Walaupun
tajuk kali ini kelihatan amat mencabar, tetapi itulah yang berlaku dalam
sastera Melayu. Berkali-kali saya memberi contoh tulisan Prof. Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad yang disogokkannya kepada sastera Melayu ketika memuji tinggi
karya picisan Naratif Ogonshoto oleh
Anwar Ridhwan, seorang sasterawan negara. Dalam tulisan yang lepas, berasaskan
perbincangan antara sesama para sasterawan negara dalam forum agung yang dianjurkan
oleh sekretariat Himpunan Penulis Malaysia 16 November 2018 di UKM, saya telah
menegaskan bahawa para sasterawan negara ini ketika bercakap dalam forum agung
untuk mereka, menafikan perlunya
diwujudkan sasterawan negara. Maksud mereka, sasterawan negara tidak diperlukan
sekiranya dilihat dari perspektif ilmu yang benar, kerana semua mereka pada
umumnya tidak menerima ilmu sebagai asas karya sastera. Sasterawan negara
diwujudkan oleh para pengasas Asas 50 dan penyokong mereka setelah sebelumnya
kerajaan BN melantik tokoh-tokoh Pejuang Sastera. Mereka mahu gelaran khas
untuk mereka, bukan hanya dijadikan tokoh kerana istilah tokoh itu tidak
mengangkat mereka lebih tinggi darjatnya daripada tokoh-tokoh lain dalam
sastera Melayu. Maka wujudlah gelaran sasterawan negara atas gesaan Keris Mas
dan teman-temannya dalam Asas 50. Saya ingin menegaskan, gelaran sasterawan
negara adalah satu gelaran untuk menaikkan taraf anggota Asas 50 dan para
penyokong mereka, yang kini berada dalam kelompok Mutual Admiration Club. Bagus sekali jika ada di antara mereka atau
penyokong mereka menolak kesimpulan ini, kerana kita pun mahu dengar hujah
mereka sendiri mengapa mereka layak digelar sasterawan negara. Jangan ada
pembohongan akademik dalam sastera Melayu.
Entri kali ini
khusus untuk para pelajar dan siswa, termasuk guru sastera. Saya tuju khas
untuk para pelajar di UPSI kerana ada di antara mereka akan jadi guru
sastera. Kita perlukan guru sastera yang
berkualiti, yang saya harap akan lahir dari UPSI khususnya. Insha Allah.
Mereka inilah yang akan mencerdikkan bangsa kita.
Perjuangan
untuk mencerdikkan bangsa Melayu ini menjadi tema kepengarangan saya sejak
remaja, baik dalam karya kreatif mahu pun dalam karya kritikan dan
akademik. Tidak banyak kejayaan atau
kemajuan yang saya perolehi, tetapi telah ada sedikit kesedaran di kalangan
pembaca yang kritis untuk cuba memahami PB dengan kritis. Jumlah tidak
menggusarkan saya. Yang menggusarkan saya mengapa bangsa Melayu terlalu sukar
untuk menjadi cerdik dan merdeka dari segi pemikiran? Saya sampai kepada
kesimpulan bahawa hal ini terjadi kerana para sarjana tidak memainkan peranan
mereka dengan berkesan. Sarjana juga
memberi sumbangan untuk tidak mencerdikkan para pelajar. Bila saya baca tulisan para sarjana dan
pengkritik sastera yang memuji seseorang sasterawan melebihi langit ketujuh,
maka saya selalu bertanya dengan rasa aneh yang melucukan: Mengapa para sarjana
ini memilih untuk tidak menyerlahkan
kecerdikan mereka padahal tugas utama mereka ialah mencerdikkan pelajar mereka? Apabila kita baca tulisan mereka yang
berbicara tentang “pemikiran” para sasterawan negara, mereka tidak pun
menyentuh tentang “pemikiran”, hanya membuat senarai tentang kehebatan para
sasterawan negara yang bertentangan dengan karya yang mereka kupas. Agak
melucukan apabila di dalam senarai itu selalu saja disebut “pengaruh” yang
diterima oleh seseorang sasterawan negara dalam tulisan mereka. Paling jelas
ialah pujian terhadap novel Anwar Ridhwan Naratif
Ogonshoto, yang dikaitkan dengan megahnya dengan nama Machiavelli dan
konsep interteks. Adakah ini berupa faktor yang menjadikan novel itu begitu
istimewa? Bila saya baca pujian yang menyeramkan dalam kertas kerja Dr. Noriah
Taslim (“Kembali ke Akar: Menilai Genre, Pemikiran Politik dan Adab dalam Naratif Ogonshoto”) yang antara lain
berkata, “Salah satu pengalaman tekstual yang menyentuh pemikiran semasa
membaca novel ini ialah tentang beratnya muatan politik yang dikendongnya. ... Demokrasi di Ogonshoto mengikut Anwar
adalah demokrasi yang dipenuhi titik-titik kontradiksi – satu mimicy dan mockery sekali gus. ... Salah satu pemikiran politik yang menjadi
teras kebanyakan karya adab (cermin untuk raja-raja) atau hidayat silam ialah
pemikiran politik atau adab Islam. ...
Semasa meneliti karya Anwar ini
saya terkesan wujudnya kelibat-kelibat pemikiran adab yang terdapat
dalam teks-teks besar yang membicarakan tentang politik Melayu abad pertengahan
seperti Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis, malah Hikayat Raja Pasai. Teks-teks tersebut mencernakan pemikiran politik Islam ... Naratif Ogonshoto sama seperti
karya-karya adab Melayu, menjadi sebuah cerita masa silam yang membawa muatan
moral politik yang arkaik dan berulang-ulang dalam sejarah manusia. Novel ini
melihat huru hara alam sebagai manifestasi balasan Allah terhadap dosa-dosa
manusia yang melampau; manusia diberi pelbagai peringatan, diberi peluang untuk
membersihkan dosanya, pun mereka memilih untuk kekal dalam kemungkaran, justeru
wajar menerima balasannya. Idea moral ini yang mengintipatikan perjalanan
sejarah dalam tamadun manusia silam kini dibayangkan semula dalam karya ini
sebagai amaran masa depan ... Novel ini dianggap oleh ramai pengkritiknya
sebagai “luarbiasa”. Saya amat bersetuju ...”, maka membaca semua pujian dan kekaguman ini
mambuat kita terasa ada sesuatu yang pincang kerana tidak dibahaskan secukupnya
supaya boleh difahami. Semua ini hanya
sejenis pretensi intelektual yang kaya dengan fatamorgana bahasa yang amat
bertentangan dengan kualiti sebenar novel ini, yang akan diberi penjelasannya
nanti.
Dr. Noriah
Taslim menegaskan akan membincangkan novel
penglipur lara itu dari segi epistemologi, yang boleh difahami
berasaskan ilmu, tetapi huraian beliau tidak menjurus ke arah itu; sebaliknya
memberi penekanan kepada beberapa aspek sastera tradisional yang tidak langsung
berkaitan dengan aspek epistemologi. Apa maksud epistemologi pada fahaman
beliau? Tentulah amat menarik jika beliau dapat membuktikan novel picisan itu
(picisan jika dinilai daripada perspektif epistemologi) ditulis berdasarkan
ilmu dan benar-benar menyerlahkan kefahaman yang mendalam tentang
“epistemologi”. Dalam pengertiannya yang paling asas, dan paling mudah,
epistemologi bermaksud teori ilmu. Teori
ilmu yang bagaimana? Tentu saja bukan epistemologi Islam, yang sumber ilmunya
tidak sama dengan epistemologi Barat.
Novel Naratif Ogonshoto tidak sedikit pun
memberi imbasan yang paling minimum sekalipun dilihat dari perspektif
epistemologi Islam. Paling tidak, adakah perwatakan utama dalam novel ini
mencerminkan hakikat insan dari perspektif epistemologi Islam? Jika benar novel ini ditulis berasaskan
epistemologi Islam, bagaimana pula semua wataknya tidak memenuhi prinsip uswatun hasanah yang difahamkan dalam Islam? Tidak satu pun watak
di dalam novel ini yang boleh dicontohi. Semua mereka adalah watak-watak
terkutuk. Para sarjana berkata novel ini mempunyai lapis-lapis makna yang kaya
dan pelbagai, seperti yang ditegaskan oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam
kertas kerjanya (akan dibincang kemudian). Apa dia lapis-lapis makna yang kaya
dan pelbagai itu? Contoh-contoh yang
diberikan oleh Dr. Noriah Taslim tidak pula membuktikan adanya lapis-lapis
makna yang pelbagai yang boleh ditafsirkan dalam konteks epistemologi Islam.
Sekiranya bukan epistemologi Islam yang dimaksudkan beliau, maka kita perlu
memberi perhatian kepada klaim Anwar Ridhwan sendiri yang menegaskan bahawa
novelnya ini berwajah Islam dalam bentuk perlambangan yang anti-Islam. Maksud
beliau, wajah buruk yang anti-Islam itu perlu dibaca dalam konteks Islam supaya
terserlah dengan jelas wajah-wajah kejahatan yang mendominasi keseluruhan novel
ini. Dengan dakwaan Anwar Ridhwan ini, beliau sebenarnya telah menolak ciri-ciri Islam kerana asas penulisannya
bukan epistemologi Islam, tetapi berasaskan faham pascamodernisme yang
dibicarakan dalam konteks pascakolonial, seperti yang ditegaskan berkali-kali
oleh Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam kertas kerjanya. Kalau inilah yang
dimaksudkan dengan pelbagai lapis makna, maka tidak terserlah sama sekali makna
yang boleh dikatakan bersifat Islam secara kabur sekali pun. Maka yang
berlapis-lapis itu tidak ada kaitan langsung dengan nilai-nilai Islam yang
ditegaskan dalam epistemologi Islam, dengan penekanan yang paling utama kepada
konsep insan dan konsep amal dalam kehidupan manusia beragama. Jika ini bukan
tujuan novel ini ditulis, oleh itu tidak boleh ditafsirkan dalam konteks
epistemologi Islam, maka apa yang disebut makna yang berlapis-lapis itu adalah
makna yang berada di luar nilai-nilai Islam. Kalau begitu, nilai siapa yang
menjadi teras novel ini? Jika kita dapat menerima kesimpulan Dr. Noriah Taslim
bahawa novel ini mempunyai keistimewaan dari segi struktur dan imaginasi, maka
dalam bentuk apa kedua-dua ciri ini membolehkan kita membuat tafsiran daripada
perspektif Islam. Dr. Noriah Taslim ada menyebut bahawa novel ini dimodelkan
daripada karya adab dalam sastera Melayu tradisional, dengan memberi rujukan
kepada Sejarah Melayu. Rujukan ini
terlalu dicari-cari, bertentangan dengan konteks novel yang purely imaginative dan penuh sensasi,
yang bermodelkan cerita penglipur lara, oleh itu novel itu sendiri adalah novel
penglipur lara yang tidak kena mengena dengan karya nasihat (wisdom literature) dalam sastera
tradisional. Dalam Sejarah Melayu
sendiri aspek nasihat ini adalah tambahan oleh editor yang mengumpul cerita
salasilah raja-raja itu, satu tambahan baru yang tidak wujud dalam teks asal.
Mungkin ditambah oleh Tun Seri Lanang atau Tun Bambang yang menulis semula Sejarah Melayu (rujuk edisi Raffles yang
dirumikan oleh Abdul Rahman Haji Ismail). Dr. Noriah Taslim menegaskan,
interteks dan kecelaruan fakta sejarah adalah biasa dalam sastera adab, kerana
yang penting ialah teladan yang ingin dijadikan pengajaran. Maksudnya, pengajaran yang baik, menurut
sastera adab Melayu, boleh didapati dalam pembohongan fakta. Dan inilah
yang dijadikan contoh oleh Naratif
Ogonshoto, jika betul bacaan saya terhadap kesimpulan Dr. Noriah Taslim.
Andainya kesimpulan saya salah sekali pun tidak penting, kerana hal ini
dibenarkan dalam sastera adab Melayu. Saya kutip kesimpulan Dr. Noriah Taslim
(yang menjadi panduan saya): “Sebagai karya historiosofi, peristiwa dipilih
untuk nilai moralnya; untuk tujuan moral – cerita rakyat, dongeng-dongeng di
pelabuhan, motif dan tema daripada pelbagai sumber disirat masuk tanpa
memperhitungkan kebenaran/kesahihan sejarahnya.” Inilah antara lain sifat “istimewa” Naratif Ogonshoto dan karya adab Melayu.
Tentu saja ciri ini bertentangan dengan epistemologi Islam, yang menjadi dasar
penulisan Naratif Ogonshoto, seperti
yang ditegaskan oleh Anwar Ridhwan dan para sarjana yang menyanjung tinggi
karya ini. Tetapi ini dibenarkan, maka
itulah Anwar Ridhwan membuat editing yang sangat berani tentang banjir besar
Nabi Nuh ‘a.s., yang terang-terang memalsukan cerita al-Quran. Moralnya ialah, untuk mendapat kesan sastera
dalam sebuah cereka yang imaginatif, apa juga kepalsuan boleh saja diselit atau
disirat kerana ini dibenarkan dalam sastera adab Melayu. (Sebagai perbandingan, sila rujuk tesis
sarjana Nur Fatiha Fadila binti Abu Bakar, “Intelektualisme dalam Lima Novel
Anwar Ridhwan dari Sudut Persuratan
Baru” (UPM, 2014), hal. 178). Sebagai
wejangan kecil, saya kutip syair yang dibaca oleh Anwar Ridhwan dalam penerimaan
anugerah sasterawan negara: “Sastera itu adab persuratan/ Pelbagai makna
serta tafsiran/ Namun bakat serta indah penulisan/ Tentang Tuhan,
makhluk-Nya dan pemikiran” (anda
perlu baca keseluruhan syair ini). Sebagai perbandingan kecil yang tidak signifikan, tetapi hanya sekadar “pengajaran moral” dalam
sastera adab Melayu, bandingkan dengan pandangan saya ini: “Makna adab dalam Persuratan/ Tidak hanya pada ujaran/ Sekadar manis
dalam sebutan. /Adab sebenar terasnya ilmu/ Pembeza yang benar dengan yang
semu/ Dapat mengenal ocehan palsu./ Adab itu mutiara bermutu/ Bukan hanya
longgokan batu” (dalam entri bertarikh 4 Julai 2015).
Apakah yang
“luarbiasa” dalam novel ini, seperti penegasan Dr. Noriah Taslim? Yang
dikatakan luar biasa itu ialah ciri umum
karya novel Melayu yang penuh dengan sensasi; dan dari segi ini novel ini
sangat kaya dengan sensasi untuk menarik perhatian pembaca. Semua episodnya
disensasikan begitu rupa untuk menimbulkan kesan dramatik yang palsu, yang
dibuat-buat. Novel ini adalah sebuah novel lucah dari segi idea, seperti juga
novel TIVI sebuah novel lucah dari
segi seks. Kedua-dua novel ini, jika dinilai dari segi pemikirannya, adalah
novel picisan. Sebuah novel picisan menjadi picisan kerana idea (jika ada) yang
cuba diolahnya bantut, tidak dapat diwacanakan dalam konteks naratif yang kemas
dan padat yang disusun dengan cermat
dalam satu ruang naratif yang padu, yang memberi keutamaan kepada wacana dan
ilmu dengan muatan cerita yang cocok dengan matlamat wacana tadi untuk membina
sebuah karya yang indah dan bermakna. (Untuk memahami maksud “indah dan
bermakna” ini sila rujuk Pendidikan
Estetika daripada Pendekatan Tauhid).
Sekiranya novel ini benar-benar berasaskan epistemologi Islam,
berasaskan konsep ilmu yang benar yang difahami dalam Islam (Anwar Ridhwan
membayangkannya dalam syair penerimaan anugerah, tetapi masih lagi dalam
keadaan “cetek meraba-raba”), dan berasaskan konsep adab yang ditegaskan oleh
Dr. Noriah Taslim yang difahami dalam Islam, maka perwatakannya akan memenuhi
syarat uswatun hasanah, yang
memberikan contoh terbaik dari segi moral dan nilai Islam. Semua ini tidak ada dan tidak mungkin
terdapat dalam sebuah novel yang dikosepsikan seluruhnya berasaskan imaginasi
yang tidak terkawal yang hanya mencari sensasi pada peringkat emosi rendah
manusia, yang bersifat kebinatangan. Kalau hal ini tidak jelas bagi seorang
sasterawan negara, yang klaim dia menulis sebuah karya intelektual berasaskan worldview Islam, maka hasilnya ialah
sebuah karya sensasi, sebuah penglipur lara yang hanyut dalam imaginasi
sehingga penulisnya yang klaim dia mendukung nilai-nilai Islam tetapi melakukan editing yang songsang terhadap
kisah seorang Nabi yang bertaraf Ulul Azmi.
Dalam
tulisannya Dr. Mohamad Saleeh Rahamad cuba mengelak daripada pendekatan yang
dibuat oleh Dr. Noriah Taslim, dengan memilih idea Marxist yang dikonsepsikan
oleh Gramsci menggunakan istilah subaltern (bolehkah kita terjemahkan dengan istilah
Soekarno, golongan Marhaen?). Maka berkatalah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dengan
penuh yakin: “Dengan kedudukan sebagai
wacana subaltern, pengarang memulakan
teks ini dengan menceritakan keburukan Presiden Ogonshoto.” Apakah yang dikatakan wacana subaltern itu? Menurut Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad, “Episod-episod dalam Naratif
Ogonshoto mewakili suara subaltern,
iaitu golongan yang dipermainkan oleh Presiden secara konspirasi lalu membentuk
sebuah wacana yang discursive”.
Tunggu sekejap: Adakah ini bermakna suara golongan tertindas dan tertipu itu
suara dominan, atau suara diktator itulah yang dominan? Di sini kita dapat dua
tafsiran, iaitu yang diberikan oleh Dr. Noriah Taslim, dan yang diberikan oleh
Dr. Mohamad Saleeh Rahamad. Mana satu
yang lebih tepat, atau kedua-duanya tepat, atau ada pilihan ketiga, kedua-duanya
hanya sejenis bullshit dalam konteks idle talk semata? Saya cuba menjawab
soalan ini dalam entri bertarikh 24 Oktober 2014 dengan judul “Keunggulan yang Cacat”. Anda boleh baca, jika mahu, entri tersebut.
Bagi saya yang menarik ialah kesimpulan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad yang
berbunyi: “Semua ini dimungkinkan oleh
kedudukan teks ini sebagai sastera rakyat, atau lebih tepat, sastera rakyat
moden, bukan lagi sastera feudal.”
Adakah ini bermakna apa yang disimpulkan oleh Dr. Noriah Taslim itu hanya
sejenis omongan saja, kerana beliau nampaknya lebih cenderung untuk mengatakan
novel ini mewakili suara feudal, dalam konteks sastera adab yang ditonjolkan
oleh beliau. Sebenarnya di sini tidak ada kontradiksi, kerana yang jelas inilah
natijah kesarjanaan yang “cetek meraba-raba” yang menolak adanya konsep ilmu
yang benar. Walau apa pun istilah yang
anda gunakan untuk menegakkan keadaan “cetek meraba-raba” itu, anda hanya
berada dalam kekeliruan besar kerana anda tidak meletakkan pilihan anda
berasaskan ilmu. Dengan itu penilaian yang anda buat terhadap novel picisan ini
adalah penilaian yang juga bersifat picisan, yang tidak menjelaskan keadaan
sebenar seperti yang dibayangkan oleh Naratif
Ogonshoto sebagai hasil pemikiran yang tuntas, atau jika anda mahu, sebagai
hasil yang benar-benar berciri intelektual, bukan hanya yang berada pada
peringkat pretensi intelektual.
Nampaknya anda tidak mungkin sampai ke peringkat analisis seperti ini,
kerana alat analisis yang anda gunakan tidak boleh dipakai untuk menilai karya
ini dengan objektif dan tepat dengan keampuhan struktur yang membina karya ini
sebagai sebuah karya intelektual. Konsep yang anda gunakan sudah tumpul dan
tidak mungkin dapat digunakan dengan berkesan untuk menilai sebuah karya yang
sebenarnya sangat simple, tetapi
menjadi seolah-olah “kusut dan kompleks” kerana anda berada dalam keadaan
“cetek meraba-raba” dari segi konsep ilmu yang anda faham, sekiranya anda
mempunyai kefahaman yang baik tentang konsep ilmu. Kita dapat melihat yang berlaku
di sini ialah konsep sastera yang difaham dan dikonkritkan dalam karya kreatif
adalah konsep yang sangat cetek, yang tidak sampai ke taraf ilmu. Maka itulah
terjadi kontradiksi dalam penilaian, kerana semua penilaian itu dilakukan dalam konteks penolakan ilmu yang
benar. Jika ini diteruskan dengan
seluruh kesedaran dan kedegilan seorang sarjana ciritan, maka kita akan terus
gagal mencerdikkan bangsa kita. Kita menerima hegemoni pandirisme sebagai
ukuran, bukan hegemoni akademik yang
bersifat keilmuan.
Dr. Mohamad
Saleeh Rahamad menggunakan pendekatan klise dalam kritikan sastera Melayu,
iaitu menceritakan kembali kandungan buku, dengan itu meninggalkan begitu saja
beberapa aspek penting yang disebutnya sepintas lalu. Sarjana Melayu masih lagi
menulis kritikan cerita, menyalin dengan rajin ringkasan cerita ketika mereka
diperlukan membuat analisis yang objektif. Kita ingin tahu mengapa konsep subaltern itu begitu penting dalam karya ini, padahal karya
ini sebaliknya mengutarakan kejahatan seorang pemimpin yang dapat berkuasa
dengan cara bertindak zalim. Yang
disebut suara subaltern itu adakah
mempunyai konteks tertentu? Dia menyebut Gramsci, seorang Marxist. Kita tahu
Asas 50 sangat kuat dipengaruhi
pemikiran sosialis bercorak Marxist ini. Adakah maksud beliau novel ini
merupakan lanjutan daripada pengaruh Asas 50? Selain dari itu, apa perlunya
disebut-sebut Machiavelli? Sebuah novel
tidak menjadi agung hanya kerana menyebut nama Machiavelli. Dr. Saleeh Rahamad
sering menyebut Sejarah Melayu untuk
dikaitkan dengan Naratif Ogonshoto,
dengan komen yang menarik, “Format naratif dalam Naratif Ogonshoto mengambil bentuk teks Sejarah Melayu”, dengan episod yang bersifat mendiri tetapi secara
keseluruhannya menerangkan bahawa sesebuah negara akan runtuh akhirnya akibat
kezaliman pemerintahnya. Perbandingan
ini tidak saja tidak tepat, tetapi amat mengelirukan kerana seluruh
cerita/episod dalam Naratif Ogonshoto
berbentuk sensasi, yang tidak ada dalam Sejarah
Melayu. Pembunuhan yang ketara dalam Sejarah
Melayu bukanlah pembunuhan yang sensasi, seperti dalam Naratif Ogonshoto. Dalam
konteks Melaka, pembunuhan itu bukanlah suatu kezaliman pada zaman itu, tetapi
suatu kemestian dalam budaya yang meletakkan maruah lebih besar dan lebih
tinggi kedudukannya daripada agama dan keadilan; malah pembunuhan itu sesuatu
yang adil sama ada untuk menutup maruah atau menjaga maruah dalam konteks
menuntut bela. Untuk kembali ke zaman Melaka dan menyaring pengajaran daripada
perilaku pembesar Melaka adalah suatu pilihan yang tidak bertanggungjawab, jika
tidak diberi konteks yang betul. Apakah konteks yang betul itu? Melaka telah
memberikan satu sistem pentadbiran kepada orang Melayu yang masih diteruskan
hingga sekarang, yang kini dijadikan salah satu unsur penting dalam sistem
politik Melayu moden yang menjadikan raja-raja Melayu sebagai “the custodian of
the Malay race”! Ini sebenarnya adalah sesuatu yang amat istimewa bagi raja dan
orang Melayu sendiri. Adakah ini bermakna mereka mewarisi kezaliman Zaman
Melaka? Soalan ini tidak mungkin dijawab oleh Naratif Ogonshoto yang kelihatan sangat naif dibandingkan dengan Sejarah Melayu. Anda hanya boleh faham
hakikat ini jika anda menelitinya daripada perspektif Dua Mitos Agung dalam politik Melayu. Daripada menyebut
Machiavelli, inilah aspek politik yang perlu anda sebut, dan faham implikasinya
dalam sistem politik yang ada sekarang. Hal ini saya bayangkan dengan agak
jelas dalam Aligupit. Kalau sarjana
Melayu rajin membaca, dia mungkin bertemu dengan Aligupit, dan jika dia seorang yang pintar dan cerdik, dia akan
membuat perbandingan yang lebih menarik antara Aligupit dengan Naratif
Ogonshoto. Aligupit, sebagai
sebuah novel idea, mengajak anda berfikir dan cuba mengerti apakah yang sedang
berlaku dalam politik Melayu sekarang. Sekurang-kurangnya anda tahu bahawa kita
sebenanya mempunyai dua kerajaan. Anda akan mendapat jawapannya jika anda
membaca Aligupit dengan kreatif dan
kritis, yang anda tidak mungkin dapat daripada Naratif Ogonshoto: yang pertama itu berasaskan pemikiran; yang
kedua berasaskan sensasi.
Mengapa setiap penentangan di Tanah Melayu
mesti bercorak sosialis? Soalan ini tidak dapat dielak jika kita meneliti
sejarah perjuangan politik Melayu peringkat awal, selepas dimulai oleh para
ulama jauh sebelum itu. Dari segi sejarah, yang awal menentang penjajahan ialah
para ulama, dengan itu politik di Tanah Melayu dicorakkan oleh mereka. Mengapa
tiba-tiba berubah arah? Semua ini perlukan penjelasan, dan sang sasterawan
sendiri nampaknya menulis dalam sejenis kekosongan sejarah dengan mengambil
jalan mudah untuk berkhayal sepenuhnya, dengan itu membebaskan dirinya daripada
memahami sejarah perjuangan bangsanya. Tidak saja dia tidak berminat kepada
persoalan masyarakat Melayu yang masih mencari pemimpin besar yang boleh dipercayai
dan yang cukup berpengaruh untuk membebaskan rakyat daripada belenggu
feudalisme dan sikap tidak kritis sehingga boleh menerima apa saja yang
dilontarkan oleh ketua mereka seperti yang dapat kita lihat sekarang? Sebuah
novel besar, jika kita percaya kita memerlukan novel besar itu, harus
membicarakan masalah masyarakatnya sendiri, bukan memilih jalan khayal untuk
kononnya melontarkan idea besar sebagai karya universal yang boleh diterima di
mana saja sebagai suatu dongeng? Naratif
Ogonshoto adalah sebuah dongeng moden yang tidak berasaskan apa-apa
pemikiran filsafat yang akan membolehkannya memberi makna baru kepada dunia,
jika benarlah sarjana kita obses sangat dengan aspek universal itu. Dalam
konteks ilmu, yang disorak-sorak oleh para sarjana ini tidak bererti apa-apa,
kerana yang diperlukan oleh bangsa Melayu ialah karya-karya yang boleh
mencerdikkan mereka. Di manakah karya begitu? Novel Anwar Ridhwan ini
lebih-lebih lagi mengusutkan pembaca yang tidak kritis, dengan memberi isyarat
yang palsu tentang makna kehidupan manusia bertamadun. Apakah yang mendorong
sasterawan ini memilih kejahatan untuk diusap oleh para sarjana yang cetek
meraba-raba? Sampai bila para penulis kita hanya menyerlahkan kebolehan mereka
sebagai penglipur lara. Kita perlukan penulis yang tajam pemikirannya dan
memahami keperluan masyarakatnya. Naratif
Ogonshoto tidak dapat memenuhi fungsi intelek itu, walaupun Dr. Saleeh
Rahamad memberitahu kita novel ini memerlukan kecanggihan taakul untuk
memahaminya. Ini satu pendapat yang amat aneh apabila disuarakan oleh seorang
ahli akademik, yang nampaknya membacakan
terlalu banyak “makna” yang tidak terdapat di dalam novel ini, yang hanya
diada-adakan oleh mereka dalam konteks pretensi intelektual yang cukup kaya
dengan fatamorgana bahasa yang tidak memberi apa-apa makna yang boleh
mencerdikkan pembaca, khususnya bangsa Melayu yang masih jauh ketinggalan dalam
aspek pemikiran ini. What a let down!
Inilah yang boleh kita panggil cara berfikir “baju baru sang maharaja”, yang
hanya disedari telah ditipu oleh tukang jahit kelentong yang menggunakan
retoriknya untuk menjahitkan baju paling cantik untuk sang raja. Jika anda
teliti perilaku para sasterawan dan ahli akademik yang memuji mereka, anda akan
dapat melihat perilaku tukang jahit kelentong yang sangat pandai bermain
retorik. Kita masih berada dalam dunia yang penuh dengan pretensi retorik
peragaan yang tidak berisi sebenarnya. Barangkali di sinilah keistimewaan novel
Anwar Ridhwan ini. Jika anda tahu serba
sedikit tentang teori politik dunia, novel ini terlalu naif dan cetek dari segi
“pemikiran” politik, terutama tentang teori demokrasi yang dalam praktiknya
dipergunakan sewenang-wenang oleh “kuasa besar” dunia untuk menakluk negara
yang menolak demokrasi. Demokrasi adalah punca korupsi yang dijadikan projek
dalam pembangunan ekonomi yang ditentukan oleh pemenang pilihan raya. Satu
aspek demokrasi yang jarang dibincang di Malaysia ialah yang diungkapkan oleh
para ahli akademik dalam bidang politik sebagai “the mobilization of bias”. Untuk menang pilihan raya, parti politik
mengemukakan manifesto masing-masing, yang digunakan sepenuhnya untuk mendapat
sokongan pengundi dengan menggunakan pendekatan (strategi) “the mobilization of
bias”, yakni pengundi digerakkan untuk percaya kepada manifesto melalui teknik
“mobilization of bias”. Siapa yang banyak wang dan kuasa, berada dalam keadaan
yang selesa, oleh itulah mana-mana parti yang berkuasa akan mempertahankan
kuasanya bermati-matian melalui “mobilization of bias” itu. Inilah kekejaman tersembunyi, yang melahirkan
kezaliman ekonomi, pendidikan, penerangan/maklumat dan sebagainya. Maklumat dikawal ketat dan
digunakan untuk maksud propaganda, bukan untuk memberi maklumat yang telus.
Perbincangan tentang aspek ini terdapat dalam Aligupit, tetapi tidak ada dalam Naratif Ogonshoto. Idea
tentang dua kerajaan yang dibincang dalam Aligupit
boleh membantu rakyat/pengundi untuk memahami bagaimana mereka tertipu dan
ditipu dalam pilihan raya dalam sistem demokrasi. Di Malaysia, demokrasi
digunakan untuk memperbodohkan rakyat supaya dengan itu mereka terus bergantung
pada parti pemerintah. Pilihan mereka ditentukan oleh pemerintah, dalam sistem
demokrasi yang mengamalkan “the
mobilization of bias”. Adakah demokrasi memberi kebebasan, atau hanya janji
tentang kebebasan? Dalam kritikan
sastera pun begitu: pujian yang berlebihan tidak menjanjikan apa-apa, selain
dari menutup kelemahan novel yang terserlah apabila dinilai dengan kritis dan
kreatif.
Kesimpulan Kritis
Perbincangan
kritis yang diangkat di sini memberi isyarat bahawa banyak sekali yang tidak beres dalam kritikan dan
penilaian sastera. Pujian yang luar
biasa terhadap novel Naratif Ogonshoto
menimbulkan kemusykilan bersifat psikologi dan sekali gus akademik: Adakah para
sarjana yang berlumba-lumba memberikan pujian yang begitu bombastik itu akibat
dari keinginan untuk menumpang kedudukan Anwar Ridhwan, bukan kerana kualiti
novelnya yang tulen. Bagi orang yang
tidak terpesona, atau sekurang-kurangnya yang tidak lekas terpesona, novel
Anwar Ridhwan adalah begitu biasa dan cetek pengolahannya, tetapi sangat kaya
dengan sensasi yang bertaraf rendah. Sensasi yang bertaraf tinggi, jika kita
boleh berkata begitu, ialah satu episod dalam The Brothers Karamazov
apabila seorang paderi mencium
kaki seorang watak yang dianggap hina dalam novel itu, sehingga menjadi satu
episod yang terkenal dalam sastera Barat.
Saya telah mengkritik pujian yang bombastik dan keliru seperti ini dalam
kertas kerja yang dibentang dalam Seminar Jenaka Nusantara (anjuran DBP di
Universiti Malaya, 2003) ketika membicarakan novel Kawin-kawin yang menang Hadiah Sako. Prof. Ungku Maimunah Mohd.
Tahir telah meneliti dengan cermat penilaian terhadap novel Harga Sebuah Maruah (rujuk makalah
beliau, “Novel Harga Sebuah Maruah
oleh Azizi Haji Abdullah: Kepincangan Penilaian Sebuah Pemenang
Sayembara,” kertas kerja yang
dibentangkan di Sim;posikum Kebudayaan Indonesia – Malaysia XII (SKIM XII)
anjuran bersama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universitas Padjadjaran,
Indonesia di Universiti Kebangsaan
Malaysia, Bangi, 29 – 30 November,
2011.) Analisis dan huraian Prof. Ungku
Maimunah sangat penting kerana kertas ini meneliti dengan cermat bagaimana
sesuatu keputusan pertandingan menulis dinilai. Saya salin kesimpulan beliau
yang penting, untuk menjadi renungan dan peringatan kepada para sarjana,
terutama yang menjadi penilai.
“Analisis di
atas menunjukkan wujudnya kepincangan yang amat ketara dalam penilaian dan
pengiktirafan novel HSM. Ternyata, kepakaran mantap dan mendalam tentang
sastera yang semestinya ada bagi
urusan penilaian dan pengiktirafan, jelas tidak ketara. Malah kekeliruan dan
kecetekan fahaman yang terserlah, yang seterusnya dijadikan panduan penilaian.
Analisis kritis dengan mudah dapat mendedahkan bahawa dakwaan tentang kekuatan
dan keistimewaan novel itu sebenarnya tidak mempunyai asas yang kukuh, yang
boleh dipertanggungjawabkan secara ilmiah. Malah dalam banyak hal, dakwaan yang
dibuat terang-terangan bercanggah dengan bukti dalaman novel yang dinilai.
Berdepan dengan keadaan seperti ini, adalah munasabah dan bertanggungjawab
sekiranya kepakaran yang mantap dan mendalam disyaratkan sebagai asas
penilaian, sementara laporan yang terhasil daripada penilaian tersebut
dipastikan lebih mantap dan bertanggungjawab, bukan dakwaan atau hujah yang
bersifat umum, jauh sekali retorik yang gah semata.
Kepincangan penilaian yang
diperlihatkan dalam analisis di atas menarik perhatian kepada perkara yang
lebih penting iaitu kriteria penilaian yang tertumpu pada kefahaman prioriti
cerita. Adakah kriteria penilaian seperti ini yang terbaik bagi kita dan dapat
menjamin akan terhasilnya karya yang bermutu tinggi untuk diwariskan sebagai
khazanah bangsa yang boleh dibanggakan? Ternyata kefahaman tersebut
mengetepikan ilmu iaitu teras sebuah tamadun yang berjaya. Tentu sekali
mengekalkan kefahaman yang dingin terhadap ilmu bukanlah satu pilihan yang
bijak, lebih-lebih lagi apabila ada pilihan lain, yang bertunjangkan keyakinan
yang murni dan kefahaman yang utuh terhadap keutamaan ilmu dan kerelevanannya
dalam penulisan kreatif.
PB menyediakan satu gagasan yang jelas
tentang peri pentingnya ilmu itu diutamakan, di samping peka pula terhadap
kedudukan, fungsi dan bentuk kehadiran cerita, dan dengan itu memastikan karya
kreatif dihasilkan dan dinilai dengan penuh wibawa, bebas dari kekeliruan dan
kekaburan di samping peka kepada seni. Ini adalah anjakan yang dinamik, yang
menjanjikan hasil persuratan yang tinggi ilmunya dan halus pula seninya. Dalam
konteks kesusasteraan Melayu, inilah sebenarnya anjakan yang diperlukan.”
Naratif Ogonshoto juga menghadapi masalah yang
sama. Inikah jenis sastera yang ingin
dijadikan teras negara bangsa? Hanya Pak
Pandir yang boleh menjawab soalan cepu mas ini.
Dirgahayu pandirisme.
No comments:
Post a Comment