Wednesday, October 31, 2018

KE MANA HILANGNYA PERUBAHAN PARADIGMA? ADAKAH PB PARADIGMA BARU?



Satu  ketika dulu riuh sekali sastera Melayu dibisingi celoteh tentang perubahan paradigma yang diperlukan dalam sastera Melayu. Kini suara nyaring menjeritkan perlunya perubahan paradigma itu senyap sepi, apabila perubahan yang mereka jeritkan itu betul-betul terjadi dengan munculnya Gagasan Persuratan Baru dan munculnya karya persuratan yang berasaskan konsep ilmu yang benar. Adakah jeritan ini akan kembali dalam Seminar Sastera di UKM pada bulan November 2018 nanti?  Masalah besar yang akan mereka hadapi dalam seminar itu ialah bagaimana mereka boleh mempertahankan kedudukan para sasterawan negara dan karya mereka yang bersifat picisan? Adakah ucaputama Baha Zain nanti tidak lagi mengulangi tabiat lama beliau yang bombastik (saya telah memberikan ulasan tentang perkara ini dalam beberapa entri) tetapi kosong dari segi makna? Saya perlu  beri sedikit contoh supaya anda tidak keliru.  Perhatikan contoh ini:

Sasterawan bukan konsumer yang tenggelam dalam estetika yang melangit,
atau luluh dalam tafakur sufistik yang berpanjangan. Dia berakar di bumi
budayanya, dan peka terhadap unsur-unsur yang datang daripada budaya luar
untuk melakukan penilaian kritis. Dia pula tidaklah bersikap taksub dan nostalgik
terhadap apa-apa sahaja yang bernama tradisi, adat resam, dan kekampungan
yang telah memupuk orientasi dan pilihan-pilihannya sejak zaman kanak-kanak;
serta melihat dengan pandangan jaundis terhadap kekuasaan, birokrasi dan
kemodenan. Dia harus membebaskan fikirannya daripada terperangkap dalam
perasaan dan pandangan yang hitam-putih dan gelap-terang untuk
menghidupkan jiwanya, menghidupkan hati nurani; dan mengetengahkan
pandangan yang autentik.” (Daripada kertas kerja beliau yang dibentang dalam Seminar 6 Sasterawan Negara, 2014 di UPM).

Hebat. Tetapi kosong, hanya retorik peragaan yang tidak sedikit pun terpancar “pemikiran” yang berdasarkan konsep ilmu yang benar.  Kegemaran sasterawan negara ini memperagakan retorik kosong ini menafikan semua kehebatan yang dilemparkan terhadap beliau oleh Muhammad Haji Salleh (sahabat karib) dan Rahman Shaari, kedua-duanya membuat penegasan yang tidak dibuktikan bahawa Baha Zain adalah  pengkritik sastera yang paling unggul, yang bahasanya murni dan kaya dengan pemikiran yang luas dan mendalam. Apakah pemikiran beliau? Kita mahu tahu supaya apa yang disebut “pemikiran” itu boleh digunakan untuk membina tamadun intelektual yang canggih di Malaysia. Jika inilah harapan kita, maka tokoh ini perlu membuktikannya dalam buku-buku ilmiah dan berisi pemikiran itu, terutama sekali dalam perkembangan yang mengarah kepada wujudnya paradigma baru yang dijeritkan selama ini. Yang jelas, yang boleh kita lihat dengan nyata, Baha Zain memang berjaya menulis sajak-sajak kontot, seperti yang dikritik oleh Shahnon Ahmad, oleh itu menurut Shahnon Ahmad keadaan ini tidak melayakkan beliau diberi gelaran sasterawan negara. Dalam kritikan sastera pun begitu juga, masih dilindungi oleh tulisan kontot yang bersifat popular, bukan menyerlahkan pemikiran baru tentang pengajian sastera dan juga dalam kritikan. Inilah orangnya yang diberi tugas memberi ucaputama nanti. Tidakkah ini membebankan beliau dan peserta seminar yang terpaksa mendengar retorik kosong seperti yang dibuktikan dalam kutipan di atas.  Tidak saja pengetahuan Baha Zain cetek, tetapi juga sikapnya terhadap ilmu sangat angkuh. Jika beliau jujur, dan sedar tentang perubahan besar yang sudah dan sedang berlaku dalam  persuratan Melayu dan dalam sastera, maka beliau wajar memberi sanggahan beliau yang terperinci mengapa kita tidak perlukan Gagasan Persuratan Baru untuk maju dalam penulisan kreatif dan kritikan sastera. Inilah paradigma baru yang dilaungkan itu, sudah berada di depan mata. Tetapi kerana hati sudah buta dengan sikap angkuh yang kaya dengan kejahilan ilmu, maka perubahan besar dalam pemikiran itu dipijak-pijak sebagai tidak relevan dan bertentangan dengan sifat sastera yang kreatif dan berasaskan imaginasi, bukan analisis dalam konteks ilmu. Jika inilah pandangan mereka yang berada dalam kandang pandirisme ini, maka sangat jelas mereka tidak membaca karya para gergasi sastera dunia, umpamanya Thomas Mann, yang menulis tiga buah novel besar tentang Nabi Yusuf dalam Injil.  Siapa dari mereka yang sudah membaca Pujangga Melayu dengan kritis dan kreatif?  Tidak seorang pun daripada kumpulan para sasterawan negara ini telah menghasilkan sebuah karya yang boleh menandingi Pujangga Melayu dari segi pemikiran, teknik, dan pengolahan yang bersifat intelektual; sebuah buku mini ensiklopedia dalam penulisan kreatif. Siapa di antara mereka yang mampu menyanggah kesimpulan ini? Kita mahu dengar penghujahan mereka dan mahu melihat bukti-bukti yang mereka tampilkan untuk menafikan kesimpulan ini. Sikap mereka untuk berada dalam kandang pandirisme sebagai “lembu kenyang” (menurut ungkapan terkenal dalam masyarakat Kelantan)  tidak membantu perkembangan intelektual yang kita harapkan.


Sekarang masyarakat sastera dibebankan dengan pandirisme lagi setelah wujud perkembangan baru yang ditawarkan oleh Gagasan Persuratan Baru dan munculnya karya persuratan yang jauh mendahului karya sastera yang masih berada di peringkat picisan itu. Tampilkan sebuah karya oleh mana-mana sasterawan negara yang boleh menandingi Pujangga Melayu dan sajak-sajak yang terdapat dalam novel persuratan itu. Tunjukkan kepada kita sebuah sajak yang boleh mengatasi sajak “al-Andalus” yang menghiasi Pujangga Melayu, yang merumuskan perkembangan ilmu selama lebih seribu tahun yang telah dimulai di Andalus, yang kemudiannya melahirkan zaman baru di Eropah. (Untuk maksud ini, anda boleh rujuk penerbitan UNESCO berjudul, Islamic and Arab Contribution to the European Renaissance (Arab Republic of Egypt National Commission for UNESCO, Cairo 1977).Tidak mungkin cabaran ini akan membuat para sasterawan negara terkencing ketakutan, walaupun tidak sebuah pun karya mereka setaraf dengan Pujangga Melayu dari segi pemikiran, penampilan teknik baru berasaskan stylization of ideas, dan pentingnya peranan wacana dalam penulisan kreatif. Tampilkan karya anda yang dapat memenuhi ciri-ciri yang disebutkan itu. Itulah ciri-ciri karya kreatif berasaskan konsep ilmu.


Cabaran seumpama ini sesuai dengan perkembangan dalam teori sastera Barat sendiri, yang telah dibincangkan dengan mendalam dalam buku Frank Lentricchia, After the New Criticism (1980) dan buku John E. Ellis, Against Deconstruction  (1989). Perkembangan ilmu sastera di Barat diasaskan kepada dialog dan perbahasan yang sengit antara para sarjana. Mereka mempraktikkan kaedah yang diperkenalkan oleh para ilmuan Islam dalam perkembangan ilmu dalam tamadun Islam, yang menggunakan kaedah radd dan syarah.  Yakni, berasaskan sanggahan dan kritikan atau penjelasan dan ulasan mendalam terhadap sesuatu idea.  Kalau anda tidak setuju, anda tidak berdiam diri, tetapi tampil ke gelanggang ilmu untuk membahaskan yang anda tidak setuju itu; sebaliknya jika anda setuju, maka anda memberikan penjelasan lanjut terhadap idea yang dikemukakan. Inilah yang dilakukan oleh Prof. Ungku Maimunah Mohd. Tahir dan Prof. Madya Dr. Mohd. Zariat Abdul Rani terhadap Gagasan Persuratan Baru. Kedua mereka memberikan penjelasan mendalam dengan memperkenalkan beberapa konsep baru yang berguna untuk menjelaskan lagi PB. Sebaliknya, para penentang PB mengomel sendirian atau berceloteh sesama sendiri mengutuk PB, tetapi tidak berani tampil ke gelanggang ilmu memberikan sanggahan mereka secara ilmiah. Kita patut kasihan kepada mereka ini, yang dalam kejahilan dan keangkuhan mereka, menolak konsep ilmu yang ditekankan dalam Islam dan dihuraikan dengan jelas dalam al-Quran. Mereka tidak menolak al-Quran kerana mereka belum murtad; mereka hanya mempersendakan PB sebagai satu kaedah karut yang tidak wajar diberi perhatian, apatah lagi diberi sanggahan oleh mereka. Dengan sikap ini, mereka mempersetankan perkembangan baru dalam perubahan paradigma yang satu ketika dulu mereka jeritkan keperluannya, yang satu ketika dulu mereka lambakkan dalam tulisan mereka. Mereka juga tidak termasuk dalam golongan munafik, walaupun mereka menolak konsep ilmu yang benar dan memperjuangkan gerakan ‘iwajan dalam sastera Melayu. Mereka adalah golongan yang cetek meraba-raba, untuk menggunakan istilah yang dipakai oleh Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam syarahan pengukuhan beliau 1972, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (UKM 1972).

Jika persoalan penting ini tidak dibahaskan dalam Seminar Sastera UKM, November 2018, maka mereka melakukan dua perkara. Pertama, mereka melanjutkan keadaan cetek meraba-raba itu dengan melontarkan pandangan berasaskan kejahilan kepada konsep ilmu. Kedua, mereka juga menolak perubahan paradigma yang ditawarkan oleh PB walaupun satu ketika dulu mereka menjeritkan supaya dilakukan perubahan paradigma dalam sastera Melayu.  Jika inilah pendirian mereka, di manakah mereka berada? Mereka berada dalam kandang padirisme, bergelumang dengan “falsafah” bullshit seperti yang dihuraikan dalam buku, Pandirisme Dalam Komuniti Dunia. Inilah yang akan berlaku dalam ucaputama Baha Zain nanti.  Sebagai penghormatan kepada  beliau dan rakan-rakan beliau, Baha Zain adalah seorang tokoh yang mengamalkan konsep berputar-purat dalam sastera, yang telah saya perkenalkan sejak tahun 2010 dalam blog ini.



Mohd. Affandi Hassan,
Petaling Jaya, 31 Oktober, 2018.






No comments:

Post a Comment