Sunday, July 17, 2011

PERSURATAN BARU MEROMBAK KAEDAH LAMA DALAM ANALISIS DAN PENILAIAN KARYA KREATIF

Kekeliruan Para Sasterawan dan Panel Anugerah Sastera Negara

            Di tangan Panel Anugerah Sastera Negara, persuratan Melayu sudah mati, dengan itu turut dikuburkan bersamanya nilai-nilai Islam dalam persuratan kerana tidak lagi dijadikan ukuran utama dalam membuat penilaian. Inilah jasa Asas 50 yang dilanjutkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara.  Nilai-nilai Islam dan peranan ilmu yang benar yang menjadi pegangan para pujangga persuratan Melayu, kini diganti dengan nilai dan ukuran Barat sepenuhnya dalam semua analisis dan penilaian yang dibuat oleh Paneh Anugerah Sastera Negara.  Semua ini dibungkus dalam konsep realisme yang menjadi teras penilaian Panel. “Jasa” Panel Anugerah Sastera Negara, dari segi negatifnya, ialah memperkukuh  dan meneruskan pengaruh pemikiran Barat dalam sastera dan kritikan sastera di Malaysia melalui laporan mereka.
             Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam Kuliah MASTERA berjudul Dinamika Pemikiran Sastera Melayu (DBP 2009), telah membicarakan dengan terperinci dan teliti kaedah dan ukuran penilaian yang digunakan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporan mereka. Buku ini wajar menjadi bacaan wajib para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera untuk mengetahui dengan mendalam konsep realisme dalam kesusasteraan Melayu moden dan bagaimana konsep itu dipakai oleh para sasterawan dalam karya mereka, serta bagaimana pula digunakan oleh para penilai sastera ketika menilai karya kreatif para sasterawan Melayu.  Prof Ungku Maimunah juga menghuraikan bagaimana gagasan Persuratan Baru mencabar konsep realisme itu sendiri dan kaedah yang digunakan dalam penilaian karya kreatif. Dua kedudukan ini memberi kita pengertian yang mendalam dalam perkembangan sastera Melayu moden, dan bagaimana gagasan Persuratan Baru memberikan satu alternatif berbeza dalam perkembangan seterusnya, khususnya dalam Abad 21.  Saya telah membicarakan beberapa masalah yang ditimbulkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam penilaian mereka, khususnya dari segi ukuran yang dipakai dan sejauh mana ukuran itu telah membantu perkembangan kritikan dan penulisan kreatif.

            Meskipun Panel Anugerah Sastera Negara berkata mereka menggunakan realisme sebagai asas penilaian mereka, namun realisme yang mereka ambil dari Barat tidak sama dengan yang difahami di Barat. Seperti yang telah saya buktikan, konsep realisme Barat, menurut Rene Wellek, adalah bersifat  didactic, moralistic, reformist” (Concepts in Criticism, hal. 235); tetapi bagi Panel Anugerah Sastera Negara (dalam Laporan 1985 dan seterusnya) karya yang bermutu dan yang berjaya ialah karya yang realistik yang tidak perlu menampilkan moral, tidak perlu didaktik, tidak perlu mempunyai matlamat dan tujuan, tidak perlu “berkhutbah” tentang kebaikan dan sebagainya. Semuanya harus terbuka, tanpa sebarang ikatan, lebih-lebih lagi yang bersifat moral. Tetapi dalam kehidupan manusia yang dialami oleh semua masyarakat, termasuk masyarakat tidak beragama dan masih liar di hutan Amazon, persoalan moral itu sangat diambil berat, kerana moral itulah yang menjadi ukuran dalam tata kelakuan manusia sama ada baik atau tidak baik. Hatta dalam kehidupan seorang pelacur sekali pun, persoalan moral itu masih diberi perhatian, misalnya sambil memberi khidmat seks, seseorang pelacur tidak boleh menjadi pencuri atau penipu. Dia telah diberi upah untuk khidmatnya, oleh itu dia harus menghormati lelaki yang mejadi pelanggannya dengan tidak mencuri wang atau barang-barang kepunyaannya. Tetapi bagi Panel Anugerah Sastera Negara, dalam sesebuah karya sastera seperti novel, moral adalah kekangan kepada kesenian kreatif, oleh itu tidak perlu bagi seorang pengarang menyatakan pendiriannya tentang soal moral kerana masyarakat sendiri telah mengetahuinya. Biarlah pembaca menentukannya; tetapi hujah ini pun tidak boleh dipakai, kata mereka (yakni Panel), kerana sebaik saja pembaca berhujah bahawa karya itu mengetepikan soal moral, dia ditempelak bahawa dia sebagai pembaca atau penilai tidak berhak meminta keperluan itu daripada seorang pengarang. Tidakkah ini sejenis dolak-dalik yang langsung tidak berasaskan pemikiran siuman, oleh itu tidak bermoral?  Jika pengarang diberi kebebasan begitu luas untuk mengetepikan soal moral, maka bagaimana pula pembaca tidak diberi kebebasan itu dalam penilaian mereka? Dalam teori sastera moden, pembaca berhak menentukan pendiriannya, membuat pilihannya, menentukan kualiti sesebuah karya, dan menilai karya itu mengikut kemahuannya berasaskan nilai-nilai yang menjadi pegangannya. Dilihat dalam konteks ini, hujah Panel Anugerah Sastera Negara tidak saja tidak dapat diterima, malah perlu diketepikan kerana jelas bertentangan dengan kehendak teori sastera Barat sekali pun.

Kacau-bilau begini tidak timbul dalam gagasan Persuratan Baru, kerana terasnya ilmu yang benar yang menjadikan taklif sebagai ukuran dalam menentukan kehidupan manusia (sama ada yang menerima taklif dan beriman atau menolaknya dan berada dalam kekafiran), dengan memberikan perhatian penting kepada soal-soal moral berasaskan nilai kebaikan dan kejahatan dalam kelakuan manusia sejagat, yang secara tabii memang mengetahui mencuri itu salah, membunuh itu salah, menipu itu salah, berbohong itu salah, berdusta itu salah dan seterusnya. Guy de Maupassant dalam sebuah karyanya yang terkenal (sudah diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Asraf dengan mengguna judul asal), “Boule de Suif” (Si Gemuk Gempal, atau terjemahan Inggeris yang dipakai, “Ball of Fat”), menceritakan kisah seorang pelacur dengan gelaran seperti dalam judul mempertahankan maruahnya hingga ke saat akhir, tetapi akhirnya terpaksa menyerahkan dirinya kepada seorang ketua askar sempadan yang memberi syarat kumpulan yang Boule de Suif berada bersama hanya akan dibenarkan melintasi sempadan selepas pelacur itu memuaskan nafsu ketua askar. Orang-orang “terhormat” yang berada dalam kumpulan itu puas hati kerana sang pelacur akhirnya melaksanakan khidmatnya, walaupun secara terpaksa dan tanpa kerelaannya. Cerita pendek ini mengharukan bukan saja kerana pengorbanan sang pelacur, tetapi lebih-lebih lagi kerana sifat pura-pura dan kekejaman tersembunyi orang-orang “terhormat” mengambil kesempatan untuk faedah mereka tanpa memperdulikan maruah dan perasaan sang pelacur sebagai manusia. Maupassant adalah salah seorang tokoh realisme terkenal, tetapi lihatlah bagaimana didaktiknya dan tajamnya kritikan moral yang dibayangkannya, benar-benar menepati pencirian realisme yang dirumuskan oleh Rene Wellek, yang bertentangan dengan pendapat Panel Anugerah Sastera Negara. Dalam sebuah cerita pendek yang lain, oleh Prosper  Merimee, salah seorang pelopor gerakan Seni Untuk Seni, berjudul “Mateo Falcone”, seorang bapa sanggup membunuh anak lelakinya kerana telah mengkhianati amanah, yang dengan itu menjatuhkan maruah keluarga dan telah melanggar ajaran agama Kristian. Meskipun seorang pelopor dan penganut Seni Untuk Seni, karyanya masih jelas didaktik dan mengutamakan ajaran moral menurut agama Kristian. Dalam karya moden, trutama yang dinisbahkan kepada faham  pascamoden, sifat didaktik dan penekanan moral itu bersifat kebebasan peribadi untuk memuaskan hawa nafsu, seperti yang jelas dibayangkan oleh Anwar Ridhwan dalam cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen”.  Karya begini dianggap bermutu tinggi oleh Panel Anugerah Sastera Negara kerana menurut mereka terdapat unsur eksperimen di dalamnya, oleh itu membawa perubahan.  Tetapi hujah ini bertentangan dengan sifat tabii manusia yang secara universal tahu membezakan mana yang mungkar dan mana pula maaruf. Dalam kehidupan pascamoden, pembahagian itu tidak ada lagi, dan inilah yang dimaksudkan dengan pembaharuan oleh Panel Anugerah Sastera Negara. Di sinilah Panel Anugerah Sastera Negara keliru besar, kerana mereka sendiri sudah ragu mana yang dianggap makruf dan mana pula yang dianggap mungkar. Pembahagian itu tidak ditegaskan lagi dalam penilaian mereka. Yang ditegaskan ialah eksperimen dan pembaharuan, tanpa kaitan dengan  nilai-nilai makruf dan mungkar; atau jika ada pun kaitan itu, maka amat samar dan tidak disengajakan. Apabila seorang sasterawan dengan sengaja menjadikan kemungkaran dan maksiat sebagai temanya,  dengan berlindung di sebalik soal kemanusiaan sejagat, seperti A. Samad Said dalam Salina dan Langit Petang, maka dia sebenarnya mengemukakan masalah moral yang dikupas melalui cerita yang tidak bermoral. Oleh itu ke mana sekali pun arah yang dituju, soal moral tetap tersirat dalam karya itu;  jadi tidaklah benar pandangan Panel Anugerah Sastera Negara yang menafikan moral. Tidak bermoral adalah juga sejenis moral dari segi negatifnya.  Moral jenis inilah yang dipaparkan dalam karya-karya sastera yang dikatakan tidak mementingkan moral itu. Tidak mementingkan moral adalah sikap tidak bermoral yang perlu dikecam, dikritik, dan ditolak. Akal sihat tidak dapat menerima kejahatan dalam bentuk apa sekalipun. Adalah sangat aneh apabila karya sastera dikatakan tidak memerlukan unsur moral dan tidak perlu isian berunsur ilmu  untuk menjadi karya yang berjaya.  Semua kekacauan ini dimulai oleh Panel Anugerah Sastera Negara: untuk Muhammad Hj. Salleh dipuji unsur “intelektual” di dalam karyanya (tetapi tidak didaktik, kata Panel, hanya unsur intelektual yang  pure and simple); untuk A. Samad Said dan lain-lain dipuji kerana tidak mementingkan moral dan pengajaran dalam karya mereka.  Kata para penyokong dan pemuja A. Samad Said, keunggulan beliau sebagai sasterawan besar Malaysia bertaraf dunia ialah kerana kayanya unsur kemanusiaan sejagat di dalam karyanya seperti Salina.  Kata mereka, hanya “karya sastera” yang berupaya menampilkan kemanusiaan sejagat ini, tidak dalam karya persuratan yang kontang dari unsur kemanusiaan kerana terlalu obsesif dengan ilmu. Semua ini bagi saya hanya kekacauan belaka, yang timbul dari tidak beresnya konsep ilmu yang menjadi pegangan mereka, atau seperti kata mereka (para sasterawan) memang ilmu itu tidak penting sama sekali dalam menentukan bernilai tidaknya “karya sastera” ciptaan mereka. Dalam keadaan yang kacau inilah muncul gagasan Persuratan Baru  untuk mengembalikan peranan ilmu dalam seni penulisan supaya masyarakat Melayu, khususnya, tidak lagi tinggal bodoh diperdayakan oleh para sasterawan yang kerana mereka sendiri tidak berilmu atau cetek ilmu, menjadi penentang peranan ilmu dalam seni mengarang. Keadaan ini hanya wujud di Malaysia, tidak di tempat-tempat lain. Adakah ini satu keistimewaan kita?

Mohd. Affandi Hassan, 9/6/2011.

1 comment:

  1. Salam. Apa pula agaknya peranan Penerbit buku-buku sastera. Tak silap saya mereka ada editor yang menilai manuscript sebelum setuju menerbitkannya. Adakah editor dalam syarikat penerbit ini memahami konsep dan prisip Persuratan Baru. Panel penilai untuk memilih Sasterawan Negara tidak akan mendapat pencalunan jika penerbit tidak menerbitkannya. Melainkan individu yang menerbitkan hasil karyanya tanpa melalui mana-mana Penerbit.
    Saya sekadar ingin berfahaman sendiri setelah mengikuti entry Pak Affendi yang saya setuju. Morality semestinya diasaskan pada Ilmu yang benar.TQ

    ReplyDelete