Thursday, July 21, 2011

Kemanusiaan (Humanity), Humanisme, dan Faham Jahiliah Moden

(Menjadi renungan sebulan berpuasa 1432/2011 ketika saya bercuti)

Ketika membicarakan karya-karya A. Samad Said, terutama Salina,  Panel Anugerah Sastera Negara menegaskan, kekuatan beliau, selain ketangkasannya meniru dan menggunakan teknik penulisan Barat seperti realisme dan naturalisme, ialah kekayaan unsur kemanusiaan di dalam karya-karyanya. Salina, seorang pelacur, bukanlah sebarang pelacur, tetapi seorang pelacur yang baik hati (ingat: baik secara umum berbeza daripada baik hati yang khusus) dan kaya nilai-nilai kemanusiaannya. Seperti yang diakui oleh A. Samad Said sendiri, novel Salina ditulis dengan penuh kesedaran untuk menceritakan “kisah seorang pelacur yang baik hati” yang bernama Salina, yang gagal dalam percintaan pertama, tetapi semangat kewanitaannya tetap kuat dan teguh, sehingga dia sanggup bersekedudukan dengan seorang lelaki yang pada dasarnya kejam, tetapi dapat memuaskan keperluan tabii dan keperluan kerohanian Salina. Lelaki perkasa itu tidak dicintainya, tetapi disayanginya kerana mempunyai iras yang hampir sama dengan kekasihnya yang meninggal dunia. Tidak penting sama ada unsur psikologi di sini amat dangkal dan terlalu kebudakan, kerana yang lebih diutamakan ialah sejenis sensasi berasaskan seks yang tidak keterlaluan, tetapi cukup untuk melukiskan watak seorang pelacur yang dalam kumpulannya dapat dikatakan bertaraf selebriti tersendiri. Tidak syak lagi, tujuan dan matlamat A. Samad Said untuk berkisah tentang seorang pelacur yang baik hati sudah tercapai dengan jayanya. Salina kemudiannya, di tangan para sarjana Melayu, terutama di tangan sarjana wanita, diangkat menjadi wanita unggul kerana sifat kemanusiaannya yang kaya dan tidak berpura-pura. Pada waktu itu, menurut pemerhatian A. Samad Said, watak wanita Melayu yang menjadi pelacur itulah yang paling menarik untuk dijadikan watak unggul dalam sastera Melayu, dalam bentuk novel yang menurut penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, “Salina membawa perubahan kerana tidak lagi membawa tema tertentu, apa lagi perutusan yang jitu.”  Kekaguman Panel terletak pada keupayaan A. Samad Said “mengisahkan segala peristiwa sebagai pemerhati yang terperinci, daripada sebagai moralist yang memberikan penilaian peribadinya terhadap watak-watak dan kisah-kisah mereka” (Laporan 1985, hal. 13). Bagi Panel, A. Samad Said adalah seorang sasterawan yang par excellence, yang amat istimewa. Wealaupun Salina   dicabar oleh pembaca yang lebih matang (yang tidak semestinya tua, kerana terdapat pembaca yang matang ini dari kalangan remaja sekalipun), yang menolak Salina sebagai racun tidak ketara dalam kesusasteraan Melayu, yang telah mengheret pembaca Melayu menjadi begitu lembik pemikiran dan daya analisisnya kerana terpesona oleh kepalsuan permainan bahasa yang kosong dari makna yang mendalam tentang erti kehidupan manusia yang sekali atau beberapa kali dalam kehidupannya timbul perasaan menyesal dan ingin bertaubat kerana di sudut paling lemah di dalam hatinya masih berkelip rasa insaf dan ingin kembali menjadi manusia, namun pengaruh hedonisme dan mendalamnya erti sastera dan karya sastera dalam pengertian Barat yang dihunjam ke dalam lubuk hati para pembaca Melayu oleh pengkritik dan sarjana sastera, juga oleh para sasterawan sendiri, maka kehadiran Salina dalam kesusasteraan Melayu moden menjadi ukuran sejauh mana manusia Melayu itu mendapat maklumat dan pengertian yang betul tentang seni mengarang yang dikehendaki dalam Islam. Jika kita menggunakan ukuran ini, kita akan dapati orang Melayu masih hanyut dalam kekeliruan yang berterusan, dan ini menjadi amat memilukan kerana kekeliruan itu diteruskan dan dipertahankan dengan gigih dan penuh perasaan amarah oleh sarjana sastera, pengkritik dan para sasterawan sendiri. Inilah mala petaka yang pernah saya sebut sebagai “fitnah dalam sastera Melayu” yang mendapat reaksi yang sampai ke peringkat amukan di kalangan kumpulan yang mempertahankan Salina sebagai novel agung mereka. Jikalau kita boleh menggunakan istilah tragedi dalam makna negatifnya, maka inilah tragedi yang paling tolol dalam pemikiran kita setelah ditanam dengan nilai yang karut dan keliru  oleh Prof. A. Teeuw, yang kemudiannya diteruskan oleh Panel Anugerah Sastera Negara hingga ke saat ini.  Dalam konteks inilah para pelajar, penulis dan pembaca disuap istilah kemanusiaan yang menjadi teras penilaian Panel Anugerah Sastera Negara.  Saya telah menyebut dalam tulisan lain bagaimana seorang profesor yang hidupnya mengajar “ilmu sastera” memberitahu kita, bahawa karya sastera itu tidak perlukan ilmu, yang diperlukan hanya cerita, kerana desakan untuk bercerita itu lebih besar dan lebih kuat daripada desakan untuk menyampaikan ilmu, oleh itu sesiapa juga yang menulis karya kreatif yang mahu diterima sebagai karya sastera tidak perlu “berilmu-ilmuan” dalam karyanya, apatah lagi memasukkan unsur didaktik, pengajaran, atau apa juga yang bersangkut paut dengan “dunia ilmu” yang berubah-ubah. Dunia sastera itu dunia rasa, dunia perasaan yang akan mati, atau sekurang-kurangnya layu terus sebaik saja diisi dengan apa-apa juga bentuk yang bersifat ilmu walau  sekecil mana sekali pun. Tidakkah ini satu tragedi dalam makna negatifnya? Inilah maksud mala petaka yang saya tekankan dan tegaskan dalam banyak tulisan saya, yang menjadikan “sastera Melayu moden” itu tempat budak-budak berpesta dengan diperhatikan oleh ibu-bapa mereka (yakni: profesor, sarjana, pengkritik, sasterawan) dengan riuh tertawa memerhatikan kelakuan anak-anak yang jauh lagi masanya akan dewasa, itu pun jika mereka akan dewasa. Inilah gambaran budaya  pandirisme yang paling jelas, paling tepat mencerminkan apa yang kita lakukan dalam apa yang kita namakan “kesusasteraan” itu. Dengan menggunakan istilah eksperimen, perubahan dan kemajuan, Panel Anugerah Sastera Negara melihat karya sastera  itu sebagai sejenis permainan yang mengasyikkan, yang di dalam Quran disebut lahwun wa la’ibun (Rujuk Quran, 6: 32; 29: 64; 47: 36; 57: 20). Dari situlah lahirnya konsep kemanusiaan yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan para sasterawan umumnya.

Budaya pandirisme ini mesti berubah. Perubahan itu tidak akan berlaku jika kita masih terus berada dalam “dunia sastera”. Kita harus berpindah dari budaya pandirisme yang diheret oleh para sasterawan dan suku sakat mereka ke dalam gua gelap Jahiliah Moden yang pelitanya hawa nafsu rendah manusia, yang hanya berjaya melahirkan Salina, TIVI, “Dunia Adalah Sebuah Apartmen” dan lain-lain yang sejenis dengannya. Jalan ke dunia persuratan adalah jalan yang lurus, yang akan membawa manusia menjadi manusia kembali seperti yang pernah dijanjikan oleh mereka di hadapan Maha Pencipta ketika persaksian mereka diminta daripada mereka. Itulah dunia yang “mencerahkan” kehidupan manusia, dan itulah makna hakiki apa yang disebut kemanusiaan itu: yakni manusia menerima hakikat kejadian insan sebagai hamba Allah dan khalifah Nya sekaligus, yang terikat kepada hakikat taklif yang walaupun dinafikan dengan pelbagai falsafah dan pembohongan, tetap berada di dalam dirinya, kerana taklif itu menjadi pakaiannya yang tidak boleh dibuang dari hakikat dirinya. Hanya boleh dilupakan, jika dia akhirnya menjadi orang yang tolol dan bangga memberontak dalam dunia tololnya. Jika dia siuman, dia tidak akan menjerit, “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”; tetapi akan berbisik: “aku hamba Mu/ bertindak seperti seorang hamba/ tetapi dengan izin Mu/ berasaskan cinta Ilahi/ aku akan merenggut langit angkasa/ memohon kurnia Mu”.  Atau susunlah begini untuk menjadi sebuah puisi kecil (bukan sajak):

                        Aku hamba Mu
                        Bertindak seperti seorang hamba
                        tetapi dengan izin Mu
                        Berasaskan cinta Ilahi
                        Aku akan merenggut langit angkasa
                        Memohon kurnia Mu.

Itulah karya persuratan, yang lahir dari kesedaran taklif. Dan karya begini akan membawa manusia ke taman ilmu yang gemerlap dengan kebijaksanaan yang amat diperlukan oleh manusia moden waktu ini, yang sudah begitu lama diselubungi ajaran Jahiliah Moden itu. Dalam konteks inilah kita harus memberi makna sebenar “kemanusiaan”, bukan dalam konteks “Kesalinaan” seperti yang dianjurkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara dan disambut mesra oleh para sarjana, pengkritik dan sasterawan yang tidak kenal diri mereka yang sebenarnya. “Kembali menjadi manusia”, itulah slogan yang akan membawa manusia menjadi manusia kembali. Itulah maksud istilah kemanusiaan dalam epistemologi Islam.  Menggunakan istilah “kemanusiaan” untuk  melindungi kemungkaran dan terus melakukan yang mungkar dalam dunia penulisan, akan terus terjerumus ke dalam budaya pandirisme sambil bergantung di langsir berlumut busuk Jahiliah Moden, yang kelihatan “gemerlapan” tetapi hanya cahaya kaca, bukan cahaya permata. Kamanusiaan yang sebenarnya, yang mencirikan manusia sebagai hamba Allah dan khalifah Nya di dunia, haruslah dihuraikan dalam konteks hakikat insan, hakikat ilmu, hakikat amal dan jika ini berkaitan dengan persuratan (atau kesusasteraan) haruslah pula dilihat dalam konteks hakikat dan fungsi persuratan (atau sastera).

Supaya kita dapat melihat mengapa perubahan ini perlu dilakukan, kita perlu lihat wajah sebenar yang dinamakan humanisme itu dalam lingkungan hidup di tempat asalnya. Penjelasan tentang humanity dan humanism terdapat dalam buku Raymond  Williams, Keywords (Fontana Books, 1976).  Buku yang lebih baik, kerana huraiannya terperinci, oleh David Ehrenfeld, The Arrogance of Humanism (OUP, 1978).

Istilah “kemanusiaan” yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara dalam laporannya telah mengelirukan para sasterawan,  golongan lama dan lebih-lebih lagi yang baru, yang mengaitkan semua nilai ditentukan oleh manusia dan masyarakatnya. Inilah pandangan yang menjadi asas humanisme, menjadikan manusia sebagai sumber nilai dan undang-undang. Ini cerita lama, sejak zaman Yunani dulu lagi. Malah orang Barat berterima kasih kepada Socrates dan murid-muridnya yang telah menurunkan filsafat dari “angkasa” (mitos dan sebagainya, yang berasal daripada pengajaran dewa-dewi di Gunung Olympus) ke bumi, kepada kehidupan manusia biasa. David Ehrenfeld meminjam definisi “humanism” daripada Webster’s Third New International Dictionary, bahawa “humanism” itu ialah “the religion of humanity”, iaitu “a doctrine, set of attitudes, or way of life centered upon human interests or values.” (hal. 5). Seperti yang dapat dilihat dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, terutama sekali ketika membicarakan karya-karya A. Samad Said, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, Anwar Ridhwan, S. Othman Kelantan, menggunakan definisi ini secara tabii, yakni sebagai sesuatu yang tidak perlu diperiksa dengan cermat kerana itulah kehidupan manusia moden. Dengan kata lain yang ringkas, itulah faham sekularisme totok. Supaya masalah ini dapat dilihat dengan lebih jelas, saya kutip di sini pandangan Ehrenfeld tentang persoalan ini dan mengapa ia perlu menulis bukunya:

“There is more than academic reason for writing about the religious nature of humanism, for some of humanism’s religious assumptions are among the most destructive ideas in common currency, a main source of the peril in this most perilous epochs since the expulsion from Eden. Nor is the danger merely a potential one – to be characterized as a figmen of a  doomsday neurosis, and then dismissed. Like the long-anticipated monster in one of Henry James’s best stories, the “beast in the jungle” is not in the jungle at all. It is out in the open, among us, inflicting its daily injuries, and we have only to look at it to see it. But we will not look. This damaging self-deception is the subject of this book ...” (hal. 4)

Apa yang disebut oleh beliau sebagai “damaging self-deception” itu tercokol dalam konsep kemanusiaan yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dan diterima oleh para sasterawan sebagai sesuatu yang mencirikan nilai-nilai yang diperlukan untuk menilai karya sastera. Dalam konteks inilah mengapa Salina mendapat pujian tinggi, setelah dinilai berasaskan faham humanisme Eropah oleh Prof. A. Teeuw yang diterima dengan baik oleh para sasterawan (pada mulannya Salina tidak dikenal langsung setelah para juri menimbulkan soal moral dalam novel itu), padahal dalam sistem nilai orang Melayu yang kuat agamanya menolak kejahatan dalam bentuk apa pun. Dengan munculnya idea kesusasteraan berasaskan faham humanisme Barat dalam masyarakat dan pendidikan kita, kejahatan tidak lagi dilihat sebagai kejahatan, tetapi sebagai sebahagian daripada kehidupan manusia dari segi kemanusiaannya, yang harus diberi simpati dan diterima sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Jelas di sini konsep nilai dan moral ditentukan sepenuhnya oleh masyarakat dan manusia sendiri. Inilah kelangsungan faham falsafah humanisme yang menjadikan manusia sumber dan penentu segala nilai. Kerana itu nilai-nilai yang menjadi pegangan amat relatif, boleh berubah dalam sekejap masa, misalnya apa yang berlaku kepada Salina selepas ditakdiskan oleh Prof. A. Teeuw. Itulah maksud “the beast in the jungle” yang kini berkeliaran di bilik-bilik darjah, bilik kuliah, dan dalam kaedah penilaian karya sastera. Dalam politik antarabangsa, politik global, humanisme digunakan untuk menutup sikap anti-Islam, dengan itu beratus ribu rakyat Iraq dan Afghanistan dibunuh; diikuti dengan pembunuhan di Libya oleh Kesatuan Eropah, dengan bantuan dan sokongan Amerika Syarikat, untuk membela rakyat yang ingin bebas (?) daripada pengaruh dan kekuasaan  kerajaan yang ada.  “Damaging self-deception” yang menjadi arus perdana dalam faham sastera Melayu sekarang tidak boleh lagi melihat bahawa terdapat korupsi intelektual yang serius dalam analisis dan penilaian karya sastera, yang dipakai dalam sistem pendidikan dan dalam kritikan sastera.

Seterusnya kata Ehrenfeld lagi:

“Setting aside the notion of human worth and dignity, which is part of many religions, we come at once to the core of the religion of humanism: a supreme faith in human reason – its ability to confront and solve the many problems that humans face, its ability to rearrange both the world of Nature and the affairs of men and women so that human life will prosper. Accordingly, as humanism is committed to an unquestioning faith in the power of reason, so it rejects other assertions of power, including the power of God, the power of supernatural forces, and even the undirected power of Nature in league with blind chance. The first two don’t exist, according to humanism; the last can, with effort, be mastered. Because human intelligence is the key to human success, the main task of the humanists is to assert its power and protect its prerogatives wherever they are questioned or challenged” (hal. 5-6). Ehrenfeld membuat kesimpulan: “Many people like to call themselves humanists because the name has acquired pleasant connotations, like ‘freedom.’” (hal. 7).

Antara ukuran yang amat digemari oleh Panel Anugerah Sastera Negara ialah percubaan melakukan eksperimen dalam penulisan, kerana ini membawa perubahan dan kemajuan dalam penulisan. Malah inilah yang boleh dianggap menjadi tunjang ukuran Panel: segala-galanya mesti berubah dalam konteks untuk mencapai kemajuan dalam penulisan. Perubahan itu tidak lagi dilihat dalam konteks amar-makruf, tetapi dilihat dan dinilai sepenuhnya dalam konteks “kemanusiaan” berasaskan faham humanisme, yang akhirnya tidak lain daripada sekularisme sepenuhnya. Inilah sebab utama mengapa mereka menolak gagasan Persuratan Baru, kerana bagi mereka PB tidak perlu dipakai untuk memahami konsep sastera sejagat (yakni: konsep sastera Barat) yang menjadi amalan selama ini. Jika PB dipakai dalam analisis dan penilaian, cabaran yang mereka tempuh terlalu besar, yang berkemungkinan akan menyisihkan mereka dari arus perdana yang mereka bina dengan gigih sejak sekian lama. Inilah “damaging self-deception” yang ditawarkan kepada masyarakat, dan kerana masyarakat tidak lagi percaya kepada konsep ilmu yang benar, maka mereka menerima kepalsuan ini sebagai standard.

Satu-satunya cara untuk menyedarkan masyarakat akan kepalsuan “damaging self-deception” ini ialah dengan kembali kepada al-Quran dan Sunnah, dengan kepercayaan bahawa masyarakat masih menerima dan berpegang teguh kepada ajaran Quran dan Sunnah, cuma mereka agak sangsi kerana terlalu kuat menerima tamparan sekularisme Barat yang diasak setiap saat melalui media yang dikuasai Barat, walaupun berada di Malaysia. Program sekularisasi masyarakat ini telah dijadikan program berterusan melalui TV, akhbar, radio dan menjadi kuasa besar dalam sistem pendidikan. Anak-anak kita dididik untuk menerima sekularisasi ini, yang kadang-kadang dilakukan dengan menggunakan Islam sebagai umpan. Malah apa yang satu ketika dulu disebut sebagai sastera Islam, pada hakikatnya adalah sekularisasi sastera atas nama Islam. (Perkara ini telah saya sebut dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid, DBP 1992/2005.)  Bagi maksud mendapat kembali keyakinan kepada Islam, saya ingin merujuk kepada serangkain ayat al-Quran yang membicarakan tentang “kalimat tayyibah”, yang sungguh tepat untuk dijadikan panduan dalam analisis dan penilaian karya kreatif, terutama sekali karya sastera (dalam karya persuratan aspek ini telah dijadikan teras karya persuratan). Saya rujuk anda semua untuk membaca ayat-ayat berikut, al-Quran 14 (Surah Ibrahim): 24-27, diberi judul dalam al-Quran dan Terjemahnya, “Perumpamaan tentang Kebenaran dan Kebatilan.” Saya juga jemput anda melihat Tafsir Muhammad Asad, The Message of the Quran (Dar al-Andalus, Gibraltar, 1980). Hanya penjelasan beliau yang akan saya salin, terjemahan beliau boleh dirujuk sendiri.

“In its wider meaning, the term kalimah (word) denotes any conceptual statement or proposition. Thus, a “good word” circumscribes any proposition (or idea) that is intrinsically true and – because it implies a call to what is good in the moral sense – is ultimately beneficent and enduring; and since a call to moral righteousness is the innermost purport of every one of God’s messages, the term “good word” applies to them as well.  Similarly, the “corrupt word” mentioned in verse 26 applies to the opposite of what a divine message aims at: namely, to every idea that is intrinsically false or morally evil and, therefore, spiritually harmful.  [Refering to qarar] “having no permanance (qarar) whatever”: that is, the “corrupt word” is ephemeral in its effect, however strong its original impact on the minds of people who fall prey to it.  [Refering to thabit] “firm” (thabit).  The term qawl – similar to the term kalimah, denotes, beyond its primary meaning of “saying” or “utterance”, also anything that can be defined as a statement of belief or opinion, namely, “concept”, “tenet”, “assertion of faith”, and so on. In this context it expresses the concept that there is no deity save God, and that Muhammad is His Apostle: which is an intrepretation of the above phrase given by the Prophet himself, as quoted by Bukhari in a Tradition on the authority of al-Bara’ ibn ‘Azib (Kitab at-Tafsir), and by other Traditionists, including Muslim, on the authority of Shu’bah. The adjective thabit connotes the “firmness”  - that is, the unshakable truth – of the “word” (or “concept”) which it qualifies, thus connecting it with the preceding parable of the “good word” and the “good tree”.

Kutipan panjang ini harus dirujuk kepada Tafsir Muhammad Asad, hal. 376, untuk difahami dengan lebih jelas. Saya tidak menurunkan terjemahan ayat-ayat 24-27 kerana saya fikir lebih baik (termasuk mendapat pahala membaca Quran) jika dirujuk sendiri oleh anda semua. Lagi pula Quran bukanlah sesuatu yang tabu dalam kehidupan Muslim, walaupun mereka tidak mahu membukanya dan membacanya setiap hari.

Seperti yang saya tegaskan, jika konsep “kemanusiaan” yang popular di kalangan ahli Panel Anugerah Sastera Negara itu dilihat dalam konteks yang dimaksudkan dalam al-Quran, maka makna dan  kesannya akan jauh berbeza daripada yang difahami dalam konteks humanisme.

Untuk menyimpulkan perbincangan ini, saya ingin mengemukakan cadangan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka supaya sumbangan Panel Anugerah Sastea Negara ini dibahaskan dengan mendalam dalam satu seminar kebangsaan anjuran DBP. Saya cadangkan supaya dilantik seorang atau beberapa orang pakar untuk mengkaji aspek ukuran dan penghujahan yang digunakan dalam laporan Panel. Seterusnya dipilih pakar yang lain pula untuk membicarakan dengan mendalam novel Salina dan lain-lain novel sasterawan negara dilihat dari segi pemikiran yang mereka tawarkan (termasuk juga penilaian sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh). Saya tidak mahu menentukan teori mana dan pendekatan mana pula yang akan dipilih; saya hanya ingin mencadangkan supaya elok juga disentuh sedikit (kalau banyak tentu lebih baik!) bagaimana karya-karya itu akan kelihatan apabila dinilai daripada perspektif gagasan Persuratan Baru. Benarkah tidak sesuai digunakan? Sebagai perbandingan (saya pun tidak faham mengapa kita tidak suka membuat perbandingan), saya cadangkan Pujangga Melayu dibicarakan dengan mendalam daripada teori atau pendekatan mana sekali pun untuk melihat sejauh mana karya itu “menyeleweng”  (saya sengaja gunakan istilah ini) daripada standard yang ditetapkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara secara khusus, juga daripada konsep kesusasteraan yang rasmi dipakai oleh DBP dan para sasterawan sendiri. Adakah terdapat apa-apa “perubahan” (dalam konteks apa sekali pun) yang boleh digunakan untuk memajukan pemikiran dalam persuratan Melayu (termasuk juga kesusasteraan Melayu) baik dari segi pendekatan dan analisis dalam kritikan mahu pun dalam penulisan karya kreatif. Saya fikir, setiap perkara yang kita ragui harus diuji sehabis kritis dan sehabis telus supaya tidak terjadi salah pilih dengan menonjolkan “kalimah yang korup” sama kedudukannya dengan “kalimah yang benar” yang ditekankan dalam al-Quran. Adakah ini satu permintaan yang keterlaluan, atau yang boleh dianggap “menyeleweng” daripada standard yang telah ditetapkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka? Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 21/7/2011.






1 comment: