Thursday, November 22, 2018

BUDAYA BERPUTAR-PURAT DALAM POLITIK DAN SASTERA



Ungkapan berputar-purat dijelaskan dalam entri 5 Ogos 2010. Lihat penjelasan ungkapan ini dalam entri itu. Dalam bahasa percakapan yang terkenal di Malaysia, perkataan kelentong bolehlah dijadikan perkataan seerti dengan berputar-purat, walaupun kedua-duanya terdapat sedikit perbezaan. Untuk kelentong, sila rujuk Kamus Dewan; perkataan ini tidak terdapat dalam Kamus Besar Bahasa Indonesia. Apakah perkataan dalam bahasa Indonesia yang seerti dengan kelentong?  Menurut Kamus Dewan, antara makna “kelentong” ialah menipu dengan kata-kata yang memperdaya dan mempengaruhi. Nampaknya inilah ciri-ciri sastera Melayu yang boleh kita lihat dalam karya para sasterawan negara.  Bolehkah kita berkata, sasterawan negara adalah tukang kelentong?  Yang pasti ialah penilaian Panel Anugerah Sastera Negara memang diasaskan kepada retorik kelentong ini. Sila baca entri bertarikh 4 April 2015 ketika menilai novel Naratif Ogonshoto. Terlalu panjang untuk saya salin di sini, anda perlu baca sendiri jika mahu lihat bagaimana Panel Anugerah Sastera Negara menggunakan aspek kelentong ini untuk menilai novel picisan Naratif Ogonshoto.

Isu yang cuba dibincangkan di sini jarang disebut, walaupun “falsafah” kelentong menyerlah dengan jelas setiap hari dalam TV, diucapkan oleh ahli politik, juru acara atau juru hebah TV dan Radio dan menjadi isu yang lumrah dalam berita dan ulasan berita. Isu ini timbul dalam entri ini kerana ada yang tidak faham membaca entri yang lepas (bertarikh 20/9/2018) mengenai Kementerian Pendidikan dan Menterinya serta Penasihat Kepada Menteri Pendidikan.  Ada yang berkata kedua-dua makhluk ini sacred, tidak boleh dijadikan bahan perbincangan. Tetapi kerajaan PH memberi kebebasan bersuara asal jangan melebihi batas susila dan undang-undang. Kalau tidak boleh, apa makna kebebasan dan untuk siapa? Demikianlah tepatnya ungkapan berputar-purat itu terkena ke batang hidung orang politik. 

Para sasterawan, sarjana dan pengkritik sastera pun tidak terlepas dari tabiat ini. Jika anda membaca dengan kritis tulisan saya dalam blog ini yang membicarakan para sasterawan dan sarjana, anda akan dapat melihat lagak berputar-purat mereka dengan jelas. Sekali lagi (sorry), contoh yang sudah menjadi klasik dalam sastera Melayu ialah perihal seorang profesor emeritus yang juga seorang sasterawan negara memanjat bumbung kilang besi berkarat untuk mendapat ilham dan menulisnya di atas bumbung berkarat itu. Hendak ketawa pun tidak sampai hati, kerana itulah saja kemampuan intelektual dan akademiknya. Orang ini buktikan dengan amat kemas dalam pandangan kritisnya yang mempersoalkan kaedah Barat digunakan untuk menilai karya sastera Melayu. Contoh ini pun sangat masyhur; tetapi bila DBP buat seminar tentang “pemikiran” beliau, dia berpesan kepada murid dan pengikutnya, seorang sarjana, supaya tulis elok-elok tentang dirinya dan karyanya. Baca tulisan Dr. Siti Hajar untuk seminar itu.  Ungkapan, atau rangkaian kata “berputar-purat” tepat sekali dipakai untuk tokoh seperti ini.

Tidak dapat diragukan lagi contoh “berputar-purat” yang sudah menjadi klasik dalam kritikan sastera Melayu ialah tulisan Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tentang novel Naratif Ogonshoto, yang amat dibanggakan oleh para penilai Hadiah Sastera Kebangsaan untuk diberi hadiah esei terbaik dalam tahun 2005 oleh DBP.  Betapa mengarutnya esei yang mendapat hadiah ini hanya boleh disedari jika anda, sebagai pembaca, familiar dengan teori sastera Barat yang dijadikan sandaran dan rujukan oleh sarjana terkenal ini.  Kelucuan paling menonjol ialah tentang konsep postmodernism yang dijadikan asas utama oleh sarjana ulung ini untuk menilai karya sasterawan negara yang dari segi ilmiah adalah sebuah karya picisan, bukan karya kreatif yang berbobot.

Dalam politik, contoh putar-purat terbaik ialah penubuhan PPBM.  Inilah sepatutnya nama UMNO dalam bahasa Melayu. Cuba anda lihat pakaian seragam dan warna bendera mereka, merah seperti bendera dan pakaian ahli UMNO. PPBM adalah UMNO yang direkon oleh Tun Mahathir, menunjukkan betapa kuatnya jiwa UMNO dalam dirinya. Tentulah lebih baik bagi UMNO dan juga PPBM jika UMNO diserapkan ke dalam PPBM kerana itulah juga UMNO BARU yang dicipta oleh Mahathir apabila UMNO lama diharamkan. Tentu anda masih ingat peristiwa ini, yang cukup menarik untuk dijadikan peristiwa penting dalam kehidupan politik Melayu yang dipermainkan oleh para pemimpin mereka sesuka hati sang pemimpin.  Sekarang anda dapat memahami dengan lebih mudah dan tepat makna berputar-purat.  Sangat cantik!  (Nota:  Waktu saya menulis entri bertarikh 27/3/2009 yang baru saja disiarkan, ungkapan berputar-purat belum lahir. Tetapi jika anda baca entri itu baik-baik, anda akan dapat mengesan dengan mudah sifat berputar-purat dan retorik kelentongnya. Memang ahli politik kita sangat hebat dalam menipu rakyat atau pengikut mereka.)

Sekadar memberi gambaran dalam kritikan sastera, saya telah menunjukkan beberapa contoh berputar-purat ini. Yang terbaik bagi saya ialah kelahiran the aesthetics of adultery  yang dicetuskan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan dihuraikannya dengan terperinci dalam tesis Ph.D. beliau di USM, diterbitkan oleh USM dengan judul, Puitika Sastera Wanita Indonesia dan Malaysia: Satu Bacaan Ginokritik (USM 2012). Buku ini sangat istimewa kerana diberi dua hadiah “berprestij” oleh DBP dan Universiti Malaya. Perbuatan dua organisasi terhormat ini adalah contoh bagaimana putar-purat dilaksanakan tanpa memahami sumbangan sebenar buku ini dalam perkembangan intelektual Malaysia. Saya telah memberi ulasan panjang tentang hal ini dalam blog ini; termasuk disentuh juga dalam Hikayat Salim Adil.  (hal. 57-58). 

Dari segi akademik, buku Dr. Norhayati Ab. Rahman ini adalah sebuah karya picisan yang menobatkan perzinaan dalam masyarakat Melayu dan Indonesia. Melalui buku ini, Dr. Norhayati Ab. Rahman memperkenalkan the aesthetics of adultery dalam sastera Melayu yang menurut beliau adalah satu teori baru yang tidak kena mengena dengan perzinaan walaupun novel Ayu Utami itu dijadikan bahan analisis utama.  Apakah nama teori itu? Teori the aesthetics of adultery. Dalam bahasa Melayu bolehkah dipanggil teori Keindahan Perzinaan Dalam Sastera?  Kalau yang dikemukakan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman itu satu teori, nampaknya bertambahlah teori sastera bikinan sarjana sastera, lebih mudahlah para sasterawan hendak membuat pilihan teori mana yang mereka rasa selesa dipakai dalam penulisan kreatif.  Kita akan lihat nanti lebih banyak karya picisan berbentuk erotik dan porno ditulis dan diterima oleh masyarakat sebagai karya penting. Mana tahu penulisnya akan diberi anugerah sasterawan negara. Oleh itu para sarjana mempunyai lebih banyak pilihan, dan ketika itu mereka akan mempunyai lebih banyak karya untuk dirujuk dan dijadikan bahan pengajaran sastera di universiti. Jika ini berlaku, PB dan karya persuratan akan lebih menyerlah kerana akan jadi lebih jelas karya persuratan jauh berbeza dengan karya picisan. Sekarang sarjana sendiri pun tidak berapa jelas, masih kabur, kerana itulah ada yang memberi pujian amat tinggi kepada novel picisan Naratif Ogonshoto. Dalam konteks ini juga konsep berputar-purat itu lebih mudah difahami, dan mereka pun akan sedar novel agung itu tidak lain daripada karya dalam kelompok berputar-purat itu.  Jika anda faham maksud berputar-purat yang disebut dalam entri 5 Ogos 2010 itu, anda akan lebih mudah membuat pilihan dan penilaian terhadap karya akademik seperti Dr. Mawar Shafei tentang karya Anwar Ridhwan dan konsep intertekstualiti. Ini pun satu contoh yang jelas tentang maksud berputar-purat itu.  Pendeknya, konsep berputar-purat itu memberi anda kaedah yang mudah untuk mengenal pasti mana satu karya ilmiah yang benar-benar ilmiah, dan mana satu pula karya yang penuh dengan pretensi ilmiah padahal adalah sebuah karya picisan. Saya beri contoh kajian Dr. Mawar Shafie tadi. Kalau anda tidak jelas tentang perkara ini, anda akan jadi seperti juri yang memilih karya picisan yang dihasilkan oleh Dr. Norhayati Ab. Rahman dan oleh Dr. Mawar Shafie untuk diberi hadiah yang “berprestij”, kononnya!  Bila anda berdepan dengan Pujangga Melayu, atau Hikayat Buyung Lurus, atau Hikayat Salim Adil, anda akan terkulat-kulat tidak tahu bagaimana hendak menilai ketiga-tiga karya ini, kerana anda tidak mempunyai alat ilmiah yang membolehkan anda kelihatan cerdik dan mantap ketika membuat penilaian anda terhadap tiga buah karya persuratan itu. Kalau anda tidak faham maksud saya, eloklah anda terjun ke dalam Sungai Kelang untuk membersihkan diri supaya menjadi lebih cergas! Tetapi belum tentu lebih cerdas.  Waktu ini anda sedang bergelumang dengan kekotoran akademik yang membuat anda tidak rasa berbau busuk berada dalam kandang pandirisme, bersikap sebagai lembu kenyang.

Sekarang kita sampai kepada satu tahap yang paling penting dalam perkembangan gerakan berputar-purat ini dalam kritikan sastera. Siapakah tokoh besar yang sangat istimewa yang menjadikan putar-purat ini “nasi makan air minum” beliau? Tidak lain dan tidak bukan ialah Bapa Kritikan Moden yang amat terkenal di Malaysia, yang dijadikan contoh dan ikutan, tidak lain dan tidak bukan ialah Mana Sikana, yang nama sebenarnya Abdul Rahman Napiah, seorang yang menurut beliau sendiri “selesa” berbahasa Arab, tetapi klaim ini ditolak oleh Prof. Emeritus Dr. Bukhari Lubis sejak sekian lama dan disebut lagi dalam Syarahan Perdana beliau di UPSI, Kesusasteraan Islami Bandingan: Menyingkap Tabir Mengungkap Fikir (Tanjung Malim: Penerbit Unversiti Pendidikan Sultan Idris, 2017).  Di bawah tajuk “Pandangan yang tidak boleh menjadi teori”, (hal. 19), beliau menegur penggunaan perkataan Arab “Ta’abbudiyah” tidak boleh digunakan untuk menamakan satu teori sastera. Tegas beliau, “Istilah yang mendukung nama teori ini terlalu umum. Istilah ini boleh digunakan dalam sebarang aspek atau tindakan, atau banyak perkara yang boleh dilakukan dengan senang, dikira demi menjalankan ibadat, sehingga menyembelih ayam mengikut rukun-rukunnya boleh dikatakan ta’abbudi (kepatuhan demi melakukan ibadat).  (huruf tebal dan condong dalam asal.)  Sebenarnya, kehadiran Mana Sikana sebagai seorang sarjana (?) dan pengkritik (?) sastera adalah bukti kecetekan dan kekeliruan para sarjana sastera yang beliau pamerkan dan yang kemudiannya menjadi ikutan dan sanjungan para sarjana yang cetek meraba-raba. Kekeliruan dan kecetekan pengetahuan tentang sastera boleh dilihat dengan jelas dalam penggunaan  Teksdealisme dan seterusnya (i.e teori Ta’abbudiyah).  Bahawa Mana Sikana diterima sebagai Tokoh Agung Kritikan Sastera menunjukkan betapa rendahnya keupayaan intelektual para sarjana sastera.  Inilah inti pati yang paling menarik dalam budaya berputar-purat ini. Pendeknya, Mana Sikana adalah seorang tokoh besar dalam kandang pandirisme yang dinamakan “berputar-purat”.  Kehebatan Mana Sikana disindir dan dikritik keras oleh seorang penulis yang menamakan dirinya K. B. Tan, yang menulis di Dewan Sastera, Mei 1997, hal. 56. Judulnya sagat menarik: “Antara Ilmu dan Retorik Kosong”. 

Kita kutip beberapa pandangan beliau yang menarik.  Perhatikan perenggan pertama tulisan beliau: “Sastera Melayu masih ditukangi pendukung sastera yang lemah pemikirannya. Begitulah kesimpulan Azizi Hj. Abdullah (Berita Minggu, 30 Mac 1997) setelah membaca cerpen Hantu Bulan Puasa dan novel Suluh Peraba, kedua-duanya hasil karya Prof. Madya (kini profesor penuh yang senior) Rahman Shaari. Seterusnya Azizi menyuarakan rasa kecewanya terhadap kemelut dalam sastera Melayu moden.”

Prof. Rahman Shaari adalah seorang yang sangat beruntung. Ketika pakar gigi terkenal dari Kelantan menjadi VC Universiti Malaya, Rahman Shaari adalah teman rapat dengan beliau, baca sajak bersama, dan sebagai “pengkritik” Rahman Shaari memuji sajak-sajak VC itu. Persahabatan mereka terkenal di kalangan sasterawan sangat rapat. Pada ketika itulah Rahman Shaari dinaikkan pangkat sebagai seorang profesor. Ketika beliau memberikan “syarahan perdana” tentang sajak-sajak Melayu, terbuktilah beliau bukan seorang sarjana yang boleh dipercayai kualiti akademiknya. Saya telah memberi kritikan agak mendalam tentang syarahan perdana ini, yang tidak sedikit pun kelihatan ciri “perdananya”. Syarahan perdana ini hanyalah sebuah esei popular tentang sajak-sajak Melayu, yang dengan mudah dapat dipertikaikan kualiti akademiknya, seperti yang saya sebut dalam ulasan saya. Tentang novel, dan cerita pendek beliau, saya tidak pernah baca dan tidak pun tahu beliau menulis novel yang menurut para sasterawan menjadi kegemaran peminatnya. Dari segi akademik, saya belum lagi bertemu buku kritikan hasil usaha beliau yang dapat dianggap berkualiti, yang misalnya boleh menandingi Gagasan Persuratan Baru, edisi ke-2. Walau bagaimana pun, hasrat beliau untuk menjadi sasterawan negara yang satu ketika dulu digosipkan oleh para sasterawan, bolehlah diberi pertimbangan. Saya tidak keberatan, kerana memang para sasterawan negara dalam analisis saya adalah golongan penulis picisan saja. Belum ada lagi sesiapa yang menolak kesimpulan ini, tidak juga Prof. Rahman Shaari sendiri. Sudah wajar jika beliau juga masuk dalam kumpulan itu.  Jika kita menilai syarahan perdana ini dalam konteks “berputar-purat”, maka inilah satu contoh klasik bagaimana seorang profesor meletakkan dirinya sebagai tokoh berputar-purat yang istimewa. Saya sebut perkara ini dalam konteks penghinaan beliau terhadap syarahan perdana Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir, yang disebutnya hanya untuk membela Gagasan Persuratan Baru kerana saya tidak berpeluang untuk memberikan syarahan perdana saya!  Dalam tulisannya, beliau menegaskan PB itu mudah: tonjolkan ilmu, sedikitkan cerita, jadilah karya persuratan. Katanya, beliau belum  berminat hendak menulis karya persuratan yang dianjurkan oleh PB. Adakah kesimpulan ini berasaskan pembacaan dan kajian yang mendalam terhadap PB, atau hanya sejenis sentimen berasaskan sikap berputar-purat sahaja.  Jelas sekali beliau tidak membaca Pujangga Melayu, yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti tahun 1997 yang memuatkan banyak sajak yang ditulis khusus untuk novel itu, antaranya sajak “al-Andalus” yang muncul sebagai sajak terbaik yang pernah muncul dalam sastera Melayu. Sajak-sajak lain juga penting dan ternyata jauh lebih bermutu daripada mana-mana sajak yang ditulis oleh Penyair Besar Malaysia seperti Muhammad Haji Salleh, Baha Zain dan lain-lain. Syarahan perdana itu diucapkan pada 29 Disember 2004.  Kerana ini saja pun sudah jelas bahawa syarahan perdana Prof. Rahman Shaari adalah sebuah syarahan picisan saja, mengambil contoh daripada karya-karya picisan yang diangkat menjadi karya utama dalam persajakan Melayu tanpa mengemukakan ukuran yang tepat dan objektif.  Kesimpulan ini terbuka untuk dibahaskan dengan sehabis kritis oleh sesiapa saja yang merasa dirinya mempunyai kualiti akademik yang tinggi dan sekali gus mempunyai cita rasa istimewa tentang sajak-sajak Melayu.  Dalam kritikan sastera, anda tidak boleh berkompromi tentang nilai sebenar sesebuah karya.

Kemudian K. B. Tan memberi pendapatnya sendiri begini: “… saya juga berpendapat bahawa sumbangan beberapa orang sarjana sastera harus dinilai semula. Kenyataan ini dibuat atas penelitian saya terhadap tulisan mereka yang jelas memperlihatkan ketidakupayaan untuk menulis dengan jelas dan bernas.”  Pandangan ini ditujukan juga kepada Prof. Rahman Shaari. Tetapi kritikan ini lebih jelas ditujukan kepada Mana Sikana dengan menyebut beberapa tulisan beliau dalam Dewan Sastera  dan Utusan Malaysia yang dirujuk oleh K. B. Tan.

Memang bagus sekiranya terdapat orang yang kritis seperti K.B. Tan, kerana ini boleh menghidupkan dialog yang sewajarnya digalakkan dalam perkembangan budaya. Sekarang dialog begini ditakuti oleh para sarjana dan pengkritik, kerana mereka sedar lebih banyak mereka memberi pendapat, lebih terserlah kemampuan akademik mereka yang tidak seberapa dan yang tidak seberapa itu pula cetek. Mengambil sikap “lembu kenyang” tidak akan melindungi kecetekan mereka, malah akan lebih menyerlahkan sikap negatif mereka terhadap ilmu. Nampaknya inilah yang menjadi pertahanan para sarjana dan pengkritik sastera yang sering kali bercakap besar dan bercakap banyak tetapi isinya hanya bullshit.  Anda dipersilakan membaca dengan kritis Pandirisme Dalam Komuniti Dunia yang banyak membicarakan beberapa aspek bullshit dalam sastera Melayu.  Lebih mudah, dan lebih mencabar, bacalah dengan kritis Hikayat Salim Adil untuk melihat bagaimana bullshit ini diperagakan dalam sastera Melayu oleh jaguh sastera yang memanjat bumbung kilang berkarat untuk menulis esei jenis bullshit ini.

Nampaknya pengaruh faham berputar-purat ini sangat besar dalam sastera Melayu, dibuktikan dengan begitu jelas dalam karya para sasterawan negara dan dalam kegiatan para sarjana sastera dan juga para pengkritik yang keliru dan cetek meraba-raba.  Mulai sekarang istilah berputar-purat ini lebih meluas dipakai ketika menilai sumbangan akademik para sarjana dan sumbangan kreatif para sasterawan.  Dengan melihat kegiatan mereka dari perspektif berputar-purat ini kita dapat membuat penilaian yang tepat terhadap kegiatan mereka, lebih-lebih lagi jika dilakukan dalam konteks PB. Tiada siapa pun yang masuk gelanggang ini boleh lari dari dililit dan dibelit oleh faham berputar-purat sekiranya mereka menolak konsep ilmu yang benar dalam kegiatan mereka.


Saya ingin sentuh sedikit tentang peranan Kementerian Pendidikan dalam memajukan faham berputar-purat ini dalam pentadbiran negara di bawah Malaysia Baru yang disogok kepada rakyat oleh kerajaan Pakatan Harapan.  Entri bertarikh 8 September 2018 membincangkan serba sedikit mengenai Pakatan Harapan yang jelas tidak memberi sedikit pun perhatian kepada konsep ilmu yang benar dalam pembinaan kebudayaan ilmu di Malaysia.  Oleh itu tidak hairan jika Kementerian Pendidikan berada dalam kekeliruan tidak dapat membezakan peranan kaki dengan otak, dengan lebih memberi tumpuan kepada kaki seperti yang ditunjukkan oleh Menteri.  Dari beberapa ucapan Menteri, seperti yang dilaporkan, jelas sekali beliau tidak kenal konsep ilmu yang benar, peranan adab dalam pendidikan, dan matlamat pendidikan untuk melahirkan warga negara beretika dan bermoral tinggi, sesuai dengan kedudukan mereka sebagai warga negara beradab. Kementerian Pendidikan lebih berminat melahirkan para kuli untuk menghadapi tawaran pekerjaan. Matlamat ini sebenarnya boleh dicapai melalui sistem pendidikan yang memberi perhatian kepada konsep ilmu dan peranan adab dalam pendidikan.  Persiapan kemahiran untuk menghadapi pasaran pekerjaan seharusnya diimbangi dengan persiapan intelektual berasaskan konsep ilmu yang benar. Yang berlaku sekarang adalah lanjutan dari kolonialisasi  pemikiran yang terus bergantung sepenuhnya kepada Barat, yang dengan sedar diucapkan oleh Menteri Pendidikan yang mengatakan beliau mahu menjadikan UIA, sebuah universiti Islam, setaraf dengan Oxford atau Cambridge.  Jelas sekali beliau tidak membaca dan memikirkan dengan serius kandungan buku yang diterbitkan oleh USM, Decolonising the University: The Emerging Quest for Non-Eurocentric Paradigms.  Prof. Dzulkifli Abdul Razak, VC USM ketika itu, dalam perutusannya, “Reflections on Decolonising Our Universities”, antara lain menulis begini: “Reflecting on my experience of trying to ‘transform’ Universiti Sains Malaysia (USM) where I have been Vice-Chancellor for the last 10 years, I must admit that I am still uncomfortable with the notion of a ‘university’ as it is generally understood. I often question whether this is the ‘right’ university that I am leading.”  (hal. 8).  Dan seterusnya.  Kini belau dilantik sebagai ahli majlis kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA), setelah melepaskan jawatannya sebagai Presiden UIA yang kemudiannya disandang oleh Menteri Pendidikan. (Akhirnya beliau melepaskan jawatan itu setelah dikritik hebat.) Anda nampak ada tidak unsur berputar-purat di sini?

II. Politik borak dalam politik Malaysia

Apakah maksud politik borak?  Anda tentu sudah faham istilah “berputar-purat” yang saya bicarakan di sini.  Inilah jenis politik yang menyalahkan orang lain dalam apa juga ucapan politik orang yang bercakap; dalam pada itu dia akan berkata seseorang tidak bersalah sehingga disahkan bersalah oleh mahkamah. Ini bermaksud, jika perlu tunggu sepuluh tahun, misalnya, untuk diselesaikan dalam mahkamah, maka tunggu saja, dalam masa itu diharamkan sesiapa juga berburuk sangka, apatah lagi menuduh yang buruk-buruk terhadap orang tertentu, atau ahli politik tertentu, yang dikatakan melakukan banyak kesalahan dan penyelewengan. Tetapi ini ada kecualinya. Sekiranya anda berkuasa, memegang kuasa, anda boleh berkata apa saja yang anda mahu, sama ada dalam batas-batas tertentu atau tanpa sebarang batasan. Sekiranya orang yang dikutuk atau dituduh berkata tuduhan melulu dikenakan ke atasnya, maka dia bebas untuk mendakwa si penuduh. Untuk melakukan ini dia perlu banyak wang, kerana kos untuk mendapat kembali maruahnya sangat mahal. Peguam yang membela mahu dibayar seperti yang ditetapkan oleh mereka; mahkamah pula bersedia memberi ganjaran kepada mana-mana pihak yang menang yang perlu dibayar kepadanya. Apakah makna ini semua? Maknanya, “keadilan” yang belum tentu adil, sangat mahal harganya dari segi wang ringgit, tetapi tidak dari segi kemuliaan manusia. Orang yang membuat tuduhan bukanlah manusia yang mulia akhlaknya; dia hanya mahu mempertahankan maruahnya yang belum tentu dipunyainya. Maksudnya, orang itu belum tentu mempunyai maruah tinggi yang wajib  dihormati; tetapi dia mempunyai banyak wang dan kuasa untuk mendapatkan maruah itu melalui mahkamah.  Maksudnya, seorang “penyangak” yang mempunyai wang akan berusaha mendapatkan status mulia itu dengan menggunakan wang. Perbuatan ini dibenarkan dalam undang-udang dan mahkamah bersedia mendengar kes seumpama itu.

Orang yang dituduh sebagai “penyangak”  tidak semestinya dia seorang penyangak, kerana yang menuduhnya adalah lawan politiknya atau orang yang membencinya.  Istilah penyangak ini penting dalam politik, kerana istilah ini digunakan oleh ahli yang paling terhormat sekali pun. Misalnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad sering menggunakan perkataan ini terhadap musuh politiknya.  Oleh itu, yang menuduh tidak semestinya bersih dari sifat-sifat seorang penyangak, mungkin yang menuduh itulah yang benar-benar ‘penyangak”. Menjadi penyangak adalah satu kegiatan politik yang utama, seperti yang sering diucapkan oleh Tun Dr. Mahathir ketika menyebut nama bekas perdana menteri Dato’ Najib Tun Razak.  Bagaimana pula kedudukan beliau sendiri? Adakah beliau terlepas daripada tuduhan yang beliau lemparkan kepada musuh politiknya?  Soalan ini mungkin boleh dijawab dengan analisis mendalam oleh seorang penganalisis politik.  Ini mengingatkan saya kepada amaran Tunku Abdul Rahman yang diucapkannya kepada bapa saudara saya, Tan Sri Ahmad Noordin satu ketika dulu. Menurut beliau, Tunku pernah memberi amaran bahawa Mahathir Mohamad adalah seorang “pembohong besar” yang tidak boleh dipercayai. Saya sebut perkara ini hanya untuk menunjukkan keadaan yang selalu berlaku di kalangan ahli politik, yang saling menuduh satu sama lain. Itulah sifat politik di mana-mana saja.  Dalam kes ini, adakah Tunku sendiri berbohong atau itulah pendapatnya yang benar?  Di Amerika pula, anda tentu perasan bagaimana presiden US sekarang memburukkan Presiden Barak Obama. Satu kebiasaan yang menjadi nasi makan air minum di kalangan ahli politik Malaysia juga. Dalam sistem demokrasi Amerika, yang amat dikagumi oleh Tun Dr. Mahathir, terdapat istilah “mobilization of bias”, yang dipraktikkan dengan bebasnya dalam sistem demokrasi. Tun M mengaku dengan jujur Kerajaan Pakatan Harapan dalam Malaysia Baru tidak dapat menghapuskan tol kerana kosnya terlalu mahal, melebihi 400  bilion. Dia memberitahu dengan jujur ketika dia membuat janji itu, dia tidak percaya Pakatan Harapan akan menang. Sekarang sudah menang, tak boleh ditunaikan janji itu. Rakyat tertawa dan dengan rela bersetuju dengan Tun M yang jujur mengaku kesilapannya itu.  Siapa boleh jelaskan mengapa keadaan ini timbul?  Bagi saya senang saja: semua ahli politik menganggap dirinya saja yang benar dan jujur. Jika anda tanya Buyung Lurus, dia akan tertawa besar sambil mencarut!  Dia akan memberitahu kita semua mengapa pentingnya ditubuhkan PUPEN yang dicadangkannya itu. Saya diberitahu tentang satu kes seorang sarjana sastera terkenal yang menuduh Prof. Ungku Maimunah dan Dr Zariat “taasub melampau” terhadap PB. Adakah ini satu penghormatan beliau kepada dua orang sarjana itu dan juga cara beliau mengagumi PB? Kalau tak silap, saya pernah sebut perkara ini dalam satu entri yang saya sudah lupa tarikhnya, maklumat ini saya  dapat daripada blog tokoh sarjana besar ini sendiri.  Mungkin ada pembaca yang tahu cerita ini.  Saya menyebut perkara ini untuk memberitahu hal-hal begini terdapat juga dalam kegiatan sastera.  Itulah sebabnya saya pernah menegaskan ahli politik dan para sasterawan serta sarjana adalah setaraf dalam aspek ini. Adakah ini gambaran kejujuran dan kemuliaan peribadi mereka? Persoalan penting ini telah saya cuba huraikan secara kreatif dalam Hikayat Buyung Lurus, Hikayat Salim Adil, dan dalam Balai Maqamat. Tidak terdapat seorang pun di antara sarjana sastera dan sasterawan membicarakan aspek penting ini, sekurang-kurangnya menolak analisis saya tentang kedudukan sebenar mereka sebagai manusia berbudi mulia.

Dalam perkembangan intelektual di Malaysia, khususnya dalam bidang kesusasteraan, kemunculan PB menjadi cabaran yang amat besar kepada kesahihan kedudukan sastera, para sasterawan dan sarjana sastera. Golongan yang berada dalam Mutual Admiration Club ini sedar akan kepalsuan mereka yang semakin jelas dapat dilihat dalam tulisan, ceramah dan politik sastera yang menjadi pegangan mereka.  Ketakutan dan kekecewaan paling besar yang dihadapi para sarjana dan sasterawan ialah apabila PB mengemukakan tiga kategori karya, iaitu karya persuratan, karya sastera, dan karya picisan dan erotik. Di mana duduknya karya para sasterawan negara? Adakah kedudukan itu mengatasi kedudukan karya persuratan?  Apakah ukuran yang dipakai ketika membuat pertimbangan dan pembahagian itu?  Dari semua pertanyaan ini, muncul pertanyaan yang lebih mencabar dan yang benar-benar memerlukan penjelasan daripada para sarjana dan sasterawan. Pertanyaan itu ialah sejauh mana karya persuratan mengatasi karya sastera dan adakah ukuran yang dikenakan kepada karya persuratan tidak dipunyai oleh karya sastera sehingga meletakkan karya sastera itu tidak setaraf dengan karya persuratan?  Pertanyaan ini memaksa para sarjana sastera memberi penghujahan yang mantap untuk mempertahankan kedudukan para sasterawan negara, yang kini berada dalam lingkungan penulis yang lebih menghampiri karya picisan sekiranya dinilai daripada penyerlahan ilmu dalam karya mereka. Yang perlu ditolak mereka ialah konsep ilmu itu tidak diperlukan dalam karya seni seperti karya sastera, yang lebih memberi perhatian kepada hiburan dan kepuasan hawa nafsu, bukan kepuasan yang bersifat intelektual. Sekarang mereka perlu membuktikan hiburan itulah yang lebih utama daripada ilmu dan aspek intelektual dalam sesebuah karya kreatif.  Sehingga ini, mereka gagal, dan tidak mungkin dapat mempertahankan kedudukan hiburan itu lebih utama daripada kandungan yang bersifat intelektual yang memberi keutamaan kepada nilai-nilai ilmu dalam karya kreatif. Demikianlah borak sastera para sasterawan negara dan sarjana sastera dipatahkan dengan mudah oleh hujah yang berlandaskan ciri-ciri intelektual yang berunsur ilmu yang benar dalam karya persuratan yang ditaja oleh PB.  Semua persoalan ini tidak dibahaskan dalam pertemuan yang diadakan di UKM bulan November 2018, yang direstui oleh Menteri Pendidikan (yang mencetuskan istilah certot) dengan seorang tokoh besar sastera picisan, sasterawan negara Baha Zain, nama kontot kepada Datuk Baharuddin Zainal,  (yang menurut Shahnon Ahmad penulis sajak-sajak kontot) yang memberi ucaputama. Inilah borak dan sandiwara picisan dalam sastera Melayu yang tidak dapat dilindungi lagi. Suka atau tidak, mereka yang berada dalam Mutual Admiration Club ini akan berdepan dengan PB yang mencabar kedudukan palsu mereka.  Pertemuan dua orang tokoh tot-tot ini amat bersejarah, mungkin sejarah terbesar dalam era sasterawan negara yang picisan ini.

Dari segi politik sastera pula, kewujudan Anugerah Sastera Negara tidak lagi relevan dan perlu dihapuskan segera, seperti terbubarnya Majlis Profesor Negara sebaik saja Pakatan Harapan mengambil kuasa politik di Malaysia dengan slogan mereka, Malaysia Baru.  Dalam Malaysia Baru, Anugerah Sastera Negara tidak lagi relevan dan para sasterawan negara tidak diperlukan lagi.

III.  Ke mana hilangnya perubahan paradigma? Adakah PB paradigma baru?

Satu  ketika dulu riuh sekali sastera Melayu dibisingi celoteh tentang perubahan paradigma yang diperlukan dalam sastera Melayu. Kini suara nyaring menjeritkan perlunya perubahan paradigma itu senyap sepi, apabila perubahan yang mereka jeritkan itu betul-betul terjadi dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru dan munculnya karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Yang jelas, jeritan ini tidak kedengaran dalam Seminar Sastera di UKM pada bulan November 2018 itu.  Masalah besar yang mereka hadapi dalam seminar itu ialah bagaimana mereka boleh mempertahankan kedudukan para sasterawan negara dan karya mereka yang bersifat picisan? Adakah ucaputama Baha Zain tidak lagi mengulangi tabiat lama beliau yang bombastik (saya telah memberikan ulasan tentang perkara ini dalam beberapa entri) tetapi kosong dari segi makna? Saya perlu  beri sedikit contoh supaya anda tidak keliru.  Perhatikan contoh ini:

Sasterawan bukan konsumer yang tenggelam dalam estetika yang melangit,
atau luluh dalam tafakur sufistik yang berpanjangan. Dia berakar di bumi
budayanya, dan peka terhadap unsur-unsur yang datang daripada budaya luar
untuk melakukan penilaian kritis. Dia pula tidaklah bersikap taksub dan nostalgik
terhadap apa-apa sahaja yang bernama tradisi, adat resam, dan kekampungan
yang telah memupuk orientasi dan pilihan-pilihannya sejak zaman kanak-kanak;
serta melihat dengan pandangan jaundis terhadap kekuasaan, birokrasi dan
kemodenan. Dia harus membebaskan fikirannya daripada terperangkap dalam
perasaan dan pandangan yang hitam-putih dan gelap-terang untuk
menghidupkan jiwanya, menghidupkan hati nurani; dan mengetengahkan
pandangan yang autentik.” (Daripada kertas kerja beliau yang dibentang dalam Seminar 6 Sasterawan Negara, 2014 di UPM).

Hebat. Tetapi kosong, hanya retorik peragaan yang tidak sedikit pun terpancar “pemikiran” yang berdasarkan konsep ilmu yang benar.  Kegemaran sasterawan negara ini memperagakan retorik kosong ini menafikan semua kehebatan yang dilemparkan terhadap beliau oleh Muhammad Haji Salleh (sahabat karib) dan Rahman Shaari, kedua-duanya membuat penegasan yang tidak dibuktikan bahawa Baha Zain adalah  pengkritik sastera yang paling unggul, yang bahasanya murni dan kaya dengan pemikiran yang luas dan mendalam. Apakah pemikiran beliau? Kita mahu tahu supaya apa yang disebut “pemikiran” itu boleh digunakan untuk membina tamadun intelektual yang canggih di Malaysia. Jika inilah harapan kita, maka tokoh ini perlu membuktikannya dalam buku-buku ilmiah dan berisi pemikiran itu, terutama sekali dalam perkembangan yang mengarah kepada wujudnya paradigma baru yang dijeritkan selama ini. Yang jelas, yang boleh kita lihat dengan nyata, Baha Zain memang berjaya menulis sajak-sajak kontot, seperti yang dikritik oleh Shahnon Ahmad, oleh itu menurut Shahnon Ahmad keadaan ini tidak melayakkan beliau diberi gelaran sasterawan negara. Dalam kritikan sastera pun begitu juga, masih dilindungi oleh tulisan kontot yang bersifat popular, bukan menyerlahkan pemikiran baru tentang pengajian sastera dan juga dalam kritikan. Inilah orangnya yang diberi tugas memberi ucaputama di persidangan penting itu. Tidakkah ini membebankan beliau dan peserta seminar yang terpaksa mendengar retorik kosong seperti yang dibuktikan dalam kutipan di atas.  Tidak saja pengetahuan Baha Zain cetek, tetapi juga sikapnya terhadap ilmu sangat angkuh. Jika beliau jujur, dan sedar tentang perubahan besar yang sudah dan sedang berlaku dalam  persuratan Melayu dan dalam sastera, maka beliau wajar memberi sanggahan beliau yang terperinci mengapa kita tidak perlukan Gagasan Persuratan Baru untuk maju dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera. Inilah paradigma baru yang dilaungkan itu, sudah berada di depan mata. Tetapi kerana hati sudah buta dengan sikap angkuh yang kaya dengan kejahilan ilmu, maka perubahan besar dalam pemikiran itu dipijak-pijak sebagai tidak relevan dan bertentangan dengan sifat sastera yang kreatif dan berasaskan imaginasi, bukan analisis dalam konteks ilmu. Jika inilah pandangan mereka yang berada dalam kandang pandirisme ini, maka sangat jelas mereka tidak membaca karya para gergasi sastera dunia, umpamanya Thomas Mann, yang menulis tiga buah novel besar tentang Nabi Yusuf dalam Injil.  Siapa dari mereka yang sudah membaca Pujangga Melayu dengan kritis dan kreatif?  Tidak seorang pun daripada kumpulan para sasterawan negara ini telah menghasilkan sebuah karya yang boleh menandingi Pujangga Melayu dari segi pemikiran, teknik, dan pengolahan yang bersifat intelektual; sebuah buku mini ensiklopedia dalam penulisan kreatif. Siapa di antara mereka yang mampu menyanggah kesimpulan ini? Kita mahu dengar penghujahan mereka dan mahu melihat bukti-bukti yang mereka tampilkan untuk menafikan kesimpulan ini. Sikap mereka untuk berada dalam kandang pandirisme sebagai “lembu kenyang” (menurut ungkapan terkenal dalam masyarakat Kelantan)  tidak membantu perkembangan intelektual yang kita harapkan.


Sekarang masyarakat sastera dibebankan dengan pandirisme lagi setelah wujud perkembangan baru yang ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru dan munculnya karya persuratan yang jauh mendahului karya sastera yang masih berada di peringkat picisan itu. Tampilkan sebuah karya oleh mana-mana sasterawan negara yang boleh menandingi Pujangga Melayu dan sajak-sajak yang terdapat dalam novel persuratan itu. Tunjukkan kepada kita sebuah sajak yang boleh mengatasi sajak “al-Andalus” yang menghiasi Pujangga Melayu, yang merumuskan perkembangan ilmu selama lebih seribu tahun yang telah dimulai di Andalus, yang kemudiannya melahirkan zaman baru di Eropah. (Untuk maksud ini, anda boleh rujuk penerbitan UNESCO berjudul, Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance (Arab Republic of Egypt National Commission for UNESCO, Cairo 1977).Tidak mungkin cabaran ini akan membuat para sasterawan negara terkencing ketakutan, walaupun tidak sebuah pun karya mereka setaraf dengan Pujangga Melayu dari segi pemikiran, penampilan teknik baru berasaskan stylization of ideas, dan pentingnya peranan wacana dalam penulisan kreatif. Tampilkan karya anda yang dapat memenuhi ciri-ciri yang disebutkan itu. Itulah ciri-ciri karya kreatif berasaskan konsep ilmu.


Cabaran seumpama ini sesuai dengan perkembangan dalam teori sastera Barat sendiri, yang telah dibincangkan dengan mendalam dalam buku Frank Lentricchia, After the New Criticism (1980) dan buku John E. Ellis, Against Deconstruction  (1989). Perkembangan ilmu sastera di Barat diasaskan kepada dialog dan perbahasan yang sengit antara para sarjana. Mereka mempraktikkan kaedah yang diperkenalkan oleh para ilmuan Islam dalam perkembangan ilmu dalam tamadun Islam, yang menggunakan kaedah radd dan syarah.  Yakni, berasaskan sanggahan dan kritikan atau penjelasan dan ulasan mendalam terhadap sesuatu idea.  Kalau anda tidak setuju, anda tidak berdiam diri, tetapi tampil ke gelanggang ilmu untuk membahaskan yang anda tidak setuju itu; sebaliknya jika anda setuju, maka anda memberikan penjelasan lanjut terhadap idea yang dikemukakan. Inilah yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani terhadap Gagasan Persuratan Baru. Kedua mereka memberikan penjelasan mendalam dengan memperkenalkan beberapa konsep baru yang berguna untuk menjelaskan lagi PB. Sebaliknya, para penentang PB mengomel sendirian atau berceloteh sesama sendiri mengutuk PB, tetapi tidak berani tampil ke gelanggang ilmu memberikan sanggahan mereka secara ilmiah. Kita patut kasihan kepada mereka ini, yang dalam kejahilan dan keangkuhan mereka, menolak konsep ilmu yang ditekankan dalam Islam dan dihuraikan dengan jelas dalam al-Quran. Mereka tidak menolak al-Quran kerana mereka belum murtad; mereka hanya mempersendakan PB sebagai satu kaedah karut yang tidak wajar diberi perhatian, apatah lagi diberi sanggahan oleh mereka. Dengan sikap ini, mereka mempersetankan perkembangan baru dalam perubahan paradigma yang satu ketika dulu mereka jeritkan keperluannya, yang satu ketika dulu mereka lambakkan dalam tulisan mereka. Mereka juga tidak termasuk dalam golongan munafik, walaupun mereka menolak konsep ilmu yang benar dan memperjuangkan gerakan ‘iwajan dalam sastera Melayu. Mereka adalah golongan yang cetek meraba-raba, untuk menggunakan istilah yang dipakai oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (UKM 1972).

Persoalan penting ini tidak dibahaskan dalam Pertemuan Penulis Malaysia UKM, November 2018, maka mereka melakukan dua perkara. Pertama, mereka melanjutkan keadaan cetek meraba-raba itu dengan melontarkan pandangan berasaskan kejahilan kepada konsep ilmu. Kedua, mereka juga menolak perubahan paradigma yang ditawarkan oleh PB walaupun satu ketika dulu mereka menjeritkan supaya dilakukan perubahan paradigma dalam sastera Melayu.  Jika inilah pendirian mereka, di manakah mereka berada? Mereka berada dalam kandang padirisme, bergelumang dengan “falsafah” bullshit seperti yang dihuraikan dalam buku, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Inilah yang berlaku dalam ucaputama Baha Zain di Pertemuan Penulis Malaysia.  Sebagai penghormatan kepada  beliau dan rakan-rakan beliau, Baha Zain adalah seorang tokoh yang mengamalkan konsep berputar-purat dalam sastera, yang telah mendapat pujian daripada Muhammad Haji Salleh dan rakan-rakannya para sasterawan negara yang berbicara dalam forum khas untuk mereka.  Kita masih menunggu penegasan mereka bahawa sumber ilmu yang sah ialah al-Quran, bukan teori sastera Barat yang menjadi pegangan para sasterawan negara.  Masalah yang mereka hadapi ialah jika mereka menerima hakikat ini, mereka akan menerima PB sebagai jalur baru dalam perkembangan kreatif dan kritikan Malaysia.  Apakah pilihan mereka? Pertanyaan ini telah dijawab dan dihuraikan dalam Pandirisme dalam Komuniti Dunia, oleh Mohd. Affandi Hassan.


Catatan: Entri ini yang terakhir untuk 2018. Saya akan beristirahat selama masa yang saya perlukan untuk menulis novel satira, “Salakan Dari Menara Gading” (judul sementara yang mungkin berubah nanti).


Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 21 November, 2018.



No comments:

Post a Comment