Ketua 1
PENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, telah mencipta satu teori sastera untuk
mempertahankan kedudukan karya picisan para sasterawan negara sebagai karya
agung yang tidak boleh dikritik dan tidak dibenarkan dinilai kembali
menggunakan sebarang teori yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Semua
penilaian terhadap karya para sasterawan negara mestilah menggunakan teori
Barat kerana karya para sasterawan negara ditulis berasaskan teori Barat.
Walaupun dari segi akademik pendapat seumpama ini sangat aneh dan tidak masuk
akal, namun demi mempertahankan kedudukan para sasterawan negara dari sebarang
kritikan, yang tidak masuk akal itulah yang mesti dipertahankan. Maka lahirlah “teori
kerancuan sastera” yang dimajukan oleh Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, dari
Universiti Malaya, untuk mempertahankan novel agung sepanjang masa ciptaan
Anwar Ridhwan, Naratif Ogonshoto.
Tulisan Prof. Saleeh Rahamad mempertahankan novel picisan itu diangkat ke taraf
tinggi untuk menerima Hadiah Sastera Kebangsaan dalam tulisan akademik. Rencana
beliau terbit dalam Dewan Sastera, September
2005.
Apakah sikap PENA dan anggota jawatan kuasanya terhadap
perubahan dalam sastera Melayu? Mereka menentang sekeras-kerasnya apa juga
jenis perubahan yang cuba diperkenalkan sekiranya perubahan itu tidak menerima
karya picisan para sasterawan negara sebagai karya besar yang wajib disanjung. Kemunculan projek sasterawan negara ini
menjadikan ramai sasterawan dan sarjana tidak siuman, tidak dapat berfikir
dengan siuman sambil membentangkan hujah yang padat dan dikemukakan dalam
huraian yang jelas dan kukuh berasaskan bukti. Dalam konteks inilah “teori
kerancuan sastera” itu dilontarkan dalam kritikan sastera. Dengan tidak memberi perhatian kepada perkembangan
intelektual dalam sastera Melayu, maka kewujudan PENA menjadi tidak relevan.
Apakah tujuan dan matlamat PENA? Sekiranya untuk memajukan sastera
Melayu, adakah sastera yang hendak dimajukan itu berupa karya yang dihasilkan
oleh sasterawan negara dan para pengikut mereka sahaja? Jika itulah
matlamatnya, dan tujuan yang ingin dicapai, maka para pendukung PENA ini telah
membataskan perkembangan itu kepada kelompok mereka sahaja; oleh itu usaha
mereka tidak boleh dipanggil untuk sastera Melayu secara keseluruhan. Lagi
pula, kesedaran kepada sejarah perkembangan intelektual sangat penting disedari
di kalangan pendukung PENA. Yang dinamakan sastera Melayu masih baru; sebelum
itu sudah ada persuratan Melayu. Dengan membataskan perkembangan kepada sastera
Melayu yang tidak mempunyai asal usul yang jelas dan kukuh, maka para pendukung
PENA tidak saja buta sejarah, tetapi anti sejarah dan berusaha untuk
melenyapkan sejarah kegemilangan persuratan Melayu yang sudah berusia beratus tahun
dan telah melahirkan tokoh-tokoh besar. Siapa mereka, siapa tokoh-tokoh besar
persuratan itu? Inilah kerja rumah untuk PENA senaraikan bagi faedah kita
semua. Kita mahu lihat adakah mereka ini kucing kurap jika dibandingkan dengan
sasterawan negara? Atau sebaliknya. Atau kedua-duanya setaraf? Kita
beri PENA menentukannya untuk menjadi asas perbincangan nanti. Sesuai dengan
sikap PENA yang berjuang untuk perkembangan intelektual yang sihat, maka
senarai tokoh persuratan itu penting diketahui oleh masyarakat, terutama oleh
para pelajar. Tetapi jika PENA mengatakan kita tidak perlukan mereka, kerana
kita sudah mempunyai sasterawan negara, maka PENA sendiri tentulah terjerumus
ke dalam sikap nihilis seperti yang saya pernah sebut dalam tulisan saya.
Sekiranya PENA tidak menerima nihilisme dalam sastera Melayu, maka mereka
tidak mempunyai pilihan selain memberikan kepada masyarakat senarai tokoh
persuratan itu, untuk dibandingkan dengan objektif sumbangan mereka berbanding
dengan sumbangan para sasterawan negara. Bagi saya, ini adalah satu
permintaan yang wajar, dan adil. Pengetahuan kita boleh bertambah kerananya,
sesuatu yang baik sebenarnya. Untuk mudah kerja, senarai itu kita hadkan kepada
tokoh-tokoh yang terdapat di Kelantan, Terengganu dan di
Johor. Ketiga-tiga buah negeri ini adalah pusat perkembangan intelektual
yang hebat dan benar-benar bermakna dalam sejarah intelektual kita. Sekiranya
cadangan ini ditolak oleh PENA, maka sifat dan sikap nihilis itu benar-benar
menjadi pegangan mereka. Adakah kita mahu sebuah organisasi yang demikian?
Soalan ini sangat penting dan relevan untuk difikirkan dengan serius oleh para
penulis yang berakal. Sebagai peringatan, anda tentu sudah tahu bagaimana Asas
50 menolak tulisan Jawi dalam Kongres Bahasa 1956 di Johor Baru, dan mengatakan
dengan berani tulisan Jawi tiada kaitan dengan agama. Adakah PENA meneruskan
kesilapan besar Asas 50 ini?
Seperti yang anda dapat lihat,
kedudukan Dr. Saleeh Rahamad sebagai sarjana sama pentingnya dengan kedudukan
beliau sebagai pemimpin organisasi seperti PENA. Adalah amat patut
sekiranya kita mahukan kualiti dalam tulisan beliau; sama juga kita perlukan
kualiti kepemimpinan beliau dalam organisasi seperti PENA. Bolehkah
beliau mengelak, atau menganggap kita semua ini adalah sampah tidak berguna
yang tidak seharusnya mempersoalkan kemampuan beliau, dari segi akademik dan
kepemimpinan. Tetapi setelah beliau menulis makalah yang begitu gemilang
sehingga diangkat untuk menerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, maka Dr.
Mohamad Saleeh Rahamad telah diberi kedudukan yang setaraf dengan para
sasterawan negara, dengan itu dia layak dinilai dengan objektif seperti kita
menilai sumbangan para sasterawan negara. Semua ini tidak perlu jika kita
menerima kedudukan mereka sebagai tokoh yang tidak wajar dipersoalkan kerana
telah dibuktikan oleh para juri kehebatan mereka sebagai tokoh dalam bidang
masing-masing. Tetapi proses yang terjadi dalam perkembangan intelektual tidak
demikian, kerana setiap tokoh perlu dinilai dari perspektif yang berbeza supaya
kehebatannya sebagai tokoh tidak saja kekal, malah menyerlahkan kehebatan dari
segi pemikiran dan pengaruh dalam perkembangan intelektual sesuatu bangsa.
Demikianlah saya membangkitkan semua isu ini supaya anda tidak tertipu oleh
retorik anda sendiri. Anda memerlukan pandangan lain yang berbeza. Itulah yang
terjadi dalam semua tamadun dunia. Tidak ada tokoh intelektual yang tidak
dipersoalkan kewajarannya, sama seperti kita mempersoalkan kewajaran penilaian
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang meletakkan Naratif Ogonshoto beyond
criticism.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 14 November 2018.
No comments:
Post a Comment