Friday, July 1, 2011

SARJANA DAN PENGKRITIK SASTERA BISU TANPA TEORI BARAT


Tokoh Sarjana Negara, yang juga seorang sasterawan negara, Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh pernah menegaskan seperti yang berikut: “Walaupun betapa mengghairahkan teori sastera Barat dan Timur, sebagai kritikawan Malaysia kita harus memikirkan akar sastera kita, tapak, prinsip dan pemikiran seni bahasa ini. Saya berpendapat semua yang kita pelajari dari luar harus diteruskan, tetapi untuk situasi kita yang khusus semua pelajaran ini harus disaring supaya usaha pembinaan teori-teori yang berhubungan dengan sastera kita sendiri dapat dibantu.

“Pertamanya sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukasn kesalahan dalam menilai karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri. Kedua, teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam.

“Saya kira dalam hal ini sastera moden sudah menjadi subjek setia kepada perubahan dan sebuah teori untuknya harus disediakan. ...” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, hal. 14, Dewan Bahasa dan Pustaka 2005; diselenggarakan oleh Hajijah Jais dan Muhammad Ikhram Fadhly Hussin, kumpulan kertas kerja Seminar Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau II, 22-24 Mac 2005, Dewan Seminar, DBP, Kuala Lumpur.)  Kutipan ini berupa sebahagian daripada ucap utama profesor ini dalam seminar tersebut, oleh itu tentulah satu ucapan penting dan diucapkan dengan penuh tanggungjawab ilmiah seorang profesor sastera yang pernah mendakwa mempunyai 4000-5000 orang murid seluruh negara.

Adakah profesor ini berkata benar? Adakah beliau jujur dan percaya ucapannya itu lahir dari kesedaran ilmiah yang tidak boleh diragui? Memang benar beliau telah melakukan banyak kesalahan dalam penilaiannya, terutama sekali sewaktu menjadi salah seorang ahli Panel Anugerah Sastera Negara. Beliau dan teman-temannya terus menerus menggunakan teori dan pendekatan Barat, menggunakan ukuran dan istilah dalam teori dan pendekatan Barat ketika menilai karya para sasterawan negara seperti yang dimuat dalam laporan mereka. Dari segi itu beliau telah bercakap benar. Mengingat bahawa ucapan ini diutarakan dalam tahun 2005 dalam sebuah seminar penting, maka tentulah wajar jika kita dapat melihat sedikit perubahan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara, yang beliau sendiri duduk sebagai anggota. Tetapi ini tidak kelihatan dalam Laporan 2009, yang masih meneruskan “kesalahan” menggunakan teori dan pendekatan Barat seterusnya dan sepenuhnya. Oleh itu, apakah makna ucapan begini jika tidak mahu dilaksanakan dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang begitu penting? Dilihat dari perspektif ini, dengan bukti-bukti yang ada, tidak salah jika kita membuat kesimpulan bahawa Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidaklah bercakap benar dan memang telah mengetepikan pandangannya sendiri dalam laporan Panel Anugerah Sastera Negara yang beliau menjadi salah seorang anggotanya. Adakah beliau memang tidak mempunyai taring ilmiah untuk mempengaruhi teman-temannya yang menjadi anggota panel itu? Dilihat dari segi ini, jelaslah beliau tidak mempunyai hujah yang meyakinkan untuk melakukan perubahan; oleh itu apa yang diutarakannya itu hanyalah pandangan iseng-isengan semata, bukan sesuatu yang berteraskan komitmen ilmiah yang boleh dipertanggungjawabkan.

Hal ini jelas dalam sikapnya yang negatif terhadap usaha sarjana yang mengutarakan beberapa “teori” (lebih tepat pendekatan) dalam kritikan sastera Melayu moden. Beliau tidak menyebut langsung beberapa “teori” atau pendekatan yang telah diusahakan oleh Hashim Awang, Shafie Abu Bakar dan lain-lain, malah dengan agak angkuh, tanpa sebarang hujah dan pembuktian yang diperlukan sebelum seseorang membuat apa-apa juga kesimpulan, beliau menegaskan, “teori sastera kita belum dituliskan secara menyeluruh dan cukup mendalam”. Ketika ucapan ini dilafazkan oleh tokoh ini, telah terbit buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (DBP, 1992). Dalam tahun 2004, buku ini telah diterima sebagai sebuah buku utama dalam projek “The Annotated Bibliography Project” yang dianjurkan oleh Aga Khan University Institute for the Study of Muslim Civilisations.  Tentang buku ini, Prof. Dr. Zawiah Yahya (dalam bukunya, Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, Penerbit UKM 2010), menulis begini: “Persuratan Baru (literal translation: New Letters) is an approach to literary production and criticism by Mohd. Affandi Hassan. Affadi prefers his approach to be translated as “Genuine Lterature”, a name given to a similar category of writing promoted by an Islamic scholar Abu Hassan [Ali] Nadwi. ... PB, as it is now popularly abbreviated by its practitioners, is both about literary production and literary criticism though they are often spoken in the same breath.  This seamlessness does not pose any serious problem because most theories of literary production carry the seeds of literary criticism. In fact, PB goes a step further than other theories by offering a practical classroom approach for the teaching of literature as a way of demostrating its application.” (hal. 53).

Kecuali satu kesilapan, rumusan Prof. Dr. Zawiah Yahya agak tepat. Kesilapan yang dimaksudkan ialah ketika beliau menyebut Maulana Abu Hassan Ali Nadwi. Mengikut pendapat Maulana Abu Hassan Nadwi, sastera boleh dibahagi kepada dua ketegori: al-adab al-tabi’i (sastera tulen) dan al-adab al-sina’i (sastera buatan). Saya terjemahkan PB sebagai “genuine literature” sebelum saya diberitahu tentang pembahagian ini. Nampaknya kami menemui perkara yang sama, dari segi istilah, kerana kami menggunakan sumber yang sama. Itulah kaitan saya dengan Maulana Abu Hassan Nadwi. Fakta ini perlu dijelaskan kerana sangat perlu diketahui supaya tertolak percubaan sarjana Malaysia yang mengatakan “teori sastera Islam” dicipta tanpa teks untuk menjadi rujukan, padahal karya yang bercorak Islam itu sudah wujud dalam tamadun Islam sejak Islam mula muncul di dunia lagi. Kami menggunakan sumber itu, maka itulah istilah yang saya pakai dan yang digunakan oleh Maulana Abu Hassan Ali Nadwi hampir sama dari segi sebutan; tetapi memang sama dari segi maksud. “Genuine literature” merujuk kepada sastera yang dicipta berasaskan konsep ilmu yang benar, yakni yang bersumber dari Quran dan Sunah dan pandangan ulama yang diakui. Tentang tidak adanya teks, jawapannya telah diberikan oleh Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat yang menghuraikan dengan mendalam dan meyakinkan novel Abdul Kadir Adabi, Melati Kota Bharu, yang mendapati novel itu cocok dengan gagasan Persuratan Baru.

Kutipan dari rumusan yang dibuat oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya jelas sekali menolak pendapat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang mengatakan, “teori sastera kita belum ditulis dengan menyeluruh dan cukup mendalam”.  Sangat wajar jika profesor ini boleh memberitahu kita semua, adakah kesimpulan beliau itu mengambil kira kewujudan gagasan Persuratan Baru? Pertanyaan ini penting kerana beliau adalah Tokoh Akademik Negara, yang secara logiknya memang diharapkan memberi pendapat berasaskan fakta, bukan hanya sangkaan yang tidak berasas. Jikalau beliau menolak gagasan Persuratan Baru sebagai satu “teori” yang tidak memenuhi selera beliau, maka beliau mempunyai tanggungjawab ilmiah untuk menjelaskannya dari segi apa gagasan Persuratan Baru tidak boleh diterima. Jika beliau tidak sanggup melakukan ini, maka kesimpulan beliau tidak boleh dipakai sama sekali. Tetapi sebenarnya beliau sangat beruntung, kerana beliau pernah mendakwa mempunyai 4000-5000 pelajar yang pintar-pintar seperti beliau sendiri, yang dalam sebuah tulisannya beliau mengatakan, “pelajar tahun empat saya memahami konsep sastera dengan lebih wajar lagi dari konsep sasteranya [merujuk kepada Mohd. Affandi Hassan] yang jikalau saya dapat gunakan perkataan beliau sendiri agak ‘kacau’ malah konsep ini tidak bertanggungjawab dan agak negatif” (Berita Minggu, 1 Januari 1984). Mereka seharusnya boleh membantu beliau untuk menjelaskan kesimpulan beliau yang tidak berasas tadi.

Prof. Dr. Zawiah Yahya melakukan kesilapan besar apabila beliau berkata, “Like a few of his contemporaries who watch with horror at the rate with which western theories have been allowed to dominate Malay critical practice, Affandi joins the band of shakers and movers in Malay literature to offer his own alternative to literary criticism.  ...” (hal. 53).  Sama ada Prof. Dr. Zawiah Yahya benar-benar jujur dan percaya itulah dorongan yang mencetuskan gagasan Persuratan Baru, atau memang beliau dengan sedar dan sengaja mahu meletakkan Mohd. Affandi Hassan dalam kumpulan yang beliau tidak termasuk di dalamnya, untuk memberi gambaran bahawa gagasan Persuratan Baru muncul sebagai usaha ikut-ikutan semata-mata, sekadar ingin mencari publisiti murahan dengan menjana sebuah “teori”. Sebenarnya Mohd. Affandi Hassan cukup sedar tentang perkara ini, maka itulah dalam buku Gagasan Persuratan Baru: Pengenalan dan Penerapan (hal. 150), beliau mengemukakan karya awal beliau ketika masih remaja, yang disiarkan dalam akhbar Pedoman, 5 Januari 1957, lama sebelum merdeka. Dalam cerita pendek itu beliau telah pun menunjukkan sikap beliau tentang persuratan, yang terus tidak berubah sehinggallah tercetusnya gagasan Persuratan Baru. Jadi beliau tidak pernah “watch with horror” kemasukan teori Barat, kerana sejak mula beliau menulis, sejak zaman remaja lagi, beliau telah memikirkan perkara yang kemudiannya pada zaman matangnya  dirumuskannya dalam gagasan Persuratan Baru. Jika bukti lain diperlukan, sajak beliau yang pertama disiarkan dalam Utusan Kanak-kanak dengan nama samaran Mabhu, bertajuk “Budi Pekerti Yang Mulia” (Utusan Kanak-kanak, 3 Julai 1955) jadi sama dari segi maknanya dengan cerita pendek tahun 1957 itu. Sesiapa juga yang membaca karya kreatif beliau akan menemui “jalan lurus” yang tidak pernah menyimpang dari cita-cita asal beliau. Kesedaran tentang pentingnya nilai-nilai Islam dalam persuratan Melayu telah beliau tunjukkan sejak awal, dan ini diakui oleh Dr. Othman Puteh ketika membicarakan cerita pendek yang tersiar dalam Dewan Mayarakat. Kata Dr. Othman Puteh: “Mohd. Affandi Hassan melalui cerpennya ‘Hukum Tuhan’ (DM, Julai 1967) dan ‘Dendam’ (November 1967) cuba mendedahkan konflik yang berlaku di kalangan masyarakat petani desa yang tergadai tanah mereka kerana memberi pendidikan kepada anak-anak. Kedua-dua cerpen ini meletakkan nilai moral dan kemanusiaan di tahap paling atas dengan menekankan Islam sebagai suatu cara hidup yang mulia lagi terpuji. Sesungguhnya cerpen ini memperlihatkan unsur pengajarannya akan tetapi unsur itu tidak ketara hasil dari ketelitian dan kebijaksanaan pengarang menguasai persoalan dan teknik penceritaannya” (Dewan Masyarakat, September 1983, hal. 16). Sekiranya sesiapa juga yang ingin mengaitkan kesedaran Mohd. Affandi Hassan tentang peranan Islam dalam persuratan Melayu dengan sesiapa juga yang lantang berbicara tentang “sastera Islam”, maka beliau tidak teruja sedikit pun dengan kebisingan itu, kerana yang mempengaruhi beliau bukanlah para sasterawan yang bising itu, tetapi para ulama dan ahli ilmu Islam. Beliau telah diperkenalkan kepada ajaran Shah Wali Allah sejak budak-budak di sekolah Melayu lagi, oleh Ustaz Wan Ismail Wan Nawang (yang menulis Khulasah al-Quran berdasarkan ajaran Shah Wali Allah), seorang pakar dalam ajaran Shah Wali Allah yang dipelajarinya selama 40 tahun. Beliaulah yang memperkenalkan kepada Mohd. Affandi Hassan konsep taklif yang dihuraikan dengan mendalam oleh Shah Wali Allah. Antara guru Ustaz Wan Ismail yang terkenal ialah Maulana Abdullah Nuh, dari Pasir Puteh, Kelantan, pengarang sebuah kitab penting berjudul Semangat Perajurit-perajurit Muslim (terbit sekitar 1940; tertulis di bawah tajuk itu tujuan buku itu ditulis, “buat melihat keamanan dunia dan kemakmuran alam yang berdasarkan di atas dasaran kitab Allah “Quran” dan Sunah Rasulullah dan sunah khulafa al-rasyidin dan beberapa perkataan rabbaniyyin, haqqaniyyin, ulama al-khair). Dengan pembetulan ini, diharap tidak timbul lagi kesilapan yang terjadi kerana tidak cukup maklumat.

Mohd. Affandi Hassan melahirkan azam perjuangannya untuk mencerdikkan bangsa Melayu dalam sebuah sajak zaman remajanya, yang disiarkan dalam Utusan Kanak-kanak, 13 Mei 1956. Inilah sajak itu disalin sepenuhnya, memakai nama samaran MABHAS:

                                    Di Padang Pengembaraan

            Di mana kulangkahkan kaki
            Duri bercerancam – kerikil tajam,
            Di mana aku mulai berlari
            Pasir di sana hangat sekali.

            Panas menimpa kepala
            Menyucuk badan – membawa dahaga,
            Kaki bisa
            Dicucuk duri – ditikam batu.

            Biar panas menghangus badan
            Biar duri menikam kaki
            Aku tetap mara ke muka
            Pasir panas kukorek juga
            Walau lapar mengamuk
            Dan mayat terkapar merata
            Mutiara kucari juga.

Berbekalkan keazaman itu, Mohd. Affandi Hassan meneroka alam ilmu untuk mencari sejenis rumusan yang boleh membantu para penulis mencipta karya mereka dengan lebih sempurna dan betul-betul bernilai, diukur dari segi ilmu yang benar. Kuncinya terdapat dalam peristiwa Balqis mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s., kunci yang telah tersedia tetapi belum ditemui kerana belum cukup persediaan untuk memahaminya. Dari situlah timbulnya perbezaan antara realiti hakiki dan realiti semu yang telah menipu pandangan Balqis. Sebaik saja rahsia ini difahami, semuanya menjadi jelas. Untuk memahaminya dengan mendalam, sila rujuk Kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, yang telah menghuraikan aspek ini dengan mendalam.  Prof. Dr. Zawiah Yahya telah menggambarkan secara ringkas, tapi agak tepat, perjalanan mencari rumusan itu dalam kata-kata beliau: “Persuratan Baru (henceforth PB) itself has gone through its own process of evolution. It was first called Pendekatan Tauhid (Islam-based approach) in 1992, then Sistem Persuratan Melayu (System of Malay Letters) in 1994 and, since 1999, Persuratan Baru.” (hal. 53). Sebenarnya sebelum pendekatan tauhid, telah dicadangkan terlebih dahulu pendekatan estetis-intelektual (disebut oleh Prof. Rahman Shaari dalam salah sebuah bukunya). Pendekatan tauhid itu masih kekal sebagai asas Persuratan Baru. Nama Persuratan Baru itu dipilih untuk menekankan pentingnya persuratan Melayu dikembalikan dalam arus perdana seni penulisan Melayu yang berteraskan Islam, berasaskan konsep ilmu yang benar; tidak lagi berasaskan konsep sastera yang lebih cenderung kepada kebebasan hawa nafsu sasterawan untuk bercerita semata-mata tentang perkara-perkara yang merosakkan moral dan mencederakan akal sihat bangsa Melayu. Mutiara yang dicari sejak 1955 itu telah ditemui dalam gagasan Persuratan Baru. Oleh itu tidaklah benar kesimpulan Prof. Dr. Zawiah Yahya yang menganggap Mohd. Affandi Hassan “joins the band of shakers and movers in Malay literature”, apa pun maksud beliau. Kesimpulan beliau tidak berasas sama sekali.

Sementara menunggu lahirnya sebuah “teori” sastera Melayu moden yang sempurna, seperti yang diharapkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan Prof. Dr. Zawiah Yahya, yang akan ditulis oleh Prof. Dr. Muhammad Salleh dengan bantuan pelajarnya yang berjumlah 4000-5000 orang itu, nampaknya beliau dan pelajarnya yang pintar-pintar seperti beliau, yang diakui gurunya mempunyai konsep sastera yang betul dan bertanggungjawab, harus menerima kehadiran gagasan Persuratan Baru dan menggunakannya jikalau beliau dan murid-muridnya benar-benar jujur telah melakukan kesalahan sejak berpuluh tahun ini. Tidak ada alasan dan tidak ada sebab untuk terus berada dalam kesalahan yang memang sudah diakui itu. Tidak timbul soal gagasan Persuratan Baru tidak boleh difahami, mengingat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan para muridnya 4000-5000 orang itu sangat “alim” tentang sastera dan sangat bertanggungjawab dari segi ilmiah dan dari segi akademik.  Sebaik saja “teori” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh yang menyeluruh dan sempurna itu lahir, maka bolehlah gagasan Persuratan Baru diketepikan atau dihapuskan terus. Tetapi sebelum itu, terima dulu yang sudah ada supaya tidak terlalu lama membuang masa duduk menimbang-nimbang satu “teori” baru yang sempurna dan menyeluruh yang belum diketahui bilakah akan lahir itu. Pilihan ini lebih siuman daripada hanya bermimpi lahirnya suatu “teori” yang sempurna dan menyeluruh yang tidak pernah diusahakan.

Mengapa penerimaan terhadap gagasan Persuratan Baru itu penting dan paling siuman? Jawapannya cukup mudah: sebaik saja teori dan pendekatan Barat diketepikan kerana menjadi punca kesilapan berpuluh tahun dalam penilaian sastera Melayu moden, seperti yang ditegaskan dengan jelas oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dan peri ketakutan para sarjana Melayu yang digambarkan oleh Prof. Dr. Zawiah Yahya “who watch with horror at the rate with which western theories have been allowed to dominate Malay critical practice”, maka para sarjana dan pengkritik sastera akan menjadi bisu, tiada pegangan lagi untuk bercakap tentang kritikan sastera. Apa akan terjadi kepada beratus ribu pelajar sastera, jikalau guru-guru dan profesor mereka sudah bisu, tidak boleh bercakap tentang kritikan sastera kerana telah menolak semua “teori” sastera Barat, dan menolak pula “teori” tempatan? Bagaimana pula akan dinilai karya para sasterawan negara tanpa teori Barat? Apa akan jadi kepada anggota Panel Anugerah Sastera Negara jika teori Barat ditolak?  Kebuntuan begini tidak patut berlaku dalam dunia akademik kita, yang telah melahirkan beribu-ribu sarjana dan doktor kesusasteraan yang telah berjaya melahirkan beratus ribu pelajar sastera yang pintar-pintar dan tajam pemikirannya itu. Oleh itu, supaya para pengkritik sastera dan para sarjana tidak terus bisu, maka “warisan Barat” itu perlu diteruskan dengan lebih gigih lagi, seperti yang ditunjukkan oleh para sarjana ketika membicarakan ”pemikiran” Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam seminar khusus untuk itu yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, yang diterima dengan baik oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sendiri walaupun beliau telah memberi amaran perihal kesalahan yang telah berpuluh tahun dilakukan itu. Itulah tindakan  yang sebaik-baiknya; tetapi lebih baik lagi jika diselitkan juga gagasan Persuratan Baru sebagai satu alternatif yang lebih mencabar pemikiran para sarjana dan murid-murid mereka. Sementara itu, kita tetap menunggu dengan sabar kelahiran sebuah “teori” sastera yang menyeluruh dan cukup mendalam yang akan dilahirkan oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan murid-muridnya. Wallahu a’lam.

Mohd. Affandi Hassan, 1 Julai 2011.

LAMPIRAN
  INSTITUTE FOR THE STUDY OF MUSLIM CIVILISATIONS

THE ANNOTATED BIBLIOGRAPHY PROJECT

The Annotated Bibliography Project (ABP) seeks to record and abstract a large body of published writing relating to most aspects of Muslim civilisations. These publications are in a range of languages: European, Asian and African, including especially the major Muslim languages (Arabic, Persian, Turkish, Urdu, Bengali, Malay/Indonesian, etc.) Some of them are under-represented in existing bibliographies and surveys of the literature, and remain little known outside their immediate areas. The purpose of the ABP will be to widen knowledge among scholars worldwide of what has been written on Islam and Muslim civilisations everywhere.
To help achieve this, it will:
  • make abstracts and reviews available online – in multiple languages
  • initiate full-length translation projects of certain key works of scholarship; and
  • create an online resource and reference tool for scholars, students and the public at large
The Project will start with a ‘Key Works Initiative’, which will be
  • limited to 20th and 21st century scholarship on Muslim culture and societies;
  • limited to works regarded by scholarly consensus as seminal or authoritative or revisionist or classic (or a combination of these). These will have helped to shape our understanding of the Muslim heritage and contemporary experiences, by expanding horizons, challenging received ideas, connecting previously unconnected phenomena, founding new methodologies or creating comparative perspectives. Examples might be The Venture of Islam by Marshal Hodgson, Islam by Fazlur Rahman, Theologie und Gesellschaft im 2. und 3. Jahrhundert Hidschra by Josef van Ess, Al-nass, al-sultah, al-haqiqah by Nasr Hamid Abu Zayd or Pendidikan estetika daripada pendekatan Tauhid by Mohd. Affandi Hassan.

AGA KHAN UNIVERSITY INSTITUTE FOR THE STUDY OF MUSLIM CIVILISATIONS
3 Bedford Square, London,
WCIB 3 RA, United Kingdom.
Tel: 44-207-907-1020
Fax: 44-207-907-1030
Email:
ismc@aku.edu

2 comments:

  1. Assalamu'alaykum,

    Shaykh Abu Hassan 'Ali Nadwi merupakan pengasas Pertubuhan Sastera Islam Sedunia (Rabitah al-Adab al-Islami al-'Alamiah)(http://www.adabislami.org). Untuk mendapat maklumat tentang persamaan pemikiran antara Shaykh Abu Hassan 'Ali Nadwi dan Tn. Hj. Mohd Affandi Hassan, saya cadangkan untuk para pembaca merujuk artikel Dr. Adli Hj. Yaacob, pensyarah Jabatan Bahasa Arab UIAM dalam Jurnal Islamiyyat, UKM. Artikel tersebut bertajuk: "Satu Analisis Ringkas Konsep dan Teori Sastera Islam di Malaysia" (Jurnal Islamiyyat, jilid 29, 2007, halaman 3-34).

    Terima kasih. Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Salam semua,
    Mungkinkah,teori yang dicanangkan, dikemukakan oleh Gagasan Persuratan Baru ini tidak menepati cita-rasa pihak yang menentu arah sastera Malaysia dan perlukan pihak berkuasa politik memutuskan hal yang berbangkit,agak saya?

    Bila teori ini akan mendapatkan haknya,jauh lagikah?.
    Sekian dan terimakasih kerana kami terus 'dihidangkan' bahan bacaan yang berfaedah ini.

    ReplyDelete