Malaysia sangat beruntung kerana mempunyai dua kumpulan golongan intelektual. Satu bijak pandai, yang amat sedikit bilangannya; satu lagi bijak pandir, yang amat ramai bilangannya. Siapakah golongan bijak pandir ini? Adakah mereka benar-benar wujud, atau hanya andaian semata-mata? Golongan ini adalah penegak dan pengamal pandirisme dalam kesusasteraan. Mereka adalah pengikut aliran Barat dalam memahami konsep dan makna kesusasteraan, kononnya (atau lebih tepat “kununnya”) seperti yang terdapat dalam kesusasteraan Barat, mengikut fahaman mereka. Tetapi salah satu kekuatan karya Shakespeare, Goethe, Dante dan lain-lain tokoh besar sastera Barat, adalah pemikiran mereka. Karya-karya tokoh besar sastera Barat ini terus dibicarakan dengan gigih oleh para sarjana, pengkritik dan para sasterawan Barat sendiri dalam konteks pemikiran mereka. Adakah pemikiran itu mencerminkan ilmu? Mengikut para bijak pandir, pemikiran bukan ilmu, kerana tidak ada ilmu dalam karya sastera. Yang ada hanya pemikiran, bukan ilmu. Bolehkah anda tangkap apakah yang mereka maksudkan? Adakah para bijak pandir sastera ini telah mengemukakan satu falsafah baru, atau sekurang-kurangnya “pemikiran” baru dalam kesusasteraan? Timbulnya keadaan ini kerana mereka sangat marah dan benci apabila dicabar oleh gagasan Persuratan Baru, yang mengutamakan ilmu dalam karya sastera. “Mana boleh!” Jerkah mereka dengan marah dan sombong-angkuh. Mana ada ilmu dalam karya sastera? Kata mereka, karya sastera itu hanya cerita, tidak perlukan ilmu. Jika karya sastera perlukan ilmu, maka tidak dapat dielakkan lagi mestilah mengandungi unsur didaktik. Itu salah. Tidak ada didaktisisme dalam karya sastera kerana dalam karya sastera yang bermutu tinggi, yang unggul dan indah sebagai hasil seni, tidak ada khutbah, tidak ada pengajaran, oleh itu tidak ada ilmu. Kata mereka, ilmu tentulah berkaitan dengan khutbah dan didaktisisme, yang tidak diperlukan dalam karya sastera. Mereka memberi contoh yang konkrit dalam karya-karya para pujangga besar mereka yang mereka gelarkan “sasterawan negara”. Mana ada pengajaran dalam karya para sasterawan negara? Tegas mereka, sekiranya kita telah memilih para sasterawan negara, yang karyanya tidak mementingkan ilmu, maka tidakkah sangat biadab jika selepas itu kita mencari ilmu dalam karya mereka? Tidakkah ini sangat biadab dan kurang ajar? Para pengkritik dan sarjana sastera tidak patut bertindak biadab mencari ilmu atau unsur-unsur yang boleh dianggap sebagai ilmu dalam karya para sasterawan negara ini. Tidakkah anda tahu, para juri yang memilih mereka telah menetapkan bahawa karya para sasterawan negara ini tidak perlu mempunyai matlamat, tidak perlu mempunyai tema tertentu, tidak perlu menyatakan pendirian moral mereka, pendeknya mereka mesti membebaskan karya mereka daripada sebarang unsur yang boleh disifatkan mempunyai walau sedikit sekalipun ciri-ciri yang boleh menyerupai ilmu. Itulah hakikat karya sastera, yang difahami oleh para juri dan memang menjadi amalan para sasterawan negara dan seluruh sasterawan Melayu yang mendukung keindahan seni melalui bahasa. Kata para bijak pandir ini, keindahan hanya berada dalam penggunaan bahasa yang mengutamakan metafora, perbandingan dan segala jenis retorik bahasa yang digunakan oleh para sasterawan seluruh dunia. Tidak ada keindahan dalam ilmu, kerana ilmu adalah fakta, bukan terjemahan daripada fakta itu. Kata para bijak pandir ini, seorang sasterawan hanya menterjemahkan fakta, bukan menghidangkan ilmu. Mereka tidak layak dan tidak dikehendaki untuk menghidangkan apa juga jenis ilmu dalam karya mereka, kerana mereka bukan ahli ilmu. Mereka ahli sastera. Dan lain-lain lagi hujah mereka (yakni para bijak pandir ini) yang boleh anda baca dalam tulisan para bijak pandir ini, sama ada dalam buku-buku mereka, dalam blog mereka, atau dalam ceramah dan kertas kerja yang mereka kemukakan dalam seminar.
Mengapa mereka tidak mahu ilmu dalam karya sastera? Menurut mereka, karya sastera itu seni, bukan sains. Hanya dalam sains sahaja terdapat ilmu. Dalam karya sastera tidak ada. Jika kita tanyakan para bijak pandir ini, adakah anda samakan maklumat dengan ilmu? Mereka menjawab, tidak ada bezanya. Maklumat itu ilmu, dan ilmu itu maklumat. Apa bezanya? Tanya mereka dengan megah sambil membeliakkan biji mata menyindir orang yang bertanya, yang mereka anggap sangat bodoh kerana telah membezakan maklumat yang memang sama dengan ilmu menurut falsafah ilmu mereka. Kata mereka, ilmu per se tidak ada dan tidak patut ada dalam karya sastera kerana tempatnya dalam kitab-kitab atau dalam buku-buku ilmu per se. Ilmu pasir? Tanya seorang yang bodoh, yang tidak pernah mendengar ungkapan per se itu. Kumpulan bijak pandir itu tertawa kuat, terhinggut-hinggut seperti kambing kepanasan kerana terlalu geli hati. Aku sudah kata, sastera per se tidak perlu ilmu per se kerana tempatnya dalam buku-buku ilmiah, bukan dalam karya sastera. Tidakkah anda keliru?, tanya para bijak pandir ini, megah kerana berasa sudah menang berhujah. Demikianlah akhirnya mereka mengambil keputusan, karya sastera tidak perlukan ilmu.
Apakah yang mereka, para bijak pandir ini, faham dengan konsep ilmu? Bagi para bijak pandir ini, ilmu adalah khusus membicarakan ilmu dalam disiplin tersendiri, misalnya ilmu perubatan, ilmu teknologi, ilmu sains, dan lain-lain jenis ilmu. Dalam Islam, kata mereka memberitahu, ada Ilmu Tauhid, ada Ilmu Fiqh, ada Ilmu Nahu, ada Ilmu Sejarah dan bermacam-macam lagi. Itulah ilmu, tegas mereka dengan bangga kerana telah menjelaskan maksud ilmu menurut fahaman mereka. Maka bertanyalah seorang bodoh yang tidak berilmu: Adakah tidak ilmu sastera? Dengan pantas mereka menjawab, Sastera bukan ilmu, oleh itu tidak ada ilmu sastera. Dalam sastera yang ada hanya karya sastera, satu seni yang indah yang ditulis oleh orang-orang yang sensitif kepada keindahan yang kita namakan sasterawan atau seniman. Orang yang bertanya menggaru kepala, tidak dapat menerima dan tidak faham penjelasan para bijak pandir yang begitu fasih berbahasa indah-indah itu. Maka bertanyalah orang bodoh itu, Kalau begitu, apakah yang anda semua ajar di sekolah dan di universiti? Apakah yang anda tulis jika bukan ilmu? Semakin kuat para bijak pandir itu tertawa, geli hati yang amat sangat mendengar kekeliruan orang yang bertanya. Lalu mereka berkata dengan bangga, menonjolkan ilmu mereka: Kami sebagai profesor, pensyarah dan guru sastera di sekolah-sekolah dan universiti mengajar murid-murid dan para pelajar universiti tentang plot, sudut pandangan, dialog, struktur, stail, latar belakang, dan sebagainya yang kita dapati dalam karya sastera. Itu bukan ilmu. Itulah teknik dalam penulisan kreatif. Anda mesti tahu semua itu, terutama sekali plot. Kita ukur kejayaan sesuatu karya sastera dengan melihat strukturnya, bagaimana cerita dibina dengan menggunakan plot yang kemas. Adakah anda sudah faham? Seterusnya, kata mereka lagi, oleh sebab para sasterawan dunia telah berjaya meneroka berbagai-bagai cara menulis dengan indah-indah, maka yang kami ajar termasuklah eksperimen yang dibuat oleh para sasterawan dunia ini, yang ditiru dan disalin dengan jayanya oleh para sasterawan kita, terutama sekali oleh para sasterawan negara yang mendapat pujian daripada para juri yang memilih mereka. Anda pernah dengar absurdisme? Pernah denganr realisme magis? Pernah dengar realisme sosialis? Pernah dengar eksistensialisme? Sambil tertawa, para bijak pandir ini bergurau, Tidak ada yang sial dalam eksistansialisme itu. Itu tentang kewujudan manusia moden, bukan tentang yang sial-sial dalam kehidupan moden seperti yang selalu ditafsirkan oleh orang-orang yang tidak tahu sastera pascamoden. Anda masih belum faham?
Dialog ini berterusan, mungkin sampai hari kiamat. Oleh sebab para bijak pandir yang menjadi sasterawan, pengkritik sastera dan sarjana sastera ini menolak ilmu, terutama sekali konsep ilmu yang benar, maka mereka akan terus berhujah untuk menegakkan pandirisme dalam kesusasteraan, yang mereka ajarkan di sekolah-sekolah dan di universiti dan yang mereka tulis dalam karya-karya mereka. Kini, dengan bantuan Panel Anugerah Sastera Negara, pandirisme telah dijadikan arus perdana dalam perkembangan kesusasteraan Melayu moden. Melalui hujah dan pembuktian yang diasaskan kepada falsahah pandirisme (adakah pandirisme mempunyai falsafah?), maka sebarang usaha untuk membawa ilmu dalam kesusasteraan ditentang habis-habisan kerana usaha itu amat biadab, kata golongan bijak pandir ini. Sastera Melayu sudah maju dan dikenali seluruh dunia dalam bentuk dan cara yang ada sekarang, yang tidak mementingkan ilmu, maka mengapa pula perlu diganggu dengan membawa pengaruh biadab dengan memasukkan konsep ilmu yang benar dalam sastera? Kata mereka, lebih biadab lagi apa bila karya sastera dipecah-pecah kepada tiga kategori, iaitu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan erotik. Mengapa perlu dipecah-pecah sebegitu? Tidakah itu sangat biadab? Lebih biadab lagi apabila golongan biadab ini cuba mempengaruhi kita, kata golongan bijak pandir, untuk menerima karya persuratan itu lebih bermutu dan lebih murni daripada karya sastera kerana karya persuratan ada ilmu sedangkan karya sastera tidak ada ilmu, apatah lagi dengan menggunakan ukuran dalam karya persuratan untuk menilai karya sastera? Tidakkah itu sangat biadab? Nasib baik mereka tidak mempunyai gas pemedih mata atau apa-apa senjata tidak berbahaya yang dipunyai oleh polis untuk menyuraikan kumpulan haram yang menunjuk perasaan; sekiranya mereka (yakni para bijak pandir ini) mempunyai senjata yang tidak berbahaya itu, tentulah sesiapa yang cuba mengemukakan sesuatu yang mereka tidak suka telah disembur dengan gas pemedih mata atau water canon yang airnya beracun (rancun main-main saja kata polis yang menggunakannya). Dalam keadaan kacau bilau yang ditimbulkan oleh segolongan kecil yang pandai-pandai membawa ilmu ke dalam karya sastera, maka kesusasteraan Melayu dikembangkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti yang menyediakan jabatan khusus mengajar sastera dan kritikan sastera. Mereka ini tidak mahu berubah, kerana kebaikan itu, kata mereka, berada dalam kejahilan, iaitu tiadanya ilmu dalam sastera. Atau memang ada ilmu tapi bukan versi ilmu yang benar? Tetapi sastera memang tidak perlukan ilmu, oleh itu, nasihat mereka dengan sopan santun, janganlah dirosakkan kesusasteraan Melayu yang sudah maju jaya tanpa memperdulikan ilmu itu. Apa gunanya ilmu kalau sudah boleh maju tanpa ilmu?, tegas mereka dengan serius.
Perbincangan tentang kemunculan golongan bijak pandir ini dan peranan mereka dalam kesusasteraan telah dibincang dengan santai dalam buku Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan: Teori dan Praktik. (Lihat bab 4). Kewujudan buku ini belum lagi diketahui oleh golongan bijak pandir ini, oleh itu belum ada apa-apa reaksi negatif atau positif daripada mereka. Lagi pula, secara logiknya, melihat judulnya saja pun membuat mereka mual hendak muntah. Sastera Melayu sudah maju dan dikenali seluruh dunia tanpa memikirkan perlunya ilmu, tegas para bijak pandir ini dengan bangga, oleh itu mengapa pula ada yang pandai-pandai hendak membawa ilmu ke dalam karya kreatif? Tidak perlu pun (ini mengikut gaya Shahnon Ahmad yang terkenal itu).
Tetapi kata orang-orang bodoh yang degil yang membawa idea ilmu ini, kalau tak mahu pun tak apalah, apa salahnya kita semua terus tinggal bodoh; lagi pula kita memang sudah maju dan boleh terus maju dengan mengutamakan kebodohan dalam falsafah pandirisme yang telah kita angkat menjadi aliran perdana. Tapi hujah yang paling ampuh, kata orang yang cerdik di antara mereka, ialah cara Malaysia ditadbir sekarang. Kata mereka, sekarang Malaysia ditadbir oleh sekumpulan Ketua Murid, dengan diketuai oleh Ketua Murid Perdana. Mereka sangat cekap, sangat mementingkan disiplin (seperti ketua-ketua murid di sekolah menengah) dan sangat pandai mencari ukuran kemajuan negara. Mereka telah berjaya menjadikan Malaysia sebuah Negara Sekolah Menengah yang sangat cekap mengibarkan bendera sambil menaikkan jari telunjuk yang menjadi simbol Nombor Satu. Inilah kerja rasmi yang amat ditekankan oleh Ketua Murid Perdana. Kini, kata para penyokong budaya pandirisme dalam pendidikan, universiti pun telah dijadikan sekolah menengah, dengan murid-murid yang menjadi pelajar yang telah didisiplinkan supaya tidak pandai-pandai sendiri memberi pendapat bebas. Para pensyarah pun telah didisiplinkan dengan sempurna untuk menurut telunjuk yang didirikan tadi supaya berdisiplin, ikut perintah yakni ikut telunjuk simbol Nombor Satu itu. Mengapa pula para sasterawan dan sarjana sastera hendak diajar memberontak? Biarlah Muhammad Hj. Salleh saja yng menjeritkan, “aku sudah belajar/ jadi kurang ajar”, yang menjadi ikutan para bijak pandai, tidak perlu diikuti oleh golongan bijak pandir. Tetapi pelik juga, golongan bijak pandir inilah yang mempertahankan sajak-sajak Muhammad Hj. Salleh sehingga ada yang menggelarnya Raja Pensajak Malaysia.
Sekiranya Pak Pandir masih hidup, atau betul-betul wujud, tentulah dia akan tertawa selama tiga bulan tidak berhenti-henti mendengar ceritanya yang kini sudah dijadikan falsafah dalam segenap bidang kehidupan orang Malaysia, termasuk dalam “dunia” kesusasteraan mereka dan muncul pula tokoh-tokohnya sebagai kumpulan bijak pandir yang hebat dan bertaraf antarabangsa. Kalau itu bukan kemajuan, apa namanya?
Mohd. Affandi Hassan, 23/7/2011.
Assalamualaikum Tuan Affandi yang saya hormati,
ReplyDeletedalam tulisan ini tuan ada menyebut bahawa golongan bijak pandir ini mengajarkan teknik untuk penulisan kreatif. Apakah pandangan tuan mengenai Teknik Surah Yusuf hasil analisis Puan Ainon Mohd. , yang menyentuh mengenai konsep hasanah dalam karya sastera pada pendahuluan buku tersebut.