Friday, July 29, 2011

Komen Sinis Prof. Rahman Shaari Tentang Syarahan Perdana Prof. Ungku Maimunah

Prakata:  Baru-baru ini sewaktu saya menyemak fail-fail lama mencari tulisan yang dapat dimasukkan ke dalam kumplan tulisan yang sedang saya kerjakan, saya terjumpa tulisan ini, yang mulanya dikirim ke sebuah akhbar mingguan, tetapi kerana sebab-sebab tertentu saya tidak perasan sama ada disiarkan atau tidak. Jika ada di antara pembaca yang menemui rencana ini disiarkan di mana-mana, sudi kiranya memberitahu rujukannya untuk saya dapatkan keratan akhbar itu untuk simpanan. Oleh sebab tulisan ini ada kaitannya dengan posting bertarikh 16/7/2011, maka saya fikir sesuai jika rencana lama ini disiarkan dalam blog ini untuk perhatian para pembaca yang berminat. Sayangnya rujukan (tarikh dan akhbar)  tulisan Prof. Rahman Shaari tidak saya masukkan; oleh itu saya minta maaf jika kelupaan saya ini mengganggu pembaca. Kalau saya tak silap, disiarkan dalam Mingguan Malaysia.  Terima kasih.
______________________________________________________________________

            Apakah tujuan Prof. Rahman Shaari memperkecil syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir  yang membicarakan gagasan Persuratan Baru, dan dengan itu sekali gus meremehkan usaha saya mengemukakan satu kaedah analisis dalam membuat penilaian yang tepat, jitu dan objektif sesebuah karya kreatif melalui gagasan Persuratan Baru. Dengan nada mengejek, Prof. Rahman Shaari membuat kesimpulan bahawa syarahan perdana itu hanya carbon copy pendapat saya yang tidak dapat saya sampaikan secara ilmiah dan terhormat sebagai syarahan perdana kerana saya tidak mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian. Jadi tidak ada pemikiran bernas dan asli dalam syarahan perdana itu, juga di dalam gagasan Persuratan Baru. Sejauh manakah beliau memahami gagasan Persuratan Baru untuk sampai kepada kesimpulan yang begitu negatif dan merendahkan? Saya yakin beliau tidak tahu apa-apa, dengan itu beliau tanpa silu segan lagi memperagakan keaiban intelektualnya dengan membicarakan sesuatu yang di luar kemampuan kognitifnya untuk difahami sebaik-baiknya. Inilah contoh “ocehan” (idle talk) yang disebut oleh Martin Heidegger, atau pembicaraan yang bercorak bullshit menurut Prof. Harry G. Frankfurt dalam bukunya On Bullshit (2005). Komen beliau hanyalah sejenis gosip sastera yang layak diborakkan di kedai kopi, sama seperti latah geram si sasterawan yang menolak ilmu dengan berkata karya sastera bukan buku ilmu.
            Gagasan Persuratan Baru tidaklah sedangkal yang disangka dan cuba digambarkan oleh Prof. Rahman Shaari. Apabila gagasan itu mementingkan watak baik yang berilmu dan bijaksana, maka ini dikaitkan dengan konsep taklif yang menjadi prinsip utama gagasan Persuratan Baru, yang menolak kejahatan sebagai unsur utama karya kreatif seperti dalam karya sastera. Watak utama itu orang baik-baik kerana dia adalah contoh terbaik (uswah hasanah) untuk manusia, oleh itu seorang pelacur tidak mungkin menjadi contoh terbaik dalam konteks taklif tadi. Sepatutnya yang perlu ditimbulkan oleh Prof. Rahman Shaari ialah pertanyaan seperti, “mengapa penulis harus menulis tentang watak yang baik-baik, jika dengan berbuat begitu karya itu tidak menarik, gagal dari segi estetik dan perwatakan?” Jika itulah yang ditanyakan Prof. Rahman Shaari, maka jawapannya mudah saja: Jika anda seorang penulis yang cekap dan berilmu, anda boleh menulis karya persuratan yang menarik dan indah. Prof. Rahman Shaari memang mengaku beliau dapat berbuat demikian di bahagian akhir tulisannya dalam penegasan beliau, “saya masih yakin saya dapat menghasilkan karya yang dimaksudkan jika nanti saya terdorong.” Kita tunggu hasilnya nanti apabila beliau betul-betul faham gagasan Persuratan Baru dan terdorong untuk menulis karyanya dari perspektif Persuratan Baru. Andainya beliau tidak terdorong hingga akhir hayatnya, maka tidak ada yang berasa dirugikan tanpa kehadiran karya persuratan hasil buah tangan beliau, yang belum tentu mencapai standard yang dikehendaki Persuratan Baru.
            Komen Prof. Rahman Shaari yang negatif tentang syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah sebenarnya mencerminkan hakikat sebenar dunia akademik kita berhubung dengan masalah ini. Ahli akademik kita yang menceburi bidang sastera kebanyakannya menghadapi masalah kongnitif yang agak tenat. Tanggapan mereka terhadap cabaran ilmiah hanya berada pada peringkat ocehan yang hanya berupaya melahirkan gosip sastera, bukan analisis ilmiah yang mencabar pemikiran. Prof. Rahman Shaari sendiri membuktikan beliau menghadapi masalah kognitif ini apabila beliau melepaskan peluang keemasan untuk membicarakan apa yang dinamakannya “teori anjakan makna” sebagai tajuk syarahan perdana beliau. Sebaliknya, beliau memilih tajuk yang mudah, yang tidak mencabar kelesuan akademik yang berlaku sekarang; oleh itu syarahan perdana beliau yang bertajuk “Kemantapan Puisi Melayu Moden: Satu Tinjauan” hanya sebuah naratif biasa tentang tema perkembangan sajak di Malaysia, bukan suatu analisis daripada “teori anjakan makna” yang menjadi pujaan beliau sekarang.  Adakah beliau menunggu seorang sarjana sehebat Prof. Ungku Maimunah untuk mengupas teori beliau itu? Tetapi sebelum sarjana hebat itu berani mengemukakan pandangan beliau, Prof. Rahman Shaari sendiri  harus membuktikan terlebih dahulu kehebatan beliau sendiri membicarakan “teori anjakan makna” yang kerap dicanangkannya. Dunia akademik khususnya dan sastera Melayu umumnya berasa sangat dirugikan apabila peluang untuk mendengar sebuah syarahan perdana yang mantap tentang “teori anjakan makna” dibiarkan berlalu begitu saja, padahal pencetusnya “mempunyai kedudukan untuk berbuat demikian”. Sungguh sayang!
            Dalam usahanya memperlekeh syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah dan gagasan Persuratan Baru, Prof. Rahman Shaari secara tiba-tiba menimbulkan soal pembohongan dalam karya kreatif, lalu meletakkan Pujangga Melayu (beliau ambil bahagian akhir buku itu berjudul “Wajah Pendeta”) setaraf dengan Salam Maria, sama-sama karya bohong. Tetapi beliau menegaskan hal ini boleh diselesaikan dengan menggunakan “teori anjakan makna”. Sayangnya beliau tidak menjelaskan bagaimana “teorinya” mempunyai jawapan terhadap persoalan itu. Lebih penting, bagaimana pula jika “teori anjakan makna” itu sendiri suatu pembohongan akademik yang timbul daripada kekeliruan tentang konsep ilmu? Bolehkah pembohongan akademik membenarkan pembohongan kreatif? Ini soal epistemologi yang memerlukan penjelasan, yang kini menjadi kewajipan Prof. Rahman Shaari menjelaskannya.
Tetapi soal pembohongan ini sudah lama dibincangkan dalam kesusasteraan Arab, jadi kita tidak perlu menunggu Prof. Rahman Shaari menjelaskannya. Pembaca yang berminat bolehlah merujuk buku Mansour Ajami bertajuk, The Alchemy of Glory: The Dialectic of Truthfulness and Untruthfulness in Medieval Arabic Criticism (1988). Terlalu panjang untuk saya membicarakannya dalam makalah ringkas ini. Cukuplah dengan memberi contoh berupa soalan: Adakah karya Hamzah Fansuri (yang dihuraikan oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dengan mendalam) dan karya Iqbal, misalnya Asrar-i-Khudi, karya bohong? Jawapan yang diberikan oleh gagasan Persuratan Baru sangat jelas dan mudah difahami: sebarang karya yang berasaskan konsep ilmu yang benar adalah karya yang benar, walaupun dinukil daripada pemikiran pengarang. Adakah ini berlaku pada karya-karya kreatif para sasterawan negara misalnya? Jika kita meneliti penilaian yang dibuat oleh panel anugerah sastera negara, kita akan dapati unsur pembohongan dalam penilaian mereka amat ketara. Antaranya yang paling menonjol ialah kesimpulan mereka bahawa karya sastera yang baik dan bermutu tidak mempunyai mesej, tidak ada matlamat, tidak memberikan ajaran moral. Karya yang baik itu ialah yang meniru teknik karya Barat. (Rujuk antara lain Laporan 1985). Prof. Rahman Shaari sendiri pernah duduk sebagai penilai untuk hadiah sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka 1994, yang dipengerusi oleh Aziz Deraman. Panel itu juga berpendapat penerapan teori Barat adalah usaha terbaik untuk sastera Malaysia (Dewan Sastera, Disember 1994, hal. 88).  Panel itu menilai buku Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992) berasaskan pembohongan yang amat ketara apabila mereka berpendapat buku itu tidak bermutu kerana terdapat penggunaan perkataan “ketayap” dalam pendahuluannya. Panel penilai amat tersinggung dengan perkataan itu, oleh itu mereka tidak membicarakan langsung isi buku tersebut, yang kemudiannya diterima oleh Institute for the Study of Muslim Civilizations, Aga Khan Universiti, London sebagai sebuah buku penting yang memenuhi kriteria mereka dalam memilih karya-karya utama abad 20. Ini terjadi, saya agak, kerana mereka tidak nampak “ketayap” seperti panel Malaysia, tetapi nampak isi buku itu. Pembohongan penilaian ini telah saya huraikan agak terperinci dalam kertas kerja bertajuk “Hadiah dan Anugerah Sastera di Malaysia: Satu Penilaian Kritis”, dikemukakan dalam Wacana Sastera anjuran DBP, 25 Mei 2006. Sesiapa yang berminat bolehlah merujuk kertas itu. Dalam kertas itu, saya jelaskan terjadinya pembohongan dalam penilaian ini kerana para penilai menggunakan “the bullshit theory of literature/criticism” akibat kekeliruan mereka tentang konsep ilmu.
            Pembohongan dalam penilaian ini hanya dapat dikesan jika digunakan cara analisis berasaskan gagasan Persuratan Baru. Di situlah, nampaknya, punca perasaan tidak senang para sarjana sastera seperti Prof. Rahman Shaari. Gagasan Persuratan Baru meneliti sumbangan mereka dengan kritis berasaskan konsep ilmu yang benar, sehingga mereka berada dalam keadaan yang diungkapkan dalam peribahasa Melayu, “seperti cacing kepanasan”. Betulkah “cacing sastera” tidak tahan panas?  Wallahu a’lam.

Petaling Jaya,  17/12/2007     


3 comments:

  1. As-salam, banyak "SASTERAWAN" yang memandang serong PB. Itulah lumrah kehidupan, benda baik selalu ada halangan. Hidup PB!

    ReplyDelete
  2. Moga PB terus difahami oleh orang yang benar-benar inginkan kebenaran dan cintakan ilmu!

    ReplyDelete