Kuliah tidak
rasmi tentang PB mungkin setakat ini saja. Saya ingin menumpukan masa kepada
penulisan kreatif dan akademik. Maklumat tentang PB boleh dirujuk tulisan yang lepas, yang rasanya mencukupi
untuk memahami Gagasan PB. Kalau mahu, boleh ulang baca dengan lebih kritis,
dengan semangat untuk membina kembali persuratan Melayu selepas dirosakkan oleh
Asas 50 seperti yang selalu saya tegaskan dalam blog ini. Jumlah entri hingga
kini sudah mencecah 493 buah, sudah memadai untuk memahami apakah PB. Pada mulanya
saya ingin membuat rumusan, tetapi selepas membuat pertimbangan serius, saya
fikir tidak perlu. Seperti yang selalu saya tegaskan, karya itu sendirilah yang
akan mempertahankan pendirian anda dan keupayaan intelektual anda. Inilah
keyakinan saya dan dengan keyakinan inilah saya positif dan yakin akan bangkit
angkatan baru yang celik ilmu, dari kalangan mereka yang mengirimkan saya
poster mereka tentang PB, untuk membina kembali persuratan Melayu berasaskan
ilmu yang benar. Kumpulan ini sudah wujud, dan sedang mempersiapkan diri untuk
tampil di gelanggang akademik dan kreatif memberi nada dan warna baru kepada
penulisan kreatif dan kritikan sastera. Selepas ini pengajaran sastera di
universiti akan menjadi lebih menarik kerana para pelajar didedahkan kepada
cabaran baru yang tak pernah mereka alami sebelum munculnya PB. Mereka dicabar untuk berfikir dengan serius
ketika membaca teori Barat sambil menyanggah PB, sekiranya mereka mahu
mengambil pendekatan sedemikian. Saya
fikir pendekatan itu akan menyeronokkan para siswa sastera, dengan syarat guru
atau pensyarah mereka bersedia untuk melayan mereka secara akademik. Saya sudah
bayangkan perkara ini dalam Balai Maqamat,
tetapi nampaknya belum lagi muncul perbincangan kritis tentang buku itu. Balai Maqamat yang disunting dan dibaiki
oleh seorang sarjana terkenal kaya dengan kesalahan yang disengajakan, untuk
membuktikan PB tidak berupaya menghasilkan karya yang bermutu, dengan itu Balai Maqamat penuh dengan kesalahan
yang disengajakan yang dilakukan dengan persetujuan ITBM yang menerbitkan buku
itu.
Selama
hampir seratus tahun sastera moden diperkenalkan di Malaysia, belum ada lagi
usaha terancang untuk memberi wajah baru kepada penulisan kreatif dan penilaian
karya. Semuanya berubah dengan radikal
dengan munculnya PB. Tidak saja kita menghadapi perubahan yang amat radikal
dalam praktik penulisan kreatif dan penilaiannya; malah boleh dikatakan semua
sasterawan dan sarjana menjadi bingung seperti orang kelemasan dalam peristiwa
kapal karam, apabila kedudukan mereka dipersoalkan dengan kritis dan dinilai
dengan tegas berasaskan ukuran yang boleh dipakai untuk menilai semua karya,
kreatif dan akademik. Semuanya menjadi amat terkejut, hampir terkencing apabila
PB menegaskan kita tidak perlukan sasterawan negara, dan karya mereka adalah
karya picisan yang hanyut dalam imaginasi liar yang tidak diasaskan kepada
konsep ilmu tertentu yang jelas makna dan matlamatnya. Mujurnya tiada di antara
mereka yang menjadi hilang akal; tetapi hampir semua mereka menjadi cacing kepanasan
kerana tidak dapat mempertahankan kedudukan mereka kerana terlalu terkejut
menghadapi cabaran yang belum pernah mereka alami. Akhirnya mereka mengambil keputusan yang
sungguh bijak menurut perhitungan mereka, dengan mendiamkan diri seperti lembu
kenyang sambil mengunyah “falsampah” pandirisme yang dicampak ke batang hidung
mereka yang selama ini dengan angkuh mendabik dada bahawa mereka adalah
kumpulan sasterawan negara yang terpilih dan mempunyai kedudukan istimewa, yang
gelarannya mesti disebut setiap kali disebut nama mereka. Inilah dunia Pak
Pandir yang mereka banggakan, yang kini terdedah kepalsuannya. Sebenarnya bukan tidak ada reaksi yang tidak
siuman, misalnya ada yang berkata pengkritik mereka adalah anjing kurap dan
tidak layak ditendang sekalipun. Mereka memang sangat hebat…
Yang
istimewanya tuduhan itu dilemparkan oleh dua orang tokoh besar sastera Melayu
dan sarjana ulung yang diberi kedudukan istimewa. Kedua mereka memakai nama
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh dan Prof. Dr. Fatimah Busu, penulis
novel picisan terbesar berjudul Salam Maria. Belau mengakui inilah novel mengenai
kehidupan beliau sendiri, oleh itu seharusnya diterima sebagai sebuah karya
besar kerana bukan cerita rekaan, tetapi sejenis autobiografi dalam bentuk cerita
rekaan! Prof. Dr. Fatimah Busu ternyata
tidak boleh dikritik sama sekali, sehingga beliau menulis sebuah buku picisan
yang diberinya judul yang amat menarik, Nyanyi
Sunyi Salam Maria VS Sarjana Nasi Dingin (2007). Lihat peranan dan perilaku anjing kurap di
hal. 162. Siapakah anjing kurap itu,
penulis buku ini atau seseorang yang tidak dapat menerima Salam Maria sebagai sebuah novel yang bermutu? Menurut Prof. Dr. Fatimah Busu, novel ini
sebuah novel berunsur Islam yang mengangkat seorang tokoh Kristian bernama
Maria Zaitun! (Menurut beliau, nama itu diambilnya daripada sajak “Nyanyian
Angsa” karya seorang sasterawan Indonesia yang ketika itu seorang Kristian,
kemudiannya masuk Islam untuk berkahwin dengan perempuan Islam! Tokohnya
seorang pelacur yang diselamatkan oleh Nabi Isa ‘a.s. Adakah Maria Zaitun juga seorang pelacur?
(Rujuk hal. 134.) Pelik juga bagaimana
sasterawan Melayu suka sangat memberi tempat istimewa kepada seorang pelacur,
seperti dalam Salina yang terkenal
itu. Mungkin inilah makna sensasi
dalam sastera Melayu).
Yang jelas
dalam kes ini ialah perihal ceteknya penulis Melayu apabila ingin menyatakan
sesuatu perkara yang mereka anggap penting, padahal hanya remeh-temeh
sahaja. Watak yang diberi nama Maria
Zaitun itu tidak mempunyai perwatakan seorang manusia yang layak menjadi tokoh
penting dalam sebuah novel yang serius; tetapi hanya satu nama yang diheret ke
sana ke mari oleh pengarang untuk menonjolkan kehebatan seorang tokoh yang
tidak ditokohkan, yang mempunyai ciri-ciri perwatakan yang boleh mengagumkan
pembaca, misalnya dalam mengolah sesuatu persoalan penting yang menjadi inti
dalam novel itu. Cerita hanyut dalam cerita yang dibikin-bikin, dengan wataknya
menerima apa saja kejadian yang menimpanya tanpa memberinya kesempatan untuk
mengolah dengan mendalam, seperti yang kita boleh dapati dalam perwatakan yang
dipaparkan dalam Pujangga Melayu.
Contoh dalam Pujangga Melayu disebut
di sini untuk memberi para pembaca memahami maksud perwatakan yang kuat itu.
Watak utama dalam Pujangga Melayu
adalah seorang ahli ilmu, sesuai dengan peranannya untuk mengupas beberapa
aspek kehidupan seorang sarjana dan pengarang yang berwibawa. Perkara ini telah dianalisis dengan mendalam
oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Mohd Zariat Abdul Rani
dalam tulisan mereka ketika menganalisis novel ini. Sila rujuk di sana.
Tabiat
memberi perhatian kepada yang remeh-temeh ini menghalang para sasterawan dan
sarjana dari mengesan perkembangan sumbang dalam sastera Melayu, iaitu
kemunculan aesthetics of adultery yang dihuraikan dalam tesis Ph.D. Norhayatie
Ab. Rahman yang kemudiannya diterbitkan oleh USM tahun 2012. Kini perzinaan yang dijadikan persoalan utama
oleh A. Samad Said dalam novel Salina,
yang menceritakan kehidupan seorang pelacur yang baik hati bernama Salina,
diberi wajah baru dalam bentuk the
aesthetics of adultery ini. Inilah
perkembangan yang menjadi kebanggaan para sasterawan dan sarjana sastera, kerana semua yang berlaku
dalam sastera Melayu sudah betul-betul seperti yang terjadi dalam sastera
Barat. Itulah kemajuan besar yang mereka sanjung, dan inilah tema yang mereka
mahu kemukakan kepada Academy Nobel untuk diberi pertimbangan sebagai sumbangan
daripada masyarakat Melayu yang kini sudah mencapai kemajuan tertinggi dalam
sastera mereka dengan kemunculan Salina
dan the aesthetics of adultery dalam
sastera Melayu. Sejauh mana Nobel Institute akan memberi perhatian
kepada mereka belum nampak riaknya lagi. Untuk mendapat perhatian itu, baik
sekali jika DBP atau ITBM mengemukakan satu memorandum kepada Nobel Institute supaya diwujudkan
jawatan kuasa khas untuk menilai karya berbahasa Melayu/Indonesia. Mana tahu karya saya akan mendapat perhatian
istimewa daripada Nobel Institute
itu! Apa salahnya jika PB diperkenalkan
kepada mereka, sebagai satu aliran baru yang tidak pernah terfikir oleh
mereka. Lebih baik lagi jika ITBM
menterjemahkan edisi ke-2 Gagasan Persuratan Baru sebagai sumbangan kepada
teori sastera dunia yang lahir dari dunia Melayu. Tulisan dalam blog ini mendapat
perhatian yang baik dari Perancis, Russia, dan German jika kita lihat pageviews yang tinggi, sering kali
mengatasi yang datang dari Malaysia sendiri.
Ketika saya menulis entri ini sekarang, pageviews dari Perancis 181, dari Malaysia 140. Antara yang terendah
ialah dari Indonesia, yang sering kali tidak sampai 10, sekitar 5-7 saja. Ada orang beritahu saya, pageviews yang tinggi dari tiga negara itu terjadi kerana mereka
ingin belajar bahasa Melayu, yang tidak relevan kepada pembaca Indonesia dan
Malaysia. Ada ketikanya pageviews dari Russia dan German
meningkat melebihi 300!
Setelah
sepuluh tahun menulis di blog ini, saya fikir ada baiknya jika kandungan blog
ini dianalisis secara ilmiah di peringkat universiti. Ini tidak bermaksud untuk membawa pemikiran
tentang sastera dan teori sastera yang dikemukakan dalam blog ini ke peringkat
pengiktirafan yang lebih luas. Saya fikir hal ini tidak akan terjadi kerana
saya bukan seorang ahli akademik secara rasmi yang mengajar sastera di
universiti. Malaysia harus menunggu 100 tahun lagi untuk dapat menerima seorang
aktivis ilmu yang pemikirannya terlalu ke depan, sukar dapat diikuti oleh
pensyarah sastera yang malas membuat penelitian akademik jika pemikiran itu
muncul di kalangan pemikir Malaysia. Tidak ada glamour untuk mengangkat pemikiran seorang penulis biasa yang tidak
ada position apa-apa. Lain halnya
dengan penerimaan di kalangan sarjana luar negeri, yang ketika diminta untuk
mengenal pasti sebuah buku teori sastera Melayu, yang memberi perakuan kepada Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid
ialah seorang sarjana asal German yang mengajar di SOAS, tokoh yang dikenali di
Malaysia kerana dia antara sarjana yang dijadikan rujukan oleh DBP. Anda tentu
tahu siapa beliau, atau kalau tidak pasti boleh tanya DBP. Kalau anda belum jelas, bolehlah saya
beritahu bahawa PB terus dipinggirkan kerana PB tidak menerima pelantikan
sasterawan negara yang boleh dianggap sebagai perbuatan biadab, oleh itu
sasterawan negara tidak diperlukan. Dari perspektif PB, kemunculan para
sasterawan negara ini samalah dengan peribahasa yang terkenal, “tiada beban
dicari beban, pergi ke pulau batu digalas”.
Kalau anda
yakin dan percaya sasterawan negara benar-benar sasterawan yang hebat, anda
perlu debatkan kedudukan mereka dengan menggunakan ukuran yang boleh menentukan
kehebatan pemikiran dan kekuatan kreatif mereka. Yang dapat memenuhi syarat itu
hanya PB. Tetapi ini tidak bererti anda tidak dibenarkan membuat pilihan lain.
Sila kemukakan kerangka analisis itu, dan kita pertentangkan PB dengan kerangka
itu, sehingga kita dapat melihat dengan jelas mana satu yang boleh memberikan
penilaian yang tidak dapat diragui ketika membuat sesuatu penilaian terhadap
karya para sasterawan negara ini. Anda tidak mahu, kerana anda tahu anda tidak
mempunyai kaedah yang dapat melumpuhkan kaedah yang dikemukakan oleh PB. Ke
mana pun anda lari, anda berada dalam situasi ayam jantan yang kuat berkokok,
tahi lekat di ekor.
Persoalan
tentang kedudukan para sasterawan negara adalah persoalan besar yang memerlukan
penjelasan secara akademik mengapa kita perlukan sasterawan negara. Pasti akan timbul pertanyaan yang mesti
dijawab: Jika para sasterawan negara itu benar-benar hebat, mengapa kedudukan
mereka tidak didebatkan dari perspektif PB?
Cara terbaik untuk mengangkat kedudukan para sasterawan negara dan karya
mereka ialah dengan membahaskannya sehabis kritis yang anda mahu. Tidak mungkin
kita dapat emas tulen tanpa dibakar terlebih dulu dan emas itu ditapis dengan
teliti. Tukang emas tahu buat kerja ini. Dalam sastera, tukang emas itu ialah
para pengguna PB dalam kritikan sastera.
Tentulah sangat pelik, dan amat aneh, jika anda tidak mahu menjadi
tukang emas yang cekap dan dihormati.
Yang salah bukan emas yang masih bercampur dengan unsur-unsur yang bukan
emas; yang salah itu anda yang tidak tahu memisahkan emas asli dari unsur-unsur
campuran yang perlu dibuang untuk mendapat emas asli. Jika anda boleh faham hujah ini, anda tentu
boleh faham mengapa PB sangat penting dalam perkembangan ilmu dan budaya ilmu
dalam bidang yang anda sebut sebagai sastera yang indah itu. Sastera, seperti
emas bercampur tadi, hanya akan indah jika dikembalikan keasliannya melalui
tapisan konsep ilmu yang benar. Tidak
sukar untuk memahaminya. Yang sukar ialah kedegilan anda yang tidak mahu
melihat kebenaran, walaupun anda tahu anda tidak mempunyai hujah untuk
mempertahankan yang batil.
Mari kita
simpulkan perbincangan ini dengan memberi dua alternatif untuk difikirkan dan
jika perlu untuk dibuat pilihan.
Pertama, para penyokong projek sasterawan negara, dan sasterawan negara
sendiri, tentulah berasa terhina apabila ada pihak yang menolak kehadiran
mereka. Dalam hal ini, puak yang menolak sasterawan negara mengemukakan hujah
mereka dengan jelas, dengan mengasaskannya kepada Gagasan Persuratan Baru. Kata
puak yang sokong sasterawan negara, mengapa mesti menggunakan PB untuk menilai
para sasterawan negara. Mereka sudah pun dinilai oleh pakar sastera yang berada
di dalam Panel Anugerah Sastera Negara.
Ketika itu belum pun wujud PB, oleh itu amat janggal, kata mereka, untuk
menilai para sasterawan negara berasaskan PB. Berapa kali hendak dinilai?
Mengapa tidak diterima saja, tanpa sebarang bangkangan kerana mereka sudah
dinilai dengan …. (Soalan: dengan apa?).
Siapakah penyokong PB hendak memandai-mandai merombak keputusan yang
telah dipersetujui. Apa gunanya mempersoalkan lagi kedudukan para sasterawan
negara? Kalau anda cerdik, anda akan
dapat mengesan dengan mudah, semua soalan ini lahir dari kumpulan yang ketakutan,
yang cuba berselindung di belakang Panel Anugerah Sastera Negara. Kalau anda
cerdik, tidak saja kehadiran para sasterawan negara itu dipersoalkan; malah
kewujudan Panel Anugerah Sastera Sendiri
dipersoalkan. Mereka ini tidak mempunyai
ukuran yang mantap, jelas dan tepat berasaskan konsep ilmu yang jelas. Mengapa
pula dibawa masuk konsep ilmu? Inilah
pertanyaan yang paling bodoh jika anda berpegang kepada epistemologi dalam
kegiatan ilmiah anda, juga dalam kegiatan akademik. Mengapa tidak boleh
bertanya, Apakah konsep ilmu anda? Semua
ahli ilmu sudah beribu tahun mencari jawapan kepada pertanyaan, Apakah ilmu?
Bagaimana memakainya dalam perbincangan ilmiah? Dan lain-lain pertanyaan …
Pertanyaan itu penting. Jika anda mahu membeli kain untuk dibuat pakaian, anda
mesti tahu jenis kain yang sesuai dengan keperluan anda. Kain untuk dipakai di
kawasan panas tidak boleh digunakan di tempat sejuk bersalji. Perbandingan ini sangat asas , tujuannya
untuk memudahkan anda melihat persoalan yang sangat penting dalam sesuatu perbincangan. Saya berhenti di sini
untuk difikirkan. Dalam kegiatan seni
yang mempunyai tujuan tertentu, ukuran yang digunakan untuk menilai hasil usaha
seseorang penulis dan sebagainya mestilah jelas. Dalam konteks PB, semua
penilaian mestilah untuk memberi penjelasan dan penilaian kepada konsep yang
menjadi matlamat penulisan, iaitu yang mesti indah dan bermakna. Saya telah menghuraikan persoalan ini sudah
banyak kali. Dua konsep ini kelihatan mudah,
tetapi saya perlukan sebuah buku tebal untuk menghuraikannya: Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 26/2/2019.