Tajuk kali
ini tidaklah aneh, tidak juga untuk berolok-olok. Memang itulah hakikatnya,
dibuktikan dan diakui sendiri oleh para sasterawan negara dalam forum
sasterawan negara pada 16 November 2018 di UKM.
Himpunan Penulis Malaysia… masih lagi berlegar di sekitar gerombolan
para anggota dan pengikut Mutual Admiration Club. Kalau anda seorang sasterawan, dan tidak
dapat melihat hakikat ini, maka anda selesa berada dalam kumpulan Mutual
Admiration Club ini. Menteri Pendidikan, dalam ucapan penutupnya, nampaknya
mahu wujudkan sikap yang lebih “inclusive”, tetapi program Himpunan Penulis
Malaysia itu sendiri menolak sikap yang didendangkan oleh Menteri. Apakah
maknanya ini? Kalau anda mahu tahu, dan bersedia untuk bersikap terbuka, inilah
yang dimaksudkan dengan kandang pandirisme yang sering saya utarakan dalam
tulisan saya. Memang sukar untuk tidak
berada dalam kandang pandirisme, kerana kegiatan yang anda sanjung ialah yang
mengangkat pandirisme, menjadi anggota tetap Mutual Admiration Club kerana
semua kegiatan mestilah cocok dengan kehendak Mutual Admiration Club. Kalau anda mahu tahu, inilah penyakit tenat
yang dihadapi para sasterawan setelah diwujudkan projek sasterawan negara.
Perkara yang paling asasi di sini ialah sikap tertutup para sasterawan negara
yang mendamba hanya pujian dan keuntungan kewangan, dengan itu mereka tidak
terbuka kepada kritikan. Mereka mendapat sokongan dan dukungan yang padu
daripada badan-badan penulis seluruh Malaysia, yang kini bergantung pada
sasterawan negara untuk survive. Inilah lawak sastera yang kini diiktiraf oleh
Menteri Pendidikan sendiri. Oleh itu, yang disebut Himpunan Penulis Malaysia
itu lebih tepat jika diberi nama Himpunan Mutual Admiration Club dalam sastera
Melayu. Itulah yang dipamerkan oleh para sasterawan negara dalam dialog antara
mereka. Keangkuhan yang dipamerkan oleh
para sasterawan negara ini diterima sebagai ukuran yang standard dalam penilaian terhadap mereka sebagai satu kumpulan exclusive dalam sastera Melayu. Bodohlah
jika anda tidak dapat melihat kenyataan ini.
Penafian
terhadap diri sendiri ini tidak disedari oleh para sasterawan negara, kerana
mereka sudah ditutup mata hatinya untuk menerima logik Iblis ketika ditanya
oleh Allah Ta’ala mengapa dia tidak mahu tunduk hormat kepada Nabi Adam
‘a.s. Jawapan Iblis adalah jawapan yang
kita dapat daripada para sasterawan negara dan para sarjana sastera serta
pengkritik sastera, dan daripada para sasterawan keseluruhannya. Dengan angkuh
Iblis berkata, “Engkau jadikan aku daripada api, manakala Engkau jadikan Adam
daripada tanah.” Kita bandingkan hujah
Iblis ini dengan hujah para sasterawan negara terhadap diri mereka: “Kami telah
diberi gelaran sasterawan negara oleh pemerintah dan diberi hadiah wang yang
besar. Maka dengan itu kami layak mendapat pengiktirafan istimewa dan mulia
daripada sesiapa juga di antara sarjana, sasterawan dan pengkritik
sastera.” Kata mereka lagi, “Kami adalah
pilihan negara untuk rakyat Malaysia.”
Berasaskan hujah ini, para sasterawan negara ini tidak boleh dikritik.
Tetapi dalam forum Himpunan Penulis Malaysia di antara para sasterawan negara
sesama mereka, secara sedar mereka telah meletakkan ukuran untuk diri mereka
bahawa kedudukan istimewa mereka sebagai sasterawan negara mengatasi apa juga ukuran yang boleh
dikenakan ke atas sasterawan biasa yang tidak boleh dikenakan ke atas
mereka. Lama dulu saya menyatakan bahawa
mereka telah meletakkan diri mereka sebagai Brahmin Sastera yang suci dari
sebarang kelemahan sebagai manusia, oleh itu mereka berhak mendapat sanjungan
daripada para sarjana, sasterawan biasa dan pengkritik sastera. Sehingga ke hari ini belum ada penafian daripada mereka,
sebaliknya di sana sini kita mendengar para sarjana, pengkritik, dan sasterawan
biasa, memberi sokongan padu kepada mereka sebagai golongan istimewa, yang jika
perlu digelar Brahmin Sastera pun apa salahnya, sekiranya menjadi Brahmin itu
sesuatu yang mulia dan dianggap istimewa.
Nampaknya para sarjana dan sebagainya menerima title Brahmin sastera itu sebagai gelaran yang tepat dan selayaknya
diberikan kepada para sasterawan negara ini.
Jika anda
seorang pembaca yang kritis, dan dapat menilai apa yang anda baca, anda akan
dapati kita sebenarnya tidak perlu kepada kritikan sastera. Tidak mengapa jika anda tidak faham maksud
saya. Sekiranya kita perlukan kritikan sastera, oleh itu wajar memberi laluan
dan peranan kepada para pengkritik sastera, kita akan dapati para pengkritik
sastera ini adalah “kucing kurap (kucing kurus) menggaru papan; papan digaru si
kayu jati; (anda boleh sambung
sendiri…) Sekiranya anda seorang yang
suka berjenaka, dan tahu menggunakan sindiran dalam percakapan anda, anda
mungkin bertanya, “Terdapatkah tidak kucing kurap di kalangan para sasterawan
negara?” Kalau anda fikir pertanyaan itu
satu penghinaan, maka bagaimana anda boleh membenarkan pandangan bahawa
pengkritik sastera adalah kucing kurap? Jikalau anda perlukan ukuran tertentu
untuk menilai seseorang sasterawan negara, maka anda juga perlu memberikan
ukuran tertentu yang membenarkan anda berkata para pengkritik sasterawan negara
adalah kucing kurap. Itulah hakikat dialog yang anda selalu sebut satu ketika
dulu sebagai “dialogic imagination”. Sudah lupa? Terlanjur saya menyebut perkara ini, bagus juga jika saya sebutkan bahawa belum
ada lagi pengkritik sastera melihat novel Pujangga
Melayu dan lain-lain karya saya, terutama dua buah hikayat yang telah
diterbitkan, dalam konteks dialogic imagination ini. Sejauh mana konsep
Bakhtin ini bertembung, atau berbeza dengan stylization
of ideas? Ini satu pertanyaan yang amat mencabar kemampuan akademik anda
untuk membincangkan dua konsep ini dalam penulisan novel terutamanya. Ada
siapa-siapa yang mahu menyahut cabaran ini? Sekiranya ada, anda perlu membaca
Bakhtin dengan kritis, dan lebih malang lagi anda akan membicarakan PB dengan
lebih kritis lagi. Saya belum bertemu di kalangan sarjana picisan dan
pengkritik picisan sudah sampai ke peringkat kefahaman tinggi yang membolehkan
mereka membicarakan perkara ini. Berapa lama lagi kita perlu menunggu? Hanya
seorang sarjana yang boleh menjawabnya, Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad,
pencetus “teori” kerancuan sastera.
Sungguh baik bagi dunia akademik kita jika tokoh besar ini tampil membicarakan
persoalan ini. Kalau sarjana sehebat Prof. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tidak
dapat menyahut cabaran ini, maka kita boleh berkata dengan yakin bahawa standard akademik kita masih sangat
rendah. Tentu saja ini merupakan sesuatu
yang amat malang, yang perlu diberi perhatian serius oleh Menteri Pendidikan
yang ambitious itu.
Inilah latar
belakang yang jarang dibicarakan orang ketika membicarakan sastera Melayu.
Inilah sebab utama mengapa mutu tulisan para sarjana ini amat rendah, walaupun
mereka diberi macam-macam anugerah yang hebat-hebat. Tidak ada dialogic imagination dalam kritikan
sastera kita. Bolehkah anda jelaskan mengapa?
Dengan latar
belakang ini, kita boleh menilai dengan mudah betapa bangkerapnya pandangan
para sasterawan negara ini dalam forum yang dikhususkan untuk mereka. Tetapi
terdapat satu perkara yang boleh membuat seorang naik berang bila saya
menegaskan, para sasterawan negara ini tidak mempunyai kualiti kecerdikan yang
akan membolehkan mereka membicarakan sastera Melayu dengan mendalam baik dari
segi teori Barat, lebih-lebih lagi daripada perspektif PB. Dengan terus menerus
menolak PB, mereka memperbodohkan diri mereka dan lebih malang lagi mereka
memperbodohkan para pengikut mereka atau khalayak sastera. Kalau begitu, apa gunanya mereka diberi
gelaran sasterawan negara jika tidak berguna kepada perkembangan ilmu? Soalan
ini memerlukan jawapan, tidak boleh dibaca sambil lalu seperti mendengar borak
Raja Lawak!
Demikianlah
betapa seriusnya pengaruh pandirisme dalam sastera Melayu. Sesiapa juga yang menolak pandirisme wajib
menolak PB sebagai sumbangan ilmiah paling bermakna dalam perkembangan akademik
Malaysia. Tanpa melihat persoalan kita
dari perspektif PB berasaskan konsep pandirisme yang dicetuskan oleh PB sebagai
landasan dalam kritikan sastera, maka anda akan berlagak sebagai keldai yang
ditutup matanya, berjalan beribu batu tetapi di tempat yang sama. Itulah yang
berlaku dalam kritikan sastera Malaysia. Jika itulah posisi anda, bagaimana
anda boleh berbicara tentang dialogic
imagination dan stylization of ideas?
Sekiranya
anda melihat persoalan ini dalam konteks yang saya bicarakan, anda akan faham
mengapa saya menolak sasterawan negara sejak tahun 1981 lagi. Saya mempunyai
segugus hujah yang berbisa seperti sarang tebuan besar, jika dijolok anda akan
mendapat sengatan intelektual yang amat berbisa. Anda berani cuba bermain
dengan idea yang dikemukakan oleh PB? Kalau anda cerdik dan mempunyai daya
intelek yang tinggi, anda akan sedar betapa saya bermain dengan retorik
intelektual yang berbagai-bagai ragam untuk membuat anda melihat masalah berat
yang kita hadapi sekarang, yang berpunca daripada pelantikan sasterawan negara.
Fikirkanlah.
Himpunan
Penulis Malaysia sudah selesai, apakah kesan yang anda dapat? Bacalah dengan
teliti, sehabis kritis dan kreatif, analisis saya dalam entri yang menarik ini.
Saya berharap anda akan sedar diri dan bersedia untuk berbincang tentang betapa
perlunya kita mulakan dialogic
imagination secara serius, bukan hanya menyebut sepintas lalu.
Beranikah
anda, para sarjana dan sasterawan negara, menyahut cabaran ini? Walaupun saya tahu anda tidak sanggup, anda
boleh minta pertolongan daripada 4000-5000 murid Prof. Emeritus Muhammad Haji
Salleh yang ramai itu. Adakah semuanya kawanan kambing yang hanya tahu meragut
rumput? Jika terdapat di antara mereka seekor helang pun sudah cukup untuk
memberi sumbangan kepada dialogic
imagination yang sudah lama disebut, tetapi tidak dipraktikkan. Sungguh
amat memalukan! So sorry…
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 17 November 2018.
No comments:
Post a Comment