategori sebagai karya persuratan yang mementingkan wacana. Sekarang anda
harus membuktikan bahawa pembahagian ini tidak berasas, tidak mempunyai nilai
akademik, apatah lagi nilai ilmu. Jika anda termasuk dalam golongan yang
mahukan perubahan yang besar dalam cara berfikir tentang kesenian yang
berasaskan konsep ilmu yang benar, seperti yang dibayangkan oleh Baha Zain
dalam ucap utama beliau 2005 untuk para penulis muda, maka anda tidak mempunyai
pilihan kecuali menerima Gagasan Persuratan Baru sebagai kerangka analisis yang
satu-satunya memberi kedudukan yang sewajarnya kepada konsep intelektual dan
pemikiran dalam penulisan kreatif. Anda harus menerima dengan penuh kesedaran
intelektual bahawa cara menganalisis dan menilai yang dicadangkan oleh Gagasan
Persuratan Baru tidak boleh lari daripada tiga kategori karya, iaitu karya persuratan yang berteraskan ilmu
dan mengutamakan wacana, karya sastera
yang mengutamakan cerita dan emosi, ketiga karya
picisan dan erotik yang memberi
laluan yang luas kepada kepuasan nafsu seksual manusia berasaskan cerita. Dengan
menggunakan pembahagian ini, anda akan dapat melihat dengan jelas dan tepat
makna pemikiran dan aspek intelektual dalam karya kreatif. Anda juga berhadapan
dengan ciri-ciri tamadun Melayu yang berteraskan nilai-nilai Islam dalam
persuratan Melayu yang dikembangkan oleh para ulama, pujangga dan pemikir
bangsa Melayu. Anda tidak lagi bersimpuh di depan Awang Batil atau dalang atau
penglipur lara; sebaliknya anda akan bersimpuh di hadapan para ilmuwan yang
sejak sekian lama membina dengan gigih tamadun bangsa Melayu, dan tamadun
Malaysia. Anda boleh menolak hakikat sejarah ini, jika anda mahu; tetapi janganlah
tersinggung jika anda diberi kedudukan sebagai sarjana ciritan.
Mohd. Affandi Hasaan,
Petaling Jaya, 5 September 2014.
No comments:
Post a Comment