Gaya Persuratan Baru: Mengapa Panel Anugerah Sastera Negara Perlu Dikritik
Kemunculan gagasan Persuratan Baru (PB) memungkinkan terjadinya beberapa perubahan dalam menilai karya kreatif dengan tumpuan kepada konsep wacana dan cerita dan konsep-konsep lain yang dikemukakan dalam PB. Dilihat dari perspektif PB, penilaian Panel Anugerah Sastera Negara kelihatan ketinggalan zaman, keliru, dan tidak tepat dalam membuat penilaian. Mereka terlalu terpengaruh dan bergantung kepada teori Barat dan konsep-konsep yang digunakan di Barat. Walaupun mereka telah meletakkan diri mereka sebagai ahli waris sastera Barat, mereka perlu ingat bahawa mereka adalah anggota sebuah tamadun yang mempunyai nilai-nilai tersendiri, oleh itu tidak wajar jika mereka dengan sewenang-wenangnya mengetepikan nilai-nilai itu hanya kerana terlalu terikat kepada nilai-nilai sastera Barat.
Bagaimana kita boleh gunakan konsep-konsep lama seperti perwatakan, latar, dialog, plot, gaya bahasa dan seterusnya dalam PB? Contoh-contoh penggunaan konsep-konsep tersebut yang didapati dalam Laporan Panel Anugerah Sastera Negara menunjukkan konsep-konsep lama itu tidak berkesan untuk menilai kualiti sebenar sesebuah karya. Laporan 1985, Laporan 2009, Laporan 1991 dan lain-lain laporan menekankan beberapa ukuran yang aneh dan tidak masuk akal. Dalam Laporan 1985, karya A. Samad Said dikatakan tidak mempunyai tema tertentu, tidak ada mesej, tidak didaktik, tidak menekankan aspek moral dalam karya, tidak mencerminkan nilai-nilai dalam masyarakat, hanya menonjolkan kisah dan persoalan masyarakat bawahan yang miskin dan tertindas. Tetapi ditekankan oleh Panel, karya-karya itu bercirikan realisme, yang menurut Rene Wellek realisme yang difahami dan dipraktikkan di Barat adalah “didactic, moralistic, reformist” (Concepts of Criticism, hal. 253). Jika Panel ingin mengubah makna dan konsep realisme sekali pun, kita perlu diberitahu mengapa perubahan itu perlu dilakukan untuk menilai karya Malaysia, terutama sekali karya A. Samad Said. Dalam keadaan yang ada, adalah lebih tepat untuk kita membuat kesimpulan bahawa Panel sebenarnya amat keliru tentang maksud realisme itu. Oleh itu ukuran yang mereka gunakan tidak masuk akal dan bertentangan dengan nilai-nilai maksiat yang ditonjolkan dalam karya-karya A. Samad Said, misalnya dalam Langit Petang yang didakwa oleh penulis sendiri bertujuan untuk mendedahkan bagaimana watak-watak yang ditonjolkan memberi erti kepada kehidupan mereka, dengan misalnya watak utama wanita dalam novel itu ingin membalas dendam dengan menyerahkan dirinya disetubuhi oleh tak kurang dari 18 orang lelaki. Tidakkah ini sejenis didaktisisme yang paling negatif dan paling ekstrem? Dalam Laporan 2009, kehadiran eksperimen yang dikaitkan dengan kelainan, simbolisme, eksistentialisme dijadikan ciri yang menentukan berjaya atau gagal sesebuah karya; dan di sini Anwar Ridhwan dikatakan menyerlahkan semua aspek itu, yang membuat karyanya bernilai tinggi dan menjadi jalur penting dalam perkembangan sastera Malaysia. Contoh yang ditonjolkan ialah cerita pendek “Dunia Adalah Sebuah Apartmen,” yang mengisahkan perzinaan manusia moden yang mempunyai gaya hidup bebas yang amoral. Dalam Laporan 1991, Panel tidak berjaya mengesan kepincangan idea dalam sajak “Pulang Si Tenggang”, yang diiktiraf sebagai sebuah sajak bermutu tinggi kerana penulisnya dengan berani mengaku dirinya seorang Si Tenggang moden yang sudah berubah daripada Si Tenggang dalam legenda yang menderhaka kepada ibunya. Panel tidak dapat mengesan bahawa sajak ini adalah sejenis penderhakaan kepada nilai-nilai tradisi Melayu yang meletakkan kesantunan dan ketaatan kepada ibu bapa di tempat tertinggi. Pensajak telah mengaku dengan lantang dan bangga bahawa dia kini sudah belajar jadi kurang ajar setelah mendapat pendidikan di Barat. Tidakkah ini tidak lain daripada sejenis penyelewengan moral? Bagi Panel, perubahan seperti inilah yang menjadi tanda terdapatnya peningkatan ilmu, pengalaman ilmiah, dan nilai-nilai baru masyarakat moden, yang semuanya mesti diterima dengan hati terbuka kerana nilai-nilai itu menggambarkan kemajuan berfikir manusia moden. Pandangan begini tetap salah, terang-terang salah, kerana ia meletakkan manusia setaraf dengan binatang, boleh melakukan apa saja seperti dalam cerita pendek Anwar Ridhwan; atau dalam novel Langit Petang yang begitu dangkal tetapi dianggap bermutu oleh Panel kerana mereka tidak mementingkan salah atau benar sesuatu tindakan seperti yang dilakukan oleh watak perempuan Melayu dalam novel itu. Kita harus waspada tidak saja dengan sikap kritis membaca penilaian Panel Anugerah Sastera Negara, tetapi harus lebih waspada lagi menilai pendirian mereka yang boleh dikatakan tidak bermoral apabila mereka menolak aspek moral dalam karya kreatif, dengan itu membela karya picisan A. Samad Said.
Persuratan Baru mempunyai cara yang berbeza untuk menentukan kejayaan sesebuah novel, misalnya dengan meneliti apakah novel itu mempunyai paksi naratif yang jelas atau tidak (tentang aspek ini rujuk tulisan Prof. Madya Dr. Zariat dalam Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan, bab 8), penggunaan ruang naratif, penggunaan wacana dan cerita, stylization of ideas, dan sebagainya. Paksi naratif menentukan cara tema dan mesej dikonsepsikan dan dibina dalam cereka. Ruang naratif menentukan bagaimana wacana dan cerita digunakan dalam membangunkan struktur novel. Plot jika dilihat dalam konteks ini tidak lagi secara kronologi atau tidak, tetapi bagaimana diisi berasaskan kefahaman tentang wacana dan peranan cerita yang ditentukan oleh wacana. Penggunaan stylization of ideas pula memperhalus makna yang ingin disampaikan, dengan meletakkan konflik bukan dalam bentuk kasar (seperti pergaduhan dan sebagainya), tetapi dalam bentuk pemikiran dan tarbiah (lihat penjelasan Prof. Ungku Maimunah dalam Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, hal. 121-124). Eksperimen, kelainan, dan sebagainya yang dijadikan ukuran penting oleh Panel Anugerah Sastera Negara, hanya bermakna jika semua itu dilihat dalam konteks menyampaikan ilmu yang benar melalui penggunaan wacana dan cerita. Kalau hanya sekadar bereskperimen hanya untuk mencari kelainan sebagai kelainan semata-mata, maka arahnya tidak terfokus, boleh apa saja. (Contoh: mengangkat perzinaan sebagai tema besar dalam karya A. Samad Said, Anwar Ridhwan dan lain-lain; menerima kepincangan idea dalam sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh seperti ditegaskan di atas).
Dalam konteks ini, cara lama yang dipungut dari teori atau kaedah Barat tidak saja tidak sesuai, tetapi tidak dapat digunakan dengan meyakinkan kerana tidak terdapat cara mengukur konsep-konsep itu dalam analisis. Sebagai contoh, bila dikatakan plotnya kemas, beraneka ragam, banyak sub-plot dan sebagainya, maka apakah maksud kemas, aneka ragam, banyak sub-plot itu? Mengapa semua itu dijadikan ukuran untuk menentukan kejayaan novel? Adakah ukuran itu tepat? Bila diuji dengan konsep-konsep yang dipakai dalam PB, ternyata ukuran lama itu sangat lemah. Sebagai bukti, analisis Dr. Zariat terhadap novel Melati Kota Bharu dan Prof. Ungku Maimunah terhadap Salam Maria menunjukkan dengan meyakinkan bagaimana penilaian cara lama kedua-dua buku itu tidak dapat dibaca dengan betul, oleh itu Melati Kota Bharu dan Salam Maria diberi penilaian yang tidak tepat dan tidak meyakinkan, seperti yang ditunjukkan oleh Prof. Madya Dr. Zariat dan Prof. Ungku Maimunah dalam makalah mereka (dapat dibaca dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteran dan Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan).
Seterusnya: Apakah maksud perwatakan? Dalam PB, perwatakan dilihat daripada perspektif taklif, oleh itu manusia yang dijadikan watak terikat kepada konsep itu. Penulis yang menulis tentang seorang pelacur, atau perasuah, jika dilihat dalam konteks taklif, akan berbeza caranya jika hanya dilihat dalam realisme biasa atau realisme magis. Perbezaannya: pengarang yang menulis dari perspektif taklif, ketika menulis tentang kisah seorang pelacur, tidak meletakkan pelacuran sebagai tema besar (seperti yang dibuat oleh Samad Said), tetapi sebagai satu gejala masyarakat. Oleh itu, penulis akan menghuraikan masalah masyarakat dengan mendalam yang membawa kepada pelacuran. Misal: Malaysia membawa masuk ramai gadis-gadis luar untuk belajar, mereka gunakan kesempatan itu untuk menjadi pelacur. Adakah sistem pelajaran menggalakkan pelacuran? Adakah sistem kapitalis berasaskan sifat tamak untuk dapat keuntungan cepat menjadi sumber masalah? Adakah pentadbiran negara menjadi sumbernya? [Kerana tidak kemas dari segi penapisan pendatang, dan sebagainya]. Jadi: menjadi pelacur bukan kerana hidup susah, atau kerana hendak “cari rezeki”, tetapi kerana mencari kemewahan dengan cara mudah kerana banyaknya terdapat peluang membuat maksiat di Malaysia dengan bertambahnya rumah urut, hotel sederhana murah dan yang seumpamanya. Perempuan yang mudah dibawa masuk ke Malaysia kerana berleluasanya rasuah dalam segenap sektor pentadbiran dan dalam sistem politik yang mendukung rasuah, menggunakan kesempatan itu untuk mendapat kemewahan dengan secara mudah. Seterusnya, mengapa seseorang jadi korup? Adakah sistem politik dan pentadbiran menggalakkan orang jadi korup? Dalam sistem politik demokrasi yang diamalkan di Malaysia, pihak berkuasa menggalakkan rakyat menerima rasuah dengan mengajar mereka bagaimana hendak melakukan rasuah dengan memberi mereka wang dan sebagainya waktu pilihan raya untuk mempengaruhi mereka supaya mengundi kerajaan sedia ada; sehingga orang tidak segan dan tidak takut untuk menerima rasuah kerana datang dari kerajaan sendiri dengan sokongan kerajaan secara terang-terangan. Dengan itu dalam masyarakat yang dikatakan “maju” itu, tidak ada lagi rasa jijik kepada kejahatan, malah digalakkan. Dan ini kita lihat setiap saat di kaca TV, mengajar penonton menjadi jahat melalui filem, drama, program hiburan yang biadab dan sebagainya. Kita lihat fasal keruntuhan moral pula: Cara Shahnon Ahmad dalam TIVI terlampau dangkal dan didorong oleh kemahuan untuk melariskan jualan buku dan untuk memuaskan kegemaranya kepada unsur seks dalam penulisan novel (yang dilihatnya, menurut pengakuannya sendiri, sebagai umpan untuk menarik minat pembaca). Banyak contoh dari novel-novel dan cerita pendeknya mengarah kepada kesimpulan ini.
Jika perwatakan dilihat dari perspektif taklif ini, maka yang dipilih ialah watak yang kuat, yang boleh dijadikan contoh. Perkara buruk dan maksiat masih boleh diberi tempat, tetapi bukan menjadi tema utama, hanya sebagai bukti bagaimana watak yang liar dan tidak terikat kepada taklif akan bertindak. Dengan menggunakan konsep taklif, kita dapat membuat penilaian yang saksama dan tepat terhadap watak-watak dari drama Shakespeare sekali pun: Apakah dorongan yang membuat watak-watak itu bertindak seperti yang mereka lakukan? Dengan satu soalan yang mudah ini, kita dapat menilai, dari pandangan taklif, bagaimana watak-watak tadi dibina dan apakah nilai-nilai hidup mereka yang mendorong mereka melakukan sesuatu. Sama ada penilaian kita diterima atau dibantah oleh para sarjana Barat, tidak penting, kerana mereka mempunyai tujuan tertentu dalam membuat penilaian. Bagi kita yang penting ialah makna daripada perlakuan watak-watak itu dalam kehidupan berasaskan taklif; jika perkara ini difahami dengan mendalam, kita masih boleh “menikmati” karya berkenaan, tetapi dalam konteks taklif seperti yang cuba dijelaskan di sini. Kita tahu meletakkan diri kita dan kita pun dapat memberi tafsiran yang tepat dan adil kepada karya tersebut. Betapa pun hebatnya Shakespeare bagi orang Barat, dan betapa bersungguh-sungguhnya mereka membenteng kehebatan Shakespeare daripada kritikan (ingat saja, misalnya, kata-kata William Hazlitt: “If we want to know the force of human genius we should read Shakespeare. If we wish to see the insignificance of human learning we may study his commentators.”), seorang yang mendalam fahaman taklifnya dan kenal pula sejarah tamadun agamanya, tidak saja tidak terpesona dengan “the genius of Shakespeare” (apatah lagi jika dia tahu komentar Annemarie Schimmel 1991 di ISTAC, yang berkata Shakespeare dan Goethe, adalah anak-anak bermain guli jika dibandingkan dengan “gergasi sebenar” Jalaluddin Rumi), malah dia akan lebih bersikap kritis menapis makna daripada drama-drama penulis besar Inggeris itu dengan penuh kesedaran akan sumber drama-drama itu dari mitos dan sejarah Roman yang betapa pun hebat, telah dikalahkan oleh Islam dengan hanya satu kalimah tauhid dan seruan Allahu Akbar. Tetapi anda hendaklah berilmu untuk sampai ke taraf seorang sarjana seperti Annemarie Schimmel itu.
Bagi kita yang melihat dari perspektif taklif, kita menghuraikan perilaku manusia dalam cerita drama sekali pun seperti yang dihuraikan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin. (Keterangan terperinci dalam Abul Quasem, The Ethics of Al-Ghazali: A Composite Ethics in Islam (Bangi 1975); Muhammad Umaruddin, The Ethical Philosophy of Al-Ghazzali (Lahore 1962). Dengan itu orang Islam mendapat manfaat daripada bacaannya, dan dapat melihat kepalsuan ilusi dalam karya sastera. Dalam teori dan analisis sastera Barat, ilusi memainkan peranan penting, kerana di situlah kejayaan pengarang diukur: sejauh mana pengarang telah dapat menipu pembaca/penonton melalui karyanya, sehingga melahirkan “keinsafan” dalam bentuk katharsis seperti yang disebut oleh Aristotle. “Keinsafan” itu jauh berbeza daripada “kesedaran” taklif yang dialami oleh pembaca/penonton Islam. Kesedaran tadi bersifat kerohanian; manakala keinsafan pula dikaitkan dengan “penikmatan seni” yang bersifat sementara yang berasaskan emosi yang terganggu sekejap. Sebaliknya, tidak ada gangguan emosi dalam kesedaran yang bersifat kerohanian berteraskan kesedaran taklif tadi: malah kesedaran itu akan membuatnya lebih mengerti makna kehidupannya sebagai manusia yang menjadi hamba Allah dan khalifah di dunia, dua tugas yang sentiasa berada dalam perhatiannya. Dilihat dari perspektif ini, seorang pembaca Islam yang faham aspek taklif dalam kehidupannya, boleh membaca apa jenis karya sekali pun: dia tetap mendapat faedah yang sewajarnya kerana dia telah betul-betul memahami tiga rahsia taklif seperti yang dijelaskan oleh Shah Wali Allah. Di sinilah pentingnya difahami mengapa karya kreatif perlu dibahagi dalam tiga kategori: karya persuratan, karya sastera; dan karya picisan/erotik. Ketiga-tiga jenis karya ini mempunyai tumpuan atau fokus yang berbeza: karya persuratan mengutamakan wacana yang bersifat ilmu (ilmu yang benar); karya sastera mengutamakan cerita yang bersifat sensasi; karya picisan/erotik pula tidak saja mengutamakan cerita yang bersifat sensasi, tetapi menumpukan perhatian yang berlebihan kepada aspek seksual untuk keseronokan hawa nafsu. Jika kita meneliti pandangan Panel Anugerah Sastera Negara dalam penilaian mereka, dua jenis karya terakhir itu setaraf, kerana kedua-duanya tidak mengutamakan moral, tidak didaktik dan sebagainya. Tetapi di sini pun terdapat kontradiksi: bagi Shahnon Ahmad, sesebuah karya erotik seperti TIVI boleh diangkat menjadi karya mithali (karya Islam) kerana terdapat pengajaran di akhir cerita erotik tadi. Caranya, kata beliau, dengan menggunakan al-Quran sebagai hujah, melalui apa yang disebutnya “ayat azab”. Tetapi semua ini hanya sejenis ilusi yang mengelirukan, digunakan untuk “menghalalkan” karya erotik yang jelas nyata bertentangan dengan cara Islam bercerita di dalam Al-Quran. Jika kita menggunakan analogi Plato, kita boleh berkata Shahnon Ahmad berada di dalam gua menayangkan ceritanya, dan berkata itulah “realiti pun” (menggunakan “pun” begini adalah gaya khusus Shahnon Ahmad).
Prof. Rahman Shaari memberikan kepada kita penjelasan yang menarik tentang perkara ini dalam sebuah tulisan beliau, yang dilihat dari perspektif sastera Barat. Saya ingin mengutipnya kerana ia memberi gambaran sebenar tentang maksud dan makna kesusasteraan yang difahami dan dipraktikkan oleh para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera. Kata Prof. Rahman Shaari: “Karya kesusasteraan ialah karya yang memuatkan isi budaya dan isi peribadi (kepercayaan, tingkah laku, fikiran dan perasaan), dicipta oleh orang yang berbakat dalam seni berbahasa, terhasil akibat dorongan dalaman.” Aspek penting dalam “definisi” ini ialah ungkapan “terhasil akibat dorongan dalaman”. Inilah pandangan Sigmund Freud, yang memang disebut oleh Rahman Shaari. Inilah pandangan dan pendirian Barat, yang menerima psikologi Freud sebagai hujah yang berwibawa, meskipun apa yang dianjurkan oleh Freud dalam psikologinya masih bertaraf andaian, bukan lagi teori (hakikat ini diakui oleh ahli-ahkli psikologi Barat sendiri, terutama yang menentang pendapat Freud). Dalam penjelasan yang diberikan oleh Imam Ghazali, yang berasaskan ajaran Islam, apa yang disebut sebagai “dorongan dalaman” itu tidak lain daripada dorongan hawa nafsu rendah manusia. Dalam penjelasan Rahman Shaari, ditegaskan dorongan dalaman itu boleh apa saja, boleh jadi mimpi yang sering dialami, cerita yang dibaca dalam akhbar (Rahman Shaari berkata dia menulis sebuah cerita pendek tentang perempuan Islam yang bergelar ustazah “berlaki dua” setelah membacanya dalam akhbar), atau apa saja yang boleh menggoda “dorongan dalaman” untuk dijadikan “karya kreatif”. Seterusnya kata beliau: “Karya kesusasteraan terhasil akibat daripada desakan atau dorongan psikologi sasterawan, tanpa meletakkan ilmu (atau hasrat untuk mendidik) di tempat utama. Dalam karya kesusasteraan, jika ada pendidikan atau ilmu, itu bukanlah syarat. Karya kesusasteraan yang menekankan ilmu secara yang ketara dianggap karya didaktik. Karya sastera absurd, psikologikal, eksistensialistik dan lain-lain, akan ditinjau mengikut kriteria dalam pelaksanaan kesenian karya itu sendiri, bukan berasaskan nilai murni, ilmu dan lain-lain yang diputuskan melalui pemikiran pendidikan”. (Sinar Harian, 5 Jun 2011). Penjelasan Rahman Shaari adalah penejalasan yang kita temui dalam buku-buku kritikan sastera Barat. Karya sastera adalah autonomous, satu pendirian yang pada umumnya sudah ditolak di Barat sendiri, tetapi masih menjadi pegangan para sarjana dan penilai Malaysia. Kasihan pelajar universiti yang belajar sastera di bawah pensyarah dan profesor sastera yang masih berpegang kepada pendirian yang sudah ketinggalan zaman ini. Itulah sebab utama mereka tidak kritis, dan sangat tumpul hujahnya apabila membicarakan sesuatu karya, termasuk “pelajar tahun empat” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh. Seterusnya Prof. Rahman Shaari menegaskan: “Karya kesusasteraan bermula daripada idea dan hasrat berkarya yang tidak boleh ditahan-tahan. Perkara yang utama ialah kreativiti.” Pendeknya, karya kesusasteraan bertujuan untuk bercerita, yang di dalam tradisi tradisional Melayu, dinamakan “penglipur lara”. Dilihat dalam konteks bercerita ini, karya kesusasteraan adalah sejenis “penglipur lara” yang sudah disesuaikan dengan kaedah dan teori Barat. Tetapi asasnya, dalam tradisi Melayu, masih tetap penglipur lara: hanya untuk bercerita, dan terhibur (bagi pembaca atau pendengar). Bagi pengarang/penulis pula, karya kesusasteraan adalah gambaran individualisme penulis yang menjeritkan “aku ini binatang jalang; dari kumpulannya terbuang”; atau laungan nyaring “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar” setelah pulang dari perantauan “mencari ilmu”. Itulah dorongan bersifat kreativiti yang disebut oleh Prof. Rahman Shaari.
Prof. Rahman Shaari telah merumuskan pendirian Panel Anugerah Sastera Negara dengan baik sekali, dan ini dilakukannya tanpa meneliti dan merujuk kepada apa-apa laporan Panel Anugerah Sastera Negara. Pengakuan beliau bahawa karya kesusasteraan tidak perlukan ilmu, tetapi perlukan cerita, adalah pengakuan penting yang menerima dan membenarkan penegasan Persuratan Baru bahawa karya sastera itu didorong oleh luahan perasaan atau emosi yang berkobar-kobar yang dialami oleh sang sasterawan. Di mana terletaknya pemikiran? Adakah emosi juga sejenis pemikiran? Inilah dua pertanyaan yang benar-benar membingungkan para sarjana sastera, pengkritik dan para sasterawan sendiri. Jawapan yang diberikan dengan mudah ialah cerita itu sendiri adalah pemikiran, oleh itu emosi dan pemikiran adalah sama dalam pengertian para sasterawan. Di sinilah pentingnya konsep wacana itu dibawa masuk ke dalam perbincangan, dengan membezakan peranan cerita dan wacana dalam analisis sesebuah karya kreatif. Penekanan kepada aspek wacana inilah yang melahirkan karya persuratan, yang membezakannya daripada karya sastera. Dengan itu pemikiran yang bersifat ilmu tidak sama dengan cerita yang bersifat emosi. Tidak pasti sama ada Rahman Shaari menerima hakikat ini. Tetapi inilah katanya: “Karya persuratan yang dimaksudkan oleh Mohd. Affandi Hassan ialah karya yang meletakkan ilmu di tempat utama, dan cerita dikebelakangkan. Dengan definisi yang mengarah ke situ, karya kesusasteraan akan terlihat kurang murni (berada di bawah karya persuratan), kerana karya ksusasteraan terhasil akibat daripada desakan atau dorongan psikologi sasterawan, tanpa meletakkan ilmu (atau hasrat untuk mendidik) di tempat utama.” Dalam tahun 2007, selepas mendengar syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, Prof. Rahman Shaari menulis satu komentar di Mingguan Malaysia (tarikh tak pasti) yang menyesali adanya perbezaan antara karya persuratan dan karya sastera, padahal adalah lebih baik dan tidak menimbulkan masalah, kata beliau, jika kedua-duanya diletak staraf!
Dalam konsep catharsis yang membingungkan seluruh pemikiran Barat tentang peranan sastera, luahan emosi itu lebih ditekankan kepada penonton yang menonton tragedi. Adakah konsep catharsis sama dengan konsep “pengsan” yang terdapat dalam estetika tradisional Melayu yang mengatakan sesuatu cerita itu begitu mempesona dan menggetarkan perasaan pendengar (penglipur lara) sehingga yang mendengar itu jatuh pengsan, tidak tertahan lagi menderita kesedihan atau kemarahan. Tetapi pengsan adalah kesan dari catharsis yang dialami oleh orang Melayu setelah mendengar cerita yang sedih-sedih yang terlalu memilukan hati yang sentiasa rusuh. Dalam konteks estetika Melayu lama, keadaan ini lebih dekat dengan pengaruh pemujaan ruh dalam ajaran Hindu, seperti yang terjadi dalam Main Puteri (dalam cerita Dewa Muda) dan Wayang Kulit (dalam cerita Sang Kaki Betara Kala). Cuma yang pengsan di sini ialah Tuk Minduk atau Dalang. Perkara ini dibawa dalam perbincangan ini untuk menyokong pendapat Prof. Rahman Shaari betapa pentingnya emosi dalam pembinaan cerita, dan inilah sifat utama karya sastera. Tetapi jika kita memakai pendekatan Kritikan Baru, semua ini adalah karut, tidak masuk akal, dan bertentangan dengan sifat sastera yang tidak bergantung pada pembaca untuk “hidup”, tetapi bergantung pada “diri karya itu sendiri” yang autonomous. Unsur-unsur intrinsik yang berada dalam karya itulah yang menghidupkannya; dan unsur-unsur inilah yang kekal abadi, yang membuat karya itu boleh difahami sepanjang masa; yang berbeza hanya tafsiran semata-mata, bukan hakikat karya itu yang utuh dan tidak boleh dipecah-pecah. Pandangan inilah yang mendorong cerdik pandai Barat mengatakan sastera itu lebih penting daripada agama, lebih penting daripada filsafat, malah lebih penting daripada kehidupan itu sendiri (kerana kehidupan manusia sentiasa berubah). Pandangan ini pun terdapat juga di kalangan sarjana atau sasterawan Malaysia yang mempertahankan keutuhan karya sastera sebagai simbol nilai-nilai kemanusiaan yang tidak terikat kepada pandangan agama atau tidak boleh ditundukkan kepada apa-apa ideologi. Inilah kekeliruan dalam konsep ilmu yang paling besar yang menjadi cabaran utama kepada Persuratan Baru. Kerana terdapatnya kepercayaan karut yang mirip kepada ideologi Jahiliah ini, maka orang-orang yang mempercayainya tidak boleh menerima Persuratan Baru kerana mereka sedar kedudukan mereka dalam gua ilusi yang diceritakan oleh Plato itu akan tergugat dan mungkin boleh dihanyutkan ke laut seperti orang Melayu pernah menghanyutkan ancak ke laut ketika mereka masih dicengkam pengaruh Hindu.
Panel Anugerah Sastera Negara telah melaksanakan kerja mereka selama lebih dari 30 tahun dengan menggunakan kaedah dan teori Barat yang tidak difahami dengan mendalam, seperti yang ditunjukkan di atas. Kritikan ini kedengaran agak angkuh, seolah-olah semua yang dibuat oleh pakar yang menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara itu salah belaka. Tentu saja tidak semua usaha mereka sia-sia; sekurang-kurangnya mereka telah “merasmikan” penggunaan teori dan kaedah sastera Barat dalam menilai karya-karya Malaysia. Memang terdapat kelemahan dan kekeliruan, tetapi ini tidak bermakna mereka gagal sepenuhnya untuk menilai dengan saksama tokoh-tokoh sastera yang mereka pilih. Namun kita harus mengakui, kelemahan mereka yang paling ketara ialah mereka meninggalkan sepenuhnya nilai-nilai budaya Melayu yang berteraskan Islam, kerana terlalu ghairah (sering kali agak gelojoh) dengan teori sastera dan nilai-nilai sastera Barat. Wajarkah kita bersikap lunak dengan berkata, usaha mereka membawa masuk dan merasmikan teori dan nilai-nilai Barat dalam sastera Melayu moden itu telah memperkayakan teknik penulisan kreatif kita? Dari satu aspek, dari aspek teknik dan gaya, mungkin andaian ini betul. Tetapi dari aspek lain, terutamanya dari aspek perkembangan ilmu dan pemikiran, mereka nampaknya telah gagal secara total. Tindakan mereka telah melenyapkan sama sekali peranan persuratan dalam pembinaan tamadun Melayu, yang telah wujud sekian lama. Dan ini mendatangkan mala petaka yang sangat besar, iaitu berleluasanya karya-karya sastera yang tidak lagi berteraskan pemikiran Islam seperti yang terdapat dalam persuratan Melayu, dengan itu masuklah ke dalam bilik-bilik darjah dan bilik-bilik kuliah di universiti novel-novel picisan atau paling baik novel-novel yang kering dari segi pemikiran dan nilai-nilai Islam. Yang berpesta riang riuh dalam bilik darjah dan bilik kuliah ini ialah suara lantang teori dan kaedah Barat yang menolak sama sekali apa pun juga aspek keagamaan (bukan hanya agama Islam) dalam pembinaan ilmu. Bolehkah nilai-nilai Islam dihuraikan melalui teori dan kaedah sastera Barat?
Apakah pendirian kita sekarang? Orang-orang yang menyokong Panel Anugerah Sastera Negara berkata, mereka telah menjalankan tugas mereka dengan berjaya, lalu menunjukkan bukti bagaimana tokoh-tokoh yang mereka lantik sebagai sasterawan negara terbukti sangat hebat dan tidak tertandingkan oleh sasterawan lain yang tidak terpilih. Sekali imbas kesimpulan itu menyeronokkan para penyokong dan sasterawan negara sendiri; tetapi rekod yang ada, yang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri melalui seminar tentang pemikiran para sasterawan negara, menunjukkan sebaliknya. Sukar sekali mencungkil nilai-nilai pemikiran bernas yang terserlah jelas dalam karya para sasterawan negara ini. Lebih banyak dipakai beberapa pendekatan Barat untuk hanya menunjukkan karya-karya itu boleh ditafsirkan dalam pelbagai teori dan pendekatan sastera Barat; tetapi tidak pemikirannya walaupun tajuk seminar itu tentang “pemikiran” para sasterawan negara. Saya telah mengulas perkara ini dalam banyak tulisan saya, jadi tidak perlu diulang di sini. Saya hanya ingin berkata, dalam aspek ini, ternyata terdapat jurang yang amat luas antara penilaian Panel Anugerah Sastera Negara dengan realiti yang terdapat di dalam karya para sasterawan negara ini. Jurang ini tidak nampak dalam kedudukan mereka yang selesa di bawah payung sastera Barat; tetapi sebaik saja payung itu diambil dari tangan mereka, barulah mereka sedar bahawa terdapat payung yang lebih besar yang sepatutnya mereka gunakan untuk memayungi perkembangan persuratan Melayu. Payung itu ialah pendekatan tauhid, yang boleh menyambung kehidupan mereka dari yang fana kepada yang kekal abadi. Di bawah payung teori sastera Barat, hubungan dan kaitan ini tidak ada; oleh itu apabila persoalan ini dibawa kembali ke dalam persuratan Melayu moden, maka ramailah orang yang berasa asing, sehingga tidak boleh menerimanya. Hujah mereka yang paling lemah (kerana memang tidak ada hujah yang kuat) ialah sastera harus difahami dalam konteks sastera, bukan dalam konteks teologi. Sekarang barulah jelas kekeliruan mereka, yang meletakkan “sastera” begitu tinggi sehingga mengatasi faham agama mereka sendiri. Sejauh itu mereka bergantung pada teori dan kaedah sastera Barat, hanya untuk memastikan para sasterawan itu terdiri daripada tokoh-tokoh penting negara, meskipun dari segi pemikiran sumbangan mereka hampir tidak ada. Bagaimana kesimpulan ini boleh difahami? Saya selalu menggunakan Iqbal sebagai contoh, kerana tokoh besar ini memang dikenali di Malaysia sejak sekian lama. Melalui contoh ini, kita boleh faham dengan mudah maksud pemikiran dalam penulisan kreatif. Iqbal melalui karyanya jelas sekali teras pemikirannya, iaitu untuk membina peribadi Muslim yang kuat, sehingga (dalam ungkapan beliau sendiri) sanggup “merenggut langit angkasa”. Tidakkah itu ungkapan yang amat hebat yang hanya boleh lahir daripada seorang yang benar-benar faham maksud tauhid dan konsep taklif dalam kehidupan dan penulisan seorang Muslim? Apakah kuncinya? Cinta Ilahi; dan ini termasuk cinta kepada Muhammad Rasulullah s.a.w. Ertinya yang paling mudah: menghidupkan Islam dalam karya kreatif.
Selepas kita memahami masalah yang kita hadapi, maka kita perlu mencari cara mengubahnya. Itulah matlamat gagasan Persuratan Baru. Dan tugas gagasan Persuratan Baru yang paling penting pada waktu ini ialah menilai semula sumbangan para sasterawan negara ini, bukan untuk menghumban mereka ke dalam gaung sejarah, tetapi untuk meletakkan mereka pada tempat yang layak diduduki mereka. Tetapi nampaknya inilah yang dibantah dan ditentang oleh kebanyakan sarjana, pengkritik dan sasterawan sendiri. Sementara mereka menerima dengan senang hati, malah dengan perasaan megah dan cukup terbuka, untuk dinilai dari mana-mana sudut mana-mana teori sastera dan pendekatan Barat, mereka tidak boleh terima pendekatan Persuratan Baru. Di sinilah terjadi kontradiksi, hasil dari kekeliruan mereka tentang konsep ilmu. Apabila ada di antara mereka, misalnya Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh (Tokoh Akademik Negara) dan Prof. Dr. Zawiah Yahya (pakar teori postcolonial), yang masing-masing berkata, kita telah lama melakukan kesalahan kerana menggunakan teori Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, atau yang menegaskan, “we need to approach a text with our own cultural schema to interpret”, maka mereka seolah-olah berhujah Persuratan Baru bukanlah teori sastera, tetapi teori persuratan, oleh itu tidak kena mengena dengan karya kesusasteran, lantas tidak boleh digunakan untuk menganalisis dan menilai karya kesusasteraan. Adakah ini sejenis lawak jenaka, atau satu pandangan filsafat yang paling melucukan? Anda boleh membuat pilihan anda sendiri.
Mohd. Affandi Hassan, 16 Julai 2011.
No comments:
Post a Comment