Pertemuan
penting untuk mengangkat sasterawan negara di UKM pada 16 November 2018 perlu
menggunakan ukuran yang tepat dan objektif, yang tidak dapat diberikan oleh
teori sastera Barat. Mahu tidak mahu, anda tidak boleh lagi berdalih untuk
menggunakan ukuran Barat yang menentang kedudukan ilmu dalam seni mengarang
seperti yang ditegaskan dalam epistemologi Islam. Walaupun anda tidak selesa
dengan PB, anda terpaksa juga menggunakan ukuran yang dibakukan oleh kaedah
yang diberikan oleh PB. Anda tidak ada pilihan, oleh itu anda tidak dapat
mengelak daripada menggunakan kaedah PB jika anda benar-benar jujur melantik
sasterawan negara kerana keistimewaan karya mereka, yang sebenarnya hanya karya
picisan. Seluruh dunia sastera menghadapi malu besar jika anda tidak mahu
selesaikan isu penting ini.
Jika anda seorang pengkaji
yang teliti dan jujur, anda harus menerima hakikat bahawa sasterawan negara
bukanlah golongan pemikir, oleh itu tidak layak ditempatkan sebagai golongan
istimewa dalam sastera Melayu.
Dalam seminar pemikiran sasterawan negara A.
Samad Said tak berapa lama dulu, saya bertanya Prof. Rahman Shaari, adakah A.
Samad Said seorang pemikir? Saya terkejut dan hairan apabila beliau mengatakan
tidak, ertinya A. Samad Said bukan seorang pemikir. Siapakah di antara
sasterawan negara yang ramai itu boleh diterima sebagai seorang pemikir? Ada
orang berkata, soalan itu sangat nakal, bertujuan untuk menghina para
sasterawan negara. Ini pun satu hal yang sangat pelik dan memalukan,
seolah-olah orang yang beranggapan demikian, kerana terlampau ghairah ingin
mempertahankan kedudukan sasterawan negara, telah menjadikan mereka seolah-olah
patung Kristus di Gereja Sastera Malaysia.
Di Indonesia pula, kegiatan sastera dalam pandangan Prof. A. Teeuw,
adalah sejenis gerakan gereja tidak rasmi, yang membolehkan orang Indonesia
berasa sangat bangga apabila H. B. Jassin digelar Paus Sastera Indonesia oleh
Gayus Siagian. Mengapa harus diberi gelar “Pope” tidak pernah dipersoalkan,
walaupun H. B. Jassin telah menulis tafsir (lebih tepat terjemahan harfiah)
Quran, dan dia memang seorang Islam. Bagaimana masyarakat Indonesia boleh berbangga
apabila dia digelar Paus Sastera Indonesia?
Nampaknya idea ini dibawa masuk ke Malaysia, sama ada disedari atau
hanya untuk megah terikut-ikut saja, dengan meletakkan para sasterawan negara
ini sebagai golongan istimewa yang mesti diiktiraf sebagai kelompok yang berada
di luar pagar kritikan seperti yang diberikan kepada para paderi. Mengapa mesti
meletakkan mereka di luar pagar? Dengan berbuat begitu, mereka bebas dari
segala kritikan yang akan meletakkan mereka seolah-olah setaraf dengan para sasterawan lain, padahal mereka adalah
golongan istimewa dan telah dianggap demikian oleh negara yang memberikan
mereka gelaran itu. Sekarang anda faham apa maksud saya membawa cerita H. B.
Jassin ini? Kata orang yang berpendapat begini, para sasterawan negara sendiri
telah menerima hakikat itu dan dengan sedar meletakkan diri mereka sebagai
golongan istimewa. Anda mahu bukti? Di mana saja anda bertemu mereka, anda
mesti address “sasterawan negara”;
dan dalam tiap majlis, gelaran dan nama mereka mesti disebut. Dalam satu peristiwa, ada seorang yang
bergelar ini masuk majlis dan duduk bersama orang lain; tiba-tiba ada satu
orang besar sastera memberi ucapan aluan, dia sebut beberapa nama, yang bukan sasterawan negara; tetapi tidak menyebut nama
orang itu padahal dia sedar kehadiran orang itu; maka marahlah orang itu kerana
berasa terhina. Oleh itu, mereka mestilah diberi keutamaan dalam mana-mana
majlis sastera. Jika tidak, mereka mengomel tidak puas hati; dan omelan mereka
ini telah lama kedengaran. Walaupun ada sasterawan lain tertawa kerana
menganggap perbuatan itu lucu, namun sebahagian besar sasterawan menerima
omelan itu sebagai suara protes yang wajar.
Kata orang yang baik-baik, apa guna diberi gelaran jika tidak disebut
dan orangnya tidak diangkat-angkat? Sebenarnya memang betul, kerana itulah
budaya Melayu. Jadi sebagai orang berbudaya dan beradab sopan yang tinggi,
mereka mesti dihormati dan disanjung setiap masa, tanpa ragu-ragu. Lebih-lebih
lagi mereka pun mahu dilayan begitu.
Adakah ini bentuk feudalisme sastera?
Ada orang mengomel, tak pasal-pasal kita dibeban dengan feudalisme
sastera seperti ini. Jika kita meneliti
semua ini, tidak dapat dielakkan lagi kita harus bertanya: Siapakah sebenarnya
sasterawan negara ini?
Soalan itu tidak boleh dijawab oleh seorang
pengkritik sastera, yang di Malaysia telah diberi peranan dan kedudukan sebagai pakar untuk
memuji para sasterawan negara, dan secara umum sasterawan lain yang masih
menunggu giliran. Ini menimbulkan
sedikit masalah: Jika soalan itu tidak boleh ditanyakan, bagaimana kita akan
menentukan status para sasterawan negara ini?
Sebenarnya status mereka telah dipastikan melalui majlis rasmi yang
dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong yang menganugerahkan sendiri ijazah untuk
membolehkan seseorang sasterawan diberi gelaran Sasterawan Negara. Itulah
kedudukan mereka, sebagai seniman di raja, yang sama taraf dan kedudukannya
dengan “polis di raja, “askar Melayu di raja”, “kastam di raja”, dan lain-lain
lagi yang diberi gelaran “di raja”. Terloncat satu
soalan nakal daripada seorang murid kelas satu yang baru meninggalkan kelas
tadika: “Adakah para sasterawan negara ini sama darjat dan kedudukannya dengan
Profesor di Raja?” Gurunya menjawab
pantas: “Tentu tidak sama. Kita mempunyai hanya seorang Profesor
Di Raja, tetapi sasterawan di raja yang bergelar sasterawan negara itu sudah
berjumlah 13 orang semuanya, dan akan ditambah lagi. Lainlah jika kita menambah
gelaran Profesor di Raja setiap tahun. Pada ketika itu samalah kedudukan
seniman di raja yang bergelar sasterawan negara itu dengan kedudukan seorang
profesor yang bergelar Profesor di Raja. Kamu faham?”. Semua murid kelas satu (kini dipanggil tahun
satu) meneriakkan dengan penuh bersemangat: “Faham cikgu!!”
Itulah ceritanya. Atau: Begitulah cerita
kedudukannya. Adakah sama maknanya dua kesimpulan ini, atau kedua-duanya tidak
bermakna apa-apa? Yang sah dan pasti
ialah Dewan Bahasa dan Pustaka telah mengadakan seminar pemikiran sasterawan
negara untuk semua sasterawan negara, dan bukunya telah diterbitkan dengan
pengantar oleh sasterawan negara sendiri.
Sama ada mereka pemikir atau apa ditentukan oleh karya dan sumbangan
mereka. Yang akan menentukannya ialah pembaca yang kritis yang memberikan bukti
dan hujah sebelum membuat kesimpulan. Di
antara mereka ada yang tinggi kedudukannya, ada yang sederhana, dan ada yang
rendah saja kedudukannya. Mereka tidak setaraf, walaupun sama dari segi
gelaran. Walaupun mereka diberi gelaran,
namun gelaran tidak menentukan kualiti karya mereka. Oleh itu ada di antara
mereka yang menulis karya picisan, hatta selepas diberi gelaran sasterawan
negara; dan ada di antara karya picisan yang ditulis sebelum mereka diberi
gelaran itu dijadikan bukti untuk melantik mereka sebagai seniman di raja yang
diberi gelaran sasterawan negara.
Sebagai penulis dan sasterawan, mereka bukanlah istimewa; tetapi gelaran
sasterawan negara itu sangat istimewa, yang membolehkan mereka diletakkan di
luar pagar kritikan. Itulah kedudukan
sebenar para sasterawan negara. Oleh itu mereka tidak perlu diberi taraf
seorang pemikir kerana tidak diberi peluang untuk diuji sehabis kritis dalam
analisis dan penilaian yang ketat berasaskan ukuran yang boleh diuji
kesahihannya, tidak kira dari mana datangnya ukuran itu. Kritikan cerita yang dipakai untuk menilai
karya mereka, seperti yang dibuat sekarang,
hanya menyerlahkan kedudukan mereka sebagai penglipur lara moden atau
penulis cerita, bukan sebagai pemikir.
Jika kita benar-benar berminat untuk membuktikan mereka sebagai pemikir,
maka kita harus menggunakan kritikan wacana yang lebih teliti, kritis, dan
objektif menganalisis dan menilai “pemikiran” mereka, bukan hanya bercerita
tentang “pemikiran” mereka. Itulah
pilihan yang perlu kita buat; dan untuk itu kita perlu meletakkan sasterawan
negara di canai wacana yang disediakan oleh gagasan Persuratan Baru. Tidakkah
itu namanya melanggar feudalisme sastera? Tak pasal-pasal anda dipaksa membuat
pilihan: terus bersama feudalisme sastera, atau
membina tradisi persuratan berasaskan konsep ilmu yang benar.
Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 12/11/2018.
No comments:
Post a Comment