Sudahkah
sastera Melayu mempunyai watak yang kuat, cerdik, dan memenuhi konsep uswatun hasanah dalam perwatakan
Islam? Jenuh saya mencarinya dalam karya
para sasterawan negara, belum lagi bertemu. Adakah belum ditulis? Atau memang
tidak perlu dalam karya para sasterawan negara kerana sasterawan negara itu sendiri
adalah watak yang kuat sebagai uswatun
hasanah di kalangan sasterawan. Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad cuba mengemukakan Presiden, tokoh besar dalam Naratif Ogoshonto, sebagai contoh uswatun hasanah dari perspektif
kejahatannya, tetapi belum lagi meyakinkan saya inilah watak uswatun hasanah yang kita cari. Saya
tidak dapat agak pendirian Anwar Ridhwan tentang persoalan ini. Pentingkah pandangan beliau diambil-kira? Bagaimana
dengan Salina? Dalam karya A. Samad Said, watak yang kuat tidak diperlukan,
kerana beliau hanya menulis tentang “orang kecil” yang tertindas. Tidak
bolehkah “orang kecil” yang tertindas itu muncul sebagai watak uswatun hasanah? Ada sarjana mengatakana watak unggul
dalam Salina ialah anak muda yang bernama Hilmi, iaitu gambaran A. Samad
Said sendiri. Ada sarjana mengemukakan Pak Hasan, seniman
yang bukan seniman, sebagai tokoh “orang kecil” terbesar dalam sastera Melayu,
seorang tukang cerita yang mewarisi Pawang Ana dan Pak Mahmud Awang Batil.
Seperti yang kita tahu, dan diakui oleh Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh,
tokoh uswatun hasanah yang menjadi
model unggul dalam kehidupan intelektual dan contoh akademik beliau ialah Pak
Mahmud Awang Batil. Sarjana besar ini duduk bertimpuh dalam majlis Syarahan
Perdana beliau, menghormati tokoh uswatun
hasanah dari Perlis itu. Nampaknya kita tidak kurang watak-watak unggul
yang layak diberi gelaran uswatun hasanah
dalam sastera Melayu.
Oleh
itu, apakah yang menjadi masalah? Sebelum soalan ini diberi jawapan yang
memuaskan anda, atau yang paling tepat memberi gambaran sebenar kedudukan
persoalan ini dalam sastera Melayu, saya ingin mengemukakan watak Polan Cupan
sebagai watak paling jempul dalam sastera Melayu. Tujuan saya hanya untuk
memberi anda peluang membantah, atau menolaknya dengan hujah dan analisis yang
masuk akal. Pada mulanya saya ingin membawa watak Presiden, ciptaan Anwar
Ridhwan, yang mendapat pujian tinggi daripada Dr. Mawar Shafei seperti yang
dipaparkannya dalam bukunya yang berpengaruh itu, sebuah kajian yang mendapat
beberapa hadiah untuk membuktikan kualiti akademiknya yang tinggi. Tetapi apabila saya membandingkan watak ini
dengan penjahat Mafia, dan kualiti “pemikirannya” seperti yang digambarkan oleh
Anwar Ridhwan, adalah mustahil untuk menjadikan watak Presiden ini watak paling
unggul dalam sastera Melayu, walaupun telah disepakati oleh para sarjana,
sasterawan, dan pengkritik sastera ketika membentangkan kertas kerja pada
“Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Anwar Ridhwan” bahawa inilah dia orangnya
yang boleh dijadikan watak paling unggul dalam sastera Melayu kerana
kehebatannya sebagai seorang pemimpin yang kejam. Menurut Dr. Mohamad Saleeh
Rahamad dalam kertas kerjanya, Anwar Ridhwan telah memperlihatkan ketangkasan intelektualnya menyusun sebuah
novel besar yang hanya menceritakan bagaimana kejahatan dirancang dengan teliti
oleh seorang pemimpin agung yang tidak kurang pula liciknya seperti pengarang
novel ini sendiri. Kita seolah-olah sedang menghadapi dua tokoh besar: penulis
novel yang begitu kaya dengan imaginasi yang pelik-pelik; manakala wataknya
pula berjaya menggunakan imaginasi sang pengarang untuk mencapai cita-cita
politiknya. Keselarian dua gerakan ini melahirkan sebuah novel yang luar biasa,
menurut para penilai. Tetapi bagi saya terdapat satu kemusykilan kecil, mengapa
Anwar Ridhwan begitu serius bercerita tentang kejahatan. Adakah kejahatan itu,
dalam makna terbalik, sejenis uswatun
hasanah kepunyaan manusia tidak bermoral seperti Presiden? Kalau inilah tafsirannya, maka memang
munasabah jika semua penilai novel ini telah tertipu untuk memuji karya ini “beyond imagination”! Walaupun begitu, saya masih tidak dapat
menerima watak Presiden itu watak paling unggul; tetapi yang jelas Anwar Ridhwan
itulah yang unggul dalam usahanya menjalin sebuah novel yang penuh dengan
sensasi dan kejahatan yang luar biasa yang dalam kehidupan manusia biasa tidak
akan terjadi walaupun dia seorang Botak Chin yang jahat, tetapi baik itu (dia
seorang hero seperti Robin Hood). Oleh
itu, saya masih mempertahankan Polan Cupan sebagai watak yang mempunyai
perwatakan paling unggul yang pernah diwujudkan dalam sastera Melayu.
Jika
anda mambaca “Rumah Impian Polan Cupan” dengan kritis, anda akan dapat mengesan
tiga perkara yang menjadi ciri perwatakan Polan Cupan. Pertama, dia seorang
genius yang luar biasa ketika masa budak-budak sekolah lagi, seperti yang
diakui oleh guru matematiknya. Kedua, dia seorang watak yang amat jujur dalam
kehidupannya. Ketiga, dia seorang pencipta yang berjaya mencipta bahan binaan.
Seterusnya, setelah dia akhirnya hendak digunakan oleh pihak penguasa untuk
mendapat faedah daripada ciptaannya dan menjadikan mereka kaya raya, maka dia
dengan tegas memberitahu isterinya bahawa dia akan membina satu cip komputer
yang akan ditanam dalam setiap manusia yang berniat jahat supaya cip komputer
itu membetulkan niat jahat itu. Polan Cupan menggunakan nano technology yang digunakan dalam Artificial Intelligence (AI) untuk membina bahan binaan dan cip komputernya.
Jika anda baca dua karya ini, satu oleh
Anwar Ridhwan, dan satu lagi “Rumah Impian Polan Cupan”, anda akan melihat
kontras yang sangat jelas dari segi pemikiran seorang pemikir tulen dengan
seorang yang pura-pura menggelar dirinya pemikir (seperti Pak Hassan menjadikan
dirinya “seniman” penglipur lara.)
Bagaimana hal ini boleh terjadi?
Rahsianya mudah saja. Rahsia itu berada dalam penggunaan “ruang naratif”
untuk membina sebuah karya persuratan; manakala Anwar Ridhwan menggunakan
sepenuhnya aspek sensasi dalam sastera yang boleh difikirkannya untuk menulis
novel agungnya. Oleh itu, apabila novel agung ini dinilai dari perspektif
“ruang naratif”, novel ini hanyalah sebuah novel picisan yang tidak menonjolkan
pemikiran yang mendalam tentang makna “kejahatan” dalam kehidupan manusia
seperti yang disebut di dalam Surah at-Tin. Sila baca tafsirannya dalam Tafsir al-Misbah oleh M. Quraish Shihab.
Saya bawa perkara ini kerana Anwar Ridhwan mengatakan novelnya adalah sebuah
novel berciri Islam.
Pada
umumnya, para sarjana, pengkritik sastera dan para sasterawan menolak konsep uswatun hasanah itu, yang menurut mereka
hanya khusus untuk Nabi SAW sahaja. Hanya baginda saja yang berhak mendapat
gelaran itu, tidak para pengikut baginda. Saya sebenarnya tidak tahu adanya
fatwa ini, tetapi jika inilah pendirian mereka (sarjana, pengkritik sastera,
para sasterawan), maka ini tidak bererti
para sasterawan boleh sewenang-wenang menulis sesuka hatinya dengan
mengetepikan aspek moral dan kebaikan kerana mereka juga faham maksud mana satu
yang makruf mana pula yang mungkar. Dalam karya mereka, saya lihat
mereka lebih cenderung mengambil yang mungkar itu untuk dijadikan tema agung
mereka, seperti yang dibuktikan oleh Anwar Ridhwan dalam Naratif Ogonshoto. Oleh itu, tepatlah penolakan mereka terhadap
aspek uswatun hasanah itu, yang
mereka sendiri tidak perlukan. Tetapi
ini menimbulkan satu persoalan besar, seperti yang disebut dengan tegas oleh
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh ketika mengkritik penggunaan teori Barat
untuk menilai karya sastera yang ditulis dalam bahasa Melayu. Kata beliau: “Sudah
puluhan tahun kita menggunakan teori yang muncul di Barat untuk menilai diri
kita yang bukan Barat, sebaliknya dibentuk oleh bahasa Melayu dengan wataknya
yang khusus pula. Jadi kita sudah lama telah melakukan kesalahan dalam menilai
karya kita, kadang-kadang termasuk saya sendiri.” (Teori dan Kritikan Sastera Melayu Serantau, DBP 2005, hal. 14.)
Saya tidak fikir Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh percaya dengan apa
yang diucapkannya. Semua kertas kerja yang dibentangkan dalam “Seminar
Pemikiran Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh” 2013, menggunakan teori
sastera Barat, dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sangat gembira
kerana hanya melalui teori sastera Barat saja karya beliau akan “kelihatan”
bernilai tinggi. Contoh terbaik ialah kertas kerja Arbak Othman yang
menggunakan teori semiotik, yang menurutnya berjaya mengangkat karya tokoh
besar ini sebagai karya yang bermutu intelektual. Oleh sebab tidak ada kertas
yang ditulis berasaskan pendekatan Gagasan Persuratan Baru, kesimpulan Arbak
Othman tidak dapat diuji dalam konteks yang berbeza, yang memang diminta oleh
Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sendiri dalam kutipan di atas.
Implikasi
ucapan profesor ini cukup besar terhadap dirinya sendiri dan teman-temannya
para sasterawan negara. Mereka dipilih oleh Panel Anugerah Sastera Negara yang
menggunakan sepenuhnya teori sastera Barat untuk memilih mereka. Jika perbuatan
itu salah, maka pemilihan mereka sebagai sasterawan negara adalah salah, batal,
tidak sah. Tidak seorang pun di antara sasterawan negara peduli akan hakikat
ini; begitu juga para sarjana sastera, pengkritik sastera, dan para sasterawan
seluruhnya. Jika demikian keadaannya, maka yang salah, yang silap, dalam
memberikan pendapat, ialah sasterawan negara dan profesor pencen Dr. Muhammad
Haji Salleh. Apakah kaitannya keadaan ini dengan konsep watak dan perwatakan
dalam sastera Melayu? Kita tidak saja tidak
mempunya watak yang kuat dalam karya sastera; kita juga mempunyai watak yang
rapuh di kalangan para sasterawan. Kerana itulah konsep watak dan perwatakan
ini hanya digunakan ketika membicarakan novel atau cerita pendek, tetapi tidak
sikap penulisnya. Kita tidak saja mempunyai watak yang klise dalam karya
kreatif; kita juga mempunyai watak yang klise di kalangan para sasterawan
sendiri. Keadaan ini menjadi salah satu sebab mengapa kesusasteraan tidak
memberi inspirasi kepada para pelajar, yang membuat mereka bosan membacanya,
dan ini akhirnya menjadikan pengajaran sastera lesu kerana penuh dengan klise
yang membosankan. Para sasterawan, sarjana dan guru-guru sastera telah membunuh
pengajaran sastera dan membuatnya tidak relevan. Dalam keadaan inilah ketibaan
Gagasan Persuratan Baru memberi harapan dan makna baru setelah kaedah ini
mengajar para pelajar dan guru-guru mereka juga untuk menjadi cerdik dengan
memberi penekanan kepada konsep ilmu, dan seterusnya kepada konsep stylization of ideas dalam penulisan
kreatif. Tetapi inilah yang ditentang hebat oleh para sarjana, sasterawan dan
pengkritik sastera kerana mereka terdedah kepada kritikan yang tidak boleh
mereka tangkis kerana keadaan mereka yang cetek meraba-raba.
Siti
Aisyah binti Mohamad Salim dalam tesis sarjananya telah menunjukkan dengan
jelas betapa pentingnya konsep “ruang naratif” dalam penulisan kreatif. Ketika
membicarakan novel Isa Kamari Duka Tuan
Bertakhta, sebuah novel yang mendakwa ingin menulis kembali sejarah
Singapura mengikut pandangan orang Melayu, menjadi “huru hara” kehilangan arah
yang dimaksudkan kerana tidak memperdulikan aspek “ruang naratif” itu dalam
membina novel ini. Siti Aisyah telah mengemukakan beberapa contoh untuk
membuktikan kebenaran kesimpulannya (rujuk entri khusus untuk tajuk ini), yang
wajar mendapat perhatian Isa Kamari dan menerimanya dengan hati terbuka. Aspek
ini penting kerana novel ini boleh ditulis semula dengan memberi perhatian
kepada penggunaan ruang naratif untuk mencapai maksud tertentu. Hal yang sama
juga berlaku kepada novel paling ulung di Malaysia, Naratif Ogonshoto karya Anwar Ridwan, yang menghadapi masalah yang
sama seperti yang ditunjukkan di atas, dan dibuktikan dengan jelas oleh Nur
Fatiha Fadila binti Abu Bakar dalam tesis sarjananya. Pengajaran yang paling
penting di sini ialah konsep watak dan perwatakan itu memainkan peranan penting
dalam kejayaan sesebuah novel yang serius.
Seperti yang ditunjukkan di atas, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad juga
menghadapi masalah yang sama, apabil beliau merayau-rayau dari satu bab ke satu
bab untuk membuktikan kehebatan Naratif
Ogonshoto, tetapi terjadi sebaliknya apabila yang dipaparkannya itu hanya
peristiwa sensasi yang menjadi tunjang novel terbesar Malaysia ini, yang kini
telah menguasai dunia menurut para sarjana dan sasterawan sendiri. Klaim seperti ini, yang pada mulanya lucu
kemudiannya menjadi lucah apabila novel ini, dilihat dalam konteks penggunaan
ruang naratifnya, hanya sebuah novel picisan yang kering dari segi pemikiran,
malah menjadi beban kepada pembaca yang serius yang merasa mereka diperbodohkan
dengan sensasi yang tidak masuk akal dan tidak diperlukan dalam sebuah karya
serius yang didakwa menyerlahkan intelektualiti yang tinggi di samping unsur
Islam. Kedua-duanya tidak ada, malah pengaruh sensasi itu begitu ketara hingga
kisah Nabi Nuh ‘a.s. juga disensasikan dalam novel ini, seperti yang didakwa
dengan bangga oleh Dr. Mawar Shafei dalam “kitabnya” tentang aspek tekstualiti
dalam karya Anwar Ridhwan. Sekiranya
hal-hal begini berlaku atau dilakukan oleh orang bukan Islam, sudah lama
dikutuk bila orang Islam tahu tentang perkara ini. Tetapi kerana yang
melakukannya orang Islam sendiri, maka dibiarkan saja.
Mengapa
ruang naratif itu penting dalam pembinaan watak dan perwatakan? Kita lihat persoalan ini dengan
membandingkannya dengan konsep plot kerana konsep ini sudah lama dikenali di
kalangan sasterawan; tetapi mereka baru sahaja mendengar konsep “ruang
naratif”, setelah muncul Gagasan Persuratan Baru. Dalam konsep plot itu selalu
disebut adanya urutan peristiwa, sama ada secara kronologi, imbas kembali dan
sebagainya. Plot berguna untuk bercerita, dan manipulasi plot boleh melahirkan
cerita yang bermacam-macam ragam, yang sensasi (biasanya inilah yang menjadi
pilihan), yang khurafat, yang segala macam.
Tidak ada ini semua dalam teknik menggunakan “ruang naratif”, yang lebih
terarah kepada pemikiran, perbahasan, penjelasan, dan lain-lain yang semuanya
tertumpu pada pembinaan wacana. Tidak seperti penggunaan plot untuk bercerita, penggunaan
ruang naratif untuk mewacanakan sesuatu tesis atau persoalan utama, umpamanya
mengapa korupsi dibudayakan dalam politik dan pentadbiran. Untuk menulis
tentang perkara ini, anda perlukan pengetahuan dan ilmu, seperti ilmu ekonomi,
ilmu sains politik dan lain-lain. Dari perspektif pembangunan ekonomi, ada
teori pembangunan yang membenarkan korupsi. Dalam politik, seperti dalam
pelaksanaan sistem demokrasi, terdapat ekonomi kapitalis yang seluruhnya
diasaskan kepada keuntungan (profit).
Untuk mendapat keuntungan itu, dibenar, malah kadang-kadang digalakkan korupsi.
Bagaimana anda melihat 1MDB? Di mana anda mahu letakkan projek 1MDB ini? Inilah
antara persoalan yang perlu diwacanakan dengan teliti untuk memastikan karya
anda adalah karya yang serius, membicarakan persoalan itu dengan menggunakan
daya kreatif anda sebagai seorang pengarang. Jika anda bijak, dan tajam
pemikirannmya, novel anda akan menjadi tumpuan pembaca lebih daripada analisis
secara ekonomi atau politik tentang 1MDB.
Persoalan
tentang watak dan perwatakan tiba-tiba menarik perhatian setelah novel Naratif Ogonshoto diisytiharkan sebagai
novel teragung dalam sastera Melayu, walaupun watak yang menjadi tumpuan dalam
novel itu ialah seorang Mafia (Melayu? Islam?) yang tidak mempunyai nama, hanya
gelaran sebagai Presiden, seorang tokoh yang amat zalim dan tidak
berperikemanusiaan. Bagaimana seorang penjahat, yang diakui oleh semua pengulas
dan pentafsir novel ini, dijadikan watak penting dalam sastera Melayu? Apakah
ukurannya, yang sebenarnya tidak dikemukakan dalam mana-mana ulasan dan
analisis tentang novel ini, hatta dalam kertas kerja tentang “pemikiran” Anwar
Ridhwan sekali pun. Yang sering
ditonjolkan ialah novel ini sebagai penjelmaan Hikayat Sejarah Melayu, menjadikannya sebuah hikayat moden yang
membicarakan tentang kezaliman seorang “ketua negara”. Anehnya, Dr. Noriah
Taslim melihat novel ini dalam konteks
“sastera adab” yang menurutnya menjiwai hikayat-kihayat Melayu yang
penuh dengan nasihat untuk berbuat baik. Pertanyaan saya yang masih berdengung
dalam telinga sensitiviti saya ialah: Adakah Noriah Taslim membaca dirinya
sendiri dan “pengetahuannya” tentang sastera adab dalam hikayat Melayu? Lihat
contoh ini: “Pelbagai kelibat amaran dibayangkan – penampilan ikan paus biru,
penyu besar, riak-riak gunung berapi, tetapi kerana terlalu tenggelam dalam
nafsu kuasa dan kekayaan, watak-watak ini menganggap semua itu adalah dongeng
rakyat. Akhirnya, kemurkaan maha kuasa sudah tidak dapat dibendung lagi dan
dilontarkan sekali gus melalui episod tsunami yang melenyapkan seluruh pulau
Ogonshoto. Hatta balasan Allah berlangsung tanpa tolak ansur dan tanpa belas
kasihan-Nya lagi. Tragedi legenda pendosa silam seperti cerita bahtera nabi
Nuh, cerita kota tenggelam dan legenda kejadian laut hitam yang terdapat dalam
tradisi Islam dihidupkan semula Tajus
Salatin (kitab adab Melayu yang tulen), diulang lagi dalam naratif ini
sebagai amaran kepada raja-raja yang zalim.””
Seterusnya tegas beliau: “Naratif
Ogonshoto sama seperti karya-karya adab Melayu, menjadi sebuah cerita masa
silam yang membawa muatan moral politik yang arkaik dan berulang-ulang dalam
sejarah manusia. Novel ini melihat huru hara alam sebagai manifestasi balasan
Allah terhadap dosa-dosa manusia yang melampau, manusia diberi pelbagai
peringatan, diberi peluang untuk membersihkan dosanya, pun mereka memilih untuk
kekal dalam kemungkarannya, justeru wajar menerima balasan.” .... Dan
seterusnya ...
Bacaan
dan tafsiran sarjana “sastera adab” ini adalah bacaan yang luar biasa, yang
amat pelik, dan tidak masuk akal. Apakah asas tafsiran beliau yang memuji karya
picisan ini begitu tinggi sampai menggelarkannya karya warisan “sastera
adab”? Seolah-olah pelesit sastera telah
menguasai imaginasi! Bagaimana nama
Allah SWT dikaitkan dalam sebuah novel picisan? Tragedi legenda pendosa silam seperti cerita bahtera nabi Nuh, ... diulang
lagi dalam naratif ini? Apa jenis bacaan yang ditonjolkan kepada kita oleh Dr. Noriah Taslim, yang
memanggil peristiwa banjir besar itu “legenda” silam? Tepat sekali andaian saya bahawa keadaan yang
pelik begini hanya mungkin apabila sudah dirasuk pelesit sastera. Dalam sastera
adab pun konsep pelesit ini dibayangkan juga dalam karya-karya adab yang berupa
hikayat yang disebut oleh Dr. Noriah Taslim sendiri.
Satu
tragedi dalam tafsiran telah berlaku, gara-gara terlalu ingin menyanjung karya
picisan ini begitu berlebihan, sama berlebihannya kejahatan para watak dalam
karya ini. Dalam konteks inilah kita perlu memahami peranan watak dan
perwatakan dalam karya kreatif. Tetapi
kerana sasterawan, sarjana, dan pengkritik sastera menolak konsep ilmu yang
benar sebagai asas penilaian, maka mereka pun terjebak dalam kehidupan seperti
yang dialami oleh para pelakon dalam Naratif
Ogonshoto, tetapi dalam perspektif mereka sebagai “ahli ilmu” yang tamak
dengan pujian setelah menolak konsep ilmu yang benar sebagai asas penilaian
mereka. Sekali lagi, saya ingin mengulang saranan saya supaya mereka ini
membaca tafsiran Surah at-Tin.
Begitulah
duduknya perkara.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 20/2/2017.