Saturday, April 29, 2017

MEMBACA NARATIF OGONSHOTO DARI PERSPEKTIF DEKONSTRUKSI

Salah seorang genius Barat yang paling kontroversial ialah Derrida. Kalau anda tidak biasa membaca tulisannya dan tulisan orang lain mengenainya, anda anggap dia seorang yang tidak siuman. Dia mahu samakan sastera dengan falsafah. Bayangkan Naratif Ogonshoto sama tarafnya dengan karya Prof. Syed Muhammad Naguib al-Attas. Andai beruk boleh tertawa macam sasterawan, tentu mereka akan tertawa. Tetapi itulah Derrida. Lain-lain kejutan anda akan dapat sendiri jika anda membacanya. Tetapi beliau mendapat ramai penyokong di Amerika Syarikat suatu masa dulu; tetapi sekarang tidak lagi. Mengapa saya bawa Derrida dalam perbincangan ini? Saya mahu uji bagaimana jadinya novel Anwar Ridhwan Naratif Ogonshoto jika dinilai dari perspektif dekonstruksi. Dan bagaimana pula akan terjadi kepada Pujangga Melayu jika dekonstruksi dijadikan pendekatan untuk menilai novel persuratan itu.  Sekarang saya sedang tertawa, tidak boleh menulis seterusnya. Saya akan sambung beberapa hari lagi jika masih ada mood. Terlalu lucu….  Sesiapa yang ada pengetahuan tentang dekonstruksi, bolehlah cuba dahulu sementara menunggu sambungan tulisan saya.


Petaling Jaya, 29/4/2017.

Friday, April 28, 2017

APA MAKSUD HEGEMONI DALAM SASTERA MELAYU?

Usaha para sarjana dan sasterawan untuk menjadikan sastera sebagai satu-satunya faktor penentu dalam perkembangan intelektual sesuatu bangsa telah dicuba oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam sebuah tulisan yang termuat dalam buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menggunakan konsep dan istilah hegemoni untuk mencapai maksud bahawa para sasterawanlah, dengan sokongan padu para sasterawan negara dan sarjana sastera, yang meletakkan asas tamadun bangsa Melayu moden melalui karya sastera ciptaan mereka. Usaha ini memberikan kita satu wajah yang sangat buruk dalam perkembangan intelektual di Malaysia berupa paksaan, atas nama hegemoni, untuk menerima hanya sejenis karya sastera sahaja yang boleh dijadikan asas negara bangsa. Jenis yang ditulis oleh para sasterawan dan sasterawan negara. Masalah yang paling besar ialah semua karya mereka adalah bertaraf picisan, jika dinilai dari perspektif ilmu. Bagaimana kita boleh menerima sastera sebagai teras negara bangsa jika karya sastera tidak mempunyai content ilmu? Saya telah menunjukkan dengan bukti yang hingga kini tidak disanggah secara akademik, sebuah karya terbesar dan teragung sekalipun, seperti Naratif Ogonshoto, adalah sebuah karya picisan dilihat dari perspektif ilmu. Dan lebih buruk lagi, karya itu adalah sebuah karya nihilis, yang melontar semua aspek moral dan keagamaan ke dalam lautan kezaliman dan penipuan, yang kononnya boleh dijadikan iktibar untuk mengajar para pelajar menjadi berhemah tinggi, beradab, dan mempunyai moral yang tinggi. Dengan mengajar mereka bahawa kezaliman dan penipuan adalah juga penting dikenali dan dipelajari kerana dua aspek kehidupan manusia ini kita alami sehari-hari. Adakah ini ajaran agama, mana-mana agama sekali pun? Inilah ajaran kaum nihilis.  Apa yang anda perlu buat sekarang, buktikan  novel Naratif Ogonshoto itu bukan sebuah karya nihilis; anda juga perlu membuat penjelasan mengapa memberi ajaran buruk, seperti yang ditonjolkan dalam novel itu, sesuatu yang baik, yang sesuai dengan falsafah pendidikan negara yang mungkin masih dipakai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia, yang kononnya mengutamakan nilai-nilai murni. Apakah nilai-nilai murni yang ditonjolkan dalam novel agung Naratif Ogonshoto itu? Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak memberi apa-apa contoh tentang aspek ini, seolah-olah ini tidak penting, padahal ini sudah dijadikan  polisi pendidikan yang memberi panduan ketika memilih sesebuah karya untuk dijadikan teks di sekolah-sekolah.  Apa yang terjadi di sini ialah semua karya sasterawan negara tidak perlu dinilai dari aspek moral dan nilai-nilai murni, kerana kedudukan mereka yang begitu istimewa telah melepaskan diri mereka daripada dikenakan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran mengenai nilai-nilai murni dan aspek moral.  Adakah pandangan ini bermoral?  Apa yang ingin ditegaskan di sini ialah, dari perspektif mana pun anda nilai Naratif Ogonshoto, novel agung ini tetap sebuah novel picisan yang tidak mementingkan nilai-nilai murni dan tidak mementingkan  aspek moral dalam kehidupan manusia, sebuah novel picisan dari segi content ilmunya.  Bagaimana kita boleh jadikan karya yang sebegini teras negara bangsa? Tentulah kita tidak siuman jika kita tidak sedar akan keburukan yang menjadi asas naratif novel agung ini.  Kita menjadi lebih tidak siuman jika kita menjadikan keburukan sebagai asas tamadun sesuatu bangsa, atau dalam slogan yang dilaungkan oleh ITBM sastera teras negara bangsa walaupun karya sastera mengajar keburukan dan menjadikan keburukan atau kejahatan sebagai tema utama.

Lebih buruk lagi apabila Dr. Mohamad Saleeh Rahamd menjadikan konsep hegemoni berasaskan sastera yang picisan itu sebagai panduan, padahal dari segi sejarahnya negara ini dibangunkan dari ajaran Islam yang menjadi anutan rakyat berbangsa Melayu. Adakah kamu sudah lupa hakikat ini? Semua kekeliruan besar ini menjadi masalah yang lebih besar sekiranya kita tahu hegemoni itu adalah ajaran golongan Marxist yang anti-Tuhan. Bagaimana sesuatu yang bertentangan dengan tamadun kita sendiri boleh dijadikan asas pembangunan negara? Kekeliruan seumpama ini memerlukan penjelasan, tidak boleh didiamkan; oleh itu sebuah buku perlu ditulis dan diterbitkan oleh ITBM untuk membetulkan kesilapan mereka mengenai perkara ini.  

Kita lihat definisi hegemoni dalam A Dictionary of Cultural and Critical Theory  ed. Michael Payne (Oxford: Blackwell Publishers, 1997.):  “hegemony    Derived from the Greek word hegemon (leader, commander, guide, ruler), hegemony has generally been used (by both Marxist and non-Marxist thinkers) to refer to either political dominance or leadership. It acquires a more specific import in the work of Antonio Gramsci, who, developing Marx’s insights, argues that the economic and political ascendency of a given class is organically connected with a preparatory achievement of cultural and intellectual hegemony.  The intellectuals sympathetic to this class have an organizational  function: to articulate the world view of the class, thereby giving it a unity and consciousness if its aims; to help structure social institutions in accordance with these aims; and to foster an environment of consent  to the ideas of the class.” (hal. 239)

Idea yang dijelaskan dalam definisi itu nampaknya menjadi pegangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seperti yang dapat kita lihat dalam makalahnya.  Dengan menjadikan sastera sebagai asas hegemoni dalam pembangunan intelektual dan kebudayaan di Malaysia, beliau telah meletakkan sastera sebagai nilai tertinggi yang definitif dalam pembangunan negara. Ini tidak boleh diterima sama sekali, kerana inilah jenis idea nihilistik yang kita lihat dalam entri yang lalu.

Panel Anugerah Sastera Negara memang menolak aspek moral ini, yang bagi mereka tidak relevan dalam karya sastera. Inilah kesimpulan mereka dalam laporan mereka. Kalau begitu, dengan tiada ragu-ragu lagi kita juga boleh melabelkan Panel Anugerah Sastera Negara sendiri adalah puak nihilis yang menolak moral sebagai asas pembinaan tamadun.  Kesimpulan ini bertaburan dalam laporan mereka, dan sudah saya bincang panjang lebar dalam beberapa entri dalam blog ini. Boleh rujuk senarai entri yang saya rujuk tempoh hari. Saya juga mengajak anda semua membaca dengan kritis dua buah buku untuk memberi sedikit gambaran betapa karutnya ajaran yang ditonjolkan dalam karya sastera para sasterawan negara dan dalam kritikan cetek meraba-raba para sarjana (ciritan) dan pengkritik picisan. Saya rujuk buku Stephen R. C. Hicks, Explaining Postmodernism: Skepticism and Socialism from Rousseau to Foucault  (New Berlin/Milwaukee, 2004). Sebuah lagi karya Prof. Ernest Gellner, Postmodernism, Reason and Religion  (London & New York:  Routledge, 1992). Saya salin kesimpulan beliau:  “To the relativists, one can only say – you provide an excellent account of the manner in which we choose our menu or our wallpaper. As an account of the realities of our world and a guide to conduct, your position is laughable. Possibly you may be doing good by encouraging political compromise. If the ambiguities of your formulations and attitude help ease the situation, and bringing forth a compromise between the believers and the others, or between rival believers, you may yet be performing a public service.” (last page, 96.)

Apa yang ditulis dalam novel agung Naratif Ogonshoto dan dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tepat sekali dengan kesimpulan Gellner, “As an account of the realities of our world and a guide to conduct, your position is laughable.”  Inilah juga kedudukan Panel Anugerah Sastera Negara.  Inikah hegemoni?  Inilah maksud hegemoni yang di dalam slogan ITBM, “sastera teras negara bangsa”.  Seperti yang saya jelaskan, sesiapa juga yang masih siuman tidak boleh dan tidak akan menerima slogan ini kerana bertentangan dengan sejarah dan kenyataan yang ada.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 27/4/2017.

Tuesday, April 25, 2017

CONCLUDING REMARKS: Perjuangan yang baru bermula, Intifadah Intelektual yang Perlu Diteruskan dan Diselesaikan.

Dalam entri yang lepas, saya mendedahkan diri saya sebagai seorang penulis kreatif dan pemikir budaya untuk dikritik seberapa kritis yang anda mampu, dengan memberi contoh polemik intelektual antara beberapa orang tokoh besar Eropah dan Arab moden. Saya sebutkan, anda mempunyai dua pilihan, yang kedua-duanya boleh dijadikan panduan. Sekiranya anda lebih bijak dan mempunyai kemampuan intelektual yang hebat, anda boleh saja mengemukakan sesuatu yang baru, yang benar-benar milik anda tetapi penting dimaklumkan kepada masyarakat.  Sebagai permulaan, anda boleh mengkritik saya dari segenap penjuru, dari penjuru kreatif dan dari penjuru ilmiah. Inilah cara terbaik untuk anda menghuraikan kehebatan pemikiran anda sendiri untuk dimanfaatkan oleh negara, khususnya bangsa Melayu yang perlu dicerdikkan dan dilepaskan dari perhambaan intelektual dan perhambaan budaya. Para sarjana (terutama yang ciritan) dan para sasterawan (termasuk sasterawan negara yang picisan) masih lagi berada dalam feudalisme ilmu dan feudalisme budaya. Cara mereka memberi sanjungan kepada para sasterawan negara dengan menjadikan mereka golongan istimewa, mengatasi para ulama dan cendekiawan Melayu yang membina budaya ilmu Malaysia beratus tahun, adalah satu perbuatan yang mencerminkan kehilangan adab. Saya sudah nampak ini semua sejak 1981, dengan menulis sebuah cerita pendek sebagai bantahan dan telah pun diterbitkan dalam Pura Bujangga.  Jadi kritikan saya terhadap para sasterawan negara ini bukan suatu perkara baru, tetapi satu kritikan yang berprinsip. Hanya orang yang berilmu saja yang dapat memahami perkara ini, yang saya kira termasuk Dr. Mohammad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA. Saya telah menjadi anggota PENA  sejak awal penubuhannya, ketika saya masih di universiti. Tetapi hakikat ini diremehkan saja oleh para pemimpin PENA sekarang kerana saya tidak termasuk kelompok Mutual Admiration Club seperti mereka.  Jika mereka jujur seperti yang mereka dakwa untuk diri mereka, tentulah sudah lama mereka bincang dengan mendalam Gagasan Persuratan Baru, dan peranannya dalam perkembangan kreatif dan intelektual. Tetapi mereka memilih untuk menjadi seteru kepada ilmu dan Gagasan Persuratan Baru untuk menyelamatkan karya mereka sendiri. Apakah makna kejujuran intelektual di kalangan kelompok Mutual Admiration Club ini?  PB tidak wajar dan tidak perlu dimusuhi, apatah lagi dengan perasaan hasad dan dengki pula. PB perlu difahami dan dikritik dengan objektif.  Sayangnya tidak terdapat dalam PENA orang yang boleh melakukannya. Oleh itu, lebih baik, bagi mereka, bersikap lembu kenyang! Walaupun sikap ini menunjukkan betapa rendahnya maruah intelektual mereka (low self esteem).  Bagi kumpulan “lembu kenyang”, self esteem tidak penting; yang penting peluang untuk mendapat faedah peribadi dan kelompok. Sudah tiba masanya keadaan ini berubah, dengan memilih kumpulan peneraju baru yang betul-betul mempunyai maruah dan harga diri dan benar-benar jujur untuk memajukan sastera. PENA perlu diberi wajah baru dan nafas yang benar-benar bersih dari kepentingan puak.  PENA memerlukan peneraju baru, bukan kumpulan lembu kenyang!  Saya harap mesej ini diberi perhatian oleh ahli PENA seluruhnya. (Istilah lembu kenyang adalah istilah yang masyhur di Kelantan, yang merujuk kepada sikap seronok untuk tidak aktif berbuat apa-apa yang berfaedah, asyik mengunyah rumput yang disediakan oleh tuan lembu.)

Dengan tidak memberi perhatian kepada perkembangan intelektual dalam sastera Melayu, maka kewujudan PENA menjadi tidak relevan. Apakah tujuan dan matlamat PENA?  Sekiranya untuk memajukan sastera Melayu, adakah sastera yang hendak dimajukan itu berupa karya yang dihasilkan oleh sasterawan negara dan para pengikut mereka sahaja? Jika itulah matlamatnya, dan tujuan yang ingin dicapai, maka para pendukung PENA ini telah membataskan perkembangan itu kepada kelompok mereka sahaja; oleh itu tidak boleh dipanggil untuk sastera Melayu secara keseluruhan. Lagi pula, kesedaran kepada sejarah perkembangan intelektual sangat penting disedari di kalangan pendukung PENA. Yang dinamakan sastera Melayu masih baru; sebelum itu sudah ada persuratan Melayu. Dengan membataskan perkembangan kepada sastera Melayu yang tidak mempunyai asal usul yang jelas dan kukuh, maka para pendukung PENA tidak saja buta sejarah, tetapi anti sejarah dan berusaha untuk melenyapkan sejarah kegemilangan persuratan Melayu yang sudah berusia beratus tahun dan telah melahirkan tokoh-tokoh besar. Siapa mereka, siapa tokoh-tokoh besar persuratan itu? Inilah kerja rumah untuk PENA senaraikan bagi faedah kita semua. Kita mahu lihat adakah mereka ini kucing kurap jika dibandingkan dengan sasterawan negara? Atau sebaliknya.  Atau kedua-duanya setaraf?  Kita beri PENA menentukannya untuk menjadi asas perbincangan nanti. Sesuai dengan sikap PENA yang berjuang untuk perkembangan intelektual yang sihat, maka senarai tokoh persuratan itu penting diketahui oleh masyarakat, terutama oleh para pelajar. Tetapi jika PENA mengatakan kita tidak perlukan mereka, kerana kita sudah mempunyai sasterawan negara, maka PENA sendiri tentulah terjerumus ke dalam sikap nihilis seperti yang saya sebut dalam entri yang lepas. Sekiranya PENA tidak menerima  nihilisme dalam sastera Melayu, maka mereka tidak mempunyai pilihan selain memberikan kepada masyarakat senarai tokoh persuratan itu, untuk dibandingkan dengan objektif sumbangan mereka berbanding dengan sumbangan para sasterawan negara.  Bagi saya, ini adalah satu permintaan yang wajar, dan adil. Pengetahuan kita boleh bertambah kerananya, sesuatu yang baik sebenarnya. Untuk mudah kerja, senarai itu kita hadkan kepada tokoh-tokoh    yang terdapat di Kelantan, Terengganu dan di Johor.  Ketiga-tiga buah negeri ini adalah pusat perkembangan intelektual yang hebat dan benar-benar bermakna dalam sejarah intelektual kita. Sekiranya cadangan ini ditolak oleh PENA, maka sifat dan sikap nihilis itu benar-benar menjadi pegangan mereka. Adakah kita mahu sebuah organisasi yang demikian? Soalan ini sangat penting dan relevan untuk difikirkan dengan serius oleh para penulis yang berakal. Sebagai peringatan, anda tentu sudah tahu bagaimana Asas 50 menolak tulisan Jawi dalam Kongres Bahasa 1956 di Johor Baru, dan mengatakan dengan berani tulisan Jawi tiada kaitan dengan agama. Adakah PENA meneruskan kesilapan besar Asas 50 ini?

Seperti yang anda dapat lihat, kedudukan Dr. Saleeh Rahamad sebagai sarjana sama pentingnya dengan kedudukan beliau sebagai pemimpin organisasi seperti PENA.  Adalah amat patut sekiranya kita mahukan kualiti dalam tulisan beliau; sama juga kita perlukan kualiti kepemimpinan beliau dalam organisasi seperti PENA.  Bolehkah beliau mengelak, atau menganggap kita semua ini adalah sampah tidak berguna yang tidak seharusnya mempersoalkan kemampuan beliau, dari segi akademik dan kepemimpinan. Tetapi setelah beliau menulis makalah yang begitu gemilang sehingga diangkat untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, maka Dr. Mohamad Saleeh Rahamad telah diberi kedudukan yang setaraf dengan para sasterawan negara, dengan itu dia layak dinilai dengan objektif seperti kita menilai sumbangan para sasterawan negara.  Semua ini tidak perlu jika kita menerima kedudukan mereka sebagai tokoh yang tidak wajar dipersoalkan kerana telah dibuktikan oleh para juri kehebatan mereka sebagai tokoh dalam bidang masing-masing. Tetapi proses yang terjadi dalam perkembangan intelektual tidak demikian, kerana setiap tokoh perlu dinilai dari perspektif yang berbeza supaya kehebatannya sebagai tokoh tidak saja kekal, malah menyerlahkan kehebatan dari segi pemikiran dan pengaruh dalam perkembangan intelektual sesuatu bangsa. Demikianlah saya membangkitkan semua isu ini supaya anda tidak tertipu oleh retorik anda sendiri. Anda memerlukan pandangan lain yang berbeza. Itulah yang terjadi dalam semua tamadun dunia. Tidak ada tokoh intelektual yang tidak dipersoalkan kewajarannya, sama seperti kita mempersoalkan kewajaran penilaian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto beyond criticism.

Sebagai rujukan sekadarnya, untuk melihat bagaimana idea muncul dan  dibahaskan di kalangan intelektual, patut sangat anda baca sebuah buku yang sungguh sedap dibaca, buku Hannah Arendt, The Life of the Mind.  Di Malaysia, satu-satunya buku yang layak dimasukkan dalam kategori “the life of the mind” ialah novel persuratan Pujangga Melayu.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 25/4/2017.



Monday, April 24, 2017

NARATIF OGONSHOTO DAN PUJANGGA MELAYU: Antara Dunia Penglipur Lara dengan Dunia Ilmu (Bahagian III)

Dalam dua entri yang lepas, saya mempertikaikan analisis dan kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto sebagai karya novel terpenting dan terbaik dalam sastera Melayu. Saya mengatakan analisis dan penilaian beliau tidak berasas dari segi penghujahan akademik, yang bersimpang siur kayak seorang sarjana “mat rempit “ yang berpusing-pusing di lebuh raya kritikan sastera, merempuh semua tiang teori Barat yang tidak dikuasainya dengan memuaskan. Contoh terbaik di sini ialah ketika beliau mengaitkan Naratif Ogonshoto dengan pascamodenisme, dengan itu meletakkan novel agung ini ke dalam kelompok karya nihilis.  Supaya anda faham maksud saya, saya turunkan penjelasan tentang nihilism  seperti yang diberikan oleh The Oxford Companion to Philosophy:  “The extreme view that there is no justification for values and, in particular, no justification for morality.  It is sometimes used to mean the active rejection of and attack on such values. The word was invented by Russian novelist Turgenev to describe young rebels in Tsarist Russia. Ever since, the word has been used to condemn those who refuse to accept certain preferred prevailing values. Philosophically, ‘nihilism’ is often employed as an ominous alternative characterization of relativism and other views that deny the existence of ‘absolute’ moral standards.” Itulah Naratif Ogonshoto, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Kini anda tahu novel terbesar sastera Melayu sepanjang zaman ini adalah sebuah karya nihilis. Dalam bahagian II saya menegaskan pengarang Naratif Ogohshoto dan penulis makalah tentangnya menolak konsep “uswatun hasanah”, yang memang tidak terdapat di dalam novel dan tidak juga terdapat dalam makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Sekarang kita lihat pula Pujangga Melayu.  Edisi kedua novel persuratan ini baru saja diterbitkan oleh Klasika Media April 2017, lengkap dengan Indeks untuk memudahkan pembaca mengikuti persoalan yang menjadi isu penting di dalam novel persuratan ini.  Sekiranya Naratif Ogonshoto juga diberi Indeks, nescaya anda akan dapat melihat dengan jelas sifat nihilis karya ini. Saya harap penerbitnya akan menyediakan Indeks itu. Ini sesuai dengan kedudukan karya itu sendiri yang harus mempertahankan dirinya, bukan sasterawan yang menulisnya, tidak juga Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang menyanjungnya.

Sebaliknya Pujangga Melayu adalah seratus peratus bersifat didaktik, diasaskan kepada konsep ilmu yang benar dengan matlamat semua karya persuratan harus memenuhi prinsip “indah dan bermakna” yang dijelaskan dalam Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid (1992, 2005: Dewan Bahasa dan Pustaka). Baik Anwar Ridwan mahu pun Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, kedua-duanya  tidak tahu buku ini sudah diterbitkan sejak 1992, disalin daripada sebuah rencana panjang dalam Dewan Sastera sekitar tahun 1989, dijadikan buku dengan usaha seorang pegawai Dewan Bahasa dan Pustaka ketika itu, Puan Rogayah Abdul Hamid. Terima kasih kepada beliau yang berani menerbitkan rencana pajang itu sebagai sebuah buku. Usaha beliau tidak sia-sia kerana akhirnya Gagasan Persuratan Baru mendapat tapak yang kukuh melalui buku itu. Saya tidak pasti sejauh mana Anwar Ridhwan yang ketika itu seorang pegawai penting, terlibat dalam penerbitan Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid ini. Fakta ini penting, tetapi saya tidak mahu kupas mengenainya di sini.

Sebuah idea penting tidak akan lahir daripada  cerita pendek, malah cerita pendek itulah kemudiannya lahir untuk memberi makna kepada idea atau pemikiran itu. Contohnya dalam Balai Maqamat. Demikian seterusnya dalam genre-genre lain.  Pujangga Melayu lahir di bawah tapak kaki Ratu Balqis, ketika baginda mengangkat pakaiannya untuk mengelak terkena air di lantai istana Nabi Sulaiman ‘a.s. yang berkilat seperti air. Lantai itu kelihatan seperti kolam, hasil kerja seni bina yang amat tinggi kualitinya.  Apakah yang anda dapat daripada peristiwa ini? Anda diberi dua jenis realiti: realiti semu tentang air yang kelihatan tetapi tidak wujud; realiti hakiki yang juga tidak kelihatan tetapi wujud. Seorang sasterawan yang tidak dapat membezakan dua jenis realiti ini, atau dikaburi oleh realiti palsu seperti yang mereka gelarkan  realiti magis, akan menulis seperti menulisnya sasterawan negara Anwar Ridhwan  dan melahirkan karya yang palsu, yang beredar di permukaan realiti semu sahaja. Apa bila saya mengatakan karya para sasterawan negara ini hanya picisan, saya dapati semua mereka berada dalam realiti semu. Tetapi pandai juga mereka menjawab, Kami menulis dalam konteks realiti empirikal. Mereka tegaskan, maka lahirlah karya seperti Salina, TIVI, Kuala Lumpur Kita Punya dan lain-lain karya sasterawan negara, termasuk sajak agung realiti semu ini ciptaan Muhammad Haji Salleh, “Pulang Si Tenggang”. Apakah maksud realiti empirikal. Cuba anda lihat matahari, atau bulan, atau bintang-bintang, anda lihat sesuatu yang kecil, padahal dari segi realitinya … lain.  Bayangkan seluruh cakerawala tunduk sujud kepada Nabi Yusuf ‘a.s. ketika baginda masih budak-budak, apa yang anda boleh dapat? Anda hanya akan faham peristiwa ini jika anda tahu makna realiti hakiki tadi.  Tidak terdapat aspek realiti hakiki dalam mana-mana teori sastera Barat yang anda gunakan dengan sombong dan angkuh: sombong memperagakan nama-nama teori segala macam; angkuh mengatakan itulah teori yang universal, walaupun pada hakikatnya palsu.  Maka apabila lahir Gagasan Persuratan Baru, segala-galanya berubah, diberi tempat yang sesuai untuk mereka. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan kawan-kawannya, dan para sasterawan, tidak dapat melihat semua ini, hanya kerana mereka menolak adanya hakikat ilmu, yakni ilmu yang benar. Orang-orang yang tidak menerima konsep ilmu yang benar tidaklah pula  murtad jika mereka beragama Islam, mereka hanya jahil dan bangga berada dalam kejahilan. Maka demikianlah lahirnya karya-karya picisan oleh para sasterawan negara.  Seiring dengan itu lahirlah pula kritikan picisan seperti yang kita baca yang ditulis oleh para sarjana (ciritan). Makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad termasuk dalam kategori mana? Saya tidak boleh tentukan untuk anda; anda sendirilah menempatkannya dalam kategori mana.

Pujangga Melayu adalah sebuah karya yang amat berbeza dari yang pernah anda baca. Kalau anda biasa membaca karya dunia, anda akan dapati tidak sebuah pun daripada karya dunia yang hebat-hebat itu boleh dibandingkan dengan Pujangga Melayu. Isunya sangat mudah. Pujangga Melayu ditulis seluruhnya berasaskan konsep ilmu yang benar. Mana ada karya dunia yang seperti itu? Di Malaysia pun tidak ada karya seperti Pujangga Melayu. Kata para sarjana sastera dan sasterawan, tiada siapa pun yang mahu menulis sebuah novel seperti Pujangga Melayu yang membosankan dan penuh dengan khutbah didaktik yang amat sangat membosankan. Tapi saya fikir hanya orang yang kurang adab saja yang berkata begitu; yang cerdik dan tahu nilai kecerdikan, tidak begitu reaksi mereka membaca Pujangga Melayu. Mereka mendapat keseronokan intelektual yang mereka tidak dapat ketika membaca novel teragung Malaysia, Naratif Ogonshoto. Bagus juga jika ada di antara pembaca Naratif Ogonshoto tampil memberitahu keseronokan mereka membaca novel agung itu. Ceritalah sedikit tentang kualiti pemikiran yang terdapat di dalam novel agung itu; dan kalau dapat, beri sedikit pandangan kritis andainya anda juga membaca Pujangga Melayu.

Dalam percaturan intelektual di mana-mana sekali pun, terdapat hanya dua keadaan. Pertama, yang bersetuju akan menjelaskan lagi dalam tulisan mereka supaya idea yang mereka sokong akan mendapat perhatian lebih luas. Yang kedua, jika mereka tidak bersetuju, mereka akan memberikan pandangan kritis yang cukup objektif, untuk membuktikan bahawa masih ada ruang untuk membuat perubahan yang lebih membina. Apa yang dilakukan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah berbeza, dan bagi saya agak negatif. Dia terlalu boros dengan pujian yang tidak wajar oleh sebab Naratif Ogonshoto yang dipujinya itu tidak terdaya menanggung beratnya pujian itu yang sebenarnya tidak ada di dalam karya itu. Sebagai seorang ahli akademik, keengganannya untuk mengikuti perkembangan baru dalam bidang kritikan, yang jauh lebih bermakna jika beliau menelitinya dengan kritis dan objektif,  seharusnya sudah membawa beliau mendekati sebuah karya seperti Pujangga Melayu.  Dengan mengkritik Pujangga Melayu yang memberikan tentangan hebat kepada Naratif Ogonshoto,  beliau mungkin dapat melihat perkembangan dari segi pemikiran dan teknik yang original yang amat jelas terserlah dalam Pujangga Melayu, sekurang-kurangnya dari segi pengolahan idea dan penerokaan teknik yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana penulis Malaysia dengan misalnya menjadikan sisipan sebagai cara menyampaikan idea dan pemikiran yang teratur dan tersusun kemas untuk mencapai matlamat indah dan bermakna dalam sebarang karya kreatif yang mengutamakan pemikiran. Jika dilihat dari perspektif ini, kita akan melihat dengan jelas betapa kerdilnya Naratif Ogonshoto yang jelas tidak memberikan  idea yang bernas yang dibahaskan dengan rapi dan jelas. Perbuatan Anwar Ridhwan merangkaikan cerita-cerita pendek sensasi untuk dijadikan sebuah novel, kononnya, bukanlah satu teknik baru seperti yang didakwa oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Kritikan ini, walaupun agak keras, adalah tepat dengan kelemahan yang amat jelas yang terdapat dalam karya agung ini yang tidak dapat mempertahankan dirinya apabila dikritik. Kelemahan ini tidak ada di dalam Pujangga Melayu, yang dengan berani dan yakin menyerang kembali para pengkritiknya untuk membuktikan pendapat mereka  tidak objektif dan tidak bernilai ilmu. Mampukah seorang sarjana seperti Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengkritik sebuah novel ilmu seperti Pujangga Melayu? Beliau tidak perlu membuktikannya, kerana tulisannya memuji Naratif Ogonshoto memberi bukti yang baik akan kemampuan akademik dan intelektual beliau. Bagi anda yang pernah membaca perbahasan dalam dunia ilmu di Barat antara Skinner dengan Chomsky, atau antara Derrida dengan lawan-lawannya seperti John R. Searle; atau di negara Arab antara Ahmad Amin dengan bekas gurunya dari Damascus; malah antara Prof Syed Muhammad  Naquib al-Attas dengan Prof. Teeuw tentang asal usul syair Melayu, tentulah anda akan melihat ketajaman hujah masing-masing, atau keselekehan hujah seperti yang terbukti dari kesilapan Teeuw yang disangkal dengan mudah dan tepat oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas. Kita mempunyai maklumat lengkap dan dokumen tercetak untuk semua perbahasan ini. Di mana Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Naratif Ogonshoto berada? Pertanyaan ini sangat penting, sesuai dengan kedudukan novel ini yang terbaik dalam sejarah sastera Melayu, sehingga memaksa kita bertindak lebih cermat untuk menentukan kedudukan sebenar novel ini, supaya apa juga penilaian yang kita buat benar-benar mantap. Lebih penting ialah para pelajar tidak diberi maklumat yang salah. Dalam keadaan sekarang, Naratif Ogonshoto belum lagi teruji dari segi akademik. Paling mudah untuk melakukan hal ini ialah dengan menolak hujah-hujah yang saya kemukakan mengenai novel yang dalam pandangan saya adalah sebuah karya picisan yang penuh sensasi dan bersifat sadistic.  Saya belum bertemu sanggahan yang meyakinkan. Apatah lagi jika novel ini dinilai dari perspektif seperti yang saya senaraikan dalam entri bertarikh 15/4/2017.

Pujangga Melayu, sebuah novel persuratan, saya gelar novel mini ensiklopedia untuk memberinya kedudukan istimewa sebagai satu-satunya novel jenis ini yang saya yakin, insha Allah akan ditulis oleh penulis generasi muda yang terdidik dalam bidang pemikiran dan filsafat. Saya yakin orangnya sudah ada, menunggu untuk memasuki gelanggang persuratan sahaja. Ucapan selamat datang kepada mereka.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 23/4/2017.

Saturday, April 22, 2017

NARATIF OGONSHOTO DAN PUJANGGA MELAYU: Antara Dunia Penglipur Lara dengan Dunia Ilmu (Bahagian II)

Ada beberapa isu yang masih perlu disebut mengenai tajuk ini. Tajuk ini penting kerana kita perlu tentukan dengan pasti apakah sebenarnya perutusan (message) yang ingin disampaikan kepada masyarakat seluruhnya, yang akan terakam dalam sejarah kebudayaan kita.  Saya dengan tegas mengatakan Naratif Ogonshoto membawa perutusan yang salah dan menyesatkan, oleh itu kita tidak perlukan novel ini diangkat ke taraf novel paling istimewa dan novel terbaik sepanjang zaman dalam sastera Melayu. Kita perlu menentukan dengan pasti adakah penilaian kita itu betul, dengan itu kita perlu bahaskan standard yang kita pakai dan ciri-ciri penilaian yang kita gunakan. Ketika membincangkan makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, saya dengan tegas menolak penilaian ini diiringi sebab-sebab yang telah saya hujahkan dengan jelas.  Apa juga benda yang ingin kita wariskan, mestilah yang terbaik. Ini sudah diterima umum sebagai standard yang mesti dicapai. Dalam penelitian saya, Naratif Ogonshoto tidak mencapai standard itu.

Dalam makalahnya yang mendapat Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005 itu tidak terserlah sedikit pun kebaikan novel besar Malaysia ini, terutama jika dilihat dari perspektif yang bersifat ilmu. Walaupun Dr. Mohamad Saleeh Rahamad berkali-kali menegaskan bahawa novel itu mempunyai makna yang berlapis-lapis, namun tidak jelas apakah lapis-lapis itu.  Kalau kita boleh hitung (sepatutnya kita hitung), berapa jumlah kebaikan dan berapa pula kejahatannya. Fakta ini menjadi lebih penting lagi kerana novel agung ini sudah dijadikan buku teks. Apakah kebaikan yang akan diterima oleh para pelajar jika seluruh buku ini hanya mengenai penipuan, kezaliman, sadisme, pembohongan dan yang sejenis dengan senarai itu? Sebagai contoh, apakah kebaikan yang kita boleh ajar kepada para pelajar apabila sasterawan negara mengatakan cerita Nabi Nuh ‘a.s. itu satu mitos yang sama kedudukannya dengan kisah Si Tanggang? Ini disebut oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang mendapat Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu. Berapa jenis nilai-nilai murni yang menjadi teras novel agung ini?  Kementerian Pelajaran selalu menekankan aspek ini dalam menentukan sesuai tidaknya sesebuah karya dijadikan buku teks. Nampaknya semua mereka ini – sasterawan, sarjana, pegawai Kementerian, guru-guru sastera dan pelajar – tidak lagi mementingkan nilai-nilai murni itu. Mungkin juga mempertahankan kuasa, seperti yang dibuat oleh Presiden, adalah nilai murni teragung. Nampaknya inilah hakikat politik di Malaysia sendiri. Kalau begitu, memang sesuai novel agung ini dijadikan teks sastera, kerana novel agung ini menyerlahkan dengan tepat kejahatan para pemimpin politik. Ini diakui dengan cantik oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kata-kata berikut, “Karya ini telah menampilkan keupayaan karya seni memberikan teguran yang keras tetapi berkias. Dari segi ini, Anwar telah memanipulasi kaedah kritikan cara Melayu yang banyak ditemukan dalam sastera rakyat dan sastera sejarah dengan cara yang sangat halus dan menikam.” Kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini adalah mimpi beliau sendiri yang menjadi igauan seorang sarjana yang sudah begitu keliru dengan segala macam konteks yang dipintalnya sendiri dengan menggunakan beberapa istilah sastera Barat yang tidak satu pun menjurus kepada kebaikan. Apakah kebaikan faham pascamodenisme yang dipuji oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang kononnya menjadi tonggak kekuatan novel agung ini? Sangat aneh dan sungguh pelik apabila beliau sendiri mengaku faham pascamodenisme itu menolak sebarang nilai mutlak, malah nilai, kata sarjana ini, adalah bikinan pembaca sendiri. Inikah ajaran yang dikatakan bertaraf nilai murni itu? Ini bukan lagi masalah cetek meraba-raba yang menjadi aset besar kebanyakan para sarjana dan sasterawan; tetapi inilah hasil dari sikap anti-ilmu, atau ingkar ilmu, yang menjadi pegangan para sarjana dan sasterawan ini. Semua ini jelas dalam karya mereka, tidak usah mereka nafikan sebagai salah tafsir. Yang salah tafsir itu mereka, yang sewenang-wenang menggunakan pendekatan Barat dan idea Barat yang bercampur aduk dengan cerita-cerita penglipur lara Melayu yang kononnya menjadi warisan besar dalam kebudayaan Melayu.

Kesimpulan

Saya ingin mengulang kesimpulan dalam Bahagian I. Kita perlu beri peluang kepada karya itu sendiri mempertahankan dirinya dari segala kritikan dari arah mana sekalipun. Di Malaysia hal ini tidak berlaku. Sarjana dan sasterawan menggigil apabila mereka dicabar untuk kembali kepada konsep ilmu yang bersumberkan al-Quran. Mereka tidak mahu, kerana kata mereka tidak sebuah pun karya sastera Melayu ditulis dalam konteks itu, oleh itu tidak wajar dinilai daripada pendekatan yang mengutamakan konsep ilmu yang benar. Ini satu pandangan yang silap dan amat cetek.  Pertama, anda telah merendahkan martabat sesebuah karya, apatah lagi sebuah karya besar seperti Naratif Ogonshoto, dengan menghalang karya itu berada di tengah-tengah pergolakan ilmu, seperti sebuah kapal di tengah lautan bergelora, untuk menguji dirinya sendiri sejauh mana karya besar seperti Naratif Ogonshoto itu boleh membawa diri dengan selamat ketika dilambung ombak kritikan yang paling sengit sekalipun. Dengan membiarkan karya besar seperti Naratif Ogonshoto itu seolah-olah pondan, anda sendiri telah memondankan (menjadikan seperti pondan) kemampuan intelektual anda yang seolah-olah menjadi kaku apabila diuji dengan serangan ilmiah yang agak keras.  Kedua, dengan mengasingkan diri menjadi seolah-olah kucing kurap dalam dunia kreatif atau dunia akademik, anda telah menjadikan bidang kreatif dan akademik itu begitu lembik dan rapuh boleh dilanyak-lanyak dan dipatah-patah seperti lidi. Sebuah karya besar dan paling ulung, seperti Naratif Ogonshoto, harus berdiri seperti bukit Jabal Tarik (bukit Gibraltar) yang tetap kukuh berdiri gagah walaupun telah didaki dalam satu perjuangan (peperangan)  besar.  Menjadikan karya besar seperti Naratif Ogonshoto hanya sebuah busut kecil adalah tidak wajar dan tidak beradab, walaupun maksudnya untuk menyelamatkan busut itu daripada ditarah rata oleh cangkul kritikan yang kuat menyodok dan menggali Sang Busut yang boleh diratakan begitu mudah untuk dibuat tempat menanam bangkai ayam yang terkena hawar.  Dalam bahasa al-Quran, hanya orang-orang berilmu dan bijak saja yang dapat memahami dan membuat tafsiran terhadap tamsil ibarat.  Apakah tamsil ibarat yang ada di dalam novel besar Naratif Ogonshoto?  Tamsil ibarat yang dimaksudkan oleh al-Quran ialah yang menuju ke arah keselamatan di dunia dan akhirat, bukan cara yang kita lihat dalam Naratif Ogonshoto, misalnya yang diucapkan oleh sang resi tua yang sukar ditafsirkan kerana dia hanya mengeluarkan “…kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata terpilih itu pula tidak pernah mempunyai makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta perlambangan”.  Ini ucapan Anwar Ridhwan sendiri, yang dipetik oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya.  Apakah yang berlapis-lapis itu? Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak memberi contohnya, oleh itu yang berlapis-lapis itu tidak diketahui oleh sesiapa pun, termasuk sasterawan negara sendiri. Padahal inilah antara tonggak keagungan novel terbaik Malaysia ini. Jika kita ingin memahami maksud berlapis-lapis itu, kita harus melihat konteksnya. Mungkin kejahatan watak utama novel ini mempunyai makna berlapis-lapis ketika melakukan sesuatu atau mengucapkan sesuatu. Jika andaian ini benar, adakah untuk kebaikan umum? Kalau untuk kebaikan umum tidak perlu  ucapan yang maknanya berlapis-lapis itu, kerana tidak difahami oleh masyarakat. Kalau untuk menjaga kepentingan Presiden, maka itu bukan maksud berlapis-lapis tetapi hanya sejenis penipuan yang disembunyikan. Dengan itu “konsep” makna berlapis-lapis itu tidak lain daripada idle talk, atau bullshit yang diucapkan oleh watak penting. Di sinilah pentingnya konsep perwatakan yang bersifat “uswatun hasanah” dijadikan ukuran, kerana hanya di situ saja kita dapat membaca matlamatnya.  Tetapi ini telah ditolak bulat-bulat oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Dr. Anwar Ridhwan. Menurut mereka, itu sifat nabi SAW, bukan sifat para pengikut Islam. Orang Islam tak perlu tunjuk apa-apa, cukup dengan hanya memakai nama Islam. Saya harap ada ulama beri komen terhadap pendapat ini. Benarkah konsep “uswatun hasanah” itu khusus untuk Nabi SAW saja?  Saya ingin mendapat pandangan Mohd. Shahrizal Nasir atau Dr. Adli Yacob dan lain-lain yang lebih tahu mengenai persoalan ini. Penjelasan itu sagat penting kerana seolah-olah terdapat sejenis kesewenangan untuk menolak konsep-konsep Islam, atau paling tidak mengelirukannya untuk maksud tertentu.  Memang betul dalam karya sastera yang ditulis oleh para sasterawan dan sasterawan negara watak tidak perlu memberi contoh yang baik, kerana terdapat unsur didaktik yang amat dibenci oleh sarjana sastera dan para sasterawan sendiri.  Tersirat dalam pandangan ini ialah konsep watak yang kuat itu tidak semestinya watak yang baik. Watak jahat pun boleh menjadi watak yang kuat dan boleh dijadikan ukuran kejayaan sesebuah novel. Inilah kedudukan Naratif Ogonshoto, seperti yang dihuraikan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya.  Inilah hujah yang dipakai untuk mewajarkan Naratif Ogonshoto dijadikan buku teks. Menurut pandangan ini, para pelajar perlu didedahkan kepada watak-watak jahat kerana dalam masyarakat sendiri orang-orang jahat itu sangat ramai. Adakah termasuk penulis juga? Atau mereka boleh dikecualikan?.  Kalau kita pakai penghujahan yang dikemukakan dalam Naratif Ogonshoto, seorang resi adalah seorang yang patut dicontohi. Tetapi mengapa resi? Ini pun perlukan penjelasan, kerana dalam Islam ulama itulah yang dijadikan teladan, bukan resi. Mungkin Dr. Mohamad Saleeh Rahamad boleh memberi penjelasan kerana penjelasan itu sangat perlu, supaya tidak mengelirukan terutama sekali para pelajar yang menggunakan novel ini.

Banyak lagi perkara yang ingin saya bincang, tetapi sebelum itu diperlukan penjelasan tentang konsep contoh yang baik itu, uswatun hasanah, yang menurut sarjana sastera dan para sasterawan tidak diperlukan dalam karya sastera.  Dengan penolakan ini, Naratif Ogonshoto boleh berdiri gagah mewakili watak-watak jahat dalam sastera Melayu untuk dikagumi oleh pembaca dan para pelajar.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 22 April 2017.


Thursday, April 20, 2017

NARATIF OGONSHOTO DAN PUJANGGA MELAYU: Antara Dunia Penglipur Lara dengan Dunia Ilmu

Dalam perbincangan mengenai Naratif Ogonshoto dan Pujangga Melayu, saya menggunakan pandangan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Prof. Pogadaev dari Russia sebagai panduan. Profesor inilah yang menterjemahkan novel agung ini ke bahasa Russia dengan judul (terjemahan Melayu oleh beliau sendiri) Cerita yang Benar dan Khayalan  daripada Kepulauan Ogonshoto (2006) ditaja oleh DBP dan dua buah organisasi Russia. Makalah Dr. Saleeh berjudul “Naratif Ogonshoto: Ibarat Madu Lewat Saringan” (Dewan Sastera, September 2005, hal. 74-80), yang juga disiarkan Jurnal Pengajian Media Malaysia, jilid 7 no. 1 2005, hal. 91-99. Makalah ini penting kerana telah diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005.  Dalam kajian ilmiah tentang novel agung ini, makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad adalah yang paling lucu yang pernah saya baca. Saya akan jelaskan nanti.

Malaysia beruntung telah mempunyai novel terbesar sepanjang zaman karya Dr. Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara. Novel ini sudah dijadikan buku teks, oleh itu telah masuk bilik darjah untuk dipuji oleh para pelajar dan guru-guru sastera. Novel agung ini mendapat pujian tinggi daripada Panel Anugerah Sastera Negara seperti tertulis dalam laporan mereka. Kata Panel: “Akhir kata, novel-novel Anwar Ridhwan, sama ada yang bersifat eksperimental atau konvensional, tidak dapat dibaca dan difahami secara mudah. Karyanya mempunyai sistem makna yang berlapis-lapis, dan menuntut renungan serta pentafsiran yang juga berlapis-lapis. Bahasa yang digunakannya padat dengan irama dan puisi, personifikasi, lambang dan ciri-ciri abstrak yang kadang-kadang sukar dikecapi rasa dan difahami akal. Usaha mencari makna kadang-kadang berdepan dengan bayang-bayang yang teramat asing dan penuh misteri. Pembaca dibawa melihat permasalahan sosial dan manusiawi dalam satu pencarian intelektual, secara meluas, mendalam dan melepasi sempadan hal-hal peribadi. Pada akhir pencarian itu, pembaca akan merasa puas, faham dan sedar.” (kesimpulan, halaman 36-37.)

Kesimpulan ini ditulis dalam bahasa Inggeris dengan menggunakan perkataan Melayu (bukan bahasa Melayu). Inilah bahasa yang dipakai oleh Panel Anugerah Sastera Negara, iaitu suatu jenis penglipur lara akademik yang boleh disesuaikan dengan karya Anwar Ridhwan yang memang diakui termasuk jenis penglipur lara. Sifat penglipur lara karya Anwar Ridhwan digambarkan seperti berikut oleh Panel Anugerah Sastera Negara: “Dunia Ogonshoto yang padat dengan misteri, ilmu sihir, firasat, mitos dan simbolisme itu masih berakar pada realiti dunia. … Kesannya ialah ciptaan sebuah dunia yang separa-nyata dan separa-magis”.  (hal. 33).  Apakah kesimpulan anda bila membaca kesimpulan ini? Inilah dunia penglipur lara yang tidak ada unsur Islamnya, dunia animisme yang diberi nama baru sebagai magic realism (bahasa Melayu: realisme magis) dalam sastera Barat. Oleh itu tidak hairan jika Seminar “Pemikiran” sasterawan negara Anwar Ridhwan bertemakan “Memperbaharu Tradisi ke Pentas Global”.  Yang dimaksudkan dengan “tradisi” itu ialah tradisi penglipur lara, bukan tradisi persuratan yang bercorak Islam. Ini ditegaskan oleh Panel dalam kutipan di atas.

Kalau kesimpulan Panel tepat, maka apakah yang istimewa tentang novel agung ini? Kalau hanya sekadar ditulis untuk menyambung dunia penglipur lara dengan dunia moden, maka perlukah ditulis novel agung ini? Membawa kembali dunia animisme setelah Melayu itu dididik untuk menjadi cerdik melalui ajaran tauhid, maka bagaimana pula dikatakan sasterawan negara ini membawa kemajuan baru dalam bentuk eksperimen dan innovation dalam penulisan kreatif, jika matlamat akhir karya itu untuk menyesatkan suatu bangsa yang sudah menerima kebenaran tauhid?  Semua kesimpulan ini tidak lebih dari bullshit, seperti yang dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Frankfurt dalam bukunya, On Bullshit; dan dalam buku yang ditulis dalam bahasa Melayu, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Sekiranya sesebuah karya seperti Naratif Ogonshoto ini hanya sejenis bullshit, tidak mungkin novel ini boleh diberi kedudukan sebagai novel agung dalam sastera Melayu. Ada sesuatu yang tidak kena di sini, dan hal ini dijelaskan dengan mendalam oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya. Kita lihat tulisan beliau sekarang.

Dalam makalah yang menerima  Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2004-2005 itu, ada satu perkataan yang disebut berulang-ulang dalam makalah yang berprestij ini, iaitu perkataan “kerancuan”, yang diberi kedudukan istimewa sebagai tajuk penting dalam perbincangan, “Kerancuan Bentuk dan Makna.” Kata Kamus Dewanrancu tidak teratur, campur aduk, kacau (bahasa);  kerancuan keadaan rancu (tidak teratur dan sebagai); kekacauan  (kekeliruan penggunaannya hanya akan meningkatkan kadar kerancuan kita berbahasa). Kita lihat pula Kamus Besar Bahasa Indonesia.  rancu tidak teratur; campur aduk; kacau (tentang berfikir, bahasa dan sebagainya);  kerancuan  hal rancu; kekacauan; kerincuan.

Bagi Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, “kerancuan” adalah satu konsep penting yang mempengaruhi kualiti sesebuah karya cereka. Semakin rendang kerancuannya, semakin tinggi kualiti novel penglipur lara; dengan itu kerancuan adalah faktor penting dalam penulisan novel, sehingga menjadi ukuran yang akan menentukan kualiti sesebuah novel. Betapa pentingnya kerancuan itu dalam Naratif Ogonshoto  dianalisis dengan terperinci oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya yang diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu. Dr. Saleeh membuktikan dalam tulisannya itu betapa Anwar Ridhwan menggunakan aspek kerancuan itu secara maksimum, sehingga novel agungnya itu bolehlah digelar “novel kerancuan agung Malaysia”. 

Apakah yang mendorong Anwar Ridhwan menulis karya berasaskan konsep kerancuan ini? Mengikut Dr. Saleeh, tujuannya ialah untuk menghidupkan kembali penglipur lara dalam bentuk moden, sehingga menjadi genre global.  Kesimpulan ini penting, kerana tanpa disedari oleh beliau, nampaknya beliau menerima kesimpulan saya selama ini bahawa Anwar Ridhwan adalah seorang penglipur lara moden, mengambil tempat Pak Hassan yang gagal menghidupkan kembali penglipur lara dalam Hari-hari Terakhir Seorang Seniman.  Kegagalan Pak Hassan adalah kerana beliau bukan seorang seniman yang berfikir dan sanggup bertindak dengan tegas menghadapi cabaran dunia moden yang tidak berminat lagi kepada penglipur lara.  Anwar Ridhwan mengambil tempat itu, dan berjaya, menurut Dr.  Saleeh Rahamad, meletakkan penglipur lara ke taraf global. Kata Dr. Saleeh, “Naratif Ogonshoto muncul sebagai teks sastera rakyat moden yang dapat berdiri sebagai teks pascamoden multiwacana – pascakolonialiti (walaupun pascakolonialiti juga termasuk dalam kategori pascamoden), tekstualisme baru, dan realisme magis. Tiga unsur yang menjadi pasak teks ini – strukturnya Sejarah Melayu, ceritanya bercorak cerita rakyat, dan pemikirannya yang bersifat political dimension – mengeluarkannya daripada kelompok karya parokial, jumud, klise, dan mediocre. Karya ini berjarak jauh daripada persoalan setempat tetapi tetap mempunyai signifikasinya dalam penerimaan tempatan kerana nilai kesejagatan yang dikemukakannya. Oleh yang demikian, kedudukannya dapat dibariskan dalam jejeran sastera bertaraf dunia.”

Itulah permulaan tulisan beliau, yang juga menjadi kesimpulan beliau dalam penilaian beliau terhadap novel agung sastera Melayu ini. Kemudian di bawah tajuk, “Kerancuan Bentuk dan Makna”, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menegaskan, “Sebagai hasil seni, Naratif Ogonshoto tidak memberikan makna yang pasti atau bersifat polos, sebaliknya pelbagai tafsiran dapat diberikan lantaran kompleksitinya. Naratif Ogonshoto termasuk dalam karya yang kompleks walaupun dikisahkan menurut aturan naratif yang tradisional. Pembaca dipaksa mencari makna yang tersirat di bawah lapisan naratif ala cerita rakyat yang tampak mudah ini.”  Kemudian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memetik Anwar Ridhwan, “… kata paling terpilih, bagai madu lewat saringan. Kata-kata terpilih itu pula tidak pernah mempunyai makna tunggal, tetapi membawa makna berlapis-lapis serta perlambangan” (muka surat 119 edisi 2001). Di sini Anwar Ridhwan bercakap dalam teka teki seorang resi tua dalam cerpen “Pentafsir”. Timbulnya istilah cerpen itu kerana menurut Anwar Ridhwan sendiri Naratif Ogonshoto adalah sebuah antologi cerpen, yang dirangkaikan menjadi sebuah “novel”. Itulah inovasi beliau, yang telah dijadikan genre oleh para pendeta Buddha beribu tahun dahulu dalam cerita-cerita berbingkai yang memang disukai oleh orang Melayu, seperti misalnya Hikayat Singa dengan Lembu.

Membaca huraian Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mengenai “kompleksiti” novel cerita pendek ini memberi kita gambaran yang jelas tentang makna “kerancuan” yang beliau pakai. Jika kita menerima definisi “kerancuan” yang diberikan oleh Kamus Besar Bahasa Indonesia bahawa “kerancuan” dalam konteks pemikiran dan penggunaan bahasa bererti “kekacauan” berfikir dan kelemahan menggunakan bahasa yang tepat, maka memang tepat novel agung ini menyerlahkan aspek yang disebut oleh kamus itu.  Sekarang bermulalah simpang siur penghujahan seorang sarjana sastera yang dari segi gaya mirip sekali dengan gaya “mat rempit” yang berkeliaran di jalan-jalan raya Malaysia.  Perkataan “mat” adalah kependekan daripada “mati” kerana ramai sekali pemuda Melayu yang “merempit” itu “mati” gara-gara dadah “merempit”, sejenis penyakit psikologi yang belum lagi dihuraikan dengan mendalam oleh para psikologis Melayu. “Merempit” adalah sejenis dadah perilaku yang digemari pemuda Melayu, samalah seperti gaya sensasi digemari oleh para sasterawan dan diberi sanjungan tinggi oleh para sarjana (ciritan) sastera. Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya sensasi yang menjadikan sensasi sebagai gaya penulisan yang amat digemari oleh para sasterawan negara dan para pengikut mereka. Kejayaan terbesar Naratif Ogonshoto bukan kerana “pemikiran”, yang tidak ada; tetapi kerana gaya sensasi yang sungguh hebat memenuhi ruang naratif novel agung ini.  Novel sensasi ini mengemukakan contoh “pemikiran” dalam konteks “kerancuan” yang diberi definisi oleh Kamus Besar Bahasa Indonesia itu, yang turut diperagakan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam tulisannya yang diberi Hadiah Sastera Perdana Malaysia.  Pemilihan juri untuk memberi hadiah “berprestij” itu sendiri adalah penyerlahan aspek “kerancuan” dalam penilaian sastera di kalangan para juri, yang telah dihuraikan dengan mendalam oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dalam tulisan beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang Sayembara” (Bab 10,  Islam dan Pengaruh Barat dalam Kritikan, UKM 2016).

Adalah sesuatu yang amat ironis apabila “istilah” kerancuan yang dipakai oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makna yang diberikan oleh Kamus Besar Bahasa Indonesia itu menjadi ciri dan sifat penulisan akademik yang bersimpang siur dengan penghujahan yang saling bertentangan dan saling menafikan. Misalnya, sarjana ini mengatakan Naratif Ogonshoto itu sebuah karya penglipur lara, tetapi pada waktu yang sama dia menegaskan inilah sebuah karya moden yang menggunakan teknik penulisan moden sehingga menjadikannya sebuah karya pascamoden kerana menolak adanya nilai mutlak dalam karya seni, sesuai dengan faham pascamodernisme itu sendiri yang tidak menerima kedudukan nilai mutlak yang diajarkan oleh agama. Bagaimana hal ini boleh terjadi amatlah menghairankan bagi yang tidak familiar dengan cara para sarjana kita yang begitu kuat dipengaruhi teori sastera Barat cuba berlagak sebagai sarjana yang tahu segala-galanya, seperti yang diperlihatkan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam makalahnya ini.  Risiko menjadikan diri anda tahu segala-galanya ini ialah anda akan berada dalam kontradiksi yang anda tidak sedar. Contoh dari tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.  Menurut beliau, “Anwar Ridhwan memang pakar bercerita sama seperti pakarnya watak  penglipur lara Pak Hassan dalam novelnya Hari-hari Terakhir Seorang Seniman. Dengan mewarisi kebebasan penglipur lara itu Anwar hanya berperanan sebagai penyampai cerita dalam penyamaran modennya tanpa menghadirkan peringatan yang didaktis secara superficial. Cerita-ceritanya berlangsung seperti yang kononnya berlaku sahaja dan terpulang kepada pembaca untuk menangkap maksud yang tersirat di sebalik setiap episod tersebut. Anwar seolah-olah ingin berlepas tangan daripada kritikan yang tersirat dalam Naratif Ogonshoto walaupun pada bahagian awal ditegaskan hak cipta miliknya.” Untuk klaim hak cipta miliknya (Anwar) adalah praktik yang wajar menurut undang-undang, tak perlu diberi komen apa-apa untuk tidak kelihatan pelik (saya hampir mengatakan bodoh!).  Yang ingin kita persoalkan, benarkah Pak Hassan seorang pakar bercerita? Jelas tidak, malah dia amat bodoh kerana tidak dapat memahami situasi yang telah berubah. Dia masih berada dalam dunia khayal dan angan-angan tukang cerita murahan. Adakah inilah juga kedudukan Anwar Ridhwan sendiri? Nampaknya begitulah, jika kita membaca kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad sebagai seorang sarjana yang teliti. Dengan membuat kesimpulan bahawa Anwar Ridhwan “hanya berperanan sebagai penyampai cerita dalam penyamaran modennya tanpa menghadirkan peringatan yang didaktis secara superficial,” maka jelaslah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak membaca Naratif Ogonshoto sebagai seorang sarjana yang teliti and smart.  Mana boleh dia membuat kesimpulan yang begitu naif dan kebudakan, padahal Naratif Ogonshoto adalah sebuah karya didaktik yang seratus persen mengarah kepada kepercayaan karut yang ditegaskan sendiri oleh Dr. Saleeh dan kemudiannya diikuti dan disahkan oleh Panel Anugerah Sastera Negara bahawa inilah sebuah karya yang “berdiri sebagai sebuah teks yang lengkap teradun pelbagai unsur daripada pelbagai sumber, dan teks ini terhasil sebagai karya yang tinggi nilainya ibarat madu yang telah melalui proses penyaringan daripada sumber yang pelbagai.” Tidakkah itu amat jelas unsur didaktiknya? Jelaslah jika anda seorang penulis, anda akan tetap mahu menyampaikan sesuatu yang dinamakan unsur didaktik itu, sekiranya anda seorang penulis yang bertanggungjawab. Buat apa menulis jika tidak ada perutusan tertentu? Itulah yang dinamakan unsur didaktik itu. Saya menekankan soal remeh ini untuk memulai perbincangan tentang Pujangga Melayu, yang seratus peratus sebuah karya didaktik yang ditulis dengan indah dan bermakna, satu slogan didaktisisme yang jelas bahawa itulah yang menjadi matlamat penulisan novel persuratan itu.

Pujangga Melayu adalah sebuah karya didaktik yang ditulis dengan teliti oleh seorang pemikir yang tahu dengan jelas dan pasti apa yang ditulisnya itu akan berupaya memberi pendidikan kepada pembacanya untuk menjadi lebih cerdik dan lebih terbuka kepada ilmu.  Semua unsur ini tidak ada di dalam Naratif Ogonshoto, menurut Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Kalau begitu, memang benarlah kesimpulan saya bahawa Naratif Ogonshoto tidak wajar dan tidak perlu ditulis kerana tidak memberikan kita apa-apa yang berguna, maka dengan itu juga karya ini tidak layak dijadikan salah satu landasan untuk memberi gelaran sasterawan negara kepada penulisnya kerana tidak mempunyai apa-apa makna kepada bangsa dan negara, selain hanya untuk bercerita yang kaya dengan sensasi dan sifat sadistik yang terlalu melampau, seperti yang diakui oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika beliau menyebut beberapa contoh, umpamanya cerita pendek “Hering”.  Sarjana ini memuji tinggi karya Anwar Ridhwan ini, tetapi pada waktu yang sama beliau menolaknya dalam kontradiksi yang terlalu jelas, jika anda membaca makalah beliau dengan kritis.  Apakah yang ingin disampaikan beliau? Mungkin beliau pun mahu lari  dari sifat yang dikatakannya didaktik dan superficial itu, dengan menghasilkan sebuah tulisan yang memang didaktik dan superficial. Izinkan saya menggunakan istilah Prof. Frankfurt yang terkenal, bullshit.  Inilah tulisan bullshit untuk memuji sebuah karya bullshit!   Atau dalam bahasa yang lebih lunak dan lebih enak didengar, inilah karya yang menayangkan wajah huduh pandirisme dalam sastera Melayu.  Sekarang anda boleh gunakan istilah yang sama untuk menilai Pujangga Melayu, untuk membuktikan bahawa anda juga termasuk di dalam golongan bullshit itu.  Saya telah menulis sebuah buku untuk menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan pandirisme, berjudul Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Sekarang anda mendapat peluang yang amat baik untuk menggunakan konsep pandirisme itu untuk menilai Pujangga Melayu dan Naratif Ogonshoto, satu perbandingan yang akan membuat anda terbelalak biji mata setelah dapat melihat dengan jelas kedudukan sebenar Naratif Ogonshoto dalam persuratan Melayu. Inilah antara cabaran yang anda perlu lakukan untuk mengangkat Naratif Ogonshoto dan menolak Pujangga Melayu sebagai sebuah karya yang tidak mempunyai kualiti, kecuali sifat didaktiknya yang terlalu menitikberatkan aspek ilmu yang benar, padahal menurut para sarjana dan sasterawan, konsep ilmu tidak diperlukan dalam penulisan yang berkualiti seperti yang ditunjukkan oleh Anwar Ridhwan dalam Naratif Ogonshoto.  Jika anda suka, anda boleh gunakan pandangan saya dalam entri bertarikh 15/4/2017 untuk menilai dua buah “buku cerita” ini; atau anda boleh saja menggunakan mana-mana teori Barat yang anda faham (mestilah faham betul-betul, bukan memakai nama saja tetapi tidak tahu dengan mendalam isinya).  Sama ada anda gagal atau berjaya mempertahankan Naratif Ogonshoto sebagai karya terbesar dan teragung dalam sastera Melayu, sangat bergantung pada kefahaman anda tentang konsep ilmu, sama ada mengikut acuan Barat atau acuan Islam yang ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru. Cabaran ini sangat wajar dan tidak berat sebelah, kerana seperti yang anda ketahui dan yang menjadi pegangan anda sebagai seorang sarjana, maruah akademik anda memerlukan anda mempertahankannya dengan kegigihan seorang ahli ilmu, bukan sebagai pengguna teori yang superficial!

Sifat superficial makalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ini boleh dilihat dengan jelas, dan mengejutkan, apabila beliau menulis begini: “Dalam Naratif Ogonshoto, kepercayaan superstitious yang berlegar di kalangan masyarakat Melayu, kisah bahtera Nabi Nuh daripada al-Quran, kisah Si Tenggang, ciptaan teropong ajaib dalam novel Putera Gunung Tahan … diolah semula dengan gaya yang  tersendiri tanpa dipaliti gejala plagiat. … Dalam bab “Bahtera” juga kisah pembinaan bahtera oleh nakhoda yang percaya akan berlakunya gempa bumi merupakan peminjaman daripada kisah Nabi Nuh yang membina bahtera besar bagi menyelamatkan kaumnya daripada banjir besar.”  Kebenaran al-Quran dicampur-adukkan dengan mitos dan kepercayaan karut. Yang melakukannya Anwar Ridhwan; diterima dengan baik dan pujian oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, seolah-olah mereka berdua ini tidak pernah masuk masjid dan tidak pernah dengar azan dan tidak tahu wujudnya al-Quran untuk memberi bimbingan kepada semua umat manusia. Bagaimana al-Quran boleh disetarafkan dengan kepercayaan karut masyarakat Melayu? Perlukan penjelasan …

Kesimpulan Penting

Tajuk yang menjadi  perbahasan saya kali ini sangat penting. Pertama sekali, dalam mana-mana penilaian sekalipun, yang layak mempertahankan diri hanya karya itu sendiri, bukan penulisnya, tidak juga para penyokong penulis karya itu. Beri peluang kepada karya itu sendiri mempertahankan dirinya sebagai sebuah karya yang bermutu tinggi dan layak diberi perhatian serius.  Kedua, anda boleh menggunakan apa juga teori yang anda mahu, atau yang anda rasa selesa, dengan syarat anda tidak menolak konsep ilmu yang benar sekiranya anda seorang sarjana Islam. Jika anda bukan sarjana Islam sekali pun anda masih boleh menggunakan  Gagasan Persuratan Baru, samalah seperti anda yang Islam menggunakan teori Barat yang ditulis oleh seorang  mulhid (atheist).  Tetapi di Malaysia hampir semua sarjana dan pengkritik sastera (dengan beberapa pengecualian yang kecil jumlahnya) dan para sasterawan menolak konsep ilmu yang benar, walaupun mereka beragama Islam. Mereka sangat takut karya mereka akan masuk tong sampah (kata-kata ini pernah diucapkan oleh seorang ahli Panel anugerah sastera) sekiranya Gagasan Persuratan Baru, atau secara umumnya teori yang berpaksikan tauhid,  digunakan untuk menilai karya mereka. Kalau sudah begitu bagus, mengapa takut dinilai daripada perspektif mana sekali pun? Ini membuktikan karya anda tidak sebaik yang anda fikirkan dan yang anda diberitahu oleh orang-orang yang belum tentu  berilmu dan ikhlas memuji anda.

Saya cadangkan, ITBM dan DBP mengadakan satu diskusi ilmiah untuk membincangkan perkara ini, jika anda semua serius tentang persoalan yang kita bincangkan ini. Biar Naratif Ogonshoto dan Pujangga Melayu mempertahankan diri masing-masing ketika menghadapi kritikan daripada sesiapa sekalipun.

Catatan kecil: Terdapat beberapa poin penting yang saya tidak sebut dalam entri ini, yang akan saya bincang sekiranya perlu. Rasanya yang ada ini sudah mencukupi buat sementara waktu. Matlamat saya hanya untuk membuat anda berfikir dengan serius, dan membahaskan dengan kritis dan akademik persoalan yang saya timbulkan di sini.  Terima kasih.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 19/4/2017.



Saturday, April 15, 2017

MENANGANI KARYA PERSURATAN

Sukar untuk sesiapa yang berminat dengan PB jika tidak membaca dengan teliti Pujangga Melayu, lebih-lebih lagi jika dia mahu menulis karya persuratan.  Yang pertama harus dibuatnya ialah memahami apakah yang dimaksudkan dengan karya persuratan, dan perbezaannya dengan karya sastera. Jika dua perkara ini tidak difahami, anda tidak mungkin menulis karya persuratan seperti yang dikonsepsikan oleh PB.  Kini Pujangga Melayu boleh dibaca dengan lebih mudah kerana edisi baru oleh Klasika Media mempunyai Indeks yang boleh membantu anda mengenal pasti tajuk-tajuk utama tentang PB.  Saya diberitahu sudah terdapat penulis yang berminat dengan penulisan karya persuratan. Bagi saya ini suatu perubahan dan kesedaran yang sangat positif.  Tetapi ini tidak bermakna seseorang yang kurang cekap berenang boleh terus terjun ke dalam sungai yang dia tidak tahu dalam ceteknya dan bahaya yang ada di dalam sungai itu, yang tidak semestinya buaya yang sedang menunggu kealpaan anda, tetapi juga kehadiran pelbagai objek yang boleh mencederakan. Ini adalah bayangan yang mudah untuk menarik perhatian anda bahawa persediaan yang bersifat mental (menguasai ilmu) dan keselamatan badani (tekun mencari bahan yang sesuai) serta ketahanan semangat untuk meneruskan usaha itu. Untuk menulis Pujangga Melayu, saya mengumpul bahan dan membina strukturnya selama 20 tahun, masih tidak dapat menulisnya sehingga saya bertemu Ratu Balqis di dalam Quran ketika mengadap Nabi Sulaiman ‘a.s.  Di situlah saya kenal makna realiti semu dan realiti hakiki; dan ketika itulah saya tahu dengan pasti bagaimana hendak menulis Pujangga Melayu. Sebelum itu hanya longgokan bahan yang bersepah di dalam kepala, sukar disusun dan diberi tempat yang sesuai dengan bahan itu.  Semuanya kerana belum mantap memahami konsep ilmu yang benar itu, dari mana sumbernya, dan bagaimana sumber hakiki itu membantu untuk memahami sumber empirikal yang berasaskan pengalaman hidup kita sendiri sebagai manusia yang berfikir.  Ini memaksa saya menulis satu teori, Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid.  Jika anda berminat tentang PB, tetapi tidak membaca buku ini, anda tidak akan dapat memahami PB dengan wajar.  Oleh itu buku ini perlu ditelaah terlebih dahulu, dibaca dan difikirkan dengan mendalam matlamat yang ingin dicapai oleh buku itu, yang boleh disimpulkan dengan cukup mudah tetapi tidak semudah itu memahaminya. Buku itu menegaskan karya persuratan hanya mempunyai dua ciri, dua matlamat, yang mudah dibaca tetapi agak sukar untuk difahami, iaitu karya persuratan itu mestilah indah dan bermakna. Apakah maksudnya?  Itulah yang cuba dicapai dalam Pujangga Melayu. Sesiapa yang membaca blog ini dan meminati perspektif PB dalam penulisan, tentu telah membaca sedikit penjelasan tentang aspek keindahan dan makna ini.  Tentu saja saya tidak akan mengulangnya, kerana semuanya sudah dibahaskan di sana sini, sama ada di dalam blog atau pun di dalam buku.  Pujangga Melayu adalah penjelmaan daripada idea yang mudah itu, tetapi amat sukar dicapai jika tidak difahami dengan mendalam.   Jika boleh saya ringkaskan, untuk menjadi permulaan kepada kefahaman yang mendalam itu, keindahan itu dicapai melalui penggunaan bahasa berasaskan konsep ihsan, dan yang mesti dijalin dengan konsep ilmu yang benar dan sumbernya yang akan memberi makna kepada sesuatu penulisan. Sekali lagi, Pujangga Melayu boleh dijadikan panduan bagaimana semua ini boleh dicapai dalam karya persuratan.

Sekiranya anda memahami penjelasan ini, anda tentu tidak akan menuduh saya angkuh dan mengada-ada  apabila saya berkata Pujangga Melayu adalah karya kreatif terbaik yang pernah ditulis dalam bahasa Melayu moden, mengatasi semua karya para sasterawan negara. Anda tidak harus menerima begitu saja kesimpulan ini. Anda perlu membahaskannya dan mengemukakan contoh yang konkrit daripada karya para sasterawan negara untuk menolak kesimpulan saya itu. Kalau anda pemalas dan bukan jenis orang yang berfikir, maka anda akan menderita sakit jiwa ciptaan anda sendiri yang timbul dari keangkuhan sebenar yang anda warisi dari Iblis yang enggan tunduk kepada kebenaran. Semudah itu isunya.

Mengapa anda perlu menulis karya persuratan, bukan lagi karya sastera?  Soalan yang mudah ini sebenarnya sangat penting difahami dalam konteksnya. Menulis karya persuratan bererti menulis suatu karya kreatif berasaskan konsep ilmu yang benar; menulis karya sastera bererti menulis karya untuk bercerita dan cerita itu disampaikan dengan penuh sensasi, seperti yang anda boleh baca dalam karya sastera para sasterawan negara.  Dua perkara ini pun sudah saya jelaskan dengan agak mencukupi untuk memahaminya, dimuat dalam blog ini. Sila rujuk daftar tajuk entri untuk mengesan tajuk-tajuk yang sesuai yang membicarakan aspek ini. Anda boleh dapat tajuk itu dalam entri bertarikh  16 April 2016.

Perkara yang paling sukar dalam menulis karya persuratan ialah memahami konsep ilmu yang benar, aspek pemikiran dan penyerlahan idea dalam karya persuratan, konsep stylization of ideas, makna wacana dan cerita dalam karya, konsep ruang naratif, dan perwatakan. Semua ini sudah dijelaskan di sana sini sama ada dalam blog ini atau di dalam buku-buku mengenai Persuratan Baru. Anda tidak mempunyai pilihan melainkan merujuk kepada sumber-sumber itu. Sekali lagi, contoh yang diberikan dalam Pujangga Melayu boleh membantu.  Saya menegaskan hal ini berkali-kali kerana ingin menekankan kepada anda bahawa Pujangga Melayu tidak boleh ditinggalkan jika anda benar-benar mahu menulis karya persuratan.

Sekadar memberi sedikit gambaran. Jika anda membaca Pujangga Melayu, anda akan dapat begitu banyak sisipan digunakan sebagai salah satu teknik penulisan dan pengolahan. Adakah sisipan itu perlu?  Bagi saya perlu kerana melalui sisipan itu saya boleh meringkaskan novel yang sudah sedia tebal itu. Melalui sisipan itu saya menyelitkan beberapa idea yang jika tidak digunakan sisipan, akan menjadikan karya itu terlalu kering dan membosankan.  Menyelitkan sisipan itu mudah bagi saya kerana saya mempunyai banyak bahan yang boleh saya gunakan untuk memperkuat, dan meringkaskan hujah atau cerita yang disampaikan. Sering kali sisipan itu merujuk kepada bahan yang jika diikuti, atau dibaca, akan menambah ilmu pengetahuan anda sendiri dan anda akan berasa senang dibawa ke sana sini oleh seorang tourist guide dalam dunia ilmu yang amat memberi manfaat kepada anda.  Andalah yang menjadi tourist guide itu. Adakah ini perlu? Bagi saya perlu kerana anda sekarang berada dalam dunia ilmu, yang membicarakan beberapa aspek falsafah dalam tajuk-tajuk tertentu, seperti yang anda boleh dapat dengan mudah melihat Indeks Pujangga Melayu.  Tetapi jika anda didorong oleh keinginan untuk menunjuk-nunjuk (seperti yang dilakukan oleh S. Othman Kelantan dalam novel beliau), atau Abdullah Hussein dalam Imam, atau Fatimah Busu dalam Salam Maria, maka apa yang anda buat hanya menampalkan sesuatu yang tidak membantu memberi makna yang mendalam kepada karya anda, dan tidak pula menyerlahkan keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan tadi.

Pada umumnya PB belum lagi serasi dengan sarjana dan sasterawan. Mereka lebih senang menerima kaedah Barat kerana bagi mereka mendekati pendekatan Barat mempunyai “prestij” tertentu, yang memberi semacam kepuasan kerana termasuk ke dalam golongan para sarjana dunia yang berpengaruh.  Saya tidak menolak teori sastera Barat. Saya cuba memahaminya seberapa mendalam dari segi prinsip, bukan setiap teori. Pada umumnya teori Barat berkisar kepada pengarang, karya, dan pembaca. Masing-masing ada gelaran tersendiri, yang memang diketahui oleh sesiapa juga yang tahu tentang teori sastera Barat.  Yang missing di situ ialah apakah sumber ilmu yang mereka pakai.  Di sinilah mereka mula menjadi keliru, dan akhirnya boleh menyesatkan sesiapa juga di kalangan sarjana Islam yang tidak sedar matlamat teori Barat itu, iaitu menolak sumber ilmu dari yang mengurniakan konsep ilmu itu sendiri.  Di sinilah PB menjadi pengantara yang kritis antara yang Barat dan yang berdasarkan sumber Islam. Kedua-duanya mesti difahami dengan mendalam, dengan memberi keutamaan kepada yang bersumber Islam itu. Inilah yang tidak mahu diterima oleh para sarjana sastera dan sasterawan Malaysia. Selamatlah mereka dalam kekeliruan mereka!

Di kalangan sarjana (ciritan) sebahagian besarnya tidak dapat membezakan antara makna (meaning) dengan tafsiran (interpretation).  Makna tidak berubah, yang berubah tafsiran. Kekeliruan dalam memahami konsep-konsep ini melahirkan satu pandangan yang amat mengelirukan yang digelar “anjakan makna”. Berasaskan kekeliruan ini maka mereka tafsirkan Si Tanggang oleh Muhammad Haji Salleh sudah mengalami “anjakan makna”. Bullshit!  Pengamal bullshit perlu membaca dengan mendalam karya mengenai dekonstruksi, untuk melihat dengan jelas apakah masalah yang dihadapi oleh kritikan Barat dalam semua teori kritikan mereka. Asasnya tidak ada konsep ilmu, tidak jelas tentang sumber ilmu, tidak dapat membezakan antara ilmu dengan maklumat. Kekeliruan inilah yang diwarisi dengan bangga oleh para sarjana (ciritan) dan sasterawan (picisan) Malaysia.  Dalam bahasa ilmu yang dipakai dalam Islam, mereka ini adalah kumpulan yang kehilangan adab, oleh itu tidak dapat membezakan konsep keadilan dan kezaliman dalam memahami ilmu, lantas mereka tidak dapat melihat perbezaan antara ilmu dengan maklumat. Adakah mereka ini sebodoh itu? Mereka telah diberitahu dan buku-buku mengenainya sudah banyak ditulis. Mengapa mereka masih memilih untuk menjadi keliru?. Inilah pengaruh Iblis dalam epistemologi, yang kemudiannya melahirkan apa yang disebut “anjakan makna” itu. Yang disebut “anjakan makna” itu sebenarnya bersumber dari gagasan Iblis ketika menolak untuk tunduk hormat kepada Nabi Adam ‘a.s. Sila lihat dan baca tafsir Quran untuk memahami aspek penting ini supaya anda tidak tergila-gila menerima “anjakan makna” yang memang diilhamkan oleh Iblis untuk memesongkan manusia seluruhnya, termasuk orang Islam yang buta agamanya sendiri. Anda tidak mungkin menulis karya persuratan jika aspek ini tidak difahami dengan jelas. Bereskan dulu konsep ilmu anda sebelum cuba menulis karya persuratan.

Untuk yang berminat menulis karya persuratan, saya senaraikan beberapa konsep yang perlu difahami terlebih dahulu. Selamat mencuba!

1.  Konsep ilmu dan ilmu yang benar
2.  Amal
3.  Fungsi sastera
4.  Konsep insan
5.  Keindahan kreatif
6.  Indah dan bermakna
7.  Ihsan (keindahan berdasarkan konsep ihsan)
8.  Wacana
9.  Cerita
10. Pretensi intelektual
11. Fatamorgana bahasa
12. Pandirisme (mesti baca bukunya, Pandirisme dalam Komuniti Dunia)
13. Stail
14. Stylization of ideas
15. Siratan makna
16. Persuratan Baru (genuine literature)
17. Mod bacaan intelektual
18. Mod bacaan cerita
19. Paksi naratif
20. Ruang naratif
21. Karya persuratan/novel persuratan
22. Karya sastera
23. Karya picisan
24. Konsep picisan
25. Tiga kategori karya
26. Sensasi
27. Tragedi

Semua konsep/istilah/teknik dan pendekatan yang disenaraikan itu boleh anda dapat penjelasannya dalam buku-buku berikut:
1.  Gagasan Persuratan Baru, edisi kedua  (UKM 2014)
2.  Ilmu Teras Persuratan Melayu (UKM 2016)
3.  Islam dan Pengaruh Barat Dalam Kritikan (UKM 2016)
Ketiga-tiga buah buku disunting oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir.

Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 15 April 2017.

Friday, April 14, 2017

KERJA YANG MULIA, TETAPI SUKAR. KESILAPAN BERADA DI MANA-MANA

Menjadi editor adalah suatu kerja yang mulia dalam dunia penerbitan, tetapi amat sukar, memerlukan ketajaman dan penelitian seekor helang yang boleh nampak anak katak di padang dari atas gunung.  Baru-baru ini saya baca beberapa bahagian Pujangga Melayu, edisi kedua (2017), tiba-tiba melompat beberapa kesilapan yang tidak disangka-sangka. Misalnya: Mak Yam menjadi Mak Tam (hal. 447); menipu menjadi mampu (hal. 445). Saya tidak berasa gusar atau kecewa, kerana masih ada edisi pertama Fajar Bakti 1997, yang saya semak sendiri sebelum ke luar negeri.  Untuk edisi baru ini saya tidak baca, jadi memang semua kesilapan yang terjadi adalah tanggungjawab saya kerana tidak menggunakan peluang untuk menyemak tidak saya gunakan sewajarnya.  Catatan ini untuk para penyelidik, atau mungkin juga pengkritik sastera. Jika mereka terjumpa beberapa kesilapan yang tidak disengajakan, mereka harus kembali kepada edisi 1997 untuk membuat pembetulan sendiri. Pada umumnya saya puas hati dengan edisi 2017 ini, terutama kerana adanya Indeks yang boleh membantu pembaca mengesan dan mengenal isu-isu penting yang dibincangkan dalam novel persuratan ini.  Inilah satu kemajuan yang bagi saya amat bererti, yang saya kira akan menjadi ikutan secara spontan satu hari nanti. Hanya sanya, jika Indeks itu dibuat, kelemahan dan kekuatan sebuah novel akan terserlah,  tidak dapat dielakkan. Itulah sebabnya saya mencadangkan supaya Naratif Ogonshoto ditambah Indeks untuk membuktikan novel itu adalah yang teragung dalam sastera Melayu, di samping itu akan memudahkan para pelajar yang menggunakan novel ini mengenal pasti isi dan isu novel besar yang teragung dalam sastera Melayu ini.  Paling penting ialah aspek perwatakan, bagaimana watak-watak utama digambarkan dalam novel itu.  Para pelajar, dan guru sastera, perlu diberikan kemudahan itu supaya mereka dapat mengenal dengan pasti kehebatan novel terbaik sastera Malaysia ini.  Saya harap DBP yang menerbitkan novel ini tidak terlalu kedekut, atau takut, untuk menyerlahkan kehebatan novel teragung sastera Melayu ini.

Dalam teks sastera lama, kesilapan sering terjadi kerana penyalin daripada teks asal tidak semestinya tahu betul-betul teks yang disalinnya. Oleh itu mudah saja sebuah hikayat seperti Hikayat Hang Tuan mempunyai beberapa versi; dan mengikut Kassim Ahmad yang terbaik dan tepat ialah teks dari Kelantan. Dalam zaman Internet, kesilapan dilakukan dengan selamba saja oleh alat penyalin yang buta huruf, tetapi boleh menyalin secara automatik. Kesilapan yang dilakukan mesin boleh dibetulkan dengan mudah, oleh itu Pujangga Melayu versi kedua ini tidak sukar untuk dibuat pembetulan kerana cetakannya dibuat mengikut permintaan, oleh itu ada masa untuk membuat pembetulan. Ini hanya sekadar cadangan, tidak semestinya diikuti, seperti saya sebut tadi saya puas hati dengan teks yang ada di tangan saya. Saya sendiri yang menulis entri dalam blog ini sering kali membuat kesilapan, dan saya tidak perasan sehingga diberitahu. Membetulkan kesilapan yang kita lakukan dengan tidak sengaja adalah tanggungjawab kita, no big deal.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 14/4/2017.

Friday, April 7, 2017

CATATAN KECIL UNTUK BEBERAPA ENTRI TERPILIH

Saya tidak pasti berapa orang daripada pembaca blog ini yang terkesan bahawa entri terakhir bertarikh  6 April 2017 adalah yang paling keras, tanpa kompromi, yang pernah saya siarkan dalam blog ini.  Bayangkan saya mencabar seluruh sarjana sastera menafikan bahawa novel teragung sastera Melayu, Naratif Ogonshoto, sebenarnya tidak perlu dan tidak wajar ditulis, apatah lagi diterbitkan. Cabaran ini dengan sendirinya menolak secara total segala pujian para sarjana luar dan dalam negeri terhadap penilaian mereka yang saya anggap hanya sejenis pembohongan intelektual yang mudah diterima oleh sesiapa saja yang tidak mempunyai pendirian ilmiah tersendiri dalam membuat sesuatu penilaian. Saya mengasaskan kesimpulan saya dari perspektif PB.  Jika anda mahu, anda boleh dengan mudah menolak Gagasan Persuratan Baru yang menolak novel itu dengan mempertahankan novel itu menurut pertimbangan akademik yang anda pilih. Jika anda berjaya melakukan ini, anda dikira menang dalam pertarungan ilmiah dan akademik kerana anda berjaya menolak segala ukuran yang diajukan PB sebagai palsu dan tidak berguna untuk sastera Malaysia. Tetapi jika anda gagal, anda akan berada dalam kumpulan pelawak sastera (literary jokers)  yang menjadikan pembohongan ilmiah sebagai hujah, yang tentu saja hujah yang demikian adalah palsu dan tidak boleh dipakai. Tetapi saya yakin tidak ada seorang pun daripada ahli akademik akan menyahut cabaran ini, kerana mereka harus menguasai dua disiplin, iaitu disiplin ilmu-ilmu Islam dan disiplin dalam kritikan sastera Barat. Yang kedua itu belum tentu mereka kuasai, jika anda baca dengan kritis penolakan saya terhadap tesis Mana Sikana yang menyanjung Shahnon Ahmad sebagai pembikin teori (?) sastera Islam pascamodernisme. (Lihat kutipan daripada tulisan beliau dalam entri berkenaan.)  Adalah lebih wajar dan lebih logik bagi mereka bersikap “lembu kenyang” untuk menyelamatkan kedudukan mereka.  Sikap ini pada umumnya telah diterima oleh masyarakat sastera dan dijadikan pandangan arus perdana yang menurut mereka mempunyai hegemoni akademik tertentu.  Kalau begitu biarkanlah Si Luncai terjun dengan labu-labunya!

Tujuan saya menulis beberapa entri terpilih itu ialah untuk memberi penekanan bahawa kemajuan persuratan Melayu kini berada dalam tangan para penulis dan ahli akademik yang menerima konsep ilmu yang benar sebagai asas penulisan kreatif dan penilaian karya kreatif.  Apa bila saya mengajukan Pujangga Melayu sebagai karya terbesar sastera Melayu, maka tujuan saya ialah hendak memberi laluan mudah kepada para penentang konsep ilmu yang benar itu menjadikan Pujangga Melayu sebagai hujah untuk menolak kesimpulan saya tadi.  Dengan itu mereka akan mengemukakan pandangan mereka yang sehabis kritis untuk menolak kesimpulan dan cabaran tadi. Saya fikir mereka boleh melakukannya; tetapi mereka juga sebenarnya cerdik, kerana jika mereka lakukan itu, yang mereka tayangkan kepada masyarakat sastera ialah kedudukan mereka sebagai pelawak sastera (literary jokers). Tentu mereka tidak mahu, kerana ini amat memalukan mereka. Tetapi mereka berada  dalam dilema yang amat pahit: dengan tidak berbuat apa-apa, dengan mendiamkan diri sebagai “lembu kenyang”, mereka sendiri telah menerima kedudukan mereka sebagai pelawak sastera (literary jokers). Itulah kedudukan sebenarnya pada waktu ini.  Itulah sebabnya saya menegaskan konsep pelawak sastera (literary jokers) itu sangat penting dalam sastera Melayu.  Merekalah yang berkeliaran dengan bebas di pusat-pusat pengajian tinggi dan di institusi penerbitan kerajaan dan di Kementerian Pelajaran.  Merekalah yang menentukan bahawa sastera Melayu akan terus mundur dan berada dalam keadaan keliru dalam konsep ilmu dan cetek meraba-raba dalam disiplin akademik kerana terlalu bergantung pada teori sastera Barat. Semua ini sebenarnya merupakan kecelakaan intelektual yang dipaksakan ke atas sastera Melayu.  Mengapa mereka melakukan ini dijawab oleh mereka sendiri melalui buku ITBM, Sastera Teras Negara Bangsa (2014).  Inilah karya terbesar, dan paling unggul, hasil “pemikiran” para pelawak sastera (literary jokers) ini.

Tetapi di sini terdapat kontradiksi yang sungguh menyeronokkan pemerhati perilaku manusia, bagaimana mereka ini menggunakan segala kesempatan yang ada untuk mencapai kemahuan peribadi mereka. Inilah yang mereka gambarkan dalam resolusi mereka. Tajuknya “sastera teras negara bangsa”, tetapi matlamatnya  ialah kesempatan memperoleh faedah peribadi melalui cadangan yang mereka kumpul dalam “Resolusi” persidangan.  Bolehkah kita percaya orang-orang seperti ini akan membina negara bangsa berasaskan kemahuan hawa nafsu mereka yang bersifat kebendaan belaka? Katalah anda seorang Islam yang faham makna dan maksud tauhid, adakah anda akan menulis sebuah karya seperti Naratif Ogonshoto? Atau TIVI? Atau Salina?  Atau sajak paling terkenal dalam sastera Melayu, “Pulang Si Tanggang”? Tentu saja anda akan menulis Pujangga Melayu, dan sajak “Al-Andalus”. Dengan melontarkan perbandingan ini, anda akan mula berfikir dengan serius, di mana silapnya Pujangga Melayu dan “al-Andalus”; dan di mana pula hebatnya Naratif Ogonshoto, TIVI, Salina, dan “Pulang Si Tanggang.”  Tetapi hal ini tidak berlaku di kalangan pelawak sastera (literary jokers) yang akan memilih Naratif Ogonshoto, TIVI, Salina dan sajak “Pulang Si Tanggang” kerana semua karya itu ditulis oleh para sasterawan negara. Bagi mereka, konsep tauhid tidak relevan di sini, dan tidak penting. Sekiranya relevan dan penting, tentu saja tidak akan ditulis novel dan sajak kepunyaan para sasterawan negara itu. Sekarang anda akan lebih mudah memahami cabaran kecil yang saya kemukakan, mengapa Naratif Ogonshoto tidak perlu dan tidak wajar ditulis dalam bentuknya yang ada itu. Dan lain-lain karya juga. Sekarang anda boleh lihat dengan lebih mudah bagaimana anda diperbodohkan oleh para pelawak sastera (literary jokers) ini. Akhirnya anda akan sampai kepada kesimpulan yang mungkin anda benci dan marah: kehebatan Pujangga  Melayu dan segala sisipan di dalamnya memang tidak dapat diatasi oleh mana-mana karya para sasterawan negara. Adakah ini bermakna kewujudan para sasterawan negara ini hanya untuk para pelawak sastera (literary jokers) sahaja, oleh itu tidak relevan dalam pembinaan budaya bangsa?  Saya tidak fikir terdapat di kalangan para pelawak sastera (literary jokers) ini seorang tokoh yang berani menjawabnya dengan jujur.


Ringkasan tajuk: pelawak sastera (literary jokers), gagasan persuratan baru, stylization of ideas, wacana, cerita, ruang naratif, mod bacaan intelektual, mod bacaan cerita, paksi naratif, genuine literature,  ilmu yang benar, adab, keliru konsep ilmu, kehilangan adab, Pujangga Melayu, pendekatan tauhid, pendidikan estetika, keindahan bahasa berasaskan konsep ihsan.

Mohd. Affandi Hassan,

Petaling Jaya, 7/4/2017.