Nota: Saya bertemu tulisan lama ini secara tak sengaja. Bila dibaca balik, rasanya bagus pula disiarkan di blog ini, boleh juga difikirkan oleh sesiapa yang suka berfikir. Sekurang-kurangnya sebagai rekod untuk anak cucu.
Cucu Dato Onn, anak Tun Hussein yang disingkirkan Dr.
Mahathir Mohamed, Timbalannya, bekas (bukan mantan) Ketua Pemuda UMNO, menyelar
kehadiran petualang dalam politik Malaysia yang menurutnya menentang semua yang
dipropagandakan oleh UMNO. Ketua Pemuda ini menyenaraikan perkara-perkara yang
kita dengar dan baca setiap hari yang ditujukan kepada parti bukan UMNO. Antara
yang sering disebut ialah mereka (para petualang) menentang dan melanggar Perlembagaan Negara,
mempersetankan undang-undang negara, menderhaka kepada raja-raja Melayu, menentang ketuanan Melayu. Dengan lagak
seorang raja besar, Ketua Pemuda ini dibawakan sebilah keris panjang, lalu
ditarik dari sampirnya, dicium seperti Agong mencium keris kerajaan pada
upacara rasmi. Sungguh hebat Ketua Pemuda UMNO ini. Lepas mencium keris itulah
beliau membelasah para petualang yang tidak disebut namanya, tetapi dikomen
oleh juru hebah TV beliau maksudkan Anwar Ibrahim dan rakan-rakannya dalam
Pakatan Rakyat. Orang ini nampaknya sudah lupa daratan tidak ingat lagi datuk
dan bapanya keluar UMNO kerana tidak bersetuju dengan prinsip-prinsip UMNO.
Sampai hati orang ini mengutuk datuk dan ayahnya sebagai petualang, pengkhianat
bangsa Melayu kerana meninggalkan UMNO waktu kedua-duanya diperlukan oleh UMNO.
Hussein Onn ketika itu jadi Ketua Pemuda. Sekarang kedua-dua tokoh UMNO yang
pernah lari dari UMNO ini menjadi ikon di Bangunan UMNO dalam lukisan potret a
la Hang Tuah yang cukup menarik. Lagak lupa diri, lupa daratan, lupa taraf
peribadi, lupa pendeknya lompat katak, lupa ceteknya semburan seranah, adalah
gambaran jelas nyata kualiti tanpa kualiti para “pemimpin” (jangan tinggal koma
pengikat kata pada perkataan “pemimpin”) UMNO yang hebat, tetapi tidak
menggerunkan. Bandingkan dengan lembutnya Dr. Burhanuddin, yang menggerunkan
sesiapa juga yang tahu erti karamah, ketika beliau memberi ucapan
memperingatkan bangsanya supaya jangan mengkhianati perjuangan mereka. Dr.
Burhanuddin tidak mencabut keris panjang-panjang ketika berucap, tetapi tiap
patah kata yang lahir dari mulutnya adalah keris pendek yang tajam bagi orang
yang tahu bahasa bersopan. Itulah watak negarawan bertamadun. Sungguh ajaib
bagaimana bekas Ketua Pemuda UMNO begitu bangga dengan watak tidak
bertamadunnya. Adakah itulah watak para “pemimpin” UMNO?
Barisan baru kepemimpinan UMNO yang diketuai Najib Tun
Razak yang menolak Abdullah Badawi
dengan cara memalukan (kata orang UMNO itulah tradisi UMNO kerana Tun Razak
buat begitu kepada Tunku Abdul Rahman, Dr. Mahthir sendiri pun berbuat begitu
terhadap Hussein Onn), dengan arahan Dr. Mahathir Mohamed, adalah barisan
Malayan Union. Bagi orang yang tidak faham tentang rahsia Malayan Union dalam
politik UMNO, tentulah terasa agak pelik bagaimana tiba-tiba muncul balik
Malayan Union dalam barisan kepemimpinan baru UMNO? Inilah kemenangan Dr.
Mahathir Mohamed yang membawa bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu untuk orang
Malaysia, khususnya orang Melayu, melalui PPSMI yang dikutuk oleh para pejuang
bahasa itu. Kemenangan besar cucu Dato’ Onn sebagai Naib Presiden UMNO dengan
undi besar membuktikan UMNO, melalui perwakilannya, menerima bahasa Inggeris dan
Malayan Union sebagai warisan UMNO yang mesti dipertahankan “hingga ke titisan
darah terakhir”. Begitu hebat komitmen mereka terhadap bahasa Inggeris dan
semangat kolonial (penjajah) ini, sehingga semangat dan komitmen itu dijadikan
asas “kemajuan Malaysia” dalam abad 21 yang mesti dipertahankan walaupun UMNO
ditolak oleh orang Melayu dan akan dihumban ke Laut China Selatan dalam PRU 13
nanti. Memang benar gesaan Prof. Emeritus Nik Safiah Karim, bahawa PPSMI hanya dapat dihapuskan dengan menolak
UMNO dalam pilihan raya nanti, dengan menghumbannya ke dalam laut. Adakah
perwakilan UMNO tidak berjiwa Melayu atau pura-pura berjiwa Melayu dengan
menerima PPSMI? Mereka tentu tidak bodoh untuk mengkhianati perjuangan mereka
membela bahasa Melayu, seperti yang mereka sering laungkan sambil mencium
keris, dengan memilih PPSMI sebagai asas kekuatan UMNO di bawah Najib Tun
Razak. Sekiranya orang Melayu belum sedar dan belum lihat erti barisan baru
ini, maka mereka, orang Melayu yang sudah hilang Tanah Melayunya, akan hilang bahasa Melayunya dan budaya
Melayu yang telah dijadikan prinsip utama dalam Kongres Kebudayaan Melayu 1971.
Tentu saja para pemimpin UMNO sudah lupa semua ini kerana mereka sudah kaya dan
mereka tahu bahasa Inggeris akan lebih mengayakan mereka lagi, oleh itu mesti
diperjuangkan sebagai bahasa baru untuk orang Melayu. Kini timbul persoalan:
Siapa petualang, siapa pula pengkhianat bangsa Melayu? Adakah dua kumpulan ini
sama taraf? Menurut cucu Dato’ Onn, mereka bukan petualang, bukan juga pengkhianat
walaupun mereka memperjuangkan bahasa Inggeris dengan jujur untuk memajukan
orang Melayu. Mereka adalah pewaris Malayan Union yang diberi wajah baru dalam
PPSMI yang disokong penuh oleh Najib Tun Razak, ahli-ahli MT UMNO yang baru,
dan seluruh perwakilan UMNO. Orang Melayu harus bersyukur dan gembira kerana
kini mereka tahu dengan jelas siapa UMNO sebenarnya. Adakah mereka mahu
kekalkan UMNO dalam politik Malaysia setelah mengetahui hakikat sebenar parti
warisan Malayan Union itu? Bodohlah orang Melayu jika mereka masih mahu
menerima kumpulan PPSMI yang mengkhianati seluruh cita-cita politik dan
aspirasi mereka selama ini untuk mendaulatkan bahasa dan budaya Melayu di Tanah
Melayu yang sudah hilang itu. (27/3/2009)
Mohd. Affandi Hassan
No comments:
Post a Comment