Pengantar
[Peringatan: Saya sedang menyiapkan kumpulan tulisan saya berjudul, Panel Anugerah Sastera Negara Sebagai Ahli Waris Sastera Barat, yang khusus mengenai kritikan terhadap Panel.]
Tulisan yang dikumpulkan di sini pada umumnya membahaskan beberapa aspek tentang peranan dan sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara selama lebih dari 30 tahun ini. Tulisan ini telah tersiar dalam blog http://pbaru.blogspot.com/ yang saya mulai Jun 2010. Pada pandangan saya, Panel telah gagal memainkan peranan sebagai pendorong kepada perkembangan pemikiran dalam kesusasteraan, khususnya dalam kritikan sastera, kerana terlalu terikat kepada teori dan pendekatan Barat. Malah, tanpa teori dan pendekatan Barat, para sasterawan negara mungkin tidak boleh dipilih dan dinilai dengan saksama. Ketergantungan kepada teori dan pendekatan Barat ini telah menyekat (saya fikir dilakukan dengan sengaja) perkembangan teori dan pendekatan kritikan kita sendiri. Mengapa ahli-ahli panel begitu terikat kepada teori Barat? Sebab yang paling utama ialah kerana mereka hanya terdedah kepada teori dan pendekatan Barat dalam pengajian mereka. Pada umumnya mereka tidak mempunyai pengalaman intelektual yang luas, membataskan diri mereka hanya kepada sumber dari Barat sahaja. Mereka tidak tahu, dan tidak ingin untuk mengetahuinya, bahawa terdapat sumber lain yang mungkin jauh lebih kaya dan lebih canggih dari segi pemikiran jika dibandingkan dengan yang terdapat di Barat. Contoh paling baik ialah sumber dari tamadun Islam, China dan India. Dari tamadun Islam kita mempunyai sumber yang amat kaya yang membicarakan Ilmu Balaghah dan segala cabangnya. (Untuk memberi sekadar gambaran umum, rujuk Encyclopaedia of Islam.) Walaupun kita ada sastera bandingan, dan nampaknya diajar di universiti, namun kita tidak mempunyai kritikan bandingan yang membicarakan perspektif kritikan daripada sekurang-kurangnya empat tamadun besar dunia: Islam, Barat, India dan China. Mungkin sudah tiba waktunya kita mulai mengajar kritikan bandingan ini di universiti, dan mula melatih para sarjana kita untuk menguasai bahasa-bahasa utama dalam empat tamadun besar itu. Kelemahan atau kekurangan ini mungkin boleh diatasi sekiranya kita mempunyai Fakulti Falsafah dan Sejarah Pemikiran Dunia di universiti kita. Saya harap universiti kita tidak bersikap anti-ilmu kerana terlalu memberi penekanan untuk melatih para pekerja. Malaysia juga perlukan pemikir.
Sebab kedua ialah kurangnya minat untuk mendalami pemikiran para pujangga, cendekiawan, ahli nahu dan bahasa, malah para ulama yang banyak memperkenalkan beberapa istilah kritikan seperti kias (qias), syair, nazam, wazan, dan lain-lain yang terdapat dalam persuratan Melayu. Pendeta Za’ba, ketika membicarakan keindahan syair dan pantun Melayu, menggunakan konsep wazan, yakni merujuk kepada bilangan suku kata dan unsur bunyi yang dipakai oleh pemantun dan ahli syair Melayu. Dalam persajakan Melayu moden, konsep wazan ini tidak lagi terpakai, kerana dianggap mengongkong kebebasan penulis untuk berbuat apa saja yang mereka mahu terhadap bahasa yang mereka gunakan dalam sajak-sajak mereka. Akibat tidak menggunakan konsep wazan ini, maka hilanglah kecanggihan berfikir dan kecanggihan menggunakan bahasa yang indah dari segi makna dan kekuatan kognitifnya. Jika anda mahu bukti, silalah baca pantun-pantun yang ditulis oleh Abdul Rahim Kajai yang dimuat di dalam cerita pendeknya. (Tetapi ini hanya dapat dilihat dalam bentuk tulisan Jawi; apabila dirumikan, semuanya hilang. Sungguh sayang!)
Sebab ketiga, yang saya kira paling penting dan paling merosakkan, ialah kefahaman mereka yang cetek, dan sering kali silap, ketika menggunakan istilah-istilah dalam kritikan Barat sendiri, walaupun mereka mendapat pendidikan dan latihan secara langsung daripada guru-guru mereka di Barat dan banyak pula merujuk buku-buku dalam bahasa Inggeris. Dalam beberapa tulisan yang dimuat dalam kumpulan tulisan ini, saya cuba memberi sedikit gambaran mengenai perkara ini. Saya harap akan muncul beberapa orang penyelidik untuk melihat perkara ini dengan mendalam, supaya kesilapan ini tidak berterusan. Jika perkara ini tidak diberi perhatian, kita akan terus menggunakan konsep, nilai dan ukuran yang tidak tepat untuk menilai para sasterawan kita, terutama para sasterawan negara. Dan kita akan meletakkan nilai yang tinggi pada karya yang tidak wajar diberi kedudukan tinggi. Anda boleh kesan kesilapan ini dalam perbahasan yang dimuat dalam tulisan-tulisan ini. Dalam semangat inilah tulisan ini dikumpul dan diserahkan kepada pembaca yang berminat untuk mengkritiknya, dan tentu saja membetulkannya jika anda merasa perlu berbuat demikian. Malah, itulah yang anda perlu lakukan.
Akhirnya, saya mengemukakan satu alternatif yang saya fikir lebih munasabah dan lebih objektif, serta lebih berupaya menilai dengan tepat dan jitu karya-karya kreatif para sasterawan ini. Saya yakin, gagasan Persuratan Baru berupaya meningkatkan keupayaan berfikir para penulis dan mempertajam daya kreatif mereka sekiranya mereka memahami gagasan Persuratan Baru dengan “kegigihan” (?) yang telah mereka tunjukkan untuk meniru teknik penulisan Barat. Kepada para sarjana dan pengkritik sastera, saya harap anda tidak bersikap seperti kura-kura, menyorok kepala apabila bertemu cabaran/halangan. Dengan kebijaksanaan dan kegigihan kura-kura juga maka sang kura-kura boleh menang dalam pertandingan berlari dengan arnab. Walaupun ini hanya sebuah cerita kanak-kanak, tetapi Walt Disney telah mengingatkan kita, setiap yang boleh diceritakan, bisa saja dijelmakan ke alam nyata dengan kesungguhan kreatif yang tinggi. (Asalnya: If you can dream it, you can do it.)
Apabila saya ingin berkelakar dan menghibur diri sambil bersantai selepas jemu membaca atau menulis, saya mengulum kata-kata Ralf Waldo Emerson yang lucu ini (lucu kerana saya selalu teringatkan gajah gergasi meneroka hutan lebat untuk dikuti kaum keluarganya, seperti peribahasa Melayu: bagai denai gajah lalu): “Do not go where the path may lead, go instead where there is no path and leave a trail.” Tentulah lebih lucu jika anda kaitkan kata-kata lucu ini dengan “Jalan Yang Lurus”. Jika anda tidak faham maksud saya, pelajarilah gagasan Persuratan Baru dengan kegigihan seekor gajah meneroka hutan dan keazaman seekor kura-kura berlumba dengan arnab! Jika anda tersenyum membaca kesimpulan ini, sahlah anda seorang genius. Andalah orang yang diperlukan oleh persuratan Melayu Abad 21 ini. Jika sebaliknya ... Anda tahulah sendiri!
Mohd. Affandi Hassan, Petaling Jaya, 14 Julai 2011.
Selamat berpuasa juga kepada Tuan Affendi
ReplyDeleteAssalamu'alaikum,Bapak Affandi,..
ReplyDeletePertama kali jua bertemu blog karya "dingin" yang di sini pelanginya indah dengan dua warna.
Menarik,ada pesona istimewa perkongsiannya,moga Tuhan berkati usaha seterusnya.
Siapa ayah itu?
Seingat saya M.A.H ada membicarakan kisah seorang "AYAH" dalam sebuah puisi beliau lama dahulu.
Bapa..budi dan jasamu (disemadi dalam diri,bekalan kehidupan kami)dipilih menjadi seorang bapa kami.
Terimakasih,tunjuk ajarnya yang luhur,mengesankan demi 'insan ihsani'.
Wallahu 'alam dan wassalam.