Friday, November 16, 2018

SELAMAT BERSIDANG PARA PICISAN NEGARA!



Alhamdulillah, hari ini 16 November 2018 akan diadakan satu persidangan penting di UKM mengenai persuratan Melayu. Tidak pasti bagaimana bentuknya dan arahnya. Tetapi melihat betapa kuatnya pengaruh tokoh-tokoh picisan dalam sastera Malaysia yang mengendalikan pertemuan itu, sudah jelas yang akan muncul nanti ialah perbincangan tentang pentingnya pandirisme dikekalkan dalam kegiatan kreatif dan akademik sastera.  Sikap ini mendapat sokongan kuat daripada Kementerian Pendidikan sendiri. Inilah cerita saya untuk makluman.

Saya telah mengirim sebakul besar dokumen mengenai Gagasan Persuratan Baru, pada mulanya kepada Penasihat Menteri Pendidikan. Kiriman itu ditolak oleh Tuan Penasihat, dan surat saya dikembalikan. Ke mana perginya dokumen itu? Saya diberitahu telah dicampakkan ke dalam Sungai Kelang, kerana menurut maklumat yang saya terima PB hanya layak berada di dasar Sungai Kelang, tidak di Kementerian Pendidikan dan menjadi aspek penting dalam kurikulum sastera. Saya kirim sebakul yang lain kepada YB Menteri sendiri, dan tidak juga menerima apa-apa suratan mengenai kiriman itu. Nampaknya mendapat nasib yang sama.

Maka apabila pada hari ini, Jumaat 16 November 2018, akan diadakan perbincangan penting di antara tokoh-tokoh picisan dalam sastera Melayu, kita tahu apakah perkara yang akan dibincangkan mereka. Menariknya, para penulis muda yang menulis dalam MalaysiaKini mengutuk pertemuan ini sebagai pertemuan para penjilat kerajaan PH untuk mendapat dana yang besar untuk mereka gunakan untuk berpoya-poya seperti yang mereka lakukan tempoh hari berkunjung di Madras untuk mendapat idea!  Ketika itu mereka mendapat dana besar daripada Kerajaan BN.

Kerana mereka ini tidak membaca karya klasik Melayu, misalnya pantun, maka mereka menjadi biadab dan tidak kenal persuratan bangsa mereka sendiri. Mereka tidak tahu pantun Melayu yang masyhur ini:

Halia ini tanam-tanaman,
Ke barat juga akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman
Akhirat juga akan sungguhnya.

Itulah peringatan yang diberikan oleh PB untuk para penggiat kreatif dan akademik.  Dan inilah yang ditolak oleh para penggiat picisan ini. Dan sikap picisan  inilah juga yang mendapat restu dan sokongan Menteri Pendidikan.

Mungkin betul juga pandangan Faisal Tehrani yang mengatakan sastera (yang dipromosi oleh para penggiat picisan ini) adalah makanan anjing.


Saya terkejut juga dengan pandangan yang dahsyat ini, kerana pada waktu ini kebetulan saya sedang menulis sebuah novel satira berjudul, “Salakan Anjing di Menara Gading”, sebagai sambungan kepada cerita pendek dalam Pujangga Melayu, “Lembu Masuk Universiti.”  Saya menulisnya dalam konteks yang diberikan oleh pantun Melayu itu.

Semoga pertemuan para tokoh picisan ini akan membuahkan sesuatu yang berguna dengan adanya peringatan ini. Selamat bersidang.


Mohd. Affandi Hasaan,
Petaling Jaya, 16 November 2018.

No comments:

Post a Comment