Thursday, March 28, 2019

PEMBINA PIRAMID MALAYSIA TERUS KELENTONG RAKYAT MALAYSIA



Malaysia beruntung mempunyai seorang ahli politik muda seperti Nurul Izzah. Kononnya, Malaysia Baru (kepala hotak hang kata orang Utara tempat asal Dr. Mahathir) meraikan kebebasan beradab, tegas menegur bila diperlukan seperti dalam keadaan sekarang kerajaan PH terus menerus memberi alasan susah mentadbir Malaysia kerana Najib sudah buat hal tinggal macam-macam problem. Era ini adalah Era Gila dalam politik Malaysia. Contoh: PAS dituduh terima dan ambil wang dari UMNO; Dr. Mahathir bilang Haji Hadi munafik ketika berucap di Kuantan (sila rujuk entri lepas), ambil wang tapi tak mahu mengaku. Pandainya Haji Hadi dia puji Mahathir sebagai seorang yang tegas, bukan diktator. Ada udang di sebalik pujian yang jelas tidak ikhlas itu, sekadar nak “ambil hati” supaya PAS tidak dikutuk teruk sangat;  nampaknya kedua-dua belah pihak bukan dari golongan manusia yang baik-baik oleh itu kedua belah pihak saling tuduh menuduh membangkitkan kejahatan pihak lawan. Kalau inilah gaya politik baru dalam pentadbiran PH, tidak ada bezanya dengan zaman Dr. Mahathir jadi PM 22 tahun berbanding berada dalam keadaan sekarang. Dulu hanya UMNO yang baik dan jujur; bukan UMNO semuanya jahat dan pembohong dan seterusnya. Sekarang pula hanya PH yang jujur dan baik; UMNO simbol penipuan politik teragung menurut para pemimpin PH. Bagaimana kita boleh baca semua perkembangan ini? Senang saja. Bacaan yang betul telah diberikan oleh Nurul Izzah, yang dengan tegas memberitahu jantan-jantan yang penakut dan tamak kuasa bahawa dia tidak mungkin bersekongkol dengan “bekas diktator” yang namanya kebetulan Tun Dr. Mahathir Mohamed. Kalau anda perhatikan tindak tanduk ini orang Kedah dalam politik yang dipanggilnya (?) politik baru dalam Malaysia Baru, anda akan dapati hanya Nurul Izzah yang berani memberi pendapat yang paling bernas dalam politik Malaysia tentang tokoh yang digelar oleh para pejuang reformasi (entah apa maksud slogan ini tidak jelas kepada saya) seorang tokoh Mahafiraun dan Mahazalim.

Para baruah yang mencari kesempatan politik peribadi mengkritik Nurul Izzah kerana ketegasannya,  para baruah ini takut tidak dapat habuan yang sudah lama dinganga menunggu diluah ke dalam mulut rasuah mereka. Antaranya seorang yang paling kecewa dengan ketegasan Nurul Izzah ialah bekas seorang penjawat tinggi dalam PKR. Kecewa betul orang ini, belum lagi dapat apa-apa habuan daripada bekas diktator itu. Kecewanya tak terkira, orang lain semua dapat, dia belum lagi dapat habuan yang sudah lama ditunggu. Dalam hal ini, ikutlah tabiat buaya, yang sabar menanti peluang menerkam mangsanya. Ahli politik memang bertabiat buaya, tetapi tak berapa sabar, tidak macam buaya menunggu mangsa. Politik buaya ini memang meluas dalam politik Malaysia, dan tidak akan reda, termasuk zaman PH ini. Tiada kecuali. Malah sekaranglah kita lihat politik buaya ini mendapat sokongan rakyat, suatu keadaan yang amat pelik.  Tidak pasti berapa ramai yang faham maksud saya.  Tetapi semua orang tahu seluruh sejarah politik Malaysia, terutama di kalangan Melayu tidak kira parti mana, adalah pengamal politik buaya ini. Tidak adil kalau anda kecualikan para pemimpin PAS. Berilah mereka peluang yang sama dengan yang didapat oleh UMNO dan Pakatan Harapan.

Politik adalah kuasa, dan kuasa adalah lombong rasuah. Hakikat ini diketahui dan dipraktikkan oleh ahli politik yang aktif, tidak kira dari parti mana mereka berada.  Bodohlah ahli politik yang tidak rasuah ketika peluang luas terbuka untuk mereka berkecimpung dalam merebut peluang yang luas terbuka itu.  Anda boleh sebut berapa orang pemimpin politik yang tidak rasuah? Kita perlukan satu senarai yang diberikan secara sukarela oleh semua parti untuk memberikan senarai itu bagi kepentingan awam dan supaya rakyat tahu pemimpin sekian sekian tidak rasuah, disahkan oleh parti sendiri. Saya dapat tahu, tidak ada parti yang bersetuju dengan cadangan ini, untuk melindungi maruah mereka. Masalah rasuah ini tetap akan tertutup dan tidak mungkin dapat didedahkan kerana bilangan yang terlibat terlalu besar. Bagaimana kita tahu? Senang saja. Mereka yang berkenaan tidak terbuka untuk diketahui, kerana kata mereka menyembunyikan rasuah adalah hak mereka yang dilindungi undang-undang dan Perlembagaan. Jangan main-main! Kesimpulan ini nampaknya dipersetujui oleh pengamal undang-undang, yang memberitahu bahawa maruah setiap warganegara perlu dijaga, sesuai dengan kedudukan setiap rakyat sebagai anggota masyarakat yang tidak boleh diragui kejujurannya. Semua orang adalah jujur, sehingga dibuktikan tidak jujur. Kita kena terima keputusan ini dan keputusan bahawa maruah setiap orang adalah sacred, tidak boleh dipermainkan. Inilah sebab sebenar mengapa rasuah berleluasa.  MELAKUKAN KERJA RASUAH ADALAH SESUATU YANG SACRED DAN SECRET.

Ayat di atas penting dalam konteks rasuah ini. Ketika menulis entri ini, saya terlihat satu video oleh satu kumpulan orang Melayu yang berpakaian agak aneh yang meminta SPRM menyiasat kekayaan anak-anak Tun Dr. Mahathir Mohamed, Perdana Menteri PH, dari mana mereka dapat harta berbilion. Adakah sewaktu Tun Dr. Mahathir jadi PM kali pertama, selama 22 tahun itu? Tiba-tiba bila saya rujuk kembali, video itu sudah hilang, belum sempat saya salin. Tepat sekali makna rasuah yang saya berikan itu berkaitan dengan sesuatu yang sacred dan secret.  Sekiranya ada di antara anda yang membaca blog ini terjumpa video itu, sila beritahu saya untuk saya simpan salinannya. Sangat penting. Permintaan supaya SPRM bertindak tanpa pilih kasih adalah penting dibuktikan dalam kerajaan Malaysia Baru yang anti-rasuah dan yang telah meletakkan Datuk Najib Razak sebagai seorang yang paling rasuah ketika menjadi PM sebelum pilihan raya 9 Mei 2018.

Jangan lupa, video itu sangat penting sebagai bukti ketelusan SPRM dalam pemerintahan PH.

Kata Tok Mindok: “Selamatlah jiwa yang sempurna!”

Mohd. Affandi Hassan,  Petaling Jaya, 28/3/2019.

Tuesday, March 26, 2019

PEMIMPIN POLITIK TIDAK PERLU JUJUR, CUKUP MENUNJUKKAN KECEKAPANNYA UNTUK MENDAPAT KUASA DENGAN CARA APA SAJA.



Tajuk ini agak panjang, tetapi maksudnya mudah saja. Seorang ahli politik tidak diukur kejayaannya dari kejujurannya; tetapi dari kejayaannya mendapat kuasa.  Kejujuran tidak dapat diukur, dan tidak pun perlu diukur. Cukup hanya dengan mengakuinya dia seorang yang jujur dan boleh dipercayai. Politik adalah kuasa, dengan itu sesiapa juga yang menceburkan dirinya dalam arena politik matlamatnya untuk mendapat kuasa.  Paling rendah kuasa itu ialah untuk diterima sebagai seorang ahli politik dan dijadikan ketua. Untuk itu, dia perlukan organisasi yang boleh memberinya kedudukan sebagai ketua. Maka lahirlah parti politik, satu gerakan moden yang ditiru dari pengalaman Barat.  Dalam sistem moden itu, di mana duduknya Islam? Dalam politik moden, Islam tidak mempunyai tempat, dan tidak perlu pun diberi tempat. Kalau begitu, bagaimana Islam melaksanakan aspek politiknya?

Mari kita bincang tajuk ini dengan serius dan … jujur! 

Bagi seorang ahli politik, kejujuran adalah penting dalam pelbagai jenis penipuan dan korupsi yang dilakukannya sebagai aktiviti biasa dalam usahanya mengekalkan kuasa politiknya. Seorang penipu mengenal penipu yang lain. Itulah ciri politik sebenarnya. Kalau anda mahu bukti, saya telah menyebutnya dalam entri yang lepas. Sang Mahathir Mohamed mengutuk Si Haji Hadi Awangi sebagai seorang pendusta dan munafik; dengan memberikan ciri munafik yang digemarinya. Kerana kegiatan politiknya sama saja dengan cara berpolitik Si Ustaz Abdul Hadi Awang, maka beliau yang bernama Mahathir Mohamed itu dengan bangga pula mengisytiharkan dirinya sebagai seorang munafik. Apakah pengajaran yang anda dapat daripada dua tokoh agung politik Melayu ini? Paling penting, menjadi munafik adalah penting dalam politik, sekiranya seseorang ingin dikenali dan disanjungi dalam dunia politik. Sekali lagi, Mahathir Mohamed dan Abdul Hadi Awang menjadi contoh terbaik.  Jika anda meneliti kegiatan mereka dan kata-kata mereka, anda menjadi amat kagum di atas keupayaan mereka berbohong dan melonjakkan keagungan mereka sebagai tokoh munafik.

Adakah perbuatan ini salah dalam kegiatan politik? Tidak. Inilah caranya seorang ahli politik berusaha menipu pengikutnya untuk menyokongnya dan mengabui mata para pengundi bahawa mereka adalah tokoh politik yang unggul, oleh itu perlu dipilih untuk menjadi ketua dan seterusnya mendapat kuasa politik melalui pilihan raya yang kaya dengan penipuan politik yang dikenali sebagai mobilization of bias.  Itulah bentuk demokrasi berparlimen yang selalu disebut-sebut. Bolehkah anda berkata demokrasi adalah sistem politik berasaskan pembohongan? Saya tidak perlu memberikan jawapannya; anda sendiri lebih tahu, lebih-lebih lagi jika anda seorang ahli politik dan menjadi Ketua Parti pula.

Jika kesimpulan ini benar, adakah kita perlu hapuskan politik? Jika ini yang anda mahu buat, anda mengundang huru-hara dan barangkali pemberontakan besar-besaran yang menghuru-harakan masyarakat. Pilihan terbaik ialah terus saja berbohong dengan tulus kerana rakyat dan pengundi anda sendiri menghormati anda dengan berbuat demikian. Itulah maksud kejujuran berpolitik dalam sistem demokrasi yang asasnya mobilization of bias itu.

Apakah yang dilakukan oleh ahli politik setelah berkuasa dan tamak pula dalam meneruskan kuasa politiknya? Eropah dan Amerika memberikan kita contoh terbaik dalam hal ini. Saya tidak perlu menyebut tokoh-tokohnya, tetapi jika anda menjadi pemerhati politik yang sensitif kepada perkembangan politik di Amerika dan Britain ketika ini, anda akan dapat melihat bagaimana penipuan dijadikan senjata paling ampuh untuk kekal berkuasa. Bagaimana di Malaysia? TST kata budak-budak muda yang kini nampaknya diiktiraf sebagai penentu kepada ahli politik untuk berkuasa … Anda tahu slogannya, bukan?

Mari kita lihat beberapa contoh yang diberikan sendiri oleh rakyat yang sudah tertipu dan tahu mereka tertipu dan ditipu oleh ahli politik yang jujur berpolitik itu. Jika anda bijak membaca retorik penulisan popular,  anda akan dapat memberikan beratus contoh yang anda boleh dapat dengan mudah betapa hebatnya kejujuran dalam penipuan itu di dalam kegiatan politik Malaysia. Sila rujuk YouTube bertarikh 31/12/2012, “Ahli PAS Ambil Keputusan Keluar Parti”. Satu lagi YouTube 5/2/2013, “80 Ahli PAS Keluar Parti Sokong UMNO2”. Kedua-dua contoh dari Terengganu, kubu PAS.  Contoh dari UMNO? Anda tahu siapa orangnya yang kini pegang jawatan tertinggi negara! Tak perlu cerita panjang.

Terkini terdapat satu perkembangan terbaru yang jika dianalisis dengan kritis akan memberikan anda satu pengajaran yang amat penting dalam dunia politik yang mewah dengan penipuan ini. Dalam perkembangan terbaru ini, jika anda ditakdir mendapat kuasa dan dengan itu membentuk kerajaan, maka anda dibenarkan dan malah diharapkan oleh rakyat supaya anda menyalahkan seteru politik anda yang anda kalahkan dalam pilihan raya.  Kegagalan anda melaksanakan janji politik anda sebelum pilihan raya boleh dengan mudah dilemparkan kepada musuh politik anda yang anda kalahkan. Inilah yang terjadi dalam politik Malaysia sekarang. PM yang baru menang kini mendapati sukar untuk bekerja kerana kebanyakan para pembantunya yang menjadi menteri tidak mempunyai pengalaman. Ini bukan satu kekurangan, tetapi rakyat tidak sabar melihat mereka terhuyung hayang cuba meletakkan diri mereka dalam konteks seorang menteri yang berwibawa. Terlalu sensitif untuk menamakan orang tertentu, cukuplah dengan berkata anda perlu menjadi pemerhati yang kritis menilai tindakan menteri PH yang tiada pengalaman itu.  Dalam keadaan ini maka seorang yang lama pengalaman sebagai PM boleh saja memberitahu rakyat bahawa dia dan gengnya dalam kabinet perlu diberi peluang untuk menjalankan tugas mereka, jangan dikritik dulu, tunggu hingga lima tahun apabila diadakan pilihan raya baru.  Nampaknya ini suatu permintaan yang munasabah dalam standard politik Malaysia, oleh itu kerajaan baru yang besar kepala dan agak angkuh menyalahkan kerajaan dahulu kini mempunyai alasan untuk menyangkal bahawa mereka tidak boleh menjalankan tugas dengan memuaskan.  Jika anda menilai permintaan ini dalam konteks konsep kejujuran yang kita bincang di sini, maka inilah makna dan maksud kejujuran dalam politik: mengaku lemah untuk mendapat simpati, tetapi tetap angkuh menyalahkan musuh politik yang sudah pun dikalahkan dan sepatutnya tidak diungkit sepanjang masa.

Bila anda renung semua persoalan yang dibangkitkan di sini, anda akan dapati betapa sukarnya menjadi pemimpin jika anda mempunyai cita-cita peribadi untuk mendapat faedah, dalam segenap bidang, yang anda akan dapat melalui kegiatan politik.  Adakah anda seorang yang jujur? Jika anda mengaku itulah yang anda cari, maka bolehlah kita berkata anda seorang yang jujur; tetapi perbuatan anda untuk mendapat faedah peribadi itu bukanlah perbuatan seorang pemimpin yang jujur. Mana satu yang anda pilih? Anda tidak boleh pilih kedua-duanya, seperti yang sedang berlaku sekarang. Jika itulah yang terjadi, sah seratus persen anda bukan seorang yang jujur. Anda memperjuangkan kepentingan diri dengan menggunakan politik. Di mana duduknya para menteri dan PM yang menjadi ketua mereka?

Kita tutup perbincangan ini dengan memetik pandangan YB Nurul Izzah tentang pengundurannya dalam politik. Kata beliau, merujuk kepada perkembangan politik dalam tempoh setahun lalu,  “Sangat mencabar dan huru-hara. Saya belajar banyak perkara, tetapi saya juga rasa saya sudah seperti patah hati.” Mengapa jadi begitu? Dia menyebut penyertaan bekas ahli Parlimen UMNO dalam parti komponen PH merupakan perkara yang mengecewakannya. Katanya, “Ia situasi sukar yang sangat buruk, bukan hanya untuk PKR, tapi juga untuk pengundi dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.”  Saya tidak fikir ini satu rintihan yang mengecewakan; malah bagi saya ini satu kritikan yang pedas dan tepat. Buktinya bila beliau seterusnya membuat kesimpulan yang saya setuju seratus peratus. Katanya, “Bekerja dengan bekas diktator yang menyebabkan banyak kerosakan,  bukan saja pada kehidupan keluarga kami, tapi juga sistem (pentadbiran negara). Ia bukan sesuatu yang mudah.”  Tepat sekali. Selama 22 tahun menjadi PM, Dr. Mahathir Mohamed membiarkan terus  orang Melayu menjadi golongan bangsat yang diperalatkan oleh UMNO baik di bawah pimpinan Mahathir mahu pun pemimpin selepasnya. Kalau ini bukan satu pengkhianatan, apakah ungkapan atau istilah yang boleh kita gunakan? Bagusnya pula, Mahathir menjadi lambang kepada pembohongan politik Malaysia, yang setiap tindakannya semuanya untuk faedah dirinya, anak-anak, teman-teman rapat. Perlukah Melayu yang bangsat itu kepada KLCC? Bukanlah satu kecerdikan dan sifat pemurah untuk menggunakan wang minyak untuk membina bangunan impiannya seperti KLCC. Inilah piramid dalam politik Melayu, maka dengan itu tepatlah gelaran yang diberikan kepadanya sebagai Mahafiraun dan Mahazalim. Membelanjakan wang sebesar membina KLCC adalah satu kezaliman yang paling terkutuk. Anda tahu apa makna kezaliman dalam Islam? Pastilah Mahathir tidak tahu, dan kalau dia tahu dia tidak peduli. Yang penting, seperti Firaun, ialah memperlihatkan kemegahan diri dan kekuasaannya. Dalam konteks ini, Mahathir adalah seorang tokoh politik yang jujur, ketika dia berkata dia tidak keberatan diberi gelaran itu. 

Setelah terbina KLCC, ke mana perginya wang Petronas? Kalau tokoh ini jujur, dia tentulah memberi perhatian kepada pembangunan Pantai Timur, terutama sekali di Terengganu, yang seharusnya dijadikan negeri contoh dengan pembangunan yang dirancang dan dilaksanakan secara besar-besaran setelah Terengganu menjadi sebuah negeri yang menghasilkan minyak di Semenanjung. Mengapa Terengganu dan Kelantan, dan Pahang, ditinggalkan? Takutnya Mahathir kepada pengaruh PAS membuatnya bertindak zalim membiarkan negeri penghasil minyak itu. Dia tidak mahu penyokong PAS mendapat faedah dari penghasilan minyak. Yang berhak ialah para pengikut UMNO dan para pemimpin UMNO.  Maka terbinalah Putrajaya, dan inilah negeri ciptaan Mahathir untuk dirinya anak-beranak, yang dibantah keras dan tidak diredhai oleh Sultan Selangor ketika itu, yang menolak untuk mengisytiharkan Putrajaya sebagai satu wilayah. Mahathir sendiri yang mengisytiharkan Putrajaya. Untuk mendapat Putrajaya, Mahathir memecat Abu Hassan Umar sebagai MB Selangor, dan melantik Khair Toyo sebagai MB, dan kemudiannya meluluskan Putrajaya, hak milik Selangor, untuk dijadikan … Anda mesti tahu hakikat kejujuran politik peribadi ini.

Barangkali inilah antara contoh yang dimaksudkan oleh Nurul Izzah.  Orang Melayu yang cerdik dan bersikap kritis, memang bersetuju “kebangkitan” Tun Dr. Mahathir Mohamed dalam politik Malaysia adalah satu malapetaka kepada orang Melayu.  Lebih-lebih lagi sekarang Tun Dr. Mahathir, Sang Perdana Menteri giliran kedua, amat terhutang budi kepada DAP yang kini menamakan Malaysia sebagai Malaysia Baru, yang dahulunya dipanggil DAP Malaysian Malaysia. DAP menggunakan Mahathir habis-habisan untuk mencapai perancangan politiknya. Kemenangan terbesar DAP yang didapatnya melalui dan dengan izin Mahathir ialah konsep perkauman dan chauvinism kini menjadi milik khusus orang Melayu. Kalau Melayu mengkritik DAP, maka itu namanya perkauman. Jika DAP mengkritik Melayu, maka itu persamaan hak. Mujurlah tidak semua Melayu itu lembu yang menghulurkan lehernya untuk disembelih. Sebagai penganalisis politik yang mempunyai gelar sarjana politik dalam Political Behaviour, (MA in Political Behaviour from Essex University, 1977),  maka saya bolehlah berkata dengan meyakinkan bahawa  bibit perkauman yang dibangkitkan kembali oleh DAP akan cambah dengan subur dalam bentuk kebencian antara kaum yang pada waktu ini masih boleh dibendung. Peristiwa berdarah 1969 apabila DAP berarak di Kuala Lumpur memekik “Melayu  Balik Kampung” telah dihuraikan dengan mendalam oleh Tunku Abdul Rahman Putera al-Haj dalam buku beliau,  May 13: Before & After (Utusan Melayu Press, 1969). Semua rakyat Malaysia perlu membaca buku ini.

Dengan kedudukan istimewa S/U Agung DAP sebagai Menteri Kewangan, yang menjadi simbol kebodohan Melayu, maka sudah kerap kedengaran di kalangan Melayu perasaan tidak puas hati, yang oleh DAP dicap sebagai sikap perkauman, apabila Melayu menyatakan kesangsian mereka kepada KEJUJURAN Dap.  Jelasnya, anda sebagai Melayu tidak berhak untuk menyatakan kesangsian anda kepada hegemoni DAP. Jika ini berterusan, maka akan berlakulah pembelahan Malaysia, seperti yang saya huraikan dalam Hikayat Salim Adil.  Selepas ini orang-orang DAP mungkin akan membaca Hikayat Salim Adil dan meminta Kerajaan mengharamkannya!  Kalau ini benar-benar terjadi (saya harap begitulah), maka benarlah ramalan saya dan rumusan analisis saya dalam Hikayat Salim Adil itu.  Kalau masih ada Melayu yang tidak kenal saya sebagai seorang penulis kreatif yang sangat kritis membicarakan masalah negara, maka betullah Melayu itu sejenis kaum yang bodoh dan tidak menghargai sumbangan seseorang intelektual dari kalangan bangsanya sendiri.  Saya menulis untuk menjadikan Melayu cerdik, maka tentulah saya sangat mengharapkan mereka membaca karya saya yang kritis itu. Manis sekali jika antara yang membacanya itu Nurul Izzah dan keluarganya!  Mulailah dengan membaca Aligupit.  Lepas itu baca pula Hikayat Buyung Lurus, yang secara khusus membicarakan pelbagai aspek korupsi dalam negara Malaysia.  Seorang ahli politik Melayu yang tidak membaca karya saya yang serius dan kritis itu bukanlah ahli politik yang cerdik!

Kata Tok Mindok: “Selamatlah jiwa yang sempurna!”

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 26/3/2019.







Friday, March 22, 2019

SEDIKIT LAGI MENGENAI AMANAT AGUNG PAS DAN KESANNYA DALAM POLITIK MELAYU DAN MALAYSIA (SAMBUNGAN Entri bertarikh 17 Mac 2019)



Di tangan saya ialah sebuah tulisan oleh  Dato’ Shafie Daud, yang tidak saya kenali, berjudul  “Amanat Haji Hadi”, bertarikh 8 November 2001. Saya dapat di Internet. Perhatikan komen beliau yang menarik ini: “Amanat Hadi ini sepatutnya tidak timbul  lagi selepas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang bersidang di Pekan, Pahang (Februari 1986) memutuskan bahawa, ‘Amanat Hadi’  bercanggah dengan Islam dan Prinsip Dakwah Islamiah (Utusan Malaysia 20 Februari 1986).

Walaupun didapati bercanggah dengan Islam, tidak semestinya diharamkan. Masih boleh dipakai, sah untuk menghukum UMNO itu kafir seperti yang pernah dilakukan dulu.  Dalam perkembangan seterusnya, baru-baru ini UMNO dan PAS bersetuju untuk bersatu untuk menyelamatkan Melayu dari cengkaman DAP dan kaum bukan Melayu bukan Islam.  Hairan juga mengapa DAP tidak mendesak kerajaan PAS diharamkan kerana mengemukakan Amanat Hadi yang mengharamkan UMNO dan jika mati dalam pertarungan dengan UMNO maka mati itu mati syahid. Bodoh pula DAP ini tidak mengambil kesempatan untuk mendesak kerajaan baru, PH, mengharamkan PAS. Tetapi Tun Mahathir mempunyai pandangan lain yang lebih praktikal. Baginya, PAS  sangat berguna dalam menghadapi cabaran Anwar Ibrahim yang sudah bermula lebih dari 20 tahun masih belum reda-reda lagi.  Ada khabar angin dimainkan oleh puak yang anti-Anwar bahawa ada kemungkinan dia akan disumbat ke dalam penjara lagi untuk menjaga kepentingan …. Tak jelas, kepentingan rakyat atau kepentingan individu. Mana satu pun tidak penting. Yang penting Tun Mahathir tidak mahu dia tengok musuh politiknya sejak dulu mendapat kesempatan untuk naik jadi PM. Bahayanya terlalu besar.  Tentu dia masih ingat ketika Anwar diberi peluang memangku PM selama tiga bulan, dipindanya undang-undang rasuah yang membolehkan kerajaan atau pihak berkuasa mendakwa sesiapa yang disyaki rasuah untuk dituduh dan dibicarakan. Susah hati sungguh Mahathir kerana harta bendanya akan dikira dengan cermat, seperti dia melakukannya kepada Najib Tun Razak.

Menurut maklumat yang sampai kepada saya, rakyat sebenarnya secara majoriti ingin melihat Mahathir diperiksa seperti Najib Tun Razak sedang disiksa dengan tuduhan rasuah yang melampau, begitu besar sehingga sukar untuk dibicarakan. Seratus tahun pun tidak akan selesai jika undang-undang rasuah tidak dipinda untuk menghadapi kes istimewa Najib Tun Razak ini. Bagi rakyat, seluruh pemimpin UMNO yang kaya raya sejak menjadi pemerintah Tanah Melayu wajib dibicarakan. Tak seorang pun yang miskin sejak menjadi pemimpin UMNO. Sehabis bangsat pun ada harta, apatah lagi yang besar-besar pangkatnya dan tinggi pula kedudukannya.  Jika anda baca entri yang baru lepas yang panjang itu, anda akan bertemu dengan konsep fasad dan islah. Dua konsep ini penting dijadikan prinsip politik Malaysia. Tetapi Haji Hadi dan PAS tidak pernah bangkitkan persoalan ini. Hairan juga.  Kita perlukan penjelasan daripada mereka.  Saya yakin 300 peratus PAS tidak akan tampil secara anak jantan yang berani dan jujur untuk membicarakan dua perkara ini, walaupun tidak (???) mengenai mereka.

Kesimpulannya, kita telah dilambakkan dengan para pemimpin palsu yang cakap lain buatnya lain. Adakah ini gerakan munafik baru dalam Malaysia Baru?  Mohon kritikan dan pandangan kritis anda…!  Pengalaman saya sebagai seorang penulis dan pengkritik sastera memberikan saya satu pengalaman/pemerhatian yang memeranjatkan di kalangan para sasterawan dan sarjana sastera. Gerakan Munafik Baru ini sangat jelas di kalangan mereka, apabila mereka menolak al-Quran dan percubaan orang lain untuk mengambil pengajaran daripada al-Quran untuk membahaskan dan memberi pendekatan baru kepada bidang kreatif dan kritikan sastera. Mereka menolaknya untuk menyelamatkan gerakan Munafik Baru itu; pada waktu yang sama mereka menegaskan (tak jelas pun tak mengapa) bahawa mereka tidak menolak al-Quran; mereka hanya menolak Gagasan PB walaupun mereka tahu gagasan itu berasaskan al-Quran sebagai sumber ilmu. Mengapa mereka tidak bangkit dengan gagah perkasa membahaskan kepalsuan  PB? Mereka tidak ada hujah; mereka juga tidak ada hujah apabila kita membuat kesimpulan para sasterawan negara itu adalah penulis picisan dan  kewujudan mereka dalam budaya Melayu bertentangan dengan hakikat budaya Melayu yang menghormati para ulama dan cendekiawan yang budiman. Mereka meletakkan para sasterawan negara lebih tinggi daripada para ulama dan cendekiawan ini, dengan memberi gelaran khusus kepada para sasterawan yang mesti disebut ketika misalnya kita menyebut nama Muhammad Haji Salleh, mesti disebut panggilan rasmi Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh. Bayangkan Pak Pandir benar-benar hidup dan masih hidup (kena ingat ya Nabi Nuh itu berumur 1050 tahun! Kalau Pak Pandir benar-benar wujud umurnya belum sampai 600 tahun lagi!!), tentulah beliau akan tertawa ketika menyebut gelaran sasterawan negara itu, dan mungkin akan menengking kita semua, “Apa ini? Kau Melayu bodoh sangatkah? Cukuplah kamu sebut gelaran kami watak jenaka dari cerita-cerita jenaka yang diberikan panggilan itu oleh penjajah Inggeris. …”  Bagi saya, konsep dan panggilan cerita jenaka itu penting, kerana kedudukannya setaraf dengan kedudukan para sasterawan negara yang jelas karyanya bertaraf picisan. Tampillah dengan tegas menolak kesimpulan ini untuk faedah kita semua.  Kerana persoalan ini penting dalam pendidikan sastera, kita mesti jelas dalam masalah ini, supaya kita tidak terus menerus membohongi para pelajar sastera dengan memberi taraf yang tinggi kepada para penulis karya picisan yang kita beri gelaran sasterawan negara itu.

Bagi saya adalah jelas kita mempunyai golongan Munafik Baru ini dalam bidang sastera, baik dalam bidang kreatif mahu pun dalam bidang akademik.  Dalam bidang agama pun golongan Munafik Baru ini sudah berada lama di kalangan kita. Siapakah mereka? Untuk menjawab soalan mudah dalam dua perkataan ini kita perlu meneliti dengan kritis Amanat Agung yang kita panggil Amanat Haji Hadi itu.  Jawapannya sudah pun diberikan oleh penulis yang menggelarkan dirinya Dato’ Shafei Daud dalam tulisan beliau yang panjang yang tertulis 2001.

Dalam huraiannya tentang Amanat Haji Hadi, penulis yang bernama Dato’ Shafei Daud itu memberitahu kita bahawa Amanat Agung itu telah diharamkan oleh kerajaan dalam keputusan Jawatan Kuasa Fatwa Kebansaaan yang saya berikan rujukannya di atas.

Saya perlu menyalin kesimpulan penulis Dato’ Shafie Daud ini untuk makluman pembaca. Inilah kesimpulan beliau:  

“Pembohongan Yang Amat Nyata:
Suatu pembohongan yang tidak boleh dimaafkan ialah penafian sembahyang dua imam. Hj. Abd Hadi dalam ceramah umumnya di Kuala Besut, Terengganu yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 27 Januari 1983 menyebut  beliau menafikan berlakunya sembahyang  tarawih dua imam dan Jumaat bergilir dalam sebuah masjid di Kampung Gong Pasir, Besut pada bulan Jun-Julai 1982. Hj. Abd Hadi mengatakan: “Perkara ini adalah sengaja diada-adakan oleh kerajaan bertujuan untuk memburukkan kepercayaan orang ramai kepada parti PAS.”  Demi Allah saya dan jurukamera yang dikawal rapi oleh dua buah kereta Land Rover polis Kg. Raja akan tetap menjadi saksi di hadapan Allah SWT bahawa sembahyang dua imam tarawih dan Jumaat bergilir dalam sebuah masjid di Gong Pasir itu BENAR-BENAR berlaku selama bulan Ramadan 1982. Seluruh ahli jemaah  masjid Gong Pasir kira-kira 80 orang lelaki dan perempuan sebenarnya mengerjakan sembahyang serentak berlawanan itu. Mengapakah Hj. Abd Hadi sanggup menutup bangkai gajah yang sebesar itu dengan nyiru iklan buatan sendiri? Demikian seterusnya mengenai Bank Islam. Dulu Hj Abd Hadi kata tidak bererti kerana hanya kulit yang berlambangkan Islam tetapi telah memuji dan menggunakannya.” (p. 5).

Jika kesimpulan beliau salah, berupa satu fitnah, dan segala bagainya, kita perlu mendapat penjelasan rasmi dari PAS bahawa Amanat Haji Hadi itu tidak seperti yang disimpulkan oleh penulis Dato’ Shafei Daud itu. Oleh sebab Islam menolak pembohongan, seperti yang kita semua tahu, maka PAS mempunyai kewajipan besar dan berat untuk memberi penjelasan. Kita tidak mahu kita semua berdosa kerana tertipu sejak sekian lama dengan mempercayai parti PAS ini. Bantulah kami untuk mendapat penjelasan yang benar supaya kami semua tidak berdosa menjadi penyokong PAS. 

Berhubung dengan masalah “munafik”, ucapan Tun Dr. Mahathir di Kuantan (YouTube bertarikh 2/5/2018, bertajuk “Mahathir Belasah Hadi di Kuantan”), terang-terang menuduh Ustaz Hadi Awang Ketua PAS sebagai seorang munafik. Bagaimana beliau boleh sampai kepada kesimpulan ini tidak jelas; dia cuma membariskan beberapa perkara yang menurutnya adalah tanda-tanda orang munafik, yang ketiga-tiganya dilakukan oleh Ustaz Hadi Awang. Anda perlu rujuk YouTube yang saya rujuk.  Masalahnya ialah ciri-ciri yang disebut oleh Tun Mahathir itu adalah juga ciri-ciri yang terdapat pada dirinya. Adakah ini bermakna beliau mengaku beliau juga seorang munafik? Persoalan yang begitu berat saya selesaikan dalam entri berjudul “ Pembohongan sebagai strategi politik yang amat berkesan.” (entri 17/3/2019).  Sama ada penyelesaian yang saya cadangkan itu praktikal atau tidak terpulang kepada ahli politik. Jikalau mereka berasa lebih selesa untuk berada di kalangan orang munafik, maka itu adalah pilihan mereka.  Dari ucapannya di YouTube itu (published 2/5/2018), saya lihat Tun Mahathir selesa berada dalam situasi itu.  Mungkin inilah pendirian ahli politik secara keseluruhannya. Kalau kesimpulan ini benar, ternyata kehidupan ahli politik amat berbahaya jika dilihat dari perspektif kerohanian menurut Islam. Cuma jika mereka bertaubat dan tidak mengulangnya lagi, mereka diberi kesempatan untuk mendapat pengampunan Allah SWT. Amin!  Tetapi jika mereka melakukan ini, maka mereka tidak lagi menjadi ahli politik. Jelas mereka tidak mahu meninggalkan politik dan oleh itu bersedia untuk tenggelam dalam gerakan Munafik Baru yang lahir dari kegiatan politik itu.  Ini persoalan penting yang mesti diselesaikan oleh para ulama untuk menyelamatkan rakyat yang tidak tahu menahu kesan gerakan ini ke atas mereka.

Kata mengata antara ahli politik di kalangan mereka sangat personal, jika diukur mengikut etika Islam maka perbuatan itulah yang dinamakan mengumpat dan menghasut. Dua jenis perbuatan yang diilhamkan oleh Iblis dan Syaitan ini menjadi “nasi makan air minum” para ahli politik, seperti yang dapat dilihat dalam Amanat Agung Haji Hadi dan cacian Tun Mahathir terhadap lawan politiknya. Mengapa ahli politik memilih untuk menjadi biadab? Yang boleh menjawab pertanyaan mudah ini hanya ahli politik. Kalau mereka mahu menjawabnya kita dengar, kalau tidak mahu tidak jadi masalah kepada kita.  Tetapi kita perlu tegaskan di sini bahawa tidak ada di antara ahli politik itu yang boleh dipercayai kata-kata mereka dan tindakan mereka.  Adakah ini bermakna semua ahli politik akan dilempar ke dalam neraka jahanam? Yang boleh menjawab pertanyaan ini hanya Ustaz Haji Hadi Awang. Kita tunggu jawapan itu. Ada orang memberitahu bukunya mengenai persoalan ini telah ditulis oleh beliau,  tetapi saya belum tengok. Yang ada pada saya sekarang bukan jenis yang kita mahu yang menjawab pertanyaan mudah itu.

Nampaknya kita perlu membuat sedikit kesimpulan sekadar untuk menjadi peringatan kepada kita semua.  Pertama sekali, budaya politik yang kita amalkan sekarang adalah budaya politik yang tidak wujud dalam sejarah Islam. Kita telah menetapkan, mengikut perintah al-Quran, politik Islam itu berasaskan sistem syura. Adakah demokrasi sama dengan Syura? Celakalah sesiapa yang menyamakannya. Demokrasi adalah alat kapitalisme untuk mendapat kuasa dan menggunakan kuasa itu untuk faedah mereka. Kita mesti jelas tentang hal ini. Saya sudah acap kali menyebut konsep mobilization of bias dalam sistem demokrasi. Inilah yang kita amalkan di Malaysia, termasuk di kalangan orang PAS sendiri. Tak boleh lari, jika kita mahu sangat demokrasi. Jahatnya demokrasi telah kita lalui dengan kesal apabila DAP mengisytiharkan kemenangannya setelah berjuang 52 tahun untuk mewujudkan Malaysian Malaysia yang kini diberi nama Malaysia Baru. Bodoh sangatkah Melayu tidak sedar dan tidak faham perkembangan ini?  Jahatnya demokrasi sudah pun ditunjukkan oleh Dr. Mahathir Mohamed yang pergi mengemis seluruh dunia meminta para kapitalis dunia membina ekonomi Malaysia. Bodoh sangatkah rakyat Malaysia, terutama orang Melayu, tidak faham implikasi politik kapitalis ini dalam perkembangan ekonomi Malaysia. Kalau engkau, wahai Melayu, terlalu bodoh, biar aku kasi tahu sama kamu mengapa kamu masih miskin papa kedana dan kampung-kampung Melayu ditinggalkan terbiar? Kamu diperlukan untuk mendapatkan undi dan kemenangan. Tetapi kamu akan disisihkan dalam perkembangan ekonomi negara kerana kamu dianggap tidak produktif. Sungguh celaka sistem politik yang mendiskriminasi rakyat seperti sistem demokrasi ini!!

Sudah lama saya berhasrat hendak menulis sebuah buku khas mengenai persoalan ini, untuk mendapat reaksi dan kritikan dari pihak yang berminat. Kalau saya sudah dapat merumuskan gagasan PB dalam penulisan dan kritikan sastera, maka saya akan berusaha untuk merumuskan kaedah politik yang benar-benar memberi faedah kepada rakyat dan benar-benar dapat menjamin keadilan untuk mereka. Insha Allah hajat ini dimakbulkan!

Sudah pasti Amanat Agung Haji Hadi Awang tidak boleh mencapai matlamat ini. Kita tidak perlu ulama jenis ini untuk membina negara dan memberi keadilan kepada seluruh penghuni atau rakyat negara ini. Kita juga tidak perlukan tokoh seperti Tun Mahathir yang telah diberi gelaran Mahafiraun dan Mahazalim dan nampaknya beliau tidak keberatan diberi gelaran itu. Kita perlukan pemikir politik yang tidak terikat kepada parti seperti yang ada sekarang. Idea tentang politik Melayu dan gagasan Persuratan Baru belum lagi disanggah oleh orang-orang yang mengaku diri mereka berilmu. Diamnya mereka amat merugikan bangsa kita dan sejarah kita. Sepatutnya  mereka bersuara … Jangan dengan sengaja mengenyahkan kebenaran jika kamu sendiri tidak berupaya menegakkan kebenaran itu. Amaran ini bunyinya cukup bersahaja, tetapi makna dan kesannya sangat besar. Anda mesti faham ini dengan seluruh kejujuran yang ada pada anda.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 Mac 2019.