Gaya Persuratan Baru (IV)
Pertama: Mengapa saya terus menulis dan membicarakan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh? Tidak jemukah? Soalan ini menarik, walaupun agak nakal dan bernada mischievous. Tidak mengapa. Sebenarnya saya sedang menyediakan generasi baru, yang bukan lagi “pelajar tahun empat” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, tetapi terdiri daripada para sarjana muda yang cerdas berfikir, para penulis muda yang berilmu dan mempunyai daya kreatif yang tinggi, dan masyarakat pembaca yang bukan lagi terdiri daripada golongan yang menyanjung pandirisme, tetapi mampu memahami dengan kritis sebarang tulisan yang mereka baca. Golongan ini sudah ada, tetapi belum ramai, belum berupaya memberikan pengaruh mereka yang besar terhadap perkembangan pemikiran masyarakat. Sudah ada, dan akan berkembang. Insya Allah. Merekalah yang perlu menilai dengan jujur, adil, saksama, berasaskan ilmu yang mendalam dan pengalaman intelektual yang luas, akan sumbangan sebenar tokoh-tokoh seperti Muhammad Hj. Salleh dan teman-temannya serta para pengikutnya. Hal ini penting ditegaskan kerana kita akan membawa masyarakat kita dari budaya berasaskan pandirisme yang ada sekarang kepada budaya ilmu berasaskan fahaman taklif dalam keilmuan Islam, dalam tamadun Islam, dan dalam persuratan Melayu sendiri yang dulunya dibina dan dibangunkan oleh para ulama. Jalan itu harus dibina dari sekarang, supaya tokoh-tokoh foni boleh dikenal pasti dan mereka diberi tempat yang layak dengan ciri-ciri kefonian mereka (bukan pemikiran mereka). Sumbangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh perlu dinilai dengan kritis, sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Tokoh Akademik Negara. Tentu saja wajar jika sumbangan dan “pemikiran” beliau terus dikritik dengan kritis supaya sumbangan beliau lebih mudah difahami dan lebih mudah diletakkan pada tempat yang sesuai untuk dinilai oleh masyarakat, terutama sekali para pelajar universiti yang ada sekarang, yang perlu tahu dengan pasti siapakah tokoh mereka yang sebenarnya. Inilah tuntutan ilmu yang tidak dapat dielakkan jika kita mahu membina tamadun ilmu berasaskan ilmu yang benar, yang berpandukan konsep taklif. Akhirnya yang akan menentukan kedudukan sebenar seorang sarjana Islam ialah sejauh mana ia telah membawa pembacanya, atau pengikutnya, kepada kebenaran hakiki, bukan kepada “kebenaran” semu yang kelihatan bagus padahal palsu.
Ada yang memprotes: Kononnya saya memperkecil sumbangan intelektual Prof. Dr. Muhammad Salleh dengan menganggapnya hanya seorang peyelidik biasa dan seorang penulis esei yang biasa-biasa saja. Walaupun saya agak kritis, tetapi tidaklah sampai ke tahap yang dilakukan oleh Prof. Dr. Mohd. Mokhtar Hassan dalam sebuah makalahnya yang terkenal, “Menyeberang Sejarah: Dari Pemikiran hingga Keresahan Muhammad Haji Salleh dalam Mendialog Warisan” (Rangkaian Pemikiran Dalam Karya Sastera, DBP 2006). Saya tidak mahu mengulangnya di sini, cukup dengan membaca makalah saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, bab 4, yang membicarakan secara ringkas tulisan Prof. Dr. Mokhtar. Bacalah di sana jika anda berminat, jika tidak anda harus membaca dengan lebih teliti tulisan saya dalam konteks yang dimaksudkan, tidak dalam konteks yang anda pandai-pandai pilih sendiri, yang tentu saja out of context. Jika anda tidak membacanya, tetapi mahu memberi pendapat berasaskan gosip dan tohmahan yang anda dengar, maka saya tidak bertanggungjawab jika anda terjatuh ke dalam gaung kejahilan dan prasangka anda. Tiap-tiap orang mempunyai tanggungjawab untuk menjaga maruah akademik sendiri, dan anda pun begitu juga.
Sebenarnya saya tidak memperkecil sumbangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, saya hanya mengkritiknya. Apabila saya berkata syarahan perdana beliau, Puitika Sastera Melayu: Satu Pertimbangan, hanya sebuah esei biasa daripada satu penyelidikan yang tidak lengkap dan agak dangkal, maka saya memberikan hujah dan pembuktian yang mencukupi, tidak saja sekadar mengkritik. Standard yang saya pakai ialah syarahan pengukuhan Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1972). Tetapi orang yang memuji beliau tidak memberikan apa-apa hujah dan bukti, hanya sekadar memuji. Saya ambil contoh Anwar Ridhwan, yang telah saya sebut dalam tulisan saya, dan tidak perlu saya ulang lagi di sini. Ambil contoh lain, Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang dalam kutipan yang saya turunkan dalam posting 12 Julai 2011, mengatakan esei biasa itu “is a feat in itself”, maka sebagai seorang sarjana yang teliti dan mendalam pengetahuan sastera Baratnya, beliau wajar memberi penjelasan, kerana jika tidak, beliau hanya bermain dengan kata-kata. Ini tidak bagus bagi seorang sarjana, kerana kata-kata yang dipermainkan itu, jika difahami, sangat significant dari segi akademik. Ini bermakna Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh telah memberikan satu sumbangan ilmu yang amat besar kepada kesarjanaan Melayu, padahal jika dibaca dengan kritis, seperti yang dilakukan oleh Prof. Siti Hawa Salleh, apa yang dikatakan sebagai “a feat in itself” itu hanyalah satu ujaran biasa saja, tidak menambah ilmu kita tentang sastera tradisional, dan tidak juga memberikan kita satu alternatif dalam pemikiran kita tentang sastera tradisional Melayu yang belum kita ketahui. Jika syarahan ini dilihat dari prspektif “pelajar tahun empat” yang disebut oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, maka saya bersetuju memang dalam taraf akademik “pelajar tahun empat” itu, memanglah “it is a feat in itself”. Tetapi tidak dalam konteks akademik yang kita tahu tentang sastera tradisional Melayu. Apatah lagi dalam konteks sebuah teori sastera, yang memang “jauh panggang dari api”. Kesimpulan ini adalah wajar dan akan saya pegang, sehingga saya diberikan hujah yang lebih baik untuk mengubah kesimpulan saya. Sehingga itu, saya masih berada di pihak yang benar, walaupun pengetahuan sastera saya lebih rendah daripada pengetahuan sastera “pelajar tahun empat” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Saya sering menyebut tentang “pelajar tahun empat” ini untuk mengingatkan betapa tercalarnya kredibiliti beliau kerana hingga kini belum muncul salah seorang “pelajar tahun empat” beliau daripada 4000-5000 yang mendalam pengetahuannya tentang sastera itu tampil mempertahankan kredibiliti beliau sebagai seorang profesor yang unggul; dengan itu matlamat beliau untuk memperlekeh keupayaan ilmiah saya tidak saja gagal, malah memantul kepada beliau sendiri dan mencalar teruk kredibiliti dan dignitinya sebagai seorang sarjana. Padahal saya terus mara dalam bidang pemikiran sehingga beliau sendiri terpinga-pinga tidak berupaya lagi memahami aspek pemikiran itu kerana beliau berada di luar lingkungan ilmu yang saya berada di dalamnya; sedangkan saya boleh mencapai bidang kepakaran beliau dan dengan mudah boleh mematahkan hujah beliau dalam bidang itu, satu persatu, seperti yang saya buktikan dalam buku saya, Medan-medan Dalam Sistem Persuratan Melayu (1994). Inilah dunia ilmu yang kita kehendaki dibangunkan di negara kita di kalangan cerdik pandai kita, yang masih subur di Barat, dan tentu saja menjadi kekuatan dalam budaya ilmu para sarjana Islam. Jika anda memahami konteks kritikan saya, saya fikir anda boleh menerima dengan aman dan selesa pandangan-pandangan kritis saya kerana semuanya dilakukan untuk membina dunia ilmu yang menolak pandirisme. Dalam aspek ini, saya tidak boleh berkompromi kerana saya tidak mahu merendahkan darjat ilmu dan akan terus meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam usaha membina persuratan Melayu dalam Abad 21 ini. Dengan penjelasan ini saya harap tidak timbul lagi kemusykilan daripada sesiapa pun mengenai perkara ini. Tetapi ini tidak bermakna saya menutup semua kecenderungan sesiapa juga untuk terus berada dalam kesangsian yang dipilihnya; asal saja kesangsian itu melahirkan pandangan yang positif berasaskan fakta dan analisis yang tepat. Itulah jalan penyudah yang mesti dilalui oleh sesiapa juga yang ingin berbicara tentang ilmu.
[Catatan: Dengan itu bab ini ditutup dan ditamatkan. Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, juga saya sendiri, diserahkan kepada sejarah untuk diadili para ahli sejarah pemikiran Melayu yang saya yakin jauh lebih pintar dan cerdik daripada beliau dan saya sendiri.]
Mohd. Affandi Hassan, 13/7/2011.
No comments:
Post a Comment