Monday, September 8, 2014

FATAMORGANA BAHASA DALAM KARYA AKADEMIK DAN KARYA KREATIF DI MALAYSIA.



[Catatan: Fata morgana berasal daripada bahasa Itali, dua perkataan; tetapi untuk mendapat kesan retorik dan memenuhi maksud yang saya ingin sampaikan, saya jadikan satu perkataan. Selain terdapat unsur retorik dalam konsep fatamorgana bahasa, terselit juga unsur ironinya apabila digunakan untuk membicarakan karya akademik dan kreatif dalam sastera Melayu. Dari segi bahasa, lebih tepat “bahasa fata morgana”, tetapi kesan retorik dan ironinya hilang; maka itulah saya songsangkan menjadi fatamorgana bahasa. Sekian untuk makluman supaya tidak timbul kekeliruan dan salah faham.]

Satu ketika dulu, ketika penulis Melayu tergila-gila menulis sastera Islam atau karya sastera Islam, kita dihidangkan dengan karya yang menyebut ayat Quran, hadis, kata-kata ulama, yang diselitkan dalam dialog. Atau yang menggambarkan watak yang jahat yang akhirnya menjadi baik kerana insaf. Semua ini memperlihatkan konsep “sastera Islam” atau “sastera Islami” itu terlalu formalistik, diberi sentuhan kosmetik berupa ayat Quran, hadis dan sebagainya. Keadaan ini masih berleluasa. Antara contoh yang paling menarik ialah novel Anwar Ridhwan Penyeberang Sempadan. Itu novel penglipur lara moden tentang seorang budak Melayu yang tidak cerdik, tetapi dijadikan cerdik oleh pengarang untuk mengembara seluruh dunia mencari kebenaran, kononnya. Ini pun satu kesilapan besar, seperti yang pernah ditegaskan oleh Hamzah Fansuri yang mengatakan kebenaran itu berada dalam dirinya. Budak Melayu ini diberi wajah seorang “intelektual” yang memasuki pelbagai ideologi politik, kononnya, tanpa sebarang hujah yang cerdik yang boleh mengheret budak itu dalam pengembaraannya, yang akhirnya “menjadi” Islam setelah bertemu seorang perempuan Arab/Palestin yang memberinya kesedaran bahawa kebenaran itu hanya berada dalam Islam. Dengan keputusan itu, maka jadilah novel ini sebuah novel Islam. Senaif itukah para sarjana dan pengkritik sastera kita?

Dalam perkembangan lain, kini timbul persoalan apa yang disebut intelektualiti dalam karya kreatif. Dikatakan oleh pendukungnya, sesebuah karya yang tidak  mempunyai intelektualiti, bukanlah karya yang bermutu. Apakah intelektualiti? Belum lagi diberi penjelasan yang konkrit, ada tidaknya ialah beberapa pandangan kabur, antaranya yang mengutip pendapat seorang sarjana Indonesia, Soedjatmoko dalam tulisannya “Peranan Intelektual di Negara Sedang Berkembang” (1984) yang menegaskan seorang intelektual adalah seorang yang membawa “pemikiran” baru, dalam maksud modernisme Barat, yang menggerakkan masyarakatnya ke arah pembaharuan dalam konteks modernisme itu. Pembaharuan itu sangat penting bagi golongan ini, kerana seorang sasterawan menjadi besar kerana kelainan yang dibawanya dan kelainan hanya akan lahir jika sasterawan itu menentang “konventionaliti” (catatan: mungkin istilah ini sendiri adalah salah satu unsur kelainan!). Kata mereka, sastera  perlukan pembaharuan kerana sastera berada dalam dinamika yang berubah setiap masa untuk melahirkan pembaharuan yang dimaksudkan. Setelah membaca sebahagian besar tulisan mengenai perkara ini, saya tidak bertemu satu tulisan pun yang memberi tumpuan kepada konsep ilmu, dan bagaimana ilmu memainkan peranan dalam pembinaan tamadun manusia. Nampaknya sudah jelas semua penulis ini tidak kenal tradisi pemikiran Islam, tidak kenal tamadun Islam, tidak kisah dari mana timbulnya tamadun Barat dan siapakah pencetusnya. Jadi penulis yang menulis tentang intelektualisme dan pemikiran, bukanlah dari golongan intelektual yang berfikir dan luas pengetahuannya. Tidakkah ini sangat aneh? Tetapi inilah sifat sarjana sastera, dan sifat para sasterawan sendiri yang berbuih mulutnya bercakap tentang intelektualisme/intelektualiti atau tentang Islam tetapi tidak tahu hujung pangkal. Apakah kesannya jika inilah keadaannya, realitinya?

Saya tertarik dengan pendapat Dr. Mohamad Saleeh Rahamad: “Sesebuah cerita akan menyeronokkan pembaca apabila memuatkan sentuhan peribadi yang bersamaan dengan hidupnya. Pembaca awam tidak perlu dan tidak mahu berfikir semasa membaca kerana berfikir merupakan proses mental yang rumit. Naratif sebegini kekal sebagai karya yang tidak berapa baik(mediocre), tidak membawa pembaharuan, dan tidak mencerminkan pencapaian intelektualiti. Yang kita mahu ialah karya yang bernilai intelektual dan gubahan naratifnya bersifat simbolik.” (Dewan Sastera, Oktober 2013, hal. 14).  Persoalan pertama yang timbul ialah, Adakah ini contoh hasil tulisan akademik yang berkualiti dan mempunyai sifat-sifat “intelektualiti”? Sarjana ini menegaskan, karya yang berkualiti, yang kita mahu, ialah yang mempunyai nilai intelektual dengan gubahan naratifnya bersifat simbolik. Apakah nilai-nilai intelektual itu? Tentu saja nilai-nilai intelektual itu tidak sahaja berada di dalam sebuah cerita, tetapi juga boleh berada di dalam penghujahan yang bersifat akademik, atau jika kita mahu mengada-ada kita boleh berkata penghujahan yang bersifat filosofikal! (perkataan ini dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka, khususnya tentang Anwar Ridhwan). Bolehkah seorang pembaca yang kritis menikmati sesuatu yang indah ketika membaca suatu tulisan akademik yang benar-benar berkualiti? Tentu saja boleh, malah itulah pengalaman intelektual yang paling tinggi di kalangan pembaca “yang intelektual”, tidak hanya “menikmati” cerita sahaja walaupun terdapat “unsur simbolik” di dalamnya. Contoh yang paling baik yang boleh saya berikan di sini, yang mudah didapati dan tidak sukar pula untuk difahami, ialah syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Bandingkan dengan syarahan perdana Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh, Puitika Sastera Melayu: Suatu Pertimbangan (1989).  Antara dua “syarahan” ini, mana satu yang lebih memuaskan dari segi akademik, yang mendatangkan kenikmatan kepada anda sebagai seorang pembaca intelektual? Satu perkara penting, yang perlu disebut di sini, ialah tentang kaedah bacaan. Syarahan pengukuhan  Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas tidak boleh dibaca dalam mod bacaan cerita, yang sesuai untuk syarahan perdana Muhammad Haji Salleh. Syarahan perdana beliau adalah sejenis penglipur lara akademik, yang memang banyak bercerita tentang perkara yang sudah pun diketahui, tanpa sebarang usaha untuk merumuskannya dalam kerangka ilmiah yang boleh diperkembangkan kemudiannya untuk menjadi suatu teori, barangkali. (Anda mesti rujuk pandangan seorang pakar sastera lama tentang perkara ini, tulisan Prof. Siti Hawa Salleh, dalam Budi Kencana, hal. 255: “Dan apa yang dilakukannya tidaklah lebih daripada mengujar sahaja”. Dalam bahasa Martin Heidegger, idle talk, omongan!).

Apakah unsur simbolik dalam karya kreatif yang menjadi syarat utama kejayaan sesebuah karya? Jika anda seorang pembaca yang cekap, anda akan dapati apa yang disebut “simbolik” itu hanya tidak lebih daripada sejenis “fatamorgana bahasa” yang dangkal. Istilah fatamorgana bahasa ini baru pertama kali digunakan, hasil keperluan mendesak untuk mencirikan satu amalan biasa dalam penulisan kreatif. Sasterawan negara yang sangat terpesona dengan fatamorgana bahasa ini ialah Muhammad Haji Salleh dalam sajak-sajaknya dan dalam rencana sastera beliau; Baha Zain pun begitu juga; boleh pula dimasukkan dalam kumpulan ini Anwar Ridhwan; dan tentu saja Kemala dan Shahnon Ahmad. Antara cirinya ialah kegemaran menggunakan bahasa yang bombastik dan penuh sensasi, yang dapat dilihat dalam karya Shahnon Ahmad dan Muhammad Haji Salleh. Antara ciri penting yang lain ialah penggunaan “retorik peragaan” dalam tulisan yang diiktiraf sebagai tulisan akademik. Bagi Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, fatamorgana bahasa dijadikannya ciri utama dalam konsep (?) intelektualiti yang menjadi kegemarannya. Oleh sebab sarjana ini tidak mengasaskan pandangannya kepada konsep ilmu yang benar, maka beliau berada dalam puting beliung penghujahan yang kelam kabut, yang tidak menjurus kepada kefahaman yang mendalam tentang subjek yang menjadi tajuk tulisannya. Analisisnya tentang karya Anwar Ridhwan adalah contoh terbaik betapa kelamkabutnya penghujahan beliau, kerana menolak konsep ilmu padahal beliau ingin tulisannya dibaca sebagai tulisan yang berciri intelektual. Beliau tidak dapat melihat Anwar Ridhwan sebagai seorang penglipur lara moden, seperti yang saya sebut dalam pos yang lepas. Saya membaca karya Anwar Ridhwan dalam mod bacaan intelektual, manakala sarjana ini membacanya dalam mod bacaan cerita. Tidak hairan jika kesimpulan yang kami dapat amat berbeza. Dilihat dari perspektif akademik, bacaan saya adalah tepat. Bacaan beliau jauh tergelincir dari kedudukan karya itu yang hanya dapat dilihat dengan objektif jika kita membacanya dalam mod bacaan intelektual. Sementara mod bacaan cerita hanyut dalam fatamorgana bahasa, maka mod bacaan intelektual dapat melihat dengan jelas kedudukan karya Anwar Ridhwan sebagai karya sastera dalam genre penglipur lara moden, bukan sebuah karya intelektual seperti yang difahamkan dalam konteks ilmu yang benar. Anda tidak perlu bersetuju dengan saya; dan saya pun tidak memerlukan persetujuan anda. Saya hanya berharap anda akan dapat melihat perbezaan ukuran yang digunakan dalam dua mod bacaan itu. Terpulang kepada anda untuk menentukan mana yang lebih tepat dan objektif. Dengan satu peringatan: mod bacaan cerita memang selalu membuat anda keliru, kerana tidak diasaskan kepada konsep ilmu yang benar, yang seharusnya menjadi asas penilaian yang tepat dan objektif sesebuah karya yang anda mahu letak sebagai karya intelektual. 

Mohd. Affandi Hassan
7 September 2014.


No comments:

Post a Comment