Gaya Persuratan Baru (II)
Seorang teman memberitahu saya, satu tesis sarjana telah ditulis dan dikemukakan kepada Universiti Malaya, bertajuk “Pujangga Melayu: Dari Sudut Pendekatan Persuratan Baru”, oleh R. Sharatha a/p Ramasamy, diselia oleh Prof. Madya Dr. Hashim Ismail, diluluskan 2007. Teman itu memberikan sedikit gambaran kecil berupa rumusan tesis itu: “Novel ini juga [Pujangga Melayu] layak dianggap sebagai magnum opus kerana di dalamnya berjaya diperagakan “permata berharga” yang tinggi nilainya, dengan sentuhan ‘style’ yang berkesan menyentuh jiwa dan roh insaniah yang hakiki dalam bentuk fitrah” (hal. 185-186). Seterusnya, R. Sharatha berpendapat, Persuratan Baru “wajar diterima sebagai satu pendekatan yang cukup memberangsangkan dan kukuh untuk digunakan sebagai alat (tool) dalam kegiatan penulisan dan penilaian karya.”
Prof. A. Wahab Ali menghadiahkan kepada saya latihan ilmiah R. Sharatha (Akademi Pengajian Melayu, Sesi 1998/99) berjudul, “Satu Kajian Satira Dalam Kumpulan Cerpen Tenggelam di Lautan China”. Dalam bab 4, “Kesimpulan”, beliau menurunkan beberapa pandangan sarjana/pengkritik yang tidak pernah saya baca selama ini, malah saya tidak pernah berminat hendak mengetahuinya. Saya turunkan beberapa pandangan mereka menurut rumusan R. Sharatha untuk memudahkan para pengkritik saya yang tidak bersetuju membantahnya atau menolaknya sebagai tidak tepat, dengan hujah dan alasan yang munasabah. Inilah kesimpulan yang dibuat oleh R. Sharatha:
“ Hamzah Hamdani pula menyatakan Mohd. Affandi Hassan sebagai penulis esei, resensi dan kritikan yang muncul secara jelas dalam tahun 1970an yang telah menjadi pengembang dasar pendekatan kritikan yang kukuh serta bijaksana walaupun pada masa itu beliau masih muda. Affandi diakui berupaya menjadi penyorot atau pengkritik yang baik pada masa akan datang (Hamzah Hamdani ed. Esei Sastera Baharuddin Zainal, DBP 1980, hal. 159).
“Bagi Mana Sikana, Affandi dianggap sebagai pengkritik sastera yang sangat istimewa kerana tokoh yang tidak kenal kompromi ini cukup berani dan lantang menyuarakan pendapat, panjang wawasannya dan mempunyai potensi yang teguh dalam lapangan kritikan. Beliau gemar kepada karya yang benar-benar bermutu, suka mengemukakan idea-idea baru dan beberapa gagasan untuk memajukan sastera Malaysia (Mana Sikana, Masalah dan Peningkatan Kritikan Sastera, DBP 1988, hal. 13).
“Menurut Junaidah Zainal pula, Affandi memiliki kekuatan kepengarangan dalam pelbagai aspek dalam kehidupan. Beliau disifatkan penulis yang tidak mengikut sebarang kriteria, peraturan atau sistem yang dipersetujui oleh para intelektual dan penulis prosa masa kini. Corak penulisan yang bebas dan penggunaan bahasa yang tidak keterlaluan atau berbunga-bunga menjadikan karyanya sedap dibaca (Junaidah Zainal 1996. Simbolisme: Satu Kajian terhadap Karya-karya Mohd. Affandi Hassan, Latihan Ilmiah, Kuala Lumpur, Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya).
“Mohd. Affandi Hassan merupakan antara golongan pengkritik yang berjaya menghidupkan gelombang dunia sastera menerusi tulisan-tulisan kritikan terhadap isu karya dan permasalahan sastera yang wajar disebut sebagai “Pejuang Sastera” yang bertanggungjawab mencelikkan mentaliti bangsa Melayu (Mingguan Malaysia, 2 Julai 1989, Kuala Lumpur, hal. 12).”
Supaya pandangan di atas tidak kelihatan terlalu dipilih-pilih, tidak mencerminkan sesuatu yang benar, kita lihat pula pandangan “gergasi akademik dan sastera Melayu” yang mempunyai pendapat yang tidak saja berlainan, tetapi bertentangan dengan pendapat yang dikutip di atas. Inilah saya turunkan beberapa cebisan saja daripada pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh untuk menjadi perbandingan pembaca. Pembaca yang berminat boleh merujuk tulisan beliau dalam Berita Minggu, 25 Disember 1983; Berita Minggu, 1 Januari 1984; Berita Minggu, 22 Januari 1984. Lihat juga makalah saya dalam Kedudukan Ilmu Dalam Kesusasteraan, suntingan Prof. Ungku Maimunah. Pendapat Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh penting kerana ia mencerminkan aliran perdana di kalangan ahli akademik dan para sarjana/pengkritik sastera, yang menjadi pegangan 4000-5000 pelajar Prof. Dr. Muhammad sendiri. Inilah cebisan sekadarnya:
“Di awal perbincangan ini saya ingin menyatakan bahawa menurut ukuran kritikan saya atau yang kami turunkan dalam kertas kerja kami, Mohd. Affandi Hassan bukanlah seorang kritikawan yang menulis kritikan, yang menjadi suatu genre kesusasteraan. ... Mohd. Affandi juga tidak dapat dikategorikan sebagai sasterawan; setinggi-tinggi penghormatan yang dapat saya berikan kepada beliau sebagai penulis dan menamakan beliau “pengkritik” yang menulis “kritik”, dalam maksud mencari salah dan membongkar segala yang negatif, dari pandangnya sendiri tanpa cuba memahami dan melihat keadaan yang sebenarnya wujud. Oleh kerana yang ditulis oleh Mohd. Affandi itu bukan kritikan dan bukan kesusasteraan, maka pendapat-pendapatnya yang tidak ada dasar sastera tidak perlu dibincang secara serius.” (BM 25 Disember 1983).
“Yang jelas dari tulisannya Mohd. Affandi tidak memahami prinsip penting kritikan. Apabila kami cuba menurunkan tugas dan bentuk kritikan yang kami anggap agak universal dan diterima di Malaysia dalam kertas kerja kami, maka beliau amat tidak setuju”. (BM 25 Disember 1983).
“Nampaknya dalam pemikiran kesusasteraan beliau, kritik yang berhasil ialah yang cuba memberi pandangan yang salah, tidak tepat, menyeleweng dan sebagainya. Ini adalah satu kenyataan yang serius dan nampaknya timbul dari bawah sedar Mohd. Affandi, kerana sebenarnya kita dapat berikan begitu banyak bukti untuk pendapat ini, malah seluruh tulisan saya ini cuba menganalisis dasar-dasar dan cara Mohd. Affandi menulis, sebagai bukti kepada lorik yang “salah”, “lemah” dan menyeleweng ini. Konsep begini tidak juga bertujuan apa-apa selain mendedahkan “kesalahan” dan “kelemahan” penulis. Tidak dipentingkan bahawa kritikan dan diri kritikawan itu orang yang terhormat dan mulia, tidak peka kepada karya, penulis, pembaca atau kesusasteraannya. Saya tidak dapat menerima sama sekali konsep kritikan yang tidak bertanggungjawab begini. Mungkin seseorang kritikawan begini dapat menghamburkan caciannya dalam bilik peribadinya sendiri, tetapi kritikan sastera adalah suatu genre dari kesusasteraan, dan kesusasteraan adalah suatu institusi mulia masyarakat dan bangsa”. (BM 25 Disember 1983).
“Amat banyak yang tidak difahami beliau dan pengetahuan beliau juga agak terbatas. Beliau juga tidak memahami akan kritikan akademik yang lebih berupa kritikan dan analisa dalam jurnal, tesis dan seminar akademik. Jadi, agak sulit untuk beliau membuat komentar yang saksama tanpa maklumat dasar ini. Jikalau Mohd. Affandi mengetahui situasi kritikan akademik di universiti, beliau juga akan mendapati bahawa pelajar tahun empat saya memahami konsep sastera dengan lebih wajar lagi dari konsep sasteranya yang jikalau saya dapat gunakan perkataan beliau sendiri agak ‘kacau’ malah konsep ini tidak bertanggungjawab dan negatif. Dalam esei pelajar-pelajar ini, mereka lebih peka, saksama dan adil berlandaskan etika menulis. Tulisannya juga lebih jelas untuk menerangkan makna karya yang dibacanya dan memperlihatkan apresiasinya terhadap karya itu dengan kemurahan hati seorang yang tidak ada prejudis terhadap sesiapa pun tetapi ingin mengkaji karya-karya sastera dengan jujur.” (BM 25 Disember 1983).
“Dengan jujur saya sarankan bahawa Mohd. Affandi berguru kepada Baha Zain, sekurang-kurangnya dalam penggunaan bahasa kritikan jikalau tidak dalam hal-hal lainnya. (Malah beliau juga boleh mempelajari tentang nada dari Ramli Isin, suara yang tenang dan sabar, kerana bahasa Ramli jelas lebih tenang dan bersabar dari bahasanya)”. (BM 1 Januari 1984).
“... di antara kelemahan Mohd. Affandi yang besar sekali ialah kurangnya etika dalam kritiknya. ... Tanpa dasar etika seseorang pengkritik ini tidak lebih dari penghuni gua pada zaman neolitik yang tidak berbudi bahasa dan belum mencapai dasar-dasar perhubungan antara manusia yang memberi maruah dan hak kepada semua. Saya harap Mohd. Affandi sekali lagi dapat mempelajari dari Baha Zain, Kassim Ahmad dan berpuluh kritikawan yang lainnya yang sudah faham akan etika dasar ini.” (BM 1 Januari 1984).
“Kritikan peribadi bukanlah kritikan sastera dan tidak pula etikal sifatnya. Kita boleh berselisih faham, tetapi tidak boleh dengan sedar menghina atau menjatuhkan maruah seseorang.” (BM 1 Januari 1984).
Saya menurunkan kutipan yang agak panjang untuk memberi keadilan kepada Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, dengan harapan pembaca tidak sedikit pun menaruh syak wasangka terhadap kejujuran Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh dan kawibawaan ilmiah dan keunggulan akademiknya. Dengan dua pandangan yang berbeza antara sekumpulan penulis yang disebut pada awal tulisan ini dengan pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh, pembaca mungkin akan lebih selesa membuat kesimpulan sendiri yang tepat dan objektif, seperti yang diminta oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh.
Pandangan Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh penting kerana ia telah mentakrifkan dengan kritis gaya Persuratan Baru. Apa yang telah ditulis oleh beliau masih terpakai hingga kini, malah inilah gambaran tepat tentang gaya Persuratan Baru di kalangan sebahagian besar pengkritik, sasterawan dan ahli akademik. Dilihat dari perspektif ini, ternyata Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh mempunyai kuasa meramal yang sangat tajam, sesuatu yang hanya terdapat dalam diri seorang tokoh besar seperti beliau yang bergelar Tokoh Akademik Negara dan seorang sasterawan negara yang menurut pengakuan beliau dan teman-temannya hanya melanjutkan aspek universal dalam kesusasteraan yang telah diterima di Malaysia. Dalam konteks inilah saya menurunkan pendapat beliau yang saya anggap menjadi cabaran besar kepada gagasan Persuratan Baru yang menolak faham kesusasteraan yang menjadi pegangan beliau dan menggantikannya dengan konsep persuratan yang sudah turun temurun menjadi asas tamadun intelektual bangsa Melayu. Kesusasteraan yang dikatakan universal oleh Prof. Dr. Muhammad Hj. Salleh itu ditentukan nilai-nilai dan ukurannya di Paris atau London, seperti yang ditegaskan oleh Pascale Casanova dalam bukunya, The World Republic of Letters (2004); manakala konsep persuratan yang difaham dan diamalkan dalam tamadun Melayu ditentukan nilai-nilai dan ukurannya berasaskan konsep ilmu yang benar seperti yang diajarkan dalam Islam.
Mohd. Affandi Hassan, 7/7/2011.
No comments:
Post a Comment