Sunday, July 17, 2011

Pendahuluan: Kegagalan Panel Anugerah Sastera Negara Memberi Arah yang Betul Dalam Kritikan dan Penilaian Sastera

(Kisah Tuala Akademik Yang Diguna PASN)

Setelah lebih dari 30 tahun menilai karya para sasterawan negara dengan menggunakan pendekatan “common sense” yang tidak berasaskan mana-mana teori sastera secara khusus, analisis dan penilian Panel Anugerah Sastera Negara  sudah jauh ketinggalan zaman,  sudah menjadi klise dalam kritikan sastera di Malaysia. Apakah yang telah mereka capai melalui laporan mereka? Pada umumnya laporan Panel Anugerah Sastera Negara menggambarkan dengan tepat sekali kesimpulan Prof. Syed Naquib al-Attas betapa keliru dan cetek meraba-raba pendapat para penilai yang tidak mempunyai tunjang ilmiah yang kukuh dalam kebudayaan Barat, jauh sekali dalam peradaban Islam, malah dalam kebudayaan mereka sendiri. Kesimpulan ini tidak mungkin dicabar oleh mereka, kerana persiapan untuk mencabarnya memakan masa dan kesungguhan ilmiah yang tidak ada pada mereka. Paling baik yang dapat mereka lakukan, jika mereka mahu (tetapi tentulah mereka tidak mahu mendedahkan kekeliruan dan kecetekan mereka secara terbuka), ialah dengan membuat penafian bahawa segala kritikan terhadap mereka diasaskan pada silap dan salah faham dan tiadanya pengetahuan mendalam dalam teori dan kaedah penilaian sastera yang mereka gunakan. Jika mereka mengambil pendirian ini, maka mereka akan lebih terdedah kepada sikap mereka yang terlalu kebaratan dan hanya boleh berbicara tentang sastera dalam konteks yang kebaratan itu. Tanpa teori dan kaedah Barat, mereka akan menjadi bisu dan tidak boleh berbicara apa-apa tentang sastera dan penilaian serta kritikan sastera. Itulah hakikat yang mereka tonjolkan dalam semua laporan mereka, seperti murai yang bising kerana dapat bertenggek di dawai sidaian tuala dari England dan Amerika Syarikat atau Eropah yang cantik dan mahal, tetapi masih tuala buatan orang lain yang diimport dengan rasa bangga dan megah walaupun terpaksa dibayar agak mahal. Itulah perilaku mereka sebenarnya, megah dan sombong menayangkan tuala import mereka sambil berceloteh tentang harga yang mahal dengan jenama yang terkenal.  Mereka memandang rendah orang Melayu yang mandi memakai kain basahan jenis batik murah atau kain kapas yang kasar, kerana tidak ada standard dan tidak moden, walaupun dengan berbuat begitu orang Melayu yang pemalu dan mempunyai harga diri itu berasa aman dapat menutup aurat ketika membersihkan diri mereka.  Pemakai tuala Barat ini tidak menggunakan tuala mereka untuk menutup aurat, tetapi hanya untuk mengelap air mandian mereka. Mereka juga merasa aman, kerana mereka berasa standard mereka lebih tinggi daripada pemakai batik basahan atau kain kapas biasa saja.  Mereka suka menggunakan analogi dalam laporan mereka, seperti yang telah ditunjukkan dalam kritikan terhadap mereka, walaupun analogi mereka hanya bermaksud untuk menonjolkan sejenis sensasi murahan semata-mata. Dan sensasi itu tidak meleraikan masalah. [Kata mereka, sebagai contoh, setelah merobek-robek sekeping kertas besar yang bernama novel Daerah Zeni, menjadi cebisan kertas yang dilemparkan ke angin kencang, kemudian dikutip kembali untuk dicantum sehingga lahirlah plot Daerah Zani yang istimewa itu, maka kata Laporan 1985 (hal. 18): “Tetapi apabila diusahakan pengumpulan kembali cobekan-cobekan itu, barulah terasa kesatuan kisah kemanusiaannya. Dan kemanusiaan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.” Maksudnya, jika cobekan-cobekan kertas itu boleh disusun menjadi kertas besar seperti asalnya, maka kemanusiaaan yang ditunjukkan di atas kertas besar yang bernama plot Daerah Zeni itu tidak ada peleraian. Tetap buntu. Lebih mudah mengumpul taburan kertas di angin kencang daripada memahami makna kemanusiaan yang tidak ada peleraian itu.]  Itulah gambaran murai yang bising di dawai sidaian tuala Barat yang dimaksudkan.  “Dan kebisingan di sini sama sekali tidak ada peleraiannya.”

Walaupun ada di antara mereka sudah berkata,  “... sudah puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya yang khusus pula. Jadi kita sudah lama melakukan kesalahan dalam menilai karya kita...” (Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh); atau ini: ‘[we have] to unseat England, Europe, and the United States of America as the centre of our universe... We will [need to] approach a text with our own cultural schema to interpret.’” (Prof. Dr. Zawiah Yahya); namun dalam penilaian mereka yang terakhir pun mereka masih menggunakan “tuala Barat” yang mereka minta dihumban saja itu. Mereka akan bisu tanpa teori dan kaedah Barat yang mereka katakan tidak sesuai itu. Apakah “teori” yang boleh mengganti “teori” Barat itu? Menurut mereka, tidak ada. Belum lagi dirumuskan, belum lahir, masih dalam mimpi siang hari yang hanya membawa igauan semata. Memang kata-kata yang menolak “teori” Barat itu tidak lebih daripada sejenis igauan semata-mata, bukan suatu kepastian berasaskan ilmu. Yakni, hanya kicauan murai yang bising sambil bertenggek di dawai sidaian sahaja!  Inilah hakikat yang tidak mahu mereka terima, oleh itu mereka harus dinilai dengan kritis supaya kekacauan “kicauan” mereka selama ini dan kekeliruan mereka selama lebih dari 30 tahun ini ada “peleraiannya”.  Dengan itu, sumbangan  Panel Anugerah Sastera Negara perlu dikaji dengan kritis untuk menentukan sejauh mana pengaruh mereka dalam kritikan mencerminkan sesuatu yang positif, dan sejauh mana pula mereka hanya memperlihatkan kecenderungan negatif membuat penilaian berasaskan “common sense” yang saling bertentangan, tiada arah kecuali untuk mengelirukan dan melanjutkan pengaruh nilai dan kaedah kritikan sastera Barat.  Namun laporan mereka sangat penting, kerana di situlah kita dapat melihat kecanggihan (atau sebaliknya) pemikiran dan analisis tokoh-tokoh akademik dan para pengkritik kita membicarakan tentang penilaian karya sastera. Untuk memperingati sumbangan mereka selama lebih dari 30 tahun ini, sudah tiba waktunya bagi Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan laporan yang telah disunting untuk rujukan, dan mungkin juga untuk menjadi panduan bagi yang ingin meneruskan tradisi meminjam teori dan pendekatan sastera Barat di Malaysia.  Satu pendahuluan kritis perlu dimuat dalam buku ini, supaya apa juga pandangan kritis tentang laporan ini diberi sanggahan atau kritikan balas yang sewajarnya.  Dewan Bahasa dan Pustaka harus menunjukkan minatnya dalam perkembangan kritikan moden dengan menerbitkan laporan yang telah disunting itu, diikuti dengan senarai lengkap  ahli panel. 

Mohd. Affandi Hassan, 6/6/2011.


No comments:

Post a Comment