Saturday, November 10, 2018

CATATAN KECIL TENTANG NOVEL HIKAYAT ABU GAMBOL.



Oleh sebab saya tidak pasti bilakah novel terbaru saya akan diterbitkan, dan oleh penerbit mana, maka saya fikir baik juga saya beri sedikit laporan tentang novel ini, untuk menjadi satu peringatan penting kepada pembaca. 

Karya terbaru saya Hikayat Abu Gambol adalah sebuah novel yang menggunakan sepenuhnya teknik stylization of ideas yang saya perkenalkan melalui Gagasan Persuratan Baru, yang dengan angkuh ditolak oleh para sarjana sastera dan sasterawan Malaysia, terutama sekali para sasterawan negara. Sudah semestinya begitu, kerana konsep yang saya perkenalkan itu berupaya mendedahkan kepalsuan karya mereka dan dengan itu dapat dilihat dengan jelas sifat picisan di dalam karya itu. Sehingga ini belum ada sarjana yang tampil mendedahkan kepalsuan Gagasan Persuratan Baru. Kecuali seorang sarjana terkenal, yang bernama Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Inilah kata-katanya sendiri yang saya salin dan masukkan dalam Hikayat Abu Gambol.  Kata beliau: Bakti akademik terlalu murni. Tak dapat dibeli dengan wang.  Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad,  3/2/2009  (dikutip dari blog pensyarah ini).

Saya lebih senang berdebat secara terbuka daripada mengkritik dari belakang tanpa mengetahui isi hatinya dan tanpa dia mengetahui isi hati kita(Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, 28 Januari 2010 dalam blognya).

Nasihat SN Arenawati kepada Dr. Saleeh Rahamad, yang dimuatnya dalam blognya, menunjukkan betapa beruntungnya beliau mendapat nasihat dan penghargaan yang begitu baik. Tetapi apakah balasan beliau? Inilah balasan beliau, dalam kata-kata beliau sendiri: “Walaupun pengekor dan pentaasub Persuratan Baru tidak menggemari cara pemilihan Sasterawan Negara sekarang, masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada” (30/11/2009, beberapa bulan selepas mendapat nasihat dan penghargaan tinggi Arenawati terhadap “bakti akademik yang terlalu murni” itu).  Terima kasih kepada teman-teman yang menunjukkan kepada saya beberapa tulisan  penting Dr. Saleeh Rahamad dalam blognya, yang terlepas dari perhatian saya. 

Dr. Saleeh Rahamad pastilah mempunyai hujah yang kuat untuk membenci dan meremehkan gagasan Persuratan Baru, dan memanggil sesiapa juga yang bersetuju dengan Persuratan Baru sama kedudukannya dengan binatang yang jadi “pengekor dan pentaasub” yang tidak mempunyai pendirian sendiri seperti beliau.  Binatang memang mempunyai tabiat untuk mengikuti ketuanya, seperti yang diperlihatkan oleh angsa yang terbang berkawan dalam satu kumpulan dengan diketuai oleh seekor yang dijadikan ketua. Dalam satu eksperimen, sebuah kapalterbang kecil dijadikan ketua oleh sekumpulan angsa, diikuti ke mana saja kapalterbang itu mendarat. Saya tidak pasti sama ada Dr. Saleeh Rahamad tahu fakta ini atau tidak, atau pernah melihat kumpulan angsa ini terbang dengan bising mengekori ketuanya. Tidak mengapa jika beliau tidak mempunyai pengalaman atau pengetahuan itu, kerana beliau memang bijak membuat perbandingan untuk meremehkan gagasan Persuratan Baru, pencetus idea itu,  dan sarjana yang bersetuju dengannya. Tetapi timbul sedikit kemusykilan: tidakkah perbuatan beliau itu “kurang sopan”, mungkin juga kurang ajar (tentulah aneh bagi seorang pensyarah untuk bertindak kurang ajar), atau nakal yang berlebihan?  Mana satu yang betul tidak penting dalam konteks ini, kerana yang lebih utama, dalam pandangan saya, ialah penegasan beliau, “masih ramai lagi pengarang dan penulis menerima kayu ukur yang sedia ada”, dengan itu menerima laporan Panel Anugerah Sastera Negara sebagai satu-satunya ukuran yang sah dan tidak ada yang lain dari ukuran Panel itu yang boleh digunakan atau dijadikan pegangan. Apakah hujah beliau, beliau di sini bermaksud Dr. Saleeh Rahamad. Apakah hujah Dr. Saleeh Rahamad untuk membuat kesimpulan itu? Adakah beliau sendirilah yang benar-benar “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara? Berbeza dengan “pengekor dan pentaasub” yang pertama, mereka ini telah menulis beberapa rencana penting yang layak dijadikan rujukan untuk menghujahkan mengapa mereka menerima Persuratan Baru. Adakah Dr. Saleeh Rahamad berbuat begitu juga? Kita mahu baca tulisan beliau sebagai “pengekor dan pentaasub” Panel Anugerah Sastera Negara untuk dijadikan semacam perbandingan dengan pandangan dan pendirian Persuratan Baru, moga-moga pembaca yang kritis dapat melihat pendirian mana yang lebih mantap setelah membuat perbandingan itu. Inilah kerja seorang ahli akademik seperti Dr. Saleeh Rahamad, yang tidak perlu diperingatkan oleh sesiapa pun kerana tugas itu memang tugas utama seorang ahli akademik,  dibayar gaji lumayan untuk melaksanakan tugas itu,  walaupun hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” saja.  Tetapi terdapat satu lagi kemusykilan yang tak dapat dibiarkan, iaitu mengenai sikap terbuka seorang ahli akademik. Adakah Dr. Saleeh Rahamad bermaksud ingin menegaskan bahawa gagasan Persuratan Baru tidak layak diberi perhatian oleh sesiapa sekali pun, apatah lagi jika hanya sebagai “pengekor dan pentaasub” yang tidak memberi sumbangan apa-apa. Pendeknya, gagasan Persuratan Baru tidak diperlukan, oleh itu tidak wajar diberi tempat dalam keadaan apa sekalipun, kerana kebebasan akademik yang amat dipertahankan dan diperjuangkan oleh kaum akademik tidak boleh dikenakan ke atas Persuratan Baru.  Ertinya, bagi Dr. Saleeh Rahamad, tidak wajar diberi kebebasan akademik untuk memberi tempat kepada Persuratan Baru,  dengan itu tidak boleh dibincangkan secara akademik kerana Persuratan Baru tidak mempunyai kualiti akademik itu. Bagaimana Dr. Saleeh Rahamad mendapat kesimpulan demikian? Dalam satu posting, saya mengutip pandangan Imam Ghazali mengenai perkara ini (lihat posting bertarikh 4/1/2012) yang menegaskan seseorang tidak wajar menolak atau menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahuinya terlebih dahulu (baca kutipan itu di sana).


Siapakah “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Paling terkenal tentu saja Prof. Ungku Maimunah, yang menjadikan tema utama syarahan perdana beliau gagasan Persuratan Baru; seorang lagi tentu saja Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat, yang banyak menulis dan membentangkan kertas kerja tentang Persuratan Baru baik di dalam mahu pun di luar negeri.  Seperti yang diketahui oleh orang-orang yang tahu, Prof. Ungku Maimunah adalah seorang profesor yang senior, yang telah membuktikan kemampuan ilmiahnya tanpa sebarang keraguan, dengan itu seorang ahli akademik yang dihormati oleh orang-orang yang tahu menghormati orang yang layak dihormati, yang hanya dapat dilakukan oleh orang-orang yang beradab.  Prof. Madya Dr. Mohd Zariat pula telah menghasilkan satu kajian di peringkat kedoktoran dengan menggunakan kerangka analisis Persuratan Baru; dan bukunya telah pun diterbitkan.  Adakah mereka ini “pengekor dan pentaasub” Persuratan Baru? Tentu sekali tidak. Dalam tangan mereka, Persuratan Baru diberi wajah yang lebih dinamik, misalnya Prof. Ungku Maimunah memperkenalkan beberapa istilah dan konsep yang berguna untuk menjelaskan lagi penerapan Persuratan Baru dalam kritikan sastera dan dalam penulisan kreatif.  Mereka memberi jalan keluar kepada beberapa masalah yang kini dihadapi oleh kesusasteraan Melayu. Prof. Ungku Maimunah misalnya menjelaskan dengan terperinci bagaimana konsep realisme diterap dan dipraktikkan dalam sastera Melayu moden, dan bagaimana penerapan itu pada umumnya mencacatkan perkembangan sastera Melayu moden yang meminggir dan menolak peranan ilmu dalam penulisan kreatif. Antara orang yang menolaknya ialah Dr. Saleeh Rahamad sendiri. Tidak pula diketahui apakah hujah beliau, kerana beliau tidak menulis apa-apa sanggahan yang sepadan dengan kedudukannya sebagai seorang sarjana, sehingga semua kejengkelan beliau terhadap Persuratan Baru boleh dianggap timbul daripada perasaan negatif semata-mata, yang tidak perlu dijelaskan dengan terang dengan memberi istilah tertentu yang sering dipakai apabila kita menghadapi orang yang begitu negatif sikapnya.  Adakah inilah jenis bakti akademik beliau?

Inilah jawapan beliau sendiri:

saleeh rahamad July 25, 2012 1:28 PM

Terima kasih tuan...Walaupun semua itu tidak benar sama sekali saya berbangga kerana masih diberi perhatian. Saya memang berhajat untuk menjemput tuan memberikan ceramah tentang sastera tetapi belum ada kesempatan. lama sebelum ini telah saya simpan hasrat itu. Tidak pernah saya menentang Persuratan baru walaupun saya tidak menolak pendekatan lain. saya meraikan semuanya. salam Ramadan, semoga terus sihat dan sejahtera. Mohon alamat emel tuan.. hantar kepada emel saya: maisarah43@hotmail.com..saya ada hasrat untuk menjemput tuan memberikan ceramah..tetapi bukan kerana tulisan tuan ini. Memang sejak dulu saya menyimpan hasrat ini.

Penegasan Dr. Saleeh Rahamad “tidak pernah menentang Persuratan Baru” adalah wajar dan memang tidak munasabaah jika terdapat ahli akademik memusuhi Persuratan Baru. Tetapi harapan itu tidak semestinya benar, kerana terdapat sedikit percanggahan antara pengakuan dengan perilaku sebenar yang tidak serasi dengan pengakuan itu. Adakah ini bermakna sarjana seperti ini turut percaya jika Persuratan Baru dibiarkan berpengaruh, maka para sasterawan negara akan dicampak ke dalam tong sampah? Dalam dunia serba mungkin seperti yang terdapat di kalangan ahli akademik dan sarjana sastera Melayu, pandangan-pandangan tidak berasas begini akan terus diraikan dan dijadikan pendapat yang bertaraf arus perdana.  Sampai bila keselekehan begini akan diteruskan?

Beliau, yakni Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Ketua 1 PENA,  tidak perlu memenuhi janji beliau seperti dalam kutipan di atas. Kesibukan untuk menguruskan PENA mengatasi segala-galanya, lebih-lebih lagi pada 16 November 2018 ini akan diadakan satu seminar besar di UKM membincangkan sumbangan para sasterawan negara dan peserta seminar itu akan mendengar sendiri ucapan penting semua sasterawan negara yang dijemput; selepas mendengar ucaputama Baha Zain, yang juga seorang sasterawan negara. 

Sebenarnya, sandiwara sastera jauh lebih baik daripada apa pun juga sandiwara yang disiarkan di TV.


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 10 November 2018.

No comments:

Post a Comment