Seorang
sarjana tidak sekali-kali layak diberi kedudukan mulia sekiranya dia enggan
menyerlahkan kesarjanaannya melalui perbahasan ilmiah yang dilakukannya dengan
jujur. Dia tidak jujur jika tidak mahu memberikan pendapatnya apabila diminta,
walaupun dia tidak bersetuju dengan sesuatu pendirian atau pandangan. Inilah,
antara lain yang dimaksudkan oleh Bakhtin sebagai dialogic imagination, iaitu keterbukaan untuk menerima dan menolak
sesuatu pendapat setelah dibahaskan terlebih dahulu dengan wajar. Ini tidak
berlaku dalam dunia akademik Malaysia. Ramai di antara ahli akademik bertindak
bacul seperti kucing dibawakan lidi bila menghadapi sesuatu pendapat yang agak
sukar untuk dikunyahnya kerana keterbatasan pengetahuannya. Contoh terbaik
ialah sikap negatif mereka terhadap peranan ilmu dalam dunia kreatif. Mereka
bangga menjadi bodoh dan tidak silu sedikit pun memperagakan kebodohan itu
kepada khalayak sastera. Keadaan ini dianggap biasa kerana khalayak sastera
sendiri masih berada di tahap golongan yang cetek meraba-raba, sama saja dengan
para sarjana sendiri. Bagi golongan ini,
menggunakan kebodohan sebagai perisai untuk mempertahankan kedudukan mereka
sebagai sarjana diterima baik oleh khalayak sastera Malaysia. Paling ironik,
kita lihat semua ini di kalangan para sasterawan negara ketika mereka diminta
memberikan pendapat dalam forum khas antara mereka pada 16 November 2018 yang
lepas di UKM. Baca ulasan saya dalam
entri yang lepas.
Siapakah
sebenarnya sasterawan negara? Perhatikan kesimpulan ini, untuk memberi sedikit
kesedaran kepada anda bagaimana anda diperbodohkan begitu mudah oleh projek
sasterawan negara ini. Para sasterawan negara ini tidak mempunyai kualiti
kecerdikan yang akan membolehkan mereka membicarakan sastera Melayu dengan
mendalam baik dari segi teori Barat, lebih-lebih lagi daripada perspektif PB.
Dengan terus menerus menolak PB, mereka memperbodohkan diri mereka dan lebih
malang lagi mereka memperbodohkan para pengikut mereka atau khalayak
sastera. Kalau begitu, apa gunanya mereka diberi gelaran sasterawan negara jika
tidak berguna kepada perkembangan ilmu?
Soalan ini
memerlukan jawapan, tidak boleh dibaca sambil lalu seperti mendengar borak Raja
Lawak. Soalan Raja Lawak ini penting
kerana jawapannya memberi dua kemungkinan: pertama, para sasterawan negara ini
diperlukan dalam perkembangan ilmu walaupun mereka anti ilmu; atau mereka tidak
diperlukan kerana kedudukan mereka menjadi penghalang kepada perkembangan ilmu
seperti yang dibuktikan daripada karya mereka sendiri yang cetek meraba-raba
yang hanya memperagakan kebodohan
peringkat tinggi, bukan kemampuan intelektual yang mantap. Saya telah menulis sebuah buku, belum
diterbitkan, berjudul “Kita Tidak Perlukan Sasterawan Negara.” Dalam buku ini saya huraikan dengan mendalam
mengapa kita mesti menolak kehadiran Raja Lawak Sastera yang kita gelar
sasterawan negara ini.
Bagi sesiapa
juga yang mengikuti tulisan di blog ini akan berhadapan dengan cabaran
intelektual yang memaksa mereka membuat kesimpulan sendiri sama ada menerima
hujah penolakan sasterawan negara ini atau menolaknya dengan memberikan alasan
yang konkrit yang membuktikan para sasterawan negara ini layak diberi kedudukan
itu berasaskan kualiti karya mereka. Dalam konteks inilah saya cabar anda untuk
menilai karya para sasterawan negara ini dalam satu kajian mendalam secara
perbandingan dengan karya saya sendiri, terutama Pujangga Melayu, tanpa
meninggalkan karya-karya lain yang telah diterbitkan, terutama sekali Balai Maqamat dan dua buah hikayat yang
telah diterbitkan. Melalui perbandingan
ini, anda akan dapat melihat kekuatan karya para sasterawan negara jika
dibandingkan dengan karya remeh temeh yang pernah saya hasilkan, seperti Pujangga Melayu, Balai Maqamat dan lain-lain. Anda tidak mempunyai apa-apa alasan
untuk menolak cabaran ini, kerana melalui kajian perbandingan ini saja anda
akan dapat melihat kekuatan karya para sasterawan negara ini. Kita mempunyai
ramai sarjana untuk menyahut cabaran ini kerana mereka sendiri pun perlu
membuktikan keterampilan akademik mereka dengan menyahut cabaran ini. Bagaimana
jika mereka menolak? Mereka telah membuktikan kecetekan akademik mereka dan
bangga berada di dalam kandang pandirisme. Jika itulah pilihan mereka, maka
itulah juga yang menjadi bukti akan kualiti sebenar mereka sebagai
sarjana. Ke mana pun Pak Pandir cuba
mengelak, kebodohannya tetap ketara, seperti yang dapat kita lihat dalam jenaka
Pak Pandir yang terkenal itu, yang diketahui oleh semua masyarakat Melayu. Melalui kajian perbandingan ini, anda akan
memberi sumbangan besar kepada perkembangan ilmu dalam sastera Melayu, dengan
membuktikan sumbangan para sasterawan negara telah mengangkat tinggi perkembangan
ilmu dalam kebudayaan Malaysia yang tidak pernah terjadi sebelum munculnya para
sasterawan negara ini. Melalui kajian perbandingan ini, anda diberi peluang
terbaik untuk mematikan hujah saya menolak para sasterawan negara ini. Pada
waktu yang sama, anda akan membuktikan keunggulan para sasterawan negara dan
keterampilan akademik anda sendiri.
Demikianlah,
dengan terjun ke dalam gelanggang dialogic
imagination yang disediakan oleh Bakhtin, anda akan melihat dengan jelas
kepalsuan para sasterawan negara dan para sarjana yang menjadi penyokong
mereka. Semudah itu duduknya perkara, sebenarnya.
Kedudukan
para sasterawan negara ini menjadi semakin sulit dengan berkembangnya
pendidikan sastera berasaskan ilmu yang benar, yang diperjuangkan dengan gigih
oleh Gagasan Persuratan Baru. Menyedari
hakikat ini, para sarjana dan sasterawan negara sendiri berusaha gigih untuk
mengekalkan pengajaran sastera yang menolak kedudukan ilmu yang benar, dengan
itu para pelajar diberi maklumat salah dan palsu untuk terus memperbodohkan
mereka. Inilah maksud mengajar menjadi bodoh yang telah saya bincangkan sejak tahun
1970-an lagi, masih diteruskan sehingga sekarang semata-mata untuk
mempertahankan para sasterawan dan sasterawan negara walaupun karya mereka
adalah picisan. Yang menjadi amat malang
ialah Menteri Pendidikan sendiri menyokong gerakan memperbodohkan pelajar ini
dengan memberi cadangan kepada semua universiti untuk memaksa para pelajar
mereka melawat para sasterawan negara. Demikian kuatnya pengaruh pandirisme
dalam sistem pendidikan kita, yang dengan gigih sekali dipertahankan oleh
kerajaan Pakatan Harapan yang kononnya membawa perubahan dalam pentadbiran
negara. Apakah makna perubahan itu jika mereka menyokong pandirisme dalam
sistem pendidikan? Jika Menteri Pendidikan
betul-betul jujur hendak membela para sasterawan negara, yang perlu beliau
lakukan ialah membuat penilaian semula yang mendalam terhadap sumbangan para
sasterawan negara ini dengan mengambil kira perkembangan baru dalam kritikan
sastera yang dibawa oleh Gagasan Persuratan Baru. Dari pengalaman saya berhubungan dengan
Kementerian Pendidikan dan dengan Menteri ini, saya kira beliau menolak
sebarang perubahan berasaskan konsep ilmu yang benar, jika perubahan itu
akhirnya meletakkan para sasterawan negara pada tempatnya yang layak bagi
mereka, sebagai penulis karya picisan jika karya itu dinilai berasaskan konsep
ilmu yang benar. Saya boleh menerima pendirian songsang Menteri Pendidikan ini
jika beliau mengerahkan seluruh sarjana sastera tampil ke depan dalam dialog
terbuka untuk menilai karya para sasterawan negara ini daripada perspektif baru
yang ditaja oleh Gagasan Persuratan Baru, yang menjadikan kedudukan ilmu
sebagai asas penilaian karya kreatif dan kritikan sastera. Tidak mungkin sebuah kementerian yang diberi
tugas untuk menyebarkan ilmu bersikap anti-ilmu.
Itulah
beberapa cabaran yang kita hadapi sekarang yang memerlukan perhatian kritis
kita untuk mengelak daripada merayakan kebodohan dalam sistem pendidikan kita
dan juga dalam perkembangan penulisan kreatif dan kritikan sastera. Celakalah perkembangan ilmu di Malaysia jika
Kementerian Pendidikan sendiri bersikap anti-ilmu, seperti yang ditunjukkan
dengan begitu jelas dalam perilaku Menteri Pendidikan sendiri. Sikap terbuka
yang kononnya dijadikan pegangan Menteri Pendidikan dan Kerajaan Pakatan Harapan
perlu dibuktikan dalam tindakan yang sesuai, tidak hanya dalam pengakuan umum. Tidak wajar ahli akademik yang terlibat dalam
pengajaran sastera dan dalam pendidikan secara umum mendiamkan diri seperti lembu
kenyang.
Mohd.
Affandi Hassan,
Petaling
Jaya, 20 November 2018.
No comments:
Post a Comment