Gaya Persuratan Baru (III)
Selepas disiarkan posting bertarikh 7 Julai 2011 (Gaya Persuratan Baru II), ramai yang bertanya dan berminat ingin tahu apakah kemajuan selepas Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mengisytiharkan “pelajar tahun empatnya” mempunyai pengetahuan yang luas dalam kesusasteran dan kritikan kesusasteran, dengan bilangan murid beliau sekitar 4000-5000 orang seluruh negara. Bagaimana saya boleh menjawabnya? Pertanyaan itu seharusnya ditujukan kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh atau muridnya atau penyokongnya yang ramai itu, bukan ditujukan kepada saya. Tentu saja saya tidak mempunyai maklumat terkini tentang kemajuan “pelajar tahun empat” dan murid beliau 4000-5000 orang itu. Tetapi jika kita membaca tulisan yang tersiar dalam akhbar dan majalah, yang mungkin sebahagian besarnya ditulis oleh murid-murid beliau atau “pelajar tahun empat” yang sangat dibanggakan oleh beliau, kita mungkin akan dapati satu revolusi telah berlaku dalam kesusasteraan Melayu. Buktinya, majalah Dewan Sastera menumpukan perhatiannya tehadap sasterawan muda yang menjadi pengikut Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan karya mereka mendominasi bidang kesusasteraan Melayu sekarang, dengan ramai pula yang menerima hadiah dan banyak pula karya mereka dipilih oleh Kementerian Pelajaran Malaysia untuk dijadikan teks kesusasteraan moden. Selain dari itu, para sasterawan negara diberi keutamaan yang sungguh istimewa untuk menulis setiap bulan di Dewan Sastera, walaupun kebanyakan tulisan itu hanya bertaraf jurnalistik saja, tidak mempunyai nilai akademik dan pemikiran yang bernas. Hanya sekadar laporan atau paling baik kenangan lama para sasterawan negara yang ingin ditonjolkan kembali kepada pembaca baru. Kemajuan yang lebih besar, pada hemat saya, ialah gelaran yang diberikan kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh sebagai Tokoh Akademik Negara, khususnya dalam pemikiran kesusasteraan, terkhusus untuk mengiktiraf beliau sebagai seorang pemikir bangsa Melayu yang ulung pada waktu ini dalam bidang kesusasteraan dan pensajak yang terbaik yang pernah dilahirkan oleh Malaysia, seorang yang sudah layak diberi Hadiah Nobel Kesusasteraan. Selain dari itu, beliau adalah juga seorang penterjemah paling berjaya di Malaysia, yang memperkenalkan Hikayat Hang Tuah ke keseluruh dunia melalui terjemahannya ke dalam bahasa Inggeris. Selain dari itu, beliau juga telah membaiki kekeliruan dalam edisi Sejarah Melayu melalui edisi Muhammad Hj. Salleh, walaupun terdapat sarjana sastera Melayu tradisional yang tidak menganggap edisi itu luar biasa atau yang paling teliti yang pernah dikerjakan. Sebagai kesimpulan, saya ingin memetik pendapat Prof. Dr. Zawiah Yahya yang penting ini: “There have also been questions raised on whether Muhammad’s Malay Literary Poetics is a theory of production or a theory of criticism. Certainly there seems to be a gap between theory and practice, but even if it is only a theory of production, it is a feat in itself and has every potential of providing a most useful framework for the construction of a critical theory”. (Reading Approaches in Malay Literature: Critical Theory in the Making, UKM 2010; hal. 43).
Dengan penjelasan itu, yang saya kira “cukup akademik” dan wajar, pembaca yang lebih kritis daripada saya, tentulah saya kira lebih layak dan lebih terkini maklumatnya daripada saya untuk membuat kesimpulan yang lebih tepat. Ada juga yang mempersoalkan ketepatan kesimpulan Aidil Khalid, yang mengatakan sudah terdapat di kalangan penulis muda yang cuba menulis dalam gaya Persuratan Baru (beliau mengemukakan contoh karya berjudul Warisnya Kalbu). Sejauh mana tepatnya kesimpulan Aidil Khalid saya tidak pasti, kerana saya sendiri belum lagi membaca contoh-contoh karya penulis muda yang dikatakan “terpengaruh” dengan gaya Persuratan Baru. Ada tidaknya yang saya baca hanya sebuah dua karya Aidil Khalid sendiri, itu pun kerana beliau sendiri mengaku cuba menulis mengikut gaya Persuratan Baru. Selain dari itu, yang terbaru saya baca ialah karya A. Muziru Idham, “Bila Hujan Luruh” (Mingguan Malaysia, 19 Jun 2011).
Ada juga pertanyaan (mungkin agak nakal!) yang ragu-ragu, malah tidak percaya, gagasan Persuratan Baru itu timbul dari “pemikiran” saya sendiri; kerana kata orang yang sangsi itu, dia lebih percaya dan yakin pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh lebih tepat dan wajar apabila beliau membuat kesimpulan “bahawa pelajar tahun empat saya memahami konsep sastera dengan lebih wajar lagi dari konsep sasteranya yang jikalau saya dapat gunakan perkataan beliau sendiri agak ‘kacau’ malah konsep ini tidak bertanggungjawab dan negatif”. Kata mereka, oleh sebab saya telah mengaku pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh masih terpakai hingga sekarang, maka mereka berpendapat kesimpulan Prof. Dr. Muhamamad Hj. Salleh itu boleh juga dipakai sebagai kesimpulan beliau terhadap gagasan Persuratan Baru. Saya fikir agak sukar untuk menerima kesimpulan ini, kerana saya yakin Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh tidak pernah membaca dan tidak pun mengetahui apakah yang dikatakan Persuratan Baru itu; dengan itu mungkin tidak adil untuk “menyuapkan kesimpulan” itu ke dalam mulut akademiknya kerana kesimpulan itu tidak keluar dari luahan kritikannya sendiri. Tetapi ini hanya andaian, yang mungkin salah atau tidak tepat. Sebenarnya bagi saya, sama ada kesimpulan itu salah atau betul tidak menjejaskan kedudukan gagasan Persuratan Baru, yang saya kira sudah agak kukuh berada di tengah-tengah gelora lautan kesusasteraan Melayu moden. Saya belum lagi mengalami pelanggaran kapal-kapal besar para akademik yang memuat sarat pemikiran sastera Barat mereka sehingga boleh menenggelamkan perahu kecil Persuratan Baru dari pelayarannya yang nampaknya tidak tergugat dengan gelombang besar kapal akademik yang besar-besar itu. Malah kapal itulah yang bergoyang kuat, entah apa sebabnya saya tidak pasti, mungkin kerana kapal kecil Pesuratan Baru mempunyai kekeramatan tersendiri sehingga menakutkan kapal-kapal akademik yang besar-besar itu, tetapi kosong muatannya dari segi ilmu persuratan kerana terlalu tepu ditimbuni nilai dan teori sastera Barat yang hanya sekadar ditiru. Wallahu a’lam.
Mohd. Affandi Hassan, 12/7/2011.
Assalamu 'alaikum wbt,Pak Affandi dan pembaca yang dihormati.
ReplyDeleteDengan paparan dalam rencana sebelum ini adalah sesuatu yang berguna untuk melihat perbahasan berkenaan dengan teori dan konsep yang didukung dalam bahan bacaan yang tersebar.
Saya,mungkin pembaca biasa tidaklah terdedah atau mengendahkan apa pun teori yang mereka gunakan.
Cuma inginlah saya sekadar membuat beberapa komen berdasar apa yang saya boleh mengambil fahaman mudah di antaranya,
1.Isu penilaian hasil kesusasteraan ini menjurus kepada pertembungan pendapat di antara Prof.Dr.Muhammad Hj.Salleh dan Mohd Affandi Hassan (M.A.H).
2.Menurut kenyataan yang diberikan oleh Prof.Dr.Muhammad adalah bahawa beliau menilai,meletakkan M.A.H sebagai seorang yang tidak memahami banyak perkara dan amat terbatas pengetahuan dasarnya.Di sebutkan dalam ayat yang panjang (sila rujuk dalam blog ini)
3.Malah anak-anak didiknya yang ramai itu lebih memahaminya.
4.Beliau juga menegaskan bahawa gagasan yang telah diketengahkan dan diperjuangkan oleh M.A.H
ini merupakan "konsep yang kacau" malah beliau menambah "..saya tidak dapat menerima sama sekali konsep yang tidak bertanggungjawab begini".Ertinya,pada saya yang membaca,beliau tidak berminat dan menolak gagasan Persuratan Baru sama sekali atas kapasiti keilmuannya seperti kata orang "hidung tak mancung pipi tersorong-sorong" macam pandang tak ada mata saja!.
Inilah gambaran kedudukan gagasan Persuratan Baru di mata Intelektual Melayu jika saya boleh sebut "kaum intelek" pada ketika ini.
Jadi apakah harapan tuan dengan fenomena ini dan sikap tuan,apa yang boleh dilakukan lagi terhadap kritikan yang hebat dan berbagai ini?.
Sekian,maaf jika ada salah dan silap.
Terimakasih.