Setelah mengikuti kontroversi picisan yang cuba dicetuskan di sekitar gagasan Persuratan Baru, saya terkesan bahawa kita perlukan kira-kira 30-50 tahun lagi untuk sampai ke standard yang cuba diwujudkan oleh gagasan Persuratan Baru dalam perbincangan tentang persuratan dan kesusasteraan Melayu. Tetapi itu pun sekiranya terdapat perubahan dalam cara berfikir tentang kesusasteraan, yang lebih mengutamakan persoalan epistemologi daripada hanya persoalan kaedah analisis seperti yang dikerjakan sekarang. Tanpa perubahan itu, tanpa menjadikan epistemologi sebagai asas pemikiran dalam kritikan dan penulisan kreatif, kita mungkin memerlukan satu abad untuk sampai ke taraf yang cuba dicapai oleh gagasan Persuratan Baru. Dalam konteks inilah saya mengkritik Panel Anugerah Sastera Negara, kerana yang ditonjolkan oleh laporan mereka tidak mendorong ke arah perubahan besar dalam cara memahami kewujudan persuratan dan kesusasteraan dalam pembinaan tamadun manusia, khususnya manusia Melayu yang masih berada dalam aliran pandirisme yang kini dijadikan aliran perdana dalam kesusasteraan Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui projek mereka.
Kata laporan Panel Anugerah Sastera Negara dalam semua laporannya, setiap karya yang bermutu dan bernilai seni, haruslah menunjukkan adanya “eksperimen” dalam teknik penulisan. Inilah yang mereka namakan pembaharuan, iaitu ditujukan kepada bentuk luaran, kepada ada tidaknya khutbah, persoalan moral, tema yang disengajakan, nilai-nilai kemanusiaan sejagat, dan seterusnya yang mereka senaraikan dalam laporan mereka. (Untuk mendapat gambaran terperinci, sila rujuk Kuliah MASTERA Prof. Ungku Maimunah, Dinamika Pemikiran Sastera Melayu, DBP 2009). Yang menarik di sini ialah para sasterawan mesti menunjukkan mereka membawa perubahan dalam karya mereka melalui apa yang sering kali disebut sebagai “eksperimen” dalam penulisan. Tetapi jika anda membaca laporan mereka dengan teliti dan kritis, anda akan berasa sangat hairan, mengapa hanya penulis yang “wajib” membawa perubahan, mengapa tidak penilai dan peneliti sastera sendiri? Malah kita lihat dengan jelas, tertulis dengan terang dalam laporan para ahli Panel Anugerah Sastera Negara ini, sikap negatif mereka terhadap “perubahan” dalam menentukan ukuran atau kriteria yang dipakai dalam menilai sesuatu karya. Mengapa hanya pendekatan “common sense” mereka saja yang boleh dipakai? Mengapa tidak boleh berubah, menggunakan ukuran yang lebih tepat dan objektif? Terdapat sedikit percubaan, berupa tidak lebih daripada “batuk di tangga” (lihat Prof. Ungku Maimunah, hal. 52), untuk hanya menamakan gagasan Persuratan Baru dengan nama bikinan Panel sendiri, “Persuratan Melayu Baru”, yang tentu saja tidak tepat, malah memperlihatkan tiadanya sifat prihatin terhadap ilmu. Oleh itu percubaan Panel untuk menjadikan gagasan Persuratan Baru sebagai hujah bahawa terdapat sebuah novel sasterawan negara yang dinilai yang kononnya bertepatan dengan gagasan Persuratan Baru, akhirnya menjadi tidak lebih daripada sejenis ocehan, idle talk yang berjaya memperlihatkan keselekehan analisis dan penilaian Panel Anugerah Sastera Negara sendiri.
Pendirian Panel Anugerah Sastera Negara yang anti-perubahan dalam kaedah analisis dan penilaian karya kreatif ini disambut baik, dan diikuti dengan membuta tuli oleh para sarjana, pengkritik dan sasterawan. Perilaku para sasterawan ini sangat jelek, setelah terpengaruh oleh saranan penilai (terdiri daripada sarjana dan pengkritik sastera), yang seolah-olah berlumba-lumba melakukan bermacam-macam jenis dan corak “eksperimen” dalam karya mereka, dengan kepercayaan bahawa mereka telah melakukan perubahan dan kemajuan dalam penulisan mereka; tetapi mereka tidak menerima wajarnya diadakan sebarang perubahan dalam cara menganalisis dan menilai karya mereka. Inilah pendirian yang menjadi dasar kontroversi picisan tentang gagasan Persuratan Baru yang dicetuskan oleh orang-orang yang tidak pun faham apakah gagasan Persuratan Baru dan mengapa gagasan itu muncul pada waktu ini. Kumpulan “cetek meraba-raba” ini dengan lantang menjeritkan bahawa karya sastera itu istimewa dan harus dinilai daripada perspektif sastera seperti yang mereka fahami. Karya sastera itu tidak wajar dinilai daripada perspektif sastera yang difahami dalam konteks epistemologi Islam, kerana telah keluar daripada lingkungan “sastera” yang istimewa itu. Oleh itu, kata mereka (meminjam istilah yang dipakai dalam epistemologi Islam), perbuatan yang demikian adalah biadab, melanggar tata-susila kewujudan karya sastera yang istimewa dan sakral bagi mereka. Inilah jenis kumpulan penulis yang dilahirkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, dan kumpulan ini secara membuta-tuli menerima ukuran “common sense” Panel Anugerah Sastera Negara sebagai ukuran yang paling tepat, yakni ukuran yang paling beradab dalam makna “adab” yang mereka fahami. Seperti yang berlaku kepada gagasan Persuratan Baru dalam Laporan 2003, maka demikianlah juga berlaku kepada konsep adab yang difahami dan digunakan secara yang amat tidak beradab, yakni yang sangat biadab, oleh kumpulan yang mencetuskan kontroversi picisan itu. Seperti yang telah saya tegaskan berkali-kali, inilah budaya pandirisme yang menjadikan hawa nafsu sebagai ukuran, dengan berselindung di bawah konsep “kemanusiaan” yang ditonjolkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara, yang pada hakikatnya adalah pandangan hidup sekular Barat sepenuhnya. (Untuk memahami aspek ini, lihat posting bertarikh 21 Julai 2011). Analisis saya dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid adalah tepat, dengan bukti yang lebih jelas diberikan oleh kumpulan pencetus kontroversi picisan ini.
Supaya persoalan ini dapat dilihat dan difahami dengan lebih jelas, kita telusuri perkembangannya. Dewan Bahasa dan Pustaka telah melantik sekumpulan “pakar sastera” untuk menjadi anggota Panel Anugerah Sastera Negara. Selama lebih dari 30 tahun Panel ini telah menjalankan tugasnya dengan memuaskan untuk melanjutkan warisan Asas 50 dan memperkuat pengaruh Barat dalam penilaian sastera Melayu moden. Seperti yang saya tunjukkan dalam beberapa tulisan mengenai sumbangan Panel Anugerah Sastera Negara ini, kita lihat kumpulan ini pada dasarnya dicengkam dengan kuat oleh teori dan pendekatan Barat dalam analisis dan penilaian yang mereka lakukan, sehingga timbul sikap menentang apa juga perubahan yang boleh mencabar kedudukan selesa mereka. Walaupun mereka bersungguh-sungguh memberitahu para sasterawan peri pentingnya “eksperimen” dalam penulisan kreatif, kerana tindakan itulah yang boleh membawa perubahan dan kemajuan dalam kesusasteraan Melayu; namun mereka sendiri tidak mahukan perubahan itu dalam analisis dan penilaian karya kreatif, malah mereka menentang sebarang perubahan yang boleh menjejaskan status quo mereka sebagai pewaris teori dan pendekatan Barat. Inilah hasil yang menjadi kebanggaan Dewan Bahasa dan Pustaka, sebagai pelindung kesusasteraan Melayu. Untuk memastikan tiadanya perubahan, dan warisan ini diteruskan, Dewan Bahasa dan Pustaka melancarkan projek khusus mendidik penulis baru. Dari kumpulan inilah lahirnya pencetus kontroversi picisan tentang gagasan Persuratan Baru. Jika anda baca perkembangan ini dalam konteks Laporan 2003 yang memperlekeh Persuratan Baru, anda tentu akan faham mengapa timbulnya kontroversi picisan ini pada waktu ini. Jika anda ingin menggunakan peribahasa Melayu untuk mencirikan kelakuan mereka, (yakni pencetus kontroversi picisan dan Panel Anugerah Sastera Negara), inilah kumpulan “pipit tuli makan berhujan”.
Mohd. Affandi Hassan, 30/7/2011.
No comments:
Post a Comment